Saturday, May 23, 2009
POLITIK : SABTU 23 MEI 2009
Zambry kekal Menteri Besar Perak
PUTRAJAYA 22 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Datuk SeriDr. Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
'Hormati keputusan'
SLIM RIVER 22 Mei - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir melahirkan rasasyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan beliausebagai Menteri Besar Perak yang sah dan berharap pakatan pembangkangturut menghormati keputusan proses perundangan yang sedang berjalanitu.
Zambry kekal MB
PUTRAJAYA:Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perakapabila Mahkamah Rayuan semalam membenarkan rayuannya bagi mengetepikankeputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk SeriMohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.
SPR bincang DUN Manik Urai Khamis
KUALALUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis iniuntuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan rayakecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan, yang kosongberikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, semalam.
PBPM bantah bawa pulang Chin Peng
KUALALUMPUR 22 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) membantah sarananPengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan supaya kerajaanmembenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulangke Malaysia.
Guna KBSM tarik rakyat
TEMERLOH22 Mei - Ahli-ahli dan pemimpin UMNO perlu mengamalkan konsep Kenduri,Bersalin, Sakit dan Mati (KBSM) bagi menarik semula sokongan rakyatkepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Semuanya sudah selesai - Mat Iraq
KOTA BHARU 22 Mei - Semuanya sudah selesai. Itu reaksi Ketua DewanUlama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi (gambar) ketika ditanya mengenaidakwaan rasuah politik dalam parti itu sehingga menyebabkan beliau akandipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia (SPRM).
Azalina lega, bersyukur bebas kes rasuah
JOHOR BAHRU 22 Mei - Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri AzalinaOthman Said lega bersyukur selepas disahkan tidak terlibat denganrasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pembangkang perlu akur
KUALA LUMPUR 22 Mei - Pakatan pembangkang di Perak dinasihat menerimakeputusan Mahkamah Rayuan yang secara konsensus mengesahkan kedudukanDatuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.
Pemimpin UMNO, BN lega dapat tumpu tugas
IPOH 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr.Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah hari ini memberikelegaan kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri ini.
Peguam kemuka rayuan Isnin
PUTRAJAYA22 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad NizarJamaluddin akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yangmengesahkan kedudukan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai MenteriBesar.
Pembangkang mahu DUN Perak dibubarkan
IPOH 22 Mei - Pakatan pembangkang mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN)dibubarkan kerana mendakwa kemenangan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadirdi Mahkamah Rayuan tidak akan mewujudkan kestabilan politik di negeriini.
Keputusan bukan luar biasa
SEREMBAN22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry AbdulKadir adalah Menteri Besar Perak yang sah bukan sesuatu yangmengejutkan atau luar biasa.
Saya terima tapi akan ambil tindakan - Nizar
IPOH22 Mei - ''Saya akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan bagaimanapun sayaakan mengambil tindakan susulan untuk mendapatkan pembelaan."
Bukti BN ikut keperluan undang-undang - PM
SINGAPURA 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr.Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah membuktikanbahawa Barisan Nasional (BN) telah melakukan perkara-perkara yangmenepati keperluan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk SeriNajib Tun Razak.
DUN Perak tidak akan dibubar
KUALA LUMPUR 22 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tundukdengan kehendak pakatan pembangkang supaya Dewan Undangan Negeri (DUN)Perak dibubarkan.
BN letak calon di Manek Urai
SINGAPURA 22 Mei - Jika Pas berharap parti itu dapat mengekalkan kerusiDewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan tanpa bertanding,mereka pasti kecewa kerana Barisan Nasional (BN) akan meletakkancalonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di DUN itu.
ADUN Manek Urai meninggal dunia
KUALA KRAI 22 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai,Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab IIdi sini pagi ini selepas dirawat di hospital berkenaan sejak hujungbulan lepas.
BN wajar tanding di Manek Urai
ALORSETAR 22 Mei - Barisan Nasional (BN) wajar bertanding pada Pilihan RayaKecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan kerana kerusiberkenaan kosong ekoran kematian wakil rakyatnya dan bukannyadisebabkan faktor rekaan pembangkang.
SPR cadang guna sistem biometrik
BUTTERWORTH22 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang menggunakan sistempengenalan data pengundi atau sistem biometrik pada pilihan raya umumakan datang.
Tarikh mengundi diumum 28 Mei
PUTRAJAYA22 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis depanuntuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan rayakecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai yang kosongberikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob pagi ini.
Pas usah terlalu yakin - Muhyiddin
KUALALUMPUR 22 Mei - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassinmengingatkan pemimpin Pas supaya tidak terlalu yakin dapatmempertahankan kerusi DUN Manek Urai yang kosong berikutan kematianpenyandangnya, Ismail Yaakob hari ini.
Sepuluh sekretariat UMNO WP ditubuh
KUALALUMPUR 22 Mei - Sebanyak 10 sekretariat baru Badan Perhubungan UMNOWilayah Persekutuan ditubuhkan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepadarakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan fahaman politik.
Bawa faktor 'wow' perlu masa
KUALA LUMPUR 22 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidakmempunyai tongkat sakti yang boleh menjadikan usaha membawa faktor'wow' kepada parti dan kerajaan berlaku dalam sekelip mata.
UMNO garis formula penerangan tawan Kedah
ALORSETAR 22 Mei - UMNO menggariskan formula penerangan iaitu 'PPSMSS' dan'KBSM' untuk menawan semula negeri ini daripada pembangkang padapilihan raya umum akan datang.
Pertandingan empat penjuru?
BUKIT MERTAJAM 22 Mei - Pilihan raya kecil Dewan Undangan negeri (DUN)Penanti 31 Mei ini dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuruantara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.
SPRM bebas siasat politik wang Pas
KUALALUMPUR: Pas sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya PencegahanRasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat dakwaan bahawa berlaku gejalarasuah dalam parti itu menjelang pemilihan parti berkenaan bulan depan.
6 tawar diri bela masyarakat Melayu
GEORGETOWN:Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dijangkamenyaksikan pertandingan enam penjuru, termasuk seorang ahli Umno danGerakan yang menawarkan diri sebagai calon Bebas.
‘Wajar tanding di Manik Urai’
ALORSETAR: Barisan Nasional (BN) wajar meletakkan calonnya bertanding padapilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantankerana kekosongan kerusi itu bukan berpunca daripada permainan politikpembangkang.
Kebenaran akhirnya sudah tiba: Zambry
SLIM RIVER: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersyukur dengan keputusanMahkamah Rayuan menerima permohonan beliau mengetepikan perisytiharanMahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Mohammad NizarJamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.
‘Tindakan Sultan berasas’
PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr ZambryAbdul Kadir sebagai Menteri Besar menunjukkan tindakan Sultan Perak,Sultan Azlah Shah melantiknya ke jawatan itu adalah berasaskanundang-undang.
Keputusan bukti BN tepati perlembagaan
SINGAPURA:Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuanmengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri BesarPerak yang sah, semalam menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN)membuat perkara yang menepati lunas undang-undang.
‘Perlu masa tarik sokongan rakyat’
KUALALUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN)memerlukan masa bagi menarik sokongan rakyat dengan melakukan perubahanyang membawa kebaikan kepada semua pihak.
BN letak calon tanding di DUN Manik Urai
SINGAPURA:Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan meletakkancalonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan UndanganNegeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan.
Raja Petra, isteri gagal hadir
PETALING JAYA 22 Mei - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Julai inisebutan semula waran tangkap terhadap pengendali laman web MalaysiaToday , Raja Petra Raja Kamaruddin yang gagal hadir buat kali keduahari ini.
Zambry kekal MB
Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my
AHLI Umno Cawangan Tanjung Malim menjulang Zambry sebaik saja mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya ketika merasmikan persidangan serentak mesyuarat Umno Cawangan Tanjung Malim di Slim River, semalam. |
Tiga hakim Mahkamah Rayuan ketepi keputusan Mahkamah Tinggi
PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak apabila Mahkamah Rayuan semalam membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pemegang sah jawatan itu.
Dalam keputusan sebulat suara, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang mendapati Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Rahim salah dalam membuat tafsiran peruntukan relevan terhadap Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).
"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan gagal menilai dengan betul dan secukupnya semua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan
yang salah," kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.
Mohd Raus dalam keputusan lisannya juga memutuskan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membuat keputusan betul melantik Zambry sebagai Menteri Besar selepas mendapati Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak pada Februari lalu.
"Kami juga berpendapat bahawa keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam bidang kuasa Sultan," katanya. Mohd Raus memberitahu peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah pihaknya akan menulis alasan penghakiman dalam tempoh seminggu.
Sulaiman memberitahu mahkamah, anak guamnya akan memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari dan memohon mahkamah menyiapkan alasan penghakiman bertulis secepat mungkin bagi membolehkan rayuan mereka didengar Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah itu juga membatalkan permohonan Mohammad Nizar untuk mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali, menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi selepas diberitahu pemohon ingin menarik balik permohonannya.
Mohd Raus berkata, mereka sependapat bahawa mengikut hak istimewa Sultan Perak, apabila permohonan Mohammad Nizar yang dibuat mengikut Perkara 16 (6) UTNP untuk pembubaran DUN ditolak, beliau mesti meletak jawatan.
"Tiada peruntukan khusus atau mandatori dalam UTNP untuk diadakan undi sokongan majoriti di DUN Perak. Malah, kehilangan sokongan majoriti Mohammad Nizar boleh ditentukan dengan cara lain (tidak hanya melalui undi).
"Sultan Perak betul untuk menjalankan siasatan dan adalah jelas bahawa Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti di DUN Perak. Oleh itu, Sultan mempunyai hak untuk melantik Zambry sebagai Menteri Besar," katanya.
Peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham, berkata anak guamnya akan meneruskan tugas seperti biasa selepas rayuannya dibenarkan.
Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan permohonan semakan kehakimannya.
Bagaimanapun sehari kemudian, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sehingga rayuannya diputuskan. Mohammad Nizar kemudian mengemukakan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
Zambry kekal Menteri Besar Perak
pengarang@utusan.com.my
|
|
PUTRAJAYA 22 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Md. Raus Shariff berpuas hati bahawa Sultan Perak betul ketika melantik Zambry menggantikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu.
Dengan itu, mahkamah sebulat suara membenarkan rayuan Zambry terhadap perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang mengesahkan sebaliknya terhadap Mohammad Nizar.
Hakim Md. Raus bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.
Zambry selaku perayu mahupun Mohammad Nizar sebagai responden dalam rayuan itu tidak hadir bagi mendengar keputusan yang mendapat perhatian meluas pihak media dan orang awam.
Hakim Md. Raus ketika membacakan penghakiman itu menyatakan, Sultan Perak betul ketika melantik Zambry berdasarkan Perkara 16(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKNP) 1957 selepas berpuas hati bahawa perayu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut beliau, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf mentafsir beberapa peruntukan dalam UTKNP ketika mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah.
Katanya, kegagalan menilai dan meneliti secara terperinci keseluruhan fakta dan dokumen bertulis yang dikemukakan sepanjang perbicaraan menjadikan perintah yang dikeluarkan itu salah dan wajar diketepikan.
Hakim Md. Raus berkata, Perkara 16(6) UTKNP jelas menunjukkan Sultan Perak mempunyai budi bicara mutlak menolak permohonan Mohammad Nizar untuk membubarkan sidang Dewan.
Menurut beliau, dalam menjalankan budi bicara baginda menolak permohonan itu, Mohammad Nizar bersama-sama barisan Exconya harus meletak jawatan.
Jelasnya, tiada keperluan mendesak dalam UTKNP yang menyatakan bahawa usul tidak percaya perlu dibentangkan terhadap Mohammad Nizar dalam persidangan Dewan.
''Berdasarkan kepada fakta yang dibentangkan ketika perbicaraan, jelas bahawa Mohammad Nizar telah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan,'' katanya.
Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa Sultan Perak betul ketika menjalankan sesi temu bual bagi memastikan Mohammad Nizar benar-benar kehilangan sokongan majoriti ADUN sebelum membuat keputusan menolak permohonannya membubarkan Dewan.
Zambry merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan Mohammad Nizar, 52, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Hakim Abdul Aziz membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati Sultan untuk membubarkan persidangan Dewan.
Alasan-alasan penghakiman Hakim Abdul Aziz antara lain menyatakan Mohammad Nizar masih Menteri Besar yang sah kerana tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya.
Selain itu, Perkara 16(6) UTKNP tidak menyatakan bahawa seseorang Menteri Besar boleh dipecat atau jawatan itu boleh dikosongkan dalam keadaan Mohammad Nizar tidak meletak jawatan.
Bagaimanapun, sehari selepas itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry agar perintah Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu rayuan penuh diputuskan.
Mohammad Nizar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan selanjutnya mengemukakan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan yang diperoleh Zambry.
Panel hakim yang bersidang hari ini menolak permohonan tersebut.
Sebaik sahaja keputusan diumumkan, peguam Sulaiman Abdullah memberitahu, pihaknya diarahkan memfailkan kebenaran untuk merayu keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan.
Beliau memohon agar mahkamah menyediakan penghakiman bertulis secepat mungkin bagi membolehkan pihaknya memfailkan notis kebenaran merayu.
Hakim Md. Raus memberi jaminan akan menyiapkan penghakiman penuh keputusan itu dalam tempoh seminggu.
Peguam Datuk Cecil Abraham mewakili Zambry manakala Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah bagi pihak Kerajaan Malaysia.
ADUN Manek Urai meninggal dunia
|
|
KUALA KRAI 22 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pagi ini selepas dirawat di hospital berkenaan sejak hujung bulan lepas.
Ismail yang lebih dikenali sebagai 'Pak Su We'a' di kalangan penduduk kawasan berkenaan menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan dua orang anaknya kira-kira pukul 5.55 pagi selepas menderita sakit jantung dan kencing manis dan darah tinggi.
Isteri Allahyarham, Siti Zaharah Ibrahim, 58, berkata, sejak empat tahun lalu, suaminya sering berulang-alik ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Kata beliau, suaminya dirawat di wad hospital itu kira-kira sebulan lalu apabila penyakit yang dihidapinya semakin teruk sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong pada minggu lepas.
"Sebelum ini, arwah pernah berkata kepada saya bahawa beliau amat berharap untuk menjalankan tugasnya sebagai ADUN sehingga habis penggal ini, tetapi hasratnya tidak kesampaian.
"Saya bersedia dan reda menerima kenyataan ini kerana allahyarham telah menderita sakit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan 11 orang anak, lima perempuan serta enam lelaki berusia antara 17 sehingga 35 tahun.
Jenazah allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengimamkan solat jenazah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Nassaruddin Daud; Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Paloh, Datuk Norzula Mat Diah.
Ismail yang mewakili Pas memenangi kerusi DUN Manek Urai sejak pilihan raya umum pada tahun 1986.
Beliau merupakan ADUN yang paling lama berkhidmat di negeri ini selepas Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun, pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak dicalonkan untuk kerusi tersebut, sebaliknya diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim yang tewas kepada wakil BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai telah dipilih semula untuk mewakili Pas di kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-12.
Allahyarham yang memperoleh 5,746 undi menewaskan Mohamed Zulkifli yang memperoleh 4,394 undi.
Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut mempunyai DUN Dabong, Guchil dan Mengkembang.
Keputusan bukan luar biasa
SEREMBAN 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah bukan sesuatu yang mengejutkan atau luar biasa.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, ini kerana keputusan mahkamah itu memihak kepada parti yang benar-benar berhak iaitu mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Menurutnya, melalui sistem demokrasi, pihak yang memperoleh sokongan majoriti di DUN atau Parlimen memiliki kuasa untuk mentadbir negeri mahupun negara.
"Mereka yang mempunyai majoritilah yang patut mentadbir negeri atau negara. Sama ada kita mahu bubar Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen, itu terpulanglah.
"Keputusan (sebelum ini) yang memihak kepada pihak minoriti bukanlah yang terbaik. Sebab itu, bagi saya keputusan Mahkamah Rayuan memang tepat dan tidak mengejutkan," kata beliau di sini hari ini.
Mohamad mengulas keputusan Mahkamah Rayuan petang ini yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu yang memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Sebaliknya, tiga orang hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang sebulat suara memutuskan bahawa Zambry adalah menteri besar yang sah.
Ditanya berkemungkinan kes itu berlanjutan sehingga tuntutan dibuat ke peringkat Mahkamah Persekutuan, Mohamad menjelaskan, sebenarnya ada pihak yang menyalahgunakan sistem demokrasi dan sistem perundangan.
"Kita terlupa kepentingan rakyat. Sekarang sepatutnya masa untuk kita buat kerja, kita berikanlah tumpuan dalam aspek itu," kata beliau.
Mengenai pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ismail Yaacob, 60, pagi tadi, Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk meletakkan calonnya kelak.
"Kekosongan ini disebabkan penyandang meninggal dunia, bukan seperti di Penanti yang mana parti pembangkang mempermain-mainkan sistem demokrasi, jadi di Manek Urai, BN pasti bertanding," katanya.
Pemimpin UMNO, BN lega dapat tumpu tugas
IPOH 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah hari ini memberi kelegaan kepada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri ini.
Beberapa pemimpin UMNO ketika dihubungi di sini hari ini mengakui mereka berasa gembira dan bersyukur dengan keputusan itu kerana selepas ini boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas membantu rakyat.
Setiausaha Perhubungan UMNO Perak, Datuk Ramli Zahari berkata, beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berasa lega dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Zambry.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri berkata, keputusan itu memudahkan mereka merancang strategi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa diganggu oleh masalah politik.
''Kita juga amat menyanjungi institusi kehakiman yang telus dan adil semasa membuat keputusan mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.
''Saya mewakili ADUN BN berharap ADUN dari parti pakatan pembangkang menghormati keputusan dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini," katanya.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perak, Abashah Othman berkata, keputusan mahkamah yang memihak kepada Zambry sekaligus mengakhiri kemelut politik di Perak.
''Selama tiga bulan, kita sibuk berpolitik sehingga kadang-kadang hilang masa untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja membantu rakyat.
''Kini, kita boleh bekerja semula tanpa sebarang halangan, malah ia memberi peluang kepada kita untuk menumpukan sepenuh perhatian bagi menghadapi pilihan raya kecil di Kelantan nanti," katanya.
Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed pula berharap parti pakatan pembangkang tidak lagi mempersoalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
''Saya harap selepas ini tidak timbul lagi soal hakim tidak adil dan tidak betul membuat keputusan.
''Semua pihak termasuk pembangkang harus menerima keputusan ini dan Puteri UMNO Perak berazam bekerja bersungguh-sungguh membantu rakyat selepas keadaan politik kembali stabil," ujarnya.
Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, krisis politik yang berlaku sebelum ini telah menganggu kerajaan BN menjalankan tugas pentadbiran.
''Selepas ini, Exco kerajaan negeri dapat menumpukan perhatian kepada tugas meningkatkan taraf ekonomi dan pembangunan di Perak yang sudah tiga bulan tergendala gara-gara diganggu oleh isu jawatan Menteri Besar.
''Saya yakin keputusan hari ini disambut baik oleh banyak pihak termasuklah rakyat Perak yang sudah letih menyaksikan drama pergolakan politik yang berlaku selama ini," katanya.
Pembangkang perlu akur
Oleh ARSHAD KHAN dan SAIFUL HAIZAN HAZAM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Mei - Pakatan pembangkang di Perak dinasihat menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang secara konsensus mengesahkan kedudukan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan negeri yang sah hari ini perlu diberi peluang mentadbir Perak demi kebaikan rakyat tanpa diganggu-gugat oleh apa jua tindakan dan pertimbangan politik.
Katanya, semua pihak perlu sedar bahawa kemelut politik yang berlarutan sebelum ini telah menyebabkan rakyat berasa bosan dan ia sepatutnya dihentikan segera.
"Kita akur dengan keputusan awal, maka saya berharap mereka juga akan menghormati keputusan hari ini.
"Biarlah semua pihak melalui proses mahkamah dan biarlah kerajaan yang sah hari ini mentadbir Perak demi rakyat tanpa diganggu gugat dengan tindakan dan pertimbangan politik, saya yakin ramai dah bosan dengan pendekatan politik semata-mata," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang telah diputuskan itu adalah mengikut lunas undang-undang dan tidak sepatutnya wujud sebarang pertikaian lain berhubung keputusan itu.
Katanya, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin harus akur dengan ketetapan tersebut dan menerimanya dengan hati dan sikap terbuka seperti yang ditunjukkan oleh Zambry ketika Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan beliau bukan Menteri Besar Perak.
"Pembangkang bukan setakat harus bersikap matang, tetapi juga menerima hakikat situasi di Perak sekarang," katanya.
Hakim Datuk Md. Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop hari ini memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.
Hakim Md. Raus, dalam penghakiman lisannya, juga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru, berdasarkan Perkara 16 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut menyuarakan pandangan yang sama iaitu pembangkang harus menerima keputusan Mahkamah Rayuan itu.
"Dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Pemuda harap kemelut politik Perak boleh berakhir dan pentadbiran negeri kembali stabil. Rakyat Perak dah banyak menderita kerana ketidaktentuan politik," katanya.
Katanya, inilah masa pembangkang berjiwa besar dan menerima hakikat bahawa BN adalah kerajaan negeri yang sah dari segi undang-undang.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, krisis kepimpinan di Perak bermula apabila pembangkang enggan menerima hakikat mereka telah kehilangan kuasa majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Perak.
"Tuanku Sultan Perak telah bertindak sangat adil dengan menilai sendiri siapa yang memiliki sokongan majoriti, hasilnya baginda berkenan dengan kedudukan Zambry yang nyata mendapat sokongan yang lebih berbanding pembangkang," katanya.
Jelas beliau, Undang-undang Tubuh Negeri Perak sebenarnya memiliki fasal yang amat jelas berhubung perkara itu dan pembangkang sepatutnya sudah memahami perkara itu sejak dari awal lagi dan tidak mempersoalkan apa-apa lagi.
Katanya, apabila tiga hakim sebulat suara bersetuju Zambry adalah Menteri Besar yang betul, maka ini memperlihatkan tidak wujud sebarang keraguan undang-undang berhubung kedudukan beliau.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini memberikan keadilan kepada semua pihak.
"Cukuplah politiking dan tumpu pula usaha ke arah membangunkan Perak demi kesejahteraan rakyatnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata keputusan mahkamah itu mengesahkan bahawa tindakan Sultan Azlan Shah melantik Zambry tidak bertentangan dengan undang-undang.
Katanya, ia juga bertepatan dengan pendirian UMNO bahawa baginda selaku bekas Ketua Hakim Negara tidak mungkin tersilap dalam membuat keputusan yang begitu penting.
"Segalanya sudah jelas dan terang tentang isu di Perak dan saya berharap Zambry dapat melaksanakan tugas membela rakyat dan membangunkan negeri.
"Keputusan sebelum ini dibuat oleh seorang hakim, hari ini pula ia diputuskan tiga orang hakim di mahkamah yang lebih tinggi, semua pihak perlu menerimanya," tegasnya.
Kebenaran akhirnya sudah tiba: Zambry
SLIM RIVER: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersyukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan menerima permohonan beliau mengetepikan perisytiharan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai "kebenaran telah tiba".
"Saya bersyukur kepada Allah SWT dan rasa rendah diri serta tawaduk dengan keputusan mahkamah itu, seperti juga ketika saya menerima keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
"Saya sering kali percaya bahawa ketika kemelut melanda, kebenaran akhirnya akan tiba," katanya berucap di hadapan kira-kira 1,000 ahli Umno cawangan Tanjung Malim di sini, semalam.
Beliau hadir bagi merasmikan persidangan serentak mesyuarat Umno Cawangan Tanjung Malim yang diadakan di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini, semalam.
Zambry mengetahui mengenai keputusan itu pada jam 3.50 petang apabila beliau dimaklumkan oleh seorang daripada peguamnya di Putrajaya melalui sistem pesanan ringkas (SMS); "We Won" (Kita menang), sebelum memulakan ucapan perasmiannya.
Sebaik mengetahui keputusan itu, Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib merangkap Adun Slim memaklumkan kepada ahli Umno yang hadir dan mereka bersorak gembira sambil melaungkan `Hidup Umno' dan `Hidup Zambry'.
Sehubungan itu, Zambry mahu pembangkang akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan, seperti beliau menerima keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Zambry berkata, dengan keputusan itu, ahli Umno dan BN Perak perlu kembali memperkuatkan parti dan meneruskan agenda pembangunan kepada rakyat.
Mengenai kemungkinan pakatan pembangkang akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan sebagai usaha terakhir mereka, katanya, itu adalah hak mereka asalkan ia mengikut proses dan lunas undang-undang.
Pada sidang medianya selepas itu, Dr Zambry berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar bagi memastikan pembangunan di Perak terus berjalan rancak dan tidak tergendala.
Sementara itu, Mohammad Nizar akur dengan keputusan sebulat suara panel hakim Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
'Hormati keputusan'
SLIM RIVER 22 Mei - Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir melahirkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan berharap pakatan pembangkang turut menghormati keputusan proses perundangan yang sedang berjalan itu.
Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah meneruskan tugas pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan dan program pembangunan ekonomi di negeri ini dapat berjalan dengan baik.
''Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah dengan rasa tawaduk saya terima keputusan ini, seperti juga apabila saya dimaklumkan keputusan Mahkamah Tinggi (yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah), saya hormati keputusan Mahkamah Rayuan.
''Saya hendak meneruskan kerja saya dan tugas-tugas pentadbiran kerana itu lagi penting, saya tidak mahu terganggu dari apa yang saya patut buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan serentak Persidangan UMNO Cawangan Bahagian Tanjung Malim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang sebulat suara mengisytiharkan dirinya sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berharap, semua pihak termasuk pakatan pembangkang menghormati keputusan perundangan itu bagi memastikan kestabilan dan keamanan di Perak kerana ia adalah suasana yang dimahukan oleh rakyat.
''Biarlah semua hormati proses perundangan dan jangan gunakan medan ceramah untuk mengherdik dan menafikan keputusan yang dibuat seperti yang mereka (pakatan pembangkang) lakukan.
''Pendirian saya jelas dari awal lagi, saya tidak beri komen sebaliknya terhadap keputusan mahkamah dan pendirian itu tetap sama sehingga sekarang," katanya.
Ditanya sekiranya kes itu berlarutan ke Mahkamah Persekutuan, beliau berkata, biarlah ia berjalan mengikut proses perundangan dan tidak dimanipulasikan dengan mengambil kesempatan memberikan komen tidak membina terhadap keputusan yang dibuat.
Terdahulu, lima minit sebelum majlis perasmian itu bermula pada pukul 4 petang, Dewan Tan Sri Ghazali Jawi bergema dengan sorakan gembira 'Hidup UMNO' dan 'Hidup Zambry' sebaik keputusan Mahkamah Rayuan itu diketahui oleh kira-kira 1,000 ahli UMNO Bahagian Tanjung Malim yang hadir.
Mereka seperti dapat mengagak keputusan tersebut memihak kepada Zambry selepas melihat Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Talib bersalaman dengan Menteri Besar Perak itu di atas pentas sebaik Zambry menunjukkan kandungan khidmat pesanan ringkas yang diterima daripada peguamnya kepada Khusairi.
Suasana dewan bertambah meriah selepas Khusairi pula tampil mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Ekoran keputusan gembira itu, Khusairi yang sepatutnya memberikan ucapan aluan pada majlis itu tidak berbuat demikian bagi memberikan laluan kepada Zambry untuk berucap yang mengambil masa selama sejam.
Dalam ucapannya, Zambry banyak menyentuh mengenai krisis politik di Perak terutamanya tindakan pakatan pembangkang yang mengadakan ceramah merata-rata menaburkan fitnah untuk membohongi rakyat.
Beliau turut menempelak sikap pakatan pembangkang yang memuji sistem perundangan sebagai adil dan bagus apabila keputusan berpihak kepada mereka tetapi apabila sebaliknya, ia dikatakan sebagai zalim.
‘Tindakan Sultan berasas’
PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar menunjukkan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah melantiknya ke jawatan itu adalah berasaskan undang-undang.
Penasihat Undang-undang Umno yang bertindak peguam pemerhati, Datuk Mohd Hafirizam Harun, berkata apa saja yang diperkatakan sebelum ini kononnya pelantikan Zambry tidak sah, kini menjadi akademik.
"Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan, kini jelaslah apa yang dilakukan Sultan Perak melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang baru adalah berasaskan undang-undang," katanya semalam.
Mohd Hafirizam berkata, Barisan Nasional (BN) menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai mercu tanda kerana kedudukan Malaysia adalah sama di negara Komanwel lain di mana hak melantik Ketua Menteri atau Perdana Menteri adalah kuasa dan hak mutlak Raja atau permaisuri.
"Dengan ini saya berharap perlembagaan negeri Perak dipulihkan dan tidak ada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Beliau berkata, Zambry akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar selepas mula memegang jawatan itu pada 6 Februari lalu.
Mengenai kemungkinan Mohammad Nizar membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, beliau berkata pihaknya bersedia menentang bekas Menteri Besar itu di mahkamah.
Bagaimanapun, Mohd Hafirizam berkata, bukan mudah bagi Mohammad Nizar untuk mengemukakan rayuan memandangkan keputusan semalam adalah sebulat suara.
Selain itu, wakil BN yang hadir dalam mahkamah, Datuk T Murugiah berkata, keputusan mahkamah itu petanda baik untuk BN di Perak dan membolehkan kerajaan negeri berfungsi.
"Kita terima semua keputusan mahkamah dan ini pasti menjadi suntikan baru kepada Dr Zambry untuk memimpin Perak tanpa masalah,” katanya.
Keputusan bukti BN tepati perlembagaan
Oleh Azman Zakaria dan Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my
SINGAPURA: Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, semalam menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) membuat perkara yang menepati lunas undang-undang.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga menunjukkan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang menepati peruntukan Perlembagaan negeri itu.
“Kerajaan yang ada di Perak adalah kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan boleh terus wujud mentadbir negeri serta berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Singapura, sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mendapati keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah dan mengetepikan keputusan itu.
Najib yang juga Pengerusi BN melahirkan kesyukuran atas keputusan itu dan berkata, BN akan melaksanakan tanggungjawab dan amanah mentadbir negeri dengan bersungguh-sungguh supaya keyakinan rakyat kepada kerajaan BN di Perak dapat dibawa pada peringkat yang lebih baik.
“Keputusan itu juga menunjukkan kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di bawah bidang kuasa Sultan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berharap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak itu, akan menamatkan kemelut politik di negeri berkenaan.
Muhyiddin berkata, pembangkang harus menghormati keputusan mahkamah itu kerana ia diputuskan badan perundangan negara dan tidak perlu diungkit lagi.
“Saya harap kemelut politik yang berlaku di Perak dan pertikaian status Menteri Besar sudah selesai. Parti pembangkang harus menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka.
“Hormatilah keputusan ini dan berilah peluang kepada Zambry menjalankan tugasnya tanpa diganggu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang berlangsung selama tiga jam di ibu negara, semalam.
Beliau berkata, sebarang kempen yang dilakukan pembangkang untuk mempertikaikan keputusan itu bagi menimbulkan kesangsian rakyat adalah satu kesalahan kerana menghina mahkamah.
“Zambry mempunyai tugas yang berat untuk memulihkan keyakinan rakyat negeri Perak dan membangunkan negeri itu yang sebelum ini dalam keadaan tidak menentu dan mengganggu kelicinan pentadbiran Perak. Ia tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada rakyat.
“Eloklah rakyat diutamakan, bagi peluang kepada kerajaan yang ada mengutamakan rakyat,” katanya.
Muhyiddin juga berharap rakyat Perak menerima keputusan mahkamah itu dengan baik dan memadamkan segala tanggapan yang tidak betul.
Katanya, keputusan mahkamah itu juga membuktikan tindakan Sultan Perak sebelum ini mengikut undang-undang.
Ketika ditanya sama ada BN akan membubarkan DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak perlu kerana kerajaan yang ada hari ini sudah disahkan oleh mahkamah.
Bukti BN ikut keperluan undang-undang - PM
SINGAPURA 22 Mei - Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) telah melakukan perkara-perkara yang menepati keperluan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menjelaskan, keputusan mahkamah rayuan itu menunjukkan bahawa dari segi prinsip, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pun telah membuat keputusan yang menepati peruntukan Perlembagaan Perak.
"Maka, kerajaan yang ada di Perak ini kerajaan yang sah di sisi undang-undang dan kerajaan BN di Perak ini boleh terus wujud dan mentadbir negeri Perak dan berkhidmat untuk rakyat Perak.
"Saya berasa begitu berpuas hati dan bersyukur di atas keputusan ini," tegas Najib dalam sidang akhbar dengan media Malaysia pada hari terakhir lawatan rasminya ke republik ini hari ini.
Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Rayuan itu, Najib berkata, mahkamah juga mengesahkan bahawa keputusan untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kuasa sultan.
"Keputusan itu mengesahkan ia adalah hak perogatif sultan untuk memutuskannya (sama ada membubarkan atau tidak DUN)," tambahnya.
Dengan keputusan itu, Perdana Menteri berharap, kerajaan negeri BN akan melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya dengan bersungguh-sungguh supaya keyakinan rakyat terhadap BN di Perak dapat diangkat ke peringkat lebih baik. - UTUSAN
BN letak calon tanding di DUN Manik Urai
Oleh Azman Zakaria dan Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my
SINGAPURA: Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, keputusan itu dibuat atas dasar prinsip kerana kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada parti Pas, pagi semalam.
“Ini soal prinsip... jika kerusi kosong sebab Perlembagaan seperti kerana seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggal, kita akan mematuhi kehendak untuk meletakkan calon.
“Tapi jika kerusi kosong kerana mainan politik, kita tidak akan letak calon," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Singapura, di sini semalam.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN akan meletakkan calonnya bertanding kerusi DUN Manik Urai dan tidak akan sesekali akan memberi laluan mudah kepada Pas.
“Kita akan bertanding di kawasan itu apabila diumumkan kekosongan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau di DUN Penanti, kita tidak bertanding kerana disebabkan apa yang kita sebutkan sebelum ini, yang ini disebabkan kematian dan kekosongan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikiankepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang berlangsung selama tiga jam di ibu negara.
Muhyiddin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail.
Mengulas desakan Pas supaya Umno tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata, Umno tidak akan memberi laluan mudah kepada parti itu kerana dalam pilihan raya umum lalu, Umno hanya kalah kira-kira 1,000 undi saja.
“Kita yakin ini peluang untuk pengundi Manek Urai untuk melihat kembali apa yang sudah kita lakukan sebelum ini. Pas pula jangan terlalu yakin bahawa ini kawasan mereka dan akan sentiasa menang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga anggota delegasi Malaysia dalam lawatan Najib ke Singapura berkata, Umno negeri akan bermesyuarat malam ini di Kota Bharu untuk membincangkan perkara itu dan mendapatkan pandangan mengenainya.
“Tetapi sudah jelas bahawa secara prinsipnya, kita akan letak calon dan mesyuarat esok (malam ini) akan membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil itu,” katanya.
Mustapa berkata, peluang pada pilihan raya kecil itu terbuka dan ia boleh berpihak kepada mana-mana parti.
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, beliau berkata, pilihan raya kecil itu satu ruang untuk membuktikan Umno masih relevan di Malaysia dan Kelantan.
BN letak calon di Manek Urai
SINGAPURA 22 Mei - Jika Pas berharap parti itu dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan tanpa bertanding, mereka pasti kecewa kerana Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di DUN itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dari segi prinsip, BN pasti akan meletakkan calonnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai yang perlu diadakan dalam masa 60 hari.
"Ini soal prinsip, jika kekosongan itu berlaku atas sebab-sebab perlembagaan seperti kematian, maka kita akan patuh kepada keperluan perlembagaan dan kita akan letakkan calon.
"Tetapi dalam kes-kes kekosongan berlaku kerana ada manipulasi politik, kita tidak akan menari ikut rentak pembangkang," tegas Najib dalam sidang akhbar dengan media Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas cadangan Pas agar BN tidak bertanding di Manek Urai dalam kawasan Parlimen Kuala Krai memandangkan BN akan tewas di kubu kuat parti Islam tersebut.
Kerusi DUN Malek Urai menjadi kosong selepas Ahli ADUNnya, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu kira-kira 5.55 pagi tadi kerana sakit jantung.
Pada 18 Mei lalu, Najib berkata, BN memutuskan tidak akan meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti 31 Mei ini kerana 'ia hanyalah satu permainan politik pembangkang'.
Sebagai membuktikan kesungguhan BN untuk menawan kerusi DUN Manek Urai itu, Perhubungan UMNO Negeri Kelantan akan mengadakan mesyuarat pada malam esok, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, beliau sudahpun memanggil anggota-anggota Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk menghadiri mesyuarat di Kota Bharu bagi membincangkan isu pilihan raya kecil itu bagi mendapatkan pandangan.
"Dari segi prinsipnya, kita akan meletakkan calon, cuma mesyuarat malam esok lebih merupakan membincangkan persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil.
"Kita akan bincang tentang apa yang perlu dibuat, kita akan merancang tindakan-tindakan termasuk jentera penerangan turun ke bawah dan bentuk kempen lain yang perlu kita lakukan," katanya. - UTUSAN
yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Mustapa berada di Singapura bagi mengiringi Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi dua harinya ke Singapura bermula semalam.
Ditanya mengenai senarai calon yang layak ditimbangkan untuk bertanding, Mustapa menjelaskan, masih terlalu awal untuk membincangkan perkara tersebut.
Menjawab saranan Pas yang mahu BN tidak bertanding di Manik Urai kerana ia kubu kuatnya, beliau berkata, Pas kadang-kadang menampakkan keangkuhannya memandangkan rakyat belum lagi membuat keputusan dan pilihan raya kecil pun belum diadakan lagi.
"BN masih ada peluang. Kita akan bekerja bersungguh-sungguh. Kita akan letakkan calon terbaik. Kita akan mantapkan jentera. Kita akan rancang strategi terbaik untuk lawan habis-habisan," ujarnya.
SPR bincang DUN Manik Urai Khamis
Oleh Anwar Hussin dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my
Ismail Yaacob |
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan, yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob, semalam.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mesyuarat akan diadakan pada hari berkenaan jika surat makluman kekosongan kerusi itu dihantar Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud pada Isnin ini.
“Mesyuarat itu dijangka bermula jam 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian, jika ada pertandingan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam, Mohd Nassuruddin memberitahu pemberita, pihaknya dijangka memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN Manik Urai itu pada Isnin untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Notis makluman itu hanya boleh dihantar kepada SPR pada Isnin ini kerana semalam dan hari ini adalah cuti hujung minggu di Kelantan, manakala Ahad pula cuti hujung minggu di ibu negara.
Ismail, 60, daripada Pas mula memenangi kerusi DUN Manik Urai pada pilihan raya umum 1985. Beliau meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ-II), Kota Bharu kira-kira jam 5.55 pagi kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 26 April lalu.
Isterinya, Siti Zaharah Ibrahim, 58, ketika ditemui di Kota Bharu semalam berkata, suaminya mengalami masalah jantung sejak kira-kira empat tahun lalu, selain menghidap gout dan darah tinggi.
“Sejak mengalami sakit jantung, Allahyarham sering menjalani rawatan dan pagi tadi (semalam) beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi saya dan dua anak kami,” katanya yang dikurniakan 11 anak, hasil perkongsian hidup dengan Ismail.
Jenazah Allahyarham dibawa dari HRPZ-II ke rumahnya di Manek Urai Lama, dekat sini sebelum disembahyangkan di masjid berdekatan dengan diimamkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas solat Jumaat.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama pada kira-kira jam 2.30 petang semalam. Kira-kira 1,000 penduduk sekitar dan pemimpin Pas tempatan menghadiri pengebumian beliau.
Allahyarham adalah antara wakil rakyat Pas paling lama di Kelantan apabila menjadi Adun Manek Urai selama lima penggal sejak 1985. Hanya pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi itu, sebaliknya diwakili Zamzuri Mat Lazim, yang tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohamed Zulkifli Omar, dengan majoriti 53 undi.
DUN N41 Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut menempatkan DUN Dabong, Guchil serta Mengkebang.
Tarikh mengundi diumum 28 Mei
PUTRAJAYA 22 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Khamis depan untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob pagi ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, mesyuarat akan diadakan pada hari berkenaan sekiranya surat pemakluman mengenai kekosongan dihantar Isnin ini.
''Mesyuarat dijangka bermula pada pukul 10 pagi dan SPR akan memaklumkan pada hari sama mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Speaker DUN Kelantan Mohd. Nassuruddin Daud hari ini berkata, kekosongan kerusi DUN Manek Urai akan dimaklumkan kepada SPR Isnin ini.
Ismail, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini kira-kira 5.55 pagi ini kerana sakit jantung selepas dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak bulan lepas.
Beliau yang mewakili Pas mula memenangi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985.
Saya terima tapi akan ambil tindakan - Nizar
IPOH 22 Mei - ''Saya akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan bagaimanapun saya akan mengambil tindakan susulan untuk mendapatkan pembelaan."
Itu reaksi segera Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tentang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah melibatkan beliau dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Mohammad Nizar, beliau akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.
''Saya akan membuat permohonan di Mahkamah Rayuan supaya kes ini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, mungkin Isnin ini," katanya di sini hari ini.
Keputusan sama ada Zambry atau Mohmmad Nizar diisytiharkan kekal sebagai Menteri Besar Perak terjawab apabila Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.
‘Wajar tanding di Manik Urai’
Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) wajar meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan kerana kekosongan kerusi itu bukan berpunca daripada permainan politik pembangkang.
Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata beliau secara peribadi mahu BN meletakkan calon kerana ia disebabkan penyandang kerusi itu meninggal dunia yang memerlukan wakil rakyat baru dipilih.
"Saya akan mencadangkan kepada pemimpin Umno dan BN supaya parti meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN itu kerana ia bukan faktor permainan politik parti pembangkang.
"Kekosongan kerusi itu adalah disebabkan kematian dan BN perlu bertanding," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Penerangan Umno Bahagian di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN akan bertanding pada pilihan raya kecil itu berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai dari Pas, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan jam 5.55 pagi semalam kerana sakit jantung.
Manik Urai terletak di kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut mempunyai tiga lagi DUN, iaitu Dabung, Guchil dan Mengkabang.
Ahmad berkata, situasi di Manik Urai berbeza dengan di DUN Penanti, Pulau Pinang kerana penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan atas alasan mahu melanjutkan pelajaran.
BN memutuskan tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang akan diadakan pada 31 Mei ini.
BN wajar tanding di Manek Urai
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR 22 Mei - Barisan Nasional (BN) wajar bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan kerana kerusi berkenaan kosong ekoran kematian wakil rakyatnya dan bukannya disebabkan faktor rekaan pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, faktor pilihan raya kecil yang bakal diadakan itu berbeza dengan DUN Penanti memandangkan ia berlaku atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Sehubungan itu, katanya, beliau secara peribadi akan mengesyorkan kepada pucuk kepimpinan parti supaya menyertai pilihan raya tersebut meskipun kawasan berkenaan merupakan kubu kuat Pas.
"Atas jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, saya secara peribadi akan mencadangkan kepada pemimpin UMNO dan BN supaya bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai kerana ia diadakan atas faktor kematian wakil rakyat dan bukannya faktor rekaan.
"Tetapi kata putus terserah kepada pucuk kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua penerangan bahagian empat peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ahmad menggesa BN memboikot pilihan raya kecil yang mungkin diadakan lagi pada masa depan jika didapati ia 'diatur' oleh pihak pembangkang dan bukannya disebabkan faktor kematian wakil rakyat atau kerana perintah mahkamah.
Beliau berkata, BN perlu berpolitik mengikut caranya tersendiri dan tidak harus terpedaya dengan perangkap pembangkang yang menjadikan siri pilihan raya kecil sebagai medan membina imej mereka.
Sebelum ini, BN mengumumkan keputusan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Penanti di Pulau Pinang 31 Mei ini selepas kerusi itu kosong apabila penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan atas alasan mahu melanjutkan pengajian ke peringkat pasca ijazah.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, jentera penerangan UMNO khususnya di Kelantan sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa seandainya BN bertanding pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai.
Peguam kemuka rayuan Isnin
Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 22 Mei - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kedudukan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar.
Peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, rayuan berhubung keputusan itu akan dibuat seawal-awalnya Isnin ini.
''Kita akan membuat rayuan," katanya ringkas kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Md. Raus Shariff petang ini memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Zambry sebelum itu merayu terhadap perintah Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu yang mengesahkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman pemimpin itu.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyuarakan rasa terkejut dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
''Sudah tentunya kita akan melakukan rayuan di Mahkamah Persekutuan, tetapi apa yang penting ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan supaya rakyat diberi peluang untuk memilih kerajaan," katanya.
Mengulas perkara sama, peguam Zambry, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, Mohammad Nizar akan berhadapan dengan cabaran dalam permohonan rayuan kerana hakim-hakim Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.
''(Mohammad) Nizar perlu mengemukakan asas yang kukuh sebelum dibenarkan untuk membuat permohonannya," katanya.
Ditanya sama ada kemenangan Zambry akan memulakan krisis baru di Perak, Mohd. Hafarizam berkata, keadaan itu tidak berlaku kerana Zambry hanya meneruskan tugas sebagai Menteri Besar.
''Datuk Seri Zambry tidak perlu menjalankan semula tugas sebagai Menteri Besar kerana dia memang sedang menjalankan tugas itu," katanya.
Pas usah terlalu yakin - Muhyiddin
KUALA LUMPUR 22 Mei - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin Pas supaya tidak terlalu yakin dapat mempertahankan kerusi DUN Manek Urai yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob hari ini.
Beliau berkata, UMNO pasti tidak akan memberikan laluan mudah kepada Pas apatah lagi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan hanya tewas dengan kira-kira 1,000 undi sahaja pada pilihan raya umum lalu.
''Walaupun begitu, kita yakin ini peluang untuk pengundi di DUN Manek Urai meneliti apa yang BN telah lakukan.
''Dan Pas pula jangan terlalu yakin yang ini (DUN Manek Urai) kawasan mereka dan mereka akan menang sentiasa. Kita akan bertanding di situ, Insya Allah,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah persekutuan di sini hari ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali mencadangkan supaya BN tidak bertanding di kerusi berkenaan kerana Pas yakin mampu mempertahankannya kerana ia parti itu menguasainya sejak sekian lama.
Menurut Mustafa, justeru beliau amat berharap BN dapat menerima cadangan ini kerana ini membantu menjimatkan kos sedangkan jika BN memutuskan sebaliknya, ramai boleh menjangkakan parti mana yang akan menang.
Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu kira-kira 5.55 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital tersebut untuk menerima rawatan sejak bulan lepas akibat sakit jantung.
Ismail yang mewakili PAS mula memenangi kerusi DUN Manek Urai pada pilihan raya umum 1985.
Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut, sebaliknya Pas diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim dan parti itu tewas kepada BN.
Namun Ismail dipilih semula bertanding di DUN berkenaan pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar yang juga penyandang dengan majoriti 1,352 undi.
Mengulas mengenai cadangan Mustafa itu, Muhyiddin berkata, tidak ada sebab untuk BN tidak meletakkan calon di DUN Manek Urai seperti mana yang dilakukan di kerusi DUN Penanti.
Beliau berkata, BN dalam hal ini pasti akan bertanding kerana situasi di DUN Manek Urai adalah berbeza dengan apa yang berlaku di DUN Penanti.
''Ini (DUN Manek Urai) adalah kekosongan yang berlaku atas dasar Rahmatullah (kematian), bukan kerana atas dasar sengaja nak berhenti macam di Penanti.
''Maka atas prinsip itu saya berpendapat UMNO akan bertanding di kawasan itu,'' jelasnya.
Muhyiddin pada sidang akhbar tersebut turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ismail.
DUN Perak tidak akan dibubar
KUALA LUMPUR 22 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan tunduk dengan kehendak pakatan pembangkang supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin berkata, ini kerana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah diputuskan sebagai sah.
"Mahkamah telah mengesahkan bahawa kerajaan BN di Perak adalah sebuah kerajaan yang sah, jadi apa kewajarannya pada peringkat ini ia perlu dibubarkan, sekiranya tiada Menteri Besar itu cerita lain. Itu pandangan mereka (pembangkang).
"Saya berpendapat dengan keputusan mahkamah ini, maka tiada keperluan untuk dibubarkan DUN kerana apa yang penting BN perlu memikul amanah yang diberikan oleh rakyat supaya kita mentadbir negeri dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan parti pembangkang supaya DUN Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula.
Sementara itu, mengulas keputusan Mahkamah Rayuan di sini hari ini yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar yang sah, Muhyiddin berkata, keputusan itu jelas menunjukkan langkah yang diambil oleh BN adalah selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.
Beliau berharap dengan keputusan itu yang menjadi petanda berakhirnya kemelut Perak akan dihormati dan diterima dengan hati terbuka oleh pembangkang.
Katanya, keputusan itu juga memberi peluang kepada Zambry menjalankan tugasnya sebaik mungkin tanpa lagi diganggu sehingga boleh membantutkan pentadbiran dan menjaga kebajikan penduduk.
"Ia telah disahkan oleh mahkamah, jadi tidak perlu diungkitkan lagi, BN sebelum ini menerima keputusan sama ada menyebelahi kita atau tidak dengan hati terbuka dan menghormatinya.
"Amat tidak wajar jika pembangkang berkempen mempertikaikan keputusan itu, saya harap tidak begitulah kerana memberi implikasi menghina mahkamah dan juga akan menimbulkan kesangsian dan kekeliruan di kalangan rakyat," katanya.
Muhyiddin berkata, Zambry kini memikul tugas amat berat untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat Perak terhadap BN selain meneruskan usaha pembangunan dan kebajikan penduduk yang telah tertangguh sejak beberapa bulan lalu akibat kemelut itu.
"Harapan saya kepada rakyat Perak untuk menerima keputusan ini, jaminan BN adalah untuk mengutamakan kepentingan dan kebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira sebarang perbezaan kaum dan fahaman politik.
"Jangan lagi persoalkan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebelum ini kerana semua yang baginda buat adalah betul dan selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," katanya.
habis
Pembangkang mahu DUN Perak dibubarkan
IPOH 22 Mei - Pakatan pembangkang mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kerana mendakwa kemenangan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Mahkamah Rayuan tidak akan mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.
Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang berkata, pergolakan politik akan terus berlaku selagi DUN tidak dibubarkan dan kuasa menentukan kerajaan negeri dikembalikan kepada rakyat.
''Kalau Zamby mahukan politik negeri ini stabil, dia perlu membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya diadakan dan biarlah rakyat yang menilainya.
''Saya percaya kalau keadaan ini berterusan, kerajaan negeri tidak akan stabil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah dan mengetepikan keputusan itu.
Ahmad berkata, walaupun pihaknya akur dengan keputusan mahkamah tetapi rakyat negeri ini lebih berhak dalam membuat keputusan.
Dalam masa sama katanya, pakatan pembangkang tetap tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan BN negeri ini.
''BN hanya mempunyai 28 kerusi DUN dan pakatan pembangkang juga 28 manakala tiga lagi adalah Bebas, patut diadakan pilihan raya," katanya.
Beliau berharap kerajaan BN akan bertindak menamatkan krisis politik yang berlaku menerusi pembubaran DUN supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan segera demi kepentingan rakyat.
Semuanya sudah selesai - Mat Iraq
KOTA BHARU 22 Mei - Semuanya sudah selesai. Itu reaksi Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi (gambar) ketika ditanya mengenai dakwaan rasuah politik dalam parti itu sehingga menyebabkan beliau akan dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohamed menegaskan amalan politik wang tidak berlaku dalam parti itu dan apa yang dikatakannya pada Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan baru-baru ini hanya nasihat kepada para perwakilan.
Katanya, beliau tidak berniat untuk menuduh mana-mana individu cuma sekadar ingatan supaya amalan itu tidak berlaku dalam Pas.
"Semuanya sudah selesai. Apa yang saya kata sebelum ini bukanlah berupa tuduhan, sebaliknya saya hanya memberikan teguran dan ingatan kepada calon dan perwakilan yang terbabit.
"Ia lebih kepada nasihat bukan tuduhan. Sudah tidak ada apa lagi," katanya di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan SPRM akan memanggil Mohamed atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraq bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan wujud unsur-unsur rasuah dalam Pas.
Bagaimanapun, suruhanjaya tersebut masih belum menerima aduan rasmi daripada Mohamed atau mana-mana pihak berhubung dakwaan tersebut.
Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan cuba menyelesaikan gejala 'politik wang' dalam parti itu secara dalaman jika benar-benar berlaku.
SPRM bebas siasat politik wang Pas
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Pas sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat dakwaan bahawa berlaku gejala rasuah dalam parti itu menjelang pemilihan parti berkenaan bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata Pas bersedia menerima kehadiran pegawai SPRM mengenai perkara itu, walaupun Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini sudah menegaskan parti itu bebas rasuah.
“SPRM bebas untuk masuk campur dalam hal ini dan kita sedia untuk disiasat, Pas tidak takut dan kita tidak menyembunyikan sesuatu. Kerana kita tahu seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini Pas bebas politik wang dan kita tidak bimbang dengan siasatan SPRM.
“Malah kita tidak terkejut pun dengan pengumuman SPRM untuk memanggil Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi. Tetapi ada perkara yang kita suruh mereka siasat sebelum ini, tetapi ia tidak disiasat pun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sebelum ini, Mohamed Daud dipanggil oleh Jawatankuasa Harian Pas Pusat supaya memberi penjelasan berhubung kenyataan beliau yang mendakwa wujudnya politik wang dalam parti itu menjelang muktamar tahunan parti itu bulan depan.
Bagaimanapun, Pas mengambil keputusan beliau tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin kerana mengeluarkan kenyataan demikian.
6 tawar diri bela masyarakat Melayu
Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my
GEORGETOWN: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dijangka menyaksikan pertandingan enam penjuru, termasuk seorang ahli Umno dan Gerakan yang menawarkan diri sebagai calon Bebas.
Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Tasek Gelugor, Datuk Muhammad Mustaffa Idrus, 53, dan Ahli Gerakan bahagian Permatang Pauh, Nai Khan Ari, 41, mengesahkan akan bertanding atas tiket Bebas.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mempertaruhkan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, untuk mempertahankan kerusi dikosongkan oleh Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lalu.
Dua lagi calon yang menyuarakan hasrat bertanding ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah dan ahli perniagaan, Mohd Saberi Othman. Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) juga mengesahkan akan meletakkan calon.
Jangkaan pertarungan enam penjuru itu dikuatkan lagi dengan pengesahan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pulau Pinang, Mohd Faiz Syazwan Zainal Abidin bahawa enam borang pencalonan dibeli sehingga tengah hari semalam.
Barisan Nasional (BN) membuat keputusan tidak meletak calon kerana tidak mahu terperangkap dalam permainan politik PKR.
Sebelum ini, Parti Rakyat Malaysia juga menyuarakan hasrat meletakkan calon tetapi menarik balik cadangan itu dengan membuat keputusan untuk menyokong PKR.
SPR menetapkan hari ini untuk penamaan calon dan 31 Mei untuk pengundian.
Sementara itu, bercakap kepada Berita Harian, Muhammad Mustaffa berkata, keputusannya menawarkan diri bertanding atas tiket Bebas tiada kaitan dengan Umno, sebaliknya atas kemahuannya sendiri.
Muhammad Mustaffa berkata, beliau terpanggil menawarkan diri kerana mahu membantu masyarakat Melayu di Penanti.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, mengesahkan Nai adalah ahli parti itu.
Pertandingan empat penjuru?
BUKIT MERTAJAM 22 Mei - Pilihan raya kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.
Setakat hari ini, tiga individu sudah mengesahkan akan bertanding atas tiket bebas untuk bersaing bersama calon PKR, Dr. Mansor Osman yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang.
Calon bebas berkenaan ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman dan seorang pengurus kilang berketurunan Siam, Nai-Khan Ari.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Penanti, Roslan Yahya yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan, keempat-empat individu berkenaan sudah tampil membayar deposit calon sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Beliau bagaimanapun berkata, pencalonan masih lagi dibuka dan tidak mustahil ada lagi individu yang akan tampil menawarkan diri sebagai calon.
''Setakat ini sudah ada empat individu yang mengesahkan diri untuk bertanding dan sudah pun membayar deposit masing-masing sehingga petang ini.
''Kita tidak tahu kalau ada lagi individu yang mahu menawarkan diri sebagai calon kerana difahamkan borang pencalonan yang diambil adalah lebih daripada empat," katanya.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR pada 16 April lalu, dengan alasan ingin melanjutkan pelajaran.
Kawasan pilihan raya DUN Penanti mempunyai 15,384 pengundi terdiri daripada 72.68 peratus Melayu, 24.22 peratus (Cina), 2.39 peratus (India) dan 0.71 peratus (lain-lain bangsa).
Proses penamaan calon akan berlangsung esok di Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam dan hari pengundian pada 31 Mei.
Azalina lega, bersyukur bebas kes rasuah
JOHOR BAHRU 22 Mei - Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said lega bersyukur selepas disahkan tidak terlibat dengan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Said dan kakitangan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana telah menjalankan tugas mereka dengan baik.
"Saya gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana sudah terlepas daripada dugaan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Said semalam bahawa tiada kes rasuah membabitkan bekas Menteri Pelancongan itu.
Ahmad Said pada sidang akhbar di Beaufort, Sabah semalam berkata siasatan SPRM mendapati tiada kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Pengerang itu.
Pada Mac lalu, Azalina disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan kementeriannya.
SPRM pada 11 Mac turut menyiasat lapan pegawai kanan Azalina bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.
Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, sepanjang tempoh siasatan kes itu sejak Mac lalu, beliau menumpukan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dengan melawat dan bertemu penduduk di kawasannya.
Dengan keputusan itu katanya, beliau kini tidak sabar untuk menghadiri sidang Parlimen pada Jun ini.
‘Perlu masa tarik sokongan rakyat’
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Barisan Nasional (BN) memerlukan masa bagi menarik sokongan rakyat dengan melakukan perubahan yang membawa kebaikan kepada semua pihak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, daya penarik atau ‘wow faktor’ seperti yang dinyatakannya sebelum ini tidak hadir sekelip mata tapi melalui kerja kuat setiap pihak dalam BN.
“Wow faktor bukan boleh dibuat sekelip mata, kalau di sini ada tongkat sakti, pinjamkan kepada saya, saya akan kata jadilah maka jadilah ia.
“Sebenarnya yang saya maksud adalah cara kita uruskan, rakyat faham kerajaan tidak tidur tetapi kerajaan menguruskan isu utama seperti ekonomi, pendidikan, sosial, kebajikan dan kemiskinan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan selama tiga jam di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan.
Muhyiddin turut menafikan dakwaan blogger kononnya kerajaan kini dalam keadaan tertekan berikutan keadaan politik semasa.
“Laman blog dikuasai individu yang tidak mewakili masyarakat keseluruhan. Kenapa kerajaan perlu tertekan. Kerajaan perlu terus menjalankan tugas demi kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee sebagai Setiausaha Kehormat Umno Wilayah Persekutuan, Ketua bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Azim Zabidi, bendahari dan ketua bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah Ketua Penerangan.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan turut mengumumkan 10 sekretariat bagi menyelesaikan masalah semua kaum di Wilayah Persekutuan.
Sekretariat berkenaan adalah Penerangan, Tugas-tugas Khas, Badan Bukan Kerajaan, Belia dan Orang Muda, Kebajikan, Peniaga Kecil, Latihan, Keahlian, Perhubungan Awam dan Perumahan dan Kependudukan.
“Wilayah Persekutuan adalah wilayah kosmopolitan dan paling maju, Kita lihat pentingnya Wilayah Persekutuan terus dimajukan dan rakyatnya mendapat pembelaan. Kita akan memberi tumpuan melalui sekretariat itu, bukan saja menangani masalah Melayu, malah kaum lain,” katanya.
Muhyiddin berkata, Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan membuat penilaian mengenai sokongan masyarakat Melayu terhadap Umno di bandar.
Bawa faktor 'wow' perlu masa
KUALA LUMPUR 22 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak mempunyai tongkat sakti yang boleh menjadikan usaha membawa faktor 'wow' kepada parti dan kerajaan berlaku dalam sekelip mata.
Sebaliknya menurut Timbalan Perdana Menteri, usaha tersebut memerlukan masa dan apa yang lebih penting kini, rakyat sudah mula melihat bahawa kerajaan adalah pragmatik dalam menguruskan cabaran yang dihadapi negara.
''Rakyat faham yang kerajaan bukan tidur, kerajaan urus isu-isu utama termasuk ekonomi. Perdana Menteri beri fokus dan saya pun membantu beliau. Kepentingan pendidikan, soal sosial, kebajikan dan kemiskinan, ini kita uruskan.
''Yang dikatakan 'wow' itu ialah bila sudah lihat ada peningkatan, orang kata 'wow' betullah, berkesanlah. Jadi beri masa,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO ditanya mengenai faktor 'wow' atau penarik yang dilihat masih belum dirasai kebanyakan pihak terhadap kerajaan dan parti.
Sewaktu musim pemilihan parti tidak lama dahulu, Muhyiddin pernah menyatakan yang UMNO perlu mempunyai faktor 'wow' bagi mengembalikan daya tarikan rakyat.
Mengulas mengenai dakwaan penulis blog pembangkang bahawa kerajaan hari ini dilihat tertekan, Muhyiddin berkata, isu tersebut tidak pernah timbul dan kerajaan hari ini mahu meneruskan amanah dan tanggungjawab yang ada.
Kata beliau, tidak ada sebab untuk kerajaan gusar atau tertekan kerana Perdana Menteri menjalankan tugas dengan baik dan dasar-dasar untuk meningkatkan ekonomi mula menunjukkan hasil.
''Malah ada pakar ekonomi unjurkan pertumbuhan positif pada hujung tahun atau awal tahun depan dan saya kira banyak lagi yang berada dalam saku Perdana Menteri bakal diumumkan dari fasa ke fasa.
''Feel good factor sudah mula terasa, jadi apa sebab kita nak tertekan. Kita nak jalankan tugas. Dan saya fikir cabaran memang besar, fokus utama nak pulih ekonomi, pulih keyakinan rakyat," katanya.
''Selepas itu meneruskan usaha-usaha yang diperlukan rakyat, membela yang miskin membantu yang tiada pekerjaan, banyak urusan lagi, saya fikir itu yang lebih utama,'' jelasnya.
Tambah Muhyiddin, Perdana Menteri sendiri walaupun hanya baru sebulan lebih menjawat jawatan berkenaan telah membuka mata banyak pihak termasuk konsep Satu Malaysia.
Katanya, beliau percaya jika lebih banyak masa diberi untuk menilai kerajaan, maka kerajaan akan mampu memperkenalkan banyak lagi langkah untuk kesejahteraan rakyat.
''Beri masa sebulan lagi, pelbagai langkah akan diumum, bukan sahaja soal perniagaan, tetapi urusan-urusan lain juga.
''Ini pastinya akan dilihat sebagai langkah proaktif yang berkesan, bukan dibuat secara tidak berasas tetapi pada bumi yang nyata. Ini kita akan ambil, Insya-Allah jangan kita bimbang,'' ujarnya.
habis
UMNO garis formula penerangan tawan Kedah
ALOR SETAR 22 Mei - UMNO menggariskan formula penerangan iaitu 'PPSMSS' dan 'KBSM' untuk menawan semula negeri ini daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangannya, Ahmad Maslan menjelaskan formula PPSMSS bermaksud berkerja pagi petang (PP), siang malam (SM) dan subuh senja (SS) atau dalam kata erti lain turun padang mendekati rakyat tujuh hari seminggu.
Beliau memberikan contoh formula PPSMSS yang dipraktikkan oleh Datuk Mustapa Mohamed di Jeli sehingga berjaya membawa BN mencapai kejayaan selepas tewas dengan majoriti 8,000 undi pada 1994.
"Dengan mengambil kira pengalaman lalu, tidak mustahil negeri yang kalah ini kita boleh menang balik jika formula yang sama diamalkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua penerangan bahagian empat peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru dilantik, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dan Timbalan Pengerusi badan itu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Ahmad berkata, dalam mempraktikkan formula PPSMSS, pada masa yang sama formula KBSM perlu diterapkan oleh jentera penerangan UMNO supaya ia benar-benar berkesan untuk mendekati rakyat.
Menurutnya, formula berkenaan bermaksud jentera penerangan UMNO perlu pergi ke majlis kenduri (K), bersalin (B), dan menziarahi orang sakit (S) serta mati (M) bagi menarik sokongan rakyat.
bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat.
''Penerangan bermakna bukan sahaja pergi berceramah tetapi menjadi media bersemuka, berjumpa dengan rakyat dan waris mereka secara berterusan dan bukannya hanya pergi tiga bulan sebelum pilihan raya.
''BN dan UMNO masih mempunyai tempoh kira-kira tiga tahun dan saya cukup yakin parti mampu berjaya tetapi dengan syarat semua ahli kena bergerak,'' ujar beliau yang memberitahu akan bekerjasama rapat dengan jentera parti komponen BN untuk melaksanakan agenda tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu pihaknya mensasarkan untuk menawan sekurang-kurangnya 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam kerusi Parlimen lagi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 selain akan mengukuhkan penguasaan di kerusi yang dipegang BN.
Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan majoriti tipis yang dimenangi pembangkang di kawasan-kawasan berkenaan pada pilihan raya umum lalu.
habis
SPR cadang guna sistem biometrik
BUTTERWORTH 22 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang menggunakan sistem pengenalan data pengundi atau sistem biometrik pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sistem itu lebih tepat kerana menggunakan kesan cap jari pengundi yang tidak memungkinkan dua individu mempunyai cap jari yang sama.
Katanya, sistem itu juga dilihat dapat menyelesaikan masalah pengundi yang masih belum menukar kad pengenalan lama kepada MyKad.
Katanya, SPR juga percaya sekiranya sistem tersebut digunakan, ia dapat mengikis isu pengundi hantu setiap kali pilihan raya.
"Kita sedang memikirkan untuk menggunakan sistem biometrik ini dalam pilihan raya umum akan datang.
''Namun, sistem ini masih lagi dalam peringkat kajian," katanya pada sidang akhbar mengenai hari penamaan calon pilihan raya kecil Penanti di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu, Jabatan Imigresen yang terletak di bawah kementerian itu menggunakan sistem biometrik dan ia berkesan untuk pengenalan data individu.
Biometrik ialah pengenalan daftar pengundi melalui cip yang terdapat dalam MyKad pengundi.
Dengan kaedah itu, pengundi cuma perlu meletakkan MyKad dalam sistem pengimbas biometrik sebelum masuk ke dewan pengundian dan sistem berkenaan dikatakan boleh membanteras penipuan seperti 'pengundi hantu'.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, SPR juga sedang mengkaji untuk memanjangkan tempoh bagi penamaan calon pilihan raya akan datang.
Jelasnya, cadangan itu disebabkan tempoh selama satu jam untuk tujuan itu dirasakan terlalu pendek dan menyebabkan pegawai SPR berada dalam keadaan terdesak.
PBPM bantah bawa pulang Chin Peng
KUALA LUMPUR 22 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) membantah saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan supaya kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia.
Pemangku Presidennya, Ku Mohamad Khalib Tuan Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak seharusnya membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini, walaupun atas dasar kemanusiaan.
''Kesan tindakan Chin Peng terhadap negara memberi sejarah pahit terutama sekali kepada bekas-bekas polis yang mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis pada ketika itu,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pemimpin Gerakan itu tidak buta sejarah dan menginsafi apa yang dilakukan Chin Peng sehingga menyebabkan keganasan komunis pada ketika itu.
Katanya, akibat keganasan dan perbuatan kejam Chin Peng, negara menjadi huru-hara, ramai isteri menjadi balu, anak kecil menjadi yatim piatu serta ibu kehilangan tempat mengadu.
Menurutnya, PBPM menyokong kerajaan dalam mengamalkan sikap terbuka dan bertimbang rasa serta dasar yang agak liberal, namun cadangan pemimpin Gerakan itu tidak dapat diterima kebanyakan pihak.