Tuesday, November 06, 2007

Ketua Muslimat minta hadiahkan sekuntum bunga kepada setiap polis

Saidah Hairan
Tue | Nov 06, 07 | 12:05:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh meminta Muslimat seluruh negara membawa sekuntum bunga seorang untuk dihadiahkan kepada setiap anggota polis pada perhimpunan aman Sabtu ini (Himpunan 100,000 Rakyat).

Ini sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang sedia berkorban menjaga keselamatan peserta, katanya.

Beliau mengingatkan Muslimat tidak takut dan gentar hadir, memberi sokongan kepada gerakan rakyat melalui perhimpunan itu.

Perhimpunan aman anjuran Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) itu akan diadakan di Dataran Merdeka, di sini, mulai jam 3 petang.

Dalam perhimpunan aman itu, beliau berharap anggota polis tidak mengikut telunjuk pihak atasan seperti membuat provokasi sebaliknya memberi peluang kepada rakyat menuntut hak asasi mereka secara aman.

"Saya amat berharap pihak polis supaya tidak membuat sebarang provokasi dalam perhimpuanan tersebut agar matlamat perhimpuan itu akan tercapai," tegasnya.

Beliau mengingatkan Muslimat bahawa sokongan padu daripada mereka amat penting bagi mengembalikan demokrasi sebenar di Malaysia.

"Tanpa usaha dan perjuangan yang bersungguh-sungguh daripada Muslimat, negara kita yang disayangi ini akan terus dibelenggu kezaliman Umno/BN dan kuncu-kuncunya," tegas beliau.

Menurut beliau, perjuangan PAS bukan untuk zaman sekarang sahaja tetapi adalah untuk survival anak serta cucu-cicit.

Justeru, katanya, sebagai tanda kasih pada diri sendiri, keluarga dan keturunan, rakyat diminta sama-sama turun ke jalan raya secara aman pada tarikh tersebut.

Beliau meminta para suami atau ketua keluarga supaya memberi kerjasama dan kebenaran terhadap isteri masing-masing untuk hadir pada perhimpunan itu.

"Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud; 'Lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dengan menyeru berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran'," katanya. - lanh


No comments: