Tuesday, November 06, 2007

Nik Aziz terharu layanan mesra Perdana Menteri

PASIR PUTEH: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kemesraan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melayan beliau walaupun mereka tidak sehaluan dalam pegangan politik patut dicontohi oleh anggota parti itu peringkat bawahan.

"Pak Lah (Abdullah) sayang kepada saya sehingga naik dan turun dari pentas beliau memimpin tangan saya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Derma Pembinaan Asrama Maahad Tahfiz Al Quran Nurul Hidayah di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan mesranya dengan Abdullah yang terserlah pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kota Baharu pada Isnin lepas khususnya apabila Perdana Menteri dilihat membantu memegang beliau ketika menuruni pentas ucapan.


Nik Aziz berkata, beliau terharu dengan sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri dan berharap ini akan dijadikan contoh oleh pengikut Pas dan juga Umno peringkat bawahan.

Ketika ditanya mengenai kajian Institut Penyelidikan dan Kajian Strategik Negeri Kelantan (KRIS) yang mendapati 70 peratus anggota Pas Kelantan mahukan beliau terus menyandang jawatan Menteri Besar selepas pilihan raya umum kelak Nik Aziz, berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab itu sekiranya parti mahukannya.

"Biarlah parti menentukannya. Saya pun dah memegangnya masuk ke-18 tahun, saya pun bercita-cita nak suruh orang lain, takkan saya selama-lamanya," katanya. � Bernama

No comments: