Thursday, October 11, 2007

Kuan Yew cakap lagi Singapura mungkin sertai semula Malaysia

SINGAPURA 11 Okt. - Sepuluh tahun lalu, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew bercakap mengenai kemungkinan Singapura menyertai semula Malaysia jika ekonomi republik itu tidak berjaya, dan bulan lepas, beliau sekali lagi mengulas perkara yang sama.

“Mereka ada pelbagai sumber. Jika mereka dapat memberi pendidikan kepada orang Cina dan India, gunakan mereka dan layan mereka seperti warga negara, mereka dapat menyaingi kita, malah menjadi lebih baik daripada kita, dan kita sedia menyertai mereka semula,” katanya.

Lee berkata demikian dalam satu temu bual pada 27 September lepas dengan penulis pojok, Tom Plate dari UCLA Media Center, dan pakar media era baru, Jeffrey Cole dari USC Annenberg School Center for the Digital Future.

Petikan temu bual itu disiarkan dalam laman web UCLA Asia Institute.

Pada Jun 1996, Lee bercakap mengenai kemungkinan Singapura menyertai semula Malaysia, tetapi Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad berkata, masanya belum sesuai.

Dr Mahathir juga menganggap kenyataan Lee itu sebenarnya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Singapura.

Kenyataan terbarunya itu dibuat selepas ditanya mengenai “ketakutan"

Singapura dan kenapa republik itu bimbang mengenai survivalnya.

Lee menjawab: “Di mana letaknya kami? Adakah kami di Caribbean? Adakah kami berjiran dengan Amerika seperti kepulauan Bahamas?

“Adakah kami di Mediterranean, seperti Malta, berjiran dengan Itali? Adakah kami seperti Hong Kong, berjiran dengan China, dan dengan itu, menjadi sebahagian daripada China?

“Kami di Asia Tenggara, di tengah-tengah kawasan yang bergolak dan tidak tenteram. Singapura adalah satu ’superstructure’ yang dibina atas apa? Di atas 700 kilometer persegi dan pelbagai idea pintar yang terbukti berjaya — tetapi semuanya ini boleh lenyap dalam sekelip mata.”

Kepada soalan mengenai siapa yang akan menyasarkan Singapura, Lee berkata: “Semasa (Malaysia) menyingkirkan kami (pada 1965), jangkaan pada masa itu ialah kami akan gagal dan kami akan kembali memenuhi syarat mereka, bukan dengan syarat yang kami persetujui dengan mereka di bawah British.

“Masalah kami bukan sekadar antara negara, ia masalah antara kaum, agama dan tamadun.

“Kami adalah satu bukti bahawa kedua-duanya amat berbeza. Mereka mempunyai pelbagai sumber.

“Jika mereka dapat memberi pendidikan kepada orang Cina dan India, gunakan mereka dan layan mereka seperti warga negara, mereka dapat menyaingi kita, malah menjadi lebih baik daripada kita, dan kita sedia menyertai mereka semula.”

Penganalisis di sini bagaimanapun berpendapat, penyatuan semula Malaysia-Singapura tidak akan berlaku.

“Peluang penyatuan semula pada 1996 dan pada 2007 adalah sama — kosong,” kata penyelaras program pengajian Malaysia di Institut Pengajian Asia Tenggara, Dr Ooi Kee Beng.

“Idea penyatuan semula berdasarkan kepada syarat-syarat oleh Singapura tidak disenangi kebanyakan orang Melayu (di Malaysia).

“Dan sebarang langkah ke arah itu merupakan satu kesilapan besar oleh mana-mana politik di Malaysia,” kata penulis buku “The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time” kepada akhbar Today. - Bernama

Teguran hendaklah membina – BNBBC

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

IPOH 10 Okt. – Teguran ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta kerajaan di bawah pimpinannya seharusnya bersifat membina dan bukannya secara membuta tuli.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, kesediaan Perdana Menteri menerima teguran tidak sepatutnya diambil kesempatan oleh mana-mana pihak tertentu hingga menimbulkan suasana benci membenci dan rusuhan.

‘‘Kami mengalu-alukan kesediaan Perdana Menteri menerima teguran secara telus kerana ia memperlihatkan sifat terbuka beliau.

‘‘BNBBC beri teguran membina bukan seperti parti pembangkang. Kami akan terus main peranan ikut acuan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan raya kepada anak-anak yatim dan orang miskin di Masjid Pakistan Ipoh di sini malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 60 penghuni Yayasan Kebajikan Hawa Kinta dan orang-orang miskin sekitar bandar raya ini menerima bantuan baju raya, beras, makanan dan duit raya dari pemilik kedai emas D.S. Jewellers, Amaludiin Ismail.

Sumbangan disampaikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Mohamad Rafiai Moktar.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, kesediaan Perdana Menteri itu harus dilihat daripada sudut positif bagi memperbaiki sistem penyampaian kerajaan supaya Wawasan 2020 dapat dicapai.

Birokrasi

‘‘Kerajaan mahu membangunkan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

‘‘Jika sistem penyampaian kerajaan masih tidak tersusun dan dipenuhi kerenah birokrasi, macam mana Malaysia hendak jadi negara maju,” katanya.

Beliau berkata, BNBBC akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu forum sehari pada 21 Oktober ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya bagi membincangkan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Raja Ahmad menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah mewujudkan sistem data mengenai penduduk setinggan dan rakyat miskin di kawasan masing-masing.

Dengan adanya sistem yang lengkap dan terkini, katanya, ia membolehkan kerajaan memberi bantuan yang perlu kepada golongan tersebut.

‘‘Kita tidak mahu orang luar cakap Malaysia hendak jadi negara maju tetapi ada rakyatnya yang masih hidup merempat.

‘‘Kerajaan mempunyai macam-macam bantuan seperti rumah, wang kebajikan, perubatan dan sebagainya,” jelas beliau.

Beliau menegaskan, sistem data itu perlu diwujudkan oleh semua PBT walau dengan apa jua kaedah sekalipun supaya bantuan dapat dihulurkan kepada mereka yang layak.

Dr. Mahathir boleh berjalan 50 meter

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan pemulihan yang lebih baik hari ini dan berjaya berjalan sendiri sejauh 50 meter setelah dipindahkan ke Wad Bunga Raya Institut Jantung Negara (IJN) di sini Isnin lalu.

Anak sulungnya, Datin Paduka Marina memberitahu, ayahnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pakar fisioterapi dan mampu menjamah sendiri makanan tengah hari.

‘‘Makanan tengah hari ayah hari ini dimasak oleh kakak ipar saya iaitu hidangan Mediterranean yang lazat berupa nasi, daging dan bahan berkhasiat lain.

‘‘Beliau memakannya sendiri, tiada keperluan untuk (bantuan) Ketua Jururawat,” katanya dalam laman blognya, rantingsbymm.blogspot.com, petang ini.

Dr. Mahathir telah menjalani pembedahan pintasan jantung keduanya di IJN pada 4 September lalu.

Ia diikuti satu lagi pembedahan 18 hari kemudian untuk membuang tisu luka kesan daripada pembedahan tersebut.

Isnin lalu, beliau dipindahkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran tahap kesihatannya yang semakin baik.

Masalah sekarang, kata Marina, ialah kerana Dr. Mahathir kelihatan begitu sihat, ramai orang kini mahu melawatnya di IJN.

‘‘Kami masih perlu berhati-hati dengan jangkitan.

‘‘Semasa kami ahli-ahli keluarga bersamanya pun kami masih perlu mengenakan topeng muka dan membersihkan tangan kami.

‘‘Ia merupakan satu langkah berjaga-jaga yang kami penuhi dengan sukacita, khususnya selepas menempuh perjalanan sejauh ini,’’ ujarnya.