Tuesday, September 18, 2007

Rusuhan: 37 lagi dicari bantu siasatan

BERITA HARIAN



Oleh Shaarani Ismail dan Hamid Salleh


DIKEHENDAKI: Gambar terbaru 37 individu dikeluarkan polis Terengganu, semalam yang disyaki terbabit dalam rusuhan di Jalan Sultan Mahmud pada malam 8 September lalu sehingga menyebabkan empat anggota polis parah. Mereka berusia antara 20 dan 60 tahun diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu atau balai polis untuk membantu siasatan.

Polis masih tunggu lapan suspek beri keterangan berhubung kejadian membakar Jalur Gemilang

KUALA TERENGGANU: Polis mengedarkan 37 lagi gambar lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan penyokong pembangkang di Jalan Sultan Mahmud di sini, yang turut menyebabkan empat anggota polis cedera pada malam 8 September lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata semua lelaki terbabit diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Mereka diminta hadir ke Balai Polis atau IPD bagi membolehkan kenyataan mereka direkodkan untuk membantu siasatan kes ini. Mereka diminta memberi kerjasama sebaiknya supaya siasatan dapat berjalan lancar dan dapat dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.


Khairi berkata, semua lelaki itu berumur di antara 20 dan 60 tahun dan dipercayai warga Terengganu.

Katanya, dengan pendedahan gambar 37 lelaki terbabit, ia diharap dapat membantu melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rusuhan yang disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis yang kini 70 peratus siap.

"Jika mereka tampil beri keterangan, polis yakin dapat lengkapkan siasatan kes secepat mungkin," katanya.



Sabtu lalu, polis menyiarkan gambar sembilan lelaki bagi membantu menyelesaikan siasatan berhubung kes membakar Jalur Gemilang yang disiasat mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan.

Mengenai perkembangan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah agama swasta di Marang yang tampil menyerah diri selepas gambarnya disiarkan Sabtu lalu, Khairi berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan dia kini dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan percakapan yang direkodkan, polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan dan dia dibebaskan kira-kira jam 10 pagi semalam selepas hampir 24 jam disoal siasat.

Mengenai siasatan kes pembakaran Jalur Gemilang, Khairi berkata, polis masih menunggu kelapan-lapan individu yang gambar mereka disiarkan untuk memberi keterangan.

"Polis mempunyai satu lagi gambar terbaru individu terbabit dalam insiden itu dan akan menyiarkannya melalui media dalam masa terdekat.

"Polis memberi peluang kepada individu terbabit tampil membantu siasatan dan jika mereka gagal polis pergi ke rumah mereka," katanya.

Sementara itu, Khairi berkata, hanya seorang lagi perusuh berusia 38 tahun yang terkena tembakan dalam rusuhan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, mangsa dilaporkan stabil selepas pembedahan mengeluarkan peluru pada 13 September lalu.

Rusuhan: 37 lagi dicari

UTUSAN MALAYSIA

Oleh RAJMAH HASAN

KUALA TERENGGANU 17 Sept. – Polis hari ini mengedarkan gambar 37 lagi lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Burok di sini malam 8 September lalu.

Kesemua lelaki yang berusia antara 20-an hingga 60-an itu dicari kerana dipercayai dapat membantu polis melengkapkan kertas siasatan berhubung rusuhan pada hari kejadian mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, kesemua mereka yang dipercayai rakyat tempatan telah dikenal pasti menerusi rakaman video serta gambar yang diambil pada malam kejadian.

‘‘Polis meminta individu terbabit tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes rusuhan itu di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

‘‘Kerjasama mereka diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes rusuhan itu yang kini sudah 70 peratus siap sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,’’ kata Khairi pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, pengedaran gambar itu menjadikan keseluruhan 46 lelaki dikehendaki polis setakat ini termasuk sembilan individu yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kejadian membakar Jalur Gemilang dan merosakkan harta benda awam pada hari rusuhan.

‘‘Sembilan keping gambar itu telah pun diedarkan kepada media pada Jumaat lalu tetapi hanya seorang daripada mereka iaitu pelajar sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang menyerah diri ke IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.15 pagi semalam bagi membantu siasatan kes itu.

‘‘Bagaimanapun, pelajar berusia 16 tahun berasal dari Kampung Tok Dir dekat sini itu telah dilepaskan kira-kira pukul 10 pagi ini dengan jaminan polis selepas polis berpuas hati dengan keterangannya,’’ katanya.

Dalam pada itu, Khairi berkata, polis juga telah menerima banyak maklumat daripada orang awam yang mengetahui butiran lapan lagi individu terbabit.

Katanya, gerakan mencari mereka di rumah masing-masing akan dilakukan dalam tempoh terdekat jika mereka gagal menyerah diri.

Hasrat DAP rampas Pulau Pinang ‘indah khabar dari rupa’

UTUSAN MALAYSIA


PULAU PINANG 17 Sept. – Barisan Nasional (BN) negeri menganggap hasrat parti pembangkang khususnya DAP merampas negeri ini pada pilihan raya umum akan datang sebagai sesuatu yang hanya ‘indah khabar dari rupa’.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, DAP hanya pandai bercakap dan bermain dengan emosi rakyat melalui isu-isu sensitif yang dibangkitkan tanpa ada sebarang pelan atau perancangan dibuat untuk membangunkan negeri.

Sambil mengakui BN negeri bakal berdepan tugas lebih berat dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam pilihan raya umum berkenaan, beliau yakin rakyat dan para pengundi di negeri ini tidak terpengaruh dengan taktik dan rancangan DAP yang bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

“Paling mustahak, rakyat seharusnya memikirkan dan meneliti rancangan dan projek yang telah diluluskan kerajaan untuk membangunkan negeri ini terutama projek pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara yang pasti membawa banyak kemajuan pada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Penerangan berkata demikian apabila ditanya mengenai hasrat Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow yang menyatakan bahawa parti itu akan bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Kon Yeow turut menyatakan keyakinan parti pembangkang itu berupaya menambah jumlah kerusi yang dimenanginya berdasarkan kemampuan yang ada.

Dalam pada itu Kwang Chye mengingatkan pemimpin parti Komponen BN supaya peka dengan hasrat DAP tersebut dan berusaha bekerja lebih keras menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Mereka juga perlu menjaga ucapan masing-masing supaya isu-isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum antara masyarakat di Malaysia tidak disentuh.

“Masalah yang wujud dalam parti juga harus diselesaikan dengan cara yang bijaksana supaya semua parti komponen BN benar-benar bersedia menghadapi cabaran dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

DAP Sarawak umum calon pilihan raya

UTUSAN MALAYSIA

SIBU 17 Sept. – DAP mahu bertanding di tujuh kawasan Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum akan datang. Pengerusi DAP negeri, Richard Wong Ho Leng berkata, kawasan tersebut ialah Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Miri, Sarikei, Sibu dan Bintulu.

Bagi kawasan Bandar Kuching, Chong Chieng Jen akan diminta mempertahankan kerusinya. Chong juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.

Wong berkata, ADUN Batu Lintang, Voon Lee Shan pula dicadang untuk bertanding di kawasan Stampin yang kini disandang oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng.

Bagi kerusi Lanang yang kini dipegang oleh Barisan Nasional (BN), Ketua Publisiti DAP negeri, David Wong telah dipilih untuk bertanding.

Bagi kerusi Miri yang disandang oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, nama Fong Poh Teck telah dicadangkan.

DAP juga memilih Dr. Wong Hua Sie untuk bertanding di Sarikei, kerusi yang disandang oleh bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Tan Sri Law Hieng Ding.

Wong yang juga ADUN Bukit Assek berkata, DAP belum memutuskan nama calon untuk bertanding di Sibu dan Bintulu yang dimiliki BN.

Bagi kerusi Sibu, parti itu mempunyai beberapa nama termasuk dirinya dan Ketua Wanita DAP, Ling Yen Lin, katanya.

– Bernama

Rusuhan: Pelajar serah diri

UTUSAN MALAYSIA

KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Seorang pelajar sebuah sekolah agama swasta di Binjai Bongkok, Marang, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes rusuhan dan membakar Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud pada 8 September lepas.

Pelajar berusia 16 tahun dan berasal dari Kampung Tok Dir, dekat sini menyerah diri sehari selepas gambarnya bersama lapan lagi lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan disiarkan di media massa semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, pelajar tingkatan empat sekolah agama swasta itu datang seorang diri ke IPD Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

‘‘Polis akan menjalankan soal siasat ke atas pelajar itu untuk mengetahui sejauh mana penglibatannya dalam kejadian rusuhan dan membakar Jalur Gemilang pada malam 8 September lalu.

‘‘Siasatan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 berhubung perhimpunan haram dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan bencana terhadap harta benda awam sewaktu rusuhan,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini.

Khairi berkata, sebarang keputusan untuk mendapatkan tahanan reman ke atas pelajar terbabit hanya akan diketahui hasil soal siasat ke atasnya yang dibuat hari ini.

‘‘Jika perlu siasatan lanjut, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas pelajar ini esok di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,’’ katanya.

Mengulas perkembangan kes tersebut, beliau berkata, setakat ini polis sudah menerima banyak maklumat daripada orang awam yang mengetahui alamat dan nombor telefon lapan lagi individu yang dikehendaki untuk membantu siasatan kes rusuhan itu.

‘‘Polis yakin dengan maklumat-maklumat yang ada ini kita akan menahan lapan lagi lelaki yang dikehendaki tidak lama lagi ataupun mereka sendiri boleh tampil untuk menyerah diri secara sukarela,’’ katanya.

Khairi berkata, polis juga akan mengedarkan lebih 20 lagi gambar individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan pada sidang akhbar Selasa ini.

DAP hasrat tanding 7 kerusi Parlimen di Pulau Pinang

UTUSAN MALAYSIA

PULAU PINANG 16 Sept. – DAP berhasrat untuk bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata perkara itu disuarakan oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada Konvensyen Pilihan Raya DAP Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.

Katanya, cadangan itu akan dibincangkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lama lagi supaya mereka dapat mengatur strategi dan menempatkan calon di kawasan yang dirasakan sesuai.

‘‘Kita akan berbincang dan berunding dengan PKR secara tertutup mengenai perkara ini,’’ katanya ketika merasmikan konvensyen itu di sini.

Katanya Pulau Pinang merupakan negeri utama yang akan membawa cabaran DAP pada pilihan raya umum akan datang dan yakin parti itu berupaya menambah jumlah kerusi yang dimenanginya kerana ia berkemampuan untuk berbuat demikian.

– Bernama

Bekas ADUN Sabai meninggal dunia

UTUSAN MALAYSIA

MENTAKAB 16 Sept. – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanggang dan Sabai, Datuk R. Sinnathamby meninggal dunia di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pukul 6.30 petang semalam akibat serangan sakit jantung.

Sinnathamby, 69, dimasukkan ke hospital itu pukul 10 malam Jumaat lepas, kata anak beliau, S. Sivalingam kepada Bernama di rumah bapanya di sini hari ini.

Mendiang yang juga bekas guru meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Sivalingam berkata, mendiang bapanya dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Hindu di Karak, pukul 4 petang ini.

Sinnathamby menjadi ADUN Sanggang dari 1991 hingga 1995 selepas menewaskan calon DAP, Ng Kwi Ling pada pilihan raya umum 1990 dan kemudian menjadi ADUN Sabai (1995-1999) selepas menang dalam pilihan raya umum 1995.

Mendiang juga ialah bekas Pengerusi MIC Pahang (1993-2003) menggantikan Datuk V.V.Aboo yang juga bekas ADUN Lanchang.

Sementara itu, Ketua MIC Bentong M.P. Nathan berkata, mendiang Sinnathamby adalah bekas guru sekolah Tamil yang sepanjang hayat beliau banyak membantu orang ramai di Pahang terutama di kawasan Karak.

– Bernama