Thu | Oct 04, 07 | 1:48:10 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak kerajaan memberi kuasa lebih luas kepada panel bebas yang mengendalikan siasatan pita perbualan antara peguam yang disyaki sebagai, VK Lingam dengan seorang hakim kanan, yang didakwa sebagai Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Menurut Dr Wan Azizah, kenyataan Tan Sri Haidar Mohd Noor bahawa panel itu tidak mempunyai kuasa untuk melindungi atau memanggil saksi amatlah mengecewakan.
"Itu satu yang mengecewakan sebab kita ada satu pendedahan yang begitu penting berhubung dasar kehakiman negara. Seharusnya sesiapa yang nak beri keterangan dan penjelasan (saksi) kepada panel itu mestilah diberi perlindungan," katanya.
Dr Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang dan sidang media kemasukan Din Merican sebagai ahli KeADILan di Pejabat KeADILan, Brickfields dekat sini hari ini.
Turut serta ialah, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; dan Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.
Sambung Wan Azizah lagi, baginya mereka (saksi) yang ingin secara sukarela menjadi saksi semestinya memiliki rasa kecintaan dan mementingkan maruah negara.
Justeru, satu jaminan keselamatan perlu diberi kepada saksi supaya mereka ini tidak terdedah kepada sebarang ancaman, selain itu ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga keselamatan pemberi maklumat, katanya.
Jika pihak panel dan kerajaan masih berkeras untuk tidak memberi perlindungan kepada saksi dan memanggil saksi, ianya satu perkara yang mengecewakan tatkala sistem kehakiman negara sangat diragui, katanya.
Lebih mengecewakan lagi katanya, panel ini hanya ditubuhkan semata-mata untuk mengesahkan kesahihan pita rakaman itu sahaja sedangkan inti perbualan yang ada dalam pita itu lebih penting, katanya.
"Apa yang diperkatakan itu bukan perkara yang baru.Ini dah lama sejak dari kes Tun Salleh Abas didedah oleh mendiang MGG Pillay telah tunjukkan bahawa kehakiman ada unsur-unsur rasuah,"katanya.
Dalam hal ini sepatutnya sebagai satu panel bebas, mereka perlu diberi kuasa yang lebih untuk bertindak memanggil saksi, melindungi saksi dan menyiasat pihak-pihak tertentu yang terbabit dalam pita tersebut.
Tindakan ini perlu diusahakan dengan serius memandangkan ia seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha membersihkan nama negara, katanya.
Justeru, kata Wan Azizah, KeADILan tetap berpendirian jika Panel ini tiada kuasa apa-apa untuk bertindak, seharusnya Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kandungan pita itu.
Wan Azizah berkata, sebagai rakyat beliau menyeru institusi beraja agar mendengar rintihan rakyat yang sebanrnya mahukan kes ini dipandang serius oleh semua pihak.
"Patik merayu merafak sembah memohon Yang di-Pertuan Agong segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini. Besarlah harapan patik dan rakyat sekalian untuk melihat sistem kehakiman di negara ini kembali bersih," ujar Dr Wan Azizah.
Terdahulu, Sivarasa dalam sidang medianya mempertikai keahlian Tan Sri Haidar dalam panel itu yang mana dakwanya, Haidar memiliki rekod yang boleh dipertikaikan.
Seharusnya panel yang tiada kuasa ini dibubarkan kerana ia hanya akan meneruskan amalan membazirkan wang rakyat, katanya.
Panel ini perlu diganti dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang lebih telus dan mempunyai kuasa yang lebih luas, ujarnya. - mks.