Tuesday, June 30, 2009

POLITIK : SELASA 30 JUN 2009

PM sifatkan debat tidak bawa faedah
PUTRAJAYA 29 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak nampak sebarangfaedah diadakan debat antara Pas dan UMNO dalam menyelesaikanpermasalahan umat Islam dan menentukan masa depan negara.




Pemimpin politik, NGO bidas
KUALA LUMPUR 29 Jun – Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) hari ini membidas tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul AzizNik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untukberdebat.

Nik Aziz tidak berganjak
KOTA BHARU 29 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat(gambar) mempertahankan pendiriannya untuk berdebat dengan PerdanaMenteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah akan tetap menghantar suratmempelawa mengadakannya secara terbuka.

Saya tidak dimaklum – Hadi
KUALA LUMPUR 29 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berjumpa denganDatuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenaicadangannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib TunRazak.

Pemuda Pas pilih muzakarah
KUALALUMPUR 29 Jun – Dewan Pemuda Pas mahu bermuzakarah dengan PergerakanPemuda UMNO bagi membincangkan dakwaan yang dibangkitkan oleh MursyidulAm Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa UMNO sama dengan partikomunis dan ajaran sesat.






Tuan Aziz pilihan terbaik
PUTRAJAYA 29 Jun - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya KecilDewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat merupakanpilihan terbaik untuk para pengundi di kawasan itu, kata Datuk SeriNajib Tun Razak.


RM89.8j bantu rakyat miskin
KUALAKRAI 29 Jun - Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)membelanjakan sebanyak RM89.8 juta untuk membantu rakyat miskinkhususnya kaum wanita di negeri Kelantan sejak Januari 2007 hingga Meilalu.

Royalti minyak: Pas perlu ubah pendekatan
KOTABHARU 29 Jun - Kerajaan negeri diminta supaya mengubah pendekatandengan mengadakan rundingan bersama kerajaan Pusat sekiranya mahumenuntut wang royalti minyak dan gas yang didakwa berada dalam perairanKelantan.

3,030 pegawai, anggota polis di Manek Urai
KOTA BHARU 29 Jun - Polis Kelantan menempatkan seramai 3,030 pegawaidan anggota untuk mengawal keselamatan dan menjaga ketenteramansepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) ManekUrai.

UMNO mampu tarik golongan muda
PUTRAJAYA29 Jun - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakinketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Terengganu mampumemikul tanggungjawab lebih besar demi masa depan parti dan rakyatnegeri itu.

PKR bantah Johari dilucut jawatan
PULAUPINANG 29 Jun - Kerajaan Pulau Pinang melucutkan jawatan wakil PartiKeadilan Rakyat (PKR) dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),Johari Kassim berkuat kuasa Jumaat lepas berikutan tindakannyamengetuai usaha memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua MPSP,Mokhtar Mohd. Jait pada 4 Jun lalu.







Najib tolak pelawaan debat terbuka Nik Aziz
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam menolak jemputan Mursyidul Am Pas, DatukNik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan debat terbuka bagimenyelesaikan isu perbezaan politik antara Umno dan Pas yang berlakusejak sekian lama.

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM
KUALALUMPUR: Presiden Pas tidak tahu menahu cadangan Mursyidul Am Pas, DatukNik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan PerdanaMenteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan kekalutan politikantara parti itu dengan Umno.

Calon BN yakin peluang cerah di Manek Urai
KUALAKRAI: Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, yangakan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Manek Urai,berharap semangat ditunjukkan semua ahli dan penyokong BN ketikanamanya diumumkan sebagai calon kelmarin, dapat diterjemahkan kepadakemenangan pada hari pengundian 14 Julai ini.

PKR bantah tindakan DAP Pulau Pinang
GEORGETOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah tindakan kerajaan negeri diketuaiDAP memecat Ahli Jawatankuasa Perhubungan parti itu, Johari Kassimsebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) berkuat kuasaJumaat lalu.






Kes liwat: Rayuan Anwar hari ini
PUTRAJAYA 29 Jun - Mahkamah Rayuan menangguhkan esok bagi mendengarrayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahimterhadap perintah supaya kes liwat yang dihadapinya dibicarakan diMahkamah Tinggi.

PKR bantah tindakan DAP Pulau Pinang

PKR bantah tindakan DAP Pulau Pinang
Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Syed Ismail Syed Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my

Pecat ketua whip kerana boikot majlis angkat sumpah pelantikan YDP Seberang Prai

GEORGETOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah tindakan kerajaan negeri diketuai DAP memecat Ahli Jawatankuasa Perhubungan parti itu, Johari Kassim sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) berkuat kuasa Jumaat lalu.

Keputusan untuk memecat dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu berikutan tindakan Johari yang juga Ketua Whip PKR dalam MPSP mengetuai tindakan memboikot majlis angkat sumpah Yang Dipertua (YDP) MPSP, Mokhtar Mohd Jait, 4 Jun lalu.

Keputusan kerajaan negeri itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow, semalam.

Bagaimanapun, keputusan itu ditolak PKR Pulau Pinang yang menegaskan parti berkenaan tetap berpegang dengan keputusannya sebelum ini supaya Johari dikekalkan sebagai ahli majlis dan Ketua Whip MPSP.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, berkata pihaknya tetap dengan pendirian mahu Johari kekal sebagai ahli majlis kerana beliau menyesali perbuatannya yang berpunca daripada salah faham dan komunikasi.

"Kami tetap berpegang dengan pendirian itu dan surat sudah dihantar Setiausaha Agung PKR (Datuk Salehuddin Hashim) kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya keputusan kerajaan negeri itu ditarik balik," katanya ketika dihubungi.

Malah, Johari yang dihubungi juga menegaskan bahawa beliau tetap menghadiri mesyuarat bulanan MPSP yang dijadualkan hari ini (Selasa) kerana masih belum menerima surat pelucutan jawatan.

Pada upacara angkat sumpah Mokhtar, hanya seorang daripada sembilan ahli majlis daripada PKR hadir. MPSP mempunyai 24 ahli majlis iaitu 10 DAP, sembilan PKR, dua Pas dan tiga mewakili badan bukan kerajaan.

Johari bertindak demikian kerana membantah keputusan kerajaan negeri melantik kakitangan awam menduduki jawatan itu, bukannya ahli politik daripada PKR.

Tindakan memboikot majlis itu memberi tamparan hebat kepada kerajaan PR pimpinan DAP.

Mengulas lanjut pemecatan itu, Chow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata keputusan dibuat pada mesyuarat Exco yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri.

"Keputusan dibuat mengikut Seksyen 10 (4) Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu tindakan melucutkan jawatan Ahli Majlis MPSP boleh diambil apabila seseorang itu meletak jawatan, mempunyai kepentingan peribadi atau pelantikan dibatalkan kerajaan negeri.

"Perkara membabitkan Johari merujuk kepada tindakan ketiga iaitu pembatalan sebagai ahli majlis oleh kerajaan negeri," katanya sambil menjelaskan tujuh lagi Ahli Majlis MPSP yang menyertai boikot tidak dikenakan tindakan.

Beliau juga menjelaskan surat pelucutan jawatan dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, semalam.

Sementara itu, Johari berkata, beliau tidak akan menerima keputusan berkenaan serta menganggapnya sebagai dibuat oleh DAP, bukannya sebulat suara oleh ahli Exco.

"Saya tahu ahli Exco kerajaan negeri PKR tidak menerima keputusan itu, tetapi memandangkan majoriti ahli Exco adalah daripada DAP, maka keputusan berkenaan dapat dibuat.

"Tindakan mereka (DAP) itu jelas membelakangkan semangat Pakatan Rakyat. Saya hanya akan berundur jika diminta PKR kerana merekalah yang melantik saya ke jawatan ahli majlis MPSP berdasarkan kuota parti," katanya.





PKR bantah Johari dilucut jawatan

PULAU PINANG 29 Jun - Kerajaan Pulau Pinang melucutkan jawatan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Johari Kassim berkuat kuasa Jumaat lepas berikutan tindakannya mengetuai usaha memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd. Jait pada 4 Jun lalu.

Tindakan itu segera dibantah oleh PKR yang mahu Ketua Menteri, Lim Guan Eng menarik balik keputusan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow berkata hari ini, tindakan terhadap Johari itu dipersetujui pada 26 Jun lepas dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri, yang juga mengandungi wakil-wakil PKR termasuk Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman.

"Ini keputusan Exco dan dalam majlis mesyuarat itu terdapat juga beberapa wakil daripada PKR termasuk Mansor Othman yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang. Mereka maklum mengenai perkara ini," katanya.

Kon Yeow berkata, surat pembatalan pelantikan Johari akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi berkata, parti itu berpendirian Johari tidak sepatutnya dilucutkan jawatannya.

Pada mesyuarat PKR Pusat semalam, Setiausaha Agung parti telah diarah supaya menulis surat kepada Ketua Menteri mengenai pendirian PKR yang tidak bersetuju dengan tindakan terhadap Johari itu.

"Saya percaya surat itu telah dihantar dan mungkin dalam perjalanan kepada Lim dan kita mohon beliau pertimbangkan keputusan mesyuarat Exco itu," katanya.

Tambahnya, beliau telah dimaklumkan oleh Mansor mengenai keputusan Exco tersebut dan sebab itu perkara berkenaan dibawa ke peringkat PKR Pusat.

Beliau berharap dapat mengadakan perbincangan dengan Guan Eng. - BERNAMA

Najib tolak pelawaan debat terbuka Nik Aziz

Najib tolak pelawaan debat terbuka Nik Aziz

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam menolak jemputan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan isu perbezaan politik antara Umno dan Pas yang berlaku sejak sekian lama.

Perdana Menteri berkata, beliau menolak jemputan itu kerana berpendapat bahawa cara dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan perkara itu atau masa depan umat Islam, negara serta kekalutan politik di antara kedua-dua parti ialah menerusi musyawarah.

"Saya tak nampak apa faedahnya debat ini, saya nampak ramai orang tidak bersetuju dengan debat yang tak mendatangkan apa-apa faedah.

"Soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui debat. Jalan terbaik bukan debat tapi forum bermusyawarah dan mengadakan perbincangan secara ikhlas untuk membincangkan masa depan umat Islam dan negara," katanya dalam temuramah khas sempena Hari Peneroka Kebangsaan di Sri Satria, di sini, petang semalam.

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai undangan Nik Abdul Aziz kepada beliau untuk mengadakan debat terbuka kononnya bagi menyelesaikan kekalutan politik Pas dan Umno yang berlaku sejak sekian lama.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan berkenaan sudah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Najib berkata, kritikan dan unsur kutuk-mengutuk perlu dielakkan sebelum kedua-dua pihak boleh duduk berbincang.

"Janganlah kita mengutuk pihak lain. Jika kita sudah hina dan kutuk pihak lain, bererti orang kita ini tak nak cari kata sepakat sedangkan kesepakatan ini sangat penting untuk masa depan umat Islam dan negara," katanya.

Ditanya mengenai kelantangan Pas dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat mengutuk Umno berikutan cadangan debat itu, Najib berkata, sebenarnya Pas sedang berpecah dan ada orang dalam parti itu mahu duduk berbincang manakala sebahagian lagi menentang.

"Jadi kita tengok apa yang berlaku. Ia terpulang kepada Pas. Umno sudah menjelaskan kedudukan kita, dalam erti kata lain kita sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Pas.

"Tapi terpulang kepada Pas untuk memutuskan sama ada mereka mahu melakukannya. Pokoknya keputusan kini berada dalam tangan Pas," katanya.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan, Tuan Aziz Tuan Mat, Perdana Menteri berkata, calon itu terbukti kemampuannya ketika bertugas sebagai Pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan banyak berurusan dengan orang ramai dan orang tempatan.

Najib berkata, orang tempatan di kawasan itu begitu mengenali Tuan Aziz dan sekiranya dilihat dari segi kemampuan serta daya kepemimpinannya, ternyata beliau memang layak menjadi calon BN.

"Saya lihat apa yang dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi rekod prestasi dan kemampuan. Maknanya kita sudah menetapkan calon terbaik untuk pengundi di Manek Urai," katanya.

"Jadi sekarang kita berharap jika mereka ingin kepimpinan dia itu dapat diterjemahkan dalam bentuk wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita jadi wakil rakyat di kawasan Manek Urai," katanya.







PM sifatkan debat tidak bawa faedah

Oleh Noraini Abd. Razak
dan Zabry Mohamad
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak nampak sebarang faedah diadakan debat antara Pas dan UMNO dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam dan menentukan masa depan negara.

Perdana Menteri berkata, forum terbaik untuk menangani kedua-dua isu itu adalah menerusi musyawarah dan mengadakan perbincangan secara ikhlas.

‘‘Saya tak nampak apa faedahnya debat. Saya nampak ramai orang tidak bersetuju diadakan debat yang tidak mempunyai apa-apa faedah,’’ katanya kepada pemberita di kediamannya di Sri Satria di sini, hari ini.

Najib ditanya kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempelawa Najib berdebat dengannya secara terbuka.

Kenyataan Menteri Besar Kelantan itu menyusul selepas Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, sepatutnya sebelum sebarang perbincangan boleh dilangsungkan, sesuatu pihak itu jangan mengutuk pihak lain.

‘‘Kalau kita menghina dan mengutuk pihak lain bererti bahawa kita tak nak cari kata sepakat. Kesepakatan itu penting untuk masa depan umat Islam dan negara,’’ katanya.

Nik Aziz ketika berceramah di Padang Awam Laloh baru-baru ini menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis kerana menolak Islam.

Ditanya pertentangan di antara Pas dan UMNO yang tidak berkesudahan menyukarkan usaha perpaduan Melayu, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku menunjukkan wujud perpecahan dalam Pas.

Katanya, terdapat kumpulan dalam parti itu yang mahu duduk berbincang dan UMNO menunggu perkembangan selanjutnya di pihak Pas.

‘‘Kita tengok macam mana, apa yang berlaku terpulang kepada Pas. UMNO telah menyatakan pendirian.

‘‘Dalam erti kata lain kita sentiasa bersikap terbuka kepada sebarang perbincangan dengan Pas,’’ katanya.

Nik Aziz tidak berganjak

Nik Aziz tidak berganjak

KOTA BHARU 29 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mempertahankan pendiriannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah akan tetap menghantar surat mempelawa mengadakannya secara terbuka.

Beliau kecewa dengan penolakan pemimpin UMNO terhadap cadangan itu atas alasan membuang masa dan tidak memberikan sebarang faedah.

"Sekiranya benar UMNO memperjuangkan Islam, ia tidak harus bersalut dengan fahaman lain (kebangsaan) yang menyebabkan keadaan bercelaru dan tidak menjadikan Pas sebagai seteru.

"Islam macam mana (UMNO)? Dia lawan kami, dasar kami terang-terangan Islam. Kalau UMNO Islam juga, tak payah lawan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya lagi, surat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri lusa.

Nik Aziz turut menafikan cadangan debat itu dibuat untuk kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Semalam, dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan debat itu bukan pendekatan yang baik bagi menyelesaikan isu yang menyentuh kepentingan umat Islam di negara ini.

Dr. Mahathir menganggap debat terbuka hanya membuang masa manakala Abdullah merasakan lebih baik jika kedua-dua pemimpin parti Melayu itu duduk berbincang dalam semangat persaudaraan sesama Islam.

Ditanya mengapa tidak diambil pendekatan muzakarah sebagai jalan terbaik, Nik Aziz berkata, ia tidak akan menyelesaikan isu umat Islam.

''Saya nak minta tentukan kenapa orang Melayu yang sudah beragama Islam tolak dasar Islam. Debat selaras dengan tuntutan Allah selepas nasihat, ceramah dan bila hikmah dilakukan.

''Bagaimana nak abdi kepada Allah melainkan menerusi nabi yang membawa Islam bersama iman dan ishan. Bila kita buat pandai-pandai dengan nasionalis, sosialis, demokrasi, habis kacau," ujarnya.

Beliau percaya, debat tidak terarah kepada perbalahan dan menyifatkan ia sebagaimana prosedur mahkamah dengan peguam dan pendakwa masing-masing berhujah mencari kebenaran sebelum diputuskan.

Ditanya sama ada akan terus menutup 'pintu' bagi menyelesaikan kemelut umat Islam dan ummah keseluruhannya, beliau berkata:

''Saya minta satu sahaja (debat), yang lain, kita kira semula. Orang tolak debat, kita henti dulu.''

Menyentuh pendirian kerasnya menolak gagasan perpaduan melalui hubungan dua parti sebelum ini, Nik Aziz menegaskan, dengan kedudukan itulah, beliau sebenarnya lebih inginkan perpaduan.

''Tetapi perpaduan berasaskan Islam. Nabi sendiri menentang bapa saudara, bapa mertua kerana perjuangkan Islam sehingga kena halau ke Madinah.

''Saya hendak bersatu, tetapi atas dasar apa, gangster juga bersatu. Ah long juga bersatu. Benda ini akan jadi bekal akhirat. semua manusia nak bersatu lebih-lebih lagi Islam kerana ia agama menyatukan dengan hala tuju yang jelas," ujarnya.

Katanya lagi, soal perpecahan akan sentiasa berterusan melainkan semua pihak bersatu tujuan menjadi hamba Allah yang setia dan segala kebaikan akan muncul bersama itu.

Ditanya mengapa beliau seolah-olah tunduk kepada kepentingan pakatan pembangkang dan bukannya kepentingan umat Islam sehingga menolak gagasan perpaduan, Nik Abdul Aziz menjelaskan;

''Kalau Melayu sahaja bukan ummah, kerana ummah adalah seluruh rakyat. Perjuangan ummah lebih bermakna dalam pakatan berbanding dengan perpaduan yang dianjurkan.''

Pemuda Pas pilih muzakarah

Pemuda Pas pilih muzakarah

KUALA LUMPUR 29 Jun – Dewan Pemuda Pas mahu bermuzakarah dengan Pergerakan Pemuda UMNO bagi membincangkan dakwaan yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa UMNO sama dengan parti komunis dan ajaran sesat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, muzakarah adalah medan terbaik berbanding pendekatan lain seperti berdebat kerana pelaksanaannya berdasarkan semangat musyawarah.

Beliau berkata, melalui muzakarah mereka yang terbabit dengan perbincangan itu boleh mengemukakan hujah serta pendapat masing-masing dengan lebih selesa dan kondusif.

“Apabila disebut muzakarah masing-masing boleh kemukakan hujah dan pendapat masing-masing dengan berpaksikan kebenaran. Maksud saya melalui muzakarah tiada pihak yang cuba menegakkan benang yang basah.

“Ketika bermuzakarah kebenaran tetap kebenaran dan ia tidak berubah. Bagi kami muzakarah lebih berbentuk wacana keilmuan yang sepatutnya disuburkan demi kepentingan ummah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Aziz dalam ceramahnya di Kuala Krai baru-baru ini telah menyamakan UMNO dengan komunis serta ajaran sesat Ajaran Ayah Pin.

Selain itu, Nasrudin berkata, perbincangan melalui muzakarah lebih rasional tanpa ada pihak yang bertindak secara emosional serta mengikut perasaan.

“Ini yang menyebabkan kami memilih pendekatan untuk bermuzakarah dengan Pemuda UMNO bagi menyelesaikan isu yang timbul ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, sekiranya muzakarah itu berjaya ia merupakan satu titik permulaan bagi Pemuda Pas untuk mengadakan lebih banyak perbincangan berbentuk keilmuan antara kedua-dua belah pihak.

Pemimpin politik, NGO bidas

Pemimpin politik, NGO bidas

KUALA LUMPUR 29 Jun – Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat.

Mereka menyifatkan cabaran debat oleh Menteri Besar Kelantan itu sebagai satu perkara sia-sia kerana ia akan menyebabkan perpecahan lebih teruk di kalangan masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, debat terbuka bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku kerana banyak kaedah lain yang boleh diambil seperti perbincangan berhemah.

Katanya, sebagai seorang yang digelar ‘tok guru’, Nik Abdul Aziz sendiri lebih mengetahui jalan penyelesaian terbaik tetapi beliau memilih debat terbuka kerana ingin ‘bermain politik’.

“Saya tidak fikir Perdana Menteri tidak mampu berdebat dengan Nik Abdul Aziz tetapi kerana beliau memikirkan kesan kepada kehidupan bermasyarakat dan negara,” katanya di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas cabaran Nik Abdul Aziz yang mengajak Najib berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar pula berkata, Nik Aziz cuba ‘menunjuk pandai’ apabila mencabar Perdana Menteri berdebat dalam dakwaannya bahawa UMNO adalah sama dengan komunis dan ajaran sesat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, perdebatan yang dianggap kerja sia-sia itu bakal menjadi majlis paling tidak berfaedah seandainya diadakan.

Tegasnya, Nik Abdul Aziz tidak perlu ‘mencuri pandangan’ masyarakat menerusi jemputan debat dengan mengandaikan masyarakat melupakan kesalahannya yang menolak kerajaan perpaduan baru-baru ini.

Kes liwat: Rayuan Anwar hari ini

Kes liwat: Rayuan Anwar hari ini

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Jun - Mahkamah Rayuan menangguhkan esok bagi mendengar rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perintah supaya kes liwat yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdull Hamid Embong membenarkan permohonan peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Anwar untuk menangguhkannya dengan alasan Ketua Pembangkang itu perlu menghadiri persidangan Parlimen.

Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Sulaiman menyatakan, anak guamnya perlu menghadiri persidangan itu bagi mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai Kod Etika Hakim yang dijadual pembentangannya hari ini.

Sementara itu, pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden tidak membantah penangguhan itu bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis dan mengemukakan beberapa dokumen rayuan.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar rayuan Anwar, 62, yang tidak berpuas hati dengan perintah Mahkamah Tinggi yang mengetepikan keputusan mengekalkan perbicaraan itu di Mahkamah Sesyen.

Ketua Pembangkang itu hadir di mahkamah ditemani oleh isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan ahli keluarga serta sahabat terdekat.

Pada 5 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan agar perbicaraan kes liwat itu didengar di Mahkamah Sesyen.

Anwar mencabar kesahihan sijil pemindahan yang ditandatangani Tan Sri Abdul Gani Patail dengan menyatakan Peguam Negara tidak layak menandatangani sijil itu kerana beliau masih disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan laporan polis Anwar terhadap insiden 'mata lebamnya'.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada 8 Julai ini di hadapan Hakim Mohamad Zabidin.

Ketika ditanya di luar mahkamah mengenai peluang pembangkang memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, Anwar yakin Pas masih boleh bertahan walaupun terdapat serangan peribadi terhadap Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini, Nik Abdul Aziz dilaporkan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat kerana tidak berpuas hati dengan laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO Kelantan terhadapnya ekoran kenyataan yang menyamakan parti itu seperti ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng, dalam ceramahnya di Manek Urai baru-baru ini.

''Serangan peribadi sebegini satu perkara yang tidak sihat kerana Nik Abdul Aziz seorang yang dihormati dan disegani,'' ujar beliau sebelum meninggalkan pekarangan Istana Kehakiman di sini.

Bekas Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat diumumkan sebagai calon BN manakala Pas diwakili oleh Mohd. Fauzi Abdullah untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang dijadualkan berlangsung 14 Julai ini.

Royalti minyak: Pas perlu ubah pendekatan

Royalti minyak: Pas perlu ubah pendekatan

KOTA BHARU 29 Jun - Kerajaan negeri diminta supaya mengubah pendekatan dengan mengadakan rundingan bersama kerajaan Pusat sekiranya mahu menuntut wang royalti minyak dan gas yang didakwa berada dalam perairan Kelantan.

Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata, kerajaan negeri tidak harus sekadar banyak bercakap di luar daripada mengemukakan bukti kukuh serta memohon mengikut saluran yang betul.

Beliau berkata, kerajaan Pusat tiada sebab untuk menghalang sekiranya kerajaan negeri memang berhak ke atas royalti berkenaan

"Saya setuju kalau kerajaan negeri minta (royalti), kalau ada sungguh (minyak dan gas) tetapi jika hanya berdasarkan kertas sekeping sahaja tidak cukup dan tidak padan untuk bising di luar (dalam ceramah-ceramah).

"Apa salahnya buat perundingan yang baik dengan kerajaan Pusat, jangan marah-marah dan sinis pada orang bila kita hendak minta duit.

"Soalnya adakah cukup tunjuk sekeping kertas dan kata orang itu hutang kepada kita," katanya ketika perbahasan Enakmen Perbekalan Tambahan Pertama 2009 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Sebelum ini, Pas yang mentadbir Kelantan sejak 18 tahun lalu mendakwa kerajaan Pusat perlu membayar royalti minyak sebanyak RM900 juta kepada kerajaan negeri ini.

Ia disebabkan beberapa buah pelantar minyak dikatakan berada dalam kawasan perairan Kelantan.

Isu ini menjadi polemik politik terkini apabila ia mula diperkatakan di pentas-pentas ceramah ketika pakatan pembangkang berkempen pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Mohd. Alwi berkata, kerajaan Pusat tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

"Teruskan dengan perundingan bawa Menteri Besar, pegawai kewangan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumpa dengan Perdana Menteri mengenai masalah ini.

"Kita harus bekerjasama dan tidak perlu bergaduh, untuk rakyat tidak apa, tidak ada masalah boleh kerjasama kerana kita ada tanggungjawab yang sama untuk membangunkan rakyat," katanya.

Tambahnya, pertelingkahan akan memburukkan lagi keadaan dan tidak dapat membantu untuk memberikan faedah kepada negeri ini.

Tuan Aziz pilihan terbaik

Tuan Aziz pilihan terbaik

Oleh NORAINI RAZAK, ZABRY MOHAMAD dan MOHD. FAIRUZ YUSOF
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Jun - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat merupakan pilihan terbaik untuk para pengundi di kawasan itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana, jelas Perdana Menteri, daya kepimpinan Tuan Aziz telah terbukti berdasarkan kemampuannya melaksanakan tugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan baik.

Menurutnya, tugas tersebut telah menjadikan Tuan Aziz lebih rapat dengan masyarakat setempat sehinggakan beliau begitu dikenali.

"Apa yang telah dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi rekod prestasi dan kemampuannya.

"Jadi maknanya kita telah pun meletakkan calon yang terbaik untuk pengundi di DUN Manek Urai," katanya ketika ditemuramah sempena Hari Peneroka di kediamannya di sini hari ini.

Semalam, Tuan Aziz, 39, yang merupakan Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Kesedar diumumkan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, 14 Julai ini.

Najib memberitahu, berdasarkan faktor-faktor yang diberikan, beliau percaya Tuan Aziz berupaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat dengan baik dan berkesan.

Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, beliau berharap para pengundi di kawasan berkenaan tidak akan mempersia-siakan kelebihan yang ada pada calon BN tersebut.

"Kita berharap kalau mereka (pengundi) ingin kepimpinan dia (Tuan Aziz) dapat diterjemah dalam bentuk seorang wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita sebagai wakil rakyat di Manek Urai," jelasnya.

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Fatin Hafizah Mohd Shahar, Khairul Azran Hussin dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my

Idea MB selesai kekalutan politik tidak dibincang pada mesyuarat AJK Pas Pusat

KUALA LUMPUR: Presiden Pas tidak tahu menahu cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan kekalutan politik antara parti itu dengan Umno.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau hanya tahu mengenai cadangan untuk berdebat itu melalui laporan media.

"Saya belum mendapat apa-apa maklumat daripada tok guru (Nik Aziz), cuma tahu daripada akhbar saja... saya tidak dapat kenyataan penuh. Jadi, saya akan jumpa tok guru untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas pelawaan Menteri Besar Kelantan kepada Najib supaya berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik antara kedua-dua parti yang berlarutan.

Sementara itu, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana debat secara terbuka tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

"Tujuan debat itu untuk apa? Kalau nak cari populariti berdebatlah. Tapi kalau nak selesai masalah, dialoglah," katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan pentas lebih sesuai iaitu berbincang mencari kesepakatan Islam dan Melayu menerusi dialog tertutup.

"Saya lebih suka diadakan dialog tertutup dan berbincang dalam bentuk kumpulan. Kita akan tahu apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati antara kita semua," katanya.

Zulkifli berkata, dialog itu juga perlu dihadiri seorang pengendali yang berpengalaman dalam agama dan ummah bagi memastikan kelancaran.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob pula mengakui idea Nik Abdul Aziz itu tidak dibincangkan pada peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, sebaliknya atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menyokong debat terbuka antara Pas dan Umno.

Ditanya kemungkinan cadangan debat mendapat tentangan pemimpin Pakatan Rakyat seperti isu kerajaan perpaduan sebelum ini, beliau berkata, kedua-dua isu itu dua perkara berbeza.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz berkata beliau tetap akan menghantar surat kepada Najib untuk mengajaknya berdebat walaupun pelbagai pihak membantah hasratnya itu.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau berkata, tindakan Umno itu tidak betul kerana belum sempat surat dikirim, keputusan menolak sudah dibuat.

"Laporan akhbar hari ini, nampaknya semua sebut tidak mahu debat. Saya dukacita kerana debat ini cara paling baik dalam Islam dan demokrasi," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, semalam.






Saya tidak dimaklum – Hadi

KUALA LUMPUR 29 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berjumpa dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai cadangannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Pas itu berkata, Mursyidul Am Pas itu tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut dan tiada sebarang perbincangan dilakukan antara mereka berhubung debat berkenaan.

“Saya belum dapat apa-apa maklumat daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz, cuma tahu daripada akhbar sahaja.

“Saya tidak dapat nak komen kerana tak dapat kenyataan penuh daripada Tok Guru. Saya akan jumpa beliau mengenai maksud itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz kelmarin yang mencabar Najib berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda Pas dan UMNO.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, cadangan Nik Abdul Aziz itu sesuatu yang baik.

“Saya rasa kita tidak perlu takut dengan debat ataupun muzakarah dan seumpamanya, tetapi saya rasa dalam konteks Tok Guru ini, pelawaan itu adalah satu perdebatan peribadi antara beliau dan Najib.

“Perdebatan ini elok untuk diadakan dan perlu ada stesen televisyen yang menyiarkan siaran langsung perdebatan itu. Ini akan menunjukkan satu proses demokrasi di kalangan pemimpin negara kita,” katanya.

Salahuddin berkata, beliau difahamkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan akan menghantar surat pelawaan berdebat hari ini kepada Najib.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, penolakan daripada ahli-ahli UMNO terhadap cadangan debat itu agak mengecewakan.

“Sudah tentu kita kecewa. Ini menunjukkan ketidaksediaan UMNO bersemuka dengan kita dalam suasana yang boleh dilihat oleh rakyat.

“Ini adalah satu peluang untuk kedua-dua parti memberikan pandangan masing-masing,” katanya.

Calon BN yakin peluang cerah di Manek Urai

Calon BN yakin peluang cerah di Manek Urai


TUAN AZIZ (kanan) beramah-mesra dengan peniaga tepi jalan Kampung Sungai Soh Luar, dekat Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI: Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Manek Urai, berharap semangat ditunjukkan semua ahli dan penyokong BN ketika namanya diumumkan sebagai calon kelmarin, dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian 14 Julai ini.

Beliau berkata, sebagai anak tempatan yang memahami budaya dan masalah masyarakat setempat, apa lagi sering berurusan dengan penduduk sepanjang bertugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), BN seharusnya boleh mencipta kemenangan walaupun Manek Urai dianggap sebagai kubu kuat Pas.

"Secara tradisi, Manek Urai memang dianggap kawasan Pas, tetapi saya yakin mempunyai peluang cerah untuk menang di sini kerana mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk peringkat akar umbi.

"Apa yang penting saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat, di samping sokongan padu dan kerja keras daripada jentera parti dan saya percaya kita tidak akan memberi saingan paling sengit kepada Pas," katanya ketika ditemui di Pusat Operasi BN Manek Urai, di sini, petang semalam.

Terdahulu, beliau yang tidak sampai 24 jam dinamakan sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tanpa membuang masa mengambil kesempatan beramah-mesra dengan pengundi sekitar Manek Urai bagi memperkenalkan diri serta mendengar masalah dihadapi mereka.

Tuan Aziz, 39, yang juga bekas Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar itu dibesarkan serta mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah di Kuala Krai dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta aktif dalam pergerakan sosial di Kuala Krai.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen mulai 6 Julai ini, beliau akan mengamalkan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah serta berusaha sedaya-upaya untuk bersemuka dengan seramai mungkin pengundi DUN Manek Urai.

"Bagi saya, rakyat Manek Urai memerlukan seorang pemimpin sensitif terhadap keperluan mereka serta seorang wakil rakyat yang mampu mengetengahkan masalah dihadapi mereka, Insya-Allah saya akan memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di sini," katanya.

UMNO mampu tarik golongan muda

UMNO mampu tarik golongan muda

PUTRAJAYA 29 Jun - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Terengganu mampu memikul tanggungjawab lebih besar demi masa depan parti dan rakyat negeri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, keyakinan itu berasaskan kepada jaminan mereka untuk membantu UMNO Pusat melaksanakan semua langkah bagi mengukuhkan sokongan golongan muda kepada parti tersebut.

''Dalam politik tidak ada jaminan tetapi sekurang-kurangnya perbincangan hari ini tidak berkisar kepada kumpulan tertentu," katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih tiga jam bersama Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Terengganu di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyatakan kesediaan untuk menjadi 'jambatan' bagi merapatkan hubungan antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang dilihat mampu mengukuhkan lagi perpaduan ahli di semua peringkat.

''Masalah dalam parti bukan perkara baru, kita sudah buat pemantauan dan kadang-kadang ia berkisar kepada personaliti dan perkara-perkara lama yang berhubung kait di peringkat bahagian dan Pusat.

''Saya sudah bagi masa kepada mereka melihat permasalahan tersebut sebagai sejarah dan kini fokus ke depan demi keutuhan parti,'' katanya.

Beliau tidak menganggap tugas dan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sebagai berat jika ahli-ahli parti menerimanya dengan hati terbuka dan ikhlas.

''Kita sudah jauh lebih baik dari dulu, kita sudah merancang pelbagai agenda dan program dalam masa terdekat sejajar dengan arus gelombang perpaduan Melayu,'' katanya.

3,030 pegawai, anggota polis di Manek Urai

3,030 pegawai, anggota polis di Manek Urai

KOTA BHARU 29 Jun - Polis Kelantan menempatkan seramai 3,030 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi memberitahu, penempatan keanggotaan akan dibuat berperingkat mengikut enam fasa dengan permulaan 40 peratus anggota daripada Ibu Pejabat Kontijen Kelantan dan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.

"Fasa-fasa tersebut adalah sebelum penamaan calon, hari penamaan calon, tempoh berkempen, masa tamat berkempen, hari pengundian dan pasca pilihan raya," ujarnya.

Beliau berkata, fasa kritikal dan perlu diberi perhatian adalah semasa berkempen selepas penamaan calon dan memerlukan pemantauan lebih tinggi.

"Ketika ini, permit-permit ceramah akan mula dimohon dan pihak kami perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kebenaran tersebut.

"Bagaimanapun, kami beri jaminan permit akan dikeluarkan selagi parti bertanding bersetuju mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Penghargaan kepada pegawai dan anggota oleh Kelab Lions Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini hari ini.

Seramai 12 orang termasuk pegawai dan anggota menerima surat penghargaan yang disampaikan oleh Gabenor Kelab Lions Kuala Krai, Dr. JP Kamalanathan.

Menurutnya, setakat ini, permit ceramah telah dikeluarkan oleh polis tetapi bukan untuk berkempen sebaliknya hanya merupakan ceramah biasa.

Beliau menjelaskan, sehingga kini, tiada laporan sebarang kejadian tidak diingini dibuat oleh mana-mana pihak yang berkaitan dengan pilihan raya tersebut.

"Saya harap, pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar dan menjadi contoh kepada mana-mana pilihan raya selepas ini," tambahnya.

Abdul Rahim berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan kawalan keselamatan di sekitar DUN Manek Urai dan berharap akan berterusan sehingga hari pilihan raya.

RM89.8j bantu rakyat miskin

RM89.8j bantu rakyat miskin


Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan warga emas selepas menghadiri majlis Jejari Bestari di Kampung Temalir, Kuala Krai, semalam.


KUALA KRAI 29 Jun - Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan sebanyak RM89.8 juta untuk membantu rakyat miskin khususnya kaum wanita di negeri Kelantan sejak Januari 2007 hingga Mei lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dalam tempoh yang sama pula, kerajaan negeri hanya membelanjakan sebanyak RM23.5 juta.

Katanya, jumlah itu menjadi salah satu bukti keprihatinan Kerajaan Pusat membantu rakyat jika dibandingkan kerajaan negeri yang hanya 'gah' bercakap dengan usaha membangunkan negeri itu.

"Sehingga lima bulan pertama tahun ini sahaja, JKM telah membelanjakan RM21.7 juta, tetapi kerajaan negeri Pas pula hanya mengeluarkan dana bernilai RM2.5 juta untuk membantu rakyat mereka sendiri.

"Tahun lepas pula, kita belanja RM41.2 juta berbanding kerajaan negeri sebanyak RM11 juta, manakala tahun 2007, kita membelanjakan RM26.9 juta jika dibandingkan dengan mereka iaitu hanya RM10 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jejari Bestari anjuran Jabatan Pembangunan Wanita yang bertujuan membantu golongan wanita di negeri ini menjana pendapatan di sini hari ini.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, kegagalan kerajaan negeri membantu masyarakat miskin di negeri itu merupakan antara punca ramai golongan wanita hidup melarat.

Sehubungan itu, katanya, Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai depan merupakan peluang untuk kaum wanita membela maruah mereka dan mendapat pembelaan sewajarnya.

"Selama hampir 20 tahun Pas memerintah, tetapi masih ramai golongan wanita di negeri ini yang terabai dan menjadi mangsa utama kemiskinan.

"Inilah ruang untuk kita menaikkan darjat, maruah dan kehidupan. Jangan biarkan hidup kita terus melarat tanpa bantuan," tambahnya.