Tuesday, November 06, 2007

Kawalan 24 jam di PWTC

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuat persiapan rapi dengan menugaskan anggota secukupnya bagi menjaga keselamatan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan kawasan sekitarnya sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2007 yang berlangsung mulai semalam hingga Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Zulkarnain Abd Rahman, yang juga Pegawai Medan bagi perhimpunan berkenaan, berkata polis sudah menugaskan anggotanya berkawal 24 jam sehari bagi menjaga keselamatan perwakilan serta keselamatan awam.

"Kami sudah membuat persiapan dari segala aspek keselamatan sejak sebulan lalu bagi memastikan keselamatan di dalam PWTC dan kawasan sekitarnya sentiasa terkawal," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, bagi tempoh 24 jam itu pegawainya akan bertugas secara bergilir-gilir di kawasan strategik di dalam dan luar PWTC. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk melancarkan perjalanan perhimpunan kali ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pegawai yang bertugas kerana faktor keselamatan. � Bernama.

No comments: