Tuesday, November 06, 2007

Pantun pelengkap hujah



DEMI PERJUANGAN: Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri menyanyikan lagu Negaraku sebelum ucapan perasmian persidangan di PWTC, malam tadi.

Kejayaan misi angkasa lepas jadi pendorong kebangkitan Melayu

KUALA LUMPUR: Jika tahun lalu perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno didedahkan dengan istilah Glokal, kali ini Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, melontarkan istilah baru iaitu Mengangkasa Tamadun Bangsa dan 'bangsa angkasa' pada perasmian serentak persidangan tiga sayap Umno itu malam tadi.

Ungkapan yang merujuk atau sekurang-kurangnya dipengaruhi kejayaan misi angkasawan negara baru-baru ini, memberi mesej jelas kepada lebih 2,350 anggota Wanita, Pemuda dan Puteri, iaitu di bahu mereka terletak amanah untuk meningkatkan tamadun bangsa ke tahap tertinggi.

'Mengangkasa' bermaksud menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, manakala bangsa angkasa adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi serta memiliki tamadun yang hebat untuk cemerlang dalam persaingan global.


Seperti pemimpin Umno lain, Najib turut menyulami ucapan perasmiannya dengan pantun bagi memperjelaskan lagi maksud dan mesej yang hendak disampaikan.

Beliau memulakan dengan pantun enam baris bagi menjelaskan amanah yang menjadi tanggungjawab ahli.

Aman, makmur, harmoni,
Tamadun bangsa, diangkasakan,
Di tanah air tercinta ini,
Satu idealisme perjuangan,
Mari bersama kita renungi,
Tanpa noktah, tiada kesudahan.

PENUH SEMANGAT: Hishammuddin dan Khairy bersama ahli Pemuda melaungkan 'sedia gempur' di PWTC, semalam.

Timbalan Presiden Umno turut menggunakan dua rangkap pantun untuk menyampaikan pesanan kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri berhubung tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan bagi menjamin kemenangan besar Umno dan Barisan Nasional (BN).

Jika berkata, dari kalbu,
Bila berjanji, orang percaya;
Mari kita, bersatu padu,
Untuk menangi, pilihan raya.

Bila berjanji, orang percaya,
Perlu diingat, jati diri;
Untuk menangi, pilihan raya,
Membela rakyat, membangun negeri.


Pantun empat kerat berikut pula bagi menyatakan betapa perpaduan Melayu itu amat penting dan sebarang perpecahan hanya mengundang petaka kepada bangsa dan agama.

Tegak rumah, kerana sendi,
Runtuh sendi, rumah binasa;
Tegak bangsa, kerana budi,
Runtuh budi, bangsa binasa.

Jika berfikir, jangan termenung,
Mencari idea, kerja berkat;
Bulat air, kerana pembetung,
Bulat manusia, kerana muafakat.


Timbalan Perdana Menteri turut mengulangi pantun seorang veteran Umno yang menyindir perlakuan politik wang dalam parti.

Tebang buluh dengan kapak,
Bila hulur baru nampak.
Ada duit, mudah dikuit,
Tiada wang, tergolek seorang.

No comments: