KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno yang bermula semalam perlu digunakan sebagai landasan untuk berbincang dan merangka agenda parti bagi masa depan seluruh ahlinya dan rakyat serta negara.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata lebih penting memberi perhatian bagaimana langkah memastikan parti sentiasa disanjung rakyat serta pemimpin melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.
Justeru, katanya, setiap ahli Umno perlu menjadikan peringatan apabila Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mahu perwakilan menjadikan Perhimpunan Agung Umno, tempat melobi untuk menonjol diri atau menjadi calon pilihan raya.
"Perhimpunan Agung Umno bukan tempat melobi. Tempat itu tidak boleh disalahgunakan (untuk agenda peribadi).
"Dalam perhimpunan agung, yang lebih penting ialah mencari jalan bagaimana memastikan parti sentiasa disanjung rakyat, pemimpinnya pada semua peringkat dapat melaksanakan tugas dengan baik, selain apakah agenda parti untuk masa depan ahli dan rakyat.
"Umno bukan parti untuk orang Melayu saja tetapi juga pemimpin kepada Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kerajaan negara ini.
"Dalam konteks Perhimpunan Agung Umno, perwakilan perlu bercerita dan berbincang apakah peranan Umno dalam konteks lebih besar dan menggunakannya dengan cara yang betul, bukan tempat untuk individu mengangkat diri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran penaja cabaran Piala Monsun yang akan berlangsung pada 28 November hingga 2 Disember ini, di Pulau Duyung, Terengganu, di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Najib kepada perwakilan Umno supaya tidak menjadikan perhimpunan agung sebagai pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum, tidak lama lagi.
Beliau berkata, perwakilan juga tidak harus menganggap perhimpunan yang dihadiri 2,522 perwakilan mewakili 190 bahagian Umno itu sebagai medan melobi bagi menyerlahkan peluang mereka menjadi calon kerana cara itu boleh �menikam diri sendiri�.
Mengenai ramalan pemerhati politik yang menjangka perhimpunan kali ini menjadi medan kepada perwakilan menyentuh isu sensitif yang mungkin mengundang rasa tidak puas hati dengan rakan parti komponen BN, Idris yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata, sukar untuk menjangka dan mengawal apa yang akan diperkatakan perwakilan.
"Kita tidak boleh mengawal semua supaya bercakap perkara yang kita nak mereka cakap. Tetapi, dengan kematangan, kita harap perwakilan boleh menggunakan perhimpunan ini dengan cara sebaik-baiknya.
"Yang penting setiap isu yang dibahaskan biarlah untuk kebaikan BN dan rakyat sebagai parti pemerintah," katanya.
Mengenai usul yang akan dibawa Umno Terengganu pada perbahasan perhimpunan itu, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada keupayaan Umno dan BN membangunkan negeri itu dalam masa singkat selepas mengambil alih daripada Pas pada Pilihan Raya Umum 2004.
Katanya, Umno Terengganu juga mahu menyatakan perubahan dibawa kerajaan BN turut mengubah pemikiran rakyatnya yang bersemangat untuk terus membangunkan negeri terutama dengan pengumuman Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka mampu memberi manfaat yang besar.
"Kalau dulu Terengganu dianggap sebuah negeri yang tercorot, kurang pembangunan, tetapi sekarang sudah berubah sama sekali dan antara negeri yang mampu menganjurkan pelbagai acara bertaraf dunia.
"Dari segi menghadapi pilihan raya umum akan datang juga, kita sudah bersedia dan perpaduan Umno Terengganu juga amat mantap," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment