Thursday, November 01, 2007

PAS mampu menangi 70 kerusi! - Husam tepis dakwaan Utusan

Razak Beghani
Thu | Nov 01, 07 | 11:24:47 am MYT

KOTA BHARU, 1 Nov (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, dengan pelbagai isu semasa yang melanda negara dan kepimpinannya, PAS bertambah yakin akan dapat memenangi lebih banyak kerusi parlimen dengan meletakkan sasaran kerusi yang lebih besar.

Tegas beliau, walaupun PAS sudah menetapkan 40 kerusi untuk dimenangi, namun mendapat keyakinan baru berikutan perkembangan isu semasa dan menambah lagi sasarannya sebagai strategi parti itu menghadapi PRU ke 12.

"40 kerusi sasaran utama kita kategori kelas A, tapi dengan pelbagai isu terkini, kita menambah 20 hingga 30 kerusi lagi yang saya sifatkan sebagai target kategori kelas B," ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya dicampur kedua-dua target kelas A dan B tersebut, PAS mampu memenangi sehingga 70 kerusi parlimen.

Husam berkata sekiranya berlaku 'vote swing' 15 peratus dari penyokong BN kepada pembangkang, sasaran 40 kerusi itu tercapai.

"Sekiranya berlaku 'vote swing' melebihi 15 peratus, maka sasaran di antara 60 hingga 70 kerusi mampu dicapai," ujarnya.

Husam berharap penjelasan beliau dapat memperbetulkan kekeliruan laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk "Keyakinan PAS Mula Goyah".

Laporan itu secara salah mengatakan bahawa sasaran PAS memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang kini berubah apabila Naib Presiden parti itu yakin hanya memenangi 20 sehingga 30 kerusi.

Laporan itu menyebut PAS mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

Dalam hal ini, Husam yakin mood pengundi akan berpihak kepada pembangkang dalam pilihan raya akan datang berdasarkan kepada pelbagai isu termasuk dalam BN sendiri, badan kehakiman, polis, BPR, kenaikan harga barangan dan desas desus kenaikan harga minyak, gas memasak serta tarif eleterik.

Beliau juga menjangkakan pelbagai faktor tersebut mendesak BN untuk mengadakan pilihanraya lebih awal, mungkin pada tahun ini juga. - mr

Kes keterangan palsu tahun 1999 - Mahkamah bebaskan Azmin Ali

Helmi Khalid | Foto Wan Zahari Salleh
Thu | Nov 01, 07 | 4:18:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Naib Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR) hari ini dibebaskan dari tuduhan memberi kenyataan palsu dan bercanggah dalam kes perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1999 yang lalu.

Image

Ini adalah kali kedua Azmin bebas dari tuduhan tersebut.

Dalam pertuduhan pertama dulu, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Hamdan Indah telah membebaskan Azmin, bagaimanapun pendakwaraya, Abdul Wahab Patail memfailkan rayuan agar kes ini dibicarakan semula pada 2001 lalu.

Jika disabitkan kesalahan, Azmin boleh dipenjara selama 18 bulan. Ekoran rayuan dan kelewatan kes dilangsungkan semula, Azmin tidak layak untuk dicalonkan dalam Pilihanraya Umum 2004 lalu.

Bagaimanapun pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Dato' Abdul Kadir Musa membebaskan Azmin dan antara alasannya kerana Mahkamah Sesyen sebelum ini telah mendapati beliau tidak bersalah.

ImageAzmin yang telah mengemukakan rayuan untuk mengenepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes Anwar diwakili peguam C.V. Prabhakaran dan Christopher Fernando.

Turut hadir pagi tadi di Kompleks mahkamah di Jalan Duta adalah Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd. Hatta Ramli, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, isteri Azmin, Shamsidar Tahrin dan beberapa pimpinan PKR yang lain. - mr

Muslimat siap sedia hadapi pilihan raya bila-bila masa

Saidah Hairan
Thu | Nov 01, 07 | 3:36:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh)- Muslimat PAS tidak gentar jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pilihan raya pada bila-bila masa walaupun jangka masa kempen pendek sebaliknya mereka cukup bersedia menghadapi pilihan raya dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Ketika pentadbiran Perdan Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jangka masa kempen bagi empat pilihan raya (1986,1990,1995 dan 1999), pilihan raya diadakan dalam tempoh sembilan atau 10 hari saja.

Pada pilihan raya 2004, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan tempoh pilihan raya terpendek selama lapan hari saja.

Berhubung tempoh kempen pendek, Naib Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, jentera Muslimat memang sudah bersedia selepas pilihan raya umum ke-11 lalu dengan melakukan pelbagai kerja mendekati pengundi.

Menurut beliau, Muslimat PAS melakukan persiapan yang lebih daripada pilihan raya sebelum ini kerana sudah berhadapan dengan 11 kali pilihan raya dan mempunyai beberapa pengalaman pahit dalam menghadapi strategi kotor Umno/BN.

"Kak Lah mengharapkan semua muslimat dan jentera Halwa di seluruh negara membuat persiapan sungguh-sungguh dan mengambil ikhtibar daripada pengalaman lalu, supaya kita tidak terjun di lubang yang sama," tegasnya.

Beliau mengingatkan Muslimat supaya mengeratkan hubungan dengan Allah, berdoa, menyebut nama Allah dalam apa sahaja kerja yang dilakukan kerana itu merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat setiap kali menghadapi peperangan.

Ini kerana katanya, kekuatan sebenar adalah kekuatan daripada Allah dan Allah saja yang mampu membalikkan rancangan kejahatan musuh.

Walau apa sahaja strategi dan kejahatan yagn dibuat oleh musuh tambah beliau jika tidak diizinkan Allah maka perancangan atau strategi itu akan hancur.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan mengingatkan seluruh Muslimat tentang kepentingan nilai satu undi itu boleh menjatuhkan kerajaan dan menaikkan sebuah kerajaan.

Selain itu menurut beliau, Muslimat dan jentera Halwa mesti ada kekuatan jati diri dari segi ilmu pilihan raya untuk menawan hati pengundi.

"Hari ini banyak isu yang memihak kepada kita contoh kenaikan harga barang keperluan cukup mendadak selepas hari raya. Kenaikan harga barang ini cukup dirasai oleh seluruh rakyat terutama golongan wanita," katanya.

Justeru, kata beliau, isu itu merupakan satu ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh jentera PAS untuk mendedahkan kepada masyarakat hasil sistem pemerintahan sekular, tekanan demi tekanan dikenakan kepada rakyat.

Disebabkan suara wanita menjadi separuh daripada rakyat Malaysia, Siti Zailah menyeru semua wanita melihat ke mana hala tuju hendak dibawa generasi akan datang.

"Adakah kita hendak harapkan tangan yang melakukan rasuah dan skandal yang akan mempimpin negara kita pada masa akan datang?" tegasnya.

Begitu juga tambah beliau suasana hari ini cukup terancam di mana bukan sahaja keselamatan anak-anak tidak terjamin bahkan orang dewasa dan juga pihak keselamatan.

Ini semua hasil daripada manifestasi menolak hukum Allah maka Allah akan memberi segala macam penyakit dalam masyarakat, tegasnya.

"Sepatutnya kita sebagai wanita perlu berfikir jauh melangkaui batasan dunia bagaimana jauhnya matlamat kita menuju akhirat dan kita fikir masa depan anak-anak yang kita kandung, anak yang disusu, dididik supaya anak-anak kita bukan sahaja selamat di dunia tetapi paling penting selamat ketika bertemu dengan Allah SWT," katanya.

Selain itu beliau mengingatkan pengundi selepas pilihan raya, jika BN memerintah, ia akan menaikkan harga minyak pada kadar tinggi.

Pada pilihan raya itu dakwanya, BN merancang menggunakan penipuan daftar pemilih yang mana daftar itu akan dikeluarkan pada saat akhir (mungkin hari penamaan calon).

Tambah beliau, dengan fakta yang mengelirukan kemungkinan ada ura-ura akan dimasukkan semula nama-nama pengundi yang telah dibantah.

Beliau berkata, demikianlah strategi kotor pimpinan Umno dan rakyat perlu sedar kerana sudah beberapa kali rakyat ditipu dengan pelbagai cara. – lanh

Perhimpunan 10 November: Bersih akan timbang untuk mohon permit

Intan Abdullah
Thu | Nov 01, 07 | 2:36:04 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Pihak polis meminta penganjur Perhimpunan Rakyat pada 10 November nanti, Gabungan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) memohon permit bagi mengadakan program tersebut.

Menurut jurucakap Bersih, Sivarasa Rasiah, pihak polis menggesa Bersih mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mana-mana pihak yang ingin mengadakan perhimpunan agar mendapatkan permit berdasarkan Akta Polis 1997.

"Namun begitu, kami juga menyatakan bahawa berdasarkan syor Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), perhimpunan aman tidak memerlukan permit dan undang-undang dicipta bukan untuk menyekat rakyat berhimpun," ujar Sivarasa selepas sesi perbincangan bersama ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zulhasnan Najib yang turut dihadiri oleh semua ketua polis daerah Kuala Lumpur, serta ketua-ketua bahagian polis.

Walau bagaimanapun katanya, Bersih akan mempertimbangkan semula tindakan selanjutnya sebelum membuat apa-apa ketetapan mengenai permit tersebut.

"Kami akan merujuk semula kepada Jawatankuasa Bersih selepas ini, mengenai permintaan yang dikemukakan oleh polis," katanya dalam sidang akhbar di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dalam perbincangan selama setengah jam tersebut, pegawai-pegawai polis diterangkan mengenai program perhimpunan tersebut selain penjelasan tuntutan yang telah dikemukakan Bersih untuk dibawa kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 10 November nanti.

Menurut AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, pihak polis menerima baik pendekatan yang digunapakai Bersih dan kedua-dua pihak saling memahami fungsi serta peranan yang dimainkan.

Selain itu, rombongan tersebut juga membincangkan mengenai keselamatan dan kawalan lalu lintas semasa perhimpunan tersebut lantaran ia akan melibatkan jumlah kehadiran yang besar.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut adalah AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan AJK KeADILan, Liew Chee Tong.

Bersih akan melancarkan kempen Gelombang Kuning pada 3 petang ini di Pasar Seni, Kuala Lumpur. - mns

Tiba-tiba Khairy jadi pakar pertanian ...

Murtadza Ibrahim
Thu | Nov 01, 07 | 10:48:29 am MYT

Pada 27 dan 28 Oktober 2007 lalu, Biro Pertanian Umno Malaysia dan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan telah menganjurkan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di Allson Klana Resort Seremban. Konvensyen ini disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Konvensyen yang bertemakan "Melayu dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang" itu dihadiri kira-kira 1,200 orang daripada ahli dan pemimpin Umno, wakil Badan Korporat dan akademik seluruh negara. Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin berucap sebagai perasmi sementara Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Muhamad Hasan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen.

Kepentingan politik Muhyiddin

Oleh kerana tumpuan utama Abdullah Ahmad Badawi adalah di bidang pertanian, maka ramai juga peserta yang hadir terutama kalangan kakitangan tertinggi kerajaan yang sudah bersara.

Mereka sememangnya berminat untuk menceburkan diri di bidang pertanian dan mahu mendengar pandangan atau idea yang boleh diguna pakai.

Mereka juga mahu mendengar pandangan daripada para pegawai dari agensi di bawah Kementeri Pertanian dan Asas Tani ini. Mereka juga menolak tanggapan wujudnya kepentingan politik Umno dan Mahyuddin di konvensyen demi mencapai hasrat dan minat yang begitu "membuak-buak".

Bagaimanapun harapan mereka tersasar jauh dan minat untuk bertani semakin suram apabila melihat senarai individu yang akan membentangkan kertas kerja ini. Antara yang membentangkan kertaskerja adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz dan yang paling hebat sekali adalah Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada Perdana Menteri.

Masing-masing mengharapkan ada pembentang kertas kerja yang hebat seperti usahawan tani yang berjaya sehingga ke peringkat dunia, usahawan tani yang berjaya dari luar negara mahupun usahawan tani yang berjaya mempelbagaikan hasil pertanian mereka di samping kemungkinan pelbagai masalah yang dapat mereka atasi.

Mereka terlalu berharap segala idea dari usahawan tani ini boleh diterjemahkan sebagai suatu realititi yang dapat dikongsi bersama tetapi harapan ini jauh sekali meleset.

Mereka sekadar mengharapkan pandangan dan idea dari peserta yang mengadakan pameran untuk mendapatkan pengetahuan tambahan yang disifatkan kurang mencukupi dan masa yang agak terbatas. Mereka mengharapkan agar peserta ini yang membentangkan kertaskerja dan bukannya bakal Perdana Menteri Malaysia.

Apa yang menarik pada malam 27 Oktober 2007 dalam Berita Buletin Utama TV3 disebutkan Musa, Ungku Aziz dan Khairy sebagai pembentang kertaskerja oleh pembaca pemberita, Suhaimi Ahmad. Tetapi dia menyebut Khairy sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan bukannya Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Mungkin pembaca berita ini tersasul atau tersilap dan ia tidak menjadi masalah kepada penonton. Jika benar teks disediakan demikian, sepatutnya Suhaimi menyebut bakal Ketua Pemuda Umno Malaysia atau Ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau. Tetapi jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau mungkin disifatkan kurang serasi kerana konvenysen ini disifatkan agak keilmuan dan besar.

Dalam konvensyen ini, Khairy yang juga Pengerusi Forum Hala-Hab Sedunia dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak boleh berlengah untuk menjadi pusat pengeluaran produk halal kerana negara Asean seperti Thailand, Singapura dan Filipina sedang berusaha membangunkan sistem pensijilan halal.

Pandangan hebat Khairy?

Khairy dipetik sebagai berkata, kajian menunjukkan untuk menggunakan produk yang dikeluarkan oleh negara Islam kerana keyakinan mereka lebih tinggi kepada pengesahan yang dibuat oleh negara Islam.

Peningkatan pengeluaran adalah antara faktor penting kejayaan Hab Halal 2010 dan dari segi asas boleh diperlihatkan bahawa industri halal secara automatik disasarkan untuk orang Melayu kebiasaannya beragama Islam dan dengan itu arif mengenai konsep halal.

Mungkin Khairy merasakan pandangan beliau adalah cukup hebat dan cukup wibawa sesuai dengan kedudukannya sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia. Pandangan dia mungkin hebat dan sememangnya hebat kerana tidak mustahil dalam usia sekitar 30-an dia boleh membentangkan kertas kerja di hadapan pakar dan para petani yang lebih tua dari dirinya.

Seorang peserta yang bersara sebagai pegawai tertinggi kerajaan memberitahu, kalau pembentang kertas kerja setakat nak cakap fasal teori dan konsep, kami pernah membincangkannya kepada budak-budak Universiti Putra Malaysia 10 tahun yang lalu.

“Aku nak tahu bagamana cara yang lebih komersial dengan tanah empat ekar yang aku nak kerjakan ini. Sekurang-kurangnya bolehlah banyak aku tanya kepada pembentang kertaskerja dari petani yang berjaya," keluhnya.

Itulah hebatnya Perdana Menteri sekarang yang mempunyai bakal menantu yang mungkin menggantikan dirinya kelak.

Husam dan kajian realiti politik Pulau Pinang

Ali Bukhari Amir
Thu | Nov 01, 07 | 9:04:14 am MYT

Jam sekitar 10:30 pagi apabila saya habis minum pagi bersama ayah, ketika Azizi Abdullah mengelui telefon bimbit. Saya bergegas menemui beliau kerana ada isu lain yang mendesak untuk saya segera menghubunginya.

Ketika itu, saya sedang membuat liputan mengenai persidangan anjuran Sekretariat Kongres Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (Skima) di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan tanggal 27 - 28 Oktober lalu.

Ketika saya temui Azizi, beliau sedang rancak berbual bersama dua orang rakan beliau. Entah apa isi butiran perbincangan tidaklah saya ketahui. Tak sampai 5 minit, Husam Musa datang mencelah lalu berjabat tangan dengan kami semua. Tidak pasti dari arah mana beliau datang.

Nampaknya, lebih banyak persoalan yang dimajukan Husam kepada Azizi. Oleh kerana Azizi tinggal menetap, bekerja dan banyak kegiatan kesusasteraannya berorientasikan Tanjung itu, saya menganggap Husam berminat bertanyakan beliau mengenai politik Pulau Pinang.

Memang soalan itu tepat pada masa dan ketikanya dan tepat pula pada orang yang ditanya.

Geran kajian realiti politik Tanjong

"Saya mahu tahu realiti politik Pulau Pinang," kata Husam. "Jika perlu, kita boleh bagi wang peruntukan pun tidak mengapa."

Saya juga tidak menyangka bahawa segala yang Husam bualkan pagi itu sekitar setengah jam (10:30 - 11:00 ) akan dimuntahkan isinya dalam pembentangannya nanti selepas itu.

Yang masih melekat dalam ingatan saya antara bualan Husam - Azizi adalah seperti berikut:

1. Pulau Pinang memiliki khazanah sejarah Islam yang hebat dengan Masjid Lebuh Acheh sebagai tempat orang belayar bagi menunaikan fardhu haji, tempat mencetak kitab-kitab lama yang bertulisan Jawi, tempat penyebaran agama Islam ...

2. Rumah Syed Syeikh al-Hadi sudah menjadi 'kuil'...

3. Ada dua hal yang mendatangkan perubahan ke atas negara ini, khasnya di Pulau Pinang - 'pertambahan penduduk' dan 'pemilikan tanah'.

Ada banyak lagi yang dibualkan mereka, tapi tiga perkara di atas inilah yang nampaknya lebih menarik minat para pengkaji Melayu Pulau Pinang.

Saya tidak tahu sejauhmana bacaan Husam terhadap politik - pendidikan - ekonomi Melayu Tanjung (nama asli Pulau Pinang ). Tapi, berasaskan bualan pagi itu, nampaknya beliau seperti masih di peringkat kajian awal, atau di peringkat pertengahan. Saya rumuskan begitu lantaran beliau menawarkan suatu peruntukan bertujuan mengkaji status Melayu Tanjung.

Tawaran tiba-tiba secara lisan itu menarik perhatian saya. Ia bukan kerana wang, tapi lantaran kesedaran seorang pemimpin politik yang mahu memahami realiti politik bangsanya, saudara seagamanya di negeri lain diperintah orang bukan Islam dan bukan Melayu.

"Jadi, kalau formula yang ada masih dikekalkan dan BN menguasai Kelantan, tidak mustahil rumah Tuan Guru akan menerima nasib yang sama sepertimana rumah Syed Syekh al-Hadi.

"Di Pulau Pinang, al-Hadi adalah tokoh agama. Sama dengan tuan guru sebagai tokoh agama di Kelantan. Kalau tidak dipelihara Kelantan, tidaklah mustahil hal yang sama akan berlaku," demikian Husam berhujah pada kami pagi itu.

Kesungguhan politik

Sentimen ini rupa-rupanya yang cuba dibangkitkan. Akhirnya, bualan itu tamat di situ kerana peserta diminta bergegas masuk ke dewan untuk meratah isi pembentangan kertas kerja yang seterusnya. Ketika masuk ke dewan, saya mula sibuk menaip laporan untuk dihantar ke KL.

Jadi saya tidak tahu Husam sedang membentangkan segala isi bualan kami tadi di luar dewan. Saya cuma mengetahui muntahan fakta Husam itu melalui rakan-rakan yang telah mendengar pembentangan beliau tatkala saya sibuk mengirim laporan berita melalui internet yang selalu lambat dan bermasalah pula.

Sengaja saya rakamkan isi butiran bualan ini sejelas-jelasnya dengan tujuan ingin mengukur isi hati dan kesungguhan sesetengah pimpinan politik Melayu di luar Pulau Pinang kalau mereka berhasrat benar untuk menjelajah sejarah Tanjung ini.

Adapun versi sejarah-hikayat Melayu Tanjung yang cuba saya bina dan bangunkan ini terlalu rendah mutunya kerana saya bukan anak Tanjung serta masih rebung untuk menelan lebihan fakta. Entah betul atau tidak, kita boleh berbual dan berdebat lagi secara jujur dan ikhlas.

Apabila Husam bangkitkan soal 'pertambahan penduduk' dan 'pemilikan tanah', hakikat itu adalah betul di mana-mana negeri sekali pun, khasnya di Tanjung. Tambahan pula di negeri ini agak unik kerana terlalu banyak tanah wakaf yang diselewengkan tangan-tangan tertentu.

Tapi, apa yang lebih penting kalau Husam dan pimpinan politik luar Pulau Pinang ingin tahu bagaimana negeri pulau itu boleh jatuh ke tangan bukan Melayu, kita perlu selak tirai sejarah penubuhan Gerakan itu sendiri. Turning point peralihan kuasa itu berlaku daripada situ.

Hingga kini, Umno veteran Umno marah kepada kedua-dua beradik al-Attas yang tubuhkan Gerakan sebagai parti multi racial itu. Parti berbilang kaum itu, menurut mereka adalah satu pemecahan kuasa politik Melayu Tanjung dalam pilihan raya 1969.

Kononnya Gerakan ingin berlawan dengan Perikatan. Tapi akhirnya mereka sertai BN dalam situasi di mana sejumhur 'fatwa' kaum Cina (mungkin elit??) secara ijmaknya telah menguasai pandangan umum parti itu. Apakah yang mendorong Gerakan menyertai BN setelah parti itu pada mulanya bersifat kontra dengan Perikatan ketika ditubuhkan oleh adik-beradik al-Attas?

Falsafah Mao Ze Dong, pimpinan Komunis di Republik China dalam 'adab' melawan musuh merumuskan suatu formula: "If you cannot fight them, then join them."

Atau, terjemahannya boleh dibaca bergini: "Jikalau tidak mampu melawan mereka (dari luar), maka sertailah mereka (untuk melawan mereka dari dalam)." Maka, penentangan selalu hadir, tidak tamat sampai kiamat. Cuma corak melawan berubah. Dahulu melawan dari luar, kini di dalam. Perkongsian kuasa ini sebenarnya merugikan Melayu dan Muslim sejak sekian lama.

Tapi, ada tabiat politik cendekiawan-ilmuan-agamawan Melayu yang merugikan kaum Melayu perlu diperhalusi terlebih dulu sebelum menuding jari terhadap beban jenayah yang dilakukan kaum lain ke atas Melayu. Iaitu sikap ilmuan–agamawan yang enggan bersiasah ketika mereka ditawarkan jawatan untuk memimpin umat.

Biro Agama Gerakan

"Marilah sertai kami ya ustaz," kedua-dua beradik al-Attas itu memujuk Mufti Tanjung untuk menyertai Gerakan. "Kalau ustaz masuk, ada Biro Agama yang boleh ustaz mainkan peranan di dalam parti ini." Namun, apa yang berlaku, mufti itu menolak ajakan tersebut.

Jika Cina menganut falsafah Mao Ze Dong untuk melawan Perikatan, maka agamawan Islam enggan mengamalkan falsafah Plato mengenai politik untuk mengukuhkan kekuatan mereka.

"Mereka yang boleh memimpin, tetapi menolak tanggungjawab memimpin, maka mereka itu akan dihukum dengan keadaan di mana orang yang jauh lebih lemah daripada mereka akan memimpin mereka," demikian menurut Plato melalui kitabnya, Republic.

Jika yang cerdik (agamawan - ilmuan) enggan memerintah, maka orang yang bodoh jahiliyyah akan memimpin mereka nanti. Namun, sekarang sudah terlanjur kerana jarak 1969 adalah 38 tahun dinisbahkan dengan 2007. Usia 38 tahun Gerakan memerintah Tanjung adalah dewasa usia seorang lelaki yang hampir matang dalam kehidupannya.

Pun begitu seorang ahli falsafah lagi, Lao Tzu (saingan Confucius) berkata: "Kalau anda ingin memimpin orang, berjalan di belakang mereka." Sejauhmana Melayu Tanjung mengamalkan intipati falsafah ini untuk 'memimpin' Gerakan, wallahu 'alam. Melayu asalnya kaya falsafah. Tapi, sejak merdeka oleh British, kekuatan sendi kefahaman ke atas falsafah itu mulai luntur.

Jadi, mungkin hal inilah antara ramuan bahan fikiran Husam serta ahli politik lain yang bakal mengkaji politik negeri pulau ini. Siasatlah siapa Mufti Tanjung tersebut dan bertanya kepada beliau, kenapa tawaran berpolitik itu tidak beliau ambil?

Husam mungkin boleh meninjau kawasan Jewish Cemetary di Lot 961, Jalan Zainal Abidin (dahulunya dikenali sebagai Yahudi Road). Ia dekat Menara Umno. Mungkin ada juga fungsi Yahudi dalam meranapkan Melayu Tanjung secara tersirat. Wallahu 'alam, siapa tahu.

Ghairah menyelidik

Imam Bajunid dan orang-orang lama di Masjid Kelawei mungkin antara sumber rujukan dan boleh diajak berbual. Khabarnya, ada manusia Yahudi yang bertemu imam itu dalam urusan jualbeli hartanah di negeri pulau berkenaan. Apa kesudahan dan keputusannya tidak tahulah.

Kalau ada kemahuan, ramai pensyarah USM yang boleh menawarkan bantuan. Dalam USM ada persatuan mahasiswa Himpunan Anak-Anak Kelantan (HAAK) kalau kita benar-benar mahu menjemput mereka pada musim cuti semester untuk membuat kajian di Tanjung itu.

Perpustakaan Hamzah Sendut USM bukan calang-calang juga. Sumber rujukan dan tesis-tesis dalam pelbagai bidang kajian boleh dikatakan memuaskan. Tulisan ini bukannya dituju untuk Husam seorang sahaja, malah tercurah juga ke atas ilmuan-siasah yang ghairah menyelidik.

"Err ... betul ke ada geran?" tanya seorang rakan, Fansuri yang sedang menagih jawapan.

Keyakinan Pas mula goyah

KOTA BAHARU 31 Okt. – Sasaran Pas memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang kini berubah apabila naib presiden parti itu yakin hanya memenangi 20 sehingga 30 kerusi.

Datuk Husam Musa yang juga anggota exco kerajaan negeri Kelantan berkata, Pas mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

“Dapat 40 kerusi itu sasaran utama kita, tetapi, kita juga ada sasaran B, dapatkan 20 hingga 30 kerusi. “Memang sudah ada cuma saya tak umum saja sasaran B ni, sengaja kita sembunyi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, jika Pas gagal mencapai sasaran A, mungkin mendapat bilangan kerusi lebih rendah di bawah sasaran B.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berapa kerusi yang mampu dimenangi Pas ketika ini walaupun pernah mengumumkan parti itu yakin menang 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti peratusan semasa sokongan terhadap Pas.

“Ia tertakluk kepada perubahan..., jika swing penyokong Pas lebih daripada 15 peratus, kita akan capai B. Jika ’swing’ kurang daripada 15 peratus, kita masih boleh capai sasaran A,” katanya.

– Bernama

Husam tak yakin Pas boleh menang 40 kerusi

KOTA BHARU: Sasaran Pas memenangi 40 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang kini berubah apabila naib presiden parti itu yakin hanya memenangi 20 sehingga 30 kerusi.

Datuk Husam Musa yang juga Ahli Exco Kerajaan Kelantan, berkata Pas mempunyai dua sasaran berbeza berasaskan perubahan semasa mood pengundi.

“Dapat 40 kerusi itu sasaran A, sasaran utama kita, tetapi, kita juga ada sasaran B, dapatkan 20 hingga 30 kerusi. Memang dah ada cuma saya tak umum saja sasaran B ni, sengaja kita sembunyi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, jika Pas gagal mencapai sasaran A, mungkin mendapat bilangan kerusi lebih rendah di bawah sasaran B.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berapa kerusi yang mampu dimenangi Pas ketika ini walaupun pernah mengumumkan parti itu yakin menang 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pihaknya masih meneliti peratusan semasa sokongan terhadap Pas.

“Ia tertakluk kepada perubahan..., jika ’swing’ penyokong Pas lebih daripada 15 peratus, kita akan capai B. Jika ’swing’ kurang daripada 15 peratus, kita masih boleh capai A,” katanya.

Dalam pada itu, langkah kerajaan pusat memperkenalkan beberapa pelan pembangunan wilayah termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sekarang ini dipercayai mampu mengalih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional termasuk di negeri Kelantan, satu-satunya negeri yang diperintah Pas.

Dilarang edar senarai calon – Rithauddeen

Oleh Zabry Mohamad

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Para pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan diingatkan supaya tidak menyenaraikan calon pilihan masing-masing untuk memenuhi jawatan tertentu semasa pemilihan parti kerana ia melanggar tataetika ahli UMNO.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail yang memberi amaran itu berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perkara tersebut.

Menurutnya, para pemimpin seharusnya bersikap berkecuali dan adil kepada calon-calon lain yang bertanding.

‘‘Sesiapa yang berkuasa atau berpengaruh dalam parti tidak boleh memberi sokongan atau kelebihan kepada orang yang dipilih, itu salah dan kita akan hentikan.

‘‘Saya nak bagi amaran jika ada bukti mereka menggunakan kuasa untuk tujuan itu, lembaga tidak teragak-agak mengambil tindakan,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita berhubung amalan menyenaraikan nama perwakilan bagi jawatan-jawatan tertentu di peringkat bahagian dan cawangan untuk meraih undi daripada ahli semasa pemilihan parti.

Mengulas mengenai kes yang disiasat dan didengar dalam perbicaraan oleh Lembaga Disiplin UMNO bagi tahun 2006/2007, beliau memberitahu, pihaknya menerima 89 aduan.

Daripada jumlah tersebut jelasnya, hanya 57 kes disiasat dan dibicarakan manakala 32 kes tidak diambil sebarang tindakan kerana ketiadaan bukti serta tidak berasas.

Berdasarkan kes-kes yang dibicarakan itu tambah beliau, lima orang telah dipecat keahlian, seorang digantung sementara dua diberi amaran.

Perwakilan dalam ‘mood’ pilihan raya

SHAH ALAM 31 Okt. – Walaupun tiada pemilihan tetapi Perhimpunan Agung UMNO tahun ini amat penting kerana berada dalam ambang dan ‘mood’ pilihan raya’ yang memerlukan setiap ahli parti menguatkan perpaduan.

Sehubungan itu Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Onn Ismail berkata, sebagai ahli UMNO, para perwakilan sepatutnya menjadikan Perhimpunan Agung kali ini landasan untuk menguatkan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagaimanapun, jangan pula para perwakilan atau pembahas mengambil peluang dalam dewan bercakap atau meminta pengagihan kerusi pula.

“Jika hendak berbincang (pengagihan kerusi) gunakan saluran dalam jawatankuasa Barisan Nasional (BN). Jangan bincang dalam perhimpunan UMNO,” tegasnya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pembahas tidak mengunakan kesempatan untuk membuat serangan peribadi yang memburuk-burukkan pemimpin atau individu dalam parti.

Katanya, para pembahas perlu mengambil peluang tersebut dengan memberi tumpuan membincangkan perkara-perkara berkaitan agenda Melayu.

“Umumnya isu-isu yang dikemukakan adalah menjurus kepada hal kebajikan rakyat, ekonomi, pembangunan negara, masalah sosial dan pendidikan.

“Jangan membawa isu yang tidak relevan dengan kepentingan parti,” katanya.

Beliau menambah, UMNO sendiri sebagai sebuah parti politik yang telah berusia 61 tahun perlu dewasa dan ahlinya sepatutnya lebih matang dan bertanggungjawab.

Sementera itu Onn memberitahu, setiap pembahas diberi masa 15 minit untuk berucap dan berharap pada kali ini semua pembahas akan mengikut masa yang ditetapkan.

“Jika pembahas hendak berlawak jenaka, itu biasalah untuk mengelakkan perwakilan menjadi bosan tetapi perlu ikut masa supaya semua orang boleh berucap,” ujarnya.

Pada tahun lalu, katanya, terdapat pembahas yang tidak boleh berucap kerana pembahas lain berucap melebihi masa.

“Saya sebagai pengerusi pun kadang-kadang serba-salah juga. Perwakilan sebenarnya mempunyai kuasa besar dalam perkara ini, jika banyak permintaan mahu saya teruskan, saya terpaksa izinkan pembahas meneruskan ucapan.

‘‘Bagaimanapun, saya harap pembahas pada kali ini lebih memahami kepentingan menepati masa ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga memuji Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Badruddin Amiruldin yang sentiasa menghidupkan suasana di dalam dewan.

‘‘Beliau sentiasa boleh mengawal keadaan dalam apa cara dan saya bersyukur dapat mengendalikan perhimpunan bersama beliau,” katanya.

Seminar agenda Melayu

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara akan menganjurkan Seminar Agenda Melayu Ahad ini, bagi menghasilkan pelan tindakan hala tuju masyarakat itu dalam menghadapi cabaran 50 tahun akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Mohamad Rais Zainuddin berkata, seminar sehari bertajuk ‘Melayu 2057, Siri 1: Agenda Politik’ itu akan diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata, seminar itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, seramai 300 peserta yang terdiri daripada golongan profesional, pelajar universiti tempatan, ketua-ketua UMNO bahagian dan perwakilan yang akan berbahas pada Perhimpunan Agung UMNO Isnin ini, akan menghadiri seminar itu.

“Kami amat mengambil berat mengenai apa yang akan berlaku selepas 50 tahun merdeka dan kita mahu tahu pandangan golongan profesional mengenai dasar-dasar kerajaan pada masa ini dan akan datang.

‘‘Satu resolusi akan dihasilkan di akhir seminar mengenai cabaran dan kehendak masyarakat pada masa akan datang,’’ katanya pada sidang akhbar mengumumkan seminar itu di sini hari ini.

Resolusi itu kemudiannya, jelas beliau, akan diserahkan kepada pucuk pimpinan UMNO.

Beliau berkata, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Mohd. Nor Abdullah dan Datuk Dr. Malik Munip dari Jabatan Hal Ehwal Khas akan membentangkan kertas kerja pada seminar itu.

Dr M belum tentu hadir

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, percaya Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengesahkan kehadiran beliau pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2007 pada saat akhir Rabu depan.

Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, bekas Presiden Umno itu masih mempunyai banyak masa untuk mengesahkan kehadirannya.

"Tun (Dr Mahathir) belum jawab lagi, biasanya pada saat akhir...walaupun kita bermula pada 5 November, jemputan untuk VIP ialah pada perasmian 7 November ...banyak masa lagi," katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Minggu lalu, Radzi berkata surat jemputan sudah dihantar kepada Dr Mahathir. Tahun lalu, Dr Mahathir tidak dapat memenuhi jemputan Umno kerana sebab kesihatan dan nasihat doktor.

Ditanya sama ada beliau akan menghubungi Dr Mahathir bagi mendapatkan pengesahan, Radzi berkata: "Surat sudah cukup".

Pemimpin diingat bersikap berkecuali

Oleh Azman Zakaria

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Umno semalam mengingatkan mereka yang mempunyai kuasa dalam Umno di peringkat mana sekalipun supaya bersikap berkecuali dan tidak memberi sebarang petunjuk yang memihak kepada calon tertentu ketika pemilihan jawatan semua peringkat dalam parti.

Pengerusinya Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mendedahkan ada Ketua Perhubungan Umno negeri, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Puteri di peringkat Bahagian memberi hadiah kepada ahli dengan mesej memilih perwakilan tertentu ketika pemilihan.

Katanya, Lembaga Disiplin mengesan perkara itu daripada keterangan yang diberikan saksi ketika siasatan aduan politik wang tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tiada laporan khusus mengenai perkara berkenaan.

“Kita hanya dapat tahu dakwaan itu apabila dibangkitkan ketika perbicaraan kes lain. Kita mahu aduan mengenai perkara itu dibuat untuk membolehkan lembaga ini menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau memihak... sama ada ikan kecil atau ikan besar.

“Semua yang berkuasa dalam parti mesti berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana calon,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti di sini semalam.

Beliau juga berkata, perbuatan mengedarkan senarai nama pilihan bagi mengisi sebarang jawatan ketika pemilihan dengan tujuan supaya perwakilan memilih calon berkenaan itu adalah menyalahi tata etika Umno.

Katanya, perkara itu tidak adil kepada pihak lain yang bertanding yang nama mereka tidak termasuk dalam senarai itu.

“Ini tidak sihat dan saya harap tidak akan berlaku pada pemilihan akan datang. Jika berlaku kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga berkata, Umno akan membentuk pasukan siasatan yang dianggotai ahli Lembaga Disiplin bagi menyiasat dan mengumpulkan bukti terhadap sebarang aduan sebelum membawa kes berkenaan kepada tribunal lembaga bagi perbicaraan.

Katanya, perkara berhubung pindaan peraturan untuk membolehkan pasukan penyiasatan itu dibentuk sedang diteliti Pengerusi Jawatankuasa Pindaan dan Peraturan parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penubuhan pasukan siasatan akan dapat menjimatkan masa perbicaraan oleh tribunal kerana hanya kes prima facie hasil siasatan pasukan penyiasat itu akan dibawa untuk didengar tribunal.

‘Perwakilan kena kemuka idea baru perkukuh parti’

Oleh Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam mahu perwakilan yang akan berbahas pada Perhimpunan Agung Umno kali ini mengetengahkan isu membabitkan kepentingan dan kejayaan negara selepas 50 tahun merdeka.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, perhimpunan ini cukup penting kerana ia adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 diadakan.

“Saya percaya perwakilan tahu apa yang perlu dibincangkan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Perwakilan perlu fokus kepada apa yang kerajaan sudah buat, kejayaan kita capai dan yang perlu dilakukan untuk memantapkan lagi taraf hidup orang Melayu.

“Semangat kemerdekaan 50 tahun patut dijadikan pegangan dan dorongan untuk terus maju dan mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Rumah Melaka, di sini. Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, pemimpin parti politik dan kira-kira 1,000 tetamu.

Beliau berkata, perwakilan mempunyai banyak masa untuk mencari idea baru terutama mengenai pelbagai dasar pembangunan ekonomi baru yang dijalankan kerajaan.

Katanya, pelancaran projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membuktikan kerajaan serius dan bersungguh-sungguh meningkatkan tahap ekonomi negara untuk mencapai negara maju.

“Jika negara maju, sudah tentu rakyat akan mendapat manfaatnya. Perwakilan perlu memberi kupasan mendalam mengenai dasar dan projek pembangunan yang dijalankan kerajaan kerana rakyat ingin tahu pandangan Umno mengenainya,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan melarang siaran langsung disebabkan tekanan pihak tertentu, Mohd Ali berkata, masalah itu langsung tidak timbul kerana ia bertujuan mengelak salah tafsir mana-mana pihak mengenai perkara dibangkitkan orang Melayu.

“Kadang-kadang perwakilan terlepas cakap menggunakan perkataan yang menyinggung perasaan kaum lain, tetapi itu bukan pandangan kerajaan dan Umno, ia pandangan perwakilan. Kita tahu, dalam persidangan parti lain pun kadang-kadang ada yang terlepas cakap, tetapi kita tidak kecoh,” katanya.