Tuesday, November 06, 2007

Presiden dituduh mungkir janji

ISLAMABAD 5 Nov. – Ikrar Presiden Pervez Musharraf untuk melepaskan jawatan sebagai ketua tentera dan menjadi seorang pemimpin awam kini “dalam keadaan terawang-awang” berikutan perisytiharan perintah darurat kelmarin.

Timbalan Menteri Penerangan, Tariq Azeem hari ini berkata, Pervez memberi jaminan kepada Mahkamah Agung beliau akan melepaskan jawatan tenteranya sebelum mengangkat sumpah sebagai Presiden tetapi isu itu sekarang belum dapat diperjelaskan.

Pervez pada September lalu berkata, beliau akan melepaskan peranannya dalam tentera sebelum mengangkat sumpah untuk penggal kedua selepas memenangi pemilihan Presiden pada 6 Oktober lepas.

Langkah itu dijangka diambil pada akhir penggal pentadbirannya sekarang iaitu pada 15 November ini tetapi semuanya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Agung berhubung kesahihan pemilihan beliau.

Banyak pihak melihat kes di Mahkamah Agung itu sebagai faktor yang mendorong Pervez mengisytiharkan darurat.

Pilihan raya umum yang dijadualkan pada Januari ini juga tidak dapat dipastikan berikutan perisytiharan tersebut.

Perdana Menteri, Shaukat Aziz semalam menyuarakan kemungkinan pilihan raya itu tergendala sampai setahun.

“Sukar untuk mengadakan pilihan raya umum dalam keadaan darurat kerana parti-parti pembangkang akan menentangnya,” kata Tariq.

Beliau memberitahu, rundingan sedang dijalankan antara parti-parti komponen dalam kerajaan campuran untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis sekarang.

– AFP

No comments: