Tuesday, November 06, 2007

'Negara rugi jika tak guna tenaga wanita'

KUALA LUMPUR: Negara akan kerugian jika meminggirkan tenaga wanita yang berkelayakan dalam semua sektor, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, wanita harus diberi tempat dalam semua sektor atas keupayaan diri sendiri bukannya sekadar memenuhi kuota yang ditetapkan.

"Negara tidak mampu mendiskriminasi kerana setiap peluang harus diberikan kepada semua tidak kira lelaki mahupun wanita yang berkelayakan. Jika kita ketepikan wanita, kita akan rugi kerana ini bukan masanya untuk menyeimbangkan bilangan antara gender.

"Wanita Malaysia sudah berupaya dan setanding dengan lelaki. Malah, dalam sesetengah bidang jumlah wanita yang cemerlang lebih daripada lelaki, misalnya di universiti, politik dan perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak serta kalangan pemimpin Umno.

Rafidah berkata, beliau akan terus menerajui kepimpinan Wanita Umno jika terus mendapat sokongan daripada semua ahli.

"Selagi mendapat sokongan selagi itu saya akan terus menerajui Wanita Umno. Masih banyak yang perlu dilakukan dan saya pasukan saya dalam Wanita Umno yang bekerja bersama saya dan memberi idea dalam memajukan Umno," katanya.

Mengenai soal pertandingan dalam parti itu, Rafidah berkata, tiada yang perlu dibimbangkan selagi semua menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Beliau juga tersentuh hati apabila ahli pada peringkat akar umbi hanya mahu melihat pemimpin memberi khidmat terbaik mereka tanpa mempedulikan soal retorik atau falsafah politik.

"Mereka pada peringkat akar umbi ini hanya mahu perkara asas daripada pemimpin untuk melaksanakan tugas dengan baik dan membentuk kerajaan yang bagus. Sebab itu saya masih terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen sehingga sekarang," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Wanita Umno turut mengadakan majlis memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-64 pada 4 November lalu.

"Saya pun tidak tahu yang mereka mengaturkan majlis sambutan hari lahir saya ini tetapi saya sangat gembira dan berterima kasih dengan semua pihak. Presiden dan Timbalan Presiden turut mengucapkan selamat hari jadi kepada saya," katanya.

No comments: