Wednesday, July 01, 2009

POLITIK : RABU 01 JULAI 2009

Abdul Kudus dipenjara 11 tahun, denda RM370,000
AMPANG:Selepas hampir enam tahun perbicaraan, bekas Pengarah Penguat KuasaMajlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad,semalam dihukum penjara 11 tahun dan 10 bulan serta denda RM370,000setelah didapati bersalah terhadap 24 tuduhan rasuah berjumlahRM59,000.







UMNO gagal jadi model perpaduan - Hadi
KUALA LUMPUR 30 Jun - Selepas cadangan mewujudkan kerajaan perpaduanditolak oleh pakatan pembangkang, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awangkini menyalahkan UMNO pula dengan mendakwa parti itu gagal menjadimodel perpaduan di kalangan orang Melayu dan rakyat negara ini.

Tindakan terhadap Johari terlalu keras
BUTTERWORTH 30 Jun - Beberapa Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) menganggap pelucutan jawatan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR),Johari Kassim daripada menganggotai majlis itu sebagai tindakan yangterlalu keras.


Guang Eng didakwa cuba larikan diri
PULAUPINANG 30 Jun - Penduduk Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor di sini hariini kecewa dengan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkancuba melarikan diri dan enggan bertemu mereka bagi menyelesaikan isuyang membelenggu kampung itu.






Tuan Aziz mampu jadi YB terbaik di Manek Urai
KOTA BHARU: Selepas 48 jam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional(BN), Tuan Aziz Tuan Mat, menerima sambutan baik daripada masyarakatdan mampu menjadi jurubicara terbaik kepada penduduk Manek Urai, jikadiberi peluang menjadi wakil rakyat pada pilihan raya kecil 14 Julaiini.

Bapa azam berkempen pastikan calon BN menang
KUALAKRAI: Tuan Mat Tuan Sulong, 69, berazam turun berkempen untukmemastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan rayakecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, yang diwakili anaknya,Tuan Aziz.


KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan
GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini,semalam, kecewa dan marah dengan keengganan Ketua Menteri, Lim GuanEng, bertemu untuk menyerahkan memorandum berhubung nasib merekaselepas perkampungan itu yang akan dimajukan.

Pas bantah tindakan DAP pecat Ketua Whip PKR
BUTTERWORTH:Satu lagi parti dalam Pakatan Rakyat (PR), Pas tidak setuju dengantindakan kerajaan negeri pimpinan DAP memecat Ketua Whip Parti KeadilanRakyat (PKR), Johari Kassim sebagai ahli Majlis Perbandaran SeberangPrai (MPSP)

'Tolak kerajaan perpaduan kikis kuasa Melayu'
IPOH:Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolakkerajaan perpaduan dan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razakuntuk berdebat hanya akan menyebabkan kuasa orang Melayu di negara initerus terhakis.

Kit Siang ditegur dedah hukuman 4 ahli Pemuda
KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, menegur tindakanPenasihat DAP, Lim Kit Siang, mendedahkan hukuman yang dikenakanterhadap empat pemimpin Pemuda Umno dari Selangor yang menghalangPengerusi DAP, Karpal Singh memasuki Parlimen, Februari lalu.




Dihukum penjara 11 tahun 10 bulan, denda RM370,000
Kudus didapati bersalah rasuah

KUALA LUMPUR 30 Jun - Bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis PerbandaranAmpang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad dihukum penjara 11tahun 10 bulan dan denda RM370,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sinihari ini selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerimarasuah berjumlah RM59,000.

Rayuan Anwar boleh didengar
PUTRAJAYA30 Jun - Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa ia bolehmendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan MahkamahTinggi yang kes liwatnya hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi.

Boleh dengar rayuan Anwar
PUTRAJAYA:Mahkamah Rayuan di sini semalam, memutuskan ia boleh mendengar rayuanDatuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemindahan kes liwat Penasihat PartiKeadilan Rakyat (PKR) itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan

KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan

Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my


PENYOKONG Hindraf mengadakan protes di depan bangunan Ibu Pejabat DAP Perak menghalang projek pembangunan di penempatan setinggan di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang, semalam.

Penduduk Kampung Buah Pala berang Guan Eng lepas tangan

GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini, semalam, kecewa dan marah dengan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bertemu untuk menyerahkan memorandum berhubung nasib mereka selepas perkampungan itu yang akan dimajukan.

Kira-kira 60 penduduk yang berkumpul di depan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejak jam 4 petang dengan membawa sepanduk untuk meminta kerajaan negeri campur tangan dalam isu itu, pulang hampa.

Kelibat Guan Eng tidak kelihatan dan berikutan itu, polis mengarahkan kumpulan berkenaan bersurai. Bagaimanapun, penduduk enggan bersurai selagi Ketua Menteri tidak berjumpa dengan mereka.

Berikutan itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik, meminta kumpulan berkenaan masuk auditorium dalam bangunan berkenaan jam 5 petang.

Kumpulan itu bersurai secara aman jam 7.30 malam selepas Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, berjumpa mereka.

Peguam yang mewakili penduduk terbabit, Darshan Singh Khaira, yang turut hadir bersama penduduk, menyindir kerajaan Pakatan Rakyat kerana sebelum ini berjanji untuk berjuang demi nasib penduduk.

Beliau juga memperli Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, RSN Rayer yang sebelum ini membuat kenyataan 'langkah mayatnya dulu jika ada pihak mengambil tanah itu daripada penduduk'.

"Kami sudah menyediakan dua kubur," katanya yang kecewa kerana Guan Eng tidak mahu bersemuka dengan penduduk apabila berhadapan dengan masalah.

Darshan berkata, pemimpin Pakatan Rakyat berjumpa dengan penduduk ketika kempen pilihan raya lalu tetapi kini sebaliknya.

"Kenapa kini mereka melarikan diri, membiarkan kami. Inikah makna CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus)," katanya.

Kemarahan penduduk dengan keengganan Guan Eng berjumpa mereka turut dirasai sekumpulan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mahu menyerahkan memorandum berhubung isu sama, pada sebelah pagi.

Mereka berkumpul di depan Komtar sebelum dibawa ke Tingkat Lima dan menyerahkannya kepada Ng. Memorandum itu diserahkan anak pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu, W Vmaishhannavi, 7, yang turut disertai ibunya K Shanti.

Sementara itu, Santhi melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana Guan Eng enggan bertemu mereka untuk menerima memorandum berkenaan.

"Saya kesal kerana suara penduduk tidak dipedulikan sungguhpun Pakatan Rakyat memimpin kerajaan sudah lebih 15 bulan dan Guan Eng tidak pernah melawat kampung itu," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy dalam perjumpaan dengan penduduk di kampung itu petang semalam, mengumumkan tempoh mengosongkan rumah dilanjutkan sebulan lagi.

Kampung Buah Pala yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang, membabitkan kawasan seluas 2.6 hektar, mempunyai 41 rumah dengan kira-kira 300 penduduk dan dikatakan kampung warisan tradisional kaum India.

Usaha terakhir penduduk untuk menyelamatkan perkampungan itu daripada dibangunkan gagal selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka.

Bantahan secara aman turut diadakan pengikut Hindraf di depan ibu pejabat DAP di Petaling Jaya dan pejabat DAP di Ipoh, membantah keengganan kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala.






Guang Eng didakwa cuba larikan diri


SEBAHAGIAN penduduk Kampung Buah Pala menunjukkan kain rentang dan sepanduk bantahan terhadap kerajaan negeri di Komtar, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Jun - Penduduk Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor di sini hari ini kecewa dengan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkan cuba melarikan diri dan enggan bertemu mereka bagi menyelesaikan isu yang membelenggu kampung itu.

Lebih 200 penduduk kampung mula berkumpul secara aman di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada pukul 4 petang.

Ia bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan negeri yang didakwa tidak menunaikan janji yang ditabur sebelum ini.

Mereka memegang sepanduk antara lain tertulis, What is CAT?, Jangan cabul maruah kaum India, Guan Eng 'walk your talk', What is DAP's real agenda, Tukar ADUN Seri Delima dan 'Jom Ubah' Guan Eng cakap kosong.

Mereka turut memegang kain rentang tertulis Kami berharap Ketua Menteri dan kerajaan pakatan rakyat membela perkampungan High Chappral yang berusia lebih 100 tahun seperti dijanjikan, sambil melaung-laung meminta Guan Eng turun.

Selepas hampir 30 minit berbuat demikian, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ng Wei Aik memberitahu, Guan Eng tidak dapat bertemu mereka dan mewakilkan dirinya untuk menerima memorandum tersebut.

Kenyataan beliau itu tidak mampu meredakan keadaan di pekarangan Komtar yang turut dipantau oleh pihak polis malah situasi menjadi hangat dan tegang apabila penduduk mula mengelilingi Wei Aik.

Peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Darshan Singh dengan lantangnya bertanya dan mempersoal di manakah Ketua Menteri dan mengapa beliau enggan berjumpa dengan penduduk kampung.

"Guan Eng jangan larikan diri dan tidak perlu bersembunyi lagi malah kami tidak mahu mendengar kata-kata serta janji manis yang kononnya mahu membela dan mempertahankan hak penduduk kampung.

"Mereka sering kata tiada wang tetapi kami difahamkan DAP akan membina ibu pejabat parti yang baru yang dianggarkan bernilai RM4 juta, mana mereka dapat duit ini semua? Daripada pemaju ke? Siapa yang ingin dibela di sini?

"Kami hanya mahukan keadilan," katanya sambil disahut laungan penduduk kampung yang tidak mahu berganjak dari kawasan tersebut sehingga Guan Eng turun berjumpa mereka.

Darshan turut mempersoalkan alasan masalah penduduk kampung sukar untuk diselesaikan sedangkan kerajaan negeri mempunyai kuasa menghalang kerja-kerja merobohkan rumah di Kampung Buah Pala diteruskan.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata: "Mengapa dia tidak mahu berjumpa kami, semasa berkempen pilihan raya dulu selalu datang jumpa hingga ke pasar dan berkata kepada kami supaya mengundinya," katanya.

Pas bantah tindakan DAP pecat Ketua Whip PKR

Pas bantah tindakan DAP pecat Ketua Whip PKR

BUTTERWORTH: Satu lagi parti dalam Pakatan Rakyat (PR), Pas tidak setuju dengan tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP memecat Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johari Kassim sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP)

Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi, menganggap pemecatan Johari sebagai ahli majlis kerana memboikot pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, sebagai tindakan terlalu keras.

Beliau yang juga ahli MPSP berpendapat Johari harus diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya sebagai ahli majlis.

"Johari dilihat sebagai antara ahli majlis prestasinya menonjol dan tidak wajar dihukum sedemikian keras.

"Johari, sepatutnya diberi amaran atau digantung tugas saja, bukan pecat," katanya yang menganggap masalah itu berpunca kelemahan komunikasi antara pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat.

Kelmarin, PKR membantah tindakan kerajaan negeri memecat Johari yang juga Ahli Jawatankuasa Perhubungan PKR negeri. Pemecatan itu berkuat kuasa Jumaat lalu.






Tindakan terhadap Johari terlalu keras

BUTTERWORTH 30 Jun - Beberapa Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menganggap pelucutan jawatan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johari Kassim daripada menganggotai majlis itu sebagai tindakan yang terlalu keras.

Seorang anggota MPSP dari PKR, Mohd. Kamil Abu Bakar berkata, sebagai amaran, kerajaan negeri boleh menggantung perkhidmatan Johari berikutan tindakannya mengetuai usaha memulaukan majlis pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd. Jait pada 4 Jun lepas.

"Tindakan ini (pelucutan jawatan) terlalu keras, sepatutnya digantung dahulu (tugas Johari)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MPSP hari ini.

Mohd. Kamil adalah antara sekumpulan ahli majlis dari PKR yang memulaukan upacara pelantikan Yang Dipertua baru MPSP pada 4 Jun lepas sebagai membantah tindakan kerajaan negeri yang dikatakan tidak berunding dengan PKR terlebih dahulu berhubung pelantikan itu.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelucutan jawatan Johari, sebagai ahli majlis, berkuat kuasa Jumaat lepas.

Mohd. Kamil berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi peluang kedua kepada Johari.

"Kami sudah jumpa pucuk pimpinan parti (PKR) dan berharap mereka dapat berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini," katanya.

Sementara itu, seorang ahli majlis yang mewakili Pas, Mohd. Fadzil Kemi turut berpendapat Johari perlu diberi peluang kedua memandangkan prestasi baiknya sebagai Ketua Whip majlis itu.

"Patut Johari diberi amaran dulu. Beliau menjalankan tugas dengan baik selama ini. Tindakan Johari memboikot majlis angkat sumpah itu disebabkan berlaku salah faham bukan sebab kedegilannya," katanya. - BERNAMA

Abdul Kudus dipenjara 11 tahun, denda RM370,000

Abdul Kudus dipenjara 11 tahun, denda RM370,000

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad

AMPANG: Selepas hampir enam tahun perbicaraan, bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad, semalam dihukum penjara 11 tahun dan 10 bulan serta denda RM370,000 setelah didapati bersalah terhadap 24 tuduhan rasuah berjumlah RM59,000.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Noradidah Ahmad, turut memerintahkan Abdul Kudus dipenjara 17 tahun lagi jika gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Noradidah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam pembela tertuduh, M Manoharan, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sehingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi dan menetapkan RM150,000 sebagai jaminan.

Perbicaraan kes itu yang bermula 9 Ogos 2003, mendapat liputan meluas berikutan pendedahan mengenainya dibuat oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Kayveas selepas menerima aduan pemilik restoran Sri Steven's Corner.

Bagaimanapun, Abdul Kudus mendakwa tuduhan dibuat ke atasnya adalah konspirasi didalangi Kayveas. Abdul Kudus, 46, menghadapi 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004. Seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Kayveas dan 12 saksi pembelaan memberi keterangan.

Dalam penghakimannya, Noradidah berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh tanpa sebarang keraguan munasabah.

Beliau berkata, ada percanggahan dalam keterangan tertuduh yang mendakwa pemilik restoran Sri Steven's Corner, Steven @ Sathiasilan a/l Sinnapan, memberitahunya pada 2005 bahawa tuduhan ke atasnya adalah konspirasi Kayveas.

"Steven yang juga salah seorang saksi pendakwaan menafikan dakwaan berkenaan ketika memberi keterangan balas apabila dipanggil pihak pendakwaan. Apa yang menghairankan, tertuduh tidak melaporkan dakwaannya ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan yang mengaitkan tertuduh. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM59,000," katanya.

Noradidah memerintahkan hukuman ke atas 24 tuduhan itu dijalankan secara berasingan, iaitu lima bulan penjara bagi dua tuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi 22 lagi tuduhan serta denda antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi setiap tuduhan.

Abdul Kudus yang memakai kot biru gelap dan bertali leher berjalur merah biru, kelihatan tenang dan kerap tunduk serta sesekali dilihat tersenyum sepanjang prosiding yang berlangsung hampir satu jam setengah itu.

Sementara itu, Manoharan ketika memohon meringankan hukuman ringan terhadap anak guamnya, berkata tertuduh menghadapi pelbagai dugaan dan kesusahan sepanjang hampir enam tahun kes itu dibicarakan.

"Dalam tempoh berkenaan, ibu tertuduh meninggal dunia, bapanya terpaksa melepaskan jawatan sebagai imam dan beliau sendiri sehingga kini tidak bekerja. Tertuduh juga kini baru mendapat anak ke-10 yang berusia tiga bulan.

"Mahkamah seharusnya menghukum 'ikan yu' yang terbabit rasuah dulu, bukannya menganiaya 'ikan bilis' saja," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, berkata tidak adil untuk mengatakan hanya 'ikan bilis' dikenakan hukuman.

"Ikan yu atau ikan bilis tidak menjadi persoalan, sebaliknya setiap kesalahan rasuah dipandang berat sekalipun ia dilakukan sesiapa saja termasuk ikan kembung," katanya.




Dihukum penjara 11 tahun 10 bulan, denda RM370,000

Kudus didapati bersalah rasuah

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Jun - Bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad dihukum penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000.

Dia juga menghadapi kemungkinan untuk dipenjarakan selama 17 tahun jika gagal membayar denda tersebut.

Daripada 24 pertuduhan itu, Hakim Noradidah Ahmad memerintahkan Abdul Kudus dihukum penjara selama lima bulan bagi dua pertuduhan dan enam bulan bagi 22 pertuduhan lagi.

Dia turut didenda sebanyak RM10,000 bagi 15 pertuduhan, RM20,000 bagi lapan pertuduhan dan RM60,000 bagi satu lagi pertuduhan.

Hukuman penjara diperintahkan berjalan secara berasingan.

Noradidah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan syarat jumlah jaminan RM80,000 terhadapnya ditambah kepada RM150,000.

Abdul Kudus sewaktu hakim menjatuhkan hukuman bagi setiap pertuduhan dilihat hanya menundukkan kepala dengan mata terpejam.

Terdahulu dalam keputusannya, Noradidah menyatakan, keterangan pengadu sendiri yang merupakan pemilik Restoran Sri Steven's Corner, Steven @ S. Sathiasilan menunjukkan bahawa tertuduh ada meminta dan menerima rasuah.

Ini disokong oleh keterangan dua lagi saksi yang merupakan kawan baik tertuduh yang menyatakan ada menerima sampul surat berisi wang daripada pengadu untuk disampaikan kepada Abdul Kudus.

Selain itu, kata Noradidah, 'pembayaran' rasuah direkodkan di dalam dua buah buku jualan tahunan pengadu dan tiada keterangan menunjukkan catatan-catatan dalam buku tersebut ditambah kemudian atau pengadu sengaja mereka-reka cerita.

Hakim itu turut menolak dakwaan Abdul Kudus dalam pembelaannya yang mendakwa pertuduhan terhadapnya merupakan satu konspirasi bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas.

''Dakwaan bahawa pertuduhan merupakan satu konspirasi Kayveas untuk menjatuhkannya adalah diragui dan sukar dipercayai. Jika benar pengadu berkata demikian, ia amat menghairankan kerana tertuduh tidak memberitahunya kepada peguamnya atau membuat laporan polis,'' kata hakim itu.

Katanya, Steven juga tidak mempunyai sebarang sebab untuk mereka-reka cerita terhadap tertuduh kerana ia hanya akan menjejaskan perniagaan dan pendapatannya yang mencecah RM30,000 semalam.

Abdul Kudus didapati bersalah selepas kesnya dibicarakan hampir enam tahun dengan seramai 12 saksi pendakwaan dan 12 saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Kayveas dan tertuduh sendiri.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Kudus didakwa meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,000 dalam 15 tuduhan, RM4,000 (lapan tuduhan) dan RM12,000 (satu tuduhan) sebagai dorongan untuk menarik balik notis pembatalan lesen dan penutupan perniagaan pengadu.

Ia juga sebagai dorongan agar tertuduh tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap Steven kerana menyalahi Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Abdul Kudus didakwa melakukan kesalahan itu sejak Mei 2001 hingga Mei 2003 di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang termasuk dua kali di Jabatan Penguat Kuasa MPAJ, Tingkat 8 Menara MPAJ, Pandan Indah, Ampang dekat sini.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 11(a) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.

Sewaktu mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, istilah ikan yu dan ikan bilis yang digunakan berulang kali oleh peguam bela tertuduh, M. Manoharan membuatkan ramai yang berada di dewan mahkamah termasuk hakim tersenyum sendiri.

''Tertuduh hanyalah seorang kakitangan awam kontrak. Ada pihak yang menerima rasuah berjuta-jura ringgit tetapi lepas begitu sahaja. Mahkamah seharusnya dapatkan ikan yu dan bukannya ikan bilis. Tak wajar gunakan ikan bilis untuk ajar ikan yu,'' katanya.

''Tak apa, hari ini kita ajar ikan bilis dahulu,'' balas Noradidah yang mengundang ketawa kecil di kalangan mereka yang hadir.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan yang mengendalikan pendakwaan dalam hujahnya juga sempat membidas kenyataan Manoharan.

''Tidak kira ikan yu, ikan jerung atau ikan kembung sekalipun sekiranya terdapat kes terhadap mereka pihak pendakwaan akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan bukan sebabnya mereka itu ikan bilis. Jadi, isu ikan yu, ikan bilis ini janganlah disebut lagi,'' kata Nordin.Abdul Kudus dipenjara 11 tahun, denda RM370,000

'Tolak kerajaan perpaduan kikis kuasa Melayu'

'Tolak kerajaan perpaduan kikis kuasa Melayu'

IPOH: Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak kerajaan perpaduan dan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat hanya akan menyebabkan kuasa orang Melayu di negara ini terus terhakis.

Setiausaha Agung Pergerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim, berkata perbincangan perlu diadakan pada peringkat pemimpin tertinggi Pas dan Umno bagi memahami di mana kedudukan sebenar orang Melayu di negara ini.

Beliau berkata, menolak kerajaan perpaduan dan mahu berdebat secara terbuka jelas memperlihatkan Nik Aziz seolah-olah lebih suka melihat Melayu terus terpinggir dalam pelbagai bidang dan kuasa Melayu terus terhakis.

"Sebagai contoh dalam 11 bulan pakatan pembangkang memerintah Perak yang jelas bukan Pas yang menguasai kerajaan negeri dan walaupun mereka menjadi Menteri Besar, DAP yang memerintah," katanya.

"Pemimpin Melayu dan Islam di negara ini jika gagal mengambil iktibar daripada keadaan sekarang, kuasa orang Melayu Islam akan lenyap," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, jika dilihat daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 adalah jelas kuasa orang Melayu di negara ini semakin lemah selepas mereka berpecah tiga kepada Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, apabila parti mewakili orang Melayu berpecah mereka akan menjadi kumpulan minoriti dan tampuk kuasa akan ditentukan oleh pihak lain.

"Orang Melayu tidak lagi akan menjadi kuasa penentu kepada kerajaan yang akan mentadbir negara ini sama ada Umno dan Barisan Nasional sebagai kerajaan atau pembangkang yang diwakili oleh Pas atau PKR.

"Apa yang penting sekarang pemimpin Melayu dari Umno dan Pas wajar duduk semeja berbincang mengenai masa depan orang Melayu seperti mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya.

Beliau berkata, berdebat secara terbuka tidak akan menyelesaikan sebarang masalah berkaitan orang Melayu, malah mungkin akan merumitkan lagi keadaan kerana kedua-dua pihak akan mengatakan perjuangan mereka saja yang betul.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan jika pemimpin kedua-dua pihak ikhlas mahu melihat orang Melayu kembali bersatu sama ada dari Umno atau Pas dan PKR satu perbincangan tertutup wajar diadakan," katanya.

Kit Siang ditegur dedah hukuman 4 ahli Pemuda

Kit Siang ditegur dedah hukuman 4 ahli Pemuda

Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Norliza Wasilan dan Fatin Hafizah Mohd Shahar
bhnews@bharian.com.my

Cadangan perlu dibahas sebelum disebar kepada umum

KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, menegur tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mendedahkan hukuman yang dikenakan terhadap empat pemimpin Pemuda Umno dari Selangor yang menghalang Pengerusi DAP, Karpal Singh memasuki Parlimen, Februari lalu.

Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat mencadangkan denda RM1,000 ke atas empat pemimpin Pemuda Umno itu perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat terlebih dulu sebelum ia disebarkan kepada umum.

Katanya, walaupun laporan itu dibentangkan semalam, ia memerlukan dua hari sebelum dapat dibahas oleh semua ahli parlimen sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang.

"Dia (Lim) boleh berbahas nanti apabila usul yang dibentang pada hari Khamis (dibahaskan), dia boleh keluarkan apa juga pandangan dan pendapat terhadap keputusan itu pada hari berkenaan, dia tak perlu 'jump the gun'.

"Dia tak perlu pertikai keputusan (kerana) semua pihak mempunyai peluang untuk membahas usul ini ketika usul itu dibaca pada Khamis kelak, dan pada masa itu dia berhak dan mempunyai peluang untuk meluahkan apa juga pendapat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata demikian berikutan Lim dalam sidang media semalam meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan berkenaan.

Lim berkata, denda yang dikenakan terhadap empat pemimpin Pemuda Umno itu ringan kerana hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah tujuh tahun penjara berdasarkan kepada Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, cadangan mendenda itu tidak setanding dengan kekecohan yang dilakukan pemimpin Pemuda Umno dari Selangor di Parlimen.

"Kesalahan yang dilakukan mereka itu sangat serius dan pada pendapat saya ia perlu dibahaskan semula. Saya minta Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dapat campur tangan dalam hal ini dan menjalankan siasatan untuk menyelesaikan perkara ini.

"Bayaran denda RM1,000 adalah tidak logik dan perkara ini akan menyebabkan mereka dengan sewenang-wenangnya melakukan kesalahan sama berikutan denda yang dikenakan ringan," katanya.

Boleh dengar rayuan Anwar

Boleh dengar rayuan Anwar

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam, memutuskan ia boleh mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemindahan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Abdul Hamid Embong yang bersidang bersama Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffery Tan Kok Wha, membuat keputusan itu selepas menolak bantahan awal pendakwa bahawa kes itu tidak boleh dirayu kerana perbicaraan sebenar belum bermula di Mahkamah Tinggi.

Abdul Hamid ketika menolak bantahan itu berkata kes itu boleh dirayu mengikut Seksyen 3, Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan semua prosiding berhubung kes liwat Anwar di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusannya.

"Esok (hari ini) kedua-dua pihak boleh datang ke mahkamah ini. Tolong maklumkan kepada hakim Mahkamah Tinggi bahawa anda (peguam dan pendakwa) akan datang ke sini esok," katanya Abdul Hamid.







Rayuan Anwar boleh didengar

PUTRAJAYA 30 Jun - Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan bahawa ia boleh mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang kes liwatnya hendaklah didengar di Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, ketika menolak bantahan awal pendakwa, berkata di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, keputusan Mahkamah Tinggi mengenai perkara itu boleh dirayu.

Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk mendengar merit rayuan itu.

Hakim Abdull Hamid yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha juga membenarkan permohonan peguam utama Anwar, Sulaiman Abdullah bagi penangguhan prosiding berhubung kes itu di Mahkamah Tinggi sehingga selesai rayuan.

''Esok kedua-dua pihak perlu ke sini (Mahkamah Rayuan). Sila beritahu hakim Mahkamah Tinggi bahawa anda akan ke sini esok. Tak apa, anda (tim pembela) boleh menyebut nama saya,'' kata Hakim Abdull Hamid.

Esok, Mahkamah Tinggi dijadual mendengar permohonan awal Anwar supaya pihak pendakwaan menyediakan beberapa bahan termasuk rakaman asal CCTV yang diambil di beberapa lokasi di kondominium berkenaan, sampel DNA dan kenyataan saksi-saksi, termasuk pengadu, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Ketua Pembangkang itu yang hadir di mahkamah, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac yang menukar keputusan Mahkamah Sesyen yang mengekalkan perbicaraan liwatnya di Mahkamah Sesyen.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 8 Julai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berhujah bahawa di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman, keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pemindahan itu tidak boleh dirayu kerana ia hanyalah proses prosedur kerana perbicaraan belum bermula.

Sulaiman, bagaimanapun, berhujah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu akhirnya mengetepikan hak Anwar untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Tuan Aziz mampu jadi YB terbaik di Manek Urai

Tuan Aziz mampu jadi YB terbaik di Manek Urai

Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my


TUAN AZIZ (berdiri kanan) beramah mesra dengan pemimpin dan penyokong Pas di Manek Urai, semalam.

Calon BN diterima baik masyarakat termasuk penyokong Pas

KOTA BHARU: Selepas 48 jam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, menerima sambutan baik daripada masyarakat dan mampu menjadi jurubicara terbaik kepada penduduk Manek Urai, jika diberi peluang menjadi wakil rakyat pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata BN mendapat maklum balas yang beliau diterima baik oleh masyarakat, bukan setakat disokong ahli Umno dan pengundi atas pagar, malah ada juga penyokong Pas menyuarakan sokongan kepadanya.

"Ini adalah petanda positif kerana Tuan Aziz pernah bertugas di Kesedar Sungai Peria, amat disenangi dan seorang anak muda yang wajar diberi peluang oleh pengundi sebagai satu suara kebangkitan anak muda di Kelantan," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Mustapa berkata, pengundi luar mungkin sudah selesa dengan kehidupan di tempat tinggal masing-masing di luar Kelantan kini, namun mereka wajar memberi peluang kepada BN untuk membawa perubahan demi keselesaan kehidupan penduduk yang menetap di Manek Urai.

"Pengalaman luas Tuan Aziz dalam sektor swasta dan awam serta rapat dengan masyarakat sepanjang tugasnya dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjadi pelengkap ciri kepemimpinannya yang baik.

"Pengalaman ini penting kerana sebagai wakil rakyat, beliau bukan setakat menjaga hal ehwal masyarakat kawasan diwakili, tetapi menjadi jurubicara kepada rakyat dalam semua urusan dan mesti tahu selok belok perjalanan kerajaan dan swasta," katanya.

Beliau berkata, calon BN bukan setakat memiliki ijazah, tetapi paling penting keikhlasan dan pengalaman untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa perubahan kepada Manek Urai seperti dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustapa berkata, seluruh jentera BN kini sudah bergerak di seluruh Manek Urai mendekati pengundi dan beliau berharap momentum sokongan yang diterima akan diterjemahkan kepada undi kepada BN pada 14 Julai kelak.

Sementara itu, Mustapa berkata, dakwaan Pas yang Umno memisahkan Islam dan politik dalam kempen di kalangan pengundi adalah helah mengelirukan masyarakat luar bandar terhadap pendirian Pas yang semakin menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

"Realitinya, Islam adalah agama rasmi dan Umno membangunkan Islam menerusi dasar-dasar negara. Namun, kita akui beberapa perkara belum selesai lagi tetapi kalau kita lihat kepada Pas, suatu ketika dulu mereka memperjuangkan hudud tetapi kini tidak lagi. Begitu juga mengenai negara Islam yang kini sudah digugurkan.

"Kerana apa (Pas gugurkan negara Islam dan hudud) sebab realitinya kini, Pas sudah berpakat dengan DAP dan PKR, menyebabkan Pas kini tidak lagi bercakap tentang negara Islam yang dulunya lantang dilaungkan mereka. Jadi di manakah pendirian mereka sebenarnya kalau ia tidak bukan sekadar retorik," katanya.

Mustapa berkata, suatu masa dulu, pemimpin Pas juga melabelkan Umno sebagai kafir semata-mata kerana bekerjasama dengan rakan bukan Islam dalam BN.

"Namun, kini bila mereka sendiri berkawan dengan bukan Islam (dalam Pakatan Rakyat), dakwaan kafir yang dilemparkan kepada Umno selama ini sudah tidak lagi kedengaran. Jelas kalau dilihat sejarah perjuangan sejak penubuhannya, Pas sentiasa mengubah dasarnya berbanding Umno yang tetap dengan pendiriannya diambil ketika penubuhannya.

"Perjuangan Umno tetap sama dan tidak berubah. Perjuangan Umno menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan, perjuangan menjaga kepentingan orang Melayu kerana kita masih tertinggal di belakang dan membangunkan negara ini untuk semua kaum, itu tidak pernah berubah dalam perjuangan Umno," katanya.

Bapa azam berkempen pastikan calon BN menang

Bapa azam berkempen pastikan calon BN menang

KUALA KRAI: Tuan Mat Tuan Sulong, 69, berazam turun berkempen untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, yang diwakili anaknya, Tuan Aziz.

Beliau turut melahirkan keyakinan anaknya, Tuan Aziz, 39, yang diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu, diterima semua golongan pengundi ekoran hubungan baiknya dengan masyarakat setempat kerana pernah bertugas di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

"Saya akan turun berkempen untuknya walaupun kudrat kini tidak sekuat dulu, malah saya juga akan meminta bantuan saudara-mara dan kenalan di Manek Urai untuk turun padang memastikan BN mencapai kemenangan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tuan Mat, bekas guru Sains dan Matematik kini bertugas sebagai Penyelia Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Krai itu, mengakui pada mulanya beliau agak keberatan melepaskan anaknya menjadi calon, tetapi selepas mengadakan solat istiqarah dan hajat, beliau kemudian mengubah fikiran.

"Bila ada ura-ura anak saya antara yang dipertimbangkan untuk menjadi calon, saya pada mulanya terasa berat kerana dia masih muda, tetapi selepas mengadakan solat istiqarah, saya katakan kepadanya kalau dipilih, bersedialah menjadi calon kerana ini adalah kuasa dan kehendak Allah SWT.

"Selepas dia diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri, saya bersyukur dan mendoakan kejayaannya. Sebagai bapa, saya memberikan nasihat dan kata-kata semangat, selain akan turut sama membantu berkempen sedaya yang termampu," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Sungai Tasik dalam DUN Guchil, Kuala Krai sejak 1974, berkata anak keempat dari enam beradik itu mula menunjukkan minat terhadap politik ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bakat kepemimpinannya terserlah sejak zaman persekolahan lagi apabila sering kali memegang pelbagai jawatan dalam persatuan.

Tuan Mat turut yakin anaknya tidak akan berdepan kesukaran untuk berdamping dengan masyarakat setempat kerana memang menjadi kebiasaan anaknya itu suka menolong orang..

"Ketika bertugas di Kesedar, anak saya ini sentiasa berurusan dengan penduduk kampung, jadi dia memang faham masalah dihadapi masyarakat setempat. Walaupun berpangkat pegawai di Kesedar, tetapi dia tak nampak macam pegawai dan senang berdamping dengan orang kampung," katanya.

Beliau berkata, ketika ini ada usaha pihak tertentu dari parti lawan yang melemparkan pelbagai tuduhan untuk memburuk-burukkan imej anaknya menjelang pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya lebih mengenali Tuan Aziz, dia seorang yang jujur, malah saya sendiri sering kali memberi nasihat dan ingatan kepadanya agar tidak terbabit dalam gejala tidak sihat dan mengutamakan kepentingan rakyat. Dia juga dalam apa juga perkara akan merujuk kepada saya terlebih dulu untuk mendapatkan pandangan," katanya.

UMNO gagal jadi model perpaduan - Hadi

UMNO gagal jadi model perpaduan - Hadi

KUALA LUMPUR 30 Jun - Selepas cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan ditolak oleh pakatan pembangkang, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang kini menyalahkan UMNO pula dengan mendakwa parti itu gagal menjadi model perpaduan di kalangan orang Melayu dan rakyat negara ini.

Katanya, UMNO tidak mungkin akan menjadikan Islam sebagai sumber perpaduan orang Melayu walaupun sebelum ini parti berkenaan menerima baik cadangan kerajaan perpaduan itu.

"Orang Islam perlu menunjukkan model perpaduan dalam kalangan kita sendiri.

"Perpaduan umat Islam adalah berdasarkan hubungan akidah, tetapi UMNO gagal bahagian itu," katanya ketika berucap pada ceramah perdana pakatan pembangkang di sini malam ini.

Beliau mendakwa UMNO tidak menggunakan al-Quran sebagai rujukan bagi mewujudkan perpaduan.

Hadi berkata, pakatan pembangkang akan terus menolak Barisan Nasional (BN) termasuk mengadakan sebarang kerjasama.

Sementara itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membangkitkan persoalan mengenai projek- projek yang diusahakan oleh kerajaan BN demi kepentingan rakyat Malaysia sendiri.

Beliau terus mendakwa kerajaan BN hanya mengggunakan wang rakyat untuk melaksanakan projek- projek yang sedang dirancang termasuk pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang demi kepentingan politik.

Dakwanya, konsep 1Malaysia yang dianjurkan kerajaan BN masih belum jelas, manakala konsep perpaduan yang dianjurkan pakatan pembangkang adalah lebih baik.