Thursday, May 25, 2006

SPDP Mahu Penggabungan Dengan PRS Berlaku Secara Natural

BERNAMA

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mahu proses penggabungannya dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS) berlaku secara natural dan tidak terlalu mendesak mana-mana pihak untuk bergabung dengannya dalam tempoh terdekat.

Presiden SPDP Datuk William Mawan Ikom berkata ada isu lain yang lebih besar untuk dibincangkan selepas selesai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kesembilan.

"Kita mahu proses penggabungan ini berlaku secara natural, asas yang paling penting ialah kita mahu bersatu hati, kita tunggu masanya akan tiba kerana isu penggabungan ini hanya isu yang kecil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti di sini hari Khamis.

Mawan berkata tumpuan utama parti ketika ini ialah isu kemerosotan jumlah undi dalam kawasan DUN yang diwakili oleh calon SPDP, selain isu semasa yang dibangkitkan oleh pembangkang.

Katanya satu laporan post-mortem berhubung semua isu pilihan raya, termasuk kemerosotan jumlah undi, akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.

Pada pilihan raya kesembilan lalu, kesemua lapan calon BN dari parti SPDP termasuk dua calon baru menang.

Selain Mawan yang menang di Pakan, calon SPDP lain yang mencatatkan kejayaan ialah Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Datuk Peter Nyarok Entrie (Krian), Wong Judat (Meluan), Rosey Yunus (Bekenu), Sylvester Entri Muran (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Nelson Balang Rining (Ba'Kelalan).

Menurut Mawan kejayaan SPDP itu merupakan satu bukti kepada keteguhan parti yang beliau anggap masih muda.

"Sekarang kita mempunyai wakil rakyat yang diwakili oleh tujuh suku kaum di Sarawak. Kita ada wakil dari kaum Iban, Cina, Bidayuh, Bisaya, Kedayan, Kenyah dan Lun Bawang. Ini sudah cukup baik," katanya.

Dalam pada itu Mawan berkata SPDP dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) pada bulan Ogos tahun ini dan ia dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

SUPP Akan Bangunkan Semula Kekuatan Parti, Kata Dr Chan

BERNAMA

KUCHING, 25 Mei (Bernama) -- Bangunkan semula kekuatan dan strategi parti, itulah keutamaan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam masa terdekat ini, kata Presidennya Tan Sri Dr George Chan hari Khamis.

Ekoran prestasi buruk pada pilihan raya negeri 20 Mei lepas, yang menyaksikan SUPP hilang lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginnya, beliau berkata parti itu akan menjalankan bedah siasat serta-merta bagi mengenal pasti faktor-faktor kekalahannya.

"Yang penting sekarang ialah pastikan semua anggota parti bersatu. Bangunkan kekuatan parti dulu kerana saya tidak mahu sesiapapun mengatakan SUPP, yang merupakan parti yang sangat tua (dalam komponen Barisan Nasional), tidak boleh terus bertahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai Inisiatif-inisiatif Keselamatan Siber di Malaysia, di sini.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata beliau akan menghantar laporan mengenai kekalahan parti itu kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, secepat mungkin.

Menurutnya beliau juga telah mengarahkan semua cawangan SUPP menghantar laporan yang sama membabitkan kawasan masing-masing dalam tempoh sebulan.

Pada pilihan raya negeri itu, SUPP tewas kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Padungan manakala kepada DAP, masing-masing di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Engkilili, Meradong, Bukit Assek selain gagal menewaskan DAP di Kidurong.

BN memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini. Pembangkang menang sembilan kerusi dengan DAP memperoleh enam kerusi manakala PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Bebas, masing-masing menang satu kerusi.

Sambil menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyalahkan sesiapa atas kekalahan paling buruk dalam pilihan raya, Dr Chan berkata SUPP perlu mengenal pasti punca yang menyumbang kepada kekalahan mereka.

Menurutnya beliau juga akan meminta penilai bebas mengkaji kekalahan parti itu.

Mengenai laporan berita bahawa para pemimpin SUPP, termasuk beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan, Dr Chan berkata: "Kita bukan parti yang mudah menyerah kalah dan kita tidak putus asa terhadap rakyat. Rakyat telah bersuara lantang dan jelas. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dan kita tidak mahu menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri."

Bukan Islam masuk Pas helah politik

UTUSAN MALAYSIA

Oleh: TOREK SULONG

PASIR PUTEH 24 Mei - Perubahan sikap kepimpinan Pas sehingga mula sanggup membuka keahlian kepada bukan Islam hanya helah politik kerana terdesak untuk mencari peluang menguasai pemeritahan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah berkata, langkah itu adalah sebahagian strategi baru bagi mendapat mandat untuk memerintah sehingga boleh menghalalkan perkara yang pernah `diharamkan' parti itu sejak sekian lama.

Beliau percaya, pembaharuan dasar itu sebenarnya bukan daripada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi berkemungkinan idea kepimpinan pelapis muda Pas yang cemas terhadap kedudukan kerajaan negeri yang goyah ekoran sokongan rakyat kian terhakis.

``Saya melihat senario ini sebagai satu helah politik mengikut keadaan semasa dan tidak terkejut dengan pendekatan baru bagi memperlihatkan ia lebih terbuka,'' ujarnya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai kali ke-34 dekat sini petang semalam.

Sazmi berkata, sebelum ini pun kerajaan Kelantan pimpinan Pas menunjukkan sikap yang tidak menentu dengan mengharamkan permainan tradisional seperti dikir barat dan wang kulit serta program hiburan.

Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini pelbagai `taktik' dibuat bagi membenarkan semula perkara yang pernah disekat apabila melihat ada kepentingan yang boleh memberi keuntungan kepada parti itu.

Dulu, tambah beliau, penceramah Pas dengan lantang mencerca UMNO kerana bergabung dengan parti yang didokong masyarakat bukan dalam Barisan Nasional (BN).

``Sekarang ini jelas, Nik Abdul Aziz seperti meludah ke langit dan akhirnya terpalit kemuka sendiri. Pas merasa tertekan di Kelantan pada kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diperoleh dan melihat sokongan padu di kalangan bukan Islam kepada BN kian bertambah,'' ujarnya.

Tidak perjelas isu punca kekalahan

UTUSAN MALAYSIA

KUCHING 24 Mei - Kekalahan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di lapan kerusi pada pilihan raya negeri Sabtu lalu kerana kegagalan menjelaskan isu pajakan tanah kawasan bandar.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Datuk Abang Johari Tun Abang Openg berkata, selain itu kekalahan terbesar parti komponen Barisan Nasional (BN) juga mungkin berpunca daripada tindakan pembangkang yang memutar belitkan isu tanah kononnya kerajaan negeri telah merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) rakyat.

Katanya, kedua-dua isu yang diputarbelitkan pembangkang itu boleh ditangkis dengan memberi penjelasan terperinci dan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi sepanjang kempen pilihan raya lalu.

``Apa yang saya perhatikan polisi kerajaan terhadap pajakan tanah di kawasan bandar tidak diperjelaskan sehingga ke akar umbi menyebabkan pengundi termakan hasutan pembangkang.

``Sedangkan polisi kerajaan adalah adil dan tidak membebankan,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

SUPP, satu daripada empat parti komponen BN negeri hilang lapan daripada 19 kerusi yang diperuntukkan kepadanya iaitu Padungan, Batu Lintang, Pending, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong. Meradong dan Engkilili.

Bagaimanapun Johari menyifatkan kekalahan SUPP itu sebagai kejutan sementara dan yakin parti yang mewakili kaum Cina Sarawak itu akan bangkit pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menyifatkan kekalahan SUPP itu sama seperti yang pernah dialami oleh PBB pada pilihan raya Parlimen pada 1999.

Katanya, ketika itu pembangkang memutar belitkan isu NCR dengan mendakwa kerajaan akan menghapuskan hak pemilikan tanah tersebut.

``PBB menang dengan majoriti tipis di kawasan Kuching akibat dakyah pembangkang ketika itu.

``Bagi saya kekalahan SUPP di lapan kerusi yang ditandinginya bukan penamat perjuangan parti itu,'' katanya.

Dalam perkembangan yang sana, Johari mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang membantu PBB menang seratus peratus khususnya di lima kawasan di bandar raya Kuching iaitu Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang dan Satok.

Katanya, kemenangan itu membuktikan sokongan terhadap BN tetap mantap walaupun terdapat beberapa kawasan mencatatkan penurunan majoriti undi.

``Kemerosotan undi di kawasan-kawasan terlibat mungkin disebabkan pembangkang memutar belitkan isu-isu di kawasan terlibat.

``Apa yang lebih penting kejayaan PBB di kawasan bandar menunjukkan BN tetap mendapat sokongan dari golongan berpendidikan tinggi dan profesional,'' katanya.

PM arah BN Sarawak kaji kelemahan

BERITA HARIAN

TOKYO: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Barisan Nasional (BN) Sarawak menjalankan kajian menyeluruh terhadap prestasi parti itu dalam pilihan raya negeri, Sabtu lalu, untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya untuk diperbaiki pada masa depan.

“Kajian itu boleh memberi petunjuk untuk mengatasi kelemahan. Jika ada kelemahan atau kesilapan, ia perlu dibaik dan diatasi. Jika ada kekuatan atau kebaikan, cari sebab-sebab kenapa mereka (pengundi) beri sokongan (kepada BN).

“Ini akan bantu mendapat kejayaan yang lebih baik pada masa depan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bahawa kesilapan memilih calon antara faktor kekalahan calon parti itu di lapan kerusi pada pilihan raya itu.

Setiausaha Organisasi SUPP, Datuk Peter Chin Fah Kui, dipetik sebagai berkata parti menyedari calon terbabit tidak digemari pihak tertentu yang mempunyai calon tersendiri untuk diketengahkan.

Pada pilihan raya negeri kali ini, SUPP yang juga parti komponen BN berteraskan kaum Cina, diperuntukkan sebanyak 19 kerusi. Bagaimanapun, ia tewas di Kota Sentosa, Batu Lintang, Pending, Bukit Assek dan Meradong kepada DAP; Padungan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR); Engkelili di tangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan gagal merampas kerusi Kidurong.

Secara keseluruhannya, BN Sarawak memenangi 62 kerusi, manakala pembangkang menang sembilan kerusi, sesuatu yang jarang berlaku di Sarawak.

Abdullah yang juga Pengerusi BN mengingatkan SUPP mengambil iktibar daripada kekalahan besar dialami parti itu dan tidak mengulanginya pada pilihan raya datang.

“Kalau dia (SUPP) tahu kesilapan, harap jangan lakukan kesilapan yang sama. Apa pun, Alhamdulillah, BN dapat (menang) lebih dua pertiga,” katanya yang turut memandang berat kemerosotan undi popular yang diperoleh BN.

Menyentuh isu lain, Abdullah kesal dengan sikap Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang hanya bertindak ke atas sebuah syarikat pengeluar jongkong perak di negeri itu kerana beroperasi tanpa lesen dan melupus sisa aluminium secara haram, selepas 10 tahun kesalahan itu dilakukan.

Sambil menyifatkan tindakan JAS itu sebagai satu pengabaian tugas yang tidak sepatutnya berlaku, Perdana Menteri berkata, perkara sedemikian tidak boleh dibenarkan berlaku kerana setiap aduan rakyat wajar diberi perhatian dan diambil tindakan segera.

“Tak eloklah, macam mana boleh jadi begitu. Ini satu pengabaian tugas yang tidak sepatutnya berlaku. Macam mana dah tahu masalah itu 10 tahun dulu, sekarang baru nak ambil tindakan. Ini yang rakyat marah kepada kita,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai JAS Selangor yang hanya bertindak selepas 10 tahun ke atas sebuah syarikat pengeluar jongkong perak di Sungai Janggut kerana beroperasi tanpa lesen dan melupus sisa aluminium secara haram.

MCA ambil iktibar kekalahan SUPP

BERITA HARIAN

KUANTAN: Kekalahan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengekalkan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya Sarawak Sabtu lalu yang antaranya berpunca daripada kemerosotan undi kaum Cina, akan dijadikan iktibar oleh MCA dalam memantapkan parti itu.

Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, berkata parti berasaskan kaum Cina itu akan sentiasa peka terhadap permasalahan rakyat, terutama membabitkan kaum Cina.

“Saya berpendapat kita kena sentiasa mengambil iktibar daripada baik buruknya kejadian yang berlaku.

“Bila kita menang pun, jangan kita lupa daratan, bila kita kalah, kajilah dengan sedalam-dalamnya sebab kita kalah atau pun kita kurang dapat sokongan atau kelebihan undi itu merosot,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini, semalam.

Ong yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, berkata MCA mengamalkan penyelesaian segera terhadap sesuatu permasalahan masyarakat dan bukan sekadar mengambil maklum berhubung masalah itu.

Beliau berkata, permasalahan setempat tidak boleh dipandang remeh berikutan persepsi masyarakat yang berbeza.

Setiausaha Organisasi SUPP, Datuk Peter Chin Fah Kui kelmarin menyuarakan kekecewaannya terhadap sokongan pengundi Cina, terutama di kawasan bandar.

Pada pilihan raya Sarawak kesembilan Sabtu lalu, BN memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Lapan daripada sembilan kawasan yang BN tewas membabitkan calon daripada parti komponennya, SUPP dan satu lagi kerusi membabitkan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Enam daripada calon SUPP itu tewas kepada DAP, satu kepada Keadilan dan satu lagi kepada Parti Kebangsaan Sarawak (Snap).



Oleh Sariha Mohd Ali