Thursday, October 18, 2007

Pulihkan pilihan raya, Bersih seru rakyat sertai himpunan 10 November ini

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 18, 07 | 2:32:04 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Meskipun tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-12 masih belum 'diihlamkan' Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, namum nampaknya persediaan ke arah PRU-12 giat dijalankan jentera Umno/Barisan Nasional (BN).

Malah sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini tidak ketinggalan dijadikan medan oleh Umno/BN untuk menjalankan kempennya terutamanya di negeri tumpuan iaitu Kelantan.

Malangnya usaha ke arah membersihkan perjalanan pilihan raya sedikitpun tidak diperdulihan oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebaliknya kerajaan terus menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai alat utama mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Untuk itu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataanya hari ini menekankan agar rakyat bersama-sama Bersih berhimpun di Dataran Merdeka pada 10 November ini bagi menyatakan tuntutan membersihkan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Jurucakap Bersih, Tian Chua berkata pihaknya menyeru seluruh rakyat yang cintakan keadilan turut serta berhimpun di Dataran Merdeka danm seterusnya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tuntutan Bersih kepada Yang DiPertuan Agong.

Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama anggota Bersih di Pejabat Parti KeADILan Rakyat di Brickfield hari ini berhubung beberapa isu terkini dan perkembangan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih).

Turut hadir ialah, AJK PAS Pusat, Dr Seyd Azman Syed Ahmad; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Bendahari Agung KeADILan, William JK Leong; ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok Siuh Sim dan Pegawai Khas Anwar Ibrahim, Sim Thze Tzin.

Sebelum ini Bersih telah mengemukakan tiga cadangan asas kepada SPR agar membersihkan perjalanan pilihan raya di negara ini antaranya, penghapusan undi pos; penggunaan dakwat celup jari dan pembersihan daftar pemilih, katanya.

Namun tuntutan itu tidak dipenuhi oleh SPR meskipun beberapa kali SPR sendiri mengakui adanya ketempangan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini, kata Tian Chua.

"Kita juga mendesak Perdana Menteri segera menetapkan tarikh pilihan raya umum ini untuk membuktikan ketelusan kerajaan dan memberikan ruang kepada rakyat menilai lebih dekat prestasi kerajaan yang sedia ada,"katanya.

Sementara itu Dr Syed Azman yang mengulas perkembangan yang sama menyatakan, setakat ini Bersih menjangkakan sekitar 10,000 rakyat akan berhimpun pada tarikh tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan perhimpunan itu akan dihadiri lebiu dari yang dijangkakan, dan menyatakan setakat ini soal permit perhimpunan sedang diperbincangkan.

Kemenangan Malek Husin 'signal' jelas supaya kerajaan mansuhkan ISA

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 18, 07 | 2:26:09 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menetapkan bahawa kerajaan perlu membayar RM2.5 juta sebagai gantirugi kepada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Malek Husin membuktikan bahawa penggunaa ISA perlu segera dimansuhkan.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam ulasannya terhadap keputusan Hakim, Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dalam kes itu berkata, ia 'signal' yang jelas kepada kerajaan agar segera menghapuskan akta zalim itu.

Beliau yang menghubungi Harakahdaily sebentar tadi mengucapkan syukur diatas keputusan itu dan mahu ia dijadikan sandaran kepada kerajaan menghapuskan penggunaan ISA terhadap rakyat yang tidak bersalah.

Jika sebelum ini Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pelbagai NGO serta masyarakat antarabangsa dan setempat mendesak akan penghapusan ISA, hari ini keputusan kes Malik Husin membuktikan betapa tuntutan itu wajar sekali, katanya yang juga pernah ditahan bersama Malik Husin di bawah ISA selama seminggu.

Mengikut penghakiman yang dibuat ternyata penggunaan ISA adalah salah dan bertentangan dengan hak asasi manusia, katanya.

Justeru itu menjadi kewajipan kepada kerajaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk segera menimbangkan penghapusan akta zalim itu, katanya.

Mahkamah Tinggi Luala Kumpur hari ini menetapkan penahanan Malek Husin semasa demonstarsi reformasi di hadapan Masjid negara adalah bertentangan dengan undang-undang.

Mahkamah juga menetapkan dalam penghakiman bahawa ketika ditahan Malek dinafikan hak untuk mendapatkan peguamnya.

Malek ditahan di bawah ISA pada 25 September 1998 selepas berhimpun dalam satu perhimpunan aman reformasi di hadapan Masjid Negara.

Dalam samannya ke atas kerajaan, Malek menyatakan bahawa polis telah menderanya secara mental dan fizikal dalam penahanannya di bawah ISA.

Dalam keterangannya bagi kes samannya itu Malek juga menyatakan di telah ditampar, ditendang dan ditumbuk selain penderaan seksual.

Malek diwakili peguam Sivarasa Rasiah

Pelan pembangunan: Rakyat tidak yakin, kerajaan hanya bagi harapan sahaja

Intan Abdullah
Thu | Oct 18, 07 | 2:15:39 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Satu lagi pembangunan koridor akan dilancarkan selepas koridor selatan (WPI) dilancarkan lebih setahun lalu, diikuti koridor utara tiga bulan lepas, seterusnya koridor Pantai Timur, akhir bulan ini, dan yang terbaru koridor di Sarawak (Recorda) Disember tahun ini.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyelar tindakan kerajaan yang selama ini hanya pandai memberikan harapan kepada rakyat dengan melaksanakan pelbagai pelan pembangunan seperti mana yang telah diumumkan kepada rakyat.

"Perancangan-perancangan yang dibuat seolah-olah tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan menyeluruh. Buktinya, tidak ada perincian terhadap apa yang telah dirangka bagi setiap pelan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Apa yang pasti ujarnya, tiada garis panduan bagi setiap jawatankuasa yang dilantik secara khusus seperti yang berlaku kepada Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dalam projek koridor utara.

Beliau mendakwa walaupun kerajaan mahu rakyat berfikiran futuristik yakni memandang ke hadapan setelah mereka menjanjikan projek tersebut selesai pada tahun 2025, iaitu 18 tahun akan datang tetapi kerajaan gagal memberikan keyakinan kepada rakyat.

"Bahkan kerajaan sanggup membazirkan wang rakyat sejumlah RM11 juta untuk majlis pelancaran projek tersebut," katanya.

Sementara itu, Mahfuz turut menyatakan kebimbangannya terhadap perlaksanaan projek-projek koridor yang dijangka akan menjejaskan kepentingan golongan bumiputera pada masa akan datang.

Tegasnya, survival orang Melayu buat masa ini bukan agenda utama kerajaan setelah apa yang berlaku dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar atau koridor selatan.

"Walaupun Khazanah Holding dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi apa yang dilakukannya langsung tidak mempedulikan nasib dan kepentingan orang Melayu di Johor," katanya lagi.

Tambahnya, hal ini jelas terbukti apabila mereka sanggup menghapuskan syarat 30 peratus penglibatan pelabur sekali gus membuka ruang yang seluas-luasnya kepada mereka tanpa sedikitpun memikirkan kuota bagi bumiputera untuk terlibat sama.

Sungguhpun begitu, Abdullah yang sebelum ini menjelaskan bahawa pengendalian projek koridor-koridor ini diberikan kepada GLC, tidak mengotakan apa yang dikatakan dengan sepenuhnya.

Koridor-koridor yang berada dalam perancangan sekarang telah diletakkan tanggungjawab tersebut kepada GLC seperti NCER (utara) dikendalikan oleh syarikat Sime Darby, WPI (selatan) oleh Khazanah Holding dan ECER (timur) oleh Petronas.

"Persoalannya sekarang ini, sejauhmanakah GLC boleh berperanan untuk membantu masyarakat bumiputera untuk terlibat secara langsung mengenai pengagihan tugasan dalam perlaksanaan projek yang telah dirangka," katanya dalam nada pertikaian.

"Kalau betul tiada masalah mengenai GLC sebelum ini, mengapakah dalam setiap perhimpunan Agung Umno ada perwakilan yang bangkit mempersoalkan kegagalan GLC berperanan dalam membantu pembangunan bumiputera negara?" ujarnya.

Mahfuz mendakwa apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa pemimpin negara yang ada sekarang ini lebih berorientasi mencari keuntungan peribadi.

Beliau juga sangsi dengan pembinaan koridor-koridor ini yang masih belum dapat dilihat berpotensi untuk membantu golongan bumiputera yang terkebelakang.

"Contohnya dalam projek WPI, pelabur-pelabur tidak terikat untuk mengambil pekerja-pekerja dari mana sahaja yang mereka mahukan tanpa menetapkan kriteria khusus seperti sumber dan kepakaran yang diperlukan bagi memastikan kejayaan projek," jelasnya lagi.

Sebaliknya, undang-undang yang digubal tidak menggambarkan kuasa parlimen yang boleh memberikan perlindungan kepada rakyat yang berada dalam kawasan yang terlibat dengan koridor tersebut.

"Undang-undang yang ada hanya memberikan kuasa kepada pengerusi Khazanah Holding, iaitu Abdullah supaya beliau bebas melakukan apa sahaja, seperti memberi peluang tanpa had kepada pelabur asing seterusnya mengabaikan hak dan nasib orang Melayu di Johor," tambahnya dengan panjang lebar.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Pembangunan dan Penggembelingan Komoditi (Impak) menjangkakan kemungkinan perkara yang sama akan menimpa rakyat yang akan terbabit dengan projek-projek koridor yang bakal dibina.

Dalam pada itu, ada yang beranggapan bahawa apa yang sedang cuba dilakukan oleh Abdullah sekarang adalah untuk merakamkan namanya dalam sejarah negara kerana setakat ini beliau masih belum dapat untuk mencatatkan apa-apa kejayaan besar seperti mana yang telah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini. - mns

BN akan guna kejayaan angkasawan untuk tutup kelemahannya - Salahudin

Intan Abdullah
Thu | Oct 18, 07 | 10:53:40 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Tindakan Kerajaan Umno-BN secara berterusan untuk mengaburi mata dan pemikiran rakyat dengan menjadikan projek angkasawan negara sebagai bahan untuk berkempen menjelang pilihan raya umum amat dikesali.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub mengingatkan masyarakat agar tidak mudah lupa dengan isu sebenar yang berlaku di sekitar kini.

"Projek yang menelan belanja yang tinggi itu sudah tentu perlu disalurkan kepada yang lebih utama iaitu rakyat yang menderita dan lebih memerlukan, apatah lagi di saat umat Islam sedang meraikan sambutan perayaan Aidilfitri," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebaliknya, beliau berpendapat ia merupakan satu usaha bagi menutup segala kelemahan dan masalah negara dengan pelancaran pesta besar-besaran yang telah dijadikan budaya.

Bahkan, Salahudin juga menjangkakan Umno-BN akan menjaja kejayaan tersebut sebagai bahan kempen utama mereka menjelang PRU tidak lama lagi.

"Saya tidak hairan dengan tindakan tersebut, kerana kita telah pun menjangkakannya. Lagipun, mereka memang suka memburu nama dan mementingkan kebanggaan," ulasnya mengaitkan projek tersebut dengan kesannya terhadap kepentingan politik Umno-BN.

"Apapun, saya masih menganggap ia sebagai satu kejayaan negara," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mahu kerajaan mendedahkan kejayaan yang berjaya diperolehi hasil kajian yang telah dijalankan oleh angkasawan negara selama 10 hari berada di angkasa lepas.

Ini kerana, beliau tidak mahu projek ini menjadi projek 'gajah putih' seperti mana yang berlaku pada 'silicon valley' yang telah membazirkan sejumlah besar wang rakyat.

"Kita tak mahu usaha ini tidak berbaloi, setelah membelanjakan kos yang begitu tinggi, tetapi matlamat utama projek tersebut tidak tercapai. Hanya mahukan nama dan kebanggaan semata-mata," jelas Salahudin lagi.

Ketika ini, uji kaji terhadap dua jenis sel iaitu kanser dan leukimia sudah ditamatkan, manakala dua lagi membabitkan kesan radangan dan kajian tulang masih diteruskan. Sementara kajian pengkristalan protein juga masih berjalan sehingga ke saat akhir Dr Sheikh Muszaphar di ISS pada 21 Oktober nanti.

Tiga kajian sains hayat yang dijalankan di ISS dipilih daripada 50 cadangan. Tiga uji kaji yang dipilih berkenaan adalah berdasarkan keperluan, peralatan dan kepakaran diperlukan.

Dr A Rahman menjalankan kajian sel di angkasa membabitkan sel kanser hati dan sel leukimia; sel osteoblas dan sel endotelia; sementara Felo Kanan UMBI, Prof Dr Ramelah Mohamed menjalankan kajian ke atas mikrob atau bakteria jenis enterobacter cloacae dan acinetobacter baumanii, manakala Prof Dr Raja Noor Zaliha Raja Abd Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kajian ke atas penghabluran protein. - mr

Kenyataan Zam bukti BN jahil erti integriti media

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Oct 18, 07 | 9:14:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Hrkh) - Kenyataan terbaru Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin (Zam) membuktikan betapa kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) lebih rela bersikap jahil daripada mengakui kebenaran meskipun ia menyakitkan, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Fariz Musa.

Kata Fariz, AMK menyifatkan kenyataan Zam tersebut menjelaskan kepada rakyat bahawa tidak wujud kebebasan bersuara di Malaysia dan gesaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memaklumkan kebenaran hanyalah gula-gula memancing undi semata-mata.

Kenyataan terbaru Zam membuktikan betapa kerajaan Umno/BN lebih rela bersikap jahil daripada mengakui kebenaran meskipun ia menyakitkan, tegasnya dalam satu kenyataannya hari ini.

"Apakah rasional untuk mengekang media untuk menyatakan kebenaran meskpin kebenaran itu memedihkan kerajaan BN? Isunya adalah integriti dan ketelusan, maka tidak wajar bagi mana-mana penguasa untuk menyekat kebenaran daripada disebarkan kepada rakyat,"katanya kepada Harakahdaily.

Berdirinya mereka sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya mewajibkan mereka untuk membenarkan segala bentuk maklumat dan kebenaran disampaikan kepada rakyat, katanya.

Ia perlu agar rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku untuk mereka menilai prestasi kerajaan, katanya.

AMK juga kesal dengan tindakan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Sidek Hassan yang meminta organisasi media supaya mengelak daripada membesar-besarkan berita-berita negatif mengenai kerajaan, seperti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006, ujarnya.

"Pendedahan penyalah gunaan wang rakyat disifatkan negatif, dan penyalah gunaan kuasa dan wang rakyat mesti dilihat positif oleh rakyat, inilah realiti acuan media yang dibentuk oleh kerajaan BN!,"katanya.

AMK sendiri telah mengemukakan aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis, dan hasilnya, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang siasatan dan perkembangan positif,katanya.

Ini semua hanya kerana ia memalitkan imej BN yang kononnya bersih, tetapi busuk lagi membusukkan, katanya.

AMK menggesa agar pihak media terus mendedahkan fakta yang benar atas prinsip akauntabiliti dan integriti media, katanya.

Sebagai Menteri Penerangan, Zam wajar melepaskan jawatan beliau sekiranya beliau masih tidak faham erti integriti media dan kewartawanan demi memartabatkan kebenaran.

"Sempena Eidulfitri yang diraikan ini, AMK berharap agar Zam dapat kembali mendalami gesaan Hadis Rasulullah S.A.W, 'katakanlah yang benar meskipun ia pahit untuk ditelan', untuk muhasabah diri dan memperbetulkan kembali sistem yang kian rosak hasil usaha kerajaan BN," ujarnya.

Rakyat tidak bodoh, dan rakyat terus celik menilai kebenaran, katanya.

Pemimpin pembangkang, termasuk Mahathir, Anwar perlu rumus strategi lebih berkesan

Afrar Yunus
Thu | Oct 18, 07 | 8:28:48 am MYT

Biarpun Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa mengatakan beliau tidak dapat bekerjasama dengan Dato' seri Anwar Ibrahim, anak didik politiknya, namun masih ada jalan lain yang boleh mereka bina dan lalui.

Tun dan Anwar masing-masing telah melakukan banyak kesilapan ketika di puncak kuasa. Perasaan dan hati yang telah mereka lukakan bukanlah sedikit jumlahnya. Sistem negara yang mereka rosakkan juga tidaklah sedikit. Ini termasuk "meliwat" sistem kehakiman negara, memperkenalkan rasuah dalam pemilihan parti politik dan beratus yang lain lagi. Jika diimbau kembali, tidak termuat untuk dituliskan di sini.

Apa yang sedikit mengendurkan kemarahan rakyat terhadap dua politikus ini ialah, pengakuan kesilapan demi kesilapan yang diluahkan mereka dari masa ke semasa sekarang ini.

Anwar cuba memperbetulkan kemusnahan yang dilakukannya melalui perjuangan pembangkang. Tun M pula menyerang kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dari dalam Umno.

Kebimbangan menyelubungi pemerhati politik di Malaysia jika faktor kesilapan ini lambat diambil tindakan. Pilihan raya yang kedua belas sudah hampir tiba.

Kesediaan pembangkang untuk bertarung dengan BN memang diakui. Tetapi, kesepakatan dan visi mereka masih kabur.

Terkini, Tun Dr M sudah seperti hilang dominasi terhadap politik di Malaysia. Faktor semakin dimamah usia, menghadapi masalah kesihatan, media arus perdana yang tidak bekerjasama, hilang sokongan kawan-kawan dan pengakuan beliau untuk tidak terlibat dalam politik di hujung persaraannya sebagai PM sudah tentu menjadi penghalang.

Apapun, beliau masih diharap dan dikatakan berupaya membuat kejutan dalam pilihan raya akan datang.

Untuk mengganyang Abdullah Perdana Menteri Malaysia kelima tidaklah semudah yang disangka pembangkang. Abdullah mempunyai 'telinga' dan jentera kerajaan yang besar walaupun tidak mempunyai apa-apa rancangan masa depan politik untuk memakmurkan rakyat.

Beliau boleh digolongkan sebagai PM Malaysia yang paling kurang upaya.

Seperti juga Tun Dr M dan Anwar yang pernah menggunakan jentera kerajaan untuk menindas demokrasi yang sudah sedia lemah di Malaysia pada ketika itu, Abdullah, dan menantunya, Khairy Jamaluddin dan konco-konco mereka baik di media perdana dan di arena politik tidak akan malu untuk menyeleweng dan menindas rakyat dengan menggunakan taktik yang sama atau lebih teruk.

Jika dibiarkan oleh segala yang ada di dalam Umno, budak muda yang bercita-cita besar mahu menjadi Perdana Menteri pada usia 40-an, akan merobekkan lagi fitrah dan masa depan politik rakyat Malaysia. Haru-biru akan dibuatkannya Malaysia nanti.

Untuk meminta Tun Dr M berbaik semula dengan Anwar adalah tidak mustahil. Tapi untuk Dr Mahathir berbaik dengan Anwar adalah sangat musathil. Biar apapun, saya pasti Anwar bersedia berbaik semula bukan sahaja dengan Tun Dr M, malah dengan Umno sendiri demi survival politiknya.

Begitu juga untuk Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan DAP menjadi pemerintah adalah juga tidak musathil jika mendapat kerjasama KeADILan dan barisan NGO apatah lagi dari orang seperti Tun. Ahli PAS dan penyokongnya sangat statik dengan komitmen dan perjuangan mereka. Undi mereka tidak pernah ‘lari’ kepada yang lain.

Undi kaum Tionghua boleh berubah mengikut isu semasa, tidak kira mereka dari parti pemerintah atau pembangkang. Undi kaum India 50-50. Undi Melayu Umno dan BN di Sabah dan Sarawak boleh menjadi penentu pemerintah akan datang. Itupun jika mereka sedia berubah.

Bagi saya, Tun sepatutnya sudah mula menebus dosa, yang dari masa ke semasa, beliau sendiri mengakui kesilapannya dengan sedikit berlembut dan bertolak ansur.

Parti Islam seMalaysia (PAS) boleh dijadikan rakan politik sealiran atau selandasan biar bukan rakan 'se-parti'.

Kedua, Tun boleh menggerakkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai proksi ke medan hadapan untuk bertempur dengan Abdullah. Jika perlu sokongan, idea Musa Hitam boleh diadunkan bersama. Itupun kalau Musa masih berminat dan tiada kepentingan peribadi.

Jika Usta Hadi Awang, Lim Kit Siang, Anwar, Tun atau Tengku Razaleigh beranggapan bahawa tanpa kerjasama sesama mereka, parti atau penyokong mereka boleh membawa kejayaan dalam pilihan raya ke 12 ini, maka ia adalah sesuatu yang luar biasa dan khayalan; ibarat pungguk rindukan bulan. Seperti biasa, pilihsn raya ke-12 akan dimenangi oleh Abdullah dan BN kerana minda politik masyarakat kita terutama sekali orang Melayu yang menyokong Umno di Johor, dan penyokong BN di Sabah dan Sarawak sudah boleh menentukan majoriti undi walaupun beribu isu sedang menerajang mereka kecuali sesuatu yang ajaib dapat dilakukan oleh pembangkang di Sabah dan Sarawak. Pe

ngundi seperti itu sudah diajar untuk memangkah dacing. Itulah pula yang sedang diasuh kepada mahasiswa kita di menara gading. Esok dan lusa, kita akan lihat ramai 'mahasiswa kencing manis' akan dilahirkan oleh BN. Lemah, lesu, tidak bermaya dan bergantung kepada orang lain biarpun kenaikkan harga barang makanan, rasuah, penyelewengan, isu sosial, penindasan dan sebagainya mengelilingi mereka.

Jadi, mustahilkah ketua-ketua alternatif seperti Ustaz Hadi Awang, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Tun Dr Mahathir serta yang seangkatan dengan mereka, walaupun tidak sehaluan politik, mampu sepakat dan membebaskan sementara fahaman masing-masing demi mengajar Abdullah, PM Malaysia yang paling lemah itu.

Apakah idea dan slogan, ‘undi di tangan kita, jika tidak secocok, kita pangkah dan gantikan yang lain’ hanya untuk diamalkan oleh rakyat biasa sahaja, dan bukan untuk pemimpin-pemimpin kita?

Jika mahu, seribu keegoan boleh dikendurkan. Jika tidak mahu, biarkan saja rakyat Malaysia didera oleh Abdullah dan konco-konconya.

Atau, biarkan Abdullah terus memerintah rakyat Malaysia dengan jenaka yang tidak berkesudahan dalam mencari Al-Ghazali dan As-Shafie. Dan biarkan juga Abdullah berseronok melihat ketidaksepakatan dan ego segelintir pemimpin alternatif yang menentang kelemahan dan ketidakupayaan pentadbirannya. - alkerohi.blogspot.com

SPR dedah penyelewengan

Oleh Mohd Azis Ngah




Penolong Pegawai Pendaftaran pindah nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan, segelintir Penolong Pegawai Pendaftaran (PPP) yang dilantiknya, menyalah guna kuasa dengan memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran.

Pegawai terbabit dikesan memindahkan nama pemilih baru atau sedia ada, yang memohon menukar alamat mengikut Sistem Pendaftaran Bermusim (SPB) yang dilaksanakan sebelum 16 Julai 2002.


Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor (gambar), berkata ada antara pegawai itu menurunkan tandatangan palsu pada borang pendaftaran dan SPR yang mempercayai sepenuhnya permohonan bertukar alamat seperti diserahkan itu, meluluskannya.

"Tindakan tidak jujur segelintir PPP itu menyebabkan SPR dikecam pihak tertentu yang mendakwa Daftar Pemilih disediakannya tidak lengkap dan bersih, bahkan ada menuduh ia bertujuan memberi kelebihan kepada parti tertentu.

"Kerana itu, SPR tidak lagi membenarkan PPP menguruskan permohonan pertukaran alamat pemilih, sebaliknya mereka hanya diberi tugas menguruskan pendaftaran pengundi baru. Walaupun setakat ini tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap PPP terbabit, kita sudah mengurangkan kuasa mereka demi memelihara integriti dan kredibiliti SPR," katanya kepada Berita Harian, semalam.


Beliau diminta mengulas pendedahannya berhubung perkara itu dalam buku tulisannya bertajuk Ketelusan Sistem Pendaftaran Dan Penyemakan Daftar Pemilih dan Isu-Isu Semasa Berhubung Dengannya yang diedarkan baru-baru ini.

Buku itu, yang diterbitkan sebagai naskhah pertama Siri Pendidikan Pengundi, antara lain bertujuan menjelaskan kepada orang ramai khususnya ahli parti politik dan pihak berkuasa mengenai ketelusan sistem yang diguna pakai SPR.

Setakat ini, buku itu sudah diedarkan kepada semua menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen, ketua setiausaha dan timbalannya, ahli Parlimen, senator, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, selain ketua jabatan serta perkhidmatan.

Ketika ini SPR mempunyai kira-kira 2,000 PPP di seluruh negara. Selain kakitangan suruhanjaya itu sendiri, kebanyakan mereka adalah penjawat awam, swasta, ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan pekerja parti politik.

Kamaruzaman berkata, tindakan PPP memindahkan nama pemilih ke kawasan lain itu mula disedari ketika Pilihan Raya Umum 2004 apabila ada pemilih mengadu nama mereka tidak tersenarai dalam daftar sehingga timbul tuduhan SPR memindahkan nama mereka sewenang-wenangnya.

Berdasarkan Sistem Pendaftaran Bermusim, tempoh pendaftaran pemilih hanya dijalankan selama antara 21 dan 42 hari setahun berbanding Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST) yang diguna pakai oleh SPR ketika ini.

"SPR sering menerima tohmahan, sedangkan undang-undang sedia ada jelas tidak memberikan kuasa untuk kita memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran atau permohonan daripada pemilih sendiri," katanya.

Mengenai buku tulisannya itu, Kamaruzaman berkata, naskhah setebal 32 muka surat itu diterbitkan bagi mengelak salah faham serta tuduhan tidak berasas pihak tertentu yang mendakwa SPR tidak jujur.

Penyelewengan oleh segelintir PPP itu adalah antara enam isu yang diutarakan selain kes nama pemilih meninggal dunia tidak dikeluarkan daripada senarai pemilih dan pemilih tidak bermastautin di alamat tempat didaftarkan.

Isu lain yang turut diberi penjelasan dalam buku berkenaan ialah berhubung kewujudan terlalu ramai pemilih didaftarkan dalam satu alamat; pemilih hanya mempunyai alamat umum tetapi tiada nombor rumah dan kesilapan butiran peribadi dalam daftar pemilih.

Kamaruzaman berharap buku itu dapat dijadikan rujukan penting dalam usaha SPR meningkatkan kefahaman dan keyakinan pemilih serta masyarakat mengenai ketelusan proses pendaftaran serta urusan pilihan raya.

"Kita menggunakan data dalam Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (Alis) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk urusan pendaftaran dan semak daftar. Jika nama dan nombor kad pengenalan pemohon sama, tiada sebab untuk SPR tidak memproses permohonan pendaftaran.

"Kita juga terangkan mengenai kes 'pengundi hantu' yang sebenarnya tidak wujud sebaliknya ia berpunca daripada kekeliruan apabila seseorang pergi mengundi di tempat dia mendaftar dan bukannya tempat bermastautin. Hakikatnya, dia ialah pengundi sah mengikut undang-undang," katanya.

BN Sarawak kemuka lebih ramai calon wanita

BEKENU 17 Okt. – Barisan Nasional (BN) negeri Sarawak akan mengetengahkan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN negeri merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata ia untuk mempelbagaikan calon BN negeri serta mengimbangi bilangan kaum wanita yang berkecimpung dalam arena politik negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sekali gus usaha itu diharap dapat meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam bidang politik.

‘‘Kita sudah ada senarai calon wanita khususnya daripada parti PBB untuk dicalonkan pada pilihan raya Parlimen akan datang.

‘‘Pada masa sama, kita memang dari semasa ke semasa akan menambah bilangan kaum wanita untuk menjadi wakil rakyat di negeri ini,” katanya semasa ditemui pemberita selepas ‘Majlis Melanggar Meja’ sempena Ramah- Tamah Aidilfitri di sini hari ini.

Kriteria

Tanpa mengulas lanjut kriteria pemilihan, Taib berkata, ketika ini komponen BN negeri dibarisi wakil rakyat yang mewakili semua kaum termasuk suku kaum yang kecil bilangannya.

‘‘Semua kaum akan mengambil bahagian termasuk dalam politik kerana kita pentingkan semangat kerjasama dan perpaduan daripada semua rakyat yang berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, ada di kalangan wakil rakyat di Sarawak yang dipilih daripada kalangan kumpulan etnik yang kecil tetapi mampu menang dalam pilihan raya.

‘‘Semua ini disebabkan ada perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di sini. Kita sokong calon bukan disebabkan paras rupa tetapi kerana di belakang calon itu ada BN yang mampu membawa pembangunan,” katanya.

Ketika ini, PBB mempunyai tiga wakil rakyat wanita iaitu Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Gazali (ADUN Samariang) dan Simoi Peri (ADUN Lingga).

Seorang lagi wakil rakyat wanita di Sarawak ialah daripada parti komponen BN yang lain ialah ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

Pada majlis sama, Taib turut menyumbang RM250,000 kepada tabung pembinaan Masjid Baru Batu Niah.

Pas desak kertas putih dibentang di Parlimen

KOTA BHARU 17 Okt. – Pas mendesak kerajaan supaya satu Kertas Putih berhubung masalah pekerja asing dibentangkan di Parlimen bagi memastikan rakyat terutama wanita tidak tersekat daripada mendapat peluang pekerjaan.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya turut menuntut kerajaan supaya menjalankan siasatan penuh mengenai masalah tersebut supaya rakyat tidak terpinggir di negara sendiri.

Beliau berkata, kemasukan pekerja asing yang terlalu ramai telah memberi kesan yang buruk kepada sistem sosial masyarakat.

“Saya difahamkan banyak isu yang berbangkit daripada masalah ini. Kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah sosial.

“Justeru saya meminta kerajaan supaya mengeluarkan satu kertas putih bagi menyelesaikan masalah kemasukan pekerja asing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dr M tak sabar pulang ke rumah

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang semakin sembuh selepas pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) bulan lalu, kini bersedia untuk pulang ke rumah berikutan kesihatannya bertambah baik, kata anak sulungnya, Datin Paduka Marina.

"Beliau (Dr Mahathir) benar-benar ingin pulang kerana hampir tujuh minggu berada di sini (IJN) dan beliau rindukan suasana di rumah," katanya ketika ditemui pemberita di IJN, semalam.

Marina yang tiba jam 11.40 pagi, meluangkan masa kira-kira satu jam setengah bersama bapanya, selepas tiga hari tidak berjumpa kerana bercuti ke Indonesia bersama suami dan anaknya.


Marina berkata, bapanya sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menyatakan hasrat untuk pulang kepadanya.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu berusaha untuk memulihkan kesihatannya dengan melakukan senaman ringan, berlatih berjalan serta sudah mampu membaca buku dan meluangkan masa menonton televisyen.

"Beliau juga melakukan senaman ringan bagi menguatkan otot lengan serta bahagian dada untuk memulihkan kembali tenaga selepas keluar dari IJN," katanya.


Marina berkata, Dr Mahathir juga menikmati sarapan kuew tiaw goreng yang dibawa khas dari Kampung Tok Senik, Langkawi oleh kenalan rapatnya.

"Ayah saya cukup gemarkan kuew tiaw ini... jika ke Langkawi pasti kuew tiaw goreng itu menjadi menu wajibnya, tapi saya tidak pasti sama ada kuew tiaw itu dibawa terus dari Langkawi atau tukang masak itu dibawa ke sini khas memasaknya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan IJN, Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari berkata, Dr Mahathir dijangka dibenar pulang hujung minggu ini.

"Kita mahu luka kecil pembedahan yang dialaminya sembuh sepenuhnya," katanya.

Dr Mahathir menerima rawatan di IJN selepas menjalani pembedahan pintasan jantung 4 September lalu dan pembedahan kedua bagi membersihkan luka pada 22 September lalu.

Dr. Mahathir pulang selepas selesai fisioterapi

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah bersedia untuk pulang ke rumah ekoran keadaan kesihatannya yang kini bertambah baik.

Beliau yang kini berada di wad biasa dijangka dibenarkan pulang setelah selesai menjalani rawatan fisioterapi dan doktor berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.

Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, ayahnya sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah.

‘‘Kami berharap beliau akan dibenarkan pulang dalam masa yang terdekat kerana keadaan kesihatannya sudah bertambah baik,’’ katanya kepada pemberita di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Dr. Mahathir menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada 4 September lepas dan pembedahan kedua bagi membersihkan jangkitan pada 22 September lalu.

Menurut Marina, hari ini Dr. Mahathir bersarapan kuetiau goreng yang dibawa khas dari Kampung Tok Senik, Langkawi oleh kenalan rapatnya.

“Ayah saya cukup gemarkan kuetiau ini... jika ke Langkawi pasti kuetiau goreng itu menjadi menu wajib beliau, tetapi saya tidak pasti sama ada kuetiau itu dibawa terus dari Langkawi ataupun tukang masak itu dibawa ke sini khas memasaknya untuk ayah saya,” kata Marina.

Semalam, Dr. Mahathir menerima kunjungan Pengarah Agensi Angkasa Negara Datuk Dr. Mazlan Othman yang akan berlepas ke Rusia malam ini bagi menyambut kepulangan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

“Ayah saya begitu bangga dengan kejayaan program itu dan sentiasa mengikuti perkembangannya,” katanya.

Rumah terbuka PM

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Hampir 200,000 orang tetamu dijangka memeriahkan rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang akan diadakan buat kali keempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Hari Raya pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Senator Datuk Yaakob Mohammad berkata, rumah terbuka itu yang turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri-Menteri Kabinet akan berlangsung dalam dua sesi.

Menurut beliau, sesi pertama bermula pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dikhaskan untuk orang kenamaan, perwakilan luar negara dan undangan istimewa manakala sesi untuk orang ramai disambung selepas itu sehingga pukul 5 petang.

‘‘Kami menyediakan 30 juadah makanan panas yang akan dimasak oleh 76 tukang masak menggunakan kira-kira 50,000 kilogram bahan mentah seperti ayam, ikan, cili dan sayur-sayuran.

‘‘Hidangan itu dijangka mencukupi untuk disaji kepada anggaran 200,000 orang tetamu secara berperingkat,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai persiapan rumah terbuka perdana itu di PWTC hari ini.