Tue | Nov 06, 07 | 1:31:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Dato' Azimi Daim dalam perbahasan ucapan terima kasih sempena Ucapan Dasar Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini menyelitkan beberapa 'sindiran' sinis mungkin sekali ditujukan kepada Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Dalam ucapan awalnya, Azimi menyebut perkataan 'beruk' yang cukup sinonim dengan 'monyet' diselitkan dalam pantun yang berbunyi 'Anak beruk terlompat-lompat, anak ikan berenang-renang, sikap buruk orang meluat, sikap baik orang senang,".
Beliau membayangkan sikap beruk iaitu sikap mereka yang tidak sopan dan membuat tabiat yang buruk hanya akan menyebabkan orang meluat.
Perkataan ini (beruk) sinonim dengan perkataan yang pernah digunakan Khairy semasa melabel beberapa bloggers ketika isu blog hangat dilaporkan dalam media iaitu 'monyet' yang juga dari habitat dan keluarga yang hampir sama.
Selain itu semasa menggunakan perkataan 'mengairi' beliau menoleh kepada barisan kepimpinan Pemuda Umno terutama sekali kepada Khairy dan mengulangi perkataan tersebut degan menyebut 'bukan mengairi (sebut dengan loghat Kedah dengan menoleh kepada Khairy) tetapi meng'ayak' (air dalam loghat Kedah).
Sindiran sinis itu dikuti denga pujian melaut kepada Ketua Pemuda Umno yang dilaporkan memenangi kerusi dalam pertubuhan Unesco dengan undi terbanyak.
Azimi juga memuji kepimpinan Hishamuddin yang dikatakan berjaya membawa Pemuda Umno kepada satu martabat yang cukup disegani selepas krisis tahun 1998.
Ketika Azimi berucap, lensa kamera merakamkan gelagat barisan kepimpinan Pemuda Umno, kelihatan Khairy tidak seceria Hishamuddin yang cukup terhibur dengan lawak jenaka yang didendang Azimi.
Khairy hanya menepuk meja sekali-sekala dengan senyum sinis sementara Hishamuddin ketawa besar sambil menoleh ke kanan dan kiri.
Mungkin sekali, Azimi banyak memperli Khairy dalam ucapannya sementara memuji kepimpinan Hishamuddin.
Malangnya, menantu Perdana Menteri itu mungkin sekali tidak menyedari bahawa banyak mata memerhatikan kelibatnya yang sentiasa menjadi buah mulut ramai.
Blog dan media alternatif sumbang pembangunan negara
Terdahulu dalam ucapan dasar, Ketua Pemuda Umno pula percaya ramai di kalangan media alternatif dan komuniti blogger di negara ini yang bertanggungjawab dan memberikan maklumat serta informasi berkualiti tinggi dalam menyumbang kepada pembinaan negara.
Sehubungan itu, katanya, realiti era teknologi maklumat hari ini, dengan keterbukaan berita dan informasi yang tidak dapat disekat, harus dilihat secara positif dan sebagai sebahagian daripada tradisi pendemokrasian dunia maklumat dan alam siber.
Bagi generasi baru, katanya, blog kini menjadi gaya hidup terkini dan melalui kecanggihan ini telah melahirkan apa yang dipanggil Generasi 'You Tube' dan 'facebook' di kalangan mereka.
"Walaupun ia fenomena yang mungkin dianggap baik kepada pembinaan negara tetapi perlu diingat kebebasan harus datang dengan tanggungjawab," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di PWTC.
Kenyataan itu sekaligus mengimbas semula detik-detik hitam kecaman Khairy kepada bloggers sewaktu isu bloggers mendapat perhatian ramai.
Secara tidak lansung Hishamuddin mungkin sekali menujukan ucapannya itu kepada Khairy yang cukup vokal sebelum ini menghina khalayak pengendali blog dan laman web.
Khairy mahu bawa perubahan dalam pemuda
Sementara itu, Khairy dalam satu laporan akhbar versi internet baru-baru ini menyebut, beliau menyertai Umno kerana mahu membawa perubahan supaya parti dan khususnya pergerakan itu menjadi lebih baik daripada yang ada sekarang.
Katanya, baginya prinsip perjuangan Umno lebih penting daripada individu dan pemimpin yang ada dalam parti itu.
"Saya mahu membawa perubahan kepada Pemuda Umno dan saya yakin dapat melakukannya.
"Saya melihat bagaimana Pemuda Umno kehilangan pemimpin dan ahli-ahli selepas peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
"Pemuda Umno, ketika itu amat rapat dengan Anwar dan pemecatannya menyebabkan orang muda dan pelajar menyertai reformasi yang dibawa oleh bekas Timbalan Presiden Umno itu," katanya ketika menyampaikan ucapan di satu majlis di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.
Khairy yang juga menantu Perdana Menteri berkata, beliau tidak menyertai Kelab Umno di London sewaktu bekerja sebagai wartawan.
Katanya, sekitar tahun 1999 hingga 2001, merupakan masa yang sukar kepada Pemuda Umno kerana orang muda menyertai pembangkang termasuk kalah dalam pilihan Raya Kecil Dun Lunas yang diadakan pada tahun 2000.
Khairy 'opportunist' yang licik?
Menyingkap sejarah politik Khairy, sebagai golongan 'opportunist' dalam Pemuda Umno, beliau cukup licik menggunakan kedudukan bapa mertuanya dua tahun lalu dalam pemilihan barisan Pemuda Umno untuk menjawat jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno.
Ramai di kalangan anggota Exco yang cukup veteran seperti Mukriz Mahathir dan Azimi Daim terpaksa melupakan hasrat menjadi orang nombor dua dalam pergerakan Pemuda Umno memandangkan Khairy mendapat kredit dari bapa mertuanya untuk jawatan itu.
Kini kedudukan itu digunakan untuk membayangi kekuatan Ketua Pemuda dalam mengintai peluang samada akan menduduki kerusi nombor satu Pemuda Umno.
Banyak rumus menyatakan bahawa Khairy mula mencatur strategi untuk menggantikan Hishamuddin tatkala Hishamuddin bergelut dengan masalah di kementerian yang dipimpinnya (Kementerian Pelajaran).
Pelbagai lapangan program besar bersama beberapa menteri besar, program misi keamanan dan sebagainya digunakan Khairy untuk meletakkan dirinya sebagai 'orang penting' dalam pergerakan pemuda.
Kini cakap-cakap politik mula tersebar bahawa Khairy akan bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum ke-12.
Tayangan dokumentari reformasi
Sementara itu, Perhimpunan Pemuda Umno yang bermula pagi tadi turut menarik perhatian perwakilan berhubung sejarah hitam yang melanda parti itu sewaktu krisis kepimpinan Umno pada 1998 (ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno).
Tayangan dokumentari disajikan kepada perwakilan menenai krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno yang mana menyorot kembali peristiwa Reformasi jalanan membantah pemecatan Anwar.
Dokumentari juga menyorot pelbagai usaha yang dilakukan untuk memulihkan kekuatan yang melanda pergerakan itu khususnya.
Ketika itu, pergerakan Pemuda Umno dipimpin oleh Dato' Ahmad Zahid Hamidi (kini Timbalan Menteri Penerangan) yang merupakan penyokong kuat Anwar dan Dato' Seri Hishammudin Hussein adalah timbalannya.
Selepas itu Zahid melepaskan jawatannya dan jawatan Ketua Pemuda dipangku oleh Hishammuddin.
Dokumentari itu juga menunjukkan Hishammudin membaca sajak pada perhimpunan Pemuda Umno pada tahun 1999.
Dalam sajaknya itu, Hishammuddin menyamakan perjuangannya untuk memulihkan pergerakan itu dengan kisah pertembungan Hang Tuah dengan Hang Jebat. - mks.
No comments:
Post a Comment