Saturday, June 27, 2009

POLITIK : SABTU 27 JUN 2009

Usah keluar kenyataan mengelirukan - Razaleigh
MANEKURAI 26 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidakwajar mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat apabilamenyamakan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Sultan Perak ikut perlembagaan
PUTRAJAYA26 Jun – Sultan Azlan Shah bertindak mengikut perlembagaan ketikamenolak permohonan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untukmembubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana ia baru bersidangtidak sampai dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahunlalu.

Wataniah bukan bermotif politik
KUALALUMPUR 26 Jun - Kementerian Pertahanan membidas media siber yangmenyebarkan fitnah mendakwa penubuhan Askar Wataniah di kawasanParlimen di seluruh negara bertujuan politik terutama mewujudkan undipos.






Nik Aziz makin keterlaluan – Mustapa
KUALA KRAI 26 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Matsemakin keterlaluan dalam berpolitik mungkin kerana terlalu lamamemimpin negeri ini sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yangmengguris perasaan umat Islam.

Itu hanya kiasan - Nik Aziz
KOTA BAHARU 26 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Matberkata, kenyataannya pada 21 Jun lepas mengaitkan UMNO dengan komunisdan ajaran sesat, hanyalah satu kiasan atau perumpamaan.

UMNO perlu bijak urus persepsi - Isa
KUALA LUMPUR 26 Jun - Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN)menguruskan persepsi dengan baik dan berkesan menjadi punca pakatanpembangkang berjaya meraih sokongan rakyat dalam beberapa siri pilihanraya sebelum ini.

Pemuda UMNO ajak muzakarah
KUALA LUMPUR 26 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi menyatakankomitmen untuk terus mengadakan muzakarah dengan Dewan Pemuda Pas demikepentingan negara dan ummah.

Pas cuba sembunyi konflik dalaman
KUALA KRAI 26 Jun - Tindakan Pas menyerang UMNO dengan pelbagai tuduhanmenjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Uraimerupakan cubaan parti itu untuk mengalih pandangan umum daripadakonflik dalamannya.

Jangan pandang rendah pada BN - Nasrudin
KUALALUMPUR 26 Jun - Dewan Pemuda Pas mengingatkan semua jenteranya yangterlibat dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) ManekUrai tidak berasa selesa atau memandang rendah keupayaan BarisanNasional (BN).

Hasrat satukan kaum India
KUALALUMPUR 26 Jun - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniamhari ini berkata, hasratnya bertanding merebut kerusi itu padapemilihan parti itu 12 dan 13 September ini bertujuan menyatukan kaumIndia dan anggota MIC khususnya.








'Nik Aziz sudah letih berkuasa di Kelantan'
KUALAKRAI: Sikap keterlaluan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yangtergamak melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas dan menghina Umno,selama ini adalah disebabkan sudah terlalu lama berkuasa di Kelantan.

Mohd Fauzi calon Pas
KUALAKRAI: Bendahari Pas kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, malam tadidiumumkan sebagai calon parti itu untuk mempertahankan kerusi DewanUndangan Negeri (DUN) Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Beri peluang BN buktikan janji
MANEKURAI: Pengundi Manek Urai digesa memberi peluang kepada Umno danBarisan Nasional (BN) membuktikan janjinya membawa lebih banyakkebaikan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu denganmemberi kemenangan pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Umno sasar pemilih muda Manek Urai
KUALAKRAI: Seramai 3,020 pengundi berusia bawah 40 tahun yang berdaftar diDewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi sasaran utama kempenPemuda Umno menerusi gerakan Pemuda Prihatin Desa yang dilancarkansemalam.






Mahkamah Rayuan tolak permohonan Nizar
PUTRAJAYA:Sultan Perak bertindak betul apabila tidak memperkenankan permintaanDatuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan UndanganNegeri (DUN) Perak pada Februari lalu kerana DUN itu baru berusiasetahun.

Adun Sementa fail saman malu isu PKFZ
SHAHALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul RahmanPalil akan memfailkan saman malu terhadap beberapa pihak berikutanlaporan juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd(PwC) yang mengaitkan namanya dalam isu projek Zon Bebas PelabuhanKlang (PKFZ).

Mohd Fauzi calon Pas

Mohd Fauzi calon Pas




KUALA KERAI: Bendahari Pas kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, malam tadi diumumkan sebagai calon parti itu untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Pengumuman nama Mohd Fauzi dibuat Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di hadapan penyokong parti itu di markas Pas dekat Kampung Manek Urai Lama di sini, kira-kira jam 11 malam.

Selain menjawat jawatan bendahari kawasan, Fauzi, 50, yang juga anak tempatan Manek Urai dan peraih ikan di pekan Kuala Krai, adalah Pengerusi Majlis Tindakan DUN (NTD) Guchil, yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai.

Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir ketika pengumuman calon itu dibuat malam tadi termasuklah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Langkah PAS mengisytiharkan calon di Peti Undi Manek Urai Lama didakwa sebagai satu strategi untuk menguatkan kedudukan Pas di peti undi berkenaan dan juga peti undi Manek Urai Baru yang dimenanginya dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum lalu.

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Nizar

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Nizar


PUTRAJAYA: Sultan Perak bertindak betul apabila tidak memperkenankan permintaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Februari lalu kerana DUN itu baru berusia setahun.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Raus Sharif, berkata bagi membubarkan DUN mengikut Perkara 36 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP) seperti yang diminta Mohammad Nizar, DUN perlu tamat dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Sehubungan itu, katanya, Mohammad Nizar mengguna pakai peruntukan undang-undang yang salah apabila memohon bagi pembubaran DUN daripada Sultan Perak.

"Perkara 36 UTNP hanya memberi peruntukan am berhubung kuasa Sultan untuk membubarkan DUN selepas tamat tempoh lima tahun, " kata Raus dalam alasan penghakiman setebal 49 halaman yang diedarkan di sini semalam.

Raus berkata, Mohammad Nizar sepatutnya memohon pembubaran itu mengikut Perkara 16 (6) UNTP yang menyatakan jika Menteri Besar kehilangan sokongan majoriti ahli DUN, melainkan atas permintaan Menteri Besar kepada Sultan, membubarkan DUN, beliau perlu meletakkan jawatan dalam Majlis Eksekutif.

Mengenai Perak mempunyai dua Menteri Besar, Raus berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana mengikut Perkara 16 (6) UNTP, apabila Menteri Besar mengetahui beliau kehilangan sokongan majoriti ahli DUN, beliau perlu mengambil langkah hormat dengan meletak jawatan.

Hakim Datuk Zainun Ali yang bersama Raus dan Ahmad membenarkan rayuan Zambry 22 Mei lalu dijangka memberi alasan penghakiman beliau Isnin ini.






Sultan Perak ikut perlembagaan

PUTRAJAYA 26 Jun – Sultan Azlan Shah bertindak mengikut perlembagaan ketika menolak permohonan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana ia baru bersidang tidak sampai dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.

Berdasarkan Perkara 36(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957, pembubaran Dewan hanya boleh dilakukan dalam tempoh lima tahun bersidang selepas ia ditubuhkan.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan berpendapat, bekas Menteri Besar tersebut menggunakan pendekatan undang-undang yang salah mengikut Perkara 36(2) UTKNP ketika memohon kepada Sultan Perak agar sidang Dewan dibubarkan.

Ini kerana pembubaran sidang Dewan hanya boleh dilakukan mengikut Perkara 16(6) UTKNP dalam keadaan Menteri Besar tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

Demikian penghakiman bertulis Hakim Datuk Md. Raus Sharif ketika mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 22 Mei lalu, Hakim Md. Raus yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang mengesahkan sebaliknya terhadap Mohammad Nizar.

Hakim Md. Raus bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Zambry merayu terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang mengesahkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 11 Mei lalu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar agar beliau diisytiharkan masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan sidang Dewan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan Mohammad Nizar untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut pada 9 Julai ini.

Dalam penghakiman setebal 49 muka surat bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan hari ini, Hakim Md. Raus menjelaskan, Sultan Perak betul ketika melantik Zambry menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu.

Usah keluar kenyataan mengelirukan - Razaleigh

Usah keluar kenyataan mengelirukan - Razaleigh

MANEK URAI 26 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat apabila menyamakan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ini kerana Nik Abdul Aziz pernah bertanding di Kelantan atas tiket Barisan Nasional semasa parti itu bersama Barisan Nasional (BN) satu ketika dulu.

"Dia bermain politik macam UMNO juga dan kita pula tidak kurang berusaha berjuang ke arah kepentingan Islam. Tak munasabah dia cakap macam ini.

"Dia dulu bersama BN juga. Tahun 1967 dia bertanding pada pilihan raya kecil di Kelantan dia bersama kita. Pada tahun 1974 masa Kelantan dikuasai BN, dia bertanding di Bachok atas tiket BN. Kenapa nak timbulkan perkara yang boleh mengelirukan pemikiran rakyat?" katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha BN Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak lama lagi, beliau berkata, BN mempunyai keupayaan untuk memenanginya jika calon yang diketengahkan bersesuaian dengan kehendak masyarakat setempat.

"Memang dari dulu saya cadangkan calon-calon patut dipilih mengikut pilihan orang ramai kerana kadangkala pilihan dari atas tidak tepat," ujarnya.

Beliau berkata, isu pilihan raya kali ini turut berkisar tentang kerajaan perpaduan yang dicetus oleh pemimpin Pas sendiri.

"Mereka sudah mula menunjukkan tanda-tanda perpecahan kerana isu ini selepas muktamar dan sehingga kini kalangan mereka ternyata masih bermasam muka," ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pe ngundi di Manek Urai supaya memberikan kemenangan kepada BN bagi membolehkan ia menunaikan segala janji.

"Jika Pas menang, ia tidak merubah apa-apa kerana kerajaan negeri terus kekal dan kehidupan masyarakat kembali seperti biasa. Berikan BN kemenangan dan kita buktikan janji ditunaikan," katanya.

Itu hanya kiasan - Nik Aziz

Itu hanya kiasan - Nik Aziz

KOTA BAHARU 26 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kenyataannya pada 21 Jun lepas mengaitkan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat, hanyalah satu kiasan atau perumpamaan.

"Boleh jadi kerana saya kata nasionalis dan komunis itu serupa, begitu juga dengan ajaran sesat, (bagi saya) semua fahaman yang menolak Islam, semuanya kita panggil ajaran sesat," katanya di sini hari ini bagi menjelaskan ucapannya pada satu ceramah di Kuala Krai apabila beliau menyamakan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan menyamakan UMNO sebagai mempunyai ideologi sosialis kerana menolak agama dan prinsip ketuhanan. Ekoran itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian semalam, membuat laporan polis kerana menganggap kenyataan Nik Aziz itu berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata, beliau sedia menghadapi tindakan dan menjawab segala tuduhan Pemuda UMNO.

Katanya, beliau tidak takut kerana kenyataannya itu dibuat lebih berasaskan kepada kiasan terhadap sesuatu yang sesuai pada pandangannya

Di Kuala Lumpur, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, Nik Aziz menjatuhkan harga dirinya sendiri dengan membuat tuduhan itu.

Sambil menggesa Nik Abdul Aziz segera meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, Syed Ali berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Menteri Besar itu telah diperalat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP untuk menghancurkan perpaduan Melayu.

Syed Ali meminta kepimpinan Pas menasihati Nik Aziz agar mengawal percakapannya bagi mengelak berlakunya perpecahan umat Islam. - BERNAMA

Pas cuba sembunyi konflik dalaman

Pas cuba sembunyi konflik dalaman

KUALA KRAI 26 Jun - Tindakan Pas menyerang UMNO dengan pelbagai tuduhan menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai merupakan cubaan parti itu untuk mengalih pandangan umum daripada konflik dalamannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertindak seperti 'orang hilang punca' untuk mengukuhkan sokongan ahlinya sehingga sanggup menggelar UMNO sebagai parti ajaran sesat, menyamakannya dengan komunis dan pengikut Ayah Pin.

"Saya nampak tok guru amat menyedari masalah dalaman Pas sebab tidak pernah berlaku keadaan yang Mursyidul Am Pas sendiri meminta timbalan presiden keluar parti.

''Ini satu tindakan drastik yang memberi gambaran bahawa perpecahan dalam Pas agak ketara,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program bengkel khas memperbaiki motosikal bersama bekas juara cub prix kebangsaan, Wazi Abdul Hamid di Padang Awam Laloh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat.

Beliau kecewa kerana kenyataan Nik Abdul Aziz itu tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang ulama.

Nik Aziz makin keterlaluan – Mustapa

Nik Aziz makin keterlaluan – Mustapa


Anggota jentera Pemuda melaungkan slogan gempur pada majlis pelancaran jentera Pemuda UMNO bagi Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, di Manek Urai Baru,Kuala Krai, semalam.


KUALA KRAI 26 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin keterlaluan dalam berpolitik mungkin kerana terlalu lama memimpin negeri ini sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan umat Islam.


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kenyataan yang menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat ‘Ayah Pin’ adalah fitnah yang amat jelas.

Katanya, kenyataan tersebut amat bertentangan dengan dasar perjuangan parti itu yang dikatakan bergerak atas landasan Islam.

Tegasnya, Nik Abdul Aziz perlu ingat bahawa kerajaan yang dipimpin oleh UMNO telah berjuang berhabis-habisan menghapuskan ancaman komunis di negara ini dan memerangi unsur-unsur yang boleh menjejaskan pegangan umat Islam.

“UMNO yang berjuang untuk menghapuskan komunis di negara ini, UMNO juga yang bermati-matian mempertahankan tanah air ini, kalau tidak kerana UMNO yang mengharamkan komunis Nik Abdul Aziz pun belum tentu lagi hidup di Malaysia.

“Kita sama sekali tidak menyokong perjuangan komunis atau Chin Peng, yang menyokong Chin Peng adalah rakan sekutunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan bekas pemimpin parti itu dibawa masuk ke negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera Pemuda BN di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Program itu dihadiri kira-kira 2,000 jentera Pemuda BN dari seluruh negeri ini termasuk exco Pemuda UMNO.

Isnin lalu, ketika berceramah di Padang Awam Laloh, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis kerana menolak Islam.

Pada sidang akhbar, Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai berkata, beliau tidak terkejut dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu kerana pemimpin-pemimpin Pas sentiasa marahkan UMNO walaupun tidak mempunyai sebab yang kukuh.

“Nik Abdul Aziz selalu marah-marah bukan perkara baru, dia marah sejak beberapa tahun lalu dan meluahkan pelbagai kata-kata serta mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas.

‘‘Kita rasa ini satu reaksi seorang pemimpin yang lama sangat memimpin di Kelantan dan mungkin beliau sudah terlalu lama dan letih,” katanya.

Menurutnya, telah tiba masanya untuk BN bekerja keras menghapuskan keangkuhan pemimpin pembangkang yang semakin menjadi-jadi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

“Kita mahu menang di Manek Urai, kita akan mulakan kerja di sini untuk Pilihan Raya Umum Ke-13, kemenangan ini bukan saja untuk Manek Urai tetapi untuk pilihan raya umum akan datang,’’ katanya.

Oleh itu, tegasnya, Pilihan Raya Kecil Manek Urai akan menjadi penanda aras untuk BN pada pilihan raya umum akan datang.

‘‘Manek Urai akan menjadi titik perubahan kepada Kuala Krai, Kelantan dan negara,” katanya.

'Nik Aziz sudah letih berkuasa di Kelantan'

'Nik Aziz sudah letih berkuasa di Kelantan'


KUALA KRAI: Sikap keterlaluan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang tergamak melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas dan menghina Umno, selama ini adalah disebabkan sudah terlalu lama berkuasa di Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata sikap itu bukan sesuatu yang baru ditunjukkan Menteri Besar terbabit, sebaliknya sudah sinonim dengannya sejak beberapa tahun lalu.

"Bukan perkara baru melihat dia marah-marah kerana sejak beberapa tahun ini, dia meluahkan pelbagai kata-kata, melakukan tuduhan dan dakwaan yang tidak berasas (terhadap Umno).

"Kita rasa kemarahannya adalah reaksi seorang pemimpin yang lama sangat memimpin Kelantan, mungkin kerana dia sudah terlalu lama dan letih," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di padang Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini, petang semalam.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; Ketua Umno bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan Ketua Pemuda bahagian itu, Tuan Aziz Tuan Mat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai kenyataan yang dilemparkan Nik Abdul Aziz terhadap Umno dan BN sejak kebelakangan ini, termasuk menyifatkan Umno sama seperti komunis, Chin Peng dan ajaran sesat Ayah Pin.

Jangan pandang rendah pada BN - Nasrudin

Jangan pandang rendah pada BN - Nasrudin

KUALA LUMPUR 26 Jun - Dewan Pemuda Pas mengingatkan semua jenteranya yang terlibat dengan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai tidak berasa selesa atau memandang rendah keupayaan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, sebaliknya jentera yang dilancarkan pada 19 Jun lalu itu harus meletakkan saingan antara Pas dan BN pada kedudukan seimbang supaya gerak kerja pilihan raya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

Beliau berkata, meskipun Pas yakin boleh mempertahankan kerusi itu, ia bukan bermakna jentera Pas khususnya Pemuda boleh mengabaikan tugas mereka.

"Dalam pilihan raya macam-macam keputusan boleh berlaku. Itu yang menyebabkan saya meletakkan peluang antara Pas dengan BN di Manek Urai seimbang 50-50 supaya kita sentiasa bersiap sedia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Manek Urai merupakan kubu kuat Pas dan parti itu tidak pernah tewas sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini kecuali pada 2004.

Bagaimanapun pada 2008, kerusi itu kembali kepada Pas, apabila Ismail bertanding semula dan menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Pada 22 Mei lalu, Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kerana pelbagai komplikasi jantung.

Beri peluang BN buktikan janji

Beri peluang BN buktikan janji


MANEK URAI: Pengundi Manek Urai digesa memberi peluang kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) membuktikan janjinya membawa lebih banyak kebaikan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dengan memberi kemenangan pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata pengundi Manek Urai tidak akan mengalami sebarang kerugian kerana dalam sejarah pilihan raya kecil selama ini, BN membuktikan ia menunaikan janji yang dibuat dan jika tidak dikota, pengundi boleh menukar semula pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

"Hakikatnya, jika Pas menang di Manek Urai kali ini, ia tidak merubah apa-apa keadaan kerana Kerajaan Pas Kelantan sedia ada akan terus kekal dan kehidupan masyarakat setempat juga kembali seperti biasa,” katanya di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini semalam.

Umno sasar pemilih muda Manek Urai

Umno sasar pemilih muda Manek Urai

Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my

Gerakan Prihatin Desa usaha buru kemenangan

KUALA KRAI: Seramai 3,020 pengundi berusia bawah 40 tahun yang berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi sasaran utama kempen Pemuda Umno menerusi gerakan Pemuda Prihatin Desa yang dilancarkan semalam.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya sudah mengenal pasti semua pengundi muda untuk didekati sepanjang tempoh kempen dalam usaha menjana kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

"Untuk tujuan itu, kami menggerakkan kira-kira 1,000 petugas tetap kempen yang terdiri Pemuda Umno bahagian Kuala Krai dan seluruh Kelantan, menerusi program bengkel motosikal, ziarah rumah ke rumah, sukan, mendampingi masyarakat setempat serta bergotong royong di masjid dan surau.

"Semua Exco Pemuda Umno termasuk saya sendiri, akan bermalam dengan keluarga angkat di Manek Urai sambil menjalankan program yang dirancang. Pendekatan ini akan digunakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil ini," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau program bengkel motosikal yang dianjurkan Pemuda BN di Laloh, dekat sini, semalam. Turut hadir Ketua Pemuda Kelantan, Anuar Safian dan Ketua Pemuda bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat.

Sempena program itu, kira-kira 300 penduduk setempat keluar bersama motosikal masing-masing untuk mendapatkan kemudahan servis percuma oleh sembilan mekanik yang disediakan Pemuda BN dengan kerjasama Waziboys yang diketuai oleh bekas Juara Cubprix Kebangsaan, Wazi Abdul Hamid.

Selepas meninjau program itu, Khairy turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra sambil bertemu peniaga dan orang ramai yang mengunjungi pasar minggu di Kampung Laloh. Malah, Khairy turut melawat dan bertemu petugas Pas di markas berhampiran.

Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan semua petugas jentera pilihan raya Pemuda Umno yang menyertai kempen ini supaya menyesuaikan diri dengan sensitiviti penduduk tempatan.

Katanya, beliau sendiri akan memantau kehadiran jentera petugas dari luar Kelantan bagi memastikan mereka yang datang benar-benar menjalankan tugas membantu kempen pilihan raya.

Hasrat satukan kaum India

Hasrat satukan kaum India

KUALA LUMPUR 26 Jun - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam hari ini berkata, hasratnya bertanding merebut kerusi itu pada pemilihan parti itu 12 dan 13 September ini bertujuan menyatukan kaum India dan anggota MIC khususnya.

Katanya, ia juga sebagai usaha penting beliau untuk mengembalikan semula kerusi MIC yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas.

"Kita perlukan seorang timbalan yang dapat mengembalikan kekuatan parti, menyuntik keyakinan dalam masyarakat India bahawa MIC masih relevan dan yang mampu memainkan peranannya dengan berkesan, bukannya seorang timbalan yang hanya berselindung," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Nesa Serbaguna Berhad di sini hari ini.

Mengenai hubungan beliau dengan Presiden Parti, Datuk Seri S. Samy Vellu, Subramaniam berkata, tiada pergeseran antara mereka. - BERNAMA

Adun Sementa fail saman malu isu PKFZ

Adun Sementa fail saman malu isu PKFZ


SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil akan memfailkan saman malu terhadap beberapa pihak berikutan laporan juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) yang mengaitkan namanya dalam isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Katanya, saman yang akan dikemukakan dalam masa terdekat bertujuan membersihkan namanya yang didakwa tercemar kerana laporan itu disifatkannya sebagai tidak adil dan satu penganiayaan.

Beliau mendakwa laporan yang diedarkan untuk tatapan umum oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) pada 28 Mei lalu itu menyebabkan kredibilitinya sebagai pemimpin tercalar akibat digambarkan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam kemelut PKFZ.

“Sebelum laporan itu diedarkan, saya tidak dipanggil oleh mana-mana pihak sama ada oleh PwC atau LPK untuk memberi keterangan. Saya juga tidak pernah dipanggil selepas laporan dikeluarkan tetapi nama saya sudah busuk akibat persepsi rakyat. Saya tahu kesan negatif akibat laporan itu.

“Saya tahu juruaudit yang dilantik mungkin tidak boleh disaman tetapi kalau laporannya lebih banyak berbentuk fitnah, bagi saya ia tidak adil dan kebenaran perlu dicari,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ketika ini, beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan menyaman PwC, LPK dan beberapa individu tertentu yang mengeluarkan kenyataan dan disiarkan pihak media.

Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Kapar berkata, beliau atas nasihat peguam buat pertama kali membuat kenyataan media bagi menafikan sekeras-kerasnya ada kepentingan dalam isu PKFZ seperti laporan PwC.

Beliau menjelaskan tidak ada sebarang asas membolehkan PwC membuat rumusan bahawa kedudukannya mahupun pertanyaan yang dibangkitkan pada satu mesyuarat bulanan Lembaga LPK pada 24 Oktober 2001 mengenai pembelian langsung tanah oleh LPK berpotensi membangkitkan konflik kepentingan.

Pemuda UMNO ajak muzakarah

Pemuda UMNO ajak muzakarah

KUALA LUMPUR 26 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO sekali lagi menyatakan komitmen untuk terus mengadakan muzakarah dengan Dewan Pemuda Pas demi kepentingan negara dan ummah.

Ketua Penerangannya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, bagi tujuan itu pihaknya bersedia memulakan langkah tersebut pada bila-bila masa.

Beliau berkata, secara sedar atau tidak, orang Melayu di negara ini telah melihat keperluan meneruskan usaha muzakarah antara UMNO dan Pas bagi tujuan perpaduan.

"Ini semua ada kaitan dengan kebimbangan pemimpin kita seperti Naib Presiden (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) bahawa perpecahan akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa.

"Bagi Pemuda, malapetaka kepada kehilangan kuasa mesti dielakkan dan perubahan landskap politik mesti diterjemah kepada usaha memulihkan semangat dan perpaduan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ingatan Hishammuddin semalam bahawa kuasa orang Melayu akan hilang selama-lamanya jika perpecahan yang berlaku sekarang dibiarkan berterusan.

Ia reaksi kepada kekecewaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terhadap gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika mengulas kenyataan Harussani itu semalam juga sama yakin terdapat sebahagian besar ahli Pas ingin melihat sekurang-kurangnya berlaku muzakarah antara UMNO dan Pas.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya bersedia bermuzakarah secara terbuka dengan Pemuda UMNO dan satu surat rasmi akan dihantar dalam masa terdekat.

"Pemuda Pas berharap Pemuda UMNO tidak menolak muzakarah ini sebaik saja menerima surat rasmi daripada kami dalam masa terdekat ini," katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO tidak perlu khuatir sama ada muzakarah tersebut dapat dilaksanakan atau sebaliknya jika mereka yakin perjuangan UMNO selama ini tidak menyalahi Islam dan syariat.

"Pemuda UMNO boleh jelaskan bahawa perjuangan mereka tidak menyalahi Islam dan mereka tidak perlu mengelak daripada muzakarah ini jika mereka benar," tambah Nasrudin.

UMNO perlu bijak urus persepsi - Isa

UMNO perlu bijak urus persepsi - Isa

KUALA LUMPUR 26 Jun - Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menguruskan persepsi dengan baik dan berkesan menjadi punca pakatan pembangkang berjaya meraih sokongan rakyat dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, semua pihak harus menerima hakikat bahawa dalam konteks politik semasa, persepsi telah menjadi senjata utama pembangkang mempengaruhi rakyat dan ia sememangnya terbukti berkesan.

Sehubungan itu, beliau meminta UMNO dan BN mengubah persepsi negatif yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar bagi satu-satu isu.

"Bukan masanya kita berada dalam zon selesa. Kita tidak boleh menjadi malas kerana serangan politik yang kita hadapi sekarang amat licik. Pembangkang sekarang rajin mencipta persepsi hingga mereka berjaya meraih sokongan rakyat.

"Mahu tidak mahu kita perlu hadapi apa jua persepsi yang sengaja ditimbulkan pembangkang. UMNO dan BN perlu cepat bertindak sebelum rakyat benar-benar terpengaruh. Jangan nanti kita tersungkur pada pilihan raya umum ke-13," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel forum bual bicara bertajuk Antara persepsi, manipulasi dan provokasi di ibu pejabat UMNO di sini malam ini.

Forum itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.

Ia turut disertai Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain dan penulis blog Sang Kelembai, Zaharin Mohd. Yassin.

Mohd. Isa berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah individu yang cekap menguruskan persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang.

"Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir diberi macam-macam gelaran oleh pembangkang dengan tujuan untuk membina persepsi buruk terhadap Tun.

"Apa yang tidak pernah digelar, diktator, mahazalim, mahafiraun dan macam-macam lagi tetapi Tun seorang yang bijak menguruskan persepsi hingga menyebabkan masyarakat umum tidak mudah terpengaruh," katanya.

Sementara itu, Ahmad Atory berkata, terdapat ramai pensyarah kanan universiti ketika ini telah kembali menyokong UMNO apabila mereka melihat ada kepincangan di dalam Pas.

"Oleh itu, UMNO perlu menjadi lebih kuat terutama dalam konteks memperjuangkan Islam. Sebenarnya kemenangan Pas selama ini bukan sebab parti itu kuat tetapi disebabkan UMNO lemah," tambahnya.

Wataniah bukan bermotif politik

Wataniah bukan bermotif politik

Oleh HATA WAHARI dan MOHD. RAFIE AZIMI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 26 Jun - Kementerian Pertahanan membidas media siber yang menyebarkan fitnah mendakwa penubuhan Askar Wataniah di kawasan Parlimen di seluruh negara bertujuan politik terutama mewujudkan undi pos.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, penubuhan Askar Wataniah adalah bersifat profesional tanpa dipengaruhi ideologi atau kepentingan mana-mana parti politik.

"Apabila media siber dan picisan ini menyebut penubuhan Askar Wataniah untuk tujuan politik iaitu mewujudkan lebih banyak undi pos, ia tidak benar, malah terkeluar daripada tujuan dan lingkungan hasrat murni penubuhan pasukan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan penubuhan Askar Wataniah yang disertai oleh kakitangan awam kementerian di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyaksikan kumpulan pertama Askar Wataniah yang terdiri daripada 100 kakitangan awam iaitu 24 pegawai dan selebihnya kakitangan sokongan mengambil bahagian dalam perbarisan di padang kawad Kementerian Pertahanan.

Pada majlis itu juga, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dikurniakan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyifatkan pihaknya berpuas hati dengan perkembangan terkini kewujudan kompeni Askar Wataniah di seluruh negara.

Menurutnya, daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, 97 kawasan mempunyai pasukan Askar Wataniah sendiri dengan tambahan 25 lagi penubuhan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dipersetujui kementerian itu, penubuhan satu kompeni di setiap kawasan Parlimen disasarkan untuk dilaksanakan dalam dalam tempoh lima tahun lagi.

"Namun, berdasarkan komitmen yang diterima daripada pemimpin masyarakat di kawasan Parlimen, saya optimis sasaran itu mampu dicapai dalam masa hanya tiga tahun," katanya.

Mengenai hasrat memperkasakan Askar Wataniah, Ahmad Zahid berkata, sasaran utamanya ialah bagi setiap satu anggota tetap terdapat dua anggota Askar Wataniah menjelang tahun 2020.