Sunday, October 28, 2007

Lebih 20 ribu hadir warnai rumah terbuka PAS

Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Salleh
Sun | Oct 28, 07 | 7:47:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Hrkh) - Pelbagai lapisan masyarakat, yang bukan sahaja terdiri daripada pemimpin, ahli dan penyokong PAS, malah turut diserikan dengan pemerhati asing serta wakil-wakil NGO telah hadir dalam majlis rumah terbuka PAS yang diadakan petang tadi.


Image

Lebih 20 ribu orang yang turut diserikan daripada kalangan pelbagai bangsa turut hadir ke Rumah Terbuka PAS Pusat yang bertempat di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak itu.

Majlis yang diadakan secara tahunan ini adalah bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara pimpinan, penggerak, ahli serta penyokong PAS dalam kehangatan Syawal yang masih ada.

Namun, apa yang menarik dalam rumah terbuka pada kali ini adalah kehadiran yang menggalakkan daripada kalangan generasi muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Kebiasaannya, golongan muda yang memeriahkan majlis Aidilfitri PAS adalah terdiri daripada kalangan mereka yang berkopiah, beserban dan bertudung litup.

ImageWalau bagaimanapun keadaan tersebut berbeza pada kali ini, bila mana ia turut dihadiri oleh kalangan wanita yang berpakaian agak mendedahkan, remaja lelaki yang mengenakan jeans serta berambut panjang, tidak kurang juga kalangan profesional muda serta golongan pelajar.

"Bukan sahaja di majlis ini, kerana mereka ini sudah mula turut serta dalam majlis dan program anjuran PAS," demikian ulasan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama tetamu yang hadir.

Menurut beliau, selain ia merupakan petunjuk kepada angin perubahan yang bakal melanda pilihanraya umum tidak lama lagi, ia juga menjadi suatu harapan kepada survival perjuangan parti Islam itu sendiri.

Sementara itu, Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah berkata apa yang berlaku menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS anti golongan muda.

Image"Ini membuktikan bahawa PAS kini sedang menjalani proses transformasi, dan dakwaan musuh-musuh yang menyatakan PAS anti golongan muda sudah tidak relevan lagi yang bermakna generasi muda hari ini lebih celik serta peka kepada perkembangan politik semasa," ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini agak sukar untuk menyaksikan wajah-wajah mereka dalam program PAS, mungkin disebabkan oleh rasa malu dan segan tetapi kini ia sudah tidak berlaku lagi.

Kalangan pimpinan Barisan Alternatif lain yang turut hadir, terdiri daripada Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor; ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Sivarasah Kandiah; Latheefa Koya; Koordinator Suara Rakyat Malaysia, Arutchelvan; wakil Macma, Saifudin Nasution; Setiausaha KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Mustafa Kamil Ayub; Gobalakrishnan; Ronnie Liu serta beberapa ahli jawatankuasa Gabungan menuntut Pilihanraya bersih dan Adil (Bersih) serta pelbagai lapisan pimpinan PAS di semua cawangan, kawasan dan negeri.

ImageKelihatan juga beberapa wakil media dan bloggers yang turut serta memeriahkan majlis tersebut di samping menggunakan kesempatan untuk menemu bual pimpinan PAS mengenai isu-isu semasa.

Majlis yang dijadualkan bermula jam 2 petang menerima kehadiran tetamu seawal 1 tengahari dengan sambutan pada kali ini yang disifatkan lebih baik daripada penganjurannya pada tahun lalu.

Juadah yang disediakan iaitu Nasi Dagang Terengganu dan Kelantan, Sate, Bihun Goreng, Mee Goreng, Lemang, Rendang, Nasi Impit, Aiskrim, Murtabak, kuih raya dan tapai serta tiga perisa minuman telah menarik orang ramai yang hadir sehingga ia terpaksa ditambah menjelang jam 3 petang.

ImageDalam majlis yang sama, terdapat beberapa gerai dibuka iaitu gerai buku Harakah, Gerakan Mansuhkan ISA, sekretariat Bersih, dan yang paling mendapat sambutan ialah gerai Celcom.

Meskipun majlis telah bersurai dan pihak penggerai sedang mengemaskan barang mereka, orang ramai masih lagi berpusu-pusu untuk mendapatkan telefon percuma selepas mendaftarkan diri menukar pelan panggilan Celcom yang ditawarkan.

Begitu juga dengan gerai sekretariat Bersih yang sedang giat menjalankan kempen mobilasi rakyat sempena Perhimpunan Rakyat yang akan diadakan pada 10 November akan datang di Dataran Merdeka. Kaunter yang dibuka turut menjual kemeja-T dan 'head band' berwarna kuning untuk edaran kepada orang ramai.

ImageKemeja-T yang berharga RM13 habis dijual sehingga menyebabkan pihak sekretariat terpaksa mengambil tempahan bagi pelanggan yang berminat untuk mendapatkannya bagi menghadiri perhimpunan tersebut.

Sementara itu, tetamu dan orang ramai yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan barisan kepimpinan PAS yang diketuai oleh Presiden dan Timbalan Musryidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din. Ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan berhari raya bersama pimpinan PAS.

Tua dan muda daripada pelbagai lapisan bangsa, budaya, dan agama daripada pelbagai pelosok negeri berpakaian indah ke majlis tersebut yang diadakan sekali setahun oleh PAS.

Majlis turut diserikan dengan alunan irama nasyid Aidilfitri yang dikendalikan oleh Haji Roslan Mohd Shahir yang bertindak sebagai juruacara majlis. Beliau juga berkesempatan untuk berbual mesra dengan beberapa pimpinan dan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.

ImageSelain itu, majlis ini juga disiarkan secara langsung menerusi webtv iaitu www.tvpas.com merangkumi temubual bersama pimpinan PAS serta temuramah dengan tetamu yang hadir.

Dalam pada itu, dewan makan yang disediakan penuh sesak dengan tetamu lelaki telah ditempatkan di Dewan Fadzil Noor, manakala wanita di pekarangan tempat letak kereta markas tersebut.

Aishah Man, 65, yang berkerusi roda adalah antara ribuan yang tidak ketinggalan untuk menyertai majlis tahunan PAS yang diadakan meskipun beliau uzur.

ImageProgram tahunan yang diselenggarakan oleh jawatankuasa sambutan Aidilfitri PAS Pusat yang terdiri daripada kakitangan Pejabat Agung PAS, Unit Amal, Skuad Serikandi Muslimat, petugas Nisa', Pemuda PAS Selayang serta Unit Amal Gombak disifatkan berjalan dengan lancar dan meriah.

Pada akhir program tersebut, kelihatan jawatankuasa sedang giat menjalankan usaha-usaha pembersihan dan mengemaskan kembali kawasan jamuan. - mks.

Anwar dah setuju, Tok Guru Nik Aziz macam mana?

Ahmad Lutfi Othman
Sun | Oct 28, 07 | 7:19:59 am MYT

Sebaik sahaja mendapat tahu Dato' Seri Anwar Ibrahim membuat jaminan beliau akan hadir, insya-Allah, dalam perhimpunan 100,000 menuntut pilihan raya adil dan bebas pada 10 November depan, lega hati saya.

Segera saya SMS Abdullah A Karim, anak muda yang secara terbuka menggesa Anwar dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menyatakan komitmen secara terbuka untuk mengepalai demonstrasi aman di Dataran Merdeka itu.

Abdullah membalas, "lega rasanya, kena highlight respons dia tu, tapi tok guru kita belum tau lagi." Saya cuba kemaskinikan penegasan Anwar itu dalam Harakahdaily, tapi malangnya ada masalah dengan server. Jadi terpaksalah gunakan detikdaily ini dulu.

Mengimbas balik tulisan Abdullah: "Sepanjang yang saya ingat, Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga ke saat ini tidak pernah memberi penegasan (dari mulutnya sendiri, bukan melalui orang lain) bahawa beliau akan mengepalai himpunan tersebut. Bahkan ada khabar-khabar angin yang menyatakan pada tarikh tersebut Dato' Seri Anwar tidak berada Malaysia kerana terbang ke Eropah dan Timur Tengah. Kalau perkhabaran ini tidak benar, silakan Dato' Seri menafikannya secara terbuka.

"Begitu juga dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat juga belum memberikan komitmen sedemikian untuk beliau sendiri turun ke Kuala Lumpur pada 10 November, jauh sekali daripada mengarahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk menyertai perhimpunan tersebut."

Ramai juga kawan-kawan lain, apabila mahu meluahkan rasa tidak puas hati kepada Anwar, mereka mengharapkan saya mencetuskannya melalui tulisan saya. Ada yang berkata, saya ada "imuniti" untuk menegur Anwar! Agak keterlaluan kenyataan itu, tapi saya akui apabila saya menulis tentang Anwar, saya rasa agak bebas untuk memberikan pandangan berbeda. Saya kira Anwar tak "berasa hati" dengan teguran-teguran itu. Ada sekali semasa mewawancarainya, Anwar menimbulkan di depan saya tentang kegemaran saya untuk mengkritiknya itu.

Soal tuntutan pilihan raya bebas dan adil memang tak boleh dipandang remeh. Saya pernah mengusulkan dulu, biar Anwar saja mengetuai Bersih, bukannya Syed Shahir, bukan kerana Presiden MTUC itu tidak layak, tetapi mahu melihat gerakan itu mencapai impak maksimum.

Mengapa parti-parti pembangkang perlu rasa apologetik untuk berdepan memperjuangkan satu proses pilihan raya yang telus? Memang kita mempunyai kepentingan dalam pilihan raya, dan kerana itu kita tidak mahu ditipu terus-terusan. Kita sebagai aktor penting demokrasi mahu mempastikan segala kebusukan dan hanyir dalam proses terpenting ini ditamatkan segera.

Dalam satu perbincangan di Hotel Vistana, dua tahun lalu, di mana Abdullah Karim menjadi pengerusinya, dihadiri antara lain, Mohamad Sabu, saya meluahkan: "Kalau tuan-tuan, dalam bahasa kasarnya, orang yang cari makan dengan demokrasi, pun ambil sikap endah tak endah dengan penipuan BN dalam pilihan raya, maka janganlah diharapkan kami, orang yang sesekali diajak berbincang soal demokrasi, mahu ke depan. Saya hairan bagaimana tokoh-tokoh PAS, khususnya di Kedah, boleh berdiam diri apabila disembelih leher mereka oleh SPR melalui persempadan semula kawasan pilihan raya pada 2003."

Mendengar saya meninggikan suara itu, Abdullah berkata: "Terkejut beruk saya mendengar ucapan Lutfi tadi."

Selain turut berkongsi kebimbangan takut-takut perhimpunan 10 Nov tidak mendapat sambutan luar biasa, saya rasa kalaupun kehadirannya boleh mencecah 10,000 pun ia boleh dianggap berjaya jika kita bijak "mengarahkan" demonstrasi dan perarakan itu, apatah lagi dengan baju seragam kuning.

10,000 berarak dari Dataran Merdeka ke Istana Negara, mengikut perencanaan yang rapi, tentulah lebih hebat daripada 50,000 hadirin yang mengikuti ceramah Anwar atau Haji Hadi atau Mohamad Sabu di Kota Bharu, Kuala Trengganu mahupun Baling, Kedah.

Yang lebih diperlukan ialah usaha menghias perarakan itu, dengan slogan laungan tersendiri, juga kain rentang atau poster raksasa, yang diolah secara kreatif sehingga ia dunia betul-betul dapat menyaksikan satu perhimpunan demokrasi paling menarik pernah diadakan di rantau ini. Jangan ulangi suasana demonstrasi anti-perang atau keganasan di Thailand yang hanya memaparkan poster-poster kecil, hitam putih dan tidak diuruskan dengan baik.

Biar ada pengarah, pengarah seni, penulis skrip, penulis lakon layar, pengarah kostum yang tahu segenap lorong dan jalan dari Dataran Merdeka ke Istana Negara. Biar ia nampak lebih meriah daripada sambutan 50 tahun merdeka di tempat yang sama 31 Ogos lalu. Gemblengkan kekuatan dan daya kreativiti ahli-ahli dan penyokong pembangkang. Kalau boleh gubah satu lagu khas, yang mudah untuk dilagukan bersama-sama.

Saya yakin jika semuanya diambil kira, kita dapat menyaksikan satu sejarah baru perjuangan menuntut demokrasi dibentuk pada 10 Nov itu. - mks.

II. Serbuan misteri, kalis peluru dan mesin pengimbas Bukit Kayu Hitam

Banyak persoalan timbul selepas tonton Buletin Utama TV3 malam Jumaat lalu, berkaitan berita pembunuhan dua anggota polis di Jalan TS2 Taman Suria, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 7.30 malam tadi, iaitu -- L/Kpl Jaya Balan Krishman dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan L/Kpl Alageson Malappan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pelik, dalam suasana keluarga meratap sedih, Perdana Menteri memilih untuk naik berang dan kecewa dengan operasi tangkapan itu. "Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh Musa (Ketua Polis Negara), sepatutnya sebelum mereka membuat serangan mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri supaya diadakan satu strategi mengepung dan cara-cara yang lain untuk mengelak apa yang berlaku.

"Tapi dia punya pendekatan tu tak kena. Kalau dibuat dengan betul dan dapatkan bantuan skuad-skuad tertentu, maka dapat kepung dan gunakan pembesar suara bagi tahu yang polis mengepung dan minta mereka keluar, maka tentulah pihak polis bersedia," kata Abdullah Ahmad Badawi.

Apakah ada sesuatu yang tak kena dalam serbuan itu? Ada kawan hantar SMS meneka misteri di sebalik operasi tak menjadi itu. Macam-macam spekulasi yang disebarkan terutama mengenai tujuan sebenar serbuan, yang boleh memalitkan lagi imej buruk kepada pasukan polis.

Kedua, kenyataan Musa bahawa dua anggota yang terkorban bersama dua lagi yang cedera parah, yang semuanya tidak memakai baju kalis peluru. "Buat masa ini baju kalis peluru tidak mencukupi. Kita akan mohon pada bahagian perolehan untuk membekalkannya kepada anggota yang menjalankan tugas-tugas berbahaya seperti operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik," kata Ketua Polis Negara itu.

Isu kekurangan baju kalis peluru pernah dibangkitkan pada tahun 2004 berikutan kejadian seorang koperal polis, Manja Manaf, 42, mati ditembak perompak di sebuah rumah di Taman Maharani, Jalan Haji Taib, Muar, Johor.

Waduh, sengkek sangat pasukan polis kita! Teringat projek angkasawan kita dan kenyataan Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri bahawa kita masih "banyak duit" untuk hantar angkawasan kedua.

Ketiga, lebih mengejutkan apabila Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (yang selalu bergaduh dengan polis dan Musa!), Johari Baharom mendedahkan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu (Johari adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu) mudah bolos.

Katanya, sudah lama mesin pengimbas rosak dan tidak diganti-ganti. Waduh-waduh, ini lagi bahaya dan menandakan sikap tidak bertanggungjawab. Rupanya itu sebab utama mengapa senjata api mudah diseludup dari negara jiran ke Malaysia! Bukan kita yang tuduh, Johari sendiri mengaku bahawa pintu sempadan mudah dibolosi senjata api dan dengan itu menyebabkan peningkatan jenayah bersenjata.

Kedua-dua catatan ini dipetik daripada detikdaily.net, bertarikh 26 Oktober

Himpunan 100 ribu: Surat terbuka buat pemimpin utama PAS

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi
Sun | Oct 28, 07 | 10:40:57 am MYT

Menjelang Himpunan 10 November dengan 'count down' ke Dataran Merdeka dan seterusnya ke Istana Negara dengan satu perarakan dan himpunan raksasa bertemakan warna dan sirna kuning kian mendesak dan bahangnya kian membara.

Dewan Pemuda PAS sebagai sayap parti, seawalnya telah memberikan komitmen tinggi bagi menjayakan himpunan yang pastinya melakar sejarah baru Negara.

Himpunan 100 ribu rakyat , begitulah namanya atau disebut juga Himpunan 10 November bukan himpunan biasa sebagaimana rutinnya demontrasi yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS selama ini. Tetapi himpunan ini adalah Himpunan Rakyat, bagi mengembalikan hak rakyat kepada rakyat.

Kebangkitan rakyat sebenarnya jarang sekali berlaku dalam sesebuah Negara terutama Negara seperti Malaysia bahkan sukar sekali untuk membangkitkan mereka biarpun berhadapan dengan isu-isu yang menghimpit kehidupan mereka seperti kenaikan harga barang, harga tol, harga minyak, penyelewengan harta Negara, rasuah, jenayah dan sebagainya.

Kebangkitan rakyat sememangnya sangat tinggi nilai dan mahal harganya. Justeru kebangkitannya pasti membawa perubahan kepada landskap politik malah peradaban Negara.

Setelah Negara kita dirundung malang bertimpa, ekoran iklim politik Negara yang tidak menentu malah sering membawa bencana kepada rakyat.

Setelah Negara kita dicengkam resah berdarah, ekoran jenayah kejam dan sadis mula dihitung statisticnya mengikut perkiraan minit dan jam dalam tempoh sehari.

Setelah Negara kita dipalit maruah bercalar, ekoran rasuah yang berlaku dalam negara kini sedang memanjat tangga indek ke tahap tertinggi di peringkat antarabangsa.

Setelah Negara kita dihimpit sedih bertindih, ekoran pencemaran akhlak dan keruntuhan nilai sosial di kalangan anggota masyarakat, terutamanya golongan muda–mudi yang terhuyung-hayang dalam kebingitan muzik dan hiburan melampau.

Negara kita memerlukan perubahan dan perubahan bermula dengan kebangkitan rakyat sementara kebangkitan itu pula mesti dipandu oleh pemimpin yang bertaqwa dan berwibawa.

(Sekadar menyebut beberapa peristiwa kebangkitan besar yang pernah berlaku dalam Negara kita)

Peristiwa Baling menyaksikan satu kebangkitan rakyat marhain, menuntut dan memperjuangkan hak mereka yang dinafi. Kebangkitan itu berjaya merubah landskap politik tanahair pada waktu itu dan ia dipimpin oleh Anwar Ibrahim (Dato' Seri).

Kebangkitan Gerakan Islam era 80'an yang turut membawa arus perubahan dalam pucuk pimpinan PAS dengan tema Kepimpinan Ulamanya serta kembalinya seorang pejuang dan pemimpin agung Tuan Guru Abdul Hadi yang memimpin gerakan meredah kesesatan dan kebathilan secular, akhirnya merubah pemikiran rakyat sehingga Umno sendiri pada hari ini mulai segan dan malu untuk mengatakan politik suku agama suku .

Kemenangan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 90-an menawan negeri Kelantan daripada terus didominasi oleh Umno dan Barisan Nasional juga memberi impak besar dalam perubahan pemikiran dan politik negara. Ianya menyerlahkan kepimpinan hebat Tuan guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Peristiwa Reformasi sekali lagi merubah iklim dan cuaca politik Negara dengan menyaksikan gandingan mantap al Marhum Ustaz Fadhil Noor dan Anwar Ibrahim dan kemudiannya dilangsungkan dengan jayanya oleh Ustaz Fadhil setelah Anwar Ibrahim dipenjara.

Kebangkitan 10 November ini (pasca millennium) dijangka sekali lagi merubah peta dan garis politik tanahair, menuntut pemulihan demokrasi dan keadilan dalam pengendalian dan pentadbirannya.

Apa yang menarik kebangkitan 10 November ini menyaksikan 3 pemimpin besar sedang berada di persada politik negara dan gelombang kebangkitan rakyat. Pemimpin yang saya maksudkan ialah al Mursyidul Am Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ayahanda Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan Kebangkitan 10 November yang bakal menghimpunkan 100 ribu rakyat dipimpin serentak secara bergandingan oleh tiga pemimpin besar itu, saya percaya sekali lagi negara akan menyaksikan perubahan ketara berlaku.

Justeru itu, saya mewakili seluruh pemuda khasnya pemuda–pemuda PAS yang saya salah seorang dari pemimpin mereka merayu sungguh–sungguh agar ketiga-tiga pemimpin besar ini akan memimpin gelombang kebangkitan rakyat dan berada di hadapan dalam himpunan di Dataran Merdeka dan Perarakan menuju Istana Negara.

Bahkan saya mengharap seluruh pemimpin PAS yang terdiri dari pelbagai institusi parti bermula dengan Ahli Majlis Syura, AJK Kerja PAS Pusat, Exco Dewan Ulama PAS Pusat, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Exco Dewan Muslimat PAS Pusat , AJK Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Exco Dewan-Dewan di Peringkat Negeri dapat berada di saf hadapan himpunan dan perarakan bersejarah ini.

Malah saya menggesa seluruh petugas dan aktivis parti yang bermula dengan staff pejabat yang bertugas di pejabat agung dan pejabat perhubungan negeri-negeri hinggalah kepada ahli biasa yang masih berada di setiap lorong dan jalan kerana giat menampal poster dan mengedar risalah agar turun membanjiri Dataran Merdeka pada 10 November.

Jangan pandang saya yang mengeluarkan gesaan ini, kerana nanti kalian akan berkata siapalah dia nih!

Ya !Siapalah saya?

Tetapi pandanglah kepada kebangkitan rakyat dan gelombang perubahan yang sedang berlaku sekarang, segalanya memerlukan pimpinan yang terancang dan terarah malah apa yang paling penting mereka mahu pimpinan pemimpin yang hebat, bertaqwa dan berwibawa seperti 3 pemimpin besar yang sebutkan tadi.

Kalau dilihat kepada kompenan kebangkitan ini, nescaya jelas ia mewakili rakyat terbanyak dan kuasanya sangat besar sementara saya hanyalah salah seorang dari mereka.

