KUALA LUMPUR 11 Okt. – Tindakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang kononnya mahukan kerajaan negara ini memperbetulkan ketidakadilan ke atas kaum Cina dan India sebagai syarat republik itu menyertai Malaysia adalah satu gimik politik murahan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim berkata, apa yang dinyatakan oleh Kuan Yew langsung tidak mencerminkan keikhlasannya tetapi lebih kepada satu permainan politik pemimpin veteran itu.
‘‘Adakah niatnya ikhlas? Kalau ikhlas mengapa perlu diletakkan syarat. Saya tidak fikir dia benar ikhlas dengan kenyataannya ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Bernama hari ini melaporkan Kuan Yew sekali lagi membayangkan Singapura akan menyertai Malaysia.
Kuan Yew dipetik berkata demikian dalam satu temu bual pada 27 September lalu dengan penulis pojok, Tom Plate dari UCLA Media Centre dan Jeffrey Cole dari USC Annenberg School Centre for the Digital Future.
Petikan temu bual itu disiarkan dalam laman web UCLA Asia Institute.
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, berdasarkan sejarah hubungan Malaysia-Singapura selama ini, kebanyakan kenyataan yang disuarakan oleh Kuan Yew mempunyai agenda tertentu.
‘‘Saya tidak nampak yang rakyat kita akan menerima Singapura semula. Mereka terutama Kuan Yew sering memperlekehkan kita. Adakah patut kita menerima kemasukan mereka sebagai salah satu wilayah kita?
‘‘GPMS berharap kerajaan dapat memandang serius terhadap kenyataan Kuan Yew ini kerana kita tidak mahu negara-negara lain mendapat maklumat yang salah mengenai beberapa isu penting di negara kita,’’ ujarnya.
Profesor Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, gimik politik yang cuba dicetuskan oleh Kuan Yew adalah berpunca daripada banyak kejayaan yang dikecapi oleh Malaysia sejak akhir-akhir ini.
Beliau seterusnya tidak menolak kemungkinan bekas Perdana Menteri republik itu berbuat demikian untuk meraih semula sokongan daripada pihak tertentu khususnya pemimpin dan penduduk negara ini.