KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 dengan mengadakan aktiviti menemui rakyat pada peringkat akar umbi.
Sambil mengakui isyarat pilihan raya semakin jelas, Timbalan Presiden Umno bagaimanapun, menegaskan persiapan yang dimaksudkan bukan berkempen untuk menjadi calon, sebaliknya mengaktifkan jentera pilihan raya di cawangan, peti undi, kawasan Dewan Undangan Negeri dan bahagian.
"Paling penting ialah persiapan kita untuk menghadapi pilihan raya. Bukanlah persediaan itu maknanya menempah 'bush jacket' baru atau baju kurung bergemerlapan atau mula mengadu domba dan ke sana sini membawa salinan biodata diri.
"Jika kita sudah ditakdirkan dipilih, maka terpilihlah kita. Sama ada terpilih atau tidak, terimalah segalanya dengan reda kerana setiap ketentuan ada hikmah di sebaliknya," kata Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan ketiga-tiga sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.
Dalam ucapan bertema �Mengangkasa Tamadun Bangsa�, Najib berkata, memenangi pilihan raya menjadi realiti politik di negara ini.
"Kemenangan pula hendaklah dengan majoriti lebih dua pertiga untuk memerintah dengan berkesan demi untuk memastikan kestabilan," katanya sambil yakin Barisan Nasional (BN) akan mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, keyakinan itu sangat berasas berdasarkan kemenangan pada pilihan raya kecil lalu apabila BN menang dengan cemerlang kerana sokongan rakyat yang mantap.
"Walaupun parti pembangkang bersyarah bagai halilintar, terbukti rakyat dan pengundi lebih pintar. Mereka bijak memilih yang mana kaca dan yang mana permata," katanya.
Sehubungan itu, Najib mengingatkan anggota Wanita, Pemuda dan Puteri Umno supaya terus melaksanakan pendekatan 4M, iaitu merapatkan barisan, menambah ahli dan pengundi, mesra rakyat dan menyelesaikan masalah bagi memastikan kejayaan BN.
Katanya, Umno perlu menambat hati serta minda orang ramai dengan khidmat yang baik dan menghindar perbuatan yang dibenci.
"Apabila hati rakyat sudah tertambat � umpama dara dan teruna yang sedang berkasih akan membawa ke jenjang pelamin � nescaya sokongan rakyat kita dapat. Bila BN menang, rakyat akan senang," katanya.
Najib juga mengingatkan anggota ketiga-tiga sayap parti berkenaan supaya menjaga perpaduan bangsa kerana orang Melayu hanya mengundang padah jika mereka berpecah belah.
"Sedarilah, realiti politik hari ini yang mana kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh jika kita bertikai dan berpecah. Kelemahan politik dan ekonomi akan mengembalikan orang Melayu ke zaman sebelum merdeka di mana kita daif, lekeh dan tidak ada jati diri.
"Ingatlah, bahawa bangsa yang malas akan malap, bangsa yang merempit akan merempat dan bangsa yang tiada wawasan akan ditewaskan," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment