Tuesday, November 06, 2007

‘Samy Vellu sepatutnya berani terangkan perkara sebenar’

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu perlu berani menerangkan kepada masyarakat India bahawa tindakan merobohkan kuil Hindu di Padang Jawa, Shah Alam baru-baru ini diputuskan oleh mahkamah dan bukannya bertindak menimbulkan ketegangan dengan menyusahkan orang lain.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Presiden MIC itu tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak kerana keputusan mahkamah dibuat setelah mengambil kira pembinaan kuil tersebut dibuat di atas tanah milik swasta.

Katanya, keputusan mahkamah itu telah dimaklumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo kepada Samy Vellu dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, kata Mohd. Ali, pihak kerajaan negeri juga telah menyediakan tapak baru untuk pembinaan semula kuil tersebut.

“Bukan sahaja kuil pernah dirobohkan oleh kerajaan, bahkan surau dan masjid pun, yang dibuat atas sebab tertentu. Saya percaya ada unsur-unsur luar yang menekan Samy Vellu. Tetapi sebagai pemimpin, kita kena berani menghadapinya walaupun perkara itu pahit.

“Sebagai pemimpin lama yang banyak pengalaman, beliau sepatutnya boleh menghadapi perkara ini dengan tenang,” kata Mohd. Ali kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian ketika mengulas satu perkembangan berkaitan langkah merobohkan kuil tersebut.

Mohd. Ali berharap perkara itu tidak diperbesar-besarkan oleh mana-mana pihak kerana ia boleh mengguris perasaan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain termasuk UMNO.

No comments: