Monday, November 12, 2007

Agong jangan diugut - Husam

Abdul Halim Mohd Rashid
Mon | Nov 12, 07 | 5:23:58 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh)- Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi cuba mengugut Yang di-Pertuan Agong supaya jangan membersihkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan BERSIH.

"Pembangkang cuba heret Agung ke kancah politik atau Perdana Menteri cuba ugut Agung jangan bersihkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan BERSIH?" tanya beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri mengenai himpunan aman menuntut pilihan raya yang adil dan bersih anjuran BERSIH Sabtu lalu.

Perdana Menteri menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung dengan beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke dalam kancah politik.

Husam seterusnya mempersoalkan adakah Yang di-Pertuan Agong patut membiarkan pilihan raya negara ini dijalankan dalam keadaan kotor.

"Kalau Yang di-Pertuan Agong tak bersihkan, siapa nak bersihkan? Adakah Yang di-Pertuan Agong perlu biarkan pilihanraya negara kita kotor?

"Bersih atau kotor lebih mulia?" tanya Exco Kerajaan Kelantan itu dalam kenyataan bertajuk "Agong jangan diugut" di dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com

Husam juga meminta Perdana Menteri supaya membaca dahulu petikan memorandum Bersih.

Antaranya, perkara ke lapan yang menyatakan, "Kami memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar Tuanku akan menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihanraya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya diRaja untuk mengkaji pembaharuan sistem and proses pilihanraya.

"(Dan) Menggunakan kuasa Tuanku di bawah Perkara 40(2), Perlembagaan Persekutuan, untuk menolak apa jua permintaan untuk membubar Parlimen selagi empat pembaharuan serta-merta di atas tidak dilaksanakan".

"Itukah yang PM bimbang?" tanya Husam.


Catatan saksi mata: Dari Perlis ke Dataran Merdeka

Bashir Ishak
Mon | Nov 12, 07 | 5:11:00 pm MYT

Bertolak dari Perlis

Rombongan dari Perlis bertolak ke Himpunan Aman 100 ribu Rakyat Malaysia anjuran Bersih dari Balai Islam MADI, Jejawi dengan rancangan awal sebanyak 10 buah bas.

Peserta rombongan sudah mula berkumpul seawal jam 7.30 malam. Pada jam 9.30 malam, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman mula memberikan taklimat perjalanan kepada peserta.

Mulai jam 10.00 malam bas yang akan membawa peserta himpunan mula tiba dan diputuskan setiap bas yang sudah lengkap para peserta serta butiran peribadi mereka akan bertolak dahulu.

Juga diputuskan setiap bas tidak akan berkonvoi dan akan bergerak secara solo mengikut beberapa jalan yang ditetapkan.

Penulis berada di bas kedua yang terdiri dari peserta dari Dun Santan dan Beseri yang bertolak kira-kira jam 10.20 malam melalui Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis.

Bas mulai ditahan/Tshirt Bersih dirampas

ImageSelepas melewati kawasan Pauh, penulis menghubungi Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin yang mengetuai bas pertama melalui SMS.

Beliau menyatakan basnya sudah ditahan di sempadan Perlis/Kedah berhampiran Ulu Pauh dan katanya sehelai Tshirt Bersih telah dirampas polis.

Lantas penulis memberi amaran kepada rakan-rakan yang mempunyai Tshirt Bersih supaya menyorokkannya. Begitu juga, penulis menghubungi rakan-rakan dari bas lain yang berada di belakang.

Penulis melihat bas yang pertama tadi masih lagi ditahan.

Tiga orang anggota polis menaiki bas kami dan mula memeriksa semua beg penumpang. Mujurkah tiada baju kuning yang dijumpai.

Polis mengambil kad pengenalan setiap penumpang dan mencatatkan setiap butiran.

Tidak berapa lama kemudian, bas yang dinaiki peserta dari Dun Sena dan Kayang pula tiba dengan disusuli bas keempat dari Dun Titi Tinggi dan Chuping.

Terdapat sedikit insiden apabila polis merampas baju Bersih milik Setiausaha DPP Padang Besar, Nurdin Isa yang menaiki bas keempat tadi.

Berlaku sedikit pertengakaran anatara pihak polis dengan seorang pimpinan PAS Perlis yang mempersoalkan tindakan polis itu.

Bagaimanapun ianya berjaya ditenangkan, walaupun seorang pegawai polis cuba memprovokasi dengan amaran, "bagi kerjasama kalau tak nak tidur lokap" malam ini.

Selepas sejam setengah, maka bas-bas yang ditahan dibenarkan untuk bertolak. Penulis difahmakan dua bas yang membawa peserta dari Dun Bintong dan Sanglang juga telah ditahan di sempadan Perlis/Kedah berhampiran Jelempok.

Semua baju T Bersih milik penumpang bas Dun Bintong telah dirampas polis, bagaimanapun penumpang bas Dun Sanglang sempat menyorokkannya.

Ditahan lagi

Perjalanan melalui lebuh raya adalah lancar sehingga ke tol Juru di Pulau Pinang.

Bas kami ditahan lagi, namun hanya untuk seketika apabila pihak polis hanya memeriksa permit bas dan mengambil gambar.

ImageDi dalam bas penulis dihubungi beberapa sahabat yang menyatakan empat bas dari Perlis tidak dapat bertolak kerana bas yang ditunggu tidak hadir.

Difahamkan bas tersebut yang disewa dari Kedah telahpun ditahan dan pemandunya tidak berani untuk terus datang ke Perlis untuk mengambil penumpang.

Sebahagian para peserta himpunan yang tersadai itu telah mengambil keputusan untuk bertolak ke Kuala Lumpur dengan kenderaan sendiri.

Penulis mendapat maklumat lebih 50 orang telah mula bergerak dari Perlis bermula jam 3.30 pagi.

Bas kami herhenti di hentian Tapah untuk mandi dan bersolat subuh.

Di sana penulis bertemu dengan peserta himpunan dari PAS Kawasan Merbok yang menceritakan bas mereka sudah ditahan seawal keluar dari tol Taman Sejati di Sungai Petani.

Selepas sarapan pagi pagi kami meneruskan perjalanan sambil berkira-kira apakah strategi yang akan diambil sekiranya disekat daripada memasuki Kuala Lumpur.

Awalnya, ketua rombongan memutuskan untuk masuk melalui Rawang dan menaiki KTM Komuter, namun selepas mendapat berita bas pertama dari Perlis berjaya sampai ke Masjid Negara, maka diputuskan untuk terus masuk melalui susur keluar Sungai Buluh.

Dua bas lagi dari Perlis (bas Dun Bintong dan Sanglang) mengambil keputusan untuk melalui tol Jalan Duta. Malangnya mereka ditahan dan dibawa ke Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketiak seorang sahabat menghubungi penulis terdengar di telefon bunyi siren kereta peronda polis yang sedang mengirinngi bas mereka.

Walaupun ada sekatan jalan di tol Sungai Buluh, bas yang kami naiki tidak pun ditahan dan perjalanan ke stesen Putra LRT di Terminal Putra Gombak adalah lancar.

Tiba di Masjid Jamek

Di sana kami terus menaiki tren ke Stesen Masjid Jamek dan tiba pada jam 11.00 pagi.

ImageKeadaan sekitar nampaknya masih lengang dan cuaca mulai mendung. Kelihatan lima buah kenderaan FRU dan dua buah jip polis di hadapan Masjid Jamek serta ramai anggota polis berkawal di kawasan sekitar.

Penulis asalnya mahu ke Pajabat Agung PAS di Jalan Raja Laut untuk menghadiri satu mesyuarat, bagaimanapun seorang sahabat yang dihubungi menyatakan mesyuarat ditunda kerana orang ramai sudah mula berhimpun di sana.

Penulis cuba meninjau di sekitar Dataran Merdeka namun dihalang oleh pihak polis yang berkawal di sana. Dilihat puluhan trak polis dan FRU sudah berada di sana.

Ketika meninjau di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, seorang sahabat dari Kedah memberitahu orang ramai sudah mula berkumpul berhampiran Kompleks Membeli Belah Sogo.

Begitu juga penulis mendapat SMS dari sahabat yang berada di Masjid Negara yang menyatakan polis mula mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan masjid dan ada yang memberitahu orang ramai sedang membaca Yaasin di dalamnya.

Kira-kira jam 11.40 pagi pihak FRU mula menghalau orang ramai yang sedang berkumpul di satu sudut di persimpangan hujung Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.

Tatkala itu hujan mulai turun, dan orang ramai cuba membuat andaian apakah yang bakal dibuat oleh polis yang berkawal di Dataran Merdeka, sama ada lari atau terus terpacak di tengan hujan.

Sebahagian dari anggota polis yang berbaju hujan terus terpacak di dalam hujan sedangkan yang lainnya mengambil perlindunan di bawah landasan Star LRT.

Selang beberapa minit, orang ramai mula bertakbir apabila barisan "tentera merah" Unit AMAL bergerak masuk untuk bertugas di kawasan sekitar Masjid Jamek.

Pada masa yang sama, sebuah helikopter polis sedang berlegar-legar di udara dan terbang rendah memerhatikan keadaan sekeliling.

Masjid Jamek mulai sesak dengan lautan manusia

Tiada apa-apa pergerakan sepanjang setengah jam berikutnya memandangkan hujan yang lebat dan orang ramai pula mula memasuki kawasan Masjid Jamek untuk memandangkan waktu Zohor yang hampir tiba.

Penulis juga bergerak ke masjid dan mendapati ruang solat sudah mula sesak dengan orang ramai. Begitu juga dengan tempat berwudhuk dan kawasan sekitar sudah mulai dibanjiri manusia.

Pun begitu, hanya seorang pemuda berloghat pantai timur sahaja yang agak "macho" dengan berTshirt Bersih sedangkan oprang lain belum pun mengenakan pakaian rasmi perhimpunan.

Penulis dapat meneka bahawa ini merupakan strategi yang diatur dan dipatuhi semua supaya hanya memakai Tshirt tersebut selepas solat Zohor.

Selesai solat Zohor, para jemaah di dalam ruang solat terbuka di sebelah kanan mengadakan solat hajat dengan diimami oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kemudiannya, para peserta himpunan diarahkan berkumpul untuk mendengar taklimat dari Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli yang akan memimpin perarakan keluar dari Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka.

Turut serta ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali, Mustafa Kamil Ayub dari KeADILan.

Taklimat ringkas Dr Hatta awalnya diganggu oleh deruman helikopter polis yang sedang berlegar namun kemudiannya, disahut oleh laungan takbir dan "Daulat Tuanku". Sebelum bergerak Tuan Ibrahim memimpin bacaan doa.

Polis mula bertindak

ImageKetika peserta himpunan yang membanjiri kawasan masjid mula bergerak keluar, hujan lebat mulai turun dan pihak FRU yang menyekat laluan berhampiran stesen LRT menghalakan pancutan air dari 'water cannon' dihalakan ke arah orang ramai yang bersesak-sesak di hadapan pintu masuk masjid.

Penulis yang sedang berasak-asak untuk keluar dari masjid mula merasakan bau yang tidak menyenangkan disusuli rasa pedih mata.

Ketika saf hadapan sudah berada di Jalan Tun Perak menuju ke Dataran Merdeka, orang ramai masih lagi bersesak-sesak untuk keluar dari kawasan masjid.

Semasa penulis keluar melalui kawasan belakang mahkamah dan tiba di Jalan Tun Perak, didapati pihak FRU sudah menghalang pergerakan di hadapan bangunan CIMB.

Tatkala itulah beberapa tembakan gas pemedih mata dilepaskan dan orang ramai mula berundur ke belakang.

Pengunduran orang ramai itu memberi peluang FRU mara ke hadapan. Pun begitu, orang ramai yang tadinya bertempiran lari masih berkumpul sambil melaungkan takbir dan 'Lailahaillallah'.

Pancutan 'water cannon' disusuli beberapa lagi tembakan gas pemedih dilepaskan dan orang ramai mula bertempiaran lari ke arah Jalan Masjid India, stesen LRT dan masuk semula ke kawasan masjid.

Penulis sempat berlari ke stesen LRT untuk merawat mata yang pedih. Kelihatan orang ramai termasuk penumpang yang mahu menggunakan khidmat LRT terbatuk-batuk menahan pedih.

"Tak apalah polis, nanti kamu tunggu balasan di akhirat. Hujan lebat-lebat biar kamu di panah petir," jerit seorang kakak yang sedang berlindung di stesen LRT dengan nada geram.

Keadaan reda seketika tetapi orang ramai masih membanjiri Jalan Tun Perak dan penulis sempat menghantar berita melalui SMS kepada Ketua Wartawan, Wan Nordin.

Stesen Star dan Putra LRT MAsjid Jamek serta beberapa kedai-kedai di persekitaran sudah mula ditutup.

Ketika pasukan FRU mara berhampiran OCBC Bank, beberapa das lagi tembakan gas pemedih mata dihalakan kepada orang ramai.

Sekali lagi orang ramai bertempiaran lari ke arah Jalan Melaka, Medan Pasar, Jalan Benteng dan Leboh Ampang untuk berlindung di celah-celah bangunan.

Kali ini penulis dapat merasakan kesan yang lebih teruk dari tembakan gas tersebut. Ianya jatuh tidak jauh dari tempat penulis berada. Ketika itu penulis sedang merakamkan gambar anggota polis yang sedang berkawal.

Malangnya, anggota polis yang tidak bertopeng itu pun turut menjadi mangsa rakan mereka sendiri.

Penulis mengambil masa yang agak lama untuk memulihkan keadaan, namun sempat sekali lagi menghantar berita kepada Wan Nordin.

Keadaan mulai reda di sekitar Jalan Tun Perak dan Masjid Jamek.

Ketika itu, menurut seorang pimpinan PAS dari Selangor, peserta yang tinggal di kawasan itu seperti ekor cicak yang terputus.

"Kita ni dah jadi ekor cicak putus, kepala dan badan entah ke mana?," katanya.

Lebih kurang sepuluh minit kemudiannya. seorang anggota Unit AMAL memberitahu orang ramai untuk bergerak menuju ke Istana Negara sama ada melalui hadapan Dayabumi ataupun Petaling Street.

Orang ramai yang sedang berlegar di sekitar Masjid Jamek, Stesen LRT dan Medan Pasar mula bergerak.

Penulis bertemu Ketua DPP Perlis, Ustaz Ya'akub yang mengajak untuk bersamanya ke Istana Negara. Ketika kami berada di hadapan Menara Dayabumi, kelihatan rombongan yang diketuai Dr Hatta sedang bergerak di Jalan Kuching menuju ke Istana Negara sambil melaungkan slogan "Hidup Rakyat" dan "Hancur Kezaliman".

Sungguhpun sudah terlewat, kumpulan ini terus bergerak ke Istana Negara dengan penuh bersemangat walaupun bertembung dengan orang ramai yang sudah beredar pulang dari sana di persimpangan Jalan Kampung Attap. - mks.


Perhimpunan 10 November aman, rakyat berjaya elak provokasi polis

Azamin Amin
Mon | Nov 12, 07 | 10:26:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - Perhimpunan diadakan 10 November lalu berjaya mencapai kejayaan yang besar di luar jangkaan malah matlamat untuk menyampaikan suara dan tuntutan rakyat kepada DYMM Agong dan Raja-Raja bagi memulihkan demokrasi negara tercapai.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, himpunan tersebut itu juga berjaya mengumpulkan jumlah rakyat yang besar termasuk menganjurkannya secara aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

"Alhamdulillah rakyat bersabar dan tidak bertindak balas walaupun ada provoksi oleh pihak-pihak tertentu untuk menghuru-hara termasuk tindakan polis," katanya dalam sidang media selepasa Mesyuarat PAS Pusat di pejabata Agung PAS semalam.

"Himpunan rakyat juga berjaya mendapat dan perhatian liputan daripada media dalam negeri dan antarabangsa walaupun dengan cara yang ringkas tetapi memberi satu makna yang besar dalam perjuangan kita untuk memulihkan demokrasi dalam negara kita," katanya.

Turut hadir sama Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar dan AJK PAS terdiri daripada Anuar Tahir, Syed Azman dan Hanipa Maidin.

Menjawab soalan wartawan Ustaz Hadi berkata penyerahan memo itu telah dilakukan oleh 10 orang yang terdiri daripada dirinya, pimpinan politik dan NGO dan telah disampaikan kepada pegawai Istana Negara malah pegawai tebabit berjanji akan memajukan kepada DYMM Agong dan akan diteliti oleh Majlis Raja-Raja.

Sebelum itu Ustaz Hadi dalam ceramahnya pada hari sama perhimpunan rakyat itu diadakan mengucapkan tahniah kepada Bersih yang telah berjaya menganjurkan perhimpunan rakyat dan Kepada seluruh peserta himpunan yang datang dari seluruh pelusuk negara.

"Saya ucapkan setinggi tahniah, kerana telah berjaya buktikan kepada dunia, bahawa rakyat Malaysia juga mempunyai kesedaran berjuang untuk membawa perubahan dalam negaranya," tegas Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramah umumnya di Markaz Tarbiyyah PAS Taman Melewar Ahad lalu.

Turut serta dalam ceramah umum anjuran Bersih di Taman Melewar malam tadi selepas himpunan 100,000 rakyat pada jam 2.30 petang semalam berjaya ialah, Penasihat Perti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; AJK DAP Pusat, Ronnie Liu dan Koordinator Penggerak Demokrasi, Anuar Tahir.

Presiden PAS melahirkan tahniah kepada peserta himpunan aman kerana cukup bersabar walaupun ada gangguan sambil menyifatkan kesediaan mereka menyertai himpunan semalam adalah satu pengorbanan yang sangat mahal harganya. - mr


Koleksi Gambar: Perhimpunan Rakyat - Save Malaysia, Restore Our Rights

Wan Zahari Salleh
Mon | Nov 12, 07 | 10:58:09 am MYT

Koleksi! Keinginan rakyat agar perubahan dilakukan bagi tuntutan pelaksanaan demokrasi yang adil berjaya menghimpun lebih 100,000 rakyat pada 10 November yang lalu.

Berikut dipaparkan sebahagian dari detik-detik ketika perhimpunan berlangsung. Klik pada gambar-gambar berikut untuk melihat dengan lebih jelas.

Image