Sunday, May 24, 2009
POLITIK : AHAD 24 MEI 2009
KUALALUMPUR 23 Mei - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) kesal dengan'kedegilan' pakatan pembangkang untuk menerima keputusan MahkamahRayuan yang menetapkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagaiMenteri Besar Perak yang sah.
Rakyat semakin jemu - Zambry
IPOH 23 Mei - Semua pihak perlu bekerjasama mengurangkan bahang politikketerlaluan yang mengganggu keharmonian dan meresahkan rakyat negeriini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
'Kalau menang belah dia tidak apa'
IPOH23 Mei - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) hari inimembidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogoklapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yangmengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri BesarPerak yang sah.
Perkasa sifatkan pembangkang hipokrit
KUALALUMPUR 23 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)menyifatkan desakan pembangkang agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perakdibubarkan membuktikan pakatan itu bersikap hipokrit dalam perjuanganpolitik.
Mogok lapar
IPOH 23 Mei - Ibarat bayi menangis inginkan perhatian!
Reaksi Anwar
BUKITMERTAJAM 23 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahimmenyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sebagai mengecewakan.
Nazri: Jangan tafsir negatif
KUALAKANGSAR 23 Mei - Pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsirkeputusan Mahkamah Rayuan semalam sebagai sesuatu yang negatif.
Nik Aziz tidak senang
KUALALUMPUR 23 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Matmenempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yangtidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidakterhormat.
BN tidak sokong calon Bebas – PM
PEKAN23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan kononnyaBarisan Nasional (BN) terlibat secara tidak langsung dengan menyokongsalah seorang calon Bebas berkempen pada Pilihan Raya Kecil DewanUndangan Negeri (DUN) Penanti.
Ekonomi boleh musnah
KOTA BHARU 23 Mei - Ketaksuban rakyat terhadap sentimen politik pada masa ini boleh mengakibatkan ekonomi negara musnah.
Pilihan raya kecil Manek Urai penting bagi UMNO
JELI23 Mei - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai amatpenting bagi UMNO kerana ia akan menjadi pencetus kebangkitan ahliparti itu di negeri ini dan seluruh negara amnya.
Pas sedia serah jawatan MB pada bukan Melayu
KUALA LUMPUR 23 Mei – Pas sedia memberikan peluang kepada kaum selainMelayu untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang dikuasai oleh partiitu dengan syarat mesti beragama Islam, warak, bertakwa, zuhud danberpendidikan tinggi dalam agama.
DAP pertikai gantung elaun Khir
KUALALUMPUR 23 Mei - Dewan Undangan Negeri Selangor tidak wajar menggantungelaun bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Khir Toyo sekalipunjika ia mengesahkan perakuan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan untukberbuat demikian.
Jangan jadikan perhimpunan PPP – Kayveas
KUALALUMPUR 23 Mei – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M.Kayveas memberi amaran supaya perhimpunan bagi menyokong TimbalanMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di Putrajayaesok tidak dikaitkan dengan parti itu.
Empat rebut DUN Penanti
BUKITMERTAJAM 23 Mei – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Penanti pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antaratiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bapa mertua Mukhriz meninggal
SEREMBAN 23 Mei - Bapa mertua kepada Timbalan Menteri PerdaganganAntarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninggal duniadi kediamannya di Taman Sri Antan di sini, petang ini.
BN tidak turun kempen di DUN Penanti
PEKAN:Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tiada kaitandengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di PulauPinang, dan tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan rayaitu pada 31 Mei ini.
'BN tidak atur keputusan hakim'
KUALALUMPUR: Umno kesal dengan tindakan parti pembangkang yang terus menuduhkerajaan atau Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuanmenentukan siapa Menteri Besar Perak yang sah.
'Henti keruhkan suasana Perak'
IPOH:Kerajaan Perak meminta semua pihak menghentikan segala tindakan yangmeningkatkan ketegangan dan perasaan tidak selesa di kalangan rakyatsebaliknya bersama-sama membantu memaju dan membangunkan negeri ini.
Nizar sedia jumpa Najib
BUKITMERTAJAM: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad NizarJamaluddin, menyatakan kesediaannya bertemu Perdana Menteri, Datuk SeriNajib Razak, bagi menyelesaikan krisis politik Perak.
Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti
BUKITMERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti (N12),31 Mei ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan PartiKeadilan Rakyat (PKR) dicabar tiga calon Bebas selepas seorang lagicalon Bebas ditolak kertas pencalonannya.
Tiada ketegangan ketika proses penamaan calon
BUKITMERTAJAM: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan UndanganNegeri (DUN) Penanti, berjalan lancar, teratur dan penuh tertib, kataPengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz MohdYusof.
Pakatan Rakyat lancar mogok lapar tiga hari
IPOH:Kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin, Pakatan Rakyat akanmelancarkan kempen mogok lapar selama tiga hari, mulai Selasa ini,untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan DewanUndangan Negeri (DUN).
Calon Bebas mahu dedah bukti PKR tawar ganjaran
BUKITMERTAJAM: Calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, akan mendedahkan buktiganjaran ditawarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya beliaumenarik diri bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti.
Peniaga kecewa borang ditolak
BUKITMERTAJAM: Calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti, Mohd Saberi Othman, yang kertas pencalonannya ditolak,berasa kecewa dan marah dengan keputusan itu.
AJK Umno Tasek Gelugor batal hasrat tanding
BUKITMERTAJAM: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk MuhammadMustaffa Idrus, membatalkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas padapilihan raya kecil (DUN) Penanti selepas dinasihatkan pemimpin parti.
Barisan Nasional yakin rampas kerusi
PUTRAJAYA:Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Manik Urai, Kelantan pada pilihan raya kecil di situ, berikutankepercayaan rakyat terhadap parti itu yang semakin meningkat.
Manik Urai penting kepada BN
JELI:Umno Kelantan menganggap pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Manek Urai, sebagai amat penting bagi membuktikan Barisan Nasional (BN)masih relevan dan diterima rakyat bukan saja di Kelantan, malah seluruhnegara
Pertandingan empat penjuru di DUN Penanti
Oleh Fazli Abdullah, Fazallah Pit, Norakmah Mat Youb dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my
CALON pilihan raya kecil DUN Penanti (dari kiri) Kamarul Ramizu, Mansor, Nai dan Aminah mengangkat tangan selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Bukit Mertajam, semalam. |
PKR mahu mempertahan kerusi dicabar tiga calon Bebas
BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti (N12), 31 Mei ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru, dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicabar tiga calon Bebas selepas seorang lagi calon Bebas ditolak kertas pencalonannya.
PKR yang mempertahankan kerusi itu, mencalonkan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59.
Beliau dicabar bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, yang menggunakan lambang kunci; pengurus kilang keturunan Siam, Nai Khan Ari Nan Keow, 41, (wau bulan) dan ahli perniagaan, Kamarul Ramizu Idris, 42 (payung).
Kertas pencalonan seorang lagi calon Bebas, ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman, 49, ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak menepati syarat.
Ini kali keempat Mansor bertanding selepas kalah tiga kali berturut-turut pada Pilihan Raya Umum 1999, 2004 dan 2008. Pilihan raya kecil ini juga adalah percubaan kali kedua Kamarul Ramizu selepas bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang, bulan lalu dan memperoleh 62 undi.
Bagi Aminah dan Nai yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, ini adalah percubaan kali pertama.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, berkata SPR menerima lima kertas pencalonan apabila penamaan calon dibuka mulai jam 9 pagi di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti, dekat sini.
Aminah adalah calon pertama mengemukakan kertas pencalonan pada jam 9.03 pagi, diikuti Mansor pada jam 9.10 pagi, Mohd Saberi pada jam 9.11 pagi, Nai pada jam 9.15 pagi dan Kamarul Ramizu pada jam 9.17 pagi.
Turut hadir, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
Pilihan raya DUN Penanti diadakan berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR pada 16 April lalu, dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca siswazah.
Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu kerana tidak mahu terperangkap dengan permainan politik pembangkang. Ini kali kedua BN tidak meletakkan calon selepas melakukannya dalam pilihan raya kecil Parlimen Menglembu, Perak pada 1975.
Seramai 15,384 pengundi, termasuk 24 pengundi pos layak mengundi pada pilihan raya kecil keenam selepas Pilihan Raya Umum 2008. Daripada bilangan pengundi itu, 76.68 peratus adalah Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.3 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain).
Sementara itu, kira-kira 2,000 hingga 3,000 penyokong Pakatan Rakyat hadir untuk memberi sokongan kepada calon mereka sebelum berarak ke pusat penamaan calon, kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketiadaan calon BN pada pilihan raya kecil itu menyebabkan suasana di luar pusat penamaan calon agak hambar, berbanding pilihan raya kecil sebelum ini yang mampu menarik puluhan ribu penyokong parti bertanding.
Empat rebut DUN Penanti
utusanpenang@utusan.com.my
|
|
BUKIT MERTAJAM 23 Mei – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara tiga calon Bebas dengan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 12 tengah hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya mengumumkan hanya empat calon yang akan bertanding pada pilihan raya itu.
Empat calon tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 59, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.
Roslan ketika ditemui selepas pengumuman itu di pusat penamaan calon di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berkata, kertas pencalonan seorang lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak kerana tidak menepati syarat ditetapkan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh bantahan yang bermula pukul 11 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima enam bantahan.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai bentuk bantahan tersebut.
Pilihan Raya Kecil DUN Penanti diadakan selepas penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan dengan alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.
Terdahulu, pada sebelah pagi, pusat penamaan calon di IKBN, Jalan Berapit, Penanti dibuka pukul 9 pagi.
Sehingga pukul 9.23 pagi, hanya lima orang menyerahkan borang pencalonan.
Bagaimanapun menurut Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Nordin Che Ngah, tujuh borang pencalonan telah dikeluarkan oleh SPR.
Sebelum ini, desas-desus mengatakan seorang lagi calon Bebas akan tampil menyerahkan borang pencalonan tetapi sehingga tamat tempoh penerimaan borang itu, individu berkenaan tidak muncul.
Aminah menyerahkan borang pencalonan sebaik sahaja pusat penamaan calon dibuka pukul 9 pagi diikuti Mansor pukul 9.10 pagi. Beliau diiringi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PKR lain.
Lima minit kemudian, Mohd. Saberi yang juga bekas pesara tentera muncul dengan berpakaian baju Melayu berwarna merah hati, lengkap dengan samping dan bersongkok menyerahkan borang pencalonan.
Calon berketurunan Siam, Nai Khan Ari tiba bersama pencadangnya, Boon Sisa Wang dan penyokong, Nah Lee menyerahkan borang pencalonannya pukul 9.18 pagi.
Sementara Kamarul Ramizu menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.20 pagi.
Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika ditemui Mingguan Malaysia memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan proses penamaan calon.
“Setakat ini, saya dapati semuanya berjalan lancar dan para penyokong calon dari parti yang bertanding akur dengan arahan dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi biasa dan 24 pengundi pos dengan 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus bangsa lain.
Peniaga kecewa borang ditolak
selepas pencalonannya ditolak, semalam.
BUKIT MERTAJAM: Calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Mohd Saberi Othman, yang kertas pencalonannya ditolak, berasa kecewa dan marah dengan keputusan itu.
Beliau bersama beberapa rakannya terus meninggalkan pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Penanti sebaik saja Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya, selesai membuat pengumuman calon yang layak bertanding.
Ahli perniagaan itu yang lengkap bersongkok, berbaju Melayu merah serta bersamping, enggan memberikan sebarang ulasan kepada wartawan yang menyerbunya, sebaliknya beberapa kali berkata:
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan tiga daripadanya calon Bebas, Aminah Abdullah, Kamarul Ramizu Idris, Nai Khan Ari Nan Keow, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili Mansor Othman.
Calon Bebas mahu dedah bukti PKR tawar ganjaran
Aminah nafi ditaja Umno, sedia lapor kepada SPRM
BUKIT MERTAJAM: Calon Bebas, Aminah Abdullah, 56, akan mendedahkan bukti ganjaran ditawarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya beliau menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang yang menggunakan lambang kunci berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya akan bongkar dan kemukakan bukti bahawa PKR menawarkan rasuah apabila saya mengumumkan untuk bertanding," katanya sambil menafikan beliau ditaja Umno untuk pilihan raya kecil itu.
Memberitahu pemberita selepas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Penanti, dekat sini, semalam, Aminah menjelaskan lambang kunci yang digunakannya melambangkan kunci untuk mendedahkan kepincangan parti Pakatan Rakyat.
Sementara itu, calon Bebas berketurunan Siam, Nai Khan Ari Nai Keow, berkata beliau menggunakan simbol wau bulan yang melambangkan rakyat Malaysia yang tidak akan membezakan bangsa serta agama.
"Saya tetap dengan satu tujuan iaitu berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa," katanya yang memberi fokus kempen dari rumah ke rumah.
Calon Bebas yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu, Kamarul Ramizu Idris, 42, berharap pengundi Penanti memberi peluang kepadanya untuk berbakti.
"Saya mensasarkan akan memperoleh sebanyak 6,200 undi pada pilihan raya nanti. Menang atau kalah bukan masalah, sebaliknya saya berkeyakinan memberi saingan kepada calon lain, termasuk PKR," katanya.
Kamarul Ramizu yang mengekalkan simbol payung seperti percubaan pertamanya berkata, beliau akan memulakan kempen dari rumah ke rumah mulai hari ini selain mengadakan dialog dengan orang ramai.
"Selepas pilihan raya kecil ini, saya akan menumpukan perhatian terhadap proses menubuhkan Parti Iman SeMalaysia," katanya.
Sementara itu, calon PKR, Mansor Othman, 59, berkata beliau yakin menang besar pada pilihan raya kecil itu berdasarkan sokongan penuh parti Pakatan Rakyat.
"Walaupun berapa ramai calon yang bertanding, saya yakin menang. Kita akan menggunakan jentera daripada semua parti Pakatan Rakyat," katanya.
BN tidak turun kempen di DUN Penanti
Najib bersama pemimpin BN menghadiri Majlis Makan Malam Gabungan Persatuan Cina Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Pekan, malam tadi. |
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang, dan tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan raya itu pada 31 Mei ini.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, BN tidak terbabit dengan pilihan raya kecil DUN Penanti kerana ia sengaja diadakan untuk menyelesaikan masalah dalaman parti pembangkang dan jelas sekali ia juga permainan politik mereka.
"Kita tidak terbabit dengan pilihan raya kecil ini dan tidak akan hantar orang kita berkempen di sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Pahang, di sini, semalam.
Pilihan raya kecil Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mansor Othman, 59, yang akan dicabar tiga calon Bebas, iaitu Aminah Abdullah, 56, yang juga bekas Ketua Wanita PKR, bekas Ketua Pemuda Gerakan cawangan Teluk Wang, Nai Khan Ari, 41, dan pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42.
Pencalonan seorang lagi calon Bebas, Mohd Saberi Othman, 49, ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengenai pilihan raya kecil DUN Manik Urai, Kelantan yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, kelmarin, Najib berkata, BN akan menunggu cadangan senarai calon daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan.
"Saya sudah kata sebelum ini bahawa kawasan DUN Manik Urai dikosongkan kerana wakil rakyatnya (Ismail) meninggal dunia dan ini satu tuntutan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk diisi orang lain dan BN akan letak calon bertanding," katanya.
Ismail, 60, daripada Pas memenangi kerusi DUN Manik Urai sejak Pilihan Raya Umum 1986 dan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pagi kelmarin kerana sakit jantung.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis makan malam Gabungan Persatuan Cina Pahang, malam tadi, Najib yakin kepelbagaian masyarakat berbilang kaum adalah sumber kekuatan bagi membantu proses transformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
"Saya juga percaya masyarakat berbilang kaum adalah sumber kekuatan negara dan kalau kita dapat terjemahkan kekuatan ini, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mencipta strategik baru sebagai gerbang kepada pasaran modal baru," katanya.
BN tidak sokong calon Bebas – PM
PEKAN 23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) terlibat secara tidak langsung dengan menyokong salah seorang calon Bebas berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.
Tegas Perdana Menteri, salah seorang calon Bebas itu iaitu Nai Khan Ari, 41, yang merupakan bekas ahli parti Gerakan tidak mendapat sebarang sokongan daripada BN dalam kempen pilihan raya kecil itu.
‘‘Kita (BN) tidak terlibat dalam kempen (pilihan raya kecil DUN Penanti) dan kita tidak akan hantar sesiapa pun untuk berkempen,” tegas beliau.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) cawangan Pahang di Dewan Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.
Najib mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya Nai Khan Ari yang berketurunan Siam dan merupakan bekas ahli Gerakan mendapat sokongan BN untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon Bebas selepas tempoh penamaan ditutup hari ini.
Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari dan penceramah motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai latar belakang calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.
Beliau menegaskan, walaupun salah seorang calon bebas itu merupakan bekas ahli Gerakan tetapi ia tidak boleh dikaitkan dengan parti komponen BN itu.
‘‘Saya tak tahu latar belakang calon-calon ini tetapi secara dasarnya UMNO dan BN tidak meletakkan calon. Kalau ada pun (bekas ahli Gerakan), ia tidak semestinya dikaitkan dengan Gerakan,” jelasnya.
Najib sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa tindakan BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana ia merupakan permainan politik PKR.
‘‘Pilihan raya ini yang sengaja diadakan untuk menyelesaikan masalah dalamannya (PKR) dan ia sebagai satu permainan politik,” katanya.
Mengulas Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, Najib berkata, pihaknya sedang menunggu senarai nama calon yang dicadangkan oleh BN Kelantan.
Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya belum menentukan sama ada untuk meletakkan calon tempatan atau luar bagi merebut kerusi DUN tersebut.
Tiada ketegangan ketika proses penamaan calon
BUKIT MERTAJAM: Proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, berjalan lancar, teratur dan penuh tertib, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Beliau berkata, tiada ketegangan berlaku sepanjang proses itu, malah tiada kesesakan trafik di kawasan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), yang dijadikan pusat penamaan calon.
Katanya, suasana ketika proses penamaan calon tenteram, malah agak senyap berbanding pilihan raya lain, dipercayai berikutan ketiadaan calon Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil itu.
"Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak membawa penyokong yang ramai, mungkin sekitar 2,000 orang saja walaupun mereka memonopoli kedua-dua laluan ke pusat penamaan calon," katanya ketika dihubungi, semalam.
Sambil memuji disiplin penyokong parti dan calon, Abdul Aziz berkata, SPR berharap suasana itu kekal sehingga hari pengundian pada 31 Mei ini apabila semua calon mematuhi setiap peraturan, khususnya ketika berkempen.
Beliau menjangka pilihan raya kecil itu tidak sehangat pemilihan di kebanyakan kawasan lain berikutan PKR sebagai penyandang kerusi hanya bersaing dengan calon Bebas.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata tiada insiden buruk berlaku sepanjang proses penamaan calon.
"Hampir 500 anggota keselamatan ditempatkan di sekitar pusat penamaan calon, mulai jam 5 pagi. Semuanya terkawal, termasuk aliran trafik," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Media Polis Bagi Pilihan Raya Kecil Penanti, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Latif, mengingatkan semua calon dan penyokong mematuhi peraturan sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, jika didapati mana-mana pihak atau individu melakukan perbuatan itu, tindakan terhadap mereka boleh dikenakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Kanun Prosedur Jenayah.
AJK Umno Tasek Gelugor batal hasrat tanding
BUKIT MERTAJAM: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Mustaffa Idrus, membatalkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil (DUN) Penanti selepas dinasihatkan pemimpin parti.
"Demi kepentingan parti dan maruah bangsa, saya akur dengan nasihat pemimpin parti," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, pengarah syarikat berusia 53 tahun itu membuat pengumuman mengejutkan apabila menyuarakan hasrat bertanding atas tiket Bebas dan bersedia menghadapi apa juga tindakan parti sambil menjelaskan keputusannya itu tiada kaitan dengan Umno, sebaliknya atas kemahuan sendiri.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata parti akan mendapatkan penjelasan daripada Muhammad Mustaffa mengenai hasratnya bertanding sebagai calon Bebas.
"Tidak adil jika kami mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) supaya tindakan dikenakan terhadapnya tanpa mendengar penjelasan daripada beliau sendiri," katanya.
Beliau mungkin ada penjelasan lanjut selain daripada apa yang dilaporkan (media)," katanya.
Zainal Abidin berkata, mengikut Perlembagaan Umno, Muhammad Mustaffa boleh dipecat jika bertanding atas tiket Bebas.
MUFTI PERAK : 'Kalau menang belah dia tidak apa'
IPOH 23 Mei - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) hari ini membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi semasa berada di Mekah, di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa hingga Khamis depan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.
Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".
Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.
'BN tidak atur keputusan hakim'
Oleh Anwar Hussin, Mohd Anwar Patho Rohman dan Norliza Wasilan
bminggu@bharian.com.my
Pembangkang perlu lapang dada, terbuka terima Zambry MB sah: Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Umno kesal dengan tindakan parti pembangkang yang terus menuduh kerajaan atau Barisan Nasional (BN) mengatur keputusan Mahkamah Rayuan menentukan siapa Menteri Besar Perak yang sah.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tuduhan pembangkang itu disifatkan sebagai tidak masuk akal kerana keputusan mahkamah itu bebas daripada sebarang pengaruh dan tidak boleh dirancang mana-mana pihak.
"Memang tidak munasabah. Jika boleh dirancang macam mana kita boleh kalah sebelum ini. Inilah... bila sesuatu keputusan tidak memihak kepada mereka (pembangkang), kita dituduh merancang.
"Sama juga dengan isu membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi hantu. Tetapi tidak pula kedengaran (sebarang rungutan) apabila mereka menang di lima negeri selepas Pilihan Raya Umum 2008 dan pada pilihan raya kecil," katanya ketika dihubungi, semalam.
Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata pembangkang perlu bersikap berlapang dada dan terbuka, walaupun keputusan mahkamah tidak menyebelahi mereka.
"Parti pembangkang perlu menghormati keputusan mahkamah. BN sebelum ini boleh menghormati keputusan seorang hakim, mengapa pembangkang tidak boleh hormat keputusan tiga hakim. Prinsip apa yang mereka guna pakai?
"Apabila keputusan berpihak kepada mereka, pembangkang kata mahkamah adil, tetapi jika tidak, BN dituduh merancang. Jika benar-benar junjung prinsip keadilan, maka bersikap berlapang dada dan terbuka menerima keputusan mahkamah itu," katanya.
Kelmarin, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu, yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.
Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap Umno sebagai parti tidak bermoral dan tidak bertamadun kerana menguasai Perak menerusi apa yang disifatkannya sebagai 'cara yang tidak terhormat.'
Malah, Nik Abdul Aziz menyifatkan Zambry sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya pemimpin yang mewakili seluruh penduduk Perak.
"Kenapa pembangkang yang dipilih rakyat secara sah melalui undi dirampas oleh Umno dan BN dengan melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menyokong mereka.
"Tindakan ini langsung tiada peraturan dan saya berasa jika mereka berjaya di Perak, tidak mustahil juga akan melakukan perkara sama di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Ia bukan ajaran Islam dan tidak juga demokrasi, hanya nafsu jadi rujukan Umno," katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini, semalam.
Nazri: Jangan tafsir negatif
KUALA KANGSAR 23 Mei - Pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsir keputusan Mahkamah Rayuan semalam sebagai sesuatu yang negatif.
Sebaliknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, jika timbul perasaan tidak puas hati, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.
''Ini merupakan keputusan Mahkamah Rayuan. Jika tidak berpuas hati, hak mereka untuk membawa ke Mahkamah Persekutuan kerana ini adalah proses undang-undang, seperti juga Zambry (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) yang merayu ke Mahkamah Rayuan sebelum ini," katanya pada majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada 72 penerima kawasan Parlimen Padang Rengas di rancangan perumahan Datuk Mior Aris, Lubuk Merbau dekat sini, semalam.
Pakatan Rakyat lancar mogok lapar tiga hari
IPOH: Kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin, Pakatan Rakyat akan melancarkan kempen mogok lapar selama tiga hari, mulai Selasa ini, untuk mendesak Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, berkata penyokong Pakatan Rakyat yang akan berpuasa dibenarkan meminum air setiap enam jam tetapi tidak boleh menikmati makanan pejal sehingga petang Khamis ini.
Namun, katanya, orang Islam yang hendak berpuasa sempena kempen itu boleh berpuasa mengikut hukum syarak, iaitu bersahur sebelum matahari keluar dan berbuka ketika matahari terbenam pada Selasa, Rabu dan Khamis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, majlis perasmian acara itu akan disempurnakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammd Nizar Jamaluddin di Wisma DAP, bermula dengan sarapan pagi.
"Beberapa Adun Pakatan Rakyat juga akan tinggal di Wisma DAP selama tiga hari kerana kami akan mengadakan ceramah dan menyalakan lilin supaya DUN dibubarkan.
"Majlis penutup akan diadakan di Pejabat Pas Perak pada waktu maghrib Khamis ini diikuti solat hajat," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Nga berkata, penyokong Pakatan Rakyat juga digalakkan memakai baju hitam sebagai tanda membantah rampasan kuasa secara tidak demokratik oleh Barisan Nasional (BN) di Perak.
"Kerajaan yang demokratik mesti mendapat mandat rakyat. Rakyat tidak mahu kerajaan mereka ditentukan oleh seorang hakim saja. Hak asasi rakyat Perak berjumlah 2.4 juta untuk memilih kerajaan sendiri ditolak begitu saja," katanya.
Mogok lapar
IPOH 23 Mei - Ibarat bayi menangis inginkan perhatian!
Selepas mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri bawah pokok dan membina monumen 'demokrasi', pakatan pembangkang tidak sudah-sudah mahu mencetuskan suasana tidak stabil di Perak.
Pakatan pembangkang yang telah kehilangan majoriti DUN kini merancang mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari bagi mendesak DUN dibubarkan.
Tindakan mereka itu seolah-olah tidak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam.
Pelbagai program diatur sempena kempen tiga hari itu yang bermula pukul 10 pagi, Selasa ini di Wisma DAP.
Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming pada sidang akhbar di sini berkata, kempen tersebut akan dirasmikan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Speaker, V. Sivakumar dan ia berterusan selama 72 jam.
Sikap pembangkang dibidas
KUALA LUMPUR 23 Mei - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) kesal dengan 'kedegilan' pakatan pembangkang untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Menurut mereka, amaran pihak pembangkang bahawa kekacauan akan berlaku jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak dibubarkan membuktikan pakatan berpegang kepada prinsip matlamat menghalalkan cara semata-mata bagi mencapai cita-cita politik.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pemimpin pembangkang seharusnya akur dengan keputusan mahkamah yang mengesahkan bahawa tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik Zambry tidak bertentangan dengan undang-undang.
Katanya, keputusan itu bertepatan dengan pendirian UMNO bahawa baginda selaku bekas Ketua Hakim Negara tidak mungkin tersilap dalam membuat keputusan yang begitu penting.
''Segalanya sudah jelas dan terang tentang isu di Perak dan saya berharap Zambry dapat melaksanakan tugas membela rakyat dan membangunkan negeri.
''Keputusan sebelum ini dibuat oleh seorang hakim (Mahkamah Tinggi), semalam pula ia diputuskan oleh tiga hakim di mahkamah yang lebih tinggi, semua pihak perlu menerimanya," kata beliau ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hakim Datuk Md. Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop semalam sebulat suara memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah adalah salah dan mengetepikan keputusan itu.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan Pemikir Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menganggap pembangkang selalu meletakkan undang-undang di tangan mereka. Jika keputusan ini berpihak kepada mereka, ini dianggap adil. Jika tidak, mereka kata hakim tak betul," ujarnya.
Menurut beliau, sikap pembangkang yang tidak mahu mematuhi undang-undang disebabkan mereka merasakan disokong oleh majoriti rakyat di Perak.
Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam pula meminta pakatan pembangkang supaya menerima hakikat bahawa BN berhak memerintah Perak kerana ia mempunyai majoriti dalam DUN.
''Sebelum ini, apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pakatan pembangkang akan memerintah kerana terdapat wakil rakyat BN yang akan melompat, mereka bersedia menerimanya sebagai amalan demokrasi.
''Mengapa pula apabila tiga orang daripada pakatan pembangkang di Perak menyokong BN, mereka tidak dapat menerimanya sebagai amalan demokrasi," soalnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula mendesak pihak pembangkang supaya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan sama seperti langkah BN sebelum ini yang menghormati keputusan Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, negara ini akan menjadi kacau bilau sekiranya pembangkang tidak berpegang kepada prinsip asas yang menetapkan semua pihak harus menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah.
''Saya kesal kerana pembangkang cuba mengheret isu ini supaya terus berlarutan kerana ia hanya akan menjejaskan tumpuan kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat di Perak," katanya.
Perkasa sifatkan pembangkang hipokrit
KUALA LUMPUR 23 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan desakan pembangkang agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan membuktikan pakatan itu bersikap hipokrit dalam perjuangan politik.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam adalah sah dari segi undang-undang dan dibuat secara terperinci oleh panel hakim yang terbabit.
"Apa lagi yang nak bising-bising apabila mahkamah telah membuat keputusan dan kalau mereka yakin sangat rakyat Perak mengundi mereka, tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Saya juga tidak fikir pakatan pembangkang akan bubar DUN Perak jika mereka menang dalam keputusan Mahkamah Rayuan semalam," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tunduk dengan kehendak pakatan pembangkang supaya DUN Perak dibubarkan.
Muhyiddin berkata, ia adalah kerana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah diputuskan sebagai sah.
Muhyiddin mengulas desakan parti pembangkang supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan semula.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, beliau percaya, pakatan pembangkang tidak akan mendesak kerajaan membubarkan DUN jika pilihan raya itu tidak memihak kepada mereka.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, keadaan semasa tidak memerlukan DUN Perak dibubarkan.
"DUN Perak hanya wajar dibubarkan atas tiga faktor iaitu Sultan Perak sendiri mahu kerajaan negeri membubarkan DUN, BN hilang majoriti wakil rakyatnya dalam DUN atau wujudnya krisis kepimpinan UMNO Perak. Jelas dalam keadaan semasa itu semua tidak berlaku," katanya.
Reaksi Anwar
BUKIT MERTAJAM 23 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sebagai mengecewakan.
Beliau berkata, keputusan itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau pun diluar dugaan.
Malah, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, keputusan tersebut memperlihatkan kepada rakyat bahawa badan kehakiman negara telah 'hancur' dan perlu diperbetulkan.
Katanya, apabila isu di Perak diserahkan kepada mahkamah untuk dibuat keputusan, penghakiman telah dibuat mengikut selera politik dan arahan.
"Saya melihat keputusan itu sebagai menghancurkan institusi penting negara kita iaitu badan kehakiman apabila demokrasi di negara ini sudah tidak lagi berkesan.
"Oleh itu, apabila ada masalah, kita perlu menyerahkannya kepada rakyat Perak. Saya tidak faham, apa kesalahan besar yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Pelancaran Jentera Pemuda Pakatan Rakyat di Padang Ibu, Penanti, di sini malam tadi.
DAP pertikai gantung elaun Khir
KUALA LUMPUR 23 Mei - Dewan Undangan Negeri Selangor tidak wajar menggantung elaun bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Khir Toyo sekalipun jika ia mengesahkan perakuan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan untuk berbuat demikian.
Lim Kit Siang, tokoh veteran DAP berkata Dewan Negeri boleh menggantung ahli-ahlinya daripada menghadiri sidang dewan kerana melanggar keistimewaan, tetapi tidak harus menggantung elaun mereka oleh kerana anggota-anggota DUN dipilih oleh pengundi yang mewakili mereka di peringkat kerajaan negeri.
"Pengundi tidak harus diletakkan dalam keadaan tidak menentu kerana tidak mempunyai anggota dewan untuk mewakili sebagai pengantara dengan kerajaan negeri sekalipun jika ia digantung dari sidang Dewan Negeri," kata Kit Siang, anggota Parlimen Ipoh Timor dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata menggantung anggota Dewan Negeri kerana melanggar hak keistimewaan adalah hukuman wajar.
Pada 19 Mei, jawatankuasa berkenaan mendapati Khir (ADUN Sungai Panjang) dan empat anggota DUN lain Barisan Nasional bersalah menghina dewan itu.
Jawatankuasa itu memperakukan Khir digantung selama setahun dari menghadiri sidang dewan tanpa elaun dan keistimewaan kerana gagal menghadiri siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada Mac.
Siasatan itu ialah mengenai perbelanjaan dana agensi negeri, Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).
Khir didapati bersalah atas tiga tuduhan lain membuat kenyataan menghina dan negatif mengenai Selcat dalam media dan di blognya.
ADUN lain BN yang didapati bersalah menyelar Selcat di media dan diperakukan digantung selama enam bulan tanpa elaun dan keistimewaan ialah Datuk Warno Dogol (Sabak Bernam), Datuk Mohd. Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Mohd. Isa Abu Kassim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil). - Bernama
Nik Aziz tidak senang
KUALA LUMPUR 23 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidak terhormat.
Beliau turut menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya mewakili seluruh penduduk Perak.
"Kenapa pakatan pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui undi, tetapi dirampas oleh UMNO dan BN secara melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong mereka," katanya.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini hari ini.
'Henti keruhkan suasana Perak'
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my
Menteri Besar minta semua pihak elak kemelut berpanjangan, tumpu kestabilan
IPOH: Kerajaan Perak meminta semua pihak menghentikan segala tindakan yang meningkatkan ketegangan dan perasaan tidak selesa di kalangan rakyat sebaliknya bersama-sama membantu memaju dan membangunkan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya percaya majoriti rakyat negeri ini sudah bosan dengan kemelut politik yang berpanjangan sebaliknya mahukan kestabilan, suasana harmoni dan aman supaya jentera pentadbiran kerajaan berfungsi dengan lancar.
"Sudah tiba masanya bahang dan suhu politik yang tinggi di negeri ini dikurangkan dan ahli politik perlu bertanggungjawab selain tidak mencetuskan suasana huru hara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
"Kami akan sedaya upaya mengurangkan 'bahang' berkenaan menerusi sesi penerangan kepada seluruh rakyat Perak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Perak, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Perkim Bahagian Perak, Datuk Dr Abu Bakar Shaari.
Ditanya mengenai tindakan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin mencabar keputusan Mahkamah Rayuan semalam, Zambry berkata, itu adalah hak beliau berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau berharap Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu tidak cuba meracuni fikiran rakyat dengan berkempen dan memberi ceramah di seluruh negeri dengan maklumat yang tidak tepat.
Katanya, dari segi aspek demokrasi dan perundangan, sudah jelas keputusan sebenarnya memihak kepada Barisan Nasional (BN) Perak.
Rakyat semakin jemu - Zambry
IPOH 23 Mei - Semua pihak perlu bekerjasama mengurangkan bahang politik keterlaluan yang mengganggu keharmonian dan meresahkan rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Menurut beliau, rakyat semakin jemu dengan pergolakan yang berlaku dan berharap supaya krisis politik dalam negeri diselesaikan menerusi jalan terbaik tanpa menjejaskan ketenteraman awam.
''Untuk mengurangkan bahang politik ini, ahli-ahli politik mesti bertanggungjawab iaitu melaksanakan peranan dan tugas dengan tidak mencetuskan huru-hara atau suasana yang membimbangkan rakyat sama ada di pentas-pentas politik atau ceramah.
''Kalau masing-masing terus bermain dengan sentimen kebencian umpamanya mengadakan ceramah untuk memastikan sokongan kepada satu-satu pihak, akan menimbulkan lagi suasana yang tidak baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Perak ke-35 di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengumumkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar.
Jelas Zambry, tumpuan sekarang ialah memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar selain turut berusaha agar perpaduan kaum di kalangan masyarakat negeri ini dikekalkan.
''Saya juga akan meneruskan agenda mengembalikan kestabilan supaya rakyat dapat hidup aman serta memastikan perancangan pembangunan ekonomi berjalan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Menurut beliau, sekiranya wujud pertikaian politik, jalan terbaik yang wajar diambil ialah membawanya ke muka pengadilan dan bukannya meracuni pemikiran rakyat menerusi tohmahan yang sengaja diada-adakan.
''Biarlah jalan perundangan itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya tanpa menganggu gugat ketenteraman rakyat dalam negeri Perak ini," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM50,000 kepada Perkim bagi menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan meningkatkan syiar Islam di kalangan masyarakat.
MEMANG BETUL. Rakyat jemu dgn ko jer Zambry. Dulu minta restu rakyat, dah kalah tak boleh terima.
Nizar sedia jumpa Najib
BUKIT MERTAJAM: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menyatakan kesediaannya bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menyelesaikan krisis politik Perak.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, Pakatan Rakyat sebelum ini pernah menyuarakan kesediaan mereka dan berharap pertemuan itu membuahkan hasil positif demi kepentingan rakyat.
"Kita mahu meredakan kemelut politik di Perak dan pertemuan itu mungkin berguna kepada rakyat Perak. Saya sedia bertemu (Najib). Hal ini ada kita nyatakan dulu," katanya kepada pemberita di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini, semalam.
Dewan Perdana di IKBN itu dijadikan Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan tiga daripadanya calon Bebas.
Mahkamah Rayuan, kelmarin sebulat suara mengesahkan Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Mohammad Nizar masih Menteri Besar Perak.
Mohammad Nizar berkata, pihaknya tetap akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan, seawal-awalnya esok bagi mencabar keputusan berkenaan.
"Kita juga akan mengkaji keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada kita untuk dijadikan penghujahan bagi rayuan," katanya.
Beliau berkata, penyelesaian mahkamah bukan jalan terbaik kepada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat bagi mengatasi krisis politik di negeri itu, sebaliknya keputusan itu harus diserahkan kepada rakyat.
Katanya, peranan mahkamah hanya mentafsir undang-undang sedia ada sedangkan pembentukan kerajaan negeri dipilih melalui mandat rakyat.
"Jika kita menang sekalipun dalam perbicaraan mahkamah, kita tetap akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menyerahkan hak memilih kepada rakyat. Ini pendirian kita dari awal," katanya.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata kesahihan pembentukan kerajaan negeri tidak wajar diserahkan kepada dua atau tiga individu, sebaliknya diputuskan melalui proses demokrasi.
"Biarlah parti politik membawa dasar dan pendekatan masing-masing melalui proses pilihan raya dan terserah kepada rakyat untuk membuat pemilihan," katanya.
Barisan Nasional yakin rampas kerusi
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan pada pilihan raya kecil di situ, berikutan kepercayaan rakyat terhadap parti itu yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN dan parti pembangkang mempunyai peluang sama rata pada pilihan raya kecil itu kerana BN juga pernah menduduki kerusi DUN berkenaan.
"Walaupun di atas kertas BN dan parti pembangkang kini mempunyai peluang 50:50 untuk memenangi pilihan raya kecil ini, saya percaya rakyat di situ akan tetap memilih BN kerana kemampuan kita memenuhi kehendak dan meneruskan agenda pembangunan di kawasan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini, semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan bermesyuarat Khamis ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Manik Urai, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, kelmarin.
Ismail, 60, daripada Pas mula memenangi kerusi DUN Manik Urai pada pilihan raya umum 1985. Beliau meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ-II), Kota Bharu kira-kira jam 5.55 pagi kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 26 April lalu.
Allahyarham adalah antara wakil rakyat Pas paling lama di Kelantan apabila menjadi Adun Manik Urai selama lima penggal sejak 1985. Hanya pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi itu sebaliknya Pas diwakili Zamzuri Mat Lazim, yang tewas kepada calon BN, Mohamed Zulkifli Omar, dengan majoriti 53 undi.
Ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pemimpin pembangkang terutama Pas yang mencadangkan supaya BN tidak meletakkan calon di Manik Urai kerana akan kalah, Tengku Adnan berkata BN tidak akan terpengaruh dengan permainan politik parti lawan.
Mengenai calon BN di DUN Manik Urai, Tengku Adnan berkata, masih terlalu awal untuknya memberi sebarang kenyataan kerana SPR belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian.
Terdahulu, Tengku Adnan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2009 Peringkat Putrajaya yang dimenangi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(3), Datin Bibi Zuhara Dilbarkhan.
Manik Urai penting kepada BN
Oleh Ismail Mat, Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bminggu@bharian.com.my
Umno tak beri laluan mudah
JELI: Umno Kelantan menganggap pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, sebagai amat penting bagi membuktikan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima rakyat bukan saja di Kelantan, malah seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata walaupun sebarang keputusan bagi pilihan raya kecil berkenaan tidak mengubah landskap politik di Kelantan, namun BN tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan.
"Manek Urai memberi signifikan besar kepada Umno walaupun ada pihak berpandangan ia tidak membawa sebarang makna kerana apa juga keputusannya tidak mengubah DUN Kelantan. Tetapi bagi saya, kalau kita berjaya ia akan mengubah persepsi rakyat bahawa Umno dan BN masih relevan.
"Sudah tentu kemenangan BN akan memberi semangat baru kepada ahli Umno bukan saja di Kelantan, malah seluruh negara, sekali gus menggambarkan Umno dan BN masih kekal utuh sebagai parti yang memperjuangkan nasib seluruh rakyat," katanya.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Proton Bersama Rakyat di Kompleks Rehat dan Rawat (R&R) Gemang, di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Mustapa turut melahirkan keyakinan BN mampu merampas kembali DUN Manek Urai daripada Pas menerusi kerja keras dan komitmen tinggi semua pihak dalam Umno Kelantan sambil dibantu jentera parti dari negeri lain.
Mengenai calon yang akan diletakkan BN di Manek Urai, Mustapa berkata, masih terlalu awal untuk menentukannya dan Umno Kelantan akan mengadakan mesyuarat terlebih dahulu bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil berkenaan.
Sementara itu di PUTRAJAYA, BN yakin akan merampas kerusi DUN Manik Urai pada pilihan raya kecil di situ, berikutan kepercayaan rakyat terhadap parti itu yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN dan parti pembangkang mempunyai peluang sama rata pada pilihan raya kecil itu kerana BN juga pernah menduduki kerusi DUN berkenaan.
"Walaupun di atas kertas BN dan parti pembangkang kini mempunyai peluang 50:50 untuk memenangi pilihan raya kecil ini, saya percaya rakyat di situ akan tetap memilih BN kerana kemampuan kita memenuhi kehendak dan meneruskan agenda pembangunan di kawasan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini, semalam.
Pilihan raya kecil Manek Urai penting bagi UMNO
JELI 23 Mei - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai amat penting bagi UMNO kerana ia akan menjadi pencetus kebangkitan ahli parti itu di negeri ini dan seluruh negara amnya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia juga bakal menjadi ukuran penerimaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) setelah keputusan yang mengejutkan pada pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata, biar pun Manek Urai adalah kubu kuat Pas, BN tetap berpeluang untuk menang berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2004.
"Pada 2008, kita kalah dengan majoriti lebih 1,300 tetapi kali ini kita akan bekerja lebih kuat. UMNO Kelantan dengan bantuan rakan-rakan dari negeri lain akan berusaha untuk memastikan BN menang untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
"Manek Urai adalah kubu kuat Pas tetapi kita menang pada 2004, ini menunjukkan kita berjaya menembusi kawasan ini dengan rancangan serta strategi yang baik untuk menawan hati rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Proton Bersama Rakyat di kawasan R&R Gemang di sini hari ini.
Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pagi semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat Khamis ini untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil itu, sekiranya menerima makluman mengenai kekosongan itu Isnin ini.
Ismail yang mewakili Pas memenangi kerusi DUN Manek Urai sejak pilihan raya umum 1986.
Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak dicalonkan untuk kerusi tersebut, sebaliknya diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim yang tewas kepada wakil Barisan Nasional, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai dipilih semula untuk mewakili Pas di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan menewaskan Mohamed Zulkifli dengan majoriti 1,325.
Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai, yang turut mempunyai DUN Dabong, Guchil dan Mengkembang.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, UMNO Kelantan akan mengadakan mesyuarat malam ini untuk membincangkan pilihan raya kecil tersebut.
"Mesyuarat ini dirancang lebih awal lagi tetapi ia kebetulan dengan kematian Allahyarham, jadi kita mengambil kesempatan ini untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil.
"Malam ini kita juga akan membincangkan mengenai pelantikan ahli jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO yang baru," katanya.
Bapa mertua Mukhriz meninggal
SEREMBAN 23 Mei - Bapa mertua kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Antan di sini, petang ini.
Mukhriz yang bergegas ke sini dari Kuala Lumpur sebaik saja menerima berita kematian itu, berkata, bapa mertuanya, Zakaria Jundai, 83, pengsan pada pukul 4.30 petang di rumahnya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.
"Allahyarham sebelum ini menghadapi masalah jantung," katanya kepada pemberita di rumah Allahyarham di Taman Sri Antan, malam ini.
Katanya lagi, Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Beting, Kuala Pilah pada pukul 11 pagi esok.
Allahyarham Zakaria merupakan pesara polis berpangkat sarjan dalam Unit Pasukan Polis Hutan dan pernah berkhidmat di Simpang Renggam, Johor.
Beliau meninggalkan sembilan orang anak dan anak kelapan Allahyarham iaitu Norzieta Zakaria merupakan isteri kepada Mukhriz.
Sebelum ini, kata Mukhriz, isteri Allahyarham, Juriah Ahmad, 70, meninggal dunia pada awal tahun lepas.
Ekonomi boleh musnah
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KOTA BHARU 23 Mei - Ketaksuban rakyat terhadap sentimen politik pada masa ini boleh mengakibatkan ekonomi negara musnah.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jika rakyat alpa segala kemajuan yang dicapai oleh negara selama ini boleh hilang dalam sekelip mata sekiranya tidak dijaga dengan baik.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terlalu terikut-ikut dengan sentimen politik semasa sebaliknya kembali bersama-sama kerajaan menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.
"Separuh daripada 1.4 bilion umat Islam di dunia berada di bawah garis kemiskinan, tetapi atas pelbagai usaha kerajaan, negara kita selamat daripada masalah ini.
"Tetapi kadang-kadang kita alpa, sehingga apa yang kita ada sekarang umpama 'telur dihujung tanduk' jika masalah politik ini terus berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kelantan di sini hari ini.
Menurut beliau, ramai penulis luar negara menghasilkan tulisan yang menyamakan Malaysia dengan krisis politik di Thailand dengan mengambil contoh masalah yang berlaku di Perak.
Situasi itu, katanya, boleh menimbulkan persepsi negatif mengenai Malaysia kepada dunia luar terutama sekali pelabur asing yang merupakan antara penyumbang kepada pembangunan negara.
"Kita sepatutnya memikirkan bagaimana boleh menegakkan syiar Islam, mengekalkan pembangunan dan kemajuan negara.
"Kalau kita terus merusuh, tidak ada keamanan, dan mencabar raja, ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara terutama sekali usahawan bumiputera," tegasnya.
Tambah beliau, untuk menjadikan ekonomi negara berjaya, rakyat perlu kembali bersatu dengan kerajaan dan bersama-sama berusaha membawa perubahan.
Sementara itu, bercakap mengenai Perdasama, beliau menyeru para peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya menjadi ahli kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar.
Katanya, Perdasama yang mempunyai 13,000 ahli itu merupakan salah satu landasan untuk kerajaan menyampaikan maklumat kepada para peniaga di seluruh negara.
"Kerajaan telah menyediakan banyak peluang untuk membuka perniagaan kepada usahawan bumiputera melalui pinjaman mikro kredit, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun).
Pas sedia serah jawatan MB pada bukan Melayu
|
|
KUALA LUMPUR 23 Mei – Pas sedia memberikan peluang kepada kaum selain Melayu untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang dikuasai oleh parti itu dengan syarat mesti beragama Islam, warak, bertakwa, zuhud dan berpendidikan tinggi dalam agama.
Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, persoalan kaum tidak pernah menjadi ancaman kepada parti itu kerana agama mengajar kepentingan ketuanan Islam dan bukannya ketuanan sesuatu kaum.
Menurut beliau, Allah tidak pernah mengiktiraf kemuliaan sesuatu kaum berdasarkan kulit atau kaum tetapi secara mutlak hanya memandang kepada ketakwaan yang mematuhi apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.
“Pas mengamalkan ketuanan Islam dan bukannya ketuanan Melayu seperti yang diagungkan oleh UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markas Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan secara sinis berkata, gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya sudah lama diamalkan Pas, malah parti itu sanggup menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada kaum lain selain Melayu.
“Kita ada Islam For All, kita yang pertama jadi mana boleh UMNO mahu kita mengikut mereka yang bukannya pihak pertama membuat gagasan sebegitu. Adakah logik orang pertama kena ikut orang nombor dua,” katanya.
Sementara itu Nik Abdul Aziz memberitahu, Pas akan terus mempromosikan kepimpinan ulama di dalam parti itu yang dianggap telah berjaya mentadbir negeri Kelantan mengikut acuan yang dikehendaki Islam selama hampir 20 tahun.
Katanya, kerajaan negeri itu di bawah pimpinannya selama ini mempraktikkan Islam dari segi akidah, ibadat, ekonomi dan perjalanan politik sehingga berjaya menarik keyakinan rakyat terhadap parti itu sejak sekian lama.
“Sememangnya kami mahu mempromosikan kepimpinan ulama. Kepimpinan ulama di Kelantan selama ini telah membuktikan yang kita mampu mentadbir dengan baik.
“Menjelang pemilihan kali ini, Saya gembira apabila mendengar khabar ada antara Exco Kelantan yang dicalonkan bertanding,” katanya.
Jangan jadikan perhimpunan PPP – Kayveas
KUALA LUMPUR 23 Mei – Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas memberi amaran supaya perhimpunan bagi menyokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah di Putrajaya esok tidak dikaitkan dengan parti itu.
Beliau berkata, perhimpunan berkenaan tidak mendapat restu Majlis Tertinggi (MT) PPP selain mempunyai kaitan dengan tujuh ahli termasuk Murugiah yang dipecat pada 16 Jun lalu.
“Saya tahu ada khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel berlegar selain panggilan telefon meminta ahli-ahli menyertainya dengan memakai baju parti, kalau mereka jadikannya perhimpunan PPP, saya rasa mereka sengaja mencari masalah.
“Ia adalah usaha Murugiah yang menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri untuk ‘membuat’ kerja ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPP di sini hari ini.
Sebuah portal berita hari ini melaporkan kira-kira 10,000 penyokong Murugiah akan menghadiri satu perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi membincangkan masa depan PPP, janji-janji Kayveas yang tidak dipenuhi dan apakah yang boleh ditawarkan Murugiah sebagai pemimpin.
Perhimpunan bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang itu akan menampilkan beberapa penceramah, manakala ucapan penggulungan pula akan disampaikan oleh Murugiah sendiri.
Mengulas lanjut, Kayveas mencadangkan Murugiah supaya berdamai dengan PPP dengan membuat rayuan kerana beliau mempunyai tujuh hari lagi untuk berbuat demikian.
Katanya, tindakan sedemikian adalah lebih baik berbanding menganjurkan perhimpunan kerana mana-mana pihak yang telah disingkirkan tidak berhak untuk bercakap mengenai PPP.
“Dia melakukan semakin banyak kesilapan daripada berusaha untuk berdamai, jika dia orang Barisan Nasional (BN), dia kena berusaha ke arah perdamaian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kayveas turut mencabar Murugiah melepaskan jawatan timbalan menteri sekiranya beliau berpendapat PPP adalah parti haram kerana didakwa tidak menghantar laporan penyata kewangan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 2002.
“Jadi, pelantikannya sebagai timbalan menteri juga tidak sah kerana dia dilantik daripada parti yang haram, jadi dia perlu letak jawatan dulu dan kemudiannya buktikan perkara ini,” tegasnya.
Pada sidang akhbar yang sama, Kayveas mengumumkan PPP bersetuju membentuk pakatan kerjasama dengan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) bagi menjayakan agenda Satu Malaysia.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana PPP memberi keutamaan kepada keperluan untuk memiliki sebuah kerajaan yang stabil demi kesejahteraan rakyat dan negara.