Friday, September 21, 2007

Syor badan siasat klip video bual peguam

KUALA LUMPUR: Sebuah Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat secara bebas pendedahan menerusi klip video perbualan antara seorang peguam kanan dan hakim kanan mengenai usaha untuk melantik hakim itu sebagai ketua hakim negara pada 2002.

Kalangan pengamal undang-undang sepakat kerajaan mesti bertindak segera bagi mendapatkan gambaran sebenar kerana isu itu menyentuh kewibawaan seorang yang menjadi tunjang kepada bidang kehakiman negara.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaikh Daud Md Ismail, berkata klip video itu sungguh mengejutkan kerana mendedahkan sistem perundangan negara selama ini mungkin dibelenggu rasuah.

“Kerajaan mesti menyiasat dengan mendalam kerana perkara ini menyentuh mengenai orang yang memegang jawatan tertinggi dan bertanggungjawab melindungi sistem kehakiman negara.

“Kini kita lihat kedudukan hakim itu yang sangat tinggi dan pendedahan ini perlu disiasat sehingga ke akar umbi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai klip video lapan minit menunjukkan visual peguam itu yang dirakamkan secara sulit. Klip video itu disiarkan media internet, Malaysiakini, kelmarin.

Semalam, klip video sama diserahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R Sivarasa kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Wilayah Kuala Lumpur, Abu Zubir Mohd Hassan.

Dalam klip video itu, peguam berkenaan dilihat membincangkan kemungkinan hakim itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara.

Mengulas lanjut, Shaikh Daud berkata, kerajaan tidak seharusnya menolak pendedahan ini dengan alasan tiada bukti, sebaliknya perlu menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memastikan penyiasatan menyeluruh, mendalam dan bebas.

Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia akan mengadakan mesyuarat tergempar khusus bagi membincangkan isu klip video itu, hari ini.

“Khabar angin dan dakwaan mengenai tindakan salah laku sebegitu semakin memuncak sejak krisis kehakiman pada 1988,” kata Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan.

Ambiga turut menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara itu.

Di PUTRAJAYA, peguam Karpal Singh menggesa Peguam Negara menyiasat klip video itu.

“Tan Sri Abdul Gani Patail perlu menangani sendiri perkara ini kerana rakaman itu membabitkan dakwaan serius yang boleh memberi kesan buruk kepada badan kehakiman negara.

"Badan kehakiman yang akan 'dibicarakan' jika dakwaan dalam rakaman itu benar kerana kesan dakwaan membabitkan seorang peguam kanan dan hakim kanan amat berat.

"Saya sendiri akan mengusulkan isu ini apabila Parlimen bersidang selepas Aidilfitri kerana ia membabitkan kepentingan awam," katanya ketika ditemui di Istana Keadilan di sini, semalam.

2 lagi serah diri bantu siasat rusuhan

Oleh Shaarani Ismail dan Hamid Salleh

KUALA TERENGGANU: Dua lagi individu yang gambar mereka disiarkan media bagi membantu siasatan kejadian rusuhan pada 8 September lalu yang mengakibatkan empat polis cedera, tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, pagi semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata dua lelaki terbabit yang berasal dari Kampung Kolam, Kuala Ibai memberi keterangan kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

"Kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun bekerja sebagai buruh binaan.

"Setakat ini sudah tujuh orang tampil memberikan keterangan, termasuk empat semalam, manakala seorang lagi menyerah diri selepas gambar disiarkan Ahad lalu," katanya yang ditemui pemberita di pejabatnya semalam.

Tiga daripada tujuh yang tampil adalah pelajar Tingkatan Empat yang berasal dari Kampung Tok Dir Kedai Buloh, Kampung Gong Penaga dan Kampung Nibong, Pasir Panjang, dekat sini.

Katanya, kelmarin seorang peniaga ayam berusia 50 tahun dari Kampung Tok Dir, Kedai Buloh dan seorang peniaga pasar malam dari Kampung Alur Toman, Marang menyerah diri dan memberi keterangan kira-kira jam 11.20 pagi, manakala seorang lagi pada jam 12.30 tengah hari.

"Dua pelajar Tingkatan Empat itu pula datang menyerah diri selepas tamat waktu persekolahan kira-kira jam 2.30 petang semalam (kelmarin)," katanya.

Dengan tampilnya tujuh individu terbabit, polis kini masih menunggu lapan daripada sembilan gambar disiarkan Sabtu lalu, dan 31 lagi yang gambar mereka disiarkan Selasa lalu.

Sembilan daripada mereka disiasat kerana dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan dan membakar Jalur Gemilang mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan manakala 37 lagi disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis.

Khairi berkata, polis meminta kerjasama daripada individu yang masih belum tampil memberikan keterangan supaya berbuat demikian selewat-lewatnya hari ini, sebelum polis membuat gerakan menahan mereka.

"Polis bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak akan menahan sewenang-wenangnya mereka yang tampil memberi keterangan.

"Semua yang datang memberi keterangan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai disoal siasat bagi membantu menyelesaikan kertas siasatan kes berkenaan," katanya.

Skandal konspirasi tabal hakim oleh VK Lingam-Fairuz dilapor BPR

Roy Rasul
Thu | Sep 20, 07 | 3:50:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung isu rakaman video yang dipercayai peguam kanan Dato' V K Lingam dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang didedahkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim semalam di ibu pejabat BPR, Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.


Laporan tersebut diserahkan kepada Ketua Pengarah BPR Kuala Lumpur, Abu Zubir Mohd Hassan oleh Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan lima belas pimpinan tertinggi PKR termasuk Angkatan Muda dan Wanitanya.

Semalam dalam sidang media di pejabatnya, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Satu klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang dikatakan untuk menentukan pelantikan hakim-hakim kanan "yang sehaluan".

Sementara itu, sebelum menyerah laporan tersebut Siva membaca kandungan laporan tersebut kepada media yang berada di pejabat BPR berkenaan.

Laporan tersebut berbunyi:

"Baru-baru ini KeADILan menerima satu rakanan video di mana daripada kandungannya boleh dilihat dan didengar satu perbualan melalui telefon bimbit di antara seorang yang dipercayai adalah peguam kanan Dato' V K Lingan dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz.

Kami difahamkan perbualan itu berlaku di tahun 2002 di rumah Dato' VK Lingam di Kelana Jaya, Petaling jaya.

Daripada kandungan perbualan itu. pada waktu itu TUn Fairuz adalah Hakim Besar Malaya (Jawatan No 3 dalam hierarki badan kehakiman) dan memangku jawatan Presiden Mahkamah Rayuan (Jawatan nombor 2) sebab President Tan Sri Wan Adnan mengalami masalah kesihatan.

Perbualan itu adalah berkenaan usaha peguam VK Lingam supaya memastikan bahawa Tun Fairuz dilantik kepada jawatan Presiden Mahkamah Rayuan).

Perbulan itu juga mendedahkan peranan tokoh korperat Tan Sri Vincent Tan dan juga menteri Wilayah-wiayah Persekutuan (pada waktu itu, yang sekarang adalah menteri Pelancongan) Tengku Adanan Tengku Mansor.

Kami percaya kandungan perbualan yang dirakmakan dalam video itu menunjukkan rasuah dalam perkara perlantikan hakim-hakim kanan dan asti ada implikasi serius dalam pengendalian kes-kes di mahkamah.

Dalam sebahagian rakaman itu yang diberikan kepada kami dalam bentuk video ada juga disebut kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kami ingin BPR menyiasat kes ini dengan teliti dan rapi."

Sementara itu, Siva berkata beliau dan Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, akan cuba mendapatkan perjumpaan dengan Majlis Raja-Raja dengan secepat mungkin untuk menyerahkan video tersebut kepada Majlis Raja-raja.

Katanya, mereka juga akan bertemu dengan Sultan Azlan Shah sebagai seorang anggota Majlis Raja-raja.

"Ini kerana beliau adalah bekas ketua hakim negara dan kita tahu di bawha perlembangaan negara majlis Raja-raja ada peranan dalam perlantikan hakim-hakim.

"Jadi kita lihat dalam hal ini adalah wajar untuk bagi maklumat ini kepada mereka untuk pertimbangan yang sewajarnya," dan itulah tindakan susulan kami," katanya kepada media.

Malah katanya semalam klip video tersebut turut diserahkan kepada Majlis Peguam Malaysia bagi satu tindakan diambil oleh majlis tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lau Tek Hai berkata mereka memandang serius pendedahan Anwar semalam bahawa wujud usaha terancang beberapa pihak campur tangan penghakiman dalam beberapa kes membabitkan elit politik.

"Pendedahan tersebut yang melibatkan rakaman video dan audio membabit peguam kanan VK Lingan dan penjawat Ketua Hakim negara sekarang, Tun Ahmad Fairuz adalah begitu memalukan sistem perundangan negara dan menambah sistem kehakiman negara yang tercemar sekian lama," kata kepada media di tempat sama.

Katanya, ini membuktikan bahawa memang wujud konspirasi di peringkat tertinggi untuk mengaturkan keputusan mahkamah dalam kes-kes tertentu. - mr

Rusuhan: Dua lagi serah diri

UTUSAN

KUALA TERENGGANU 20 Sept. – Dua lagi individu yang dicari polis bagi membantu siasatan kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud di sini pada 8 September lepas, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu hari ini.

Kedua-dua mereka yang berumur 22 dan 25 tahun yang berasal dari Kampung Kolam, Kuala Ibai dan bekerja sebagai buruh binaan menyerah diri di balai polis berkenaan kira-kira pukul 11.45 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah 1 negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, perkembangan terbaru ini menjadikan kesemuanya tujuh orang daripada 46 individu yang dicari polis bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan menyerah diri setakat ini.

‘‘Saya minta mereka yang lain menyerah diri dengan segera bagi membolehkan kita menyelesaikan kes ini dengan segera.

‘‘Jangan bimbang kerana polis tidak akan menahan mereka sewenang-wenangnya sebab kita bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, empat individu yang menyerah diri sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Polis sebelum ini mengedarkan gambar 46 lelaki yang dicari berhubung kes rusuhan dalam perhimpunan haram di Batu Buruk pada 8 September lalu.

Berikutan penyiaran gambar itu, seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah agama swasta menyerah diri Ahad lepas diikuti seorang peniaga ayam berusia 50 tahun serta dua lagi iaitu seorang pelajar dan peniaga pasar malam, semalam.

Polis memberi tempoh sehingga esok untuk individu terlibat menyerah diri dan jika gagal, gerakan mencari ke rumah akan dilakukan bagi mengesan mereka.

Menurut Khairi, individu terbabit yang mahu menyerah diri boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Terengganu, Deputi Supritendan Noor Mushar Mohamad di talian 013-9366565 atau pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Mohd. Hazwan Zulkifli (012-3674945).

Video V. K. Lingam: Peguam Negara perlu siasat

UTUSAN

PUTRAJAYA 20 Sept. – Badan kehakiman akan menghadapi kecaman hebat jika rakaman video menunjukkan seorang peguam terkemuka berbual dengan seseorang yang dilihat sebagai hakim kanan berhubung pelantikan para hakim, adalah rakaman benar.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, kandungan rakaman video selama 14 minit itu mempunyai implikasi yang serius.

Berikutan itu, Karpal yang juga seorang peguam, menggesa Peguam Negara menyiasat perkara tersebut.

‘‘Saya akan membawa perkara ini ke Parlimen apabila sidang disambung selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, melalui notis kepentingan awam,” kata Ahli Parlimen kawasan Gelugor ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan rakaman video yang mendakwa dirakam pada 2002 ketika hakim kanan berkenaan telah memegang jawatan penting dalam badan kehakiman.

Rakaman video tersebut menunjukkan seorang peguam yang dikatakan sebagai Datuk V. K. Lingam sedang berbual melalui telefon tentang bagaimana dia membantu hakim dilantik ke jawatan penting melalui seorang ahli perniagaan dan seorang ahli politik yang rapat dengan bekas Perdana Menteri.