Tuesday, October 16, 2007

Jangan biarkan anak guam tertanya-tanya, tegur Suhakam

Harakahdaily
Tue | Oct 16, 07 | 9:46:14 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 Okt - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegur peguam yang membiarkan anak guam mereka tertanya-tanya mengenai perkembangan kes mereka.

Malah kebanyakan tahanan reman mendakwa peguam mereka, "disebabkan jadual yang sibuk", jarang sekali mengunjungi atau menghubungi mereka selama lebih setahun.

Susulannya, Suhakam banyak menerima aduan daripada tahanan terhadap peguam yang dilaporkan "sibuk" dengan tugas mereka, oleh itu tidak dapat memberitahu perkembangan terkini kepada anak guam masing-masing.

"Ini merupakan antara aduan utama yang kami terima semasa melakukan lawatan ke penjara di seluruh negara," kata Pesuruhjaya Suhakam Dato' N. Siva Subramaniam kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata adakalanya peguam akan memaklumkan kepada anak guam yang mereka akan datang melawat tetapi tidak muncul meskipun pegawai penjara telahpun mengaturkan kunjungan tu.

Peguam terbabit seharusnya mengambil berat terhadap nasib anak guam mereka dengan memaklumkan perkembangan terkini kepada tahanan terbabit atau anggota keluarga terdekat bagi memastikan mereka mengetahui kemajuan kes, katanya.

"Memandangkan mereka ingin mendapatkan keadilan, Suhakam sesungguhnya percaya tahanan reman ini berhak mendapatkan khidmat yang lebih baik daripada peguam mereka," katanya.

Siva Subramaniam, bagaimanapun, berkata masalah itu timbul disebabkan sesetengah tahanan memilih untuk mendapatkan khidmat peguam kanan yang berkemungkinan sibuk dengan kes lain di mahkamah.

Beliau menegaskan bahawa tertuduh bebas untuk mendapatkan khidmat peguam mengikut pilihan mereka, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi mereka perlu bersedia menghadapi sebarang kelewatan dan halangan.

"Suhakam atau mana-mana pihak tidak boleh menghalang seseorang tertuduh daripada memilih peguam atau orang yang terkenal.

"Bagaimanapun, kami hanya boleh merayu kepada mereka (peguam kanan) supaya mengekalkan tahap profesionalisma dengan tidak membiarkan anak guam mereka tertanya-tanya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Amalan Jenayah Badan Peguam Kuala Lumpur N. Sivananthan berkata masalah itu tidak akan berbangkit sekiranya semua peguam mematuhi sepenuhnya Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Undang-undang.

Sependapat dengan pandangan Siva Subramaniam, Sivananthan berkata beliau turut menerima aduan serupa daripada tahanan dan pegawai di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, yang mendakwa peguam gagal melawat atau memaklumkan perkembangan terkini kepada anak guam mereka.

"Ada di antara tahanan reman yang terpaksa merengkok di penjara sehingga dua tahun disebabkan peguam mereka sibuk dengan kes lain," katanya.

Beliau berkata tahanan yang terjejas itu boleh mengemukakan rungutan mereka kepada lembaga disiplin Majlis Peguam atau menemui peguam sukarela di Pusat Bantuan Guaman Badan Peguam Kuala Lumpur yang melawat tahanan di kedua-dua penjara itu seminggu sekali.

"Bagi Pusat Bantuan Guaman ini, tahanan terbabit boleh mengadu rungutan mereka secara lisan untuk disiasat sebelum dibawa ke lembaga disiplin untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sivananthan, seorang anggota tribunal siasatan lembaga disiplin, berkata peguam tidak seharusnya mengambil terlalu banyak kes daripada yang mereka dapat kendalikan memandangkan langkah itu akan menjejaskan anak guam mereka.

Lima kes sehari

Beliau mendakwa ada peguam kanan yang mengendalikan sehingga lima kes setiap hari, dengan tiga hingga empat kes ditetapkan untuk perbicaraan di lokasi yang berlainan. "Bayangkanlah, seorang yang berada di bawah tahanan reman selama satu atau dua tahun, akhirnya diberitahu yang kesnya sudahpun ditetapkan untuk perbicaraan.

"Bagaimanapun, apabila tiba di mahkamah, dia dimaklumkan oleh pegawai mahkamah bahawa kesnya ditangguhkan kerana peguamnya terpaksa menghadiri kes lain," katanya.

Bagaimanapun, seorang peguam kanan dari Ipoh, Naran Singh, pula berkata pihak berkuasa penjara hanya membenarkan peguam melawat anak guam mereka dari Isnin hingga Jumaat, dan pemintaan untuk melawat pada hujung minggu ditolak.

"Daripada lima hari itu, sehari ditetapkan untuk lawatan majistret bagi melanjutkan perintah tahanan terhadap tahanan reman," katanya.

Baki empat hari lagi, katanya, peguam sibuk dengan kes mahkamah dan perlu menguruskan operasi harian di firma guaman mereka.

"Oleh itu pegawai penjara perlu mengkaji kemungkinan membenarkan peguam melawat anak guam mereka pada hujung minggu," katanya.

Dato' Syed Ahmad Idid, bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan bekas Pengarah Pusat Arbitrasi Serantau Kuala Lumpur, berkata masalah itu juga boleh dikaitkan dengan tahanan itu sendiri yang tidak segera menjelaskan bayaran guaman kepada peguam mereka.

"Tidak banyak peguam yang hidup senang. Apabila terdapat kelewatan dalam menjelaskan bayaran, mereka terpaksa menerima kes lain bagi menjalankan firma guaman mereka," katanya.

Syed Ahmad turut menarik perhatian bahawa peguam seharusnya dipandu sepenuhnya oleh Akta Profesion Undang-undang 1976, dengan bersikap munasabah dalam menerima kes yang mereka boleh kendalikan, dan memberi jaminan bahawa anak guam mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

"Peguam harus ingat sekiranya mereka seorang yang 'benar-benar tabah hati', mereka akan cemerlang dalam kerjaya dan akan dihormati oleh rakan setugas," katanya.

"Mahdhir Khalid, bercakap tidak, bekerja pun tidak"

Zulkifli Yahaya
Tue | Oct 16, 07 | 12:08:44 pm MYT

Pertama kali nama Dato’ Mahdhir Khalid dicanang dalam arena politik Kedah ialah menjelangnya Pilihanraya Umum ke 11. Anak tempatan Pokok Sena itu diwar-warkan akan bertanding kerusi kawasan DUN Bukit Lada yang terletak dalam Parlimen Pokok Sena.

Mahdhir yang ketika itu merupakan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, bukan setakat bijak mengacah pasaran dengan cetusan khabar angin oleh juhalak-juhalaknya, malahan turun turun padang bagi menjelaskan kepada pelbagai pihak betapa serius hasratnya itu.

Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Dato’ Ahmad Lebai Sudin adalah orang yang paling tidak menyenangi situasi tersebut. Beliau yang terkenal dengan ‘pakar cantas’ pernah membenamkan karier politik Dato’ Wan Hanafiah Wan Md Saman dan menjatuhkan Dato’ Abdul Rahman Ibrahim (sekarang Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri) dari kepimpinan Umno Bahagian.

Nasib baik Mahdhir

Ahmad Lebai Sudin adalah orang yang bertanggungjawab menggagalkan usaha Dato’ Mahdhir untuk kembali berpolitik di kampung halamannya. Mujur juga Mahdhir tidak terpilih sebagai calon kawasan DUN Bukit Lada, kerana kerusi tersebut berjaya dirampas oleh calon PAS, Syeikh Ismail Khamis dari tangan Ahmad. Hukum adatnya, jika Mahdir bertanding Pilihanraya Umum 1999, karier politiknya terbantut di situ.

Percubaan Mahdhir untuk masuk gelanggang pada Pilihan Raya Umum 2004 tentunya tidak sukar kerana bossnya sudah menjadi orang nombor 1 UMNO. Pilih saja mana kerusi yang dia mahu.

Mahdir berjaya merampas kerusi DUN Pedu dari tangan PAS. Sementara cengkaman bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain masih utuh di Wisma Negeri, beliau hanya menjadi Exco Kerajaan Negeri.

Penyakit lumpuh yang tiba-tiba menyerang Syed Razak turut melumpuhkan karier politiknya sebagai Menteri Besar. Exco paling kanan ketika itu ialah Dato’ Bashah Md Hanipah, namun kelulusan akademik yang rendah tidak membantunya naik ke tangga lebih atas. Yang paling penting dalam pemilihan Menteri Besar pastinya tokoh itu ialah orang Perdana Menteri. Pilihan yang tepat tentulah Mahdir yang bertahun-tahun berada di bawah dagu Pak Lah.

Angan-angan pun tak ada

Jika setiap kali muncul Menteri Besar baru di Kedah sebelum ini, maka tercanang wawasan (atau lebih tepat disebut propaganda) dan slogan baru tapi Mahdhir lain dari mereka. Ia tidak berlaku di zaman Mahdhir.

Seluruh rakyat Kedah tahu slogan Kedah Maju 2010. Walaupun slogan itu tidak lebih dari angan-angan, sekurang-kurang Syed Razak ada juga wawasan. Beliau bijak buat perkiraan sehingga Alor Star pun boleh dapat taraf Bandaraya.

Tan Sri Sanusi Junid lagi hebat propagandanya. “Kita nak kira berapa sungai dan bukit di Kedah, kita nak bangunkan...” itu muqaddimah Sanusi waktu mula naik jadi Menteri Besar. Jalan air Langkasuka, tanam padi atas bumbung, Universiti of Tomorrow di Pulau Tuba, projek lembu korban di Paya Pahlawan, tubuh pusat mentelaah di semua masjid, adalah antara projek besar yang mati sewaktu beliau jadi Menteri Besar lagi. Dia ada juga idea walau hanya angan-angan Mat Jenin.

Tapi Mahdhir, bukan setakat wasasan tapi angan-angan pun tidak dapat diterjemahkan. Ramai yang beranggapan, barangkali Mahdhir tidak mahu banyak bercakap tapi mahu lebih bekerja. Macam Pak Lah.

Rupanya selepas dua tahun jadi Menteri Besar, bukan setakat tidak ‘bercakap’ tapi ‘bekerja’ pun tidak nampak.

Apa yang dia buat untuk bangunkan negeri? Apa yang dia buat untuk bangunkan modal insan? Dalam sejarah Kedah, mungkinkah inilah Menteri Besar yang paling lemah dan tiada wawasan?

Majlis Bandaraya Alor Star yang bermasalah, tidak efisien, lembab dan menunggu masa untuk muflis, tidak diberi perhatian yang sepatutnya oleh Menteri Besar. Pengurusan kerajaan negeri yang lemah tidak diberi perhatian. Hutang kerajaan negeri mencecah RM2 Billion langsung tidak menjadi kudis kepada seorang Menteri Besar.

Pembinaan modal insan bagi kepimpinan kerajaan BN di Kedah hanyalah dengan menghimpunkan golongan remaja di Star Walk atau mana-mana kompleks membeli-belah setiap bulan lalu dihidangkan dengan persembahan artis. Apa jenis insan yang boleh dibina dari budaya hedonisme yang sentiasa ditanam dijiwa remaja. Tidak pelik kalau setiap daerah di Kedah terpaksa mendepani cabaran gejala dadah yang melanda remaja dengan dahsyat.

Segala kritikan yang dilemparkan kepada kepimpinan kerajaan yang lembab mentadbir negeri tidak pernah dijawab. Dasar Pekak Badak Negara bawaan Pak Lah di Pusat, nampaknya dipraktikkan dengan baik di Kedah di bawah kepimpinan Mahdhir Khalid. Bapak Borek Anak Rintik.

Rakyat mula nampak, kerusi empuk Menteri Besar hanyalah untuk membina empayar kekayaan. Projek-projek Sukma 2006, misalnya, telah diagih-agihkan kepada kroni dan saudara mara sesuka hati sehingga sukar pegawai kerajaan hendak bekerja. Bukan rahsia lagi bahawa seorang saudara kandung Mahdhir adalah pelobi projek kerajaan negeri yang paling berpengaruh setakat ini sehingga kalangan Wisma Darulaman menggelarnya ‘Khairy Kedua.’.

Kroni Cina

Kalau Tan Sri Osman Aroff dulu terkenal dengan kroni Cina yang telah menganugerahkan begitu banyak projek besar kepada Cayman, apa kurangnya Mahdhir. Projek mengambil tanah bendang milik Melayu (untuk diserahkan secara terhormat kepada bukan Bumiputera) iaitu Stargate dan Star City berlaku di zaman Mahdhir.

Tujuh tauke balak yang dianugerahkan projek membalak adalah bukan Bumiputera. Bagus juga kalau Mahdhir dapat memberi respond terhadap isu balak ini supaya berpeluang nanti kita dedahkan berapa banyak wang tunai yang telah beliau terima kononnya untuk tabung pilihanraya BN Kedah.

Memang Mahdhir Khalid tidak layak lagi untuk terus jadi Menteri Besar. Tapi tukar nahkoda pun tidak selesai masalah kalau kapalnya dah reput sana sini.

Siap laporan November

KUALA LUMPUR: Panel Bebas Khas yang menyiasat kesahihan rakaman dan perbualan antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara, mempunyai tempoh sehingga awal November ini bagi menyiapkan laporan mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berkata siasatan masih dijalankan bagi mengetahui kesahihan rakaman klip video lapan minit itu yang didakwa dirakam di rumah seorang peguam kanan di Kelana Jaya pada 2002.

"Saya tidak boleh mengulas lebih lanjut mengenai siasatan itu berikutan penelitian masih dilakukan oleh pihak kami," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.


Panel Bebas Khas itu ditubuhkan pada 27 September lalu dan diberi tempoh 30 hari bekerja daripada tarikh berkenaan untuk menyiapkan siasatan berkenaan.

Turut menganggotai panel itu bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Hasil siasatan panel itu akan dikemukakan kepada Kabinet yang akan menentukan tindakan selanjutnya yang akan dilakukan.

Tiada kerusi untuk PPP

MELAKA 15 Okt. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tiada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Melaka akan ditawarkan kepada Parti Progresif Penduduk (PPP) pada pilihan raya umum ke-12 akan datang.

Menurut Mohd. Ali, peruntukan kerusi sedia ada sudah mencukupi dan pengagihannya terhad kepada parti komponen BN lain.

Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi itu hanya ditentukan oleh pucuk pimpinan BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

‘‘Kerusi sedia ada sudah diperuntukkan kepada parti-parti komponen lain, kerusi sudah penuh di Melaka.

‘‘Malah, parti komponen BN seperti MIC, MCA, UMNO dan Gerakan sendiri tidak akan memberi kerusi masing-masing kepada PPP,” kata Mohd. Ali kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PPP negeri di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden PPP yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas.

Mohd. Ali berkata demikian sebagai reaksi kepada tuntutan M. Kayveas untuk mendapatkan satu kerusi di Melaka pada pilihan raya umum akan datang dalam ucapannya pada majlis berkenaan.