Tuesday, October 30, 2007

Rumah di Rimba Jaya menyembah bumi, Samy Vellu diserang 'water cannon'

Nyza Ayob | Foto Wan Zahari Salleh
Tue | Oct 30, 07 | 5:41:27 pm MYT

SHAH ALAM, 30 Okt (Hrkh) - Tanpa belas, tanpa simpati, apa lagi untuk mengendahkan rayuan penduduk kampung, akhirnya penduduk Kampung Rimba Jaya, dekat sini menerima nasib yang sama seperti penduduk Kampung Berembang.

ImageMenurut laporan seorang penduduk yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi, kira-kira jam 6.20 pagi, anggota polis, Polis Simpanan Persekutuan (FRU), pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan lima buah jentolak memasuki kawasan perkampungan.

Sementara itu, sekatan jalan raya diadakan di beberapa tempat masuk. Manakala kira-kira jam 7.30 pagi operasi perobohan dilakukan. Sehingga jam 8.55 pagi, semua rumah yang dihuni oleh 274 keluarga telah dirobohkan.

Pada 3 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan rayuan penduduk agar tidak dilakukan perobohan ke atas rumah mereka ditolak.

Justeru pada 9 Oktober, Badan Bertindak Penduduk telah menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar Selangor agar memberi kelonggaran terhadap hukuman perobohan rumah-rumah mereka.

Bagaimanapun pada 19 Oktober, penduduk menerima surat yang dialamatkan kepada peguam mereka, Teng Chang Khim & Co dan mereka diarahkan berpindah pada atau sebelum 26 Oktober.

ImageSelain meminta ditangguhkan sehingga 30 Disember kerana anak-anak akan menghadapi peperiksaan, mereka juga merayu sebagai penyokong Barisan Nasional (BN), agar jasa mereka dikenang di atas sokongan tersebut dengan memberi kelonggaran perobohan.

Sementara itu, wartawan Harakahdaily ketika sampai di lokasi kejadian melaporkan pada jam 1 tengahari Ketua Penerangan PAS Shah Alam, Isma Mohd Ali, dan Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Kampung Rimba Jaya bersama Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli bermesyuarat dan mencapai kata sepakat agar Surau Al-Ijtimaiah di kampung berkenaan dirobohkan secara baik dengan segala kayu serta peralatannya akan digunakan untuk pembinaan surau baru Maahad Tahfiz A-Mukri, Puchong.

Dan sebaik sahaja masuk waktu zohor, mereka bersembahyang berjemaah yang merupakan solat jemaah terakhir di surau tersebut. Turut kelihatan menunaikan solat tiga orang penguatkuasa MBSA manakala kira-kira 300 orang penguatkuasa yang lain hanya berehat di sudut surau serta berlegar di sekitar kawasan kampung tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut bertanya khabar nasib yang menimpa penduduk.

ImageManakala pada jam 1.50 petang tadi, setelah perbincangan dengan pegawai penguatkuasa, mereka telah bersetuju surau dirobohkan secara 'manual'.

Dan dalam perkembangan lain,kaum India di kawasan perkampungan tersebut tetap berkeras mempertahankan agar kuil Sri Maha Mariammah tidak dirobohkan walaupun dirahkan oleh pihak polis.

Keadaan pula mula menjadi gawat dan kecoh apabila kaum India dari kawasan lain mula berkumpul di perkampungan tersebut untuk mempertahankan kuil mereka.

Ketika laporan ini disampaikan, mereka dikatakan sedang membuat benteng sampah dan manusia untuk mengelak daripada diserang daripada pihak FRU.

ImageNamun, pihak polis tetap menerima arahan agar menyerbu dan merobohkan kuil berkenaan.

Dalam pada itu, kanak-kanak dan golongan ibu turut sama berkumpul dan berdoa di kuil tersebut.

Dan pada jam 3.30 petang tadi, pihak FRU cuba mara dan pergerakan mereka telah dihalang apabila kaum India di kampung tersebut meletakkan sebuah lori di hadapan pintu masuk kuil mereka.

Pada jam 4 petang tadi, keadaan agak genting apabila FRU tetap menceroboh masuk, dan ditentang oleh penduduk yang cuba mempertahankan kuil mereka.

Dalam pada itu, Presiden MIC, Dato' Seri Samy Vellu yang diiringi pimpinan MIC yang lain, tiba di tempat tersebut.

Bagaimanapun, sewaktu sedang berunding dengan penduduk India dalam kuil tersebut, beliau turut dihambur dengan 'water cannon' sebelum sempat dilarikan oleh pengikut-pengikutnya.

Image Keadaan menjadi tegang apabila penduduk dan pihak MBPJ saling membaling batu. Dalam kejadian tersebut, beberapa orang penduduk mengalami kecederaan.

Sungguhpun berkeras agar kuil mereka tidak dirobohkan, kelihatan beberapa orang di kalangan mereka cuba 'menyelamatkan' barang-barang di dalam kuil tersebut.

Akhirnya, setelah keadaaan reda pihak berkuasa telah menunda operasi merobohkan kuil setelah Samy Vellu campurtangan dalam konflik perobohan kuil Hindu. - mks

Menjelang Perhimpunan Agung Umno: Khairy terus kuasai media Umno

Murtadza Ibrahim
Tue | Oct 30, 07 | 5:00:48 pm MYT

Menjelang Perhimpunan Agung Umno 2007 pada 5-9 November ini, semakin kuat menantu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin menguasai media mereka.

Khairy yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan pernah menulis dalam majalah 'The Economist' cukup tahu untuk menggunakan media bagi meraih populariti ekoran sambutan 'buruk' yang dialami dalam pertandingan persahabatan bolasepak antara My-Team 2 dengan pasukan Indonesia pada 21 Oktober 2007 yang lalu.

Semakin hampir Perhimpunan Agung Umno, semakin banyak publisiti yang dicari oleh beliau.

Semakin terasa bahang Perhimpunan Agung Umno ini, semakin banyak publisiti yang perlu dikeluarkan oleh media cetak dan elektronik kepunyaan parti Umno agar dia benar-benar popular dan hebat dari kacamata orang Melayu terutamanya ahli dan para pemimpin Umno.

Bayangkanlah hampir setiap hari ada sahaja cerita atau gambar menantu Abdullah terpampang di media di akhir-akhir ini.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, Dato' Kamaruzaman Zainal, Dato' Hishamudin Aun dan Dato' Khalid Muhd sememangnya 'wajib' menyediakan 'page' untuk Pengerusi Forum Halal-Hub sedunia ini.

Tidak ada istilah 'mungkin' atau 'bergantung kepada isu' kepada menantu Abdullah ini walaupun mereka boleh melakukan kepada Menteri Kabinet atau pemimpin Umno yang kanan. Wajib siarkan berita untuk bakal Perdana Menteri Malaysia ini.

Sesuatu yang tidak pernah berlaku di zaman Dato' A Kadir Jasin dari NST, Dato' Zainuddin Maidin dari Utusan Malaysia, Dato' Nazri Abdullah dari Berita Harian dan Haji Yunus Said dari TV3 yang hanya memberikan laporan kepada pemimpin kanan Umno ataupun Menteri Kabinet tetapi ini tidak berlaku kepada kepimpinan media pada masa sekarang.

Khairy yang hanya Naib Ketua Pemuda Umno tapi cukup berkuasa untuk diberikan publisiti disebabkan dia adalah menantu Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai pengamal media, apa yang lebih teruk sekali adalah di dalam satu hari ada dua berita mengenai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini yang mungkin juga tidak pernah berlaku pada masa lalu.

Misalnya akhbar Berita Harian pada 29 Oktober 2007 lalu telah menyiarkan dua berita mengenai Khairy iaitu di muka 2 dan di muka 6.

Muka 2 adalah berita Khairy sebagai kapisiti Naib Ketua Pergerakan Pemuda sementara muka 6 adalah kapisiti Khairy sebagai Pengerusi forum Halal-Hub sedunia.

Ini bukan disebabkan kenyataan menantu Abdullah ini 'hebat' ataupun sebagai suatu skop yang sememangnya dicari oleh pengamal media massa tetapi kenyataan lumrah yang biasa disebut oleh pemimpin bawahan .

Mungkin juga Pengerusi Belia 4B atau MAYC Kampung Kundor Melaka atau Cheruk Tok Kun Pulau Pinang mempunyai ide dan kenyataan yang lebih baik dan bernas tetapi mereka bukan menantu kepada Perdana Menteri Malaysia.

Seperti dalam rencana sebelum ini, ada AJK Umno bahagian pernah yang menyebut, bodohlah kita tidak mengambil kesempatan dengan situasi yang ada tetapi lihat dan renunglah dengan pepatah Melayu seperti ukur baju di badan sendiri, seperti padi makin berisi semakin tunduk atau seperti penyu bertelur berbanding ayam yang bertelur seekor heboh satu kampung.

Mungkin di dalam situasi Umno sekarang pepatah lama ini hanya sesuai dengan Radio Klasik F.M ataupun Menteri Kebudayaan dan Warisan atau orang-orang Melayu veteran di dalam Umno.

Khairy perlukan publisiti yang cukup banyak dan lebih meluas adalah kerana dia sememangnya mahupun populariti selepas 'mendiamkan diri' dalam Perhimpunan Agung 2006 yang lalu.

Pada 2004, dia teruk diserang oleh para perwakilan Pemuda Umno sehingga di 'boo' dan pada tahun 2005, dia dikatakan hebat sehingga mendapat pujian dari bapa mentuanya sendiri dan mendapat berita utama di muka hadapan Berita Harian dan lainnya.

Barangkali pada tahun ini Khairy mahu 'come back' dan mungkin juga Abdullah mahukan menantunya ini menunjukkan kehebatan sebagai bakal pemimpin nombor satu negara masa depan.

Barangkali pemimpin muda Umno sekarang sekadar 'memasang' angan-angan untuk menjadi pemimpin nombor satu negara ataupun cukuplah dengan keadaan yang sedia ada sekadar menjadi Adun atau Ahli Parlimen.

Kasihan juga kepada parti dan pemimpin Umno lainnya kerana tidak berupaya untuk mendapatkan publsiti dari media kepunyaan mereka sendiri. Semasa Perhimpunan Agung Umno berlangsung, mereka diletakkan di dalam berita tinjuan yang mungkin memuji ucapan Khiary dan Abdullah Ahmad Badawi sebaris dengan berita bekas pemimpin Umno.

Itupun mereka bersyukur amat sangat jika terpampang gambar atau berita sedikit daripada tiada langsung terutama sebelum menjelang Pilihanraya umum akan datang.

Mungkin juga boleh dikatakan media cetak dan elektronik ini bukan untuk Umno yang terkenal dengan slogan dulu, kini dan selamanya tetapi untuk Khairy Jamaluddin sahaja dengan dibuang perkataan dulu dan dikekalkan kini dan selama-lamanya.

Itulah tahap kebebasan media kepunyaan kerajaan!

Atas dakwaan mengingkari peraturan, PAS Pahang kemuka bantahan kepada SPR

Basiron Abdul Wahab
Tue | Oct 30, 07 | 4:44:37 pm MYT

KUANTAN, 30 Okt (Hrkh) - PAS Pahang menghantar memorendum bantahan terhadap Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pelanggaran peruntukan perkara 17 (7) peraturan pilihan raya 2002 kerana mengekalkan nama individu yang gagal menghadiri Siasatan Awam SPR bulan lalu.

Dalam rang daftar pemilih suku tahun kedua lalu, PAS membantah 227 nama membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Peramu Jaya (168) Chenur (49) dan Bera (3) daripada jumlah itu SPR menolak bantahan 27 pemilih walaupun individu berkenaan tidak menghadiri siasatan awam yang dijalankan SPR dari 20 hingga 27 September 2007 lalu.

Di dalam memorandum berkenaan, PAS menyatakan rasa ketidakpuasan hati terhadap tindakan SPR menolak bantahan dengan kos tanpa memberi bukti prime facie kenapa bantahan itu di tolak.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Pesuruhjaya PAS Pahang menyampaikan sendiri memorandum bantahan tersebut kepada Pengarah SPR Negeri, Haji Ismail Mohd Yusuf di pejabatnya.

Sebelum ini memorandum sama turut dihantar kepada Pengerusi SPR, Dato' Abdul Rahsid Abdul Rahman di Putrajaya.

Dalam perbincangan singkat itu SPR memberi jawapan spontan terhadap beberapa persoalan yang dibangkitkan di dalam memorandum berkenaan, antaranya isu kenapa SPR menolak bantahan PAS dan mengekalkan 27 individu di dalam daftar pemilih sekalipun individu berkenaan tidak menghadiri siasatan awam.

Katanya, sebelum SPR membuat keputusan, pihak SPR telah membuat siasatan ke lokasi alamat tinggal individu yang dibantah, hasilnya pihaknya berpuas hati individu terbabit mempunyai kes prima facie yang kuat untuk dikekalkan namanya di dalam daftar pemilih.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pahang (JPN) Zulkifli Atan ketika diminta mengulas penjelasan SPR berkata, pihak JPN menerima penjelasan lisan SPR tetapi tetap akan meneruskan proses rayuan terhadap 25 individu yang dikekalkan namanya oleh SPR.

Katanya jika kalah didalam rayuan, pihaknya akan akur dan berpuas hati serta menganggapnya sebagai suatu proses pembelajaran yang berguna kepada jentera parti.

Menurutnya dalam rang daftar pemilih suku tahun ke-3 yang baru dibentangkan SPR beberapa hari lalu pihaknya telah mengesan 128 nama yang meragukan telah didaftarkan sebagai pemilih di Pekan (79), Bera (24) dan Rompin (25) dan pihaknya akan mengemukakan bantahan kepada SPR dalam masa terdekat.

Selain itu beberapa individu di Temerloh, Bera dan Jengka akan mengemukakan tuntutan kerana nama mereka tiada di dalam rang daftar pemlih yang dipamer.

Difahamkan kebanyakan nama yang dibantah khususnya di Pekan berasal dari negeri di utara semenanjung berdasarkan nombor kad pengenalanya. Kebanjiran pengundi baru berkenaan menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk.

Sementara itu seorang peguam, Abdullah Abdul Karim mempertikaian ketelusan SPR dalam kes penolakan bantahan yang dibuat.

Katanya, SPR perlu memberi jawapan/alasan kenapa penolakan untuk memuaskan pihak pembantah. - mns

'Pita Lingam' : Perdebatan di Parlimen cetus ketegangan

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Oct 30, 07 | 4:05:43 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan perdebatan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato' Seri Mohd Nazri Aziz dengan beberapa anggota Parlimen DAP mengenai isu skandal kehakiman yang didedah dalam 'Pita Lingam'.

Seawal Nazri mula berbahas menjawab persoalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Dato' Zahid Ibrahim (BN-Kota Bharu) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai isu kehakiman di negara ini, ahli Parlimen Bukit Gelugor itu bingkas bangun mencelah untuk menempelak Nazri.

Perdebatan antara Karpal dan Nazri berlegar sekitar isu kegagalan panel bebas mengendali siasatan ke atas kandungan Pita Lingam selain keanggotaan Tan Sri Haidar Mohd Noor dalam panel tersebut yang disangsikan.

Nazri mempertahankan keputusan kerajaan menubuhkan panel bebas dengan alasan bahawa panel itu bertindak tanpa pengaruh dan bias kepada mana-mana pihak.

Kata Nazri, panel itu ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan pita rakaman yang dikatakan perbualan antara seorang peguam kanan, VK Lingam dengan seorang Hakim Kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

"Kerajaan berpandangan kena kenal pasti kesahihan jika tidak ia satu surat layang, kita tidak akan siasat jika pita itu belum disahihkan lagi,"kata Nazri.

Untuk maklumat panel bebas yang dibentuk mampu menjalankan tugas dengan bebas dan berkesan, panel itu mendapat kerjasama dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), polis dan Peguam Negara, kata Nazri.

Bagaimanapun kenyataan Nazri itu disanggah oleh Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Kit Siang yang menyatakan bahawa tiga orang yang menganggotai panel bebas itu tidak berkebolehan, tiada kuasa memanggil saksi dan melindungi saksi.

Baginya, panel yang ditubuh itu tiada kebolehan untuk menentukan kandungan pita itu khasnya apa yang berlaku dalam pita itu.

Perkara ini bukan sahaja soal kesahihan itu tetapi dakwaan dalam 'Pita Lingam', latar belakang menunjukkan benar peguam berkenaan VK Lingam dan seorang lagi yang disebut ialah Fairuz, kata Kit Siang.

Bagi Kit Siang, tiga orang panel bebas ini tidak berkuasa dan kehadiran Tan Sri Haidar Mohd Noor mengepalai panel itu boleh dipertikaikan kerana adanya kepentingan politik.

Perdebatan menjadi hangat apabila Kit Siang dan Karpal menyatakan bahawa berikutan pendedahan skandal kehakiman dalam Pita Lingam itu, ia menunjukkan bahawa betapa teruknya sistem kehakiman di negara ini.

Bagi dua ahli parlimen DAP itu, badan kehakiman di negara ini telah dipengaruhi oleh kuasa Eksekutif (Menteri) semata-mata untuk menutup pelbagai skandal lain yang membabitkan pemimpin.

Malangnya hingga kini keresahan rakyat terhadap ketidaktelusan badan kehakiman tidak mendapat perhatian oleh kerajaan yang masih meneruskan amalan mencampuri badan kehakiman.

Dalam perdebatan itu itu Nazri dikritik kerana menjadi alat kepada Ahmad Fairuz untuk menjawab bagi pihak Ketua Hakim Negara itu dalam menafikan dakwaan pembabitan dengan skandal kehakiman 'Pita Lingam'.

Perdebatan berlanjutan hingga tuduh menubuh berlaku antara Nazri, Kit Siang dan Karpal hingga beberapa ahli Parlimen lain turut sahit menyahut.

Perdebatan berlanjutan hingga jam 1.00 petang menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Yusof Yaacob menghentikan sidang kerana waktu sidang sebelah pagi tamat.

Presiden arah semua ahli PAS sertai Himpunan 100,000 Rakyat

Saidah Hairan
Tue | Oct 30, 07 | 2:39:30 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli PAS seluruh negara hadir pada program Himpunan 100,000 Rakyat di Dataran Merdeka pada 10 November nanti.

Arahan itu dinyatakan dalam kenyataan media yang ditandatangani bersama oleh Ketua Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohamad Daud Iraqi; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Persetujuan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 28 Oktober di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar.

Mesyuarat itu bersetuju menganggap program Himpunan 100,000 rakyat sebagai satu program parti yang dianjurkan bersama dengan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih).

Tujuan utama program itu untuk secara aman menyatakan hasrat PAS agar pilihan raya dikendalikan secara bersih dan adil.

Himpunan 100,000 rakyat akan diadakan pada hari Sabtu jam 2.30 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Semua peserta dikehendaki memakai pakaian berwarna kuning sebagai tanda kebersamaan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, kata penganjur.

Peserta juga dicadangkan datang lebih awal daripada masa yang ditetapkan untuk mengelakkan daripada tergendala, katanya. - lanh

Koleksi Gambar: Majlis Rumah Terbuka Pas - Sempena Hari Raya Aidilfitri 1428

Wan Zahari Wan Salleh
Tue | Oct 30, 07 | 2:32:06 pm MYT

Kehadiran ribuan rakyat pada Majlis Rumah Terbuka Pas sempena Hari Raya Aidilfitri menjadikan majlis tersebut begitu meriah disamping pelbagai juadah menjadi santapan pengunjung pada hari tersebut.

Berikut dipaparkan sebahagian wajah-wajah yang menghadiri Majlis tersebut. Klik pada gambar-gambar berikut untuk melihat dengan lebih jelas.

Akhlak dan amanah, faktor PAS terus kekal di Kelantan

Intan Abdullah
Tue | Oct 30, 07 | 1:58:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - PAS telah berjaya bertapak selama 17 tahun di Kelantan dengan mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi membangunkan negeri tersebut dengan berpaksikan Islam.

Hal ini diakui oleh Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yussof ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam.

Secara keseluruhan, menurutnya faktor yang menyebabkan parti tersebut terus diterima adalah disebabkan oleh mood rakyat Kelantan berada pada tahap yang stabil yakni masih menaruh keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan PAS setelah mereka melihat korupsi kerajaan BN yang semakin menular sehingga ke peringkat tertinggi kerajaan pusat.

"Ini termasuklah pembabitan Ketua Polis Negara, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Ketua Menteri Sabah dan Menteri-menteri dalam kes berprofil tinggi yang tidak mendapat liputan secara telus oleh pihak media.

Tambahnya, rakyat Kelantan telah melihat contoh kepimpinan kerajaan pusat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan mempunyai imej bersih dan memperkenalkan ideologi Islam Hadhari. Apa yang nyata, menteri-menteri dan pegawai bawahannya terlibat dengan pelbagai masalah salah laku, rasuah, moral, penyelewengan wang dan pelbagai lagi.

"Keadaan tersebut berbeza dengan kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tiada rekod korupsi oleh BPR, termasuk rekod buruk akhlak. Melalui pengamatan rakyat Kelantan masih yakin dengan kepimpinan PAS, katanya.

Jelas Wan Nik, hal ini disokong oleh kajian yang menunjukkan indeks sosial di Kelantan lebih baik daripada negeri-negeri yang lain yang dikatakan lebih maju. Bahkan menurut Ketua Polis Kelantan, ia mempunyai kadar jenayah dan masalah gejala sosial terendah, begitu juga dengan kes-kes keselamatan awam.

Ini ditambah dengan pembudayaan ilmu secara agama dengan penetapan zon-zon ilmu yang bergerak secara berterusan sepanjang 17 tahun PAS memerintah di Kelantan.

"Masyarakat di Kelantan diasuh jiwa mereka dengan pendidikan agama. Ia adalah sebahagian daripada agenda merealisasikan 'Membangun Bersama Islam' bagi mewujudkan negeri yang aman, sejahtera dan tidak berkecamuk jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain," katanya.

Selain itu, Wan Nik berpendapat keyakinan kepada Umno-BN belum terbina dengan baik di kalangan rakyat. Bahkan di kalangan pimpinan Umno-BN Kelantan sendiri, secara sedar mengakui tidak dapat menerima kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Annuar Musa.

Ia disebabkan tiada individu di kalangan pemimpin Umno-BN Kelantan yang lebih baik daripada Annuar Musa. Namun ia masih tidak dapat menandingi kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz walaupun muncul beberapa pimpinan baru Umno-BN di kalangan mereka sekalipun, ia tidak dapat diterima rakyat disebabkan mereka bukan berasal daripada latar belakang agama.

"Keadaan ini adalah jauh dan tidak sama dengan barisan exco kerajaan negeri Kelantan yang rata-rata 50 peratus daripada mereka berpendidikan agama. Berbeda keadaannya dengan Umno-BN yang tidak mengutamakan mereka yang berkelulusan agama bagi sesuatu peranan yang penting dalam sesuatu projek pembangunan, pimpinan PAS tetap mengambil kira semua faktor tersebut. - mns

Kalau Shahidan bukan Menteri Besar Perlis

Zolkharnain Abidin
Tue | Oct 30, 07 | 11:47:45 am MYT

Membaca wawancara dengan Menteri Besar Perlis di dalam Mingguan Malaysia 28 Oktober 2007 terasa seperti membaca wawancara dengan seorang 'ahli agama' tersohor, ditambah dengan penampilan fotonya yang sedikit berjanggut dan bermisai nipis yang mungkin bertujuan supaya kelihatan lebih serasi dengan penampilan seorang 'ahli agama'.

Penampilannya sebelum ini tidak begitu. Dia bermisai tebal dan tidak berjanggut dan kelihatan agak cengih. Ini adalah gaya baru Shahidan supaya dia kelihatan lebih Islamik.

Shahidan juga acap kali tampil dengan jubah terutamanya ketika berdamping dengan mufti mudanya. Penampilan berjubah ketika dia menghadapi Dato’ Dr Harun Din dalam kempen pilihanraya 2004 yang lalu adalah perkara biasa.

Jubahnya mengalahkan jubah bekas calon PAS untuk Parlimen Arau itu. Namun, sehingga kini saya belum pernah nampak Shahidan menggayakan serban, menyampaikan kuliah pagi Jumaat di mana-mana masjid di Perlis atau mengimamkan solat sunat Tarawikh seperti bosnya PM Abdullah Ahmad Badawi.

Kalau dia melakukan begitu, pemimpin Umno Perlis yang lain akan terus menggigit jari untuk memanaskan kerusi MB Perlis kerana mereka semua dilihat tidak sinonim dengan penampilan 'orang agama' seperti Shahidan.

Shahidan lulus Bahasa Arab PMR

Wawancara ini menarik perhatian saya kerana Shahidan adalah pemimpin Image Umno yang diketahui umum bukan berlatar belakang pendidikan agama formal.

Saya tidak menafikan bahawa dia membaca buku-buku agama dan mendapat penjelasan mengenai perkara-perakara agama daripada mufti mudanya itu. Paling penting, dia adalah Ahli Majlis Tertinggi parti sekular Umno, Ketua Perhubungan Umno juga Pengerusi Barisan Nasional Perlis.

Saya sedikit pun tidak tertarik untuk memberi respon sekiranya individu yang diwawancarai itu adalah Dato' Dr Abdullah Mat Zin atau Dato' Dr Masyitah Ibrahim.

Namun, Shahidan yang lulus Bahasa Arab PMR, dilihat lebih terkehadapan bercakap topik agama berbanding kedua-dua pemimpin Umno tadi.

Saya percaya Shahidan akan lebih lantang bercakap mengenai agama kalau dia memegang potfolio Biro Agama Umno dan saya yakin usahanya untuk meng’Ahlus Sunnah’kan pemimpin Umno akan menjadi lebih berkesan.

Malah dia lebih lantang bersuara isu-isu agama berbanding PM Abdullah sendiri walau pun PM berdarah ulama.

Atas nama kembali kepada ajaran Rasulullah saw dan para sahabat, Shahidan pun dengan beraninya menghunus keris dengan satu misi besar, 'memerangi bidaah'. Keberanian Shahidan ini tentulah berasas kerana dia kini diapit oleh seorang mufti muda yang menyokong kuat Islam Hadhari.

Mufti muda ini kelihatan lebih gemar membangkitkan persoalan-persoalan kecil yang menjadi perselisihan para ulama mujtahidin yang pada pandangannya bercanggah dengan amalan Rasulullah saw.

Amalan membaca Yasin malam Jumaat, ber'usolli', tahlil arwah, berdoa beramai-ramai selepas solat diserang bertubi-tubi, seolah-olah itulah amalan yang meruntuhkan aqidah umat Islam hari ini.

Mereka yang mengamalkan itu semua pernah dilabel sebagai pendokong bidaah yang mewajarkan mereka di azab di akhirat.

Keberanian Shahidan sampai ketahap memperlekehkan para mufti negeri lain. Dia sanggup membawa mereka semua melawat Iran untuk membuktikan bahawa amalan agama di negeri mufti-mufti itu adalah sama dengan Syiah di sana.

Mereka juga digesa supaya tidak mengguna pakai mana-mana hadis tanpa merujuk mengenai statusnya. Wah, hebat. Mafhumnya, amalan para pembesar, Mufti, Kadhi dan rakyat negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Melaka bahkan Singapura juga seandainya republik itu masih di dalam Malaysia, bagi Shahidan adalah sama dengan Syiah di Iran.

Beliau juga mahu memastikan selepas ini semua AJK Bahagian Umno di Perlis juga adalah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Adakah mereka sekarang ini ada yang bukan begitu?

Semua tahu Umno parti sekular

Rakyat Perlis terutamanya pemimpin dan ahli Umno kenal benar dengan Shahidan. Mereka bukan sekadar mengenalinya sebagai orang nombor satu parti sekular Umno Perlis, malah lebih daripada itu. Mereka tahu latar belakangnya bahkan mereka saling berbisik sesama sendiri mengenai wataknya yang sebenar di belakangnya.

Mungkin ada mencium tangannya ketika menyalaminya, tetapi di belakangnya mereka siap mengasap keris untuk menjatuhkannya. Kalau Shahidan pakai serban sekali pun, mereka boleh membaca apa isi kepala Shahidan yang dibalut serban itu.

Kalau dia pakai jubah pun, mereka tahu irama degup jantung di dalam tubuhnya yang dibalut jubah itu.

Semua orang tahu juga, Umno pimpinan PM Abdullah Ahmad Badawi adalah parti sekular. Pemimpin parti sekular itu bukan sekadar menggadai maruah bangsa dan negara, tetapi maruah agama.

Pemimpin nombor satu parti sekular Umnolah yang memperkenalkan Islam Hadhari dan memaksa rakyat menerimanya, sehingga diterima oleh Samy Vellu dan Karam Singh Walia walau pun ditolak oleh Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Tun Ghafar Baba.

Shahidan pula bermatian-matian untuk kembali kepada al-Quran dan hadith, jalan nabi dan jalan para sahabat.

Adakah Shahidan lupa, Islam Hadhari yang didokong bersama mufti mudanya itu, adakah bersumber daripada al-Quran dan sunnah? Adakah ia jalan para nabi dan sahabat? Bukankah Islam Hadhari adalah bidaah?

Umat Islam Malaysia hari ini berhadapan dengan pelbagai ancaman. Rasuah menjadi musuh nombor satu negara di samping penyalahgunaan dadah.

Gerakan memurtadkan atau merenggangkan umat daripada pegangan agama bergerak dengan tersusun. Jenayah semakin membimbangkan. Pelajar sekolah yang tidak tahu solat bahkan mengucap adalah kritikal. Sensitiviti umat terhadap agama makin menipis.

Bara konflik antara agama menanti hari untuk menyala. Sentimen perkauman semakin meruncing. Sistem pendidikan makin celaru. Alam sekitar makin punah. Demokrasi dicabul. Para penguasa pula bingkas memperkemas langkah memenuhkan tembolok masing-masing.

Dalam situasi genting sebegini, Shahidan mengambil kesempatan melonjakkan populariti dirinya menjadi penentang apa yang dianggapnya sebagai bidaah, dengan alasan membawa masyarakat kembali kepada al-Quran dan sunnah. Yang rosak adalah enjin, tetapi yang dibaiki adalah tayar.

Besar sangatkah bahaya ber'usolli' berbanding bahaya rasuah? Keji benarkah tahlil arwah berbanding menolak hukum Allah?

Arak dan judi dijual secara terbuka di Kangar

Ramai bersuara mengenai salah guna kuasa pemimpin dalam pengurusan wang Baitul Mal Perlis, adakah berdoa beramai-ramai selepas solat lebih buruk daripada itu?

Shahidan seperti lupa, dalam keghairahannya itu, dia sepatutnya membetulkan dulu pemimpin nombor satu parti sekular Umno dengan memastikan PM Abdullah Badawi menyuruh isterinya menutup aurat.

Bukankah itu ajaran al-Quran? Shahidan juga perlu memastikan para perenang negara memakai pakaian mengikut landasan al-Quran kerana dia adalah Presiden Persatuan Renang Malaysia. Shahidan juga Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, atlit naungan persatuan itu macam mana?

Agaknya semua sudah bertudung seperti Siti Ruqaiya yang menjadi ratu pecut Sukan Aisa di Doha 2006 yang lalu? Apakah Shahidan tidak nampak, di Kangar masih bersepah dengan kedai empat nombor ekor dan judi toto? Adakah itu menepati al-Quran?

Arak dijual secara terbuka di berbagai premis perniagaan di bandar Kangar, adakah Shahidan perasan? Kalau Shahidan benar-benar serius untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah, mengapa tidak dibentangkan dan diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri Perlis undang-undang hudud dan qisas, selepas tiga penggal dia berkuasa? Bukankah kedua-duanya adalah undang-undang al-Quran dan menepati sunnah? Poooraahhhh!

Perkara-perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama mujtahidin semenjak ratusan tahun itu sengaja digembar-gemburkan di tengah-tengah masyarakat untuk melekakan dan mengalih perhatian mereka daripada realiti kehidupan.

Masyarakat sedang sakit tetapi mereka disuntik dengan ubat pelali oleh pemimpin parti sekular Umno. Mereka sakit dengan kenaikan harga barangan yang melampau, kos hidup yang semakin mencekik dan hak mereka yang dirampas.

Dalam masa yang sama pemimpin parti sekular Umno hidup maha mewah. Tol, tarif eletrik dan minyak sudah menyeringai siungnya untuk membaham rakyat Malaysia lagi pada tahun hadapan. Apakah Shahidan kisah dengan semua itu?

Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006 yang mendedahkan mengenai penduduk Kampong Air Timbul, Kubang Tiga yang masih menggunakan air perigi dan hanya bergantung kepada paip tepi jalan untuk air minuman selepas 50 tahun merdeka dan selepas tiga penggal Shahidan jadi Menteri Besar, hanya dipandang dengan sebelah mata sahaja.

Bagi Shahidan mudah saja, panggil mereka semua ke rumahnya dan hulurkan RM100, selesai. Apa nak jadi dengan kehidupan mereka selepas itu, bukan lagi keutamaan. Yang penting selepas solat jangan baca doa beramai-ramai dan kalau ada kematian jangan adakan tahlil arwah.

Pemimpin Umno adalah pemimpin politik serba boleh, kerana parti sekular itu memang berkiblatkan faham Machiavelli.

Di mana ada peluang di situ mereka mencelah. Mereka selicin daripada belut, tetapi seganas singa.

Shahidan adalah jenis manusia sebegitu. Saya percaya, Shahidan tidak akan menjadikan apa yang dilakukannya sekarang sebagai keutamaan kalau dia menjadi Menteri Besar Selangor atau Melaka.

Dia akan menjadi orang yang paling kuat mempertahankan sekolah agama rakyat kalau dia menjadi MB Kelantan. Persoalan ‘khilafiah’ ini tentu tidak dibangkitkan kalau dia jadi MB Kedah.

Tapi, dia adalah MB Perlis, dan kebetulan semenjak sekian lama Perlis dilihat dominan dengan persoalan itu. Shahidan perlu menjadi juara untuk memastikan survival politiknya terus bernafas.

Kalau Shahidan boleh melambung Tun Dr Mahathir setinggi gunung ketika orang itu berkuasa, dia juga boleh menjulang PM Abdullah Badawi sebegitu hari ini. Kalau Shahidan boleh menyepak meja atau menendang kerusi untuk memastikan dirinya terus terpilih sebagai Menteri Besar Perlis, adakah dia merasa bersalah untuk melakukan apa yang sedang dilakukannya pada hari ini?

Saya juga percaya Khir Toyo akan jadi seperti Shahidan kalau dia jadi Menteri Besar Perlis. Begitu juga Mohamad Hasan dari Negeri Sembilan.

Mereka semua sama seperti PM Abdullah Ahmad Badawi, pada awalnya berikrar memerangi rasuah habis-habisan tapi menikus apabila berhadapan dengan Musa Aman, Abdul Taib Mahmud dan Mohd Johari Baharom.

Pemimpin Umno seperti sesumpah, berkulit hijau bila berada dipohon berdaun hijau dan berkulit merah apabila berada dirimbunan daun merah. Jelas, kumpulan sesumpah inilah yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka.

Mereka bukan berpolitik kerana Islam dan demi Islam, tetapi berpolitik kerana kocek dan demi perut. - mks.