Mon | Oct 29, 07 | 5:06:27 pm MYT
Jam 11.00 pagi, sewaktu pelanggan 'Pak Din' datang ke gerainya untuk menikmati juadah tengahari sekumpulan 30 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu gerainya untuk meroboh struktur gerai tersebut.
Pak Din adalah seorang aktivis reformasi yang cukup dikenali kerana kelibatnya sering kelihatan di mana-mana sahaja demonstrasi, ceramah atau program anjuran Barisan Alternatif (BA).
Gayanya yang bersahaja dan berkopiah selain memakai baju lusuh sering mendapat perhatian lensa kamera setiap kali adanya himpunan reformasi pada tahun 1998 hingga sekarang.
Beliau akan hadir jika kelibat bekas Timbalan Perdana Menteri, dato' Seri Anwar Ibrahim muncul di khalayak ramai.Sejak 14 tahun lalu, Pak Din telah menjalankan perniagaan makanan panas di gerainya itu tanpa gangguan.
Begitupun gerai yang telah lama bertapak di kawasan yang didakwa milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu diroboh dengan rakus oleh anggota DBKL yang datang dengan jengkaut dan jentera pemusnah binaan pagi tadi.
Demikian kata Pak Din, yang juga seorang rakan lama Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditemui Harakahdaily petang tadi bagi menceritakan detik-detik cemas DBKL meroboh gerainya di hadapan Stesen KTMB Sentul dekat sini.
Hujan gerimis yang turut sejak tengah hari tadi lagi tidak meredakan panas di hati Pak Din kepada sikap DBKL yang lansung tidak mahu berbincang dengannya bagi memberi jalan kepada Pak Din untuk mendapatkan tapak di tempat lain meneruskan perniagaan.
Perasaan sayu di hati Pak Din tidak dapat ditahan memandangkan itu adalah punca rezeki beliau dan beberapa adiknya yang lain yang menjalankan perniagaan tersebut untuk menyabung hidup.
Malah bilik kecil belakang gerai yang dijadikan tempat menginap enam ahli keluarga Pak Din telah dirobohkan, dan ia menimbulkan keresahan di hati penghuninya dimana tempat berteduh selepas ini.
Meskipun selepas diserang jentera DBKL itu, Pak Din masih meneruskan perniagaanya bagi menghabiskan juadah yang disajikan sejak pagi tadi.
Ketika ditanya dimana beliau akan meneruskan perniagaan menjual mee rebus, laksa utara dan nasi campurnya itu jika DBKL datang lagi untuk memusnahkan baki binaan gerainya, Pak Din terkedu, malah menyerahkannya kepada takdir.
"Saya cuma minta DBKL bersabar, saya tahu saya perlu pindah berdasarkan kepada notis yang diberi beberapa kali, tetapi saya sedang menunggu kelulusan dari Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk membuka gerai di kawasan tanah milik jabatan itu.
Paling menyedihkan kata Pak Din, tanah tempat beliau berniaga itu difahamkan akan diserah kepada sebuah kontraktor besar milik bukan Bumiputera yang cukup terkenal.
Dakwanya, tapak gerai tempat beliau berniaga itu satu ketika dahulu dikuasai oleh golongan samseng, dan beliau berjaya menjalankan perniagaannya dengan mengusir samseng berkenaan.
Katanya lagi, peras ugut yang berlaku suatu ketika dahulu di situ berjaya diselesaikan setelah beberapa kali terpaksa berhadapan dengan samseng.
Akhirnya hari ini, gerainya itu separuh hancur disodok oleh jentera milik DBKL, kata Pak Din.
"Inilah perangai Umno, kata nak perjuangkan bangsa Melayu dan agama, tetapi bangsa sendiri dihalau dari berniaga di tanah Melayu.Apa yang mereka boleh buat hanyalah mengampu, dan 5 November ini sekali lagi mereka mengampu dan menipu orang Melayu,"katanya sedih.
"Saya dahulu pernah bersama PM (Abdullah) makan sama-sama dan berjuang bersama, tetapi kini inilah hadiah beliau kepada saya dengan DBKL meroboh tempat saya berniaga.Inilah satu-satunya pendapatan kami sekeluarga (beliau dan adik-beradiknya) selepas pencen,"katanya.
Jika gerai usangnya itu hendak terus dirobohkan DBKL lagi esok, maknanya Pak Din akan hilang mata pencariannya, malah nasib enam sekeluarga yang tinggal di bilik kecil belakang gerai Pak Din juga akan tidak menentu.
Ketika kunjungan Harakahdaily petang tadi, seorang bayi sedang ditidurkan oleh anak saudara Pak Din di dalam buaian di bahagian bilik belakang gerai yang mana dindingnya sudahpun terdedah kerana dirobohkan.
Pak Din sendiri tidak keruan dengan nasibnya, apatah lagi bayi yang sedang ditidurkan dalam buaian dan anak-anak sekolah yang bakal menanti malam dengan bilik yang tiada lagi dinding.
Esok sama-sama kita saksikan samada DBKL akan meruskan niatnya untuk meroboh gerai Pak Din atau sebaliknya.