KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda yang berbahas pada perhimpunan pergerakan itu, diingatkan supaya tidak membangkitkan isu sensitif seperti berkaitan agama dan sebaliknya memfokuskan kepada usaha mengukuhkan parti bagi menghadapi cabaran masa depan.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu adalah selaras dengan ingatan yang disampaikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam taklimat tertutup Presiden parti, semalam.
"Bayangkan apa yang berlaku di luar sana, kalau kita sesama kita dalam Umno tidak dapat berbahas dan sebaliknya hanya memikirkan isu yang mungkin sensitif seperti berhubung kait dengan agama," katanya selepas majlis tertutup taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyentuh mengenai pentingnya wakil pembahas yang dipilih menggunakan kebijaksanaan dan kepimpinan terbaik selaras dengan kematangan pergerakan itu.
Katanya, sebagai pemimpin pelapis, mereka perlu melihat lebih jauh ke depan dan mengukuhkan terus kekuatan sayap kanan parti itu yang berdepan kesukaran pada 1998, sebelum berjaya bangkit semula.
"Kita tidak nafikan sedikit sebanyak mungkin ada di kalangan pembahas atau perwakilan yang dipilih ini cuba membangkitkan perkara yang sudah lama terbuku di hati mereka.
"Namun saya ingin menekankan di sini, betapa pentingnya untuk kita semua melihat lebih jauh ke depan dan menjadikan perjumpaan ini dalam semangat kekeluargaan yang baik sekali," katanya.
Dalam pada itu, mengenai inti pati ucapan Abdullah semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Perdana Menteri menggariskan pelbagai cabaran yang kita hadapi sekarang dan masa depan, selain memaklumkan bagaimana rakyat perlu mencari peluang untuk maju dan berjaya seperti program angkasawan.
"Presiden parti juga memberi jaminan dalam keadaan kita menghadapi masalah, jangan menyerah kalah, sebaliknya beliau memberi semangat kepada ahli Umno supaya merapatkan barisan untuk menjayakan aspirasi rakyat," katanya.
Selain itu, katanya, ahli Umno juga diingatkan mengenai persaingan global dan mengutamakan ilmu untuk membina insan dan bina upaya diri untuk menjamin kejayaan bangsa.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, berkata Perdana Menteri turut menyentuh isu kenaikan harga barang, subsidi serta mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Mengenai isu keagamaan, Presiden Umno meminta semua ahli supaya sentiasa berhati-hati membincangkan hal itu untuk menjaga hati bukan saja orang Melayu tetapi juga kaum lain," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment