Lifeboat
Tue | Oct 02, 07 | 4:43:12 pm MYT Kita diajar oleh Rasulullah s.a.w. bahawa sembilan daripada sepuluh rezeki itu adalah bersumberkan perniagaan. Oleh itu apa juga usaha yang menjurus kepada mendapatkan keuntungan dan dilakukan secara bertanggungjawab adalah mulia.
Peniaga dan usahawan yang jujur dalam erti kata sebenarnya seharusnya mendapat ganjaran setimpal ke atas sumbangan mereka.
Namun apabila usaha memperolehi keuntungan tidak berlaku secara jujur, mengabaikan segala peraturan dan tidak lagi menghiraukan kepentingan orang lain termasuk membelakangkan alam sekitar, maka di sinilah manusia dan segala-galanya teraniaya dan merana.
Bukan maju ke depan
Pada titik inilah kita sebenarnya tidak lagi maju ke depan tetapi sebaliknya mundur ke belakang. Dalam sebutan mutlak, kita sebenarnya tidak mencatatkan evolusi ekonomi tetapi sebaliknya devolusi.
Mereka yang berkuasa dan membiarkan jurang yang kaya dengan yang miskin kian melebar terus mempromosikan ketidak-adilan, ketidak-seimbangan, suasana terdesak di kalangan masyarakat, pelbagai konflik keyakinan, kemusnahan alam sekitar dan keresahan yang pelbagai.
Justeru, apalah ertinya nilai keuntungan, kuasa dan kemajuan sekiranya ia hanya berlaku dengan segala macam percanggahan, perlanggaran undang-undang, merosakkan kemanusiaan serta juga memusnahkan mahkluk lain menerusi pencemaran alam atas nama kemajuan.
Tidak ada siapa yang tidak mahukan kepada kemajuan. Islam melihat kemajuan sebagai sesuatu usaha murni menuju ke arah satu matlamat yang diredai oleh Allah SWT. Sebagai umat Islam, jalan yang kita perlu lalui untuk mencapai kemajuan adalah jalan orang yang diredhai dan bukannya jalan orang dilaknati.
Kita akur bahawa sementara perusahaan bebas (free enterprise) memerlukan keuntungan bagi merangsang produktiviti individu, masyarakat pula memerlukan harga barangan utama untuk kehidupan di kawal secara efektif.
Untuk inilah kita meletakkan harapan kepada kerajaan bagi melindungi kepentingan kita, kepentingan untuk hidup dalam keadaan yang selesa dan bukan dalam keadaan tertekan, tertindas dan terhimpit. Namun, di sini jugalah kita mendapati betapa pengaruh kepentingan sesetengah individu berkuasa, pengaruh dan kuasa wang serta pengaruh dan kuasa keuntungan berkembang pesat sehingga hampir menjadi satu budaya.
Moral ditenggelamkan
Kuasa dan pengaruh wang kian menenggelamkan bukan sahaja moral malah pertimbangan kita dan mengancam apa yang menjadi teras kepada demokrasi.
Sesungguhnya inilah keadaan yang kian menghakis dan memusnahkan bentuk kerajaan demokratik yang sepatutnya menjadi amalan politik kita.
Justeru, apabila Senator Tan Sri Jins Shamsuddin mengatakan demokrasi masih tulen di negara ini, maka atas pertimbangan apakah kenyataan itu dibuat? Betulkah apa yang disebut oleh Jins itu?
Demokrasi adalah lebih dari sekadar satu bentuk kerajaan. Ia adalah satu cara kehidupan dan satu formula bagi mencapai keadilan dan kesaksamaan di antara manusia. Perkataan demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat.
Abraham Lincoln menghuraikan makna pemerintahan secara ini sebagai, "kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat" (government of the people, by the people, for the people) dan bukannya kerajaan untuk beberapa kerat rakyat, oleh beberapa kerat rakyat dan untuk beberapa kerat rakyat.
Demokrasi menyokong kebebasan individu dan digniti asas dan kesamaan setiap seseorang rakyat. Ia adalah satu bentuk kerajaan di mana kuasa politik terletak di tangan rakyat. Ia mengiktiraf nilai intrisik pelbagai input dari sumber yang mempunyai asas yang luas. Dalam kata lain, ia mengundang kepada kekayaaan kepelbagaian.
Demokrasi menyebut jangan lihat hanya kepada diri anda sahaja atau mereka yang mindanya sama dengan anda untuk mencari sesuatu jawapan, tetapi lihat juga apa yang boleh ditawarkan oleh orang lain, kerana sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan bermacam kepelbagaian.
Demokrasi mengatakan jangan bersifat rigid dan tidak fleksibel sebaliknya sentiasa bersikap terbuka dan boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan kerana kehidupan itu sendiri adalah sesuatu yang dinamik dan sentiasa melalui perubahan.
Demokrasi mengatakan jangan membuatkan penyertaan itu sesuatu yang esklusif tetapi sesuatu yang inklusif kerana kehidupan merangkumi segala-galanya.
Kesederhanaan dan keseimbangan
Demokrasi melarang ekstrimism tetapi menganjur kepada kesederhanaan kerana kehidupan memerlukan keseimbangan.
Demokrasi menegah kita mewakili hanya mereka yang berpengaruh tetapi mewakili semua kerana hidup ini berkehendakkan kepada keadilan.
Demokrasi juga menyatakan agar kita tidak menganggu prosesnya kerana itulah satu-satunya harapan bagi untuk kita terus hidup.
Demokrasi memerlukan pemerhati yang adil. Ini kerana demokrasi sentiasa berada dalam tawanan. Ia berlaku apabila sistem ekonomi kapitalis yang kita amalkan bertembung dengan sistem bertembung dengan sistem politik demokratik.
Sementara demokrasi mengkehendaki sebuah kerajaan untuk rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, kapitalisme mengkehendaki kepada keuntungan.
Apabila soal mendapatkan keuntungan memainkan peranan dalam memilih calon wakil rakyat, maka tidak dapat tidak demokrasi akan dikompromikan. Dan apabila wakil rakyat terpaksa membalas budi baik mereka yang telah menghulurkan bantuan untuk wakil rakyat tersebut memenangi kerusi mereka, maka berlakulah pelanggaran prinsip demokrasi.
Apabila bentuk rasuah yang seakan-akan halal di sisi undang ini berlaku maka ia mencemarkan demokrasi. Dan apabila moral kerajaan dianggap korup, maka demokrasi beransur-ansur terhakis.
Apabila kerajaan dikuasai oleh mereka yang mencari keuntungan dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat biasa, maka proses tidak akan lagi membawa sebarang erti.
Apakah yang boleh dikatakan tentang keuntungan, kuasa dan kemajuan dalam realiti saling-berkait dan saling-bergantung dalam negara kita hari ini? Jenis manusia apakah kita ini kerana membiarkan jurang terus membesar di antara golongan yang semakin kaya dengan golongan yang semakin miskin?
Tanggung keluarga
Berapa ramaikah di antara kita yang menghadapi kesulitan untuk menanggung keluarga, mengadakan tempat tinggal, membayar pelbagai bil perkhidmatan jika dibandingkan dengan mereka yang mampu membeli belah di pusat membeli belah terkemuka, boleh membeli pakaian berjenama, boleh menggunakan kereta untuk ke tempat kerja atau bersiar, berbanding dengan segelintir mereka yang tidak menghadapi satu pun kesulitan dan masalah ini?
Ketidakadilan dan ketidaksamaan dalam pembahagian peluang dan kekayaan ini bukanlah berlaku secara kebetulan. Ia berlaku kerana mereka yang mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu bagi memperbetulkan keadaan pura-pura tidak tahu atau pura-pura tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku.
Keadaan ini disemarakkan lagi dengan sifat tamak dan haloba sesetengah pihak. Ia juga berpunca dari sistem ekonomi yang diatur sekian rupa bagi memuaskan nafsu mereka yang oportunistik.
Kebanyakan pemimpin kita, individu di negara kita yang berpengaruh dan institusi perniagaan kita enggan mengorbankan sedikit kepentingan peribadi demi memastikan setiap rakyat boleh hidup dengan selesa. Pemimpin kita gagal untuk melihat apakah yang berada di sebalik kedaulatan dan kepentingan nasional.
Dalam kesibukan memperkatakan 50 tahun kemerdekaan, mencari siapa pembakar Jalur Gemilang dalam insiden di Batu Burok dan sebagainya, mereka terlupa kemanusiaan di sebalik kedaulatan dan kepentingan negara.
Inilah kebiasaan yang memusnahkan dan visi terhad yang dimiliki oleh kebanyakan pemimpin Umno hari ini. Ia turut merosakkan perhubungan rakyat sesama rakyat. Ia mewujudkan situasi kebencian, keceluparan dalam mengkritik dan sebagainya. Kita semakin jauh dihanyutkan dari tata-susila, budi bahasa dan malah adab sopan yang dituntut oleh Islam.
Semua ini dilakukan atas nama keuntungan, kuasa dan kemajuan. Suka atau tidak kita perlu ingat betapa lebih kerap dari tidak, keuntungan adalah satu-satunya kuasa yang memberikan kita motivasi sehingga ada kalanya membelakangkan kewajaran kita sebagai seorang manusia demi untuk mendapatkan, walaupun keuntungan peribadi jangka pendek.
Dalam sistem ekonomi yang dipupuk,disokong dan disemarakkan oleh Umno ini kita sentiasa diterajui oleh ketamakan yang melampau dan ketandusan budi-bicara dan malah budi bahasa. Disebabkan terlalu mementingkan keuntungan maka lahirlan komersilisme yang bersifat mengekspolitasi dan menyemarakkan api materialism.
Berbilion ringgit dibelanjakan bagi meyakinkan kita bagi membeli barangan konsumer yang tidak diperlukan malah boleh memudarakan kita dan juga alam sekitar sedangkan kita tidak melakukan sesuatu yang konkrit untuk mengawal harga ayam, harga kelapa, harga gas, harga minyak , tarif elektrik dan macam-macam lagi.
Kekayaan didewakan
Kita kian menjadi umat yang mendewa-dewakan kekayaan dan status. Kita mementing imej dari substance. Kita menggunakan sumber dengan sewenang-wenangnya. Kita tidak menghiraukan alam sekitar dan juga makluk Allah yang lainnya dan terus menerus mencemarkan minda kita sendiri. Sampai bilakah kita harus membiarkan semua ini berlaku?
Mereka yang mencari untung biasanya akan terus melonggokkan harta. Mereka biasanya mencapai kekayaan yang tidak dapat dibayangkan oleh rakyat marhaen. Bagi setiap orang yang memiliki kekayaan seperti ini, ramai yang hidup dalam kemiskinan.
Keresahan, kebimbangan malah ketakutan dialami oleh mereka tergolong dari bukan pencari untung dan lebih-lebih lagi kepada golongan yang tidak berada.
Mencari keuntungan tanpa memikirkan orang lain dan dengan cara yang tidak adil sebagaimana yang kerap berlaku di negara kita adalah satu pelanggaran hukum dan dan sistem perniagaan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Islam menuntut keadilan dalam soal menari untung sebagaimana yang disabdkan oleh Rasulullah s.a.w.: “Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai"
Namun apabila konsep keadilan yang begitu mudah ini diabaikan maka berlakukah kemiskinan dan kesempitan ekonomi dalam sebuah negara yang mempunyai sumber yang mewah seperti Malaysia ini. Ia mungkin tidak lagi mencapai tahap di mana akan berlakunya keruntuhan ekonomi tetapi ia sudah sampai ke peringkat mencetuskan revolusi minda politik di mana mereka yang dulunya begitu yakin dengan parti yang memerintah kini tidak lagi menaruh keyakinan yang sama.
Semangat demokrasi tulen mencerminkan betapa kita menghargai kehidupan, meraikan kepelbagaian, mengiktiraf kesatuan sesame kita. Demokrasi tulen lahir dari naluri kita sebagai seorang insan yang memerlukan kebebasan. Matlamat demokrasi itu adalah sebenarnya matlamat kemanusiaan.- mks.