Tuesday, November 06, 2007

Pervez langgar perlembagaan – Iftikhar

ISLAMABAD 5 Nov. – Ketua Hakim Pakistan yang dipecat, Iftikhar Muhammad Chaudhry menyifatkan semua pelantikan oleh Presiden Pervez Musharraf selepas mengisytiharkan darurat sebagai “melanggar undang-undang dan perlembagaan.”

Pervez memecat Iftikhar dan melantik Hameed Dogar sebagai Ketua Hakim untuk mengetuai Mahkamah Agung selepas mengisytiharkan darurat, kelmarin.

Jeneral itu menggantung Perlembagaan negara dan mengeluarkan Perintah Perlembagaan Sementara (PCO) tetapi kebanyakan hakim Mahkamah Agung dan empat hakim Mahkamah Tinggi enggan mengangkat sumpah di bawah perintah baru itu.

Semua hakim yang ingkar itu dilaporkan tidak dibenar meninggalkan kediaman mereka.

“Segala-gala yang berlaku kini adalah menyalahi undang-undang dan perlembagaan serta bercanggah dengan perintah Mahkamah Agung,” kata Iftikhar kepada akhbar The News dalam kenyataan pertama beliau sejak krisis politik menyelubungi Pakistan.

Menurutnya, sebuah panel tujuh hakim yang diketuainya telah mengingkari PCO dan mengarahkan para hakim Mahkamah Tinggi supaya tidak mengangkat sumpah di bawah PCO tersebut.

Semua hakim yang dilantik kelmarin dan semalam tidak mempunyai sandaran undang-undang, katanya.

“Allah memberi kejayaan kepada saya dalam krisis lalu dan kali ini saya yakin Dia akan memberi kejayaan serupa kepada kami yang enggan mengangkat sumpah semula di bawah PCO,” katanya.

– AFP

No comments: