Thursday, October 25, 2007

Batal jumpa Anwar, BPR salahguna akta pencegahan rasuah

Wan Nordin dan Azamin Amin | Foto Wan Zahari Salleh
Thu | Oct 25, 07 | 9:10:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang sepatutnya bertemu dengan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) bagi mendapatkan bukti 'pita lingam' hari ini telah membatalkan pertemuan itu dengan hanya menelefon Anwar pada jam 11.00 pagi tadi.

ImageDemikian kata Anwar dalam satu sidang media sejurus selepas mendapat dua panggilan dari BPR di Pejabatnya di Petaling Jaya pagi tadi.

BPR bagaimanapun tidak memaklumkan punca sebenar pembatalan tersebut termasuk tidak memberi tarikh pertemuan selanjut yang bakal diadakan, kata Anwar.

"Ini bukti yang dimahukan BPR ada di tangan saya,"sambil menunjukkan 'thumb drive' yang dikatakan mengandungi salinan sahih rakaman pita Lingam itu.

Beliau mengecam dan memberi amaran kepada BPR supaya mengambil bukti itu dalam masa lima minit (sambil menunjukkan 'thumb drive' yang dikatakan mengandungi salinan sahih pita Lingam) dari jam 12.00 tengahari tadi.

"Jika dalam masa lima minit BPR tidak sampai, bukti di tangan saya akan hilang,"kata Anwar yang tidak mahu BPR mengganggunya di masa akan datang memandangkan hari ini adalah hari yang sebenarnya dijanjikan dalam notis BPR kepada Anwar untuk menyerahkan bukti.

Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, BPR tidak muncul bagi mendapatkan pita itu, dan seramai hampir 150 orang masih berada di pekarangan pejabat Anwar termasuk wartawan dan jurugambar dalam dan luar negara.

ImageAnwar mengecam penggunaan Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah yang memperuntukkan pegawai penyiasat BPR bagi mendapatkan bukti daripada individu yang terlibat dalam rasuah, dan bukannya pelapor atau pemberi maklumat.

Dalam pada itu beliau juga telah dinasihatkan oleh peguamnya untuk mencabar tindakan BPR itu di mahkamah kerana katanya terbukti BPR menyalahgunakan akta tersebut.

Beliau menggesa BPR menyiasat VK Lingam dan Tun Ahmad Fairuz, selain mendesak dua individu itu menafikan dakwaan keterlibatan dalam konspirasi kehakiman jika tidak bersalah.

Terdahulu dalam laporan Harakahdaily pagi tadi, sumber menyatakan bahawa BPR akan mendapatkan pita itu dari Anwar hari ini.

Dalam notis terdahulu, jika Anwar enggan menyerahkan pita rakaman perbualan antara seorang peguam yang didakwa sebagai, VK Lingam dan seorang hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) itu boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 29 (c) Akta Pencegah Rasuah.

Di bawah akta itu, Anwar berkemungkinan akan dikenakan hukuman dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

ImageHukuman itu boleh dikenakan berdasarkan notis dari BPR pada 22 Oktober lalu berhubung 'Perintah Mengemukakan Dokumen (di bawah peruntukan Seksyen 22 (1) (b) yang diserahkan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Tindakan Khas, BPR Putrajaya, Sazali Salbi dalam pertemuan dengan Anwar di pejabat bekas TPM itu Isnin lalu.

Dalam notis itu, Anwar diperintahkan agar menyerahkan rakaman pita selama 14 minit dan jika enggan beliau boleh dikenakan tindakan di bawah sekseyn 29 (c) Akta Pencegah Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Ketika menerima notis itu, Anwar bagaimanapun tidak memberi sebarang ulasan apabila ditanya sama ada beliau akan mematuhi arahan dalam notis itu.

Ini adalah kali kedua BPR menemui Anwar di pejabatnya berhubung klip video tersebut yang didedahkannya sebulan lalu.

ImageSebelum ini, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan Pegawai Penyelaras Politik Anwar, Sim Tze Tzin menerima notis yang sama. Mereka bagaimanapun enggan mematuhinya, kerana bimbangkan keselamatan sumber klip video itu.

Anwar turut menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh BPR itu hanyalah satu tindakan yang diarah oleh pihak atasan untuk menutup isu sebenar dalam kes Pita Lingam iaitu konspirasi kehakiman dan rasuah yang berlaku.

Anwar memberitahu media pita asal rakaman perbualan itu tidak berada di tangannya, sebaliknya beliau memiliki salinan sahih yang boleh digunakan BPR untuk menentukan kesahihan pita itu.

Hingga kini katanya beliau tetap akan melindungi sumbernya yang memberi rakaman itu dan berjanji jika ada jaminan keselamatan dan kerahsiaan diberi kerajaan kepada pemberi maklumat, beliau akan mendedahkan baki enam minit rakaman perbualan.

ImageApa yang menyedihkan hingga kini kerajaan langsung tidak memberi keazaman untuk menyiasat kes rasuah dengan memberi jaminan kepada saksi, sebaliknya menggunakan BPR untuk menutup kes ini, katanya.

Dibimbangi siasatan yang dijalankan oleh BPR ini hanyalah satu sandiwara sahaja bagi melambat dan menutup terus kes ini, ujarnya.

Justeru Anwar masih konsisten dengan pendiriannya bahawa satu Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk bagi menyiasat kes itu dengan semua jaminan keselamatan dan kerahsiaan terhadap sumber perlu diberi. - mks.

Speaker Dewan Rakyat tolak usul bincang tubuh Suruhanjaya Diraja - Wan Azizah

Wan Nordin & Azamin Amin
Thu | Oct 25, 07 | 1:29:54 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menolak usul yang dibawa Presiden Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu Parlimen membincangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat kes 'Pita Lingam'.

ImageWan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, penolakan usul itu dibuat Speaker di bawah 'Perkara 18 (2) Aturan Urusan Mesyuarat' iaitu perkara itu tidak berkehendak disegerakan.

Beliau yang kecewa dengan penolakan itu berkata, isu tersebut melihatkan penyelewengan pelantikan hakim yang akan menjejaskan sistem keadilan terhadap rakyat jelata.

Baginya alasan bahawa adanya panel bebas menyiasat kes itu tidak boleh diterima memandangkan panel yang dianggotai tiga individu antaranya, Tan Sri Haidar Mohd Noor; Tan Sri Lee Lam Thye dan Dato' Mahadev Shankar setakat ini tidak berfungsi.

Beliau telah menghantar surat usul itu pada September lalu, namun telah ditolak atas alasan bahawa ia tidak perlu disegerakan.

"Ia melibatkan orang ramai dan institusi kehakiman negara dan nama baik Malaysia di mata dunia.Perlu disegerakan penubuhan (Suruhanjaya Diraja) kerana sudah ada bukti.Namun Speaker kata ini tak perlu disegerakan kerana ada panel. "Dalam penghujahan, saya kata panel bebas tiada kuasa untuk memanggil saksi-saksi terlibat,"katanya dalam sidang medianya sebaik sahaja tiba di Pejabat Anwar, dari Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

"Biarpun begitu kita masih akan mengusahakan penubuhan Suruhanjaya Diraja dan terus mendesak kerajaan menubuhkannya,"katanya.

ImageTerdahulu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang sepatutnya bertemu dengan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) bagi mendapatkan bukti 'pita Lingam' hari ini telah membatalkan pertemuan itu dengan hanya menelefon Anwar pada jam 11.00 pagi tadi.

Demikian kata Anwar dalam satu sidang media sejurus selepas mendapat dua panggilan dari BPR di pejabatnya di Petaling Jaya pagi tadi.

BPR bagaimanapun tidak memaklumkan punca sebenar pembatalan tersebut termasuk tidak memberi tarikh pertemuan selanjut yang bakal diadakan, kata Anwar.

"Ini bukti yang dimahukan BPR ada di tangan saya,"sambil menunjukkan 'thumb drive' yang dikatakan mengandungi salinan sahih rakaman pita Lingam itu.

Beliau mengecam dan memberi amaran kepada BPR supaya mengambil bukti itu dalam masa lima minit (sambil menunjukkan 'thumb drive' yang dikatakan mengandungi salinan sahih pita Lingam) dari jam 12.00 tengahari tadi.

"Jika dalam masa lima minit BPR tidak sampai, bukti di tangan saya akan hilang,"kata Anwar yang tidak mahu BPR mengganggunya di masa akan datang memandangkan hari ini adalah hari yang sebenarnya dijanjikan dalam notis BPR kepada Anwar untuk menyerahkan bukti.

Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, BPR tidak muncul bagi mendapatkan pita itu, dan seramai hampir 150 orang masih berada di pekarangan pejabat Anwar termasuk wartawan dan jurugambar dalam dan luar negara.

Anwar mengecam penggunaan Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah yang memperuntukan pegawai penyiasata BPR bagi mendapatkan bukti daripada individu yang terlibat dalam rasuah, dan bukannya pelapor atau pemberi maklumat.

Dalam pada itu beliau juga telah dinasihatkan oleh peguamnya untuk mencabar tindakan BPR itu di mahkamah kerana katanya terbukti BPR menyalahgunakan akta tersebut. - mks.

Klip video: Ketua Hakim Negara beri keterangan

Oleh Ruhaidini Abd Kadir dan Khairul Azran Hussin


Tun Ahmad Fairuz.

PUTRAJAYA 24 Okt. – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan beberapa hakim telah memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan klip video yang memaparkan visual perbualan seorang peguam kanan dengan seorang hakim.

Selain mereka, BPR turut merakam keterangan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Keterangan mereka direkod sebelum Aidilfitri lalu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Fairuz, Tengku Adnan dan beberapa hakim itu merupakan antara individu yang namanya disebut dalam klip video tersebut.

‘‘Selain mereka, lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan direkodkan keterangan mereka,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Said, BPR kini hanya memerlukan rakaman asal klip video berkenaan untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Katanya, BPR memerlukan keseluruhan rakaman klip video selama 14 minit 16 saat itu untuk proses pembuktian.

Isnin lalu, BPR mengeluarkan perintah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 supaya mengemukakan klip video asal rakaman tersebut selewat-lewatnya esok.

Sebelum menyerahkan surat perintah itu, BPR turut merekodkan keterangan daripada Anwar selama kira-kira tiga jam dan ia merupakan keterangan kedua Anwar yang direkodkan oleh BPR.

Pada 18 September lalu, BPR mula menjalankan siasatan bagi membantu Panel Bebas Khas menentukan kesahihan rakaman klip video yang memaparkan visual perbualan seorang peguam kanan dengan seorang hakim, seperti dibangkitkan oleh Anwar.

Rakaman video itu memaparkan seorang peguam berbual dengan seorang hakim mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002.

Panel Bebas Khas itu dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

BPR ambil keterangan Ketua Hakim Negara

Oleh Norfatimah Ahmad



KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah mengambil keterangan semua pihak, termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan peguam kanan, Datuk V K Linggam berhubung klip video yang didakwa memaparkan perbualan telefon mengenai urusan pelantikan hakim.

Semua keterangan dirakam secara berperingkat sejak penubuhan Panel Bebas bagi menentukan kesahihan rakaman klip video yang didakwa perbualan telefon seorang peguam dengan seorang hakim kanan.


Keterangan Ahmad Fairuz diambil pegawai BPR sebelum Aidilfitri, manakala keterangan Linggam lebih awal dan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dirakam baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, yang mengesahkan perkara itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkembangan siasatan.

"Diharap pihak yang memiliki pita rakaman asal klip video segera tampil bagi memudahkan tugas kami menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi semalam.


Bagaimanapun, Abu Kassim berkata, setakat ini, siasatan kes belum selesai dan pihaknya akan meneruskan usaha memastikan ia selesai dalam jangka masa terdekat.

Sebelum ini, Anwar dalam kenyataannya berkata beliau akan menyerahkan salinan sebenar klip video 14 minit 16 saat itu kepada BPR hari ini untuk dianalisa secara teknikal bagi mengesahkan ketulenannya.

Bagaimanapun, kata Anwar klip video yang asal ada pada sumber yang memberikan kepadanya.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan sebagai berkata Anwar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah jika enggan menyerahkan bukti berkenaan.

Selain itu, panel khas itu akan bersidang semula Isnin depan dan sesiapa yang berhasrat memberikan sebarang bahan bukti bagi mengesahkan kesahihan klip video itu boleh menghadiri sidang itu.

Panel akan bersidang di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tingkat 30, Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut, di sini.

Bagaimanapun, bagi tujuan pentadbiran, mereka yang ingin menghadiri sidang itu perlu memberi nama dan nombor kad pengenalan terlebih dulu kepada sekretariat panel di Pejabat Perdana Menteri.

Harapan tinggi tagih komitmen Anwar, Nik Aziz ketuai himpunan 10 Nov

Abdullah A Karim
Thu | Oct 25, 07 | 7:01:10 pm MYT

Hanya tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi sebelum tiba detik 10 November yang bakal menyaksikan berlangsungnya Himpunan Aman Rakyat Malaysia bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada BERSIH dan Jawatankuasa Induk himpunan tersebut yang bekerja keras bagi menjayakan perhimpunan tersebut. Hingga sekarang ini boleh dikatakan hampir setiap hari mereka bermesyuarat dan mengadakan pertemuan-pertemuan, di samping turun menjelajah ke seluruh negara untuk memobilisasi rakyat untuk turun beramai-ramai pada hari tersebut.

Keghairahan di tahap rendah

Namun, selaku pemimpin parti di peringkat akar umbi, saya semacam merasakan bahawa keghairahan dan mood untuk turun ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut masih berada pada tahap yang rendah. Jangan lagi sebut pada tahap ini untuk mengembleng kehadiran rakyat terbanyak, sedangkan di kalangan ahli-ahli parti yang tegar sekalipun (baik PAS, KeADILan atau DAP) semangat untuk turun berhimpun pun masih tidak terasa.

Inilah realiti yang berlaku di peringkat bawah.

Saya gusar kalau akhirnya perhimpunan ini, yang telah diuar-uarkan sejak setahun yang lalu akan berdepan dengan kegagalan. Penanda arasnya adalah sebanyak mana rakyat yang berjaya kita kumpulkan.

Saya amat sedih apabila bertemu dengan seorang pimpinan PAS di peringkat kawasan dimana bila saya mengajukan pertanyaan, apakah persiapan yang telah dibuat oleh kawasannya untuk menggerakkan ahli-ahli PAS untuk berhimpun di Kuala Lumpur pada 10 November, dia dengan muka selamba mengatakan bahawa kita tidak perlu bersusah payah kerana himpunan tersebut adalah anjuran BERSIH, bukannya anjuran PAS!

Ubah persepsi

Mungkin bagi hamba Allah ini nilai dan ganjaran di sisi Allah untuk turun berdemo di Kuala Lumpur 11 November ini tidak sama dengan ganjaran apabila kita berhimpun mengutuk kekejaman Israel atau mengecam karikatur menghina Rasulullah.

Saya yakin sentimen sebegini juga turut dikongsi oleh ramai ahli PAS di seluruh negara.

Antara faktor yang saya rasa menyumbang atas kelesuan ini adalah disebabkan hingga ke saat ini tidak ada kenyataan terbuka dari pimpinan tertinggi parti-parti alternatif bagi mereka menyatakan komitmen untuk turun mengetuai himpunan tersebut.

Sepanjang yang saya ingat, Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga ke saat ini tidak pernah memberi penegasan (dari mulutnya sendiri, bukan melalui orang lain) bahawa beliau akan mengepalai himpunan tersebut.

Bahkan ada khabar-khabar angin yang menyatakan pada tarikh tersebut Dato' Seri Anwar tidak berada Malaysia kerana terbang ke Eropah dan Timur Tengah. Kalau perkhabaran ini tidak benar, silakan Dato' Seri menafikannya secara terbuka.

Begitu juga dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat juga belum memberikan komitmen sedemikian untuk beliau sendiri turun ke Kuala Lumpur pada 10 November, jauh sekali daripada mengarahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Sebahagian besar ahli PAS menganggap kata-kata Dato' Nik Aziz sebagai keramat. Beliau adalah lambang semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara.

Cara mudah capai target 100,000

Kalau Dato' Nik Aziz selaku seorang Tuan Guru, mengeluarkan satu kenyataan terbuka bahawa beliau akan mengepalai rakyat Kelantan ke Kuala Lumpur dan mengarahkan ahli-ahli PAS seluruh negara keluar beramai-ramai, maka saya yakin angka 100,000 peserta amat mudah untuk dicapai.

Kalau Tok Guru Nik Aziz berkerusi roda sekalipun, kami Pemuda PAS akan menolak kerusi tersebut laksana Pemuda Hamas menolak kerusi roda as-Syahid Syeikh Ahmad Yasin bagi memimpin Intifadhah!

Saya juga hingga kini masih belum mendengar walau sepatah pun kata daripada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat untuk mengemblengkan para ulama. Kalau Dewan Ulama berterusan lesu begini, maka para ulama wajar berasa malu dengan sami-sami Buddha di Myanmar yang mengepalai barisan hadapan dalam siri himpunan menentang junta tentera Myanmar hingga ada yang terkorban.

Rasa berdosa

Bagi saya yang daif ini, seluruh pimpinan dan ahli PAS yang memandang remeh atau merasa diri terlalu 'mulia' untuk turun bersama kami dalam himpunan 10 November itu nanti, kalian wajar berasa berdosa. Kepimpinan PAS di seluruh peringkat telah bersetuju sebulat suara untuk mengadakan himpunan menuntut pilihan raya yang adil ini sewaktu usul berkaitan dengannya dibentangkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat sewaktu Muktamar PAS di Kota Bharu bulan Jun yang lepas.

* Abdullah ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang merangkap AJK Mobilisasi Himpunan 10 November PAS Pusat

Hadi and my cucu

Raja Petra Kamarudin
Thu | Oct 25, 07 | 4:48:04 pm MYT

Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, the President of the Islamic Party of Malaysia (PAS) who I usually refer to as Tok Guru, was in Manchester (UK) on Sunday and he took the opportunity to visit my newly-born grandson.


ImageRaja Daniel Petra was born around Hari Raya and is Marina's and my third grandchild.

We are expecting our fourth in a couple of month's time so I hope I am able to 'stay free' at least until then.

That would give us three boys and one girl so expect the girl to be spoilt rotten. I suppose five children and four grandchildren is not too bad, and all this from one wife mind you.

That's my son, Raja Shahril, with Tok Guru and little Raja Daniel Petra. - malaysia-today.net

Lindung perasuah: AMK gesa tolak kerajaan BN, Abdullah dalam pilihan raya

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 25, 07 | 4:09:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) menggesa rakyat Malaysia menolak kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa dengan alasan kerajaan Abdullah gagal membendung amalan rasuah termasuk rasuah di peringkat tertinggi seperti yang didedah dalam 'pita Lingam'.

"Kerajaan BN tangkap pelapor rasuah tetapi pelaku (pengamal rasuah) di kalangan pemimpin dibebaskan. AMK berdiri di belakang Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan pendedahan kes 'pita Lingam' ini.

"Tindakan ke atas Anwar (notis Seksyen 22) adalah zalim," tegas Fariz semasa berucap di hadapan penyokong KeADILan di pekarangan pejabat Anwar di Petaling Jaya pagi tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua Wanita KeADILan, Zuraidah Kamarudin; bekas Ketua AMK Negeri Sembilan, Ramlan Roes dan pimpinan AMK.

Bercakap lanjut Fariz menegaskan, AMK akan sentiasa mempertahankan Anwar dan bersedia menghalang Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari menahan Anwar jika Anwar enggan menyerahkan salinan sahih 'pita Lingam'.

Rakyat sendiri boleh menyaksikan betapa korupnya kerajaan Abdullah ini yang membiarkan perasuah bebas, sebaliknya memburu pelapor dan penentang rasuah, katanya.

Kerajaan Abdullah juga dilihat mahu menutup isu ini dengan menggunakan BPR bagi memburu Anwar supaya rakyat sendiri akhirnya akan takut untuk melaporkan kegiatan rasuah, katanya lagi.

"AMK meletakkan bahawa Anwar adalah 'hero' bangsa dan beliau sanggup berhadapan dengan dugaan kerana menentang rasuah,"ujarnya. - mks.

Dapatkan t-shirt Bersih, kuningkan seluruh KL, 10 November ini

Harakahdaily
Thu | Oct 25, 07 | 3:15:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru rakyat Malaysia yang prihatin untuk 'menenggelamkan' bandaraya Kuala Lumpur dengan warna kuning 10 November ini.

Image

Jurucakap Bersih, Mohd Anuar Tahir berkata, untuk tujuan itu pihaknya mula menjual t-shirt bewarna kuning dengan lambang kempen Bersih kepada orang ramai yang ini menyertai perhimpunan terbesar itu.

Katanya, Bersih sudahpun bersedia untuk mengembleng rakyat dari seluruh negara untuk membanjiri Dataran Merdeka mulai jam 3 petang dan selepas itu berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum rakyat kepada Yang Di Pertuan Agong.

Sehubungan itu katanya, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan t-shirt berkenaan boleh menghubungi petugasnya, Abdul Halim ditalian 019-2111572 atau layari www.bersih.org untuk keterangan lanjut.

"Kita akan membuka gerai jualan di Taman Melewar, sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat, 28 Oktober ini," jelas beliau.

Menurut Anuar, sebagai permulaan kepada kempen tersebut, Bersih mengalakkan rakyat Malaysia yang prihatin supaya memulakan kempen dengan berpakaian kuning.

Katanya, kuning adalah warna yang diiktiraf antarabangsa sebagai lambang protes terhadap langkah yang tidak demokratik diambil sesebuah kerajaan.

Warna kuning juga katanya, adalah warna perjuangan kebebasan media.

"Oleh itu saya menyeru rakyat Malaysia untuk mula berpakaian kuning, mereka boleh juga memakai riben, tali leher, tudung, 'head band' atau 'arm band' dalam aktiviti harian mereka," serunya. - mr

"Betulkah Abdullah tak kisah jika semua orang berani mengkritiknya?

Ali Bukhari Amir
Thu | Oct 25, 07 | 10:07:24 am MYT

Saya memang kagum dengan Perdana Menteri dan ada kalanya geram juga. Alkisahnya Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata bahawa dia tidak kisah jika semua orang berani mengkritik dirinya. Mungkin, Abdullah berasa ramai orang tidak mengkritik dirinya secara terbuka kecuali bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Semua orang boleh menegur Abdullah? Betulkah begitu? Atau, hanya orang-orang tertentu saja? Mungkin, jika musuh mengkritik, kita tidak boleh menerima, tetapi adakah kawan mengkritik, kita boleh diterima? Sebabnya, sesetengah orang memang bersikap begitu.

Sebabnya, sesetengah orang memang tidak kisah jika kritikan itu datang daripada rakannya, tapi awas jika kritikan itu datang daripada seteru, nescaya tidak diterima teguran ikhlas itu sampai kiamat. Malah kritikan seteru dianggap penghinaan.

Bukan penghinaan

Kita tidak dapat membezakan antara kritikan dengan penghinaan. Boleh dikatakan ramai orang dapat menerima kritikan, tetapi tidak ada seorang manusia pun yang mampu menerima penghinaan.

Beliau menyeru golongan ini supaya bercakap benar walaupun pahit. Jangan terlalu mahu mengambil sikap menjaga hati beliau sebagai Perdana Menteri. Golongan ini mungkin juga wakil-wakil rakyat termasuklah menteri-menteri kabinet sendiri.

Tetapi jika dikritik lebih-lebih, nanti lain pula jadinya. Pernah suatu ketika, mungkin didorong rasa geramnya kepada ‘ahlul bloggers’, Abdullah berkata, "kesabarannya dan kesabaran kerajaan ada sempadannya". Jadi ada dua ayat berbeza yang mungkin ditujukan kepada dua puak berbeza.

Jadi, bertolak kepada kedua-dua kenyataan ini, yang mana satu pendirian Abdullah yang sebenar lagi sejati? Atau ungkapan katakanlah yang benar walaupun pahit itu adalah terhad kepada insan di sekeliling beliau yang bergelar rakan-rakan politik beliau termasuk menteri-menteri sahaja?

Padahal, sebelum ini bukan tiada pimpinan pembangkang yang mengkritik beliau termasuk ahll-ahli Umno sendiri. Itu belum termasuk kritikan bloggers yang berwibawa. Ada bloggers merapu. Hakikat merapu itu harus diakui. Tapi, kalimat penghinaan yang menyamakan bloggers sebagai beruk, kera dan monyet itu tentunya keterlaluan.

Ini kerana, Tuhan sendiri pernah "menghina" Bani Israel: "Kuunuu Qiradatan Khasiin …" (Jadilah kalian kera yang hina-dina). Hanya Allah sahaja yang berhak menghina manusia. Tuhan yang menciptakan manusia dengan kelemahan. Maka, kalimah itu adalah hakNya untuk menghina.

Tapi Tuhan menghina dengan bijaksana. Ada sebab Tuhan menghina. Dia tidak menghina sesuka hati melainkan setelah dilihatNya kedegilan Bani Israel sendiri. Apa kejadahnya kita menyamakan insan lain dengan kera, jika hidup menumpang dari kekayaan mertua dan bersifat oportunis tak tentu arah pula? Sebaliknya, Allah tidak hidup menumpang, malah Dialah penguasa alam ini.

Bukan merapu

Bloggers bagaikan wartawan kerdil. Ramai blogger yang bukan merapu, menulis dengan tujuan menegur Abdullah secara ikhlas. Jadi, teguran ikhlas bloggers ini janganlah diberukkerakan. Kera tidak boleh menegur tuannya. Antara haiwan yang memberi teguran kepada nabi adalah burung.

Burung itu adalah Hud-Hud – ‘wartawan’ pertama di dalam sirah perjuangan menegakkan tauhid bersama Sulaiman. Diriwayatkan, Sulaiman marah Hud-Hud yang lewat menghadiri perbarisan.

"Maka, tidak lama kemudian (datanglah Hud-Hud), lalu ia berkata: "Aku mengetahui suatu yang kamu belum mengetahuinya; dan kubawa kepadamu dari negeri Saba ’ suatu berita penting yang diyakini." (surah an-Naml: 22)

Hud-Hud menyampaikan ‘berita’ atau ‘an-Naba’’ yang penting bagi mengisi makna kenabian Nabi Sulaiman a.s. Nabi-nabi adalah pembawa an-Naba’ (berita). Sebab itulah mereka digelar nabi dan berita itu adalah mengenai dosa – pahala yang membawa mereka ke syurga – neraka di akhirat.

Demikianlah teguran burung Hud-Hud ke atas Sulaiman. Kera atau beruk cuma menurut perintah atau seperti kakak tua yang menurut kata sebagai ‘cyber-troopers’ tajaan Umno. Tahap teragung bagi seekor

beruk kera adalah pingat jasa kebaktian yang dimasyhurkan sebagai ‘beruk mat yeh’. Tidaklah diketahui asal-usul perkataan ini. Tetapi, menurut seorang ahli hikmah bernama Fansuri, kera spesis ‘mat yeh’ ini mungkin berasal daripada ‘Muhammad Ya’ atau ‘Muhammad Yes’. Beruk ini akan berkata ‘ya’, ‘yes’ terhadap setiap arahan ketuanya tanpa bantahan. Lama kelamaan, ia dipendekkan dan dimasyhurkanlah sebagai pingat jasa kebaktian ‘beruk mat yeh’. Wallahu 'alam.

Marah-marah Nabi Sulaiman kepada Hud-Hud adalah dirujuk sebagai ayat al-Quran dalam surah an-Naml ayat 20 dan 21.

“Dan Sulaiman pun memeriksa burung-burung lalu berkata: “Kenapa aku tidak melihat Hud-Hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir? Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras, atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang.”

Marah-marah Abdullah

Di sini kita lihat marah-marah Abdullah mungkin ada persamaannya dengan marah-marah Nabi – Raja Sulaiman. Kedua-duanya adalah pimpinan negara. Tapi mereka berbeza dari segi kerasulan dan warisan hikmah. Dan semburan api kemarahan kepada golongan mana itu tentunya berbeza.

Abdullah anak seorang ulama dan cucu seorang mufti. Tetapi, beliau tidaklah mewarisi kemuftian dan keulamakan ayahandanya dan datuknya. Sedangkan, Sulaiman mewarisi kenabian, kerasulan dan kerajaan Daud a.s. kerana kecerdikannya membantu ayahnya menyelesaikan suatu masalah.

Abdullah mewarisi kerajaan setelah Mahathir mengetepikan TPM-TPM sebelum ini. Jadi, Allah telah menggerakkan hati Mahathir bagi memilih Abdullah sebagai penggantinya. Jasa sumbangan Abdullah sebelum ini ke atas rakyat Pulau Pinang dan Malaysia seluruhnya perlulah kita nilai lagi.

Syahadan, bloggers yang menggalas tugas dan mengambil alih fungsi wartawan sebenar ini boleh disamakan dengan Hud-Hud kecil dan bukan kera. Menjadi tugas mertua di dalam menasihatkan menantunya terlebih dahulu sebelum menghamburkan kata bersifat menghina ke atas oran g lain.

Kalau sekadar menyamakan bloggers dengan penyanyi karaoke yang ‘syok sendiri’, hal itu boleh diterima lagi. Ada juga nabi yang merdu suaranya sebagai Nabi Daud yang dianugerahkan Zabur. Kira boleh tahanlah sindiran seumpama itu. Lagi pula, bloggers Malaysia seperti rakyat Malaysia lain juga yang sentiasa ada ruang untuk bern yanyi di pertandingan Klasik Nasional anjuran RTM.

Kita menulis begini bukannya apa. Berhati-hatilah bila bercakap. Kalau pimpinan negara rasa dia boleh marah ikut sedap mulut, rasanya mereka perlu membaca kemarahan rakyat terlebih dulu. Rakyat marah bukannya dalam sehari dua ini.

Gumpalan kemarahan rakyat yang dicetuskan ahlul bloggers boleh bertukar wajah sebagai badai tsunami November yang merempuh tiang negara-kehakiman-polis-tentera-kerajaan dan lainnya.

Sekarang, mari kita meneka apakah sebenarnya yang menyebabkan Abdullah berkata demikian. Beliau berkata demikian dalam fasa-fasa pertemuannya dengan rakyat Pulau Pinang. Selepas itu, ada suatu sidang media di mana wartawan bertanya: "Err.. Dato’ Seri, apa nasib mangsa tsunami yang masih belum mendapat tempat penginapan yang telah lama tersedia buat mereka?"

Cara Abdullah menjawab memang menunjukkan beliau sedang marah. Beliau berhak marah dan memang layak beliau marah. Lebih kurang jawapan beliau berbunyi begini: “Kenapa mereka tak boleh duduk di situ lagi? Sepatutnya mereka dah boleh duduk di perumahan baru jika dah siap.”

Hal ini tentulah mengaibkan kerana beliau anak Tanjung (nama asli Pulau Pinang). Mungkin, hal inilah yang membawa dan mendorong kepada pengucapan Abdullah tadi – beliau mahukan oran g di sekeliling beliau termasuk menteri-menteri dapat memberikan maklumat yang tepat dan jelas.

Jauh lebih lama sebelum itu saat Abdullah menjadi Perhubungan Umno Pulau Pinang dahulu, ada sekelompok umat yang menderita di Tanjung Tokong kerana tanah warisan mereka diambil oleh UDA Holdings. Perkembangan terbaru, kawasan itu akan dibangunkan secara ‘super fast-track’.

Derita orang Tanjong

Itulah yang sempat penulis ingat. Sebelum itu juga, dalam suatu ucapannya ketika merasmikan Koperasi Tanjung Tokong, beliau berkata agar tanah Tanjung Tokong itu dikembalikan kepada koperasi itu. Jadi, selain insiden tsunami yang menimpa Tanjung sekitar 2004. Tanjung Tokong juga perlu diberikan perhatian. Oh, banyak lagi. Tu… Kg wakaf Haji Kassim tu apa cerita?

Fuh, banyak betul jika nak kita korek segala khazanah derita orang Tanjung ini. Mahu diharapkan menteri-menteri dan wakil rakyat ini mahu cerita ini semua, Abdullah sendiri sudah tidak percaya. Semua yang disampaikan kepadanya sebagai PM adalah manis belaka. Tiada yang masam, pahit.

Jadi, negara kita bukan sahaja menghadapi masalah ‘delivery system’ seperti mana yang berlaku dalam kes banjir di Johor tidak lama dahulu, di mana masih ramai yang tidak mendapat bantuan sedangkan peruntukan telah ada. Malah, PM berdepan dengan sistem penyampaian maklumat.

Sistem penyampaian maklumat ini antara PM–Menteri Kabinet–Wakil Rakyat ini bukan baru. Ia berlaku sejak lama dulu. Tetapi, Mahathir mempunyai cara untuk mengendalikan masalah ini, iaitu beliau sentiasa menyimpan buku nota kecil di dalam poketnya.

Diriwayatkan, menteri-menteri atau sesiapa sahaja berasa risau dengan buku nota kecil berhantu ini. Mereka sering resah gelisah saat Mahathir mengeluarkan buku nota kecil tersebut. Jadi, saya sebagai pengkritik Abdullah yang konsisten, selain mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin, justeru saya mengusulkan saranan kepada Abdullah mengenai beberapa perkara.

Pertamanya, Abdullah perlu menyiapkan sebuah buku nota kecil seperti Mahathir. Di mana-mana tempat lawatan pun, Abdullah mencatitkan segala perkara yang difikirkan perlu diperbetul segera oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk JKKK.

Kedua, Abdullah perlu menyamar untuk mengetahui perkara sebenar. Sultan Alaudin Riayat Syah tentunya insan kamil yang boleh disandarkan kepada penyamaran ini. Terkenal bahawa baginda menangkap sendiri pencuri dan perompak yang berleluasa dalam Melaka. Mungkin Abdullah perlu merujuk SB, sebab mereka ini pakar dalam bab penyamaran. Tapi, hal ini sukar juga. Pada permulaan Abdullah menjawat jawatan PM, beliau membuat lawatan mengejut ke Jabatan Imigresen. Tapi, bagaimana wartawan boleh tahu? Kalau mahu menyamar, kita kena buat senyap-senyap. Biarlah selepas meninggal, orang tahu semua itu.

Selepas wafatnya Saidina Ali k.w, janda-janda menangisi kematiannya kerana tiada siapalah lagi yang boleh menggalas gandum ke rumah mereka pada waktu malam. Tentu sukar bagi Abdullah. Tapi kena cuba jika beliau sedar masalah ‘sistem penyampaian maklumat’ ini masih berlaku.

Blog sendiri

Ketiga, Abdullah perlu membuat blog sendiri. Kini lebih banyak blog telah muncul bak cendawan. Pilih saja yang mana satu–wordpress, blogspot, multiply, friendster, xanga, flickr dan lain-lainnya.

Mungkin Abdullah boleh mengguna Frienster. Di Malaysia saja ada 3.1 juta pengguna Friendster sejak dibangunkan pada 2002 di Cali fornia . Sehingga kini, ia berjaya menarik 44 juta ahli seluruh dunia. Ini akan menjadikan Friendster Abdullah (jika beliau mahu) akan diziarahi ramai orang.

Melalui Friendster, Abdullah boleh mengirim e-mel peribadi, berkongsi gambar beliau, membuat post bulletin, meletakkan video peru tusan aidil fitri, aidil adha dan lain-lain dan paling penting, friendster juga menyediakan blog!

Menurut Alexa.com jumlah para pengunjung Friendster di Malaysia menjangkau 22.4%, 21.8% di Filipina, 20% di Singapura, 12.7% di Indonesia . Maknanya dalam warga Asean, rantau Nusantara dan Asia Tenggara ini, Friendster Malaysia mencatatkan kadar kepengunjungan tang tinggi.

Keempat, Abdullah perlu sentiasa membawa PDA yang akan online 24 jam dan 7 hari seminggu. Abdullah perlu selalu online Yahoo Messenger bagi memudahkan beliau chat dengan rakyat.

Jika beliau dapat melaksanakan semua ini, tentu rakyat tidak marah cara menggunakan teknologi hasil daripada cukai rakyat. Ini lebih berfaedah. Mungkin ada anak-anak muda remaja yang boleh chatting bersama Abdullah untuk bertanya-bila keluarga dan mangsa tsunami dapat berpindah ke rumah baru. Jadi Abdullah mendapat maklumat cepat ketimbang khabar menteri dan wakil rakyat yang suka mengangguk dan sentiasa membawa perkhabaran yang menyenangkan beliau itu.

Kelima, jika bersetuju, mungkin beliau boleh iklankan kewujudan blog beliau di RTM, war-warkan kepada Buletin Utama dan berita pada waktu perdana dan lain-lain stesen penyiaran. Saya yakin, blog ini paling ramai dilawati walau tanpa wang lumayan dan hadiah berfaedah yang ditawarkan.

Kalau ada blog friendster seperti ini, mudahlah pelajar mahu mengadu mengenai masalah PTPTN mereka. Jadi, Abdullah perlu manfaatkan teknologi ini.

Pemberontakan pelajar

Ketika menulis ini, saya terbaca berita bahawa di Venevuela sekarang, Hugo Chavez berhadapan dengan pemberontakan pelajar di Caracas. Ini berlaku kerana, Chaves dilaporkan telah meminda perlembagaan sehingga menyebabkan mereka khuatir hal itu akan menyekat kebebasan rakyat.

Chavez, Ahmadinejad, Castro tergolong dalam kategori pimpinan yang berani menuai kemarahan Bush saat ini. Dan ramai pihak menghormati mereka di atas sikap melawan itu. Rupa-rupanya, di Caracas, masih ada lagi ruang-ruang pemberontakan pelajar ke atas Chaves. Jadi, hati-hati duhai PM terhadap isu PTPTN (KWSP) ini. Tangani dengan bijak dan banyak berbual dengan pelajar.

Sekian, ampun dan maaf jikalau ada keterlanjuran kata menghiris jiwa mencederakan perasaan sesiapa yang membaca coretan ini termasuk PM kita yang dikasihi. Bak kata Fansuri, marah dan sindirlah seseorang berpada-pada, menghina orang jangan sekali.

Kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, kalau beliau membaca coretan yang disampaikan melalui Setiausaha Akhbar beliau, maka saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin … Allah Akbar, Hidup Melayu, Merdeheka!!!

Bahang pilihan raya makin dirasai

Oleh ABD. HALIM HADI

KUCHING 24 Okt. – Bahang pilihan raya umum kini semakin terasa apabila 2,700 peti undi lutsinar yang bakal digunakan semasa pilihan raya Parlimen akan datang tiba di stor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak di Pending di sini, hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Sarawak, Takun Sunggah berkata, peti undi lutsinar yang diperbuat daripada plastik itu tiba dari Kuala Lumpur bersama-sama dengan kelengkapan pilihan raya yang lain.

“Semua peti undi ini akan diagihkan kepada 31 pegawai pengurus pilihan raya di seluruh negeri sebaik sahaja kita menerima beberapa lagi peralatan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Antara kelengkapan mengundi yang akan tiba ialah seperti petak undi (berpenghadang), poster pilihan raya dan borang-borang berkaitan dengan proses pengundian.

Menurut Takun, selain menggunakan peti undi telus cahaya, SPR juga akan menggunakan penanda dakwat di kuku atau jari tangan yang bertujuan meningkatkan keyakinan terhadap ketelusan pilihan raya akan datang.

‘‘Seperti diumumkan sebelum ini, setiap pengundi akan dicalitkan dengan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi selepas pengesahan nama di dalam daftar pemilih SPR,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 915,873 pengundi berdaftar direkodkan di Sarawak.

Katanya, kira-kira 14,000 petugas pilihan raya dijangka bertugas di negeri itu selepas mereka menamatkan kursus pada 12 September lalu.

Takun bagaimanapun memberitahu, pusat-pusat mengundi di negeri itu masih belum ditentukan lagi.

Tarikh perhimpunan UMNO tidak berubah

PUTRAJAYA 24 Okt. - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, tarikh Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kekal pada 5 hingga 9 November ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan dari kalangan ahli yang meminta perhimpunan tahunan itu ditangguh ke tarikh lain selain dari yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) itu.

‘‘Perhimpunan Agung UMNO itu akan dimulakan dengan amanat Presiden pada 5 November dan pada sebelah malamnya, Timbalan Presiden akan merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri secara serentak.

‘‘Pada 6 November, ketiga-tiga sayap parti akan bersidang secara serentak dan kemuncaknya adalah ucapan Presiden pada 7 November dan diikuti dengan perbahasan dan usul oleh para perwakilan pada 8 dan 9 November,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Tarikh asal Perhimpunan Agung UMNO tahun ini ialah pada 6 hingga 10 November tetapi MT dalam mesyuaratnya pada 28 Ogos lalu memindanya sehari lebih awal bagi mengelakkan bertembung dengan sambutan Deepavali.

Jika mengikut jadual asal, Presiden UMNO akan menyampaikan ucapan dasarnya pada 8 November iaitu pada hari Deepavali.

Dalam pada itu, Radzi memberitahu, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali turut dijemput untuk menghadiri perhimpunan itu.

‘‘Kad jemputan itu telah saya hantar kepada beliau semalam,” katanya.

Seramai 2,500 perwakilan daripada 190 bahagian termasuk barisan kepimpinan parti akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO itu dengan setiap bahagian akan diwakili oleh 13 orang perwakilan.

Perhimpunan selama lima hari itu akan menyaksikan 190 bahagian membentangkan usul masing-masing selain UMNO Bahagian Jelutong yang digantung kerana masalah dalaman.