Wednesday, October 31, 2007

Imej BPR dan Peguam Negara tercalar: PAS desak Suruhanjaya Diraja dibentuk

Ahmad Tajdid
Wed | Oct 31, 07 | 3:51:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - PAS memandang berat kenyataan akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato' Pahlawan Ramli Yusuff berhubung kredibiliti dan kegagalan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Jabatan Peguam Negara untuk melindungi para saksi dalam kes berprofil tinggi membabitkan seorang penjenayah, Goh Cheng Poh @ Tengku.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan akhbar Ramli itu menimbulkan persoalan tentang kredibiliti BPR, perisikan polis, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam mengendalikan dakwaan ke atas Goh Cheng Poh @ Tengku yang terlibat dalam kegiatan jenayah di Johor.

"Malah suspek yang dikatakan terlibat dalam kejadian tembak menembak yang mengorbankan rakannya telah diletakkan di bawah tahanan dan dibuang daerah sebanyak dua kali sebelum ini.

"Apa yang menjadi persoalan, dalam sidang akhbar Pengarah JSJK itu, seluruh pegawai JSJK turut hadir seolah-olah mewakili sikap yang diambil oleh jabatan tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang di mel-e ke pejabat Harakah.

Mujahid juga hairan bagaimana siasatan rasuah membabitkan Ramli yang didakwa memiliki harta bernilai RM27 juta dibawa ke pengetahuan umum sebelum siasatan selesai kerana ia pastinya mengganggu proses siasatan.

"Malah dakwaan Datuk Ramli terhadap BPR dan Jabatan Peguam Negara membayangkan wujud satu konflik kepentingan dalam mengendalikan kes Goh Cheng Poh @ Tengku," katanya.

Pengakuan Ramli bahawa beberapa pegawai JSJK telah disiasat oleh BPR berdasarkan fail-fail sulit kes itu yang mengandungi nama pemberi-pemberi maklumat sulit kepada Jabatan Peguam Negara, adalah sesuatu yang amat serius.

"Jika BPR dan Jabatan Peguam Negara gagal melindungi saksi-saksi dalam siasatan berprofil tinggi membabitkan polis, bagaimanakah kerajaan termasuk Perdana Menteri boleh memberi jaminan untuk melindungi saksi-saksi dalam kes membabitkan orang awam seperti skandal pita Lingam?" soal beliau.

Mujahid juga memandang berat kritikan Ramli terhadap Jabatan Siasatan Jenayah dan BPR yang telah 'membersihkan' Goh daripada tuduhan jenayah tanpa mengambil kira hasil siasatan yang dikemukakan JSJK, walaupun siasatan pihaknya dibuat atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Semua petunjuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Pengarah Bahagaian Sisatan Jenayah Perdagangan kelmarin menjadikan rakyat dari semua kaum di negara ini merasa sudah tidak selamat lagi kerana seolah-olah pihak yang disebut-sebut bermain tarik tali sesama mereka dalam mengendalikan kes jenayah berprofil tinggi," ujarnya.

Episod ini, tegas Mujahid membuktikan wujud kelompok penguasa yang sepatutnya menjamin keselamatan awam telah hilang maruah hingga sanggup menjadi hamba kepada golongan penjenayah dan perasuah.

"Pemberi maklumat juga tidak selamat walaupun dari pihak polis sendiri. Kalau pihak polis yang memberi maklumat merasa tidak selamat apatah lagi rakyat biasa?

"Apakah ada ugut mengugut antara pihak yang disebut-sebut? Apakah dakwaan pengumpulan harta berjumlah RM27 juta ke atas Pengarah JSJK semata-mata kerana usahanya menangkap penjenayah yang paling dikehendaki?

"Apa pula kaitan kes ini dengan KPN? Timbalan Menteri Dalam Negeri? Mengapa peguam persendirian bernama Rosli Dahlan ditangkap pada Hari Raya baru-baru ini atas dakwaan rasuah oleh BPR; sedangkan peguam persendirian tersebut menyediakan afidavit untuk JSJK kerana Ramli mendakwa pihak Penasihat Undang-Undang KDN tidak membantunya dalam menyediakan afidavit untuk mendakwa Goh Cheng Poh?" soal Mujahid.

Sehubungan itu, PAS tegas Mujahid menuntut kerajaan membentuk Suruhanjaya Diraja untuk membuat satu laporan penuh berhubung dakwaan Ramli.

Laporan Suruhanjaya itu, kata Mujahid perlu dibentang di Parlimen bagi mengembalikan keyakinan awam terhadap polis, BPR dan KDN.

"Isu ini benar-benar mengancam keselamatan awam dan ia membayangkan seolah kesemua institusi ini dan Kementerian Dalam Negeri betul-betul lemah dan mudah menjadi umpan golongan pengkhianat negara dari penjenayah dan perasuah-perasuah," ujarnya./tajdid

Perhimpunan 10 November, satu sumbangan besar pada rakyat dan negara

Awang Harun
Wed | Oct 31, 07 | 6:38:42 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 31 Okt (Hrkh) – Pengerusi Jawatankuasa Isu PAS Negeri Terengganu, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS terutama pemuda di negeri ini untuk sama-sama menyertai perhimpunan anjuran Bersih pada 10 November ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, para peserta yang menghadiri perhimpunan aman yang bermula jam 2 petang itu, kemudian akan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Beliau yang Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, berkata semua pimpinan tertinggi PAS yang terdiri daripada Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Naib-naib Presiden; Setiausaha Agung; Ketua-ketua dewan dan para pemimpin PAS negeri akan hadir pada perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, tambahnya perhimpunan yang dianggarkan disertai 100,000 orang itu menuntut kehadiran rakyat bagi menjayakan tuntutan agar pilihan raya umum akan datang diadakan dalam suasana yang bersih dan adil.

"Rakyat patut sedar bahawa kewajipan mereka memberi sumbangan bagi menjayakan pilihan raya yang adil dan bersih dalam pilihan raya akan datang," ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di Pejabat Perhubungan PAS di sini, hari ini.

Menurutnya, menghadiri perhimpunan itu adalah satu kewajipan dan sumbangan besar kepada rakyat dan negara ini.

"Agama Islam menuntut supaya pemerintah berlaku adil dan menuntut kita sekalian mempunyai sikap adil dan saksama dalam melaksanakan sesuatu, selamat berhimpun," ujarnya. - mks.

Roboh rumah Rimba Jaya, penduduk kecewa Umno mungkir janji

Nyza Ayob
Wed | Oct 31, 07 | 5:54:34 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - "Mana perginya Wanita Umno yang berjanji untuk menolong kami. Hingga tiba hari ini, rumah kami dah dirobohkan batang hidung mereka pun tidak nampak,"demikian luahan Zainatun Dasuki dan Rusiah Rashid, mangsa perobohan rumah di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam, semalam.

Semalam, 274 keluarga bukan sekadar diusir oleh pihak berkuasa tempatan bagai pendatang asing, bahkan nasib mereka tidak mendapat perhatian pimpinan negeri.

ImageJika penduduk India dikunjungi Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu, mereka hanya dikunjungi Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Dato' Mohd Mokhtar Dahlan. Bahkan kunjungan seketika cuma tidak mampu mengubat kedukaan mereka.

Jelas Zainatun, tanpa sebarang notis daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan tanpa hitam putih daripada pihak berkenaan hanya melalui notis yang diberikan melalui peguam mereka, Teng Chang Kim and Co bertarikh 19 Oktober, mereka diberi tempoh selama seminggu untuk berpindah.

Dalam tempoh yang singkat itu, mereka tidak sempat untuk melakukan persiapan perpindahan apatah lagi untuk mencari rumah untuk di sewa.

Zainatun yang menetap di Kampung Rimba Jaya sejak 1979 lagi menyatakan kekecewaannya kerana , pemaju tidak mengotakan janji mereka sebagaimana dijanjikan kepada 800 orang penduduk yang telah berpindah sebelum ini.

Rumah yang disediakan pemaju juga katanya belum siap sepenuhnya serta tidak mendapat sijil layak menduduki (CF).

"Mereka mengatakan sesiapa yang nama mereka disenarai hitam serta telah berusia boleh membuat pinjaman. Tetapi itu hanya janji-janji kosong semata-mata. Sehingga kini mereka yang telah berpindah ke Seksyen 16 tidak dapat membuat sebarang pinjaman. Mereka juga tidak mampu membayar sewa rumah pangsa yang diduduki.

Image"Kami faham dan kami juga bukan tidak mahukan pembangunan. Cuma kami mengharapkan diberi tempoh sehingga anak-anak kami tamat penggal persekolahan tahun ini. Jika kami tidak dapat membuat pinjaman, biarlah anak-anak kami dapat buat pinjaman tersebut," katanya yang rumahnya dirobohkan kira-kira jam 7.30 pagi.

Jelas Zainatun lagi, air matanya sudah kering untuk menangisi nasib yang menimpa, apatah lagi apabila melihat rumahnya diranapkan oleh tangan yang tidak bertanggungjawab dalam sekelip mata.

"Kami membangunkan rumah ini dengan titik peluh kami sendiri. Walau lima sen pun mereka tidak membantu kami. Mereka kata akan membela nasib orang Melayu, tetapi mana pembelaan tersebut di saat keadaan kami seperti ini

"Sewaktu pilihan raya kami tetap mengundi, tetapi apa yang kami dapat? Kenapa susah sangat mereka beri rumah yang selesa kepada orang Melayu? Jika bangsa asing mereka begitu senang mendapatkan penempatan tetap,"katanya yang melahirkan kekesalan dengan sikap pemimpin yang tidak membela nasib mereka.

Buat sementara waktu, Zainatun dan keluarganya menumpang di rumah adiknya yang tinggal di kampung berhampiran.

Dalam pada itu, bagi Rusiah Rashid, yang telah menghuni di kampung tersebut selama 30 tahun juga terpaksa menanggung kepedihan dan kesukaran apatah lagi salah seorang daripada anaknya mengidap penyakit kronik.

ImageNor Fatihah Abdullah Zin yang mengidap penyakit jantung berlubang dan mempunyai masalah buah pinggang, mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, selain masalah kewangan, dengan situasi yang terpaksa dihadapi Rusiah dan suaminya yang cuma seorang pengawal keselamatan, menyukarkan lagi baginya untuk berulang alik ke hospital.

"Tiada siapa pun yang mengambil tahu penyakit yang menimpa anak saya ini. Selain jantung berlubang, Nor Fatihah juga terpaksa menanggung beberapa penyakit lain.

"Dah kena pindah ni, makin sukar untuk saya ke HKL untuk mendapatkan rawatan Nor Fatihah. Kami pun tidak tahu di mana kami hendak tinggal,"jelas Rusiah, sambil menyeka air mata yang berlenangan.

Sungguhpun menanggung sakit dengan terpaksa bergantung dengan tiub di badannya, Nor Fatihah masih mampu tersenyum di sisi ibunya. Mungkin penderitaan yang ditanggung tidak dipamerkan anak kecil ini.

Rusiah juga melahirkan kekesalan kerana Wanita Umno yang pernah berjanji menghulurkan bantuan, sekadar meninggalkan janji-janji kosong.

"Di saat Nor Fatihah sakit, tiada seorang pun datang menghulurkan bantuan walau satu sen pun. Kerajaan memang tidak memahami rintihan rakyat, " tegasnya sambil menahan sebak.

Ibu kepada 12 orang anak ini juga bertambah gusar apabila ada antara anaknya terpaksa tidak ke sekolah serta mengambil peperiksaan penggal akhir persekolahan.

"Bagaimana nak ke sekolah dalam keadaan rumah nak dirobohkan? Macam mana nak belajar? Buku dan pakaian sekolah pun tidak tahu kat mana letaknya,"katanya sambil menahan sebak.

Dalam pada itu, tinjauan Harakahdaily di tapak yang hampir menjadi padang jarak padang terkukur itu, menyaksikan bagaimana penduduk kampung terpaksa mengutip 'sisa-sisa' daripada perobohan mereka. Ada yang mengutip papan, kayu dan zink yang mungkin boleh dikitar semula.

Malahan dalam situasi yang agak sayu itu ada juga gelagat di kalangan mereka yang mencuri perhatian orang ramai.

Gelagat seorang kanak-kanak bernama Nabil mengikat Jalur Gemilang yang agak lusuh di lehernya serta berlari ke hulu ke hilir ala 'Superman' menyebabkan beberapa orang penduduk kampung menjerit ke arahnya sambil melaungkan 'Inilah Malaysiaku yang gemilang'.

Dalam pada itu, seorang wanita yang bernama Rohaya juga secara simbolik memacakkan jalur gemilang di bumbung rumahnya yang menunggu waktu untuk dirobohkan.

"Lihatlah Malaysiaku yang gemilang, Malaysiaku yang cermerlang dan lihatlah keadaan Malaysia yang aman damai ini," katanya sambil mengibarkan bendera tersebut.

Dalam situasi tersebut juga, kanak-kanak kecil, Iman Nur Aina, 7, terpaksa menahan kesakitan akibat terpijak paku yang menembusi kasutnya sewaktu mencari barang-barang persekolahannya.

Malahan ada kalangan mereka yang mendirikan khemah untuk berteduh.

Entah bagaimana nasib mereka, hari ini dan seterusnya. Mungkinkah mereka akan terus tidur berbumbungkan langit, atau juga berbumbungkan tilam yang dijadikan tempat berteduh serta beralaskan rumput serta daun-daun?

Atau mungkinkah juga mereka akan terus berkhemah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Kampung Batu 8, Hulu Klang? - mks.

Abdullah tiada pilihan selamat; pilihan raya umum ke-12 Disember ini?

Maslan Yusoh
Wed | Oct 31, 07 | 5:31:12 pm MYT

KOTA BHARU, 31 Okt (Hrkh) - Teka teki tarikh pilihan raya pilihan raya umum ke-12 mulai berkocak kembali. Ramai berpendapat Perdana Menteri tidak mungkin membiarkan masalah yang membelenggu kepemimpinannya terus membarah.

Banyak pihak menelah sekiranya masalah dibiarkan berlarutan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mampu lagi membendungnya. Lebih-lebih lagi kenaikan harga minyak di pasaran global.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, Perdana Menteri tidak mungkin menggunakan duit Petronas dalam tempoh begitu lama untuk memberi subsidi ekoran peningkatan harga minyak sekarang.

"Tambahan pula timbul pelbagai konflik sekarang, isu video VK Lingam masih tidak selesai. Dan semalam timbul pula pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Dato’ Ramli Yusuff mengenai isu dalaman polis.

"Isu yang membabitkan tiga jabatan utama kerajaan iaitu polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Peguam Negara serta institusi kehakiman semakin berkecamuk.

"Oleh itu bagi mengelakkan isu tersebut terus berlarutan, pilihan raya mungkin diadakan dalam masa terdekat ini, kalau tidak November mungkin Disember," katanya pada persidangan media di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Ramli yang diheboh sebelum ini mempunyai aset sebanyak RM27 juta mendakwa disiasat BPR selepas pegawainya menyiasat Ah Long di seluruh negara terutamanya Johor.

Mengikut sumber lain, konflik di antara Ramli dengan pegawai kanan lain polis tercetus sebelum pelantikan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.

Ramli sebelum ini disebut-sebut sebagai calon mengisi jawatan tersebut memandangkan pengalamannya lebih luas.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebagai jalan selamat bagi mengatasi konflik yang berlaku sekarang Perdana Menteri dijangka mengadakan pilihan raya umum lebih awal bagi mendapat semula mandat rakyat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan harga minyak akan dinaikkan sehingga 70 sen seliter selepas pilihan raya umum nanti kerana kerajaan tidak mampu lagi menanggung bebanan subsidi.

"Kalau pilihan raya diadakan tahun depan, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih banyak duit untuk memberi subsidi minyak sedangkan duit Petronas perlu juga digunakan bagi pembangunan lain," ujarnya.

Sumber dalaman Umno pula mendedahkan kemungkinan parlimen akan dibubarkan pada 9 November ini, selepas selesai Perhimpunan Agung Umno yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 9 November ini.

Manakala pilihan raya pula dikatakan akan diadakan pada Disember.

"Apa yang jelas selepas mendapat mandat baru harga minyak akan dinaikan sehingga 70 sen seliter dan gas memasak naik antara RM2 hingga RM3 satu balang," kata Ibrahim Mamat, bekas anggota jawatankuasa Umno Bahagian Kubang Kerian.

Menurutnya, Perdana Menteri mungkin tidak menghiraukan kira-kira 28,000 jemaah haji sedang menunaikan ibadat di Makkah bagi membolehkan pilihan raya diadakan pada Disember ini. - mj

Jawatan Menteri Besar mula meresahkan Shahidan

Bashir Ishak
Wed | Oct 31, 07 | 5:30:52 pm MYT

KANGAR, 31 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim kini seakan-akan takut kepada bayang-bayangnya sendiri.

Beliau yang diuar-uarkan sebagai salah seorang daripada Menteri Besar yang bakal digantikan selepas pilihan raya umum akan datang kini tidak senang duduk apabila mendapati adanya calon-calon yang disebut-sebut menggantikannya.

ImageCakap-cakap politik di Perlis mengambarkan bahawa ketiga-tiga orang ahli parlimen dari Perlis merupakan calon utama yang disebut-sebut untuk menggantikan Shahidan.

Mereka ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kangar; Menteri Sumber Asli, Dato' Azmi Khalid (Padang Besar) dan Dato' Seri Utama Syed Razlan Jamalullail (Arau).

Ternyata dari pemerhatian orang ramai, sejak gendang pilihan raya mula dipalu beberapa bulan yang lalu, Shahidan sudah mula gelabah dan cuba untuk menonjolkan dirinya sedaya upaya mungkin di hadapan pimpinan tertinggi Umno dan kepada rakyat Perlis sendiri.

Terkini berlakunya perang mulut antara Shahidan dan Radzi berkaitan kemasukan pekerja asing khususnya untuk projek pembangunan Wilayah Ekonomi Utara.

Shahidan menyatakan bahawa Perlis tidak akan menerima sebarang kemasukan pekerja asing sedangkan Radzi pula menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak pekerja asing.

Percanggahan ini dilihat lebih bersifat peribadi meskipun isunya melibatkan perkara yang lebih besar membabitkan kepentingan negara.

Seorang veteran Umno memberitahu, Shahidan sendiri duduk tak senang semasa bulan sambutan kemerdekaan yang baru lalu.

Image"Dia suruh perbanyakkan kain rentang yang mempunyai gambarnya apabila mendapati adanya beberapa helai kain rentang Radzi yang dipasang sekitar Kangar," jelasnya.

Selain itu, beberapa faktor lain juga dilihat menyebelahi Radzi.

Antaranya, Radzi adalah Setiusaha Auung Umno dan beliau juga adalah lebih rapat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, menurut seorang sahabat Radzi, ada juga beberapa faktor yang tidak menyebelahi Radzi.

"Radzi dilihat sudah masuk ke tahap veteran Umno dan dia sendiri katanya tak mampu buat macam Shahidan kalau jadi MB. Tabur duit rata negeri," katanya.

Sementara itu, bagi Azmi Khalid pula, beliau pun turut dikategorikan sebagai calon "favourite" juga untuk menduduki kerusi Menteri Besar Perlis.

ImageNamun kata beberapa orang kuat Umno Padang Besar, Azmi tidaklah sepopular Radzi walaupun beliau juga dikatakan "berhajat" dengan jawatan tersebut.

Seorang lagi calon yang disebut merupakan calon "DiRaja" dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Selain beliau merupakan adinda kepada Tuanku Raja Perlis, Syed Razlan dilihat seorang yang dihormati dan mempunyai ramai pengikut khususnya di Parlimen Arau.

Beberapa bulan lalu, Shahidan dikatakan pernah mengeluarkan arahan agar para pegawai kerajaan tidak menghadiri majlis yang dihadiri oleh Syed Razlan.

Kegelisahan Shahidan juga dapat digambarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam rancangan wawancara agama bersama Menteri Besar di Perlis FM sehari sebelum hari raya, Shahidan meminta satu puak yang suka menurunkan banner hari raya beliau agar meminta maaf.

Tapi katanya, puak-puak tu bukannya orang PAS.

Seminggu kemudian timbul pula kisah kain rentang Shahidan disaotaj lagi. Kali ini bukan setakat diturunkan tetapi juga dicarikkan pada muka beliau. - mks.

Umno membangunkan Islam, Nasharudin bidas Najib

Roy Rasul
Wed | Oct 31, 07 | 4:45:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, membidas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Umno menyerlah dalam perjuangan membangunkan Islam.

Katanya, bagaimana Najib boleh mendabik dada sedemikian rupa kerana Umno sendiri menghadapi krisis moral yang cukup tinggi.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, ini termasuk dalam gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mana rakyat pun tahu apa yang mereka laku.

"Kalau itulah yang dikatakan model ia merupakan model yang paling teruk dalam sejarah Islam," katanya.

Semalam ketika berucap di majlis makan malam Multaqa Pengerusi-pengerusi Biro Agama Umno Peringkat Kebangsaan 2007 di sini Najib dipetik berkata, soal perjuangan untuk agama bukan saja tidak dapat dipisahkan dengan Umno, tetapi Umno benar-benar menyerlah dalam perjuangan untuk membangunkan Islam dalam negara.

Najib juga berkata, umat Islam sekarang bukan saja dapat menjalankan ibadat dengan penuh keselesaan tetapi kepentingan mereka juga sentiasa dibela oleh Umno.

Malah kata, Timbalan Presiden Umno di bawah pimpinan sekarang platform agama Islam tidak lagi dimiliki oleh parti PAS atau mana-mana kumpulan lain kerana umat Islam dapat melihat sendiri kemajuan yang dicapai di bawah pentadbiran Umno.

Bagaimanapun Nasharuddin berkata, Islam bukan hanya sekadar ibadah seperti berada dalam masjid ataupun mengerjakan haji tetapi merangkumi satu sistem iaitu sistem syariah yang mempunyai peraturan dan perundangannya.

Katanya, antara sistem nilai Islam itu adalah hal-hal yang berkaitan dengan moral.

"Kita tidak nampak hal itu dalam Umno malah kepimpinan Umno yang ada sekarang ini semakin meningkat terlibat dengan rasuah dan boleh dikatakan berada di tahap yang cukup maksimum," katanya.

Katanya, penjelasan Najib itu menunjukkan kepimpinan mahu menutup kelemahan yang ada pada mereka dan cuba menimbulkan sesuatu tidak berasas kepada fakta.

"Rakyat boleh lihat bahawa Islam itu tidak dapat dikaitkan dengan Umno dan Umno tidak dapat dikaitkan dengan Islam," dakwanya.

Tambahan pula katanya, ini disebabkan jauh dari segi dasar, perilaku dan yang paling penting pemimpin dalam Umno gagal menangani banyak isu yang berkaitan dengan Islam khasnya di negara ini seperti kes-kes murtad.

"Kita lihat kes-kes yang melibatkan jenayah syariah dan isu-isu itu masih banyak yang tidak dapat dibela Umno sedangkan Umno sudah memerintah 50 tahun," katanya. - mks

SPR tidak patut buat garis panduan baru tanpa runding pembangkang

Helmi Khalid
Wed | Oct 31, 07 | 4:25:00 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - PAS bersedia mengikuti garis panduan baru yang bakal diperkenalkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) tetapi tidak kepada perkara yang menguntungkan Umno dan Barisan Nasional.

Demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar mengenai pengumuman SPR yang akan memperkenalkan beberapa garis panduan mengenai saiz dan tempat khas pemasangan poster calon dan parti ketika kempen Pilihan raya Umum ke 12 nanti.

Menurut Mahfuz, bagaimanapun perkara tersebut mestilah dibincangkan dan mendapat persetujuan semua parti sebelum ia diperkenalkan, SPR tidak berhak memperkenalkan sesuatu yang baru tanpa pengetahuan parti-parti politik.

Menurut Mahfuz, PAS tidak pernah engkar kepada arahan, sebaliknya pelbagai kesalahan hanya berlaku di pihak petugas Umno dan Barisan Nasional.

"Kalau dia nak perkenalkan sesuatu peraturan baru, SPR mesti panggil parti politik untuk membincangkannya, dia tak boleh pandai-pandai dan SPR tak boleh buat hanya untuk kepentingan parti pemerintah," ujar beliau.

Menjawab pertanyaan wartawan Mahfuz berkata, memang berlaku dalam pilihanraya 2004, petugas BN melanggar peraturan baru mengenai larangan membina bangsal panas, sekalipun dibuat laporan, sehingga hari ini SPR tidak mengambil sebarang tindakan.

Mahfuz berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Pejabat PAS Pusat, di sini tengahari tadi.

Beliau turut mencadangkan agar SPR mengkaji untuk membenarkan semua parti politik berkempen di tempat-tempat tumpuan umum seperti pasaraya, taman rekreasi atau pasar semasa kempen pilihanraya. - mr

Saman RM4.5 juta, mahkamah tolak rayuan Khalid Jafri

Suara KeADILan
Wed | Oct 31, 07 | 12:37:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt - Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan oleh Khalid Jafri Bakar Shah, penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM terhadap saman libel berjumlah RM 4.5 juta yang dianugerahkan kepada Ketua Umum KeADILan,Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Suriyadi Halim Omar, Zainun Ali dan Wan Adnan Muhamad semalam menolak rayuan Khalid selepas dimaklumkan oleh kaunsel V. Rajasingam bahawa dia tidak menerima apa-apa arahan untuk meneruskan rayuan daripada Rozihan A. Ghani, isteri penulis buku, yang merupakan appellate kedua dalam rayuan tersebut.

Rozihan juga tidak hadir ke mahkamah semalam.

Pada 18 Ogos 2005, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan Anwar RM4 juta kerana saman malu dan RM500,000 untuk konspirasi untuk mencederakan dan beliau diwakili oleh Leela Jesuthasan. - mks.

Koleksi Gambar: Selangor Maju, Rimba Jaya menyembah bumi

Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Oct 31, 07 | 12:28:25 pm MYT

Tanpa belas, tanpa simpati, apa lagi untuk mengendahkan rayuan penduduk kampung, akhirnya penduduk Kampung Rimba Jaya, dekat sini menerima nasib yang sama seperti penduduk Kampung Berembang.

Berikut dipaparkan sebahagian dari detik-detik Rimba Jaya ketika dilenyapkan. Klik pada gambar-gambar berikut untuk melihat dengan lebih jelas.

Perhimpunan Aman Rakyat 10 November - Bersih harap polis tidak panik

Intan Abdullah
Wed | Oct 31, 07 | 11:10:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Bersih beranggapan kenyataan Ketua Polis Wilayah Persekutuan, SAC1 Dato' Zulhasnan Najib Baharuddin mengenai perhimpunan 10 November di Dataran Merdeka menandakan bahawa polis terasa panik dan cemas dengan sambutan rakyat terhadap penganjuran perhimpunan tersebut.

Kenyataan tersebut disiarkan dalam akhbar The Star (halaman N16) semalam.

Dalam kenyataan akhbar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini, sebagai penganjur yang bertanggungjawab, sememangnya bercadang untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai perhimpunan ini sekurang-kurangnya seminggu sebelum perhimpunan ini diadakan bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan logistik supaya perhimpunan tersebut dapat dijalankan dengan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak.

Menurut Penyelaras Sekretariat Bersih, Mohd Faisal Mustafa, memandangkan Zulhasnan telah pun menyatakan pendapat-pendapat beliau kepada media, Bersih mengambil keputusan untuk menghantar surat temujanji untuk bertemu beliau pada 1 November bagi membincangkan persiapan bagi perhimpunan tersebut termasuk perkara-perkara yang menjadi kegusaran pihak polis.

"Bersih juga akan mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam dalam menasihati serta memberikan bantuan kepada semua pihak yang terlibat pada hari tersebut selain memerhatikan keadaan pada hari yang bersejarah itu nanti.

Tegasnya, perkara ini (perhimpunan aman) adalah tertakluk di dalam perlembagaan yakni hak berhimpun yang telah dinyatakan berulang kali oleh Suhakam berkaitan dengan isu hak berhimpun secara aman dalam beberapa siri perhimpunan dan pihak Suhakam sendiri mengadakan beberapa siri perbicaraan awam mengenai hal itu.

Bersih menganjurkan satu perhimpunan awam besar-besaran bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memperolehi pandangan dan komitmen baginda terhadap kempen reformasi pilihan raya serta memastikan pilihan raya akan datang sesuatu yang Bersih dan adil.

Perhimpunan tersebut dijalankan berasaskan hak yang diberikan kepada warganegara Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Faisal ketika dihubungi Harakahdaily memaklumkan bahawa sambutan dan sokongan datang mencurah-curah dengan kewujudan pelbagai laman web dan blog yang dibina atas sebab itu.

Selain itu menurutnya, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa juga telah memberikan jawapan untuk menyertai perhimpunan tersebut dengan cara yang tersendiri di kedutaan Malaysia negara masing-masing.

"Setakat ini, Bangkok, London, Netherland, New York dan Ghana menyatakan sokongan dan persetujuan untuk mengadakan perhimpunan atau sekurang-kurangnya menghantar sokongan secara bertulis," ujarnya.

Faisal turut menyatakan antara faktor yang mendorong rakyat untuk menyertai perhimpunan rakyat itu nanti disebabkan oleh persetujuan yang diberikan oleh Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan arahan daripada pimpinan PAS yang menyeru ahli-ahlinya turun dalam perhimpunan tersebut. - mr

Anwar gesa Majlis Raja-Raja tidak sambung kontrak Tun Fairuz

Azamin Amin
Wed | Oct 31, 07 | 9:59:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 31 Oktober (Hrkh) - "Kredibiliti kehakiman Malaysia sudah berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah 50 kemerdekaan negara. Fakta yang didedahkan di dalam perbualan VK Lingam - Fairuz jelas membuktikan penyelewengan dan korupsi di mana peguam, ahli perniagaan dan ahli politik mempengaruhi perlantikan hakim di peringkat tertinggi di dalam negara ini."

Demikian satu kenyataan media Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan harapan tinggi agar Majlis Raja-Raja dapat memulakan langkah reformasi terhadap badan kehakiman negara dimulai dengan menolak lanjutan khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan reformasi kehakiman yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah semalam sewaktu merasmikan Konferensi Undang-Undang Malaysia ke-14 semalam sebgai begitu sesuai dan tepat pada masanya.

Majlis Raja-Raja dijadualkan mula bersidang semalam sehingga hari ini, 31 Oktober.

Menurut Anwar, reformasi kehakiman menyeluruh adalah sesuai dengan memulakan satu Suruhanjaya Bebas Kehakiman untuk memantau perlantikan hakim.

"Saya menggesa Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan akan bersidang pada 30 dan 31 Oktober ini, memastikan bahawa kedudukan Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan disambung selepas bulan ini," tambah Anwar.

Anwar turut menyifatkan permintaan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan perkhidmatan Fairuz menunjukkan kelemahan pemahaman Abdullah ke atas nilai integriti kepimpinan sebuah negara.

"Lantas ini perlu diubah demi kepentingan negara dan sistem kehakiman itu sendiri." katanya.

Dalam pada itu Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ucapan Tuanku Azlan bahawa sudah sampai masanya negara ini menjalankan reformasi menyeluruh di dalam struktur dan prosedur kehakiman adalah pendekatan paling tepat.

"Baginda yang turut menyentuh betapa beberapa hakim - hakim sewajarnya bebas dan berwibawa serta tidak dipengaruhi oleh bukan sahaja dari pengaruh luar malahan pengaruh sesama hakim sendiri jelas menggambarkan bahawa Baginda turut rimas dan kesal dengan krisis kehakiman yang begitu membimbangkan di Malaysia," jelas Wan Azizah.

Wan Azizah menambah pendedahan klip video skandal perlantikan hakim yang melibatkan peguam VK Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz yang telah mencetus kontroversi dahsyat dijangka akan berakhir dengan satu penutupan secara terancang oleh pihak Eksekutif.

"KeADILan tidak berganjak dalam menggesa penubuhan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat hingga ke akar umbi penyalahgunaan kuasa dalam perlantikan hakim-hakim di dalam negara.

"KeADILan ingin menegaskan kami menyokong sebarang tindakan untuk merayu dan menggesa agar Yang di-Pertuan Agong tidak melanjutkan kontrak Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara," jelas beliau.

Rayuan Khalid Jafri dibatal, ganti rugi RM4.5 juta kekal

Oleh NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 30 Okt. – Ganti rugi saman fitnah berjumlah RM4.5 juta yang diputuskan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal setelah Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan penulis buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM, Datuk Khalid Jafri dan isterinya, Datin Rozihan A. Ghani.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Wan Adnan Muhamad membatalkan rayuan itu atas permintaan peguam perayu.

Peguam V. Raja Singam memaklumkan bahawa pihaknya tidak mendapat arahan lanjut daripada Rozihan mengenai kedudukan rayuan tersebut selepas kematian suaminya malah peguam juga telah terputus hubungan dengan anak guam itu.

Khalid, 65, meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis di Hospital Selayang pada 29 Ogos 2005.

Pada 18 Ogos 2005, Anwar diberi ganti rugi berjumlah RM4.5 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas beliau menang dalam saman fitnahnya terhadap penulis buku tersebut dan isterinya.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memerintahkan supaya Anwar dibayar RM4 juta akibat fitnah dan RM500,000 lagi disebabkan konspirasi.

Pada 20 Januari 2005, Anwar memenangi samannya terhadap Khalid Jafri @ Khalid Jafri Bakar Shah (defendan pertama) dan isterinya, Datin Rozihan A. Ghani (defendan kedua) yang merupakan penerbit Media Pulau Lagenda atas dakwaan menulis kata-kata fitnah terhadapnya.

Dalam saman yang difailkan pada 18 Jun 1998, Anwar mendakwa kandungan buku yang ditulis oleh Khalid adalah sesuatu yang jahat, palsu dan memfitnah dirinya.

Isu ekonomi Melayu Pulau Pinang tetap dibahas

Oleh SAHBULAH DARWI

BUTTERWORTH 30 Okt. – UMNO Pulau Pinang akan memastikan isu pencapaian ekonomi orang Melayu di negeri itu terus diberi perhatian dalam perbahasan para perwakilan pada Perhimpunan Agung parti yang bermula Isnin ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata, walaupun kedudukan sosioekonomi orang Melayu di negeri ini jauh lebih baik dibandingkan dengan beberapa negeri, banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memperbaiki kedudukan tersebut.

‘‘Di Pulau Pinang, walaupun orang Melayu tertinggal berbanding orang Cina, tetapi ekonomi orang Melayu negeri ini adalah baik berbanding di sesetengah negeri contohnya, Kelantan.

‘‘Tetapi UMNO perlu memikirkan bagaimana orang Melayu boleh bergerak lebih pantas supaya sama kelajuannya dengan orang Cina,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tahap pencapaian ekonomi orang Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir dalam arus kemajuan negeri.

Abdul Rashid berkata, UMNO perlu memberi tumpuan kepada soal penyertaan orang Melayu dalam aktiviti ekonomi, perniagaan, korporat, pelajaran dan modal insan secara menyeluruh.

‘‘Sebagaimana yang pernah disarankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) bahawa fokus pembangunan negara bukan setakat mencapai wawasan 2020 tetapi hingga ke 50 tahun akan datang.

‘‘UMNO juga perlu menetapkan fokus yang lebih panjang iaitu sekurang-kurangnya 50 tahun lagi untuk pembangunan orang Melayu di setiap negeri,’’ katanya.

Beliau berkata, tempoh masa untuk mencapai sasaran penguasaan bumiputera sebanyak 30 peratus dalam kek ekonomi negara perlu dinilai semula supaya ia dilihat dalam jangka masa yang panjang iaitu sekurang-kurangnya 50 tahun.

Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata, terpulang kepada para perwakilan yang sememangnya amat matang dalam isu tersebut untuk menentukannya.

Beliau berkata, mesyuarat badan perhubungan UMNO negeri baru-baru ini memilih Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir untuk membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO.

Menurutnya, Ketua UMNO Bahagian Tanjung, Datuk Ahmad Ibnihajar pula membahaskan usul ekonomi dan pendidikan manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Pirdaus Ismail dijangka membahaskan usul agama dan so

Bukan tempat raih populariti

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pemimpin UMNO diingatkan supaya tidak menjadikan perhimpunan agung parti minggu depan sebagai medan mencari pengaruh atau meraih sokongan untuk dicalonkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak yang berhasrat berbuat demikian harus membatalkan niat tersebut kerana ada agenda yang lebih penting dan perlu diberi tumpuan sepanjang perhimpunan itu.

Dalam suasana pilihan raya semakin hampir, katanya, semua pemimpin di semua peringkat perlu lebih fokus dalam setiap perbahasan dan bukannya mengambil kesempatan menonjolkan diri.

‘‘Kalau itulah niat mereka (meraih sokongan) bagi saya mereka telah melakukan satu kesilapan. Pemilihan parti kita masih jauh dan masih banyak lagi agenda yang harus diberi tumpuan.

‘‘Antara yang terpenting ialah persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya akan datang,’’ katanya selepas menyempurnakan majlis penutup Cabaran Teknologi F1 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan terdapat pemimpin atau perwakilan yang dikatakan akan menjadikan perhimpunan minggu depan sebagai platform meraih populariti untuk dicalonkan pada pemilihan parti akan datang.

Hishammuddin berkata, kemungkinan itu tidak mustahil berlaku kerana terdapat segolongan pemimpin yang terpaksa melepaskan jawatan kerana sudah melepasi had umur.

Beliau berkata, seperti Pemuda, kira-kira 57 peratus daripada pemimpin pergerakan itu telah melebihi had umur dan barisan pemimpin pelapis akan menggantikan mereka.

‘‘Saya nasihatkan kepada pemimpin pelapis agar tidak gopoh dan mereka harus bersabar. Sekarang bukan masanya untuk kita memikirkan soal jawatan sebaliknya kita harus fikirkan cara mana untuk kita mengukuhkan lagi parti kita.

‘‘Kita harus sedar bahawa usaha untuk kita menguatkan parti seperti yang ada pada hari ini bukannya mudah. Sejak krisis politik pada tahun 1999, kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran untuk kita menguatkan semula parti,’’ tambahnya.

Perhimpunan: PM dijangka sentuh pilihan raya

BANGKOK, 30 Okt – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyentuh mengenai persiapan pilihan raya umum dalam ucapan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu bulan depan.

Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Abdullah juga dijangka memberi penekanan kepada pentingnya semua komponen Barisan Nasional mengeratkan kerjasama sedia ada bagi menimbulkan “mood” yang sesuai supaya BN mencapai kejayaan lebih cemerlang pada pilihan raya umum nanti.

“Sudah pasti ucapan dasar presiden akan menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya kerana kepimpinan parti telah mengingatkan semua ahli tentang hal ini sejak tahun lepas,” katanya selepas melawat Royal Citralada Projects di Istana Chitralada di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Abdullah juga dijangka mengingatkan semua anggota UMNO mengeratkan kerjasama dengan parti-parti komponen, menyemak pendaftaran pemilih, menangani masalah yang berbangkit dan mengotakan janji-janji pilihan raya lepas yang belum disempurnakan.

Ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak menyiarkan secara langsung perhimpunan itu dari 5 hingga 9 November ini, beliau berkata media massa masih boleh melaporkan perbahasan sepanjang perhimpunan itu yang dijangka dihadiri lebih 2,500 anggota perwakilan dari 190 bahagian UMNO.

Beliau berkata walaupun tidak ada arahan untuk menyekat topik perbahasan, kepimpinan UMNO tidak mahu perhimpunan itu dijadikan tempat untuk membidas kaum lain.

“Satu perkara asas ialah jangan membuat tuduhan sembarangan yang boleh menyebabkan pandangan bahawa UMNO dan orang Melayu tidak terbuka atau tidak mengambil kira sensitiviti bangsa lain,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata apabila seseorang pembahas membangkitkan nasib orang Melayu, perbandingan dengan kaum-kaum lain tidak dapat dielakkan tetapi ia hendaklah dibuat secara rasional dan berniat baik.

Yang penting katanya ialah untuk menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa UMNO sebagai teras BN berjuang untuk membina negara yang kukuh untuk semua kaum dan bukannya berfikiran sempit atau menyokong satu pihak sahaja.

“Sebab itu perhimpunan ini merupakan tempat untuk mengingatkan satu sama lain bagaimana parti-parti BN perlu bekerjasama lebih rapat dan tidak menyinggung perasaan yang lain.

“Ia perlu mencerminkan UMNO, sebagai teras BN, masih kukuh, hubungan padu dengan semua komponen masih baik dan berjuang untuk membela nasib ekonomi dan sosial, dan meningkatkan perpaduan kaum,” kata Muhyiddin.

– Bernama

Perhimpunan Agung Umno 2007: Sedia buat anjakan pemikiran

Oleh Amirullah Andi Nur

Najib ingatkan ahli Umno bekerjasama bantu pemimpin jayakan agenda parti

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan ahli Umno supaya sentiasa bersedia untuk melakukan anjakan pemikiran selaras dengan gagasan Islam yang mewajibkan umatnya berbuat perubahan.

Timbalan Perdana Menteri berkata anjakan itu adalah bersesuaian dengan intipati perjuangan parti agar ia terus relevan dan diterima rakyat selain dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai tunjang kerajaan.

Dalam konteks ini, beliau memberi contoh mengenai perlunya pemimpin dan ahli parti menunaikan setiap janji yang dibuat agar rakyat tidak marah selain melaksanakan tanggungjawab dipikul dengan bersungguh-sungguh.

"Janganlah kita (ahli Umno) hanya tahu duduk minum kopi sehingga tiga atau empat jam, mengutuk setiap wakil rakyat. Kalau kita masih lakukan ini semua, maka kita tidak lagi mengamalkan perintah tuhan," katanya berucap pada jamuan makan malam Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama peringkat kebangsaan di sini, malam tadi. Program dua hari yang bermula semalam dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Kementerian Penerangan.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan permohonan Jasa untuk menambah bilangan kakitangannya bagi ditempatkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata umat Islam di negara ini boleh berbangga kerana di bawah pentadbiran Umno, nasib mereka terus terbela dan maju.

"Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita dapat lihat perjuangan Umno untuk agama, bangsa dan negara berjaya membentuk keyakinan rakyat, sehinggakan perjuangan itu tidak dapat dipisahkan dengan parti," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kejayaan Malaysia menghantar angkasawan dan pembelian kapal selam KD Tunku Abdul Rahman membuktikan kemampuan masyarakat Islam negara ini.

Sementara itu di Subang, Najib yang juga Menteri Pertahanan melahirkan penghargaan kepada pasukan pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menganggotai Kontinjen Malaysia (Malcon I) ke Lubnan, kerana berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Beliau ketika berucap pada majlis sambutan ketibaan 280 anggota Malcon I di Pangkalan Tentera Udara Malaysia berkata, dengan kecemerlangan yang diperoleh dapat memastikan ATM meneruskan tradisi untuk berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sabah hantar 300 perwakilan

KOTA KINABALU: Tiga sayap Umno di Sabah iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri menghantar 300 perwakilan mewakili 25 bahagian Umno seluruh negeri pada Perhimpunan Agung Umno ke-58 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula Isnin ini.

Wanita akan membahaskan tiga usul utama iaitu perpaduan kaum, perkongsian kuasa dan pemantapan institusi kekeluargaan mulai sekarang sehingga 2057, Pemuda Umno memberi tumpuan terhadap ekonomi dan politik, manakala Puteri Umno menjurus kepada pengwujudan Puteri Barisan Nasional (BN), isu wanita wanita dan kanak-kanak serta jatidiri wanita muda selepas 2057.

Ketua Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin, berkata Ketua Wanita Umno bahagian Tuaran, Jamaliah Antalip, dipilih sebagai jurucakap untuk membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz serta membawa usul dari Sabah.

Pembahas elak cetus isu perkauman

MELAKA: Jangan sekali-kali sentuh isu berbau perkauman, sebaliknya fokus kepada agenda Melayu, agenda nasional dan kandungan perbahasan perlu bernas dan berisi demi memperjuang dan memartabatkan kedudukan orang Melayu.

Itulah pesanan veteran Umno, Tan Sri Aziz Tapa kepada 2,522 perwakilan yang akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Perhimpunan Agung Umno 2007, minggu depan.

Aziz, 84, berkata, setiap pembahas perlu menyampaikan mesej secara halus tetapi sarat dengan makna, bukannya menggunakan pendekatan yang boleh mencetuskan rasa kurang senang kaum lain.


Beliau turut menyampaikan pesanan dalam bentuk pantun kepada perwakilan: "Dari Chemor pergi ke Dili; Di Pasar Seberang ayam berlaga; Umno tak boleh di jual beli; Bukan barangan untuk diniaga.

"Di Pasar Seberang ayam berlaga; Kepak terkapar patah tajinya; Umno Bukan barangan untuk diniaga; Kalau di cabar nyawa padahnya".

Beliau berkata, pantun itu membawa maksud bahawa kata-kata lebih tajam dan lebih kuat daripada sebarang gimik dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Pemuda Umno jangan menggunakan gimik mencium keris Panca Warisan ketika perasmian Mesyuarat Agung Pemuda Umno seperti pada perhimpunan lalu.

"Jangan guna gimik cium keris kerana ia boleh mencetuskan isu perkauman. Kita nak jaga perpaduan dan keharmonian kaum yang telah kita pertahankan sepanjang 50 tahun negara merdeka," katanya.

Tumpukan pencapaian, jaya Misi 2057

MELAKA: Perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno minggu depan tidak seharusnya hanya membahaskan masalah sampingan serta perkara yang boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan, sebaliknya menumpukan kepada pencapaian dan kejayaan Umno membela nasib rakyat serta usaha membantu menjayakan Misi 2057.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata sebagai penyokong utama kerajaan, perwakilan diminta bersama-sama mengetengahkan kejayaan dan pandangan mereka melaksanakan Misi Nasional, Wawasan 2057 serta memperkukuhkan kekuatan parti menghadapi pilihan raya umum.

"Sudah tentu perbincangan kali ini akan mendapat liputan meluas dan rakyat juga akan tahu kejayaan kita. Apabila mereka dapat difahamkan, sudah tentu ia membantu kita menghadapi pilihan raya.


"Perkara yang boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan eloklah dielakkan," katanya selepas menghadiri jamuan raya Kelab Sukan dan Kebajikan Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Ismail Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Yaakub Md Amin dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Md Yunos Husin.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, perwakilan diminta tidak asyik mengeluh terhadap pencapaian dan nasib orang Melayu saja sedangkan mereka mempunyai peluang untuk sama-sama terbabit bagi membincangkan masalah itu.

Pemuda saran bukan masa sesuai lobi pemilihan

Oleh Azman Zakaria



KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan perwakilan perhimpunan agung parti minggu depan supaya tidak cuba mengambil kesempatan melobi, berkempen dan meraih sokongan bagi pemilihan parti akan datang.

Katanya, jika ada yang hendak mengambil kesempatan daripada kehadiran ramai perwakilan untuk mendapatkan sokongan, sebenarnya melakukan kesilapan kerana senario di peringkat bahagian dan akar umbi akan berubah berikutan ada muka baru selepas pilihan raya umum.


"Mungkin orang yang berkempen itu pun tak akan ada ketika pemilihan nanti. Nasihat saya tumpukan perjuangan parti kerana pemilihan jauh lagi kerana kita akan ada pilihan raya dulu," katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan F1 In Schools di sini, semalam.

Perhimpunan agung Umno 2007 akan diadakan dari 5 hingga 9 November ini.

Beliau juga berkata, sebahagian besar pemegang jawatan dalam Exco Pemuda Umno dan ketua Pemuda Bahagian tidak dapat memegang jawatan kerana melepasi umur 40 tahun pada pemilihan akan datang.


"Kira-kira 57 peratus akan melepasi had umur. Jika ada yang hendak mengambil kesempatan sebenarnya silap kerana selepas perhimpunan agung kita akan berdepan pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, tumpuan mesti diberikan kepada pilihan raya umum bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

"Jika kita menang dalam pemilihan parti pun tapi parti kalah pilihan raya, ia tak akan beri apa-apa makna kerana betapa tinggi jawatan yang kita pegang dalam parti yang tidak diiktiraf, dihormati dan disokong orang ramai," katanya.

Ucapan dasar fokus pilihan raya

BANGKOK: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau menjangka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyentuh mengenai persiapan pilihan raya umum dalam ucapan Perdana Menteri selaku Presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu, bulan depan.

Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno, berkata Abdullah dijangka memberi penekanan kepada pentingnya semua komponen Barisan Nasional (BN) mengeratkan kerjasama sedia ada bagi menimbulkan 'mood' yang sesuai supaya BN mencapai kejayaan lebih cemerlang pada pilihan raya umum nanti.

"Sudah pasti ucapan dasar presiden akan menyentuh persiapan menghadapi pilihan raya kerana kepemimpinan parti sudah mengingatkan semua ahli mengenai hal ini sejak tahun lalu,� katanya selepas melawat Royal Citralada Projects di Istana Chitralada, di sini semalam.


Muhyiddin berkata, Abdullah juga dijangka mengingatkan semua anggota Umno mengeratkan kerjasama dengan parti komponen, menyemak pendaftaran pemilih, menangani masalah yang berbangkit dan mengotakan janji pilihan raya lalu yang belum disempurnakan.

Ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk tidak menyiarkan secara langsung perhimpunan itu dari 5 hingga 9 November ini, beliau berkata, media massa masih boleh melaporkan perbahasan sepanjang perhimpunan itu yang dijangka dihadiri lebih 2,500 anggota perwakilan daripada 190 bahagian Umno.

Beliau berkata, walaupun tidak ada arahan untuk menyekat topik perbahasan, kepemimpinan Umno tidak mahu perhimpunan itu dijadikan tempat untuk membidas kaum lain.

"Satu perkara asas ialah jangan membuat tuduhan sembarangan yang boleh menyebabkan pandangan bahawa Umno dan orang Melayu tidak terbuka atau tidak mengambil kira sensitiviti bangsa lain," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, apabila seseorang pembahas membangkitkan nasib orang Melayu, perbandingan dengan kaum lain tidak dapat dielakkan tetapi ia hendaklah dibuat secara rasional dan berniat baik. � Bernama

UMNO serlah ketamadunan Islam

KUALA LUMPUR 30 Okt. – UMNO sebagai tampuk pemerintahan di negara ini berjaya menyerlahkan Islam sebagai sebuah agama yang amat mementingkan kegemilangan pembangunan tamadun serta ilmu pengetahuan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, ia terbukti apabila buat pertama kalinya Malaysia berjaya menghantar angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszpahar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa lepas pada 10 Oktober lalu.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan untuk membeli kapal selam jenis Scorpene dari Perancis juga membuktikan kepada dunia bahawa sebuah negara Islam mampu memilikinya.

‘‘Jangan kata ada pihak tertentu yang majukan Islam. Sebenarnya UMNO yang majukan Islam. Kita berjaya serlah Islam sebagai sebuah agama yang amat menumpukan kepada pembangunan sebuah tamadun dan ilmu.

‘‘Sebagai contoh, pemergian Dr. Sheikh Muszpahar ke angkasa lepas adalah untuk meneroka ilmu-ilmu baru terutama yang berkaitan dengan bidang angkasa. Bukankah Islam menggalakkan kita mempelajari ilmu-ilmu seperti ini?’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Multaqa Pengerusi-Pengerusi Biro Agama Peringkat Kebangsaan 2007 di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Mohamed Amin Salih.

Najib berkata, UMNO juga tidak terlepas untuk meneruskan peranannya sebagai sebuah parti memajukan Islam dalam konteks ibadat-ibadat khusus.

‘‘Dalam kita memperjuangkan Islam dua perkara ini terus menjadi agenda perjuangan UMNO. Dalam kita merancakkan usaha membangunkan tamadun Islam kita tetap membina masjid-masjid baru untuk kemudahan umat Islam.

‘‘Kita mahu umat Islam di negara ini kuat dari segi fizikal dan rohani atau dalam erti kata lain sebagai mereka yang beriman. Inilah kategori umat yang dimaksudkan oleh Rasulullah,’’ katanya.

Beliau berkata, cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan j-QAF iaitu Jawi-al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain adalah sejajar dengan tuntutan Islam untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang mempunyai asas-asas iman dalam diri mereka.

Roboh surau, kuil Kg. Rimba Jaya arahan mahkamah

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meroboh kuil, surau dan beberapa rumah di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam hari ini adalah atas arahan mahkamah.

Katanya, beliau telah bercakap dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mengenai perkara itu dan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana tanah itu milik Kerajaan Persekutuan dan mahkamah telah memerintahkan agar mereka yang mendudukinya mengosongkan kawasan itu.

Malah, kerajaan turut bersedia menawarkan rumah kepada mereka yang terlibat tetapi ada yang berkeras dan tidak mahu berpindah ke tempat lain, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU) di sini hari ini.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kekecohan yang timbul berikutan kerja-kerja merobohkan kuil di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam di sini.

MBSA memulakan kerja meroboh kira 200 rumah, surau dan kuil di kampung itu sejak pagi tadi, bagaimanapun pada pukul 3 petang timbul sedikit kekecohan.

Samy Vellu berkata, MBSA bukan sahaja merobohkan kuil di situ tetapi juga surau berikutan arahan mahkamah.

Bagaimanapun, pihak tertentu cuba menimbulkan ketegangan dengan menggunakan isu itu di kalangan penduduk tempatan.

Sementara itu di SHAH ALAM, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Noor berkata, operasi merobohkan kuil itu terpaksa ditangguhkan selama dua hari selepas mendapat tentangan daripada masyarakat tempatan.

Tindakan merobohkan kuil itu adalah sebahagian daripada operasi meroboh baki 308 unit rumah setinggan di kawasan terbabit.

Rumah setinggan itu sepatutnya dirobohkan pada 2005 tetapi gagal dilaksanakan berikutan tindakan penduduk terbabit memohon injunksi mahkamah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Oktober lalu menolak injunksi itu sekali gus membenarkan operasi merobohkan baki unit setinggan itu dijalankan.

Beliau menambah, pihaknya turut menyediakan tapak kuil baru bersebelahan dengan tapak setinggan itu.

Kekecohan memuncak sejurus Samy Vellu tiba di lokasi untuk berunding dengan penduduk apabila beliau dihambur dengan kata-kata kesat oleh penduduk berkenaan.

Berikutan itu, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan air pemedih mata ke arah kumpulan penduduk yang berkumpul di pekarangan kuil sambil mengarahkan mereka bersurai.

Pemuda UMNO Besut mahu dedah penyelewengan pembangkang

BESUT 30 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut akan mendedahkan penyelewengan dan pembohongan yang dilakukan oleh Pas ketika memerintah Terengganu jika kepimpinan parti itu berterusan memburuk-burukkan UMNO kepada rakyat.

Ketuanya, Hasmadi Hassan berkata, fitnah dan tuduhan melulu yang sengaja dilemparkan kepada UMNO oleh Pas yang ketiadaan isu sejak akhir-akhir ini tidak akan dibiarkan berterusan.

Menurutnya, Pemuda UMNO sedar Pas yang kekeringan isu kini berhempas pulas untuk mengelakkan ahli dan penyokongnya meninggalkan parti itu yang sudah terpesong dari perjuangan asal mereka.

Menurutnya, bukti kegiatan Pas itu dapat dilihat apabila pemimpin mereka menjadikan beberapa surau dan markas parti di daerah ini sebagai tempat untuk mendirikan solat Jumaat.

“Ahli dan penyokong mereka diajak meninggalkan masjid yang didirikan kerajaan kononnya masjid ini haram untuk bersembahyang Jumaat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Pemuda UMNO Bahagian Besut di Medan Selera Bandar Jertih dekat sini semalam.

Hasmadi berkata, penyelewengan yang dilakukan ketika memerintah dan tindakan memburuk-burukkan parti lain oleh Pas sejak kalah pada pilihan raya lalu dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar bagi sebuah parti yang mendakwa mendaulatkan Islam.

Menurutnya, Pas sudah kembali kepada perangai lama dengan mengharamkan apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti yang berlaku pada era 1970an.

Ketika itu jelas Hasmadi, perpecahan di kalangan umat Islam berlaku kerana fatwa karut yang dikeluarkan oleh pemimpin Pas bagi menegakkan perjuangan politik sempit dan bukannya untuk kemajuan agama, rakyat dan negara.

“Ahli dan penyokong Pas boleh menilai sendiri sejauh mana pemimpin mereka memperjuangkan nasib rakyat semasa memerintah Terengganu selama empat setengah tahun bermula tahun 1999.

“Bandingkan pula corak kehidupan pemimpin Pas yang kini hidup mewah tetapi sentiasa meminta ahli dan penyokong mereka berkorban harta benda untuk parti, ”jelasnya.

Lebih menyedihkan katanya, ada kalangan ahli dan penyokong Pas yang mendapat bantuan daripada kerajaan UMNO diracuni fikiran mereka kononnya bantuan tersebut haram dan tidak boleh diterima.

Katanya, rakyat tidak seharusnya ditipu dengan gelagat pemimpin Pas yang hanya mencari isu politik murahan dengan memburuk-burukkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tambahnya, isu rekaan Pas akan bertambah lebih-lebih lagi pilihan raya umum semakin hampir yang menjadikan Pas gelisah untuk berdepan dengan kebenaran dan keikhlasan yang dibawakan oleh pemimpin UMNO.

'Kesahihan klip video mesti dibukti'

"Kerajaan tidak boleh menyiasat semua tuduhan tetapi saksi enggan tampil memberi bukti atau bersedia disoal siasat. Ini perbuatan sia-sia yang merugikan.

"Perdana Menteri sendiri sudah memberi jaminan pemberi maklumat akan dilindungi. Jadi, saya tidak tahu kenapa mereka yang berkenaan masih sangsi," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat.

Nazri, yang tidak menang tangan melayan pelbagai persoalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), menyuarakan keyakinan kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika klip video itu terbukti sahih.


Mengenai keputusan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil tindakan terhadap penasihat Parti Keadilan Nasional (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 22(1)(b) dan 22(1)(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997, Nazri berkata ia hanya bertujuan membantu siasatan.

Katanya, kerajaan tidak mahu rakyat bertanggapan negatif bahawa pihak berkuasa enggan mengambil tindakan sedangkan mereka yang membuat dakwaan atau mengeksploitasi isu itu enggan membantu siasatan.

Beliau juga menafikan dakwaan Lim bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh membanteras rasuah kerana statistik membuktikan sebaliknya.

Jumlah kes yang disiasat BPR bertambah sekali ganda daripada 663 kes pada 2001 kepada 1,317 kes tahun lalu, manakala mereka yang ditahan meningkat 77 peratus daripada 318 pada 2001 kepada 546 tahun lalu.

Beliau berkata, kejayaan pendakwaan juga bertambah baik berbanding kurang 50 peratus beberapa tahun lalu kepada 74 peratus tahun lalu.

"Pada hakikatnya, rekod ini membuktikan BPR bebas melaksanakan tugas secara telus dan terbuka tanpa perlu takut atau terhutang budi kepada sesiapa, tidak kira sama ada anggota kerajaan, ahli Parlimen atau orang awam," katanya.

Mengenai pelantikan ahli Umno dan penasihat undang-undang parti itu, Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Nazri berkata itu tidak bermakna kebebasan badan kehakiman terjejas.

Katanya, pelantikan itu memenuhi syarat Artikel 123 Perlembagaan Persekutuan dan Zaki bukannya anggota parti aktif, sebaliknya hanya terbabit dalam mendengar kes disiplin membabitkan ahli.

Malah, Nazri berkata, beban yang digalas Zaki lebih berat kerana setiap gerak geri dan penghakimannya diperhati rapi oleh masyarakat umum berikutan hubungannya sebelum ini dengan Umno.

Terdahulu, Karpal mendakwa selaku bekas penasihat undang-undang Umno, Zaki mungkin berat sebelah dalam kes membabitkan kepentingan Umno atau kerajaan.

Lim pula mendakwa pelantikan Zaki adalah permulaan ke arah mewujudkan Ketua Hakim Umno pada masa depan.

Mahathir, Abdullah Badawi bertanggungjawab 'mereputkan' badan kehakiman

Mohamed Hanipa Maidin
Wed | Oct 31, 07 | 10:36:35 am MYT

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Suffian semasa merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia pada 10 Oktober 1991 antara lain menyatakan:

" Our judiciary in our country is supposed to be independent.. Well you know what the position is today regardless of what individual judges think and feel -and they are honest man. Public confidence in judiciary has been seriously eroded and it will take a whole generation before the damage done can be remedied."

(Terjemahan : Badan Kehakiman di negara kitasepatutnya bebas. Tapi kamu semua tahu keadaannya padamasa ini tanpa mengira mana-mana hakim fikirkan ataurasakan - dan mereka (para hakim) adalah orang-orangyang jujur. Keyakinan masyarakat terhadap badankehakiman telah terhakis secara serius dan iamemerlukan satu generasi sebelum kerosakan yangberlaku dapat dibaiki semula")

Episod terbaru yang menyaksikan perbualan telepon antara Dato' V.K Lingam dan Ketua Hakim Negara (Tun Ahmad Fairuz) secara jelas mengesahkan semula apa yang dinyatakan oleh Tun Suffian di atas.

Satu fakta yang tidak boleh dipertikaikan adalah segala kerosakan terhadap badan dan sistem kehakiman berlaku di zaman BN memerintah.

Ini bermakna hujah yang menyatakan insiden ini berlaku dalam zaman Mahathir adalah tidak relevan. Mahathir dan Abdullah Badawi adalah pemimpin Umno.

Jika Mahathir mungkin boleh dikaitkan sebagai tokoh yang merosakkan badan dan sistem kehakiman Abdullah pula tidak boleh lari dari tuduhan sebagai tokoh yang merestui kerosakkan sistem kehakiman tersebut.

Kita tentu masih ingat bagaimanana Kerajaan Abdullah secara angkuh menolak saranan mengkaji semula kes Tun Salleh Abas meskipun didesak oleh Majlis Peguam.

Tidakkah ini menunjukkan bahawa Abdullah Badawi merestui pemecatan Tun Salleh Abas meskipun seluruh dunia tahu pemecatan tersebut tidak sah dan dipengaruhi oleh unsur politik.

Hatta semasa Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berada di dalam kabinet Mahathir beliau juga enggan bertemu rombongan beberapa badan antarabangsa yang terdiri daripada (International BarAssociation - IBA), Centre for the Independent ofJufges and Lawyers of the International Commission ofJurists (CIJL) , the Commonwealth Lawyer'sAssociation (CLA) dan Union Internationale desAvocats (UIA).

Badan-badan ini ditugaskan untuk membuat kajian terhadap kebebasan kehakiman.

Ini dinyatakan secara jelas di dalam laporan misi tersebut yang bertajuk "Justice in Jeopardy : Malaysia 2000 ".

Laporan itu menyatakan "repeated attempts were also made to arrange meeting with ...Datuk Abdullah Ahmad Badawi, Deputy Prime Minister , but without sucesss."

Penubuhan Jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Haidar untuk mengkaji video tape perbualan telepon antara V.K Linggam tidak boleh sama sekali dilihat sebagai satu usaha rejim Abdullah untuk membaiki sistem kehakiman yang dah terlalu reput tersebut.

Bagi rakyat Jawatankuasa tersebut hanyalah ibarat harimau tua yang tidak bergigi dan bertaring yang lebih menyerupai harimau mainan.

Abdullah memikul tanggungjawab untuk menyiasat antara lain kes -kes berikut yang secara jelas melemahkan integriti dan menghakis keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman di negara ini.

a. Kes surat Dato Ahmad Idid yang mengandungi tuduhansalah laku dan rasuah beberapa orang hakim.

Surat tersebut ditulis pada tahun 1996. Surat tersebut mengandungi 112 tuduhan yang terdiri daripada 39 kes tuduhan rasuah, 21 tuduhan salah guna kuasa dan 52 tuduhan salah laku (misconduct) dan amalan tidak bermoral.

Meskipun Peguam Negara pada masa itu pada mulanya bersungguh berjanji kepada rakyat untuk mendakwa penulis surat tersebut tapi pada 9 Julai 1996 apabila Peguam Negara mengumumkan keputusan penyiasatan polis tersebut beliau hanya menyatakan hakim yang menulis surat tersebut telah meletakkan jawatan .

Peguam Negara juga menyatakan bahawa beliau tidak akan mendakwa hakim tersebut.

Di dalam sidang akhbarnya Peguam Negara mengakui bahawa terdapat keterangan yang mencukupiuntuk mendakwa namun bagi beliau persaraan hakim tersebut sudah mencukupi sebagai satu hukuman ke atas hakim tersebut.

b. Kes Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar yang mengakui berjumpa dengan Tan Sri Loy di pejabatnya ketika mana kes yang melibatkan syarikat Tan Sri Loy masih dalam pendegaran rayuan di Mahkamah Agung dan Tun Hamid adalah salah seorang hakim yang terlibat mendengar permohonan intelokutori syarikat Tan Sri Loy dan memberikan keputusan memihak kepada Tan Sri Loy .

c. Kes Ayer Molek (iaitu kes Ayer Molek Rubber Co Bhd v Insas Bhd) yang juga melibatkan peguam V.K.Linggam.

Fakta kes ini antara lain adalah pada 10 hb April 1995 pihak Plaintif telah membuat permohonan secara ex parte (sebelah pihak) dan mendapat satu perintah injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perintah itu memaksa Defendan untuk mendaftar perpindahan saham syarikat Ayer Molek Rubber Co.

Seterusnya mengeluarkan sijil saham yang baru ke atas nama Plaintif dalam masa dua hari bekerja selepas menerima sijil saham tersebut.

Meskipun menjadi amalan permohonan seperti yang dipohon oleh Plaintif itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang (commercial division) namun dalam kes ini Plaintif melanggar amalan tersebut dengan memfailkan permohonannya di Bahagian Rayuan Dan Kuasa-Kuasa Khas.

Perintah injunksi telah diserahkan kepada Defendan pada 11 hb April 1995 dan pada 12 hb April 1995 Defendan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah tersebut yang sepatutnya didengar pada 13 hb April 1995.

Namun pada 13 hb April 1995 Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pendengaran permohonan Defendan tersebut kepada 27 hb April 1995.

Ini mengakibatkan Defendan terpaksa melakukan perpindahan saham tersebut dan permohonan Defendan untuk menggantungkan perintah injunksi tersebut telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggii iaitu Dato' Azmeel Ma'moor (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Plaintif telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Hakim N.H.Chan yang mmberikan penghakiman bertulis telah mengkritik secara keras tindakan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dengan kata-kata berikut :-

"This is a case about injustice which has been perpetrated by a court of law . This is also a case about abuse of the process of the High Court.."

(Terjemahan : Ini adalah kes di mana ketidakadilan dilakukan oleh Mahkamah sendiri dan ini juga adalah kes tentang penyalahgunaan proses Mahkamah Tinggi).

Hakim N.H. Chan juga menyelar V.K Linggam sebagaipeguam yang tidak beretika dan menyatakan tindakan beliau memfailkan permohonan anakguamnya di bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan bukannya di bahagian Dagang mewujudkan satu persepsi bahawa terdapat amalan" judge shopping" (membeli -belah hakim ).

Hakim N.HChan juga menukilkan kata-kata Shakespeare di dalam Hamlet iaitu " something is rotten in the State of Denmark" yang secara tersirat merujuk kepada Wisma Denmark di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terletak pada masa itu.

Tindakan Hakim N.H Chan yang menyelar Hakim MahkamahTinggi dan peguam V.K Linggam bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Tun Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara ketika itu yang secara jelas membela tindakan Hakim Mahkamah Tinggi dan peguam V.K Linggam.

Meskipun sepertimana yang dijangkakan Tun Eusoff Chin pasti membela VK. Linggam di dalam kes tersebut (bukankah mereka berdua bergambar dengan tangan berpelukan di New Zealand?) beliau sebagai Ketua Hakim Negara.

Bagaimanapun telah melakukan satu kesilapan yang memalukan apabila membenarkan Hakim Mahkamah Tinggi (yang tidak layak untuk menjadi penel hakim Mahkamah Persekutuan) untuk menjadi anggota Panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan anakguam V.K Linggam tesebut.

Ini secara jelas bercanggah dengan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bayangkan bagaimana seorang Ketua Hakim Negara tidak mengetahui perkara asas Perlembagan Persekutuan.

d. Kes Percutian Tun Eusoff Chin dan V.K Linggam.

Sehingga kini laporan Bowlan yang menunjukkan bukti-bukti kuat tentang hal tersebut tidak diketahui nasibnya.

e. Kes arahan Tun Eusoff Chin kepada Hakim Dato'Mohammad Kamil Awang untuk menolak petisyen pilihanraya Likas.

Hal ini dinyatakan secara jelas oleh Hakim Mohammad Kami Awang dalam penghakimannya ketika membenarkan petisyen pilihanraya yang membatalkan keputusan pilihanraya Likas yang penuh dengan tuduhan pengundi hantu. - mr