Tuesday, November 06, 2007

Formula 4M hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan pendekatan 4M sebagai formula persediaan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden UMNO berkata, M pertama ialah merapatkan barisan sesama ahli UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) manakala M kedua ialah meneruskan program menambah ahli dan pengundi.

“M ketiga ialah mesra rakyat yang melibatkan penggerak parti dan juga pelbagai jabatan serta agensinya sementara M keempat pula ialah menyelesaikan masalah dan rungutan rakyat dengan cekap serta berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Najib yakin pendekatan berkenaan akan memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mendapat sokongan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri.

Beliau berkata, semangat sukarela dan komitmen tinggi kepada pelbagai aktiviti telah mekar menjadi budaya cemerlang dalam UMNO.

“Wanita dan Pemuda pula terus melangkah gagah dengan pelbagai program yang menarik dan suara mereka semakin lantang menyuarakan hati nurani bangsa.

“Puteri pula terus menyerlah dalam meremajakan parti melalui pelbagai aktiviti kreatif, mewakili suara generasi baru wanita muda. Kecanggihan era digital dan perubahan tahap pendidikan menjadikan kewujudan Puteri bertambah relevan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib meminta ahli-ahli merakyatkan perjuangan UMNO dengan menyebarkan semangat perjuangan parti kepada seberapa ramai rakyat.

“Semangat perjuangan UMNO adalah untuk membela semua kaum di negara ini. Apabila kita membasmi kemiskinan, kita membasmi tanpa mengira kaum. Jika membuat kebajikan melalui program sosial, tumpuan kita kepada semua. Limpahan gema perjuangan kita melangkaui batasan bangsa dan agama.

“Gembira tidak terkata seorang yang miskin apabila rumah yang bocor kita ganti atapnya, lantai yang reput kita tukar baru dan anak yang ramai kita bantu persekolahan. Inilah contoh tradisi membela rakyat yang mesti sentiasa diperhebat,” ujarnya.

Katanya, merakyatkan perjuangan juga bermaksud membuka pintu UMNO seberapa luas kepada semua orang Melayu.

“Oleh itu, gerakan menambah ahli mesti diteruskan melalui Kempen Keluargaku Ahli UMNO yang telah pun dilancarkan. Kita mesti memastikan anak-anak dan saudara-mara kita terlebih dahulu menjadi ahli UMNO. Semakin ramai ahli, maka semakin merakyatlah perjuangan kita,” tegasnya.

Sementara itu, Najib berkata, pelbagai langkah juga perlu dilakukan bagi mengukuhkan akar umbi perjuangan parti yang berpusat di peringkat cawangan.

“Baiki cawangan kita dengan menambah ahli, mendaftar pengundi, mengadakan aktiviti, bersama membanteras jenayah, membasmi kemiskinan tegar, membantu sewaktu bencana banjir, membantu orang kurang upaya, ibu dan bapa tunggal, warga emas dan berkempen rumah ke rumah.

“Hendaklah ambil peduli, ambil tahu apa yang berlaku di lingkungan pengaruh kita,” ujarnya.

Tambah beliau, data terkini menunjukkan bilangan ahli UMNO ialah seramai 3,345,612 orang dengan 20,391 buah cawangan, 191 bahagian di 13 negeri.

“Andainya kita mempunyai tiga atau empat pemimpin iaitu ketua cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, maka UMNO mempunyai hampir 60,000 orang pemimpin akar umbi di seluruh negara. Inilah bukti kehebatan parti kita yang menjadi tonggak pelbagai kejayaan,” katanya.

No comments: