Saturday, November 17, 2007

‘Pilihan raya tidak semesti dalam tempoh terdekat’

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pilihan raya umum akan berlaku pada bila-bila masa, tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga berminat untuk mengetahui tarikh sebenar pilihan raya umum akan datang.

“Saya juga berminat nak tahu, saya akan tanya dia,” katanya secara sinis mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mendakwa mengakui tahu tarikh pilihan raya akan diadakan.

Abdul Rahman dipetik berkata, kelmarin, dia tahu bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tetapi tidak dapat mengumumkannya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Yayasan CIMB, sebuah yayasan dengan sandaran dana terbesar di Malaysia setakat ini apabila Kumpulan CIMB mengumumkan sumbangan sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tempoh akan datang.

Ditanya lanjut wartawan bahawa kenyataan Abdul Rashid itu mencetuskan gelora minat rakyat, Najib berkata, pilihan raya umum boleh diadakan pada sebarang tarikh dan ia tidak semestinya berlaku dalam tempoh terdekat.

“Anda kena tanya dia (Abdul Rahman),” katanya sebelum meminta wartawan menumpukan kepada Yayasan CIMB dan bukannya isu pilihan raya kerana hampir setiap sidang media yang dihadirinya wartawan akan bertanya mengenai tarikh dan persediaan kerajaan menghadapi pilihan raya.

Pilihan raya umum ke-11 diadakan pada Mac 2004 dan bulan ini genap tiga tahun lapan bulan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat besar dalam pilihan raya itu.

Mengikut peraturan pilihan raya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai masa sehingga pertengahan 2009 sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-12.

Abdul Rashid, bekas Setiausaha SPR sebelum dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya itu sudah menguruskan enam pilihan raya umum.

Demonstrasi jejas perniagaan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Demonstrasi haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di persekitaran Dataran Merdeka dan Masjid Jamek Sabtu lalu, menyebabkan pengusaha dan peniaga pelbagai sektor di sekitar kawasan berdekatan menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

Perhimpunan yang menyaksikan ramai anggota polis terpaksa dikerah mengawal keadaan, turut menjejaskan industri pelancongan, khususnya di ibu negara dengan kawasan Bukit Bintang menerima kesan teruk.

Berikutan itu, pemimpin dan wakil 80 pertubuhan pengusaha dan peniaga serta badan bukan kerajaan (NGO) lain sekitar Bukit Bintang semalam mengadakan bantahan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perhimpunan berkenaan.

Penasihat kepada 80 pertubuhan dan NGO terbabit, Datuk Dr Lee Chong Meng, berkata perhimpunan itu bukan saja menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada peniaga, malah membantutkan usaha kerajaan menarik pelancong asing ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2007).

“Kami sedih perhimpunan itu menyebabkan banyak kedai di kawasan Bukit Bintang iaitu kawasan nukleus di ibu negara terpaksa ditutup sekurang-kurangnya separuh hari, jalan sesak, hotel dan pusat perniagaan kosong.

“Persatuan pengusaha hotel memaklumkan ada tempahan menginap dibatalkan pelancong dari China, Korea dan Hong Kong berikutan kejadian itu, selain ejen pelancongan tempatan menerima banyak pertanyaan daripada ejen pelancongan asing mengenai keadaan di ibu negara.

“Oleh itu, kita adakan sesi ini untuk maklumkan kepada parti politik tertentu supaya jangan buat kacau.

“Kami berharap perhimpunan haram seperti ini tidak berlaku lagi, cukuplah kerana ia menjejaskan perniagaan,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di Jalan Pudu, semalam.

Perhimpunan itu disertai hampir 100 pemimpin dan ahli persatuan mewakili peniaga, pengusaha dan pemborong barangan harian, pakaian, kedai kopi, restoran, hotel, agensi pelancongan, teksi dan sektor Rukun Tetangga.

Pelbagai sepanduk termasuk tertera ‘Rakyat Malaysia Bukan Hooligan’, ‘Rakyat Malaysia Tolak Demonstrasi Jalanan’ dan ‘Kami Menyokong Pelancongan’ dibawa pada perhimpunan itu.

Wakil pemborong pakaian, Tan Hooi Weng, berkata kerugian dialami beratus-ratus pemilik pusat fesyen di Jalan Merlimau dan Jalan Kenanga mampu mencecah antara RM3 hingga RM4 juta.

“Perhimpunan itu menyebabkan kami kerugian besar. Bayangkan ada pengusaha mampu meraih jualan sehingga RM30,000 tetapi pada hari itu (perhimpunan haram diadakan) kosong, tiada pelanggan,” katanya.

Beberapa wakil pertubuhan lain turut mengakui perhimpunan menyebabkan mereka menanggung kerugian kerana terpaksa menutup premis lebih awal dan kurang pelanggan.