Tuesday, November 06, 2007

SB jadi dalang untuk gagalkan Perhimpunan 10 November?

Intan Abdullah
Tue | Nov 06, 07 | 4:05:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Tidak sampai seminggu perhimpunan rakyat yang bakal mencatatkan sejarah negara pada 10 November, yang akan menyaksikan kebangkitan rakyat menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih namun, apa yang mengejutkan ialah terdapat usaha yang dilakukan oleh sesetengah pihak dipercayai didalangi Special Branch (SB) untuk menggagalkan perhimpunan tersebut.

Mereka menyebarkan empat jenis risalah tanpa tajuk beserta sekeping VCD dengan mendakwa bahawa perhimpunan tersebut didalangi oleh Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Faith Commission (IFC).

ImageBahkan, risalah tersebut juga mengandungi pendirian Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Khairul Ariffin Moh Munir yang membantah perhimpunan tersebut diadakan atas hujah yang sama.

Bagaimanapun, pihak Abim memaklumkan Khairul Ariffin berada di luar negara dua minggu lalu dan akan pulang semula ke tanah air dua minggu akan datang.

Malah, pihak Abim mengesahkan bahawa mereka tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu terbabit dan mendakwa ia adalah propaganda pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang berniat untuk menggagalkan perhimpunan tersebut.

Jurucakap Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih), Faisal Mustafa pula berkata Abim masih tergolong dalam gabungan tersebut yang menyokong perhimpunan itu.

"Ini usaha jahat pihak yang tertentu yang ingin memastikan perhimpunan tersebut gagal. Jadi, pelbagai kerenah dicipta dan dibuat agar kita lemah semangat. Apapun, kami tidak akan goyah untuk meneruskannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, sekeping poster juga diedarkan bersama yang mengandungi gambar Naib Presiden KeADILan, Sivarasa rasiah, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, Ketua Penerangan Wanita KeADILan, Elizabeth Wong, Blogger Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin sebagai dalang perhimpunan 10 November yang bermotif untuk melumpuhkan Islam

VCD tersebut mengandungi visual penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menari semasa kempen pilihanraya kecil di Ijok, mendakwa Anwar sebagai agen yahudi, pendedahan bekas Setiausaha KeADILan, Lokman Noor Adam mengenai penyelewengan wang dan masalah dalaman parti tersebut serta kaitan parti tersebut dengan George Soros.

Setakat ini, penyebaran ini dikesan berlaku di sekitar Bandar Baru Bangi , dan Yang Dipertua PAS Serdang, Dr Shafie Abu Bakar telah dimaklumkan mengenai hal tersebut.

VCD dan risalah tersebut yang juga diedarkan di premis awam seperti surau-surau, perhentian bas, tepi-tepi jalan serta kawasan perumahan.

Sementara itu, Sivarasa ketika dihubungi Harakahdaily meminta semua pihak agar berhati-hati dengan pihak-pihak tertentu yang cuba untuk menggagalkan perhimpunan tersebut dengan menggunakan pelbagai cara. - mr


Laporan Audit: Menteri Besar dan Menteri wajar ditangkap, dihukum

Salmiyah Harun
Tue | Nov 06, 07 | 6:20:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Pendedahan Laporan Audit Negara baru-baru ini terbukti berlakunya penyelewengan dan rasuah oleh pemimpin-pemimpin kerajaan baik di peringkat negeri mahupun pusat.

Berdasarkan laporan tersebut, Pengerusi Gerak Ezam Mohd Noor menegaskan sekurang-kurangnya dua menteri iaitu Menteri Besar ataupun Menteri senior mesti ditangkap dan dihukum.

"Kita ada 'task force' khususnya tentang laporan audit negara, kita tahu dalam laporan itu sahaja sekurang-kurangnya dua menteri ini disabitkan dan diharuskan bawa ke mahkamah seperti juga kerani-kerani bawahan yang dibawa ke mahkamah," katanya di hadapan kira-kira 400 peserta yang mengikuti forum rakyat di sini baru-baru ini.

Tegasnya, beliau akan tunggu Ketua Audit Negara untuk menafikan kenyataannya itu.

Ketika ditanya peserta forum siapa menteri berkenaan, Ezam tidak boleh mendedahkan siapa yang dimaksudkan kerana beliau bukannya Ketua Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Kalau saya Ketua BPR dah lama saya dedahkan, saya bagi 'hint' Menteri Besar dan Menteri sahaja" katanya yang diikuti sorakan para peserta Forum "Rasuah dan Jenayah:Malaysia Di ambang Bahaya" yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Salahuddin Ayub.

Apabila didesak oleh para peserta, Ezam memberi gambaran merujuk kepada Menteri Besar negeri yang kaya.

Dalam pada itu, Ezam menegaskan setiap lapisan rakyat negara ini haruslah benar-benar serius dalam menangani gejala rasuah.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana kerajaan tidak memberi respon terhadap apa yang dilaporkan misalnya tentang laporan audit negara.

Berhubung laporan itu katanya, ada tiga individu penting yang menegaskan tidak melakukan sistem tender itulah menyebabkan berlakunya rasuah.

Tiga orang terbabit adalah, Ketua Audit Negara, Ketua Pengarah BPR, dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

"Mereka masing-masing berkata dan tegas supaya kerajaan tukar cara tender sistem,"katanya.

Malangnya, kata Ezam, sehingga hari ini tidak ada seorang pun menteri yang respons terhadap dasakan itu dari atas hingga di peringkat bawah

"Yang adanya cuma 'ya kita akan kaji dan akan tubuhkan jawatankuasa' khususnya untuk mengkaji tender sistem," kata beliau. - mks.


Bersih mohon perkenan mengadap Agong 10 November ini

Roy Rasul | Foto Nasir Sudin
Tue | Nov 06, 07 | 5:22:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menghantar satu surat temujanji kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk memohon bagi mengadap baginda pada jam 3.00 petang, 10 November ini.

ImagePenyerahan surat tersebut dihantar kepada Setiausaha Sulit Istana, yang mana diwakili seorang pegawai pembantu Setiausaha Sulit Istana yang dikenali dengan nama Zainab di pejabat Istana Negara, dekat sini, hari ini.

Seramai lima Ahli Jawatankuasa Bersih yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zulkifli Ahmad; Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Sivarasa Rasiah; Fuziah Salleh; wakil DAP, Ronnie Liu dan seorang wakil dari Center Independent Journalist (CIJ).

Sementara itu, Dr Dzulkifli yang bercakap kepada pemberita di penyerahan surat tersebut berkata, Bersih memohon beberapa perkara kepada Yang DiPertuan Agong berhubung sistem pilihan raya negara ini.

"Bersih memohon keprihatinan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong untuk memperkenan mengangkat agenda reformasi sistem pilihan raya.

"Bersih juga memohon supaya Baginda mengangkat usaha untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja bagi melihat keseluruhan keperluan sistem reformasi pilihan raya itu sendiri," katanya.

Katanya, mereka juga memohon secara rasmi untuk mengadap Yang DiPertuan Agong di Istana Negara pada 10 November depan.

ImageSementara itu, Sivarasa berkata, empat masalah besar yang wujud dalam proses pilihan raya iaitu bersihkan daftar pengundi, mansuhkan undi pos terhadap polis dan tentera, menggunakan dakwat kekal dan memberi akses yang adil kepada semua pihak diperjelaskan dalam memorandum kepada Yang DiPertuan Agong pada 10 November ini.

Manakala, Fuziah yang turut serta dalam rombongan tersebut berkata, dalam sebuah negara yang demokrasiseperti Malaysia rakyatnya berhak untuk mendapat satu proses pilihan raya yang bersih dan adil.

"Apabila rakyat beramai-ramai membuat keputusan untuk bersama Bersih pada 10 November pasukan polis digesa memberi bantuan untuk memasti keselamatan mereka yang berkumpul pada hari itu.

"Suhakam juga mengatakan bahawa perhimpunan itu adalah hak rakyat Malaysia dan itu yang kita harapkan daripada semua pihak menyokong kita," katanya.

Dalam pada itu, Ronnie pula berkata, rakyat yang hadir di Dataran Merdeka pada hari itu digalakkan memakai serba kuning.

Ini katanya, sebagai menuntut reformasi sistem pilihan raya yang adil dan bersih. - mks.


Powerful vs bloodyfool - Pentadbiran Abdullah makin dangkal dan bebal

Mahfuz Omar
Tue | Nov 06, 07 | 3:59:57 pm MYT

Selepas negara digemparkan oleh kegiatan "judges shopping" baru-baru ini, kini satu lagi penyelewengan kuasa didedahkan apabila Ketua Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Dato' Ramly Yusuff didakwa kerana memiliki harta bernilai RM27 juta.

Pemilikan harta di luar kemampuan ini bukanlah isu utama, tetapi bagaimana pendedahan ini berpunca daripada kegiatan broker-broker kroni dalam mencaturkan jawatan pegawai-pegawai tinggi polis – seperti mana Dato' VK Lingam didakwa mencaturkan para hakim.

Apa yang jelas di dalam skandal ini ialah kelemahan dan kegagalan Kerajaan Umno/BN yang dipimpin oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam melahirkan budaya good governance di negara ini.

Amat memalukan sekali apabila Perdana Menteri gagal mengawal pegawai-pegawainya, bahkan membiarkan pihak ketiga menentukan masa depan negara. Dulu ramai juga yang tercengang apabila Tun Dr Mahathir mendakwa "Tingkat 4" menguasai pejabat Perdana Menteri dan menentukan polisi-polisi negara.

Rupa-rupanya, kini orang-orang yang berada jauh daripada Putrajaya juga turut menggunakan kuasa "remote control" ke atas pejabat Perdana Menteri. Apa yang boleh kita simpulkan ialah para pemimpin kita seolah-olah begitu dungu terhadap tanggungjawab masing-masing.

Rakyat pernah tertanya-tanya bagaimana pengawal peribadi Timbalan Perdana Menteri boleh 'mencuri' bom canggih untuk mengebom rakyat Mongolia.

Hari ini rakyat semakin tidak keruan apabila Perdana Menteri sendiri kehilangan pedoman sehingga dikawal kiri dan kanan, atas dan bawah oleh pelbagai pihak dalam menentukan dasar-dasar negara.

Pemimpin yang brtanggungjawab dan berwibawa sepatutnya menyedari tugas dan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kedaulatan negara, melaksana keluhuran undang-undang, memastikan keadilan untuk rakyat, mengukuhkan ekonomi negara, memastikan kebajikan terbela dan sebagainya.

Pendek kata kuasa pemerintahan yang diwakilkan oleh rakyat kepada mereka diguna dan dimanfaat dengan bersungguh-sungguh bagi menjaga kepentingan rakyat.

Amat malang sekali bagi kita semua apabila kuasa yang diwakilkan kepada Umno/BN ini disalahgunakan untuk menindas rakyat.

Pelbagai kezaliman telah diperkatakan orang. Bukan hanya musuh-musuh politik ditindas dengan ISA, bahkan rakyat-rakyat termiskin termasuk setinggan yang setia kepada Umno pun menjadi mangsa tindasan mereka.

Sekolah-sekolah agama yang begitu berjasa pun dinafikan hak mereka, apatah lagi hal-hal yang diaggap tidak ada kena mengena dengan mereka. Lihatlah bagaimana pilihan raya yang menjadi lambang demokrasi kini menjadi simbol kuku besi!

Kini tidak cukup dengan kuasa yang ada disalahgunakan untuk menindas rakyat, kuasa yang sama juga diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apa guna rakyat menyerahkan kuasa kepada Umno/BN jika kuasa itu kemudian diserahkan pula kepada taikon-taikon yang menguasai politik negara.

Kepada VK Lingam dan Vincent Tan 'diserahkan' kuasa untuk melantik hakim-hakim, dan Tengku Goh pula didedahkan mempunyai kuasa untuk menentukan perlantikan pegawai tinggi polis.

Ini belum dihitung kuasa-kuasa yang dimiliki oleh 'Tingkat 4' dan kuasa magik yang dimiliki oleh menantu Perdana Menteri.

Cerita VK Lingam dan Vincent Tan mencaturkan perlantikan hakim telah dibongkar melalui rakaman video yang didedahkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ternyata usaha pembangkang membongkarkan perkara ini memberi kesan apabila sebuah Pasukan Penyiasat dibentuk oleh kerajaan.

Lebih berkesan lagi apabila Majlis Raja-raja menolak cadangan Perdana Menteri untuk mengekalkan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Halim sebagai Ketua Hakim Negara.

Akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya mendakwa Majlis Raja-raja menolak cadangan untuk menyambung semula tugas Tun Ahmad Fairuz sebagai protes terhadap peranan VK Lingam dan Vincent Tan dalam skandal ini.

Sungguh aneh sekali apabila Perdana Menteri mengumumkan perlantikan Pemangku Ketua Hakim Negara kerana khidmat Tun Ahmad Fairuz berakhir pada 31 Oktober 2007.

Secara logiknya Perdana Menteri sudah tahu tentang tarikh tamat perkhidmatan Tun Ahmad Fairuz, tetapi mengapa tidak diserahkan cadangan nama kepada Majlis Raja-raja untuk perlantikan ketua hakim yang baru sehingga terpaksa melantik pemangku.

Ini menunjukkan kelemahan ketara seorang Perdana Menteri. Lainlah jika nama yang dikemukakan itu telah ditolak oleh Raja-raja Melayu. Boleh jadi benar juga dakwaan akhbar Singapura itu, walaupun akhbar perdana di negara kita menyembunyikannya.

Pendakwaan ke atas Dato' Ramly terus menjadi persoalan di benak rakyat. Jika berlaku rasuah atas kekayaan luar biasa itu, rakyat sudah lama menyedarinya.

Tetapi biasanya isu-isu rasuah terhadap pegawai tinggi polis seperti Tan Sri Musa Hassan dan Dato' Zulkifli dahulupun diselamatkan. Tetapi yang menjadikan cerita Datuk Ramly lebih hebat kerana adnya watak Tengku Goh, seorang ketua kumpulan kongsi gelap yang bukan sahaja mencaturkan pegawai tinggi polis, tetapi turut bersekongkol dengan PDRM dalam kegiatan jenayah.

Saya bukan bermaksud untuk mempertahankan Ramly, tetapi saya terpanggil untuk mempersoalkan mengapa Datuk Ramly hanya didakwa kepada kegagalannya mengisytiharkan harta dan tindakan beliau menjadi lembaga pengarah sebuah syarikat.

Adakah pegawai tinggi polis yang lain, termasuk menteri dan timbalannya telah mengisytiharkan harta mereka serta tidak berniaga dalam mana-mana syarikat. Maka Ramly sahaja yang layak didakwa.

Kita menyedari bahawa Ramly telah menjadi mangsa balas dendam kerana telah menyiasat kegiatan Tengku Goh dan mencadangkan supaya Tengku Goh dikenakan tahanan di bawah Ordinan Darurat.

Hasil laporan Jabatan Jenayah Perdagangan, Tengku Goh telah ditahan dan dibuang daerah ke Jeli dan ketua kongsi gelap itu mendapatkan perintah habeas corpus daripada mahkamah dengan sokongan BPR dan PDRM sendiri.

Kita boleh memahami bagaimana peranan Tengku Goh ini terhadap kedudukan pegawai-pegawai tinggi polis.

Dia bukan sahaja boleh menentukan kenaikan pangkat pegawai-pegawai polis, tetapi boleh menyebabkan pegawai polis yang tidak bersekongkol dengannya didakwa seperti yang dialami oleh Ramly.

Ternyata masalah yang menghantui MCA satu ketika dahulu kini menular dan menjadi ‘hantu raya’ kepada polis pula.

Satu masa dahulu, perkara seperti ini pernah berlaku ke atas MCA apabila seorang ketua kongsi gelap, "Jacky Chan" telah didakwa oleh ahli-ahli parti itu sebagai mencatur kepemimpinan parti.

Walaupun polis telah mempunyai bukti terhadap kegiatan jenayah beliau termasuk terlibat dengan kes bunuh, senjata api dan sebagainya, beliau hanya ditahan di bawah Ordinan Darurat yang ketika itu Presiden MCA, Dato' Seri Ong Ka Ting menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Saya tidak bermaksud untuk mengaitkan kegiatan kongsi gelap dalam MCA dengan kongsi gelap dalam PDRM, tetapi sekadar memperlihatkan betapa getirnya masa depan Negara.

Bukan sahaja parti pemerintah seperti MCA dikuasai kongsi gelap, pasukan kselamatan juga turut dikuasai anasir kongsi gelap. Lebih malang lagi apabila para pemimpin dengan sengaja membiarkan mafia-mafia politik ini menentukan perlantikan para hakim dan pegawai tinggi polis.

Kita akan berasa hairan dengan sikap yang begitu dangkal dan bebal para pemimpin yang diberi amanah oleh rakyat apabila mereka sengaja membiarkan kuasa mereka diragut oleh mafia-mafia ini.

PAS bersyukur kepada Allah apabila Majlis Raja-raja menggunakan kuasa mereka untuk menolak perlantikan semula Tun Ahmad Fairuz yang dalam kata lain Raja-raja memberi isyarat untuk tidak mahu bersekongkol dengan mafia-mafia ini.

Peliknya, pemimpin BN seperti buta hati tidak memahami amanah yang diberikan kepada mereka.

Sebagai pemimpin, apabila mereka diberikan amanah atau kuasa oleh rakyat, mereka adalah 'powerful'.

Maka, hak kuasa ini mesti dijalankan oleh pemimpin dengan sepenuh hati untuk kepentingan rakyat.

Tetapi apa yang terjadi ialah, para pemimpin kehilangan arah dan tidak tahu menggunakan kuasa mereka sehingga kuasa itu diragut secara haram oleh mafia politik. Ia seolah-olah pemimpin kita sebenarnya 'bloodyfool'. Seperti kata pepatah Inggeris "seorang pemimpin menggunakan kuasanya dianggap 'powerful' tetapi jika ia gagal menggunakan 'power'nya, dia akan dianggap fool".

Signal yang ditunjukkan oleh Majlis Raja-raja ini patut menjadi pengajaran bagi rakyat.

Kuasa yang sebenarnya dimiliki oleh rakyat telah gagal dimanfaatkan kerana sikap rakyat yang tidak prihatin terhadap penyelewengan. Rakyat hanya berdiam diri terhadap salah laku dan salah guna kuasa pemimpin.

Raja-raja terpaksa menggunakan kuasa mereka untuk mengimbangi kelemahan rakyat.

Rakyat mesti bangkit mempertahankan hak mereka dan menyahut seruan Raja Muda Perak untuk menghapus pemimpin rasuah habis-habisan. Kesempatan pilihan raya ke-12 ini adalah peluang terbaik untuk rakyat bertindak.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! - mr


Himpunan 10 Nov - Mohd Sabu, lima AJK Bersih dipanggil ke Bukit Aman

Roy Rasul
Tue | Nov 06, 07 | 3:49:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Enam daripada Ahli Jawatankuasa Bersih terdiri daripada Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, AJK Bersih, Sivarasa Rasiah, Johari Abdul, Khairul Annuar Zainuddin (Jonah), Tian Chua dan Ronnie Liu dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi kenyataan mengenai Gabungan Bersih di bawah akta pertubuhan.

Masing-masing menerima panggilan daripada ASP Amran Mohd Husin, Bahagian Jenayah Kormisial pada 3 November lalu.

Sekreteriat Bersih, Faizal Mustaffa yang bercakap kepada media dalam satu sidang media Bersih di hadapan pejabat Istana Negara hari ini berkata, kesemua mereka dipanggil oleh Bahagian Jenayah Komersial.

Bagaimanapun katanya, mereka yang terlibat akan berjumpa dengan bahagian tersebut pada 12 November nanti.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, apa yang mereka musykilkan mengapa kesemua mereka dipanggil oleh Bahagian Jenayah Kormisial.

"Itu yang kita faham tetapi daripada apa yang dijelas kepada mereka pada hari tersebut ialah berhubung mengapa bahagian Jenayah Kormisial memanggil mereka ialah atas dakwaan Bersih adalah sebuah pertubuhan haram sedangkan Bersih adalah sebuah gabungan bukannya pertubuhan yang perlu didaftarkan," katanya. - mr


Perhimpunan Agung Umno: Najib kemuka formula 4M untuk tipu pengundi

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 06, 07 | 2:20:02 pm MYT

Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak telah menggariskan pendekatan 4M sebagai formula persediaan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, 'M' pertama ialah merapatkan barisan sesama ahli Umno termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) manakala 'M' kedua ialah meneruskan program menambah ahli dan pengundi.

"'M' ketiga ialah mesra rakyat yang melibatkan penggerak parti dan juga pelbagai jabatan serta agensinya sementara 'M' keempat pula ialah menyelesaikan masalah dan rungutan rakyat dengan cekap serta berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Najib yakin pendekatan berkenaan akan memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mendapat sokongan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri.

Begitupun penulis melihat 4M yang dimaksudkan Najib itu tidak akan berkesan jika tidak diselitkan dengan amalan biasa 4M dalam makna yang lebih tepat.

Penulis melihat 4M yang akan digunapakai ialah, 'M' yang pertama (menipu), 'M' yang kedua mengugut dan menggunakan wang, 'M' ketika ialah menggunakan SPR dan 'M' yang keempat ialah manipulasi media.

Semua 'M' ini akan digunakan jentera Umno/BN bagi mendapatkan undi di kalangan rakyat yang akhirnya terpaksa mengundi calon Umno/BN.

Dalam beberapa pilihan raya terdahulu, SPR sendiri mengakui terdapatnya penipuan yang berlaku namun hakikat ini langsung tidak diendahkan badan itu sendiri dalam usaha mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini.

Usaha demi usaha dilakukan oleh pembangkang dengan mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil SPR, namun hingga kini SPR hanya dijadikan alat kepada parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

Sementara itu, media massa arus perdana pula dijadikan alat utama untuk mempropagandakan laporan memburuk-burukkan pembangkang dengan suara pembangkang diketepikan dari memberi kenyataan balas.

Polis dan jentera kerajaan yang lain akan dipergunakan bagi menakut-nakutkan rakyat selain wang negara yang banyak digunakan untuk kempen menyogok pengundi.

Hingga kini amalan 4M inilah sebenarnya yang memberi kejayaan kepada Umno/BN untuk kekal menerajui negara.

Perhimpunan Agung Umno 2007 kali ini, sekali lagi ia digunakan sebagai pentas untuk mengumpul strategi bagi menipu rakyat sekali lagi. - mks.

Perhimpunan Agung Umno: Fitnah Batu Burok, Mustafa Ali dan Suwandi 'berlegar' di PWTC

Azamin Amin
Tue | Nov 06, 07 | 1:53:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) -Biarpun sesi usul dan perbahasan beberapa perwakilan hari ini, banyak mengungkap dan memetik berapa ayat-ayat al-Quran sebagai rujukan dan mahu menonjolkan 'KeIslaman Hadhari' mereka, namun budaya memfitnah masih segar dan berlegar secara berleluasa di ruang lobi PWTC di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2007 hari ini.

'Fitnah' ini dikenal pasti bermula di 'Booth' atau 'Kiosk' Kerajaan Negeri Terengganu yang terletak berhampiran cafe PWTC yang mengedarkan risalah dan katalog berhubung isu Batu Burok yang telah diselewengkan faktanya dan mendakwa dengan pelbagai tohmahan terhadap pimpinan PAS dan mangsa tragedi 8 September lalu.

Buletin berbaur fitnah di bawah tajuk 'Rusuhan di Batu Burok Memang Dirancang!' mendakwa Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Mustafa Ali telah berbohong kepada pihak media kerana cuba menyembunyi kisah sebenar peristiwa berdarah itu malah dikatakan sengaja mengadakan sidang media di Kuala Lumpur kerana kebanyakan wartawan tidak melihat sendiri kejadian rusuhan di Batu Burok itu.

Lebih buruk lagi, risalah tersebut memfitnah mangsa tembakan polis Suwandi Abdul Ghani, 37, yang kononnya dituduh memukul polis sehingga pecah kepala dan cedera parah.

Selain itu terdapat dua poster yang memaparkan gambar-gambar pemuda yang membakar bendera Malaysia dan kerosakan harta benda awam yang cuba dinyatakan sebagai ahli ataupun penyokong PAS yang mencetuskan suasana tegang pada malam itu.

Fitnah-fitnah ini jauh tersasar dengan keputusan hasil siasatan awal Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini yang menyatakan bahawa kejadian pada malam itu tidak dirancang oleh sesiapa sama ada pihak penganjur, pembangkang mahupun pihak polis namun tetap mengutuk tindakan polis yang meggunakan peluru hidup sewaktu menyuraikan orang ramai pada perhimpunan pada malam itu.

Selain itu terdapat juga, buku 'propraganda BN' berbentuk majalah yang memaparkan kehebatan kerajaan negeri Terengganu di bawah Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh yng kononnya sudah berjaya menerapkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat menyaingi kehebatan kerajaan negeri Kelantan.

Antara 'kehebatannnya' ialah berjaya membina 20 masjid replika terdiri daripada bentuk Taj Mahal, Masjid Kristal dan lain-lain yang terletak di Pulau Wan Man yang mana hanya satu sahaja yang boleh digunapakai untuk menunaikan solat berjemaah.

Ini termasuk berjaya mengkhatamkan 937 kanak-kanak tadika,seolah-olah kerajaan pimpinan PAS gagal melaksanakannya dan berjaya mengapuskan ajaran sesat kumpulan Ayah Pin yang sehingga kini masih belum ditemui 'kelibatnya' oleh pihak berkuasa dan kerajaan Terengganu.

Suasana PWTC hari ini sedikit hambar pada sebelah paginya, kerana rata-rata yang hadir termasuk perwakilan lebih banyak tertumpu kepada ruang pameran dan perniagaan yang banyak menjual pelbagai jenis produk berbanding mendengar ucapan dan perbahasan perwakilan Wanita Umno yang disiarkan secara langsung di skrin layar besar manakala ucapan perbahasan Pemuda Umno hanya sekadar dipertontonkan melalui TV 16 inci di tingkat dua PWTC. - mks.


Umno T'ganu terdesak, paksa rakyat undi BN dalam pilihan raya olok-olok!

Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Salleh
Tue | Nov 06, 07 | 1:34:05 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov(Hrkh) - Umno Terengganu kini terdesak apabila memaksa rakyat Terengganu mengundi mereka dalam satu sesi simulasi pilihan raya olok-olok yang diadakan di seluruh negeri tersebut pada 3 November lalu.

ImageUmno dan BN Terengganu mengadakan program simulasi yang melibatkan sejumlah 318 Unit Peti Undi (UPU) di seluruh negeri dengan mensasarkan 200 orang pengundi 'target' bagi setiap cawangan dapat keluar serta mengundi dalam pilihan raya 'olok-olok' (simulasi) tersebut.

Harakah dimaklumkan, beberapa kawasan yang 'bermasalah' disediakan peruntukan membayar kepada pengundi-pengundi simulasi antara RM2 hingga RM50.00 seorang mengikut keadaan setempat.

Antara yang menjadi sasaran mereka adalah pengundi yang menerima wang ihsan, wang daripada jabatan kebajikan serta penjawat awam yang tidak mempunyai jawatan yang tetap.

"Ini kerana mereka ini dipaksa untuk mengundi Umno-BN jika mahu terus menerima sumbangan wang tersebut atau disekat bantuan jika enggan berbuat demikian," ujar Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata, ada sumber yang menyatakan bahawa semua pengundi yang datang 'diminta' mengundi Umno-BN.

Menurutnya, simulasi ini adalah kempen awal Umno-BN untuk pilihan raya akan datang yang secara psikologinya akan meninggalkan kesan kepada pengundi untuk memilih Umno-BN dalam pilihan raya nanti.

"Nanti, mereka akan senang cakap bahawa 'kamu buat sebagaimana yang kamu undi sebelum ini'. Ini adalah satu permainan 'politics of fear' bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tidak mengundi selain daripada Umno-BN dalam pilihanraya umum tidak lama lagi," tegasnya.

ImageMustafa mengutuk Umno Terengganu yang tanpa segan silu menjalankan sesi simulasi tersebut dengan menggunakan bangunan awam serta menyalahgunakan kuasa mereka sebagai kerajaan yang menguasai negeri itu.

"Ini kerana mereka(Umno-BN) dengan sewenang-wenangnya menghantar surat mengarahkan petugas-petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) supaya turut sama membantu menjayakan simulasi tersebut," dakwanya.

Menurutnya lagi, proses yang dijalankan dalam simulasi tersebut adalah sebagaimana yang akan berlaku semasa hari pengundian dalam pilihanraya umum tidak lama lagi.

"Tindakan Umno-BN menggunakan dewan, sekolah dan balai raya yang akan digunakan dalam pilihanraya ini tidak seharusnya berlaku kerana semua yang dijalankan itu adalah untuk kepentingan politik mereka," katanya.

Mustafa juga merujuk kepada SPR berhubung hal ini, dan SPR mengesahkan bahawa mereka tidak menerima apa-apa makluman mahupun permohonan bagi penganjuran simulasi tersebut.

Image"Apabila ditanya mengenai penglibatan petugas-petugas SPR dalam program tersebut, SPR hanya berkata hal tersebut adalah 'di luar kawalan mereka' dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa," jelasnya.

Dalam pada itu, PAS Terengganu tidak menolak kemungkinan bahawa Umno-BN yang kini merasa berada dalam keadaan yang 'tidak selamat' yang menyebabkan mereka mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi simulasi ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai juga beberapa tempat dalam Dun Alor Limbat serta bahagian Marang mengalami 'nasib' yang sama ekoran perpecahan yang serius melanda Umno/BN Terengganu hari ini. - mr

Perhimpunan Pemuda Umno : Azimi, Hishamuddin sindir Khairy?

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 06, 07 | 1:31:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Dato' Azimi Daim dalam perbahasan ucapan terima kasih sempena Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini menyelitkan beberapa 'sindiran' sinis mungkin sekali ditujukan kepada Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Dalam ucapan awalnya, Azimi menyebut perkataan 'beruk' yang cukup sinonim dengan 'monyet' diselitkan dalam pantun yang berbunyi 'Anak beruk terlompat-lompat, anak ikan berenang-renang, sikap buruk orang meluat, sikap baik orang senang,".

Beliau membayangkan sikap beruk iaitu sikap mereka yang tidak sopan dan membuat tabiat yang buruk hanya akan menyebabkan orang meluat.

Perkataan ini (beruk) sinonim dengan perkataan yang pernah digunakan Khairy semasa melabel beberapa bloggers ketika isu blog hangat dilaporkan dalam media iaitu 'monyet' yang juga dari habitat dan keluarga yang hampir sama.

Selain itu semasa menggunakan perkataan 'mengairi' beliau menoleh kepada barisan kepimpinan Pemuda Umno terutama sekali kepada Khairy dan mengulangi perkataan tersebut degan menyebut 'bukan mengairi (sebut dengan loghat Kedah dengan menoleh kepada Khairy) tetapi meng'ayak' (air dalam loghat Kedah).

Sindiran sinis itu dikuti denga pujian melaut kepada Ketua Pemuda Umno yang dilaporkan memenangi kerusi dalam pertubuhan Unesco dengan undi terbanyak.

Azimi juga memuji kepimpinan Hishamuddin yang dikatakan berjaya membawa Pemuda Umno kepada satu martabat yang cukup disegani selepas krisis tahun 1998.

Ketika Azimi berucap, lensa kamera merakamkan gelagat barisan kepimpinan Pemuda Umno, kelihatan Khairy tidak seceria Hishamuddin yang cukup terhibur dengan lawak jenaka yang didendang Azimi.

Khairy hanya menepuk meja sekali-sekala dengan senyum sinis sementara Hishamuddin ketawa besar sambil menoleh ke kanan dan kiri.

Mungkin sekali, Azimi banyak memperli Khairy dalam ucapannya sementara memuji kepimpinan Hishamuddin.

Malangnya, menantu Perdana Menteri itu mungkin sekali tidak menyedari bahawa banyak mata memerhatikan kelibatnya yang sentiasa menjadi buah mulut ramai.

Blog dan media alternatif sumbang pembangunan negara

Terdahulu dalam ucapan dasar, Ketua Pemuda Umno pula percaya ramai di kalangan media alternatif dan komuniti blogger di negara ini yang bertanggungjawab dan memberikan maklumat serta informasi berkualiti tinggi dalam menyumbang kepada pembinaan negara.

Sehubungan itu, katanya, realiti era teknologi maklumat hari ini, dengan keterbukaan berita dan informasi yang tidak dapat disekat, harus dilihat secara positif dan sebagai sebahagian daripada tradisi pendemokrasian dunia maklumat dan alam siber.

Bagi generasi baru, katanya, blog kini menjadi gaya hidup terkini dan melalui kecanggihan ini telah melahirkan apa yang dipanggil Generasi 'You Tube' dan 'facebook' di kalangan mereka.

"Walaupun ia fenomena yang mungkin dianggap baik kepada pembinaan negara tetapi perlu diingat kebebasan harus datang dengan tanggungjawab," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di PWTC.

Kenyataan itu sekaligus mengimbas semula detik-detik hitam kecaman Khairy kepada bloggers sewaktu isu bloggers mendapat perhatian ramai.

Secara tidak lansung Hishamuddin mungkin sekali menujukan ucapannya itu kepada Khairy yang cukup vokal sebelum ini menghina khalayak pengendali blog dan laman web.

Khairy mahu bawa perubahan dalam pemuda

Sementara itu, Khairy dalam satu laporan akhbar versi internet baru-baru ini menyebut, beliau menyertai Umno kerana mahu membawa perubahan supaya parti dan khususnya pergerakan itu menjadi lebih baik daripada yang ada sekarang.

Katanya, baginya prinsip perjuangan Umno lebih penting daripada individu dan pemimpin yang ada dalam parti itu.

"Saya mahu membawa perubahan kepada Pemuda Umno dan saya yakin dapat melakukannya.

"Saya melihat bagaimana Pemuda Umno kehilangan pemimpin dan ahli-ahli selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

"Pemuda Umno, ketika itu amat rapat dengan Anwar dan pemecatannya menyebabkan orang muda dan pelajar menyertai reformasi yang dibawa oleh bekas Timbalan Presiden Umno itu," katanya ketika menyampaikan ucapan di satu majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.

Khairy yang juga menantu Perdana Menteri berkata, beliau tidak menyertai Kelab Umno di London sewaktu bekerja sebagai wartawan.

Katanya, sekitar tahun 1999 hingga 2001, merupakan masa yang sukar kepada Pemuda Umno kerana orang muda menyertai pembangkang termasuk kalah dalam pilihan Raya Kecil Dun Lunas yang diadakan pada tahun 2000.

Khairy 'opportunist' yang licik?

Menyingkap sejarah politik Khairy, sebagai golongan 'opportunist' dalam Pemuda Umno, beliau cukup licik menggunakan kedudukan bapa mertuanya dua tahun lalu dalam pemilihan barisan Pemuda Umno untuk menjawat jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Ramai di kalangan anggota Exco yang cukup veteran seperti Mukriz Mahathir dan Azimi Daim terpaksa melupakan hasrat menjadi orang nombor dua dalam pergerakan Pemuda Umno memandangkan Khairy mendapat kredit dari bapa mertuanya untuk jawatan itu.

Kini kedudukan itu digunakan untuk membayangi kekuatan Ketua Pemuda dalam mengintai peluang samada akan menduduki kerusi nombor satu Pemuda Umno.

Banyak rumus menyatakan bahawa Khairy mula mencatur strategi untuk menggantikan Hishamuddin tatkala Hishamuddin bergelut dengan masalah di kementerian yang dipimpinnya (Kementerian Pelajaran).

Pelbagai lapangan program besar bersama beberapa menteri besar, program misi keamanan dan sebagainya digunakan Khairy untuk meletakkan dirinya sebagai 'orang penting' dalam pergerakan pemuda.

Kini cakap-cakap politik mula tersebar bahawa Khairy akan bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Tayangan dokumentari reformasi

Sementara itu, Perhimpunan Pemuda Umno yang bermula pagi tadi turut menarik perhatian perwakilan berhubung sejarah hitam yang melanda parti itu sewaktu krisis kepimpinan Umno pada 1998 (ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno).

Tayangan dokumentari disajikan kepada perwakilan menenai krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno yang mana menyorot kembali peristiwa Reformasi jalanan membantah pemecatan Anwar.

Dokumentari juga menyorot pelbagai usaha yang dilakukan untuk memulihkan kekuatan yang melanda pergerakan itu khususnya.

Ketika itu, pergerakan Pemuda Umno dipimpin oleh Dato' Ahmad Zahid Hamidi (kini Timbalan Menteri Penerangan) yang merupakan penyokong kuat Anwar dan Dato' Seri Hishammudin Hussein adalah timbalannya.

Selepas itu Zahid melepaskan jawatannya dan jawatan Ketua Pemuda dipangku oleh Hishammuddin.

Dokumentari itu juga menunjukkan Hishammudin membaca sajak pada perhimpunan Pemuda Umno pada tahun 1999.

Dalam sajaknya itu, Hishammuddin menyamakan perjuangannya untuk memulihkan pergerakan itu dengan kisah pertembungan Hang Tuah dengan Hang Jebat. - mks.

Perhimpunan Agung Umno 2007 : Bidas Azalina cabar Rafidah, Wanita Umno amal kuku besi?

Azamin Amin
Tue | Nov 06, 07 | 1:09:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh)- Wanita Umno dilihat seolah-olah mengamalkan sikap 'kuku besi' dan tidak mempraktikkan sistem demokrasi yang membenarkan pertandingan jawatan apabila perbahasan hari ini menyaksikan betapa pemilihan jawatan Ketua Wanitanya itu seperti 'dihalang' daripada dicabar dan tidak disenangi oleh sesetengah pihak.

Dilaporkan sebelum ini jawatan 'panas' itu bakal dipertandingkan dan Dato' Azalina Othman menjadi antara calon awalnya yang mencabar dan turut disokong oleh Umno Cheras sebelum ini.

Bagaimanapun sewaktu sesi usul pagi tadi, seorang perwakilan berasal Kelantan yang dikenali sebagai Ustazah Zaleha membidas dan menyelar pihak yang mencabar Ketua Wanita Umno yang disandang oleh Dato' Seri Rafidah Aziz malah menganggap pertandingan tersebut akan menyebabkan perpecahan dalam parti khususnya sayap kanan Umno tersebut.

Beliau yang kesal dengan pertembungan 'kuasa' itu turut menunjukkan sebuah akhbar tabloid yang diedarkan secara meluas kepada perwakilan dengan tajuk 'Azalina cabar Rafidah' yang bakal mengundang perpecahan dan suasana tidak sihat dalam Umno.

Ketika ditanya Pengerusi Wanita Umno Dato' Napsiah Omar, siapakah pihak yang mengedarkan akhbar tersebut, beliau menjawab :"Adalah...yang edar. Tengok tu...bawah kerusi pun ada."

"Sudah 15 thun saya tak berucap...saya beritahu Rafidah saya nak berucap," katanya yang dilihat tidak senang dengan tindakan Azalina mencabar ketuanya itu.

"Berpuluh tahun kita bina dan betapa susah payah kita bangun...nak runtuh hanya dalam sehari sahaja.Saya tidak rela Wanita ini 'dinodai' yang akan menyebabkan kita boleh runtuh," ucapnya sambil memandang kepada Rafidah yang berada di atas pentas.

Beberapa pemerhati berpendapat, ucapan perwakilan ini merupakan satu 'signal' kepada para perwakilan Wanita untuk terus 'menjulang' Rafidah sekali lagi yang umum telah mengetahui mempunyai pelbagai kepincangan selama berkhidmat dan menjadi menteri kabinet dan sebagai 'tamparan hebat' kepada Azalina supaya tidak 'menjolok sarang tebuan' ataupun mengusik wanita yng dikenali sebagai 'Iron Lady' itu.

Tindakan ini juga dilihat,bahwa Wanita Umno gentar dengan pemilihan jawatan yang sering kali mengundang 'padah' dan menyebabkan perpecahan di kalangan ahli sehingga wujud 'team' tertentu berbanding dengan parti lawan seperti PAS yang tidak pernah menghadapi masalah sungguhpun jawatan tertinggi dipertandingkan.

Pemerhati juga berpendapat, tradisi Umno yang mengamalkan 'sikap kuku besi' masih dipertahankan sehingga kini dan bukan sahaja melibatkan jawatan di dalam Wanita Umno sahaja malah apa jua jawatan tertinggi dalam parti tersebut terutama jawatan Ketua Pemuda Umno, Presiden dan Timbalannya yang sering 'dihalang' daripada dipertandingkan.

Dalam ucapan perwakilan ini jugakerapa memetik ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang amanh yang dipikul dan wajar menjadi tangugunjawab wanita untuk melaksanakannya.

Sebelum itu, beliau turut mengesyorkan supaya jawatan Hakim Mahkamah Syariah diserahkan kepada kaum wanita tetapi hanya tertumpu kepada pengkhususan Kekeluargaan sahaja bukannya dalam bidang Hudud dan Qisas.

Menariknya wanita ini turut secara sinis mengungkap:"wanita tidak suka merebut-rebut jawatan. Wanita ini kerja dengan penuh ikhlas dan tak suka rebut-rebut projek," katanya yang dilihat seolah-olah secara tajam menyindir kaum lelaki di dalam Umno yang sering 'bergelumang' dengan budaya tidak sihat itu.

"Muslimat PAS kata kita macam-macam dan membuat pelbagai tohmah. Tetapi Wanita Umno sentiasa tulus, kudus dan suci dalam perjuangannya," katanya. - mks.

Pemuda wajib hadir perhimpunan rakyat Sabtu ini, kata Salahuddin

Saidah Hairan
Tue | Nov 06, 07 | 12:25:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata; "Siapa yang mengaku menjadi ahli Pemuda PAS, wajib hadir dalam perhimpunan aman menuntut pilihan raya yang adil, Sabtu ini."

Beliau membuat arahan khas kepada ahli Pemuda seluruh negara supaya menyertai perhimpunan aman itu bagi memberi kesedaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan menjalankan pilihan raya secara telus.

Perhimpuanan aman anjuran (Bersih) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu 10 November ini, bermula jam 3 petang.

Beliau mengingatkan ahli Pemuda PAS seluruh negara, kehadiran dalam perhimpunan aman itu amat penting jika mereka benar-benar ahli Pemuda PAS dan mahu meneruskan perjuangan dalam Islam.

"Buktikan yang kita cintakan keadilan serta keamanan," tegasnya.

Menurut beliau, jika sami-sami Buddha di Burma (Myanmar) sanggup berdemonstrasi di jalan raya untuk menuntut keadilan tidak ada sebab bagi Pemuda PAS tidak hadir dalam perhimpunan aman itu.

Beliau mengingatkan Pemuda seluruh negara supaya berani dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan halangan dan tidak perlu gentar amaran atau ugutan daripada pihak polis.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan seluruh Pemuda PAS supaya tidak melakukan sebarang provokasi dan mematuhi segala arahan daripada pihak pimpinan. - lanh


Ketua Muslimat minta hadiahkan sekuntum bunga kepada setiap polis

Saidah Hairan
Tue | Nov 06, 07 | 12:05:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh meminta Muslimat seluruh negara membawa sekuntum bunga seorang untuk dihadiahkan kepada setiap anggota polis pada perhimpunan aman Sabtu ini (Himpunan 100,000 Rakyat).

Ini sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang sedia berkorban menjaga keselamatan peserta, katanya.

Beliau mengingatkan Muslimat tidak takut dan gentar hadir, memberi sokongan kepada gerakan rakyat melalui perhimpunan itu.

Perhimpunan aman anjuran Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, di sini, mulai jam 3 petang.

Dalam perhimpunan aman itu, beliau berharap anggota polis tidak mengikut telunjuk pihak atasan seperti membuat provokasi sebaliknya memberi peluang kepada rakyat menuntut hak asasi mereka secara aman.

"Saya amat berharap pihak polis supaya tidak membuat sebarang provokasi dalam perhimpuanan tersebut agar matlamat perhimpuan itu akan tercapai," tegasnya.

Beliau mengingatkan Muslimat bahawa sokongan padu daripada mereka amat penting bagi mengembalikan demokrasi sebenar di Malaysia.

"Tanpa usaha dan perjuangan yang bersungguh-sungguh daripada Muslimat, negara kita yang disayangi ini akan terus dibelenggu kezaliman Umno/BN dan kuncu-kuncunya," tegas beliau.

Menurut beliau, perjuangan PAS bukan untuk zaman sekarang sahaja tetapi adalah untuk survival anak serta cucu-cicit.

Justeru, katanya, sebagai tanda kasih pada diri sendiri, keluarga dan keturunan, rakyat diminta sama-sama turun ke jalan raya secara aman pada tarikh tersebut.

Beliau meminta para suami atau ketua keluarga supaya memberi kerjasama dan kebenaran terhadap isteri masing-masing untuk hadir pada perhimpunan itu.

"Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud; 'Lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dengan menyeru berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran'," katanya. - lanh


Himpunan 10 Nov: Apa hak anda bila berdepan dengan polis? (Siri IV)

Saari Sungib
Tue | Nov 06, 07 | 11:47:37 am MYT

Kehadiran segera isteri, anak, ahli keluarga, rakan-rakan dan peguam di luar balai polis di mana saudara ditahan boleh membantu agar saudara dibebaskan segera oleh polis.

Namun, jika pihak polis membuat keputusan untuk terus menahan saudara, saudara mesti tahu bahawa:

* Saudara mesti dimasukkan ke lokap tidak lewat dari dari pukul 6:30 petang dan berada sehingga pukul 6:30 pagi. (kecuali dalam kes-kes kecemasan seperti bagi mendapatkan rawatan perubatan).

* Saudara boleh minta agar saudara terus memakai pakaian saudara tanpa diarahkan untuk menukar kepada pakaian lokap.

* Sekiranya saudara diarahkan juga memakai pakaian lokap serta diberikan sepasang seluar pendek dan saudara tidak suka memakai seluar pendek, minta polis membekalkan saudara dengan sepasang seluar panjang.

* Saudara juga boleh meminta kain pelikat atau pakaian yang sesuai untuk sembahyang jika saudara beragama Islam atau apa-apa pakaian ibadat lain jika saudara penganut agama lain.

* Jika saudara tahu di balai tersebut ada sebuah surau yang selesa, minta polis membawa saudara untuk bersembahyang di surau setiap waktu solat.

* Maklumkan kepada pegawai yang bertanggungjawab di balai atau polis yang bertugas keadaan kesihatan saudara serta keperluan ubat-ubatan saudara.

* Minta polis membekalkan ubat-ubat yang saudara perlukan dengan segera.

* Semasa berada dalam lokap, sekali lagi saudara tidak perlu menjawab sebarang soalan yang dikemukakan oleh pihak polis.

* Jika ada polis 'berbudi bahasa' yang mengajak saudara bersembang-sembang, lebih baik saudara tidak layan sahaja polis tersebut.

* Jika saudara ditahan bersama-sama dengan tahanan lain dalam bilangan yang ramai, ingat segala kerenah dan keadaan buruk, kecoh dan haru-biru yang saudara lalui. Laporkan keadaan lokap seperti itu kepada peguam saudara sebaik sahaja saudara berpeluang bertemu dengan mereka.

* Sepanjang saudara berada dalam lokap, polis tidak berhak untuk menyakiti saudara termasuk mengeluarkan kata-kata kesat mahupun sindiran terhadap saudara. Saudara juga tidak boleh dilayan secara buruk ataupun dinafikan hak untuk mendapat makanan, minuman dan rehat yang secukupnya. Hak saudara untuk menjalankan ibadat menurut agama masing-masing juga tidak boleh dinafikan. Jika ini berlaku, laporkan kepada peguam saudara sebaik sahaja saudara berpeluang bertemu dengan mereka.

* Polis hanya boleh menahan saudara selama 24 jam dari masa saudara ditangkap di dalam lokap tanpa perintah reman daripada majistret (kecuali penahanan ISA)

* Bagi penahanan ISA, seorang Inspektor boleh menahan seseorang selama 24 jam, seorang ASP selama 48 jam dan seorang DSP selama 30 hari. Tiada rujukan kepada majistret dalam penahanan ISA (namun, keluarga tahanan mesti mengemukakan writ habeas corpus kepada mahkamah)

* Dalam kes selain ISA, polis MESTI membuat permohonan reman daripada majistret di mana majistret boleh membenarkan sejumlah maksimum 14 hari untuk tahanan reman (tidak termasuk masa perjalanan yang munasabah).

* Semasa dibawa ke majistret, saudara MESTI gunakan kesempatan untuk memberitahu kepada peguam saudara dan majistret jika saudara dikasari, dilayan dengan buruk, diludah, dimaki, ditengking, disindir, diarah ketuk ketampi atau dipaksa berbogel sepanjang berada selama 24 jam di bawah tahanan polis! Jangan kasi can!

* Semasa dihadapkan ke majistret juga saudara boleh menyatakan keadaan kesihatan saudara. Jika saudara perlu berjumpa doktor, buat permohonan jumpa doktor di hadapan majistret. Kalau saudara takut atau cemas atau berada dalam keadaan tekanan mental dan emosi yang tinggi kerana berada dalam lokap polis, nyatakan juga perkara ini kepada peguam saudara dan majistret.

Bila ada peluang bercakap di depan majistret, cakap jangan tak cakap. Jangan takut! (Bersambung)


Mohammad Hassan MB pilihan Khairy yang gagal kata Badrul Hisham

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 06, 07 | 8:37:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Masih teringat lagi antara isi kempen hebat kem Barisan Nasional/Umno pada Pilihan Raya 2004 di Dun Rantau ialah 'Harus undi calon BN Rantau (Dato' Mohammad Hassan) kerana beliau akan diangkat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan' dan pengalaman korporat beliau akan memacu ekonomi Negeri Sembilan.

"Beliau tidak akan rasuah kerana memang sudah kaya raya dan pentadbiran kerajaan negeri akan berimej korporat yang cekap!," memetik kempen Pilihan Raya Umno Dun Rantau di mana ketika itu Dato' Mohamad Hassab (kini Menteri Besar) menentang calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin.

Kini setelah lebih dua tahun tahun lebih terbukti semua hujah tersebut palsu dan hanya retorik, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin.

Malah kem Barisan Nasional (BN)/Umno Negeri Sembilan juga semakin kucar-kacir di bawah Mohamad yang sangat lemah, katanya kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Contoh paling hampir ialah ketika Mohamad mengumumkan kononnya Negeri Sembilan terima pelaburan RM1.56 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sekaligus melepasi sasaran RM1 bilion setahun yang ditetapkan kerajaan negeri, katanya.

Banyak kilang tutup

Malangnya dalam masa yang sama beberapa kilang tutup dan mengalihkan pelaburan ke luar negara, ujarnya.

Terbaru difahamkan, kilang pembuat tilam Dunlopillo di Senawang akan ditutup dan operasinya akan berpindah ke Vietnam, katanya.

Sementara beberapa agensi kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula mengalami krisis yang teruk dengan bebanan hutang, katanya.

PBT di Negeri Sembilan telah mengumpulkan tunggakan hutang sebanyak RM17 juta kepada Southern Waste Management (SWM) dan berikutan hutang tersebut mengakibatkan operasi SWM tertangguh dan mengancam kebajikan pekerja-pekerjanya, kata Badrul Hisham.

JBANS tenat

Selain itu, Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) juga sedang mengalami krisis kewangan yang teruk kerana beroperasi dengan tidak efisyen dan gagal memungut tunggakan dengan 'pengguna-pengguna' komersial, dakwanya.

"Tindakan hanya ditumpukan kepada pengguna domestik kecil seperti kita.Krisis kewangan di JBANS ialah kerana kelemahan pengurusan. Antara punca kerugian JBANS ialah kadar kehilangan air yang tinggi," katanya.

Ia berlaku bukan kerana kecurian air domestik tetapi kecurian air oleh pengguna kormesial, penggunaan bahan penyaluran air yang tidak berkualiti (kerana amalan korupsi) dan kegagalan menyediakan pasukan bertindak yang cekap, ujarnya.

Di Taman Bukit Chedang (Fasa dua) contohnya sebuah rumah telah banyak kali membuat aduan mengenai paip bocor sebelum meter berhampiran dengan rumahnya, katanya.

Melalui aduan suri rumah ini kepada Pusat Aduan Rakyat Negeri Sembilan menyatakan JBANS meminta pengadu tidak bimbang kerana kebocoran sebelum meter dan tuan rumah tidak terlibat membayar kos air yang bocor, katanya.

Sehingga kini kebocoran telah berlanjutan selama lebih tiga bulan dan setiap saat wang rakyat tercurah ke longkang bersama air yang bocor.

Mohammad Hassan bebankan rakyat

Telah terbukti Mohamad tidak punya idea untuk menyelesaikan masalah krisis kewangan ini kecuali dengan membebankan rakyat semula, katanya.

Majlis Perbandaran Nilai pada 2006 contohnya telah menaikkan 85.19 peratus cukai taksiran dan cukai tanah di Jempol pernah mencatatkan kenaikan lebih 400 peratus, katanya.

Mohamad bukan sahaja gagal memperbaiki keadaan Negeri Sembilan malah kelemahan beliau telah membuka ruang krisis, amalan korupsi dan pembaziran yang melampau, ujarnya.

Melihat sedikit sejarah kemunculan Mohamad secara bidan terjun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau sendiri begitu asing dalam dunia pentadbiran dan pengurusan kerajaan malah dalam Umno itu sendiri, kata Badrul Hisham.

Beliau muncul kerana kejayaan beliau menyakinkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (menantu Perdana Menteri) bahawa beliau mampu menjaga kepentingan politik dan ekonomi kem Abdullah, katanya. - mks.


Najib perlekehkan Khairy?

Murtadza Ibrahim
Tue | Nov 06, 07 | 5:59:49 am MYT

Selaku Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak bijak mengelakkan provokasi yang dilakukan oleh wartawan Berita Minggu (4 November 2007) baru-baru ini.

Wartawan akhbar ini bertalu-talu bertanyakan soalan adanya generasi muda Umno yang mahu cepat naik di dalam politik. Najib bijak dan mengelak dari provokasi soalan tersebut. Akhirnya dia hanya menyebut:-

"Sebab itu yang saya kata tadi, biar kita faham realiti politik, tahu bawa diri dan kita mesti ada kebijaksanaan. Walaupun kita muda, tidak semestinya kita berfikiran macam orang muda tetapi kita mesti ada kematangan cara berfikir dan bertindak. Mereka kena belajar dan terus belajar menimba pengamalan berpolitik."

Itulah Najib. Dia yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia tidak mudah terperangkap dengan soalan provokasi lebih-lebih lagi di akhbar yang mungkin dikuasai oleh menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin.

Sama ada wartawan ini mendapat arahan halus untuk mengenal hati budi Najib ataupun mereka sememangnya mempunyai 'keberanian' mempersoalkan dan 'memperlekeh' sikap sesetengah Pemuda Umno yang mahu cepat naik ke atas politik.

Jika di lihat kepada persoalan yang dikemukakan, akhbar ini mahu melihat skop yang lebih luas perbezaan politik antara golongan tua dan golongan muda di dalam Umno.

Mereka cuba melihat skop dari cawangan, bahagian dan kepimpinan Umno pusat. Tetapi dari sudut yang tersirat, ia lebih dilihat fokus kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini yang sanggup menggunakan 'perlindungan' bapa mentuanya untuk naik ke atas.

Khairy dilihat seolah-olah cuba 'menolak' Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein agar dia dapat memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam Pemilihan Pemuda sebaik sahaja selesainya pilihan raya umum kelak.

Secara tersirat juga Khairy mahu melihat sejauhmana pandangan Najib terhadap dirinya walaupun dia tahu Najib tidak pernah memperkatakan sesuatu terhadap tindak tanduknya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini terutama secara terbuka di khalayak umum seperti di dalam akhbar harian dan elektronik.

Khairy tahu, jika melihat situasi yang ada,Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan suatu ketika nanti untuk memberi 'laluan' kepada Najib sebagai Presiden dan Perdana Menteri dan bagaimana pandangan politik Najib jika dia menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno kelak.

Sama ada soalan provokasi ini dirancang secara halus atau tidak, Khairy tidak perlu risau dengan pandangan Najib terhadap dirinya. Tidak mungkin Abdullah tidak memberikan Khairy tempat sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun dalam pilihan raya umum akan datang.

Tidak mustahil, Abdullah akan memberikan jawatan 'Senator' jika Khairy tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen mahupun Adun.

Untuk menyelamatkan karier politik menantunya, Abdullah sendiri akan memberikan jawatan di dalam kabinet samada sebagai Menteri Penuh mahupun Timbalan Menteri.

Abdullah perlu bertindak demikian kerana itu berulangkali dia menyebut mahu kekal lagi sebagai Presiden Umno mahupun Perdana Menteri Malaysia. Amat mustahil Abdullah membiarkan Khairy terkapai-kapai di dalam politik sekadar Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada masa akan datang.

Khairy merasakan dirinya perlu cepat untuk naik ke atas semasa Abdullah berada di dalam kemuncaknya. Dia tidak mahu situasi merangkak, bertatih dan berjalan terlebih dahulu kerana ia boleh merosakan cita-cita politiknya untuk naik ke atas.

Dia perlu cepat dan pantas mengambil segala ruang yang ada untuk merubah sesuatu yang baru di dalam Umno. Khairy kini tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Dalam Perhimpunan Agung Umno 2007 ini, dia telah menyiapkan diri untuk meraih sebanyak mungkin publisiti agar orang memperkatakan mengenai dirinya. Inilah mungkin persiapan yang paling hebat kerana Perhimpunan Agung Umno 2007 adalah kali terakhir bagi orang-orang tertentu sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.

Khairy tidak perlu gusar pandangan Najib terhadap dirinya. Khairy juga tidak perlu takut jika Najib berpandangan negatif terhadap dirinya.

Khairy akan sentiasa selamat selagi Abdullah memegang jawatan Presiden Umno. Harapan Khairy untuk naik ke atas sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno sudah tidak menjadi halangan lagi.

Bagaimanapun Khairy perlu ingat, daripada 11 orang Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, hanya tiga orang yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda ini. Mereka adalah Najib, Hishamudin dan Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz. Bagaimanapun status Nazri sebagai Ketua adalah sebagai Pemangku apabila Tan Sri Rahim Thamby Chik diminta melepaskan jawatannya kerana skandal. - mks.