Akhirnya, saya harapkan himpunan ini berjaya dengan dipimpin oleh tiga pemimpin besar kita. Turunnya Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz kelak , ianya bagaikan asy Syahid Syeikh Ahmad Yasin meniup semangat perjuangan kepada kami, turunnya Tuan Guru Abdul Hadi pula, bagaikan Asy Syahid al Imam Hassan al Banna memimpin kebangkitan kami dan turunnya Dato' Seri Anwar bagaikan asy Syahid Abd Aziz Rantisi yang terus menyuntik ketabahan untuk kami melangsungkan perjuangan ini.

Dan saya percaya pemuda PAS telah bersedia dengan mengambil langkah-langkah wajar untuk turun ke perhimpunan tersebut bagaikan pemuda-pemuda Hamas yang kental semangat dan jiwanya.

Timbalan Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Perhimpunan Agung Umno: Rafidah memang patut dicabar!

Azamin Amin
Sun | Oct 28, 07 | 10:22:54 am MYT

Pertembungan antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Seri Rafidah Aziz dan Menteri Belia dan Sukan Dato' Azalina Othman sudah dijangka malah ditunggu ramai pihak memandangkan Rafidah sudah mempunyai rekod buruk dalam sejarah susur galur politik negara.

Cadangan mencabar jawatan itu telah dicetuskan oleh Umno bahagian Cheras ketika umat Islam menyambut Aidilfitri dan Ketua Bahagiannya Dato' Syed Ali Alhabshi berpendapat bahawa Ketua Wanita Umno itu sudah berusia 64 tahun, sama usia sewaktu Tan Sri Aishah Ghani menyerahkan jawatan itu kepada beliau pada 1984.

Bagaimanapun cetusan ini disanggah oleh ahli Parlimen yang didakwa bermasalah dalam salah laku moral Dr Rozaidah Talib yang tidak senang dengan pendapat Syed Ali dan menyatakan bahawa beliau tidak selesa bila mana lelaki meletakkan 'agenda' mereka ke atas wanita, katanya yang dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris.

Itu pergolakan dalaman Umno, namun rakyat pasti tidak lupa dengan lakonan dan persembahan Rafidah sebagai orang yang pertama meluru naik ke pentas sehingga kasut tumit tingginya patah, menerkam Tun Dr Mahathir yang ketika itu sedang mengumumkan perletakkan jawatannya di penutup Mesyuarat Agung Umno pada tahun 2002.

Pemberian Permit Import (AP)

Namun beliau juga yang menjadi juara menentang Mahathir dalam isu Permit Import (AP) yang mencetuskan kontroversi sehingga mendedahkan penerima AP dan menimbulkan kekecohan.

Isu itu mendedahkan tiga orang iaitu Nasimuddin SM AMin, Syed Azman Syed Ibrahim dan Mohd Haniff Abdul Aziz, memegang kebanyakan daripada 67,157 AP bagi mengimport kereta termasuk bekas pegawai Miti yang rapat dengan Rafidah yang tidak ada pengalaman dalam industri automobil ini turut tersenarai sebagai penerima atau anugerah terbesar AP ini.

Persoalan juga timbul tentang bagaimana 20 syarikat diberikan 80 peratus AP kerana ini menjejaskan dasar untuk memajukan bumiputera sebagai usahawan dalam bidang auto-mobil.

Kisah Rafidah tidak berakhir di situ tatkala sebuah laman web pula melaporkan beliau sebagai menteri yang tidak bertanggungjawab apabila membiarkan bil telefonnya tertunggak bertahun-tahun lamanya sehingga mencecah mencecah RM 10,291.17.

Ini tindakan dianggap paling tidak adil kepada rakyat, apabila rakyat gagal membayar bil-bil utiliti seperti elektrik, air dan telefon, maka dengan pantasnya pihak berkenaan akan menambil tindakan dengan memotong perkhidmatan namun menteri seperti Rafidah ini tidak menjelaskannya, pihak TM senyapkan sahaja.

Dilaporkan juga sebelum itu, Rafidah mempunyai kesalahan trafik, tetapi payah untuk membayar saman tersebut biarpun polis bermurah hati memberi diskaun kepadanya walaupun tidak dipinta dan sepatutnya layanan tersebut diberikan kepada rakyat biasa.

Rafidah mendapat 10 saman dan jumlah samannya RM3,000, tetapi dia hanya perlu bayar RM1,180 selepas diskaun sebanyak RM 1,820 atau 61%.

Mengikut laporan Malaysiakini anaknya Alfian Mohamed Basir, 33, telah membuat laporan kewangan palsu mengenai kedudukan kewangan Kumpulan NasionCom yang anak beliau menjadi pemiliknya.

Alfian mendakwa kumpulan NasionCom sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di Negara ini telah membuat keuntungan berjumlah RM200 juta pada tahun 2005, tetapi dalam siasatan pihak Suruhanjaya hanya mendapati keuntungan Kumpulan Syarikat NasionCom hanyalah sebanyak RM143,109,727 sahaja.

Kenduri saham anak menantu

Difahamkan laporan kewangan palsu itu dibuat untuk mengaburi mata para pelabur supaya berlumba-lumba membeli saham syarikat kumpulan NasionCom dan memudahkan anak Rafidah ini mendapatkan pinjaman dari mana-mana institusi-institusi kewangan.

Kes rasuah beliau seringkali diingati rakyat Malaysia walaupun dinafikan Peguam Negara (AG) kerana pendedahan ini telah menyebabkan Pengerusi Gerak kini Ezam Mohd.Noor pernah merengkok dalam penjara selama dua tahun dan juga ditahan di bawah ISA.

Menurut Tun Telanai melalui laman blognya, laporan rasuah Rafidah telah dibuat oleh Anwar pada 9 Julai 1999 di Balai Polis Tun H.S Lee berkaitan saham diluluskan oleh Rafidah yang ketika itu sebagai Pengerusi Pembahagian saham Bumiputera di Miti.

Rafidah didakwa mengagihkan dan meluluskan 1.5 juta saham Syarikat Leader Universal Holding Berhad kepada anak menantunya yang bernama Fazrin Azwar bin Mohd. Nor dan meluluskan pengagihan 4,173,190 unit saham FACB kepada Fazrin.

Selain sebagai wakil rakyat yang jarang turun ke Kuala Kangsar, dilaporkan beliau merupakan antara Menteri yang paling malas ke Parlimen dan hanya hadir 31 hari dalam tempoh enam tahun atau 400 kali Parlimen bersidang.

Ini kerana masanya banyak dihabiskan dan gemar menghadiri mesyuarat, forum, seminar dan lawatan perdagangan di luar negara kerana ianya lebih berimejkan antarabangsa serta penuh glamour di samping dapat mempertingkat imej popularnya di peringkat antarabangsa.

Agen Amerika sokong FTA

Ogos lalu,Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid turut menyelar sikap pemimpin kerajaan yang tidak mengendahkan nasib rakyat yang bakal tertindas akibat daripada perjanjian FTA ini.

"Kami bantah sekeras-kerasnya dan akan melakukan tindakan yang lebih keras sekiranya Malaysia tidak berundur dan membatalkan perjanjian itu," dan tambahnya lagi " dan ternyata rundingan FTA ini menunjukkan ada tali barut dalam kerajaan Malaysia!" katanya tegas.

"Dan kita kutuk perjanjian ini. Rafidahlah bertanggungjawab dan dia adalah agen Amerika!" katanya sambil disambut sorak oleh para peserta demonstrasi.

Kata Azmi lagi, rakyat Malaysia tidak rela sekali lagi dijajah setelah 50 tahun merdeka dan rundingan FTA ini merupakan bentuk penjajahan baru yang bakal menggadaikan kedaulatan negara.

Sama ada wajib dicabar atau disingkirkan, jawatan apa sekalipun sememangnya tidak layak dipegang oleh manusia yang bernama Rafidah!

Mungkin Azalina atau Sharizat boleh menjadi penyelamat atapun sama sahaja, biarlah rakyat menentukannnya. - mks.

Ceramah penjelasan saman Daily Mirror dan pelancaran dua buku malam ini

Harakahdaily
Sun | Oct 28, 07 | 8:18:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Oktober (Hrkh) - Ceramah perdana penjelasan saman PAS terhadap Daily Mirror akan diadakan di Dewan Fadzil Mohd Nor, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, dekat sini, malam ini bermula jam 9.00 malam.

Ceramah perdana itu membariskan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu dan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS, Mohamed Hanipa Maidin.

Pada 22 Ogos lalu, Daily Mirror, sebuah akhbar berpengaruh di Britain, telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada Ustaz Abdul Hadi dan menyiarkan berita mengenainya di muka 2 akhbar terbabit kerana mendakwa Presiden PAS itu sebagai pemimpin nombor tiga al-Qaeda yang sedang ditahan di Guantanamoa Bay, Cuba dalam satu artikel terbitan 1 Mei 2007.

Menurut Daily Mirror, rujukan sebenar mereka ialah Abdul Hadi, seorang rakyat Iraq dan bukannya Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, sebuah parti demokratik utama Malaysia.

"Beliau (Abdul Hadi Awang) tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Abdul Hadi al-Iraqi. Abdul Hadi bukan dan tidak pernah menjadi ahli al-Qaeda dan menentang tindakan ganas mereka," kenyataan Daily Mirror dipetik.

Minggu lalu, akhbar terbabit membuat kenyataan rasmi memohon maaf kepada Presiden PAS, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Royal Court of Justice London dan bersedia membayar ganti rugi bernilai RM500,000.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, yang turut berada di London, jumlah pampasan yang diterima Ustaz Abdul Hadi adalah tertinggi setakat ini memandangkan mahkamah di Britain mengehadkan jumlah pembayaran pampasan kes-kes saman fitnah.

Bersempena dengan majlis ceramah perdana itu juga, Ustaz Abdul Hadi akan melancarkan dua buah buku terbitan Unit Buku Harakah bertajuk "Blindspot" dan "Beirut".

Sementara itu, Rumah Terbuka PAS Pusat akan berlangsung pada hari dan tempat yang sama mulai jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara-acara di atas untuk beramah mesra dengan para pemimpin PAS.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Dato Kamaruddin Jaffar, Pejabat Agung PAS telah mengeluarkan 10,000 kad jemputan program tersebut.

Orang ramai dinasihati supaya datang secara berperingkat dan memberi kerjasama kepada petugas lalu lintas bagi memastikan kelancaran program./tajdid

Perhimpunan agung Umno: Apakah Mahathir tidak hadir lagi?

Murtadza Ibrahim
Sun | Oct 28, 07 | 7:41:03 am MYT

Sepanjang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Presiden Umno mulai 2004 yang lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menghadirkan diri di dalam Persidangan Perhimpunan Agung Umno.

Daripada tahun 2004, 2005, 2006 tiada langsung kelibat Dr Mahathir berada di Perhimpunan Agung Umno yang ditinggalkannya pada tahun 2003 yang lalu. Dan pada tahun ini, timbul persoalan adakah bekas Presiden Umno ini yang mengetuai parti lebih daripada 20 tahun akan hadir atau sebaliknya.

Kerana itu, dalam sidang media yang diadakan pada 24 Oktober 2007 lalu oleh Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radhi Sheikh Ahmad pertanyaan yang ditimbulkan oleh wartawan adakah Dr Mahathir dijemput ke perhinpunan ini?

Kita tidak tahu perasaan Dr Mahathir terhadap kepemimpinan Umno sekarang. Adakah dia benar-benar kecewa sehingga tidak mahu hadir dalam setiap Perhimpunan Agung Umno ini selepas melepaskan jawatan? Atau pada tahun ini dia berubah sikap untuk turut hadir dalam Perhimpunan Agung Umno 2007.

Segala-galanya akan terjawab pada pada perhimpunan tersebut sama ada perwakilan Umno menemui kelibat bekas pemimpin mereka atau sebaliknya.

Bagaimanapun, pada tahun 2006 yang lalu adalah tahun yang paling 'mengecewakan' bekas Perdana Menteri Malaysia yang mentadbir negara selama 23 tahun lamanya.

Difahamkan pada 11 Mei 2006, ketika kepemimpinan Umno menyambut ulangtahun parti ini secara luar biasa di Istana Sultan Johor dia dikatakan tidak mendapat sebarang jemputan dari Ibu Pejabat Umno Malaysia sebaliknya dari Istana Johor. Kerana itu, Dr Mahathir boleh hadir di majlis tersebut.

Pada tahun itu juga berlakunya serangan media terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi oleh Dr Mahathir.

Abdullah Ahmad Badawi tidak agresif menjawab serangan tersebut sebaliknya beberapa Menteri Kabinet dan Menteri Besar menyerang Dr Mahathir kembali.

Malahan yang lebih mengejutkan menantu Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaludin menjawab beberapa maklumat tuduhan Dr Mahathir walaupun kedudukannya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Kesan teruk yang diterima oleh Dr Mahathir adalah apabila dia tewas dalam pertandingan G-7 di Persidangan Umno bahagian Kubang Pasu. Situasi ini pernah berlaku kepada anaknya, Dato Mukhriz Mahathir apabila dia mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian Kubang Pasu tetapi tewas pada tahun 2004 yang lalu.

Bagaimanapun, semasa pemilihan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, anak Dr Mahathir ini mendapat undi yang tertinggi yang dianggap oleh sesetengah pemerhati sebagai 'silent protes' terhadap kemenangan yang diperolehi menantu Abdullah Ahmad Badawi ini untuk kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda.

Pada tahun 2006 juga, hanya isteri Dr Mahathir , iaitu Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang hadir dalam Perhimpunan Agung Umno tersebut.

Sesuatu yang memeranjatkan adalah apabila para perwakilan Umno ketika itu bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada isteri Dr Mahathir yang membuktikan bahawa bekas Presiden Umno ini masih popular di kalangan perwakilan Umno.

Pada tahun itu juga, Dr Mahathir memberikan alasan kuat iaitu faktor kesihatan yang menghalang beliau untuk hadir dalam Perhimpunan Agung Umno ke-60 ini.

Tetapi lebih ironis sekali apabila Dr Mahathir berkeupayaan untuk hadir dalam beberapa program lain yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dan pertubuhan untuk berucap hampir dua jam lamanya sedangkan dia tidak hadir di dalam Perhimpunan Agung Umno ini.

Kita boleh memahami faktor kesihatan menghalang Dr Mahathir untuk hadir dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini. Keluarga dan para doktor juga memberikan nasihat agar bekas Presiden Umno ini berehat seketika memandangkan situasinya yang melakukan pembedahan sebanyak dua kali. Dr Mahathir sememangnya berhak berbuat demikian dan ia tidak perlu diragui oleh ahli dan perwakilan Umno.

Tetapi agak pelik sedikit apabila sejak Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Presiden dari tahun 2004-2006 dan mungkin 2007 ini mengapa Dr Mahathir masih 'enggan' hadir dalam Perhimpunan Agung Umno. Dia tidak perlu berucap mahupun berdiri selama berjam-jam sebaliknya sekadar mendengar ucapan dasar dari Presiden parti.

Barangkali dia sudah terlalu kecewa dan semakin memahami memahami budaya Umno - ada jawatan ada wang, ada kuasa dan ada kawan. Tiada jawatan hilang wang, hilang kuasa dan hilang kawan.

Itulah budaya Umno yang mahu diterapkan kepada orang-orang Melayu sekarang dan jangan sekali-kali diikut atau dicontohi oleh orang-orang yang celik dan sedar.

Pemimpin Umno sanggup 'membuang' bekas pemimpin mereka sendiri walapun jasa-jasa pemimpin mereka begitu besar sehingga menyebabkan ada di antara mereka yang sudah bergelar korporat dan kaya raya.

Bagaimanapun, mungkin ada faktor lain yang menyebabkan Dr Mahathir tidak dapat hadir.

Keadaan ini turut berlaku kepada salah seorang editor akhbar alternatif apabila di dalam sejarah kewartawanannya dia terlena beberapa kali apabila Abdullah Ahmad Badawi berucap.

Editor ini terlena di hadapan TV sepertimana terlenanya Abdullah Ahmad Badawi ketika hadir dalam beberapa upacara rasmi. - mks.

Kerajaan serius gubal Akta Perlindungan Saksi

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius penggubalan Akta Perlindungan Saksi bagi menjamin keselamatan mereka yang memberi maklumat dan keterangan.

Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut akan dilakukan oleh pejabat Peguam Negara sejajar dengan tanggungjawab mereka menggubal undang-undang negara.

Namun begitu, katanya, hasil kajian penggubalan akta tersebut masih belum sampai ke peringkat Kabinet.

“Di mana diperlukan dia (saksi) dijaga, kita akan beri perlindungan peribadi. Ini satu perkara yang dalam pertimbangan aktif.

“Pejabat AG (Peguam Negara) yang akan menentukan undang-undang yang akan digunakan. Ia (penggubalan akta) belum sampai ke peringkat Kabinet lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-10 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia di sini, hari ini.

Perdana Menteri memberi reaksi sedemikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan Akta Perlindungan Saksi bagi melindungi keselamatan saksi.

Perkara tersebut menjadi topik hangat baru-baru ini ekoran keengganan pemberi maklumat klip video skandal kehakiman mendedahkan diri atas sebab ketiadaan akta tersebut.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi akan disegerakan di Dewan Rakyat dan ia akan dipastikan mengandungi peruntukan retrospektif.

Kerajaan lindungi saksi kes klip video: Abdullah

Oleh Norfatimah Ahmad dan Hafizah Iszahanid



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam memberi jaminan kerajaan akan melindungi keselamatan saksi dalam siasatan kes klip video yang didakwa memaparkan rakaman penuh perbualan telefon antara seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim pada 2002.

Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu polis akan diminta memberikan kerjasama bagi melindungi semua saksi berkenaan.


“Di mana diperlukan, kita berilah (perlindungan kepada saksi),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat saintifik tahunan Pertubuhan Torasik dan Kardiovaskular Sugeri Malaysia (MATCVS) ke-10, di sini, semalam.

Abdullah bagaimanapun, menjelaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi sedang digubal.

“Peguam Negara kena tentukan undang-undang yang akan digunakan. Persediaan (rang undang-undang itu) belum sampai ke peringkat Kabinet lagi,” katanya.


Isnin lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengeluarkan perintah terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan klip video asal rakaman itu selewat-lewatnya, Khamis lalu ke pejabat BPR di Putrajaya.

Bagaimanapun, Anwar gagal menyerahkan rakaman klip video asal itu kepada BPR pada tarikh yang ditetapkan itu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, dipetik sebagai berkata, Anwar perlu mematuhi perintah mengikut Seksyen 22(1) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi menyerahkan klip video asal itu.

Jika gagal mematuhi perintah itu, beliau dianggap melanggar Seksyen 29 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pada 18 September lalu, BPR mula menyiasat bagi membantu Panel Bebas Khas yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar untuk menentukan kesahihan rakaman klip video itu.

Semalam, Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah BPR itu di Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Abdullah berkata, jaminan sama perlu diberikan kepada saksi semua jenis kes bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lancar.

Usaha mewujudkan Akta Perlindungan Saksi sudah bermula sejak 2000 apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ketika itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengemukakan draf cadangan akta berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri.

Malah, pada 2003, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang ketika itu Menteri Kehakiman berkata, Akta Perlindungan Saksi akan mengguna pakai model Australia kerana didapati lebih sesuai daripada Amerika Syarikat.

Sementara itu, mengenai permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menambah baju kalis peluru, Abdullah berkata, pihaknya akan memberi peruntukan tambahan supaya pasukan keselamatan itu dapat memiliki lebih banyak kelengkapan itu.

“Biar Ketua Polis Negara kemukakan permohonan untuk peruntukan itu,” katanya.

Dalam kejadian pada 8.15 malam Jumaat lalu, empat anggota polis berpakaian preman ditembak sekurang-kurangnya 10 das oleh penjenayah, dipercayai lebih seorang ketika menyerbu sebuah rumah di Taman Suria, Desa Aman, Sungai Buloh yang disyaki dijadikan pusat pengedaran dadah.

Dua anggota polis terbunuh dikenali sebagai Lans Koperal Jaya Balan Krishnan dari Ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Gombak dan Lans Koperal Alageson Malappan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Dua yang cedera, Cif Inspektor Rajakuma Laju dari JSJ Komersil Bukit Aman dan CIp Inspektor Helmi Zakaria dari Cawangan Narkotik IPD Gombak, kini dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.

Bekas MB Johor meninggal

Oleh Mohd Zin Ali


Othman Saat

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat, 83, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pagi semalam akibat keracunan darah (septisemia).

Allahyarham yang nazak sejak dua hari lalu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7 pagi semalam di sisi isterinya, Puan Sri Kamariah Bujang, 65, dan anak-anaknya.

Anak sulungnya, Zolkifli, 61, berkata seluruh ahli keluarga sudah berkumpul apabila doktor yang merawat memaklumkan keadaan bapanya semakin kritikal, kira-kira jam 5 petang kelmarin.


Beliau berkata, sejak dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira dua bulan lalu, bapanya tidak mampu bercakap tetapi memahami percakapan ahli keluarga dan tetamu yang datang melawatnya.

"Selepas menjalani pembedahan bagi memotong kaki kanannya dari paras lutut akibat gangren pada 26 September lalu, keadaan beliau semakin stabil dan menunjukkan tindak balas positif dan membuka mata apabila namanya dipanggil anak-anak dan tetamu yang menziarahinya," katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Padang 1, Stulang Baru, selepas dimandi dan dikafankan di bilik mayat HSI.

Allahyarham disembahyangi di Masjid Sultan Abu Bakar dan dikebumikan di tanah Perkuburan Mahmoodiah, di sini sebelum solat Zuhur semalam.

Othman Saat meninggal dunia

JOHOR BAHRU 27 Okt. – Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat (gambar) yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sejak 1 Oktober lalu meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada pukul 7 pagi ini.

Menteri Besar ke-11 yang berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1982 itu menghembuskan nafas terakhir di sisi beberapa anggota keluarga terdekat termasuk isteri kedua, Puan Sri Kamariah Bujang, 65, dan anak sulungnya, Zulkifli Othman, 61.

Berusia 84 tahun, Allahyarham meninggalkan sembilan anak iaitu lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 28 hingga 61 tahun, 32 cucu serta tujuh orang cicit.

Anak kelapan Allahyarham, Norulhuda Othman, 29, berkata, sebelum ini bapanya menjalani pemotongan kaki kanan akibat gangren di hospital itu pada 2 Oktober dan beransur pulih selepas itu.

“Keadaannya bertambah baik dan berupaya untuk duduk serta dapat pula menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anggota keluarga pada 23 Oktober lalu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut bekas wartawan akhbar The Star itu, keadaan bapanya mula lemah sejak dua hari lalu dan seterusnya tenat pada pukul 5 petang semalam.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pihak HSI yang telah banyak membantu,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini, Allahyarham pernah dua kali diserang angin ahmar ringan iaitu pada 2001 dan 2002.

“Namun bapa tetap aktif dan sering melakukan pergerakan fizikal di sekeliling kawasan rumah,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini sebelum solat Zuhur dan talkin dibacakan Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadut.

Turut menziarahi jenazah di tanah perkuburan ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan dan beberapa anggota Exco kerajaan Johor.

Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, ada dua perkara yang menarik tentang Allahyarham, walaupun seorang Menteri Besar yang tidak berkelulusan tinggi namun beliau mampu mentadbir Johor dengan strategi pembangunan yang berkesan baik di bandar mahupun luar bandar.

‘‘Saya juga kagum dengan kepimpinan Allahyarham yang dalam apa juga keadaan sekali pun, tetap berpegang pada prinsip perjuangannya, di mana tidak pernah lupa dan tinggalkan UMNO lebih-lebih di peringkat akar umbi,” jelas beliau.

Allahyarham Othman Saat anak Johor yang hebat – Abdullah

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat, 80, yang meninggal dunia pagi ini sebagai anak watan Johor yang hebat.

Sambil menganggap ia suatu kehilangan besar kepada parti dan kepimpinan nasional, Perdana Menteri berkata, Allahyarham akan dikenang sebagai tokoh yang memulakan usaha-usaha ke arah pemodenan negeri pengasas UMNO itu.

Beliau yang menerima berita pemergian Othman ke rahmatullah pada pukul 11.30 pagi ini turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

‘‘Allahyarham telah menetapkan momentum untuk pemodenan Johor. Di bawah kepimpinannya, Johor menjadi negeri yang begitu stabil.

‘‘Walaupun Allahyarham menjadi Menteri Besar di Johor sahaja namun beliau merupakan sebahagian daripada kepimpinan nasional menerusi penglibatannya dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Barisan Nasional (BN),’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

Allahyarham Othman meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Pandan dekat Johor Bahru pagi ini akibat septisemia (keracunan darah).

Menurut anak perempuannya, Shaukat, bapanya yang memegang jawatan Menteri Besar Johor selama 16 tahun dari 1967 sehingga 1982 meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi.

Allahyarham mempunyai sembilan orang anak hasil daripada tiga perkahwinan, 32 cucu dan tujuh cicit.

Othman yang dilahirkan di Kampung Tengah, Muar pada 4 April 1927 bergiat aktif dalam UMNO sejak parti itu ditubuhkan pada 1946.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ketiga pada Februari 1967 ketika berusia 43 tahun.

Pemimpin banyak jasa kepada Johor

JOHOR BAHRU: Allahyarham Tan Sri Othman Saat, 83, adalah tokoh yang banyak berjasa membawa pembangunan kepada negeri ini terutama kepada masyarakat luar bandar seperti di kampung dan Felda, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatannya selama 16 tahun Allahyarham banyak melaksanakan pembangunan di luar bandar seperti membuka tanah rancangan Felda membantu mengatasi masalah kemiskinan di negeri ini.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin yang tegas dan amat dihormati oleh ahli Umno dan kakitangan kerajaan.


"Beliau juga berhasil memupuk persefahaman antara masyarakat termasuk ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) pada tahun 60-an dan 70-an sehingga usahanya itu dapat dikecapi dan diwarisi sehingga ke hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat jenazah di rumah mayat Hospital Sultan Ismail, di sini semalam.

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan, mengakui Allahyarham seorang pemimpin dihormati dan disegani.

Beliau berkata, sikap tegas dan prihatin kepada masyarakat menyebabkan beliau disayangi dan ditaati oleh orang ramai sehingga Umno dan kerajaan negeri dibawah kepimpinannya menjadi kuat.

"Allahyarham dianggap sebagai Bapa Pembangunan Luar Bandar Johor berikutan pelbagai sumbangannya kepada masyarakat luar bandar di negeri ini," katanya.

Othman pejuang kemiskinan Melayu

Oleh Mohd Zin Ali, Johan Afandi dan Mohd Roji Abdullah



ALLAHYARHAM Tan Sri Othman Saat, 83, Menteri Besar Johor yang ketiga dilahirkan di Kampung Tengah, Muar kepada seorang pedagang beras pada 4 April 1924. Beliau mendapat pendidikan agama di Sekolah Tinggi Arab Madrasah Al-Attas di bandar raya ini dan kemudian melanjutkan pendidikannya di Makkah selama dua tahun.

Selepas kepulangannya dari Timur Tengah ketika berumur 16 tahun, Othman memulakan kerjayanya dengan syarikat perniagaan ayahnya.


Kehidupan politiknya bermula apabila wujudnya gerakan nasionalisme Melayu pada dekad 1940-an.

Beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) selepas parti itu ditubuhkan di Batu Pahat oleh Datuk Onn Jaafar pada 1946 dengan Othman menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Umno pada 1952.

Pada 1955, Allahyarham menyertai Pilihan Raya Umum, dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Jorak tanpa bertanding.


Beliau menjadi ahli Exco Johor pada 1958. Pada 1964, Othman dilantik sebagai ahli Exco yang bertanggungjawab kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Ketika itu beliau memulakan skim rumah kos rendah untuk golongan miskin.

Pada Februari 1967 ketika berusia 43 tahun, Othman dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau yang terkenal sebagai seorang yang cukup tegas dan lantang bersuara itu kemudian menyandang jawatan sebagai Menteri Besar selama tiga penggal sehingga 1982.

Pada April 1982, Othman meletakkan jawatan Menteri Besar selepas berkhidmat selama 16 tahun sebagai pemimpin nombor satu di Johor.

Beberapa tahun kemudian pada 1987, beliau menyertai parti politik Semangat 46 yang ditubuhkan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Umno pada pilihan raya umum 1990.

Keadaan kesihatan Allahyarham dikatakan kurang baik sejak beliau menghidap penyakit angin ahmar pada 2001. Allahyarham kemudian dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 22 September lalu kerana sakit tulang belakang akibat terlantar terlalu lama sejak tiga tahun lalu.

Allahyarham kemudian menjalani pembedahan memotong kaki kanannya dari paras lutut akibat gangren pada 26 September lalu.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan Allahyarham semakin kritikal sejak dua hari lalu dan kira-kira jam 7 pagi semalam doktor mengesahkan beliau meninggal dunia.

Menteri Besar Johor yang memegang rekod paling lama berkhidmat iaitu dari 1967 hingga 1982 itu mempunyai sembilan anak berusia antara 28 dan 61 tahun hasil perkongsian hidup dengan tiga isteri.

Beliau meninggalkan seorang balu, isteri keduanya, Puan Sri Kamariah Bujang, 65. Isteri pertamanya, Rokiah Alwee, 62, meninggal dunia pada 1990.

Allahyarham meninggalkan jasa dan pengorbanan besar kepada penduduk Johor seperti melaksanakan program mengatasi kemiskinan.

Antara langkah yang diambilnya ialah membuka banyak tanah rancangan Felda di negeri itu untuk mengubah nasib petani miskin menerusi pelaksanaan pertanian secara lebih teratur.

Perkongsian kuasa dipertahan

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berikrar akan terus mempertahankan serta melaksanakan prinsip perkongsian kuasa dalam pemerintahannya.

Perdana Menteri berkata, beliau bersama-sama pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional seperti UMNO, MCA, MIC dan Gerakan akan bersama-sama mempertahankan prinsip yang digunakan itu sejak negara belum merdeka lagi.

‘‘Pemimpin-pemimpin MCA di hadapan saya ini akan terus mempertahankan perkongsian kuasa dan membawa kestabilan serta kemakmuran di negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 pemimpin dan masyarakat Cina pada Perhimpunan 50 Tahun Malaysiaku Gemilang anjuran MCA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Tan Sri William Cheng Heng Jem dan Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Tan Sri Lim Gait Tong.

Bahas usul mesti ada data – Adnan

MARANG 27 Okt. – Semua perwakilan yang akan membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO ke-58 pada 5 hingga 9 November ini diminta mengemukakan data berhubung isu yang dibangkitkan bagi mengukuhkan hujah masing- masing.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob berkata, perwakilan terlibat perlu membuat kajian berhubung isu yang ingin dibangkitkan dan mendapatkan data-data daripada kementerian terlibat bagi mengelakkan mereka bercakap ‘atas angin’ sahaja.

“Kalau mahu bercakap isu pekerja asing, dapatkan butiran daripada Kementerian Sumber Manusia, begitu juga kalau ingin bercakap mengenai isu pendidikan, dapatkan data daripada kementerian berkenaan.

“Dengan itu bila bercakap nanti, ada hujah-hujah untuk mengukuhkan alasan mengapa isu itu dibangkitkan,” katanya semasa menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar di sini hari ini.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti berkata, dengan adanya data ia boleh menyokong isu yang dibangkitkan walaupun ia seperti berbaur perkauman.

Ini kerana jelasnya, walaupun isu berkenaan nampak seperti berbaur perkauman, tetapi jika ia merupakan hakikat yang sedang berlaku sekarang maka butiran serta data yang diperoleh daripada kementerian terlibat dapat membuktikan serta mengukuhkan hujah perwakilan.

Adnan mengakui kira-kira 50 hingga 60 peratus perwakilan yang berbahas pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini bercakap berdasarkan fakta, namun selebihnya hanya bercakap ‘atas angin’ sahaja.

Menurutnya, perbahasan yang disertai fakta boleh membantu pucuk pimpinan parti dan kerajaan untuk memikirkan dasar yang lebih baik selain mengukuhkan dasar sedia ada.

“Walaupun kita ada ahli MT tetapi bukan semua perkara kita boleh fikir, sebaliknya kita juga memerlukan maklum balas dari akar umbi iaitu melalui perbahasan-perbahasan sebegini,” ujarnya.

Ahli Umno diminta kemuka fakta dalam hujah

KUALA TERENGGANU: Jangan bercakap kosong atau atas angin tanpa fakta - itulah pesanan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Adnan Yaakob kepada perwakilan peringkat bahagian yang akan turut serta dalam mengemukakan usul dan perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno ke-58 bermula 5 November ini.

Sebaliknya, beliau meminta perwakilan membuat kajian dan mengemukakan hujah yang disokong fakta kukuh termasuk berusaha memperolehi data daripada kementerian yang berkaitan dengan usul dan inti pati perbahasan.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang, berkata hujah yang bernas disokong dengan data lengkap membantu pucuk pimpinan merangka dasar dan memantapkan lagi kepimpinan dan jentera parti.


"Kalau boleh setiap perwakilan di semua bahagian berfikir dengan mendalam atau buat kajian isu yang hendak diperkatakan, sebagai contoh jika mahu bercakap soal pekerja asing, dapatkan butiran lengkap daripada Kementerian Sumber Manusia... kalau mahu bercakap mengenai pelajaran dapatkan daripada Kementerian Pelajaran.

"Dengan itu apabila kita (perwakilan) bercakap ada hujah, data untuk memperkukuhkan alasan... walaupun berbentuk sedikit perkauman tetapi jika satu hakikat ia boleh dibantu... jangan cakap atas angin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar di Kampung Gelugor, di sini, semalam.

Adnan berkata melalui pemerhatian beliau, hanya 50 hingga 60 peratus perwakilan yang berpeluang bercakap pada perhimpunan memberikan fakta tepat dan hujah bernas yang diperkukuhkan dengan kajian mendalam.

Perwakilan diminta beri tumpuan amanat Presiden

Oleh Rashidi Karim



KANGAR: Ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada Perhimpunan Agung 2007 parti itu bulan depan dijangka menyentuh isu kemajuan negara dalam tempoh 50 tahun akan datang selain nilai tambah kepada modal insan, ekonomi dan pelajaran.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata perwakilan diminta memberi tumpuan kepada ucapan dasar itu ketika berbahas pada perhimpunan yang bermula 5 November ini.


Beliau berkata, banyak perkara akan diketengahkan Abdullah dalam ucapan dasarnya yang memerlukan kupasan dan sokongan daripada semua perwakilan pada perhimpunan lima hari itu.

"Kita jangkakan Presiden akan menyentuh soal kemajuan negara untuk tempoh 50 tahun ke hadapan, termasuk nilai tambah modal insan, ekonomi dan pelajaran.

"Kita tidak menetapkan garis panduan khusus kepada perwakilan untuk membahaskan usul kerana ahli Umno sudah matang, sesuai dengan penubuhan 61 tahun Umno sebagai parti komponen terbesar Barisan Nasional (BN).

"Perwakilan tahu isu yang tidak boleh dibangkitkan seperti menyentuh soal mahkamah serta personaliti individu tertentu, termasuk hakim dan Raja Melayu," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Warisan di sini, semalam.

Ditanya dakwaan ada perwakilan yang diminta pihak tertentu menghentam individu dan kementerian tertentu pada sesi perbahasan nanti, beliau berkata, pihaknya berharap perkara seumpama itu tidak berlaku.

Katanya, isu sensitif seumpama itu memang menarik perhatian ramai, tetapi tidak memberi kebaikan kepada parti.

"Perhimpunan Agung bukannya medan untuk mereka melepaskan geram dengan membangkitkan isu remeh tiada kaitan dengan kepentingan parti dan negara," katanya.

Mohd Radzi berkata, pihaknya sedang memikirkan kaedah sesuai bagi menampung jumlah perwakilan yang semakin bertambah.