Sunday, May 31, 2009

PKFZ: Amat wajar diteruskan

PKFZ: Amat wajar diteruskan

KUALA LUMPUR 30 Mei - Keputusan meneruskan pembangunan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disifatkan sebagai amat wajar walaupun dilaporkan wujud kelemahan urus tadbir oleh syarikat juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan perkembangan yang semakin pesat di pelabuhan berkenaan, kementerian terlibat terpaksa mengambil keputusan itu atas faktor keperluan.

Beliau berkata, faktor kos juga menjadi asas kepada Kementerian Pengangkutan untuk meneruskan juga projek tersebut.

''Apa yang dilakukan oleh kementerian ini bagi saya sesuatu yang adil dan kena pada tempatnya. Ini disebabkan perkembangan Pelabuhan Kelang ketika ini semakin pesat atas kedudukannya sebagai salah satu pelabuhan terpenting di negara ini,'' katanya kepada pemberita selepas melawat Karnival Victoria Institution di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat bahawa kementerian itu akan tetap meneruskan pembangunan PKFZ walaupun dilaporkan wujud kelemahan serta konflik daripada segi tadbir urus oleh syarikat juruaudit, PwC.

Tee Keat berkata, keputusan itu merupakan pandangan peribadi beliau yang merasakan projek berkenaan harus dilaksanakan atas dasar kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Menurutnya, projek berkenaan menggunakan peruntukan melibatkan wang rakyat melalui pinjaman mudah.

Menjawab soalan lain Muhyiddin berkata, tidak harus baginya mengulas lebih lanjut tentang isu itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta Tee Keat menguruskannya.

Tidak digantung jawatan UMNO

Tidak digantung jawatan UMNO

KUALA LUMPUR 30 Mei - Pemimpin atau ahli UMNO yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin atas dakwaan melanggar kod etika parti tidak akan digantung jawatan sementara menunggu kes tersebut diputuskan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana dakwaan ke atas mereka hanya melibatkan soal peraturan parti dan bukan berkaitan dengan undang-undang negara.

Katanya, berbeza dengan pemimpin atau ahli yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan tertentu, ia membabitkan soal undang-undang negara dan Majlis Tertinggi (MT) berpendapat menggantung jawatan adalah tindakan terbaik hingga proses perbicaraan selesai.

''Mereka yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin didakwa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan parti. Dengan kata lain ini 'perkara parti'. Oleh itu jawatan mereka tetap kekal sehingga lembaga membuat keputusan berasaskan kepada peraturan parti.

''Berbanding dengan mereka yang dihadapkan ke mahkamah, dakwaan yang mereka hadapi melibatkan undang-undang negara. Dalam mesyuarat semalam, MT berpendapat menggantung mereka adalah tindakan paling baik,'' katanya selepas menghadiri Karnival Victoria Institution di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status seorang pemimpin atau ahli yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin terutama mengenai kedudukan jawatannya semasa perbicaraan.

Ia merupakan rentetan daripada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bahawa jawatan seseorang pemimpin yang didakwa di mahkamah digantung sehingga proses perbicaraan selesai dan jika didapati tidak bersalah maka jawatannya akan dikembalikan.

Muhyiddin berkata, keputusan yang dibuat oleh MT itu semalam berkuatkuasa serta merta.

Dalam pada itu, ketika ditanya lebih lanjut mengenai senarai nama pemimpin yang digantung jawatannya kerana berhadapan dengan dakwaan di mahkamah, Muhyiddin berkata, antaranya Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Beliau berkata, jawatan Suhaili telah digantung dan telah diserahkan kepada timbalannya sehingga proses perbicaraan selesai.

''Jawatan yang dipegang oleh Suhaili kini dipangku timbalannya. Selain Suhaili kita mempunyai senarai pemimpin yang berhadapan dengan isu yang sama ,'' kata beliau.

Mengenai draf pindaan Perlembagaan UMNO beliau berkata, kajian berhubung cara pemilihan parti adalah antara isu terpenting kerana ia akan menentukan pelaksanaan sistem kuota pada masa akan datang.

Beliau berkata, kajian draf yang kini diketuai oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan membuat penelitian secara lebih terperinci sama ada sistem itu harus dikekalkan, diubah suai atau dihapuskan.

''Hishammuddin dan pasukannya akan membuat semakan dan kemudian akan mengeluarkan cadangan. Selepas itu ia akan dihantar ke badan perhubungan negeri untuk dibuat komen dan ulasan.

''Selain itu, antara perkara lain dalam draf pindaan yang dikira bakal mendapat perhatian ialah mengenai cadangan supaya Pengerusi Badan Perhubungan Negeri automatik menjadi ahli MT,'' katanya.

Kayveas kekal Presiden PPP

Kayveas kekal Presiden PPP


M. KAYVEAS dijulang penyokongnya selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PPP di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mengekalkan jawatan yang disandang sejak 1993 untuk penggal keempat berturut-turut apabila menang tanpa bertanding pada pencalonan rasmi parti hari ini.

Beliau yang menyerahkan borang pada pukul 11 pagi kemudian diumumkan sebagai Presiden penggal seterusnya oleh Pengurus Pemilihan PPP, Mahendrarajah pukul 1 tengah hari setelah tamat tempoh bantahan.

Kayveas pada sidang akhbar selepas itu berkata, beliau sengaja menyerahkan borang pencalonannya lewat kerana mahu memberi peluang kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti itu.

"Saya bukan gila kuasa, saya tunggu hingga 11 pagi mahu lihat kalau ada sesiapa yang mencalonkan diri jawatan Presiden dan kalau orang itu berkemampuan maka saya sudah pasti tidak akan menyerahkan borang saya," katanya di sini hari ini.

Perhimpunan Agung PPP dijadual berlangsung pada 7 Jun ini melibatkan 2,200 perwakilan.

Mengulas lanjut Kayveas berkata, azamnya selepas berjaya mempertahankan jawatan itu ialah untuk memperkukuhkan kembali PPP.

Mengenai kewujudan kumpulan pecahan dalam parti itu di bawah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang turut menganggap dirinya sebagai Presiden PPP, Kayveas berkata, itu adalah kumpulan kecil yang akan lenyap dengan sendirinya tidak lama lagi.

"Dia hari-hari kerja buat sidang akhbar sahaja, apa kerajaan bayar gaji untuk dia buat sidang akhbar sahaja," katanya.

Mengenai tuduhan beliau tidak layak menjadi Presiden kerana pernah didenda RM5,000 di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976, Kayveas berkata, denda itu melibatkan kesalahan dengan sebuah pertubuhan dan bukannya kesalahan jenayah.

"Orang yang buat tuduhan seperti ini perlu memahami undang-undang terlebih dahulu," katanya.

Beliau juga menyelar Murugiah sebagai seorang yang tidak memahami perlembagaan parti dan mahu menghancurkan parti.

Murugiah yang dipecat daripada PPP baru ini diberikan tempoh dua minggu untuk merayu dan tempoh berkenaan tamat hari ini.

Dalam pada itu, seramai sembilan ahli menawarkan diri untuk bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden PPP dan 29 lagi menawarkan diri merebut 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Murugiah pengerusikan mesyuarat MT PPP

Murugiah pengerusikan mesyuarat MT PPP

KUALA LUMPUR 30 Mei - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Progresif Penduduk (PPP) yang pertama setelah dilantik menjadi 'Presiden' parti dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 24 Mei lalu.

Murugiah memberitahu, keputusan pertama MT PPP yang dipengerusikannya ialah mengarahkan semua pengerusi badan perhubungan negeri mengemas kini rekod ahli-ahli parti, cawangan dan bahagian di seluruh negara memandangkan ia telah tidak dikemas kini selama 16 tahun.

''Pengerusi perhubungan negeri diarahkan turun padang dengan mengenal pasti cawangan baru dan membuat rekod keahlian memandangkan parti telah menerima permohonan untuk menjadi ahli parti terutama yang telah meninggalkan parti sebelum ini.

''Saya telah dimaklumkan lebih 50,000 ahli yang sebelum ini telah meninggalkan parti berhasrat untuk menyertai semula PPP berikutan pelantikan kepimpinan baru terutama di Johor yang melibatkan 15,000 orang,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT PPP yang disertai 35 pemimpin tertinggi parti dan pengerusi perhubungan negeri yang diadakan di Dewan Makan Restoran Sri Mahkota, Sentul Boulevard di sini hari ini.

Murugiah memberitahu, 100,000 ahli baru akan dikecualikan daripada membayar sebarang yuran keahlian.

Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli parti di seluruh negara bagi menerangkan mengenai keadaan parti dan tindakannya dalam memperkukuhkan parti yang bermula di Perak esok.

Tegasnya, semua pengerusi perhubungan negeri, ketua bahagian dan cawangan telah diarah mengadakan aktiviti tiga bulan sekali serta mengadakan kursus kepimpinan bagi pemimpin parti.

Murugiah juga memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pegawai Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan ditemu bual serta menyerahkan bukti-bukti seperti notis memanggil mesyuarat.

''Saya juga telah menyerahkan bukti bagaimana dalam tempoh yang panjang PPP di bawah kepimpinan sebelum ini tidak membentangkan akuan kewangan serta banyak cawangan terpaksa dibubarkan kerana ibu pejabat tidak menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

''Cawangan saya sendiri iaitu Sungai Pari Towers di Perak baru sahaja dihidupkan semula dan telah diluluskan oleh ROS pada 20 Mei setelah dibubarkan pada Januari lalu,'' katanya.

Mengenai Datuk M. Kayveas yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden hari ini, Murugiah menegaskan, Kayveas boleh melakukan apa sahaja tetapi akhirnya keputusan ROS yang akan menentukan sama ada ia sah di sisi undang-undang ataupun tidak.

Murugiah memberitahu, beliau menghormati undang-undang dengan menerima keputusan EGM dan ROS nanti mengenai siapa yang berhak menjadi Presiden parti.

Sothinathan tanding Timbalan Presiden MIC

Sothinathan tanding Timbalan Presiden

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


PORT DICKSON 30 Mei - Bekas Ahli Parlimen Teluk Kemang dan Naib Presiden MIC, Datuk S. Sothinathan (gambar), 49, hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti berkenaan September depan.

Bekas Setiausaha Agung MIC itu berkata, beliau berbuat demikian selepas yakin mendapat sokongan perwakilan dari seluruh negara.

''Saya telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin MIC di semua peringkat termasuklah individu serta masyarakat India. Saya percaya, sokongan akan berpihak kepada saya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua MIC Bahagian Teluk Kemang, M. Vellu dan Ketua Wanita MIC Negeri Sembilan yang juga Ketua Wanita MIC Teluk Kemang, Dr. P. Tanaletchumy.

Dengan keputusan itu, persaingan untuk merebut jawatan kedua tertinggi dalam parti terbesar kaum India itu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Selain Sothinathan dan Datuk G. Palanivel, 58, yang akan mempertahankan jawatan, seorang lagi yang menyatakan hasrat merebut jawatan itu ialah Datuk S. Subramaniam, 65.

Ditanya jika keputusan itu mendapat restu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Sothinathan berkata, ia telah dimaklumkan kepada Presiden parti dan keputusan itu dibuat demi masa depan parti dan masyarakat India.

''Presiden telah meminta saya berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Sejak 1984 sehingga kini, iaitu dalam tempoh 25 tahun, hubungan saya dengan Presiden amat baik sekali," kata bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu.

Ditanya adakah beliau yakin boleh memenangi jawatan itu mengambil kira Samy Vellu sebelum ini dikatakan memberi 'lampu hijau' kepada Palanivel sebagai timbalannya, Sothinathan berkata, Presiden parti tetap sebagai mentornya dan menghormati apa juga keputusan.

''Setahu saya, Presiden parti tidak membuat apa-apa kenyataan yang memilih seseorang sebagai timbalannya," tegasnya.

Kata Sothinathan, keputusan pilihan raya umum yang lalu banyak memberi pengajaran.

''Kita perlu membangunkan semula parti ini (MIC) dan ia perlu dilakukan sekarang. Saya telah dengar banyak perkara mengenai perpecahan dalam parti dan saya tidak sanggup melihat ia berlaku lagi," katanya.

Tindakan Cheng Guan salah

Tindakan Cheng Guan salah

PASIR MAS 30 Mei - Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyifatkan tindakan Naib Presidennya, Huan Cheng Guan yang mengambil keputusan keluar daripada parti itu semalam atas alasan tidak sependapat dalam parti adalah 'salah' dan terlalu drastik.

Katanya, Cheng Guan sepatutnya membuat bantahan melalui saluran parti bukannya bertindak keluar semata-mata hanya kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan yang dibuat bagi jawatan Penyelaras Kawasan.

"Saya memang berasa terkejut dan sedih terhadap tindakan begitu drastik untuk keluar parti hanya kerana isu pelantikan satu jawatan sahaja.

"Saya anggap tindakan beliau sebagai tidak tepat dan salah untuk beliau keluar parti serta cuba merayu ahli-ahli lain supaya turut keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Cheng Guan yang telah berkhidmat dalam parti itu selama 19 tahun mengambil keputusan untuk menamatkan keahlian dengan Gerakan kerana tidak sependapat dengan Pengerusinya di Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan.

Cheng Guan dilaporkan sebagai berkata, pucuk pimpinan parti itu tidak lagi mengekalkan hubungan dengan akar umbi apabila semua keputusan yang diambil bertentangan dengan Perlembagaan parti itu.

Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, masalah ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, mesyuarat itu nanti turut mengambil kira reaksi dan pandangan peringkat akar umbi mengenai isu pelantikan jawatan-jawatan tertentu dalam parti.

"Kita akan bincangkan perkara ini kerana ia melibatkan jawatan Naib Presiden iaitu satu jawatan yang tinggi dan penting dalam parti," ujarnya.

Sementara itu, beliau meminta semua pihak agar tidak mengaitkan masalah ini dengan isu membawa kembali bekas pemimpin komunis, Chin Peng yang pernah diutarakan oleh Hock Nan.

Tegasnya, isu tersebut tidak ada kena-mengena langsung malah beranggapan ia telah selesai selepas perbincangan Kabinet dan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Kenyataan tidak adil - Hock Nan

Kenyataan tidak adil - Hock Nan

PULAU PINANG 30 Mei - Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan menghormati keputusan Naib Presiden parti, Huan Cheng Guan yang mahu keluar parti namun menyifatkan beberapa kenyataan beliau sebagai tidak adil.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan Naib Ketua Gerakan Bahagian Batu Kawan yang membuat keputusan itu hanya kerana isu pelantikan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen parti di negeri ini.

Menurutnya, calon penyelaras dicadangkan oleh cawangan serta bahagian parti sebelum diputuskan jawatankuasa kerja negeri dan diserah kepada jawatankuasa kerja pusat (CWC) untuk membuat keputusan muktamad.

''Beliau pun berada dalam CWC juga, jadi saya tidak mengerti mengapa dia cakap kita guna undang-undang rimba, sebagai ahli yang ada jawatan tinggi dalam parti tidak patut cakap macam itu, ini tidak adillah.

''Sebagai kawan saya masih boleh keluar minum kopi dengan Cheng Guan tetapi keputusan mahu keluar parti dibuat sebab isu pelantikan ini, saya tidak ada apa mahu cakap.

''Sepatutnya sebagai pemimpin dia jalankan tanggungjawab dan terangkan perkara yang betul kepada akar umbi bukannya pergi mengapi-apikan mereka," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, pada waktu sekarang semua ahli perlu bekerjasama mencapai objektif utama parti iaitu fokus untuk membantu rakyat dengan memberikan perkhidmatan terbaik bukan melakukan sebaliknya.

Sementara itu, Cheng Guan menegaskan, beliau tetap dengan keputusannya untuk keluar daripada parti itu dan tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti lain termasuk pembangkang.

''Dalam politik macam-macam boleh berlaku, saya belum ada sebarang rancangan mengenai perkara ini, kita tunggu dan lihat sahaja apa yang akan berlaku serta berapa cawangan mahu ikut jejak saya," ujarnya.

Beliau turut mendakwa hingga kini lebih 20 cawangan parti itu antaranya dari Kepala Batas, Tasek Gelugor, Nibong Tebal dan Batu Kawan telah bersetuju mahu keluar daripada parti.