Tuesday, November 06, 2007

Laporan Audit: Menteri Besar dan Menteri wajar ditangkap, dihukum

Salmiyah Harun
Tue | Nov 06, 07 | 6:20:24 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Pendedahan Laporan Audit Negara baru-baru ini terbukti berlakunya penyelewengan dan rasuah oleh pemimpin-pemimpin kerajaan baik di peringkat negeri mahupun pusat.

Berdasarkan laporan tersebut, Pengerusi Gerak Ezam Mohd Noor menegaskan sekurang-kurangnya dua menteri iaitu Menteri Besar ataupun Menteri senior mesti ditangkap dan dihukum.

"Kita ada 'task force' khususnya tentang laporan audit negara, kita tahu dalam laporan itu sahaja sekurang-kurangnya dua menteri ini disabitkan dan diharuskan bawa ke mahkamah seperti juga kerani-kerani bawahan yang dibawa ke mahkamah," katanya di hadapan kira-kira 400 peserta yang mengikuti forum rakyat di sini baru-baru ini.

Tegasnya, beliau akan tunggu Ketua Audit Negara untuk menafikan kenyataannya itu.

Ketika ditanya peserta forum siapa menteri berkenaan, Ezam tidak boleh mendedahkan siapa yang dimaksudkan kerana beliau bukannya Ketua Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Kalau saya Ketua BPR dah lama saya dedahkan, saya bagi 'hint' Menteri Besar dan Menteri sahaja" katanya yang diikuti sorakan para peserta Forum "Rasuah dan Jenayah:Malaysia Di ambang Bahaya" yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Salahuddin Ayub.

Apabila didesak oleh para peserta, Ezam memberi gambaran merujuk kepada Menteri Besar negeri yang kaya.

Dalam pada itu, Ezam menegaskan setiap lapisan rakyat negara ini haruslah benar-benar serius dalam menangani gejala rasuah.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana kerajaan tidak memberi respon terhadap apa yang dilaporkan misalnya tentang laporan audit negara.

Berhubung laporan itu katanya, ada tiga individu penting yang menegaskan tidak melakukan sistem tender itulah menyebabkan berlakunya rasuah.

Tiga orang terbabit adalah, Ketua Audit Negara, Ketua Pengarah BPR, dan Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah.

"Mereka masing-masing berkata dan tegas supaya kerajaan tukar cara tender sistem,"katanya.

Malangnya, kata Ezam, sehingga hari ini tidak ada seorang pun menteri yang respons terhadap dasakan itu dari atas hingga di peringkat bawah

"Yang adanya cuma 'ya kita akan kaji dan akan tubuhkan jawatankuasa' khususnya untuk mengkaji tender sistem," kata beliau. - mks.


No comments: