Tue | Nov 06, 07 | 1:09:27 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh)- Wanita Umno dilihat seolah-olah mengamalkan sikap 'kuku besi' dan tidak mempraktikkan sistem demokrasi yang membenarkan pertandingan jawatan apabila perbahasan hari ini menyaksikan betapa pemilihan jawatan Ketua Wanitanya itu seperti 'dihalang' daripada dicabar dan tidak disenangi oleh sesetengah pihak.
Dilaporkan sebelum ini jawatan 'panas' itu bakal dipertandingkan dan Dato' Azalina Othman menjadi antara calon awalnya yang mencabar dan turut disokong oleh Umno Cheras sebelum ini.
Bagaimanapun sewaktu sesi usul pagi tadi, seorang perwakilan berasal Kelantan yang dikenali sebagai Ustazah Zaleha membidas dan menyelar pihak yang mencabar Ketua Wanita Umno yang disandang oleh Dato' Seri Rafidah Aziz malah menganggap pertandingan tersebut akan menyebabkan perpecahan dalam parti khususnya sayap kanan Umno tersebut.
Beliau yang kesal dengan pertembungan 'kuasa' itu turut menunjukkan sebuah akhbar tabloid yang diedarkan secara meluas kepada perwakilan dengan tajuk 'Azalina cabar Rafidah' yang bakal mengundang perpecahan dan suasana tidak sihat dalam Umno.
Ketika ditanya Pengerusi Wanita Umno Dato' Napsiah Omar, siapakah pihak yang mengedarkan akhbar tersebut, beliau menjawab :"Adalah...yang edar. Tengok tu...bawah kerusi pun ada."
"Sudah 15 thun saya tak berucap...saya beritahu Rafidah saya nak berucap," katanya yang dilihat tidak senang dengan tindakan Azalina mencabar ketuanya itu.
"Berpuluh tahun kita bina dan betapa susah payah kita bangun...nak runtuh hanya dalam sehari sahaja.Saya tidak rela Wanita ini 'dinodai' yang akan menyebabkan kita boleh runtuh," ucapnya sambil memandang kepada Rafidah yang berada di atas pentas.
Beberapa pemerhati berpendapat, ucapan perwakilan ini merupakan satu 'signal' kepada para perwakilan Wanita untuk terus 'menjulang' Rafidah sekali lagi yang umum telah mengetahui mempunyai pelbagai kepincangan selama berkhidmat dan menjadi menteri kabinet dan sebagai 'tamparan hebat' kepada Azalina supaya tidak 'menjolok sarang tebuan' ataupun mengusik wanita yng dikenali sebagai 'Iron Lady' itu.
Tindakan ini juga dilihat,bahwa Wanita Umno gentar dengan pemilihan jawatan yang sering kali mengundang 'padah' dan menyebabkan perpecahan di kalangan ahli sehingga wujud 'team' tertentu berbanding dengan parti lawan seperti PAS yang tidak pernah menghadapi masalah sungguhpun jawatan tertinggi dipertandingkan.
Pemerhati juga berpendapat, tradisi Umno yang mengamalkan 'sikap kuku besi' masih dipertahankan sehingga kini dan bukan sahaja melibatkan jawatan di dalam Wanita Umno sahaja malah apa jua jawatan tertinggi dalam parti tersebut terutama jawatan Ketua Pemuda Umno, Presiden dan Timbalannya yang sering 'dihalang' daripada dipertandingkan.
Dalam ucapan perwakilan ini jugakerapa memetik ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang amanh yang dipikul dan wajar menjadi tangugunjawab wanita untuk melaksanakannya.
Sebelum itu, beliau turut mengesyorkan supaya jawatan Hakim Mahkamah Syariah diserahkan kepada kaum wanita tetapi hanya tertumpu kepada pengkhususan Kekeluargaan sahaja bukannya dalam bidang Hudud dan Qisas.
Menariknya wanita ini turut secara sinis mengungkap:"wanita tidak suka merebut-rebut jawatan. Wanita ini kerja dengan penuh ikhlas dan tak suka rebut-rebut projek," katanya yang dilihat seolah-olah secara tajam menyindir kaum lelaki di dalam Umno yang sering 'bergelumang' dengan budaya tidak sihat itu.
"Muslimat PAS kata kita macam-macam dan membuat pelbagai tohmah. Tetapi Wanita Umno sentiasa tulus, kudus dan suci dalam perjuangannya," katanya. - mks.
No comments:
Post a Comment