Tue | Nov 06, 07 | 5:22:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menghantar satu surat temujanji kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk memohon bagi mengadap baginda pada jam 3.00 petang, 10 November ini.
Penyerahan surat tersebut dihantar kepada Setiausaha Sulit Istana, yang mana diwakili seorang pegawai pembantu Setiausaha Sulit Istana yang dikenali dengan nama Zainab di pejabat Istana Negara, dekat sini, hari ini.
Seramai lima Ahli Jawatankuasa Bersih yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zulkifli Ahmad; Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Sivarasa Rasiah; Fuziah Salleh; wakil DAP, Ronnie Liu dan seorang wakil dari Center Independent Journalist (CIJ).
Sementara itu, Dr Dzulkifli yang bercakap kepada pemberita di penyerahan surat tersebut berkata, Bersih memohon beberapa perkara kepada Yang DiPertuan Agong berhubung sistem pilihan raya negara ini.
"Bersih memohon keprihatinan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong untuk memperkenan mengangkat agenda reformasi sistem pilihan raya.
"Bersih juga memohon supaya Baginda mengangkat usaha untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja bagi melihat keseluruhan keperluan sistem reformasi pilihan raya itu sendiri," katanya.
Katanya, mereka juga memohon secara rasmi untuk mengadap Yang DiPertuan Agong di Istana Negara pada 10 November depan.
Sementara itu, Sivarasa berkata, empat masalah besar yang wujud dalam proses pilihan raya iaitu bersihkan daftar pengundi, mansuhkan undi pos terhadap polis dan tentera, menggunakan dakwat kekal dan memberi akses yang adil kepada semua pihak diperjelaskan dalam memorandum kepada Yang DiPertuan Agong pada 10 November ini.
Manakala, Fuziah yang turut serta dalam rombongan tersebut berkata, dalam sebuah negara yang demokrasiseperti Malaysia rakyatnya berhak untuk mendapat satu proses pilihan raya yang bersih dan adil.
"Apabila rakyat beramai-ramai membuat keputusan untuk bersama Bersih pada 10 November pasukan polis digesa memberi bantuan untuk memasti keselamatan mereka yang berkumpul pada hari itu.
"Suhakam juga mengatakan bahawa perhimpunan itu adalah hak rakyat Malaysia dan itu yang kita harapkan daripada semua pihak menyokong kita," katanya.
Dalam pada itu, Ronnie pula berkata, rakyat yang hadir di Dataran Merdeka pada hari itu digalakkan memakai serba kuning.
Ini katanya, sebagai menuntut reformasi sistem pilihan raya yang adil dan bersih. - mks.
No comments:
Post a Comment