Tuesday, November 06, 2007

Mohammad Hassan MB pilihan Khairy yang gagal kata Badrul Hisham

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 06, 07 | 8:37:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Masih teringat lagi antara isi kempen hebat kem Barisan Nasional/Umno pada Pilihan Raya 2004 di Dun Rantau ialah 'Harus undi calon BN Rantau (Dato' Mohammad Hassan) kerana beliau akan diangkat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan' dan pengalaman korporat beliau akan memacu ekonomi Negeri Sembilan.

"Beliau tidak akan rasuah kerana memang sudah kaya raya dan pentadbiran kerajaan negeri akan berimej korporat yang cekap!," memetik kempen Pilihan Raya Umno Dun Rantau di mana ketika itu Dato' Mohamad Hassab (kini Menteri Besar) menentang calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin.

Kini setelah lebih dua tahun tahun lebih terbukti semua hujah tersebut palsu dan hanya retorik, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin.

Malah kem Barisan Nasional (BN)/Umno Negeri Sembilan juga semakin kucar-kacir di bawah Mohamad yang sangat lemah, katanya kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Contoh paling hampir ialah ketika Mohamad mengumumkan kononnya Negeri Sembilan terima pelaburan RM1.56 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sekaligus melepasi sasaran RM1 bilion setahun yang ditetapkan kerajaan negeri, katanya.

Banyak kilang tutup

Malangnya dalam masa yang sama beberapa kilang tutup dan mengalihkan pelaburan ke luar negara, ujarnya.

Terbaru difahamkan, kilang pembuat tilam Dunlopillo di Senawang akan ditutup dan operasinya akan berpindah ke Vietnam, katanya.

Sementara beberapa agensi kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula mengalami krisis yang teruk dengan bebanan hutang, katanya.

PBT di Negeri Sembilan telah mengumpulkan tunggakan hutang sebanyak RM17 juta kepada Southern Waste Management (SWM) dan berikutan hutang tersebut mengakibatkan operasi SWM tertangguh dan mengancam kebajikan pekerja-pekerjanya, kata Badrul Hisham.

JBANS tenat

Selain itu, Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) juga sedang mengalami krisis kewangan yang teruk kerana beroperasi dengan tidak efisyen dan gagal memungut tunggakan dengan 'pengguna-pengguna' komersial, dakwanya.

"Tindakan hanya ditumpukan kepada pengguna domestik kecil seperti kita.Krisis kewangan di JBANS ialah kerana kelemahan pengurusan. Antara punca kerugian JBANS ialah kadar kehilangan air yang tinggi," katanya.

Ia berlaku bukan kerana kecurian air domestik tetapi kecurian air oleh pengguna kormesial, penggunaan bahan penyaluran air yang tidak berkualiti (kerana amalan korupsi) dan kegagalan menyediakan pasukan bertindak yang cekap, ujarnya.

Di Taman Bukit Chedang (Fasa dua) contohnya sebuah rumah telah banyak kali membuat aduan mengenai paip bocor sebelum meter berhampiran dengan rumahnya, katanya.

Melalui aduan suri rumah ini kepada Pusat Aduan Rakyat Negeri Sembilan menyatakan JBANS meminta pengadu tidak bimbang kerana kebocoran sebelum meter dan tuan rumah tidak terlibat membayar kos air yang bocor, katanya.

Sehingga kini kebocoran telah berlanjutan selama lebih tiga bulan dan setiap saat wang rakyat tercurah ke longkang bersama air yang bocor.

Mohammad Hassan bebankan rakyat

Telah terbukti Mohamad tidak punya idea untuk menyelesaikan masalah krisis kewangan ini kecuali dengan membebankan rakyat semula, katanya.

Majlis Perbandaran Nilai pada 2006 contohnya telah menaikkan 85.19 peratus cukai taksiran dan cukai tanah di Jempol pernah mencatatkan kenaikan lebih 400 peratus, katanya.

Mohamad bukan sahaja gagal memperbaiki keadaan Negeri Sembilan malah kelemahan beliau telah membuka ruang krisis, amalan korupsi dan pembaziran yang melampau, ujarnya.

Melihat sedikit sejarah kemunculan Mohamad secara bidan terjun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau sendiri begitu asing dalam dunia pentadbiran dan pengurusan kerajaan malah dalam Umno itu sendiri, kata Badrul Hisham.

Beliau muncul kerana kejayaan beliau menyakinkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (menantu Perdana Menteri) bahawa beliau mampu menjaga kepentingan politik dan ekonomi kem Abdullah, katanya. - mks.


No comments: