Sunday, July 05, 2009
POLITIK : AHAD 05 JULAI 2009
ALOR SETAR 4 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razakmembidas DAP Kedah kerana didakwa membuat tuduhan tidak berasasterhadap kerajaan negeri selain bertindak seolah-olah hanya parti itusahaja yang berjuang untuk kaum Cina di negeri ini.
Umat Islam hilang ketuanan jika biar perpecahan - Harussani
SHAH ALAM 4 Julai - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ( gambar )menasihatkan umat Islam khususnya orang Melayu bahawa mereka akanhilang ketuanan di negara ini sekiranya terus membiarkan perpecahanmenular di kalangan mereka.
Suhakam jawab dakwaan
KUALALUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)menegaskan kesemua kenyataan yang dikeluarkan oleh pihaknya bersifatbebas, tidak berpihak dan selari dengan Prinsip Paris.
Kerajaan tidak mampu ambil alih tanah Kg. Buah Pala
PULAUPINANG 4 Julai - Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengakui tidak mampuuntuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala daripada sebuahkoperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situkerana kosnya terlalu tinggi.
Gejala jual kepentingan orang Melayu berleluasa
KUALALUMPUR: Bangsa Melayu dianggap komoditi yang 'sedang laris dijual beli'di pasaran politik dengan parti politik terutama pembangkang menjualmasyarakat berkenaan untuk mendapatkan sokongan pihak lain.
Tempoh penamaan: SPR teliti perundangan
KUALA LUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menelitidaripada aspek perundangan, keselamatan dan pandangan parti politikterhadap cadangan memanjangkan tempoh penamaan calon dari sejam kepadadua hingga tiga hari.
Strategi Nik Aziz cuba alih perhatian
KUALAKRAI 4 Julai - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Matmengajak Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat tentang Islam adalahstrategi mengalih perhatian penyokong Pas terhadap kesilapannya membuatkeputusan berkenaan cadangan kerajaan perpaduan.
Kemelut pakatan bukti BN terbaik
KUALALUMPUR 4 Julai - Keretakan kerjasama antara DAP, Pas dan Parti KeadilanRakyat (PKR) berlaku kerana tiadanya kesepakatan tulen berbandingBarisan Nasional (BN) yang asas penubuhannya adalah untuk mentadbirnegara.
DAP Kedah ada alasan keluar pakatan - Kit Siang
ALORSETAR 4 Julai - Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, DAP Kedahmempunyai alasan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeriitu terutama selepas mereka berasakan kerajaan negeri meminggirkanparti tersebut dalam pentadbiran negeri.
DAP jangan politikkan segala isu - Salahudin
KUALALUMPUR 4 Julai - Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub hari inimengingatkan DAP supaya tidak mempolitikkan segala isu, sebaliknyameletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
DAP Pusat jumpa Guan Aik - Seng Giaw
KUALALUMPUR 4 Julai - Pucuk pimpinan DAP Pusat akan menemui wakil rakyattunggal mereka di Kedah, Lee Guan Aik pada bila-bila masa dari sekarangsetelah beliau kini mengisytiharkan dirinya berkecuali dalam DewanUndangan Negeri (DUN) Kedah.
Hindraf cabar Guan Eng campur tangan
PULAUPINANG 4 Julai - Pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar hari ini mencabarKetua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menarik balik semuakeputusan yang telah dibuat ke atas Kampung Buah Pala, Gelugor di sini.
Guan Eng bakal temui semua wakil rakyat PKR
PULAU PINANG 4 Julai - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akanmengadakan pertemuan dengan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)dan Anggota Parlimen (MP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di PulauPinang bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit dan yang belumselesai antara DAP dan PKR.
Tak berhenti 'sentuh' Nik Aziz
KOTABHARU 4 Julai - UMNO tidak akan berhenti 'menyentuh' Mursyidul Am Pas,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin lain parti itu selagi fitnahdisebarkan dan kebenaran tidak ditegakkan ketika berkempen pada PilihanRaya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Barisan Nasional hanya menegur
KUALA KRAI 4 Julai - Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghentamMenteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi hanyamenegur pentadbiran dan keceluparannya menjatuhkan hukum kepadaseseorang.
Pas anjur konsert tarik pengundi muda
KUALA KRAI 4 Julai - Jika sebelum ini Pas mencemuh UMNO keranamembenarkan konsert hiburan secara terbuka, tetapi kali ini merekaturut menganjurkan acara yang sama.
Wacana: PemudaUMNO setuju
PUTRAJAYA 4 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO telah menyatakan persetujuansecara rasmi menerima pelawaan Dewan Pemuda Pas bagi mengadakan wacanailmiah terbuka.
Wacana satu permulaan amat baik
KUALALUMPUR 4 Julai - Hasrat Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan wacanabersama Pergerakan Pemuda UMNO merupakan permulaan yang amat baik demiperpaduan orang Melayu.
3.7 juta rakyat tidak mendaftar - SPR
KOTA BHARU 4 Julai - Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negaraini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkandiri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),Datuk Ngah Senik.
Wacana ilmiah Umno, Pas selepas 14 Julai
PUTRAJAYA:Wacana ilmiah antara Dewan Pemuda Pas Pusat dan Pergerakan Pemuda Umnoakan diadakan selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)Manek Urai pada 14 Julai ini, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk RazaliIbrahim.
'Tak mampu selesai isu Kampung Buah Pala'
GEORGETOWN:Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengakui kerajaan negeri tidak mampumenyelesaikan isu Kampung Buah Pala kerana tiada wang untuk mengambilbalik tanah seluas 2.6 hektar milik Koperasi Pegawai Kerajaan NegeriPulau Pinang yang sudah diluluskan untuk pembangunan.
Umno tolak Islam adalah fitnah
KUALAKRAI: Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Umno menolak Islam adalahfitnah besar dan amat tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi BadanPerhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed.
SPR kesan 3.7 juta rakyat belum mendaftar
KOTABHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan lebih 3.7 juta rakyatnegara ini yang sudah layak mengundi, masih belum mendaftar sebagaipemilih, kata Setiausahanya, Datuk Ngah Senik.
Manek Urai anak angkat BN
PENGUNDIdi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu membuat pemilihan bijak14 Julai ini bagi menentukan masa depan mereka, kata Timbalan PengerusiBadan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein.
Kit Siang akui masalah dalaman PR Kedah
ALORSETAR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam mengakui wujud masalahdalam Pakatan Rakyat di Kedah sehingga mendorong parti itu bertindakmenarik diri daripada pakatan berkenaan di negeri ini.
Umat Islam hilang ketuanan jika biar perpecahan - Harussani
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 4 Julai - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) menasihatkan umat Islam khususnya orang Melayu bahawa mereka akan hilang ketuanan di negara ini sekiranya terus membiarkan perpecahan menular di kalangan mereka.
Sambil mengaitkannya dengan keadaan politik semasa, beliau berkata, keadaan itu tidak harus berlaku kerana ajaran Islam menyarankan supaya semua penganutnya bersatu.
Katanya, semua umat Islam perlu melihat kembali dua perkara utama dalam ajaran Islam iaitu rukun iman yang menyentuh kepada pembentukan sahsiah manakala rukun Islam berkait rapat dengan pembentukan masyarakat Islam.
"Jika umat Islam terlalu suka merebut perkara yang melibatkan kebendaan, maka perpecahan akan berlaku. Keadaan ini dilihat berlaku di Malaysia dan negara lain di seluruh dunia pada hari ini.
"Sekiranya perpecahan ini dibiarkan berlaku sedikit demi sedikit, umat Islam mungkin akan hilang ketuanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran buku 'Rahsia Khazanah Ilmu Pyracosmic' (tenaga alam semesta) terbitan syarikat jualan barangan kesihatan, Pyracosmic mengenai kaedah-kaedah rawatan dan rahsia penyembuhan alam Melayu yang diolah selaras dengan firman-firman Allah S.W.T dalam al-Quran.
Tambah Harussani, perbezaan pendapat tidak salah dan menyifatkan ia merupakan satu rahmat yang dapat membawa kepada pembangunan negara.
Bagaimanapun, perbezaan pendapat daripada pihak-pihak tertentu sehingga membawa kepada perpecahan adalah tidak wajar kerana ia boleh merosakkan masa depan negara.
"Kalau tidak ada perbezaan pendapat, tidak ada pembangunan. Tapi jangan sampai perbezaan itu boleh memberi kesan kepada perpecahan masyarakat.
"Maka sebab itu, perbezaan pendapat ini harus disalurkan melalui kaedah syura (perbincangan) supaya permasalahan itu diselesaikan dengan cara yang baik," jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Harussani yang ditanya mengenai tanggungjawab umat Islam menangani penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas dengan tidak membenarkan rakyat negara ini keluar atau melawat negara yang dijangkiti virus itu untuk sementara waktu.
Malah, beliau juga meminta kerajaan mengarahkan rakyat negara ini yang berada di negara yang dijangkiti virus berkenaan supaya tidak pulang ke Malaysia sehingga wabak itu benar-benar dikawal.
"Dalam sibuk-sibuk (bertindak bagi mengekang penularan wabak itu di negara ini) kita masih juga benarkan orang balik. Itu sebab kes meningkat setiap hari sampai berpuluh-puluh kes sehari.
"Orang Islam yang tak makan babi pun, terkena jangkitan selesema babi," ujarnya.
DAP Pusat jumpa Guan Aik - Seng Giaw
KUALA LUMPUR 4 Julai - Pucuk pimpinan DAP Pusat akan menemui wakil rakyat tunggal mereka di Kedah, Lee Guan Aik pada bila-bila masa dari sekarang setelah beliau kini mengisytiharkan dirinya berkecuali dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw berkata, pihaknya akan mengumpul maklumat dan mendapatkan penjelasan daripada Guan Aik berhubung tindakan beliau itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.
"Saya tidak boleh komen lagi sama ada hendak menasihati Guan Aik untuk terus menjadi ADUN yang mewakili pakatan pembangkang atau sebaliknya, saya kena tengok alasan yang dibuatnya dahulu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Aik yang juga ADUN Kota Darul Aman mengisytiharkan dirinya berkecuali dalam DUN Kedah serta tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang.
Menurut Guan Aik, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.
Rabu lalu, DAP Kedah turut membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.
Tindakan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar.
Seng Giaw berkata, DAP Pusat juga akan menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pengerusi DAP Kedah, Thomas Su dalam masa terdekat berhubung beberapa isu yang menyebabkan DAP Kedah memutuskan untuk keluar pakatan pembangkang.
"Kami mahu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah ini termasuk melalui cara perundingan dan bertolak ansur.
"Kami perlu mengumpul maklumat daripada semua pihak dan membuat pertimbangan adil berhubung beberapa masalah yang timbul termasuk isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya" katanya.
Menurut beliau, sesebuah pakatan politik tidak akan terkecuali daripada timbulnya perbezaan sesama anggotanya dan pihaknya percaya beberapa masalah yang tercetus dalam pakatan pembangkang dapat diselesaikan dengan baik.
"Kami perlu mencari persamaan dan mengelakkan perbezaan di kalangan anggota pakatan pembangkang dalam usaha mengukuhkan pakatan ini untuk menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Azizan bidas DAP Kedah
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my
ALOR SETAR 4 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membidas DAP Kedah kerana didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan negeri selain bertindak seolah-olah hanya parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina di negeri ini.
Malah, beliau membayangkan tindakan pemimpin DAP itu berkemungkinan sengaja mahu mencetuskan isu perkauman di samping menimbulkan perasaan kebencian pelbagai kaum terhadap beliau sebagai ketua kerajaan negeri.
Katanya, dakwaan DAP Kedah menerusi pengerusinya, Thomas Su bahawa kerajaan negeri merancang merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong Cina tidak berasas sama sekali kerana beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenainya.
"Saya tidak kata fitnah, tapi rakyat boleh menilainya. Saya sebagai Menteri Besar Kedah sendiri tidak tahu, Setiausaha Kerajaan Negeri tidak tahu. Tiba-tiba dia boleh beritahu kepada orang.
"Mungkin lagi satu dia nak cetuskan bagi kebencian pelbagai kaum kepada saya, mungkinlah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Siswa Diploma Kelas 2009 di Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas di sini hari ini.
Menteri Besar mengulas dakwaan Thomas semalam bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang pimpinan Pas bukan saja merobohkan pusat penyembelihan babi tetapi merancang untuk merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong Cina.
Dalam pada itu, ditanya adakah dakwaan dan tindakan DAP Kedah itu kerana sengaja hendak menimbulkan isu perkauman, Azizan berkata:
"Mungkin juga, berkemungkinan. Sedangkan DAP mengatakan dia berjuang bukan untuk satu puak (tetapi untuk) semua rakyat Malaysia. Jadi tindakan dia kali ini nampaknya berlainan dengan dasar dia."
Azizan turut mengingatkan DAP supaya tidak berasakan parti itu sahaja yang berjuang untuk kaum Cina tetapi parti-parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), MCA dan Gerakan turut mewakili kaum tersebut.
Sementara itu, beliau memberitahu, sejak isu mengenai DAP Kedah keluar pakatan pembangkang di negeri ini diperkatakan Rabu lalu, pihaknya belum menemui kepimpinan parti berkenaan dan hanya mengetahui perkembangannya menerusi laporan media.
Azizan menambah beliau juga tidak tahu mengenai wakil tunggal DAP di negeri ini, Lee Guak Aik mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkecuali kerana tiada sebarang mesyuarat antara mereka diadakan setakat ini.
DAP Kedah ada alasan keluar pakatan - Kit Siang
ALOR SETAR 4 Julai - Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, DAP Kedah mempunyai alasan untuk keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu terutama selepas mereka berasakan kerajaan negeri meminggirkan parti tersebut dalam pentadbiran negeri.
Menurutnya, beliau memahami masalah yang dihadapi oleh pemimpin DAP di negeri itu setelah bersemuka dan berbincang dengan mereka kira-kira sejam setengah hari ini.
"Selepas perbincangan dengan DAP Kedah, saya dapati mereka mempunyai sebab untuk membuat keputusan itu. Sama ada saya bersetuju dengan keputusan mereka, itu adalah hal yang lain.
"Tetapi mereka ada sebab dan bagi saya, ini bukan soal DAP tetapi satu perkara bagi pakatan pembangkang sama ada di peringkat Kedah atau nasional," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan ahli jawatankuasa DAP Kedah di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan wakil tunggal Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di negeri ini, Lee Guan Aik.
Rabu lalu, Thomas mengumumkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang negeri kerana tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan meroboh pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini.
Beliau juga menyifatkan kerajaan Kedah pimpinan PAS sebagai lemah dan sering menimbulkan masalah termasuk mengenakan kuota perumahan bumiputera sebanyak 50 peratus.
Kit Siang berkata, dia akan bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi membincangkan kemelut politik yang melibatkan DAP Kedah dengan kerajaan negeri pimpinan Pas itu.
Katanya, masalah berkenaan perlu diatasi di peringkat negeri kerana ia mampu memberi kesan negatif kepada imej pakatan pembangkang secara keseluruhan jika ia tidak diselesaikan dengan baik.
"Kalau masalah di Kedah pun tidak boleh diselesaikan, bukan sahaja masyarakat di Kedah tetapi seluruh Malaysia pun akan bertanya sama ada kita mempunyai keupayaan untuk menjadi pilihan," katanya.
DAP jangan politikkan segala isu - Salahudin
KUALA LUMPUR 4 Julai - Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub hari ini mengingatkan DAP supaya tidak mempolitikkan segala isu, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, DAP perlu menghormati keputusan pentadbiran kerajaan negeri Kedah yang menutup pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar.
''Setelah saya mengkaji segala dokumen dan maklumat berhubung isu tersebut, saya berpandangan kerajaan negeri melakukan langkah penutupan itu atas faktor kepentingan orang ramai, alam sekitar dan keselamatan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai tindakan DAP Kedah yang keluar daripada pakatan pembangkang.
Tindakan berkenaan kerana DAP tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas negeri itu termasuklah dalam isu merobohkan pusat penyembelihan berkenaan.
Salahudin juga membidas tindakan DAP Kedah mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang hanya kerana isu tersebut.
''Saya berharap dalam isu-isu seumpama ini keselamatan dan kesihatan awam harus menjadi perkiraan,'' katanya.
Kit Siang akui masalah dalaman PR Kedah
Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
Kerajaan negeri tidak hirau pandangan pemimpin DAP, banyak isu belum dapat diselesai
ALOR SETAR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang, semalam mengakui wujud masalah dalam Pakatan Rakyat di Kedah sehingga mendorong parti itu bertindak menarik diri daripada pakatan berkenaan di negeri ini.
Katanya, sejak kemenangan Pakatan Rakyat di Kedah dalam pilihan raya umum lalu yang menyaksikan penubuhan kerajaan negeri dikuasai Pas, banyak masalah melanda sehingga menyebabkan DAP merasakan parti itu dipinggirkan.
Sehubungan itu, katanya, beliau memahami tindakan DAP Kedah yang sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat kerana mereka sudah tidak tahan apabila suara mereka tidak didengar.
"Saya memahami tindakan DAP Kedah mahu keluar daripada Pakatan Rakyat kerana sejak mengambil alih pemerintahan negeri ini banyak perkara menyebabkan mereka tidak berpuas hati.
"Masalah yang timbul sudah lama membabitkan beberapa isu, termasuk isu kuota 50 peratus hartanah Bumiputera, isu kuil dan tokong yang belum dapat diselesaikan dan lesen menjual babi di Pasar Alor Setar.
"Masalah yang tidak dapat diselesaikan itu menyebabkan pengundi melihat seolah-olah wakil rakyat DAP tidak berfungsi, sedangkan kerajaan negeri tidak mendengar suara pemimpin DAP dan seperti meminggirkan mereka," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa DAP negeri. Turut hadir, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darulaman, Lee Guan Aik yang juga Setiausaha DAP Kedah.
Kedatangan Lim bertujuan mendapatkan maklumat terperinci mengenai tindakan DAP Kedah menarik diri daripada Pakatan Rakyat yang diumumkan Su pada Rabu lalu, selepas tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan Pas terhadap kaum bukan Melayu.
Kerajaan tidak mampu ambil alih tanah Kg. Buah Pala
PULAU PINANG 4 Julai - Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengakui tidak mampu untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kosnya terlalu tinggi.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, walaupun beliau bersimpati dengan nasib penduduk berkenaan yang diarahkan keluar dari kawasan itu, namun kos untuk mengambil alih semula tanah itu adalah terlalu tinggi memandangkan status tanah itu adalah pegangan bebas dan telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.
Dalam keadaan tersepit antara tuntutan penduduk dan perintah undang-undang, beliau kemudiannya mengambil jalan tengah dengan meminta Kerajaan Persekutuan untuk mengambil balik tanah itu daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pasukan Petugas Hub Halal Antarabangsa Pulau Pinang di sini, Guan Eng berkata, selain menjaga kepentingan 23 keluarga itu, kerajaan negeri juga perlu melihat keperluan 1.5 juta penduduk negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka.
"Dalam aspek ini, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa tanah itu milik koperasi dan pemaju. Suka tak suka, kena akur terhadap keputusan undang-undang sungguhpun penduduk itu telah tinggal lama di sana," katanya dan menurutnya kerajaan negeri sebelum ini telah berusaha dengan campur tangan politik bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di situ.
Guan Eng menasihatkan pemaju supaya membayar pampasan kepada penduduk terlibat iaitu RM200,000 bagi setiap keluarga seperti yang dipersetujui sebelumnya dan meminta penduduk menerima bayaran itu kerana perintah mahkamah dalam isu itu adalah jelas.
Ketika ditanya tindakan pemaju yang dikatakan tidak mahu membayar pampasan dan penduduk yang tetap berdegil tidak mahu keluar dari kampung itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan arahan menghalang pemaju daripada memulakan kerja pembinaan di tapak itu tetapi tindakan itu akan memberikan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri.
Mengenai dakwaan kononnya beliau mengelak bertemu dengan penduduk kampung terbabit, Ketua Menteri berkata, beliau tidak pernah mengelak untuk berjumpa dengan penduduk terbabit tetapi perbuatan sekumpulan "oportunis" telah mengeruhkan keadaan di situ.
"Saya bersedia bertemu dengan penduduk... saya tidak ada masalah untuk berjumpa mereka tetapi setakat ini dua timbalan saya (Timbalan Ketua Menteri I (Mansor Othman) dan Timbalan Ketua Menteri II (P. Ramasamy)) telah berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik.
"Saya kesal ada segelintir anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba hendak menjadi hero dan mengeruhkan keadaan," katanya. - Bernama
Guan Eng bakal temui semua wakil rakyat PKR
PULAU PINANG 4 Julai - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan mengadakan pertemuan dengan semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen (MP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit dan yang belum selesai antara DAP dan PKR.
Beliau berkata, pertemuan itu perlu diadakan bagi menyelesaikan segala masalah atau pertelagahan yang timbul antara kerajaan negeri dan parti berkenaan termasuk menerangkan kepada pihak terbabit mengenai semua keputusan yang dicapai oleh kerajaan negeri dengan persetujuan wakil PKR agar tidak lagi bercanggah pada masa akan datang.
"Saya hendak adakan pertemuan dengan semua wakil rakyat PKR di Pulau Pinang untuk selaras apa yang mereka persetujui di dalam (mesyuarat Exco) dan apa yang dicerminkan dalam kenyataan mereka di luar sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pasukan Petugas Hub Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHH) di sini hari ini.
Bagaimanapun Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP tidak menyatakan bila pertemuan itu akan diadakan dan di mana.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan isu pemecatan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dari PKR, Johari Kassim kerana mengetuai tindakan memulaukan majlis angkat sumpah Yang Dipertua MPSP yang baru, Mokhtar Mohd. Jait, seorang penjawat awam, baru-baru ini.
Tindakan Johari dan beberapa ahli majlis dari PKR itu dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati mereka terhadap Guan Eng yang tidak berunding mengenai pelantikan itu sedangkan persetujuan yang dicapai sebelum ini adalah supaya pemimpin politik dari PKR dilantik ke jawatan itu.
Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dilaporkan berkata, PKR akan menemui Guan Eng untuk merayu supaya Johari diterima semula sebagai ahli majlis MPSP.
Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa tiga anggota Exco dari PKR membangkitkan perkara itu semasa mesyuarat exco, tetapi tidak diterima oleh Guan Eng.
Ketua Menteri bagaimanapun hari ini menafikan kenyataan Zahrain itu dan menegaskan bahawa keputusan untuk memecat Johari dicapai sebulat suara oleh Exco yang bermesyuarat, termasuk tiga wakil dari PKR.
"Itu tidak benar sama sekali, kami ada bincang. Saya tidak mahu wujud keadaan apa yang dicakapkan secara sulit tidak dibayangkan dalam kenyataan akhbar. Saya lihat kenyataan mereka (pemimpin PKR) tetapi tidak mahu buat apa-apa pertelagahan secara terbuka dan sebab itu saya minta nak jumpa semua ADUN dan MP dari parti PKR," katanya. - Bernama
Hindraf cabar Guan Eng campur tangan
PULAU PINANG 4 Julai - Pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar hari ini mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menarik balik semua keputusan yang telah dibuat ke atas Kampung Buah Pala, Gelugor di sini.
Menurutnya, tanah tersebut telah diamanahkan oleh pemilik asal, Madam Brown kepada penduduk asal di sini dahulu.
''Oleh itu, ia tidak boleh dipinda tanpa arahan mahkamah.
''Saya cabar Guan Eng mengemukakan surat arahan mahkamah yang menyatakan ada pertukaran pada amanah tersebut,'' katanya ketika berucap semasa melawat kampung tersebut di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Yusmadi Yusoff.
Lot tanah di kampung tersebut dikatakan dihuni oleh penduduk sejak 100 tahun lalu setelah dijemput oleh pemegang tanah, Statutory Land Grant di atas nama Helen Margaret Brown.
Berdasarkan sejarah itu, suami Helen, David Brown telah membenarkan mereka menetap di atas tanah berkenaan untuk selama-lamanya tanpa sebarang masalah.
Sementara itu, Uthayakumar berkata, sebagai ketua bagi kerajaan di Pulau Pinang, Guan Eng seharusnya mengambil tahu apa yang telah berlaku di Kampung Buah Pala.
"Beliau mempunyai kuasa untuk menangani isu ini atas kapasiti jawatan Ketua Menteri berlandaskan hak-hak kemanusiaan.
"Sebagai sebuah parti politik yang mewakili pelbagai kaum, DAP juga seharusnya mempraktikkannya dan bukan sekadar melaksanakan secara teori sahaja,'' jelasnya.
'Tak mampu selesai isu Kampung Buah Pala'
GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengakui kerajaan negeri tidak mampu menyelesaikan isu Kampung Buah Pala kerana tiada wang untuk mengambil balik tanah seluas 2.6 hektar milik Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sudah diluluskan untuk pembangunan.
Tanah di Gelugor itu yang menempatkan kira-kira 300 penduduk, akan dibangunkan oleh Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd untuk membina kondominium mewah dan sederhana dengan nilai pembangunan kasar RM200 juta.
Tanpa menjelaskan nilai pampasan yang perlu dibayar kerajaan negeri jika mengambil balik tanah itu untuk diberikan kepada penduduk, Guan Eng berkata, tanggungjawab kerajaan negeri bukan saja kepada 23 keluarga di Kampung Buah Pala, tetapi semua 1.5 juta warga Pulau Pinang.
“Kerajaan negeri tidak mampu ambil alih tanah itu untuk membolehkan penduduk terus kekal di sana walaupun kita nak tolong,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Petugas Khas Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang, di sini semalam.
Katanya, kerajaan negeri dalam keadaan tersepit kerana penduduk tidak mahu berpindah dan menerima pampasan dan pada masa sama, pemaju pula enggan membayar pampasan.
“Kalau pemaju tidak mahu bayar pampasan dan penduduk pula tidak mahu terima (pampasan), apa kita boleh buat. Suka atau tidak, mahu atau tidak, terima atau tidak, kita mesti akur Mahkamah Persekutuan sudah putuskan tanah itu milik koperasi dan pemaju,” katanya.
Guan Eng mahu Kerajaan Pusat campur tangan menyelesaikan isu berkenaan dengan melakukan pengambilan balik tanah untuk diberikan kepada penduduk selain meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa perkara itu ke Kabinet.
Selain menuduh masalah yang timbul sekarang bermula dari zaman Koh menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau juga mendakwa ada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menjadi hero dalam isu ini sehingga memburukkan lagi keadaan.
Isu Kampung Buah Pala semakin rumit selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penduduk terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada pemaju, sedangkan penduduk mendakwa tanah itu milik nenek moyang mereka sebelum diberi milik kepada koperasi secara tidak jelas.
Mereka diberikan tempoh sehingga 2 Ogos ini untuk berpindah keluar dari penempatan berkenaan sebelum pemaju merobohkan premis di penempatan terbabit untuk projek pembangunan.
Kemelut pakatan bukti BN terbaik
KUALA LUMPUR 4 Julai - Keretakan kerjasama antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlaku kerana tiadanya kesepakatan tulen berbanding Barisan Nasional (BN) yang asas penubuhannya adalah untuk mentadbir negara.
Sebaliknya, kesediaan ketiga-tiga parti pembangkang itu untuk bersama semeja memerintah negeri hanyalah atas dasar membalas dendam bagi menghalang BN daripada terus memerintah.
Justeru beberapa pemimpin UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meramalkan pakatan yang seumpama itu tidak akan kekal lama berikutan perbezaan dasar dan kepentingan yang ekstrem antara setiap parti.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo berkata, yang malangnya dalam hal ini ialah rakyat kerana mereka telah ditabur dengan janji manis sewaktu kempen pilihan raya dahulu.
Katanya, namun setelah setahun kerajaan pakatan memerintah, banyak janji tak dapat dilaksanakan dan pertubuhan haram Hindraf yang menyokong kuat PKR sebelum ini juga nampaknya mulai sedar yang mereka terpedaya.
''Akhirnya janji-janji inilah saya lihat sudah menjadi duri dalam daging kepada kerajaan pakatan pembangkang. Masa awal-awal bolehlah bertolak ansur satu sama lain sebab nak ambil hati semua pihak.
''Tapi sekarang selepas setahun, terbukalah belang masing-masing apabila semua nak penuhi agenda parti sendiri. Jadi perkahwinan yang macam ini saya anggap sementara,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Hubungan DAP, Pas dan PKR terutama di Kedah dan Pulau Pinang dilihat semakin kalut apabila semakin banyak tuduh-menuduh antara mereka berlaku berhubung beberapa isu berkaitan.
Malah penduduk yang terlibat dalam kontroversi pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala dilaporkan menyesal kerana mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, apa yang berlaku kini seharusnya membuka mata rakyat bagaimana nasib mereka sekiranya pembangkang diberi peluang memerintah negara.
Beliau berkata, rakyat dalam hal ini perlu sedar bagaimana lemahnya pemimpin pembangkang dalam mentadbir negara dan seterusnya mengambil iktibar dengan kembali menyokong BN pada pilihan raya akan datang.
''Pakatan pembangkang adalah rapuh. Mereka hanya bersatu untuk pilihan raya tetapi tak tahu nak tadbir apabila menang. Baru setahun memerintah macam-macam telah timbul dan terbaru Selangor juga dikatakan bergolak,'' jelasnya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemelut tersebut telah diramalkan banyak pihak kerana kerjasama Pas, DAP dan PKR bukan berbentuk tulen seperti BN yang telah teruji sejak lebih 50 tahun.
Kata beliau, sebagai contoh mudah, sampai sekarang mereka tidak boleh menamakan pemimpin nombor satu pakatan pembangkang dan ini berbeza dengan BN yang ada struktur jelas selain sebuah parti berdaftar.
''Untuk memantau Perdana Menteri dalam jawatankuasa Parlimen yang dibentuk pun mereka terpaksa namakan ketiga-tiga ketua parti. Jadi macam mana nak bertahan lama kalau hal ini pun tak boleh diselesaikan.
''Saya lihat ini berlaku kerana dasar berbeza, tak ada titik yang menemukan secara tulen. Mereka bertemu setakat nak kalahkan BN dan UMNO tetapi pertemuan yang lebih penting untuk membela rakyat tak wujud,'' ujarnya.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, kemelut kerajaan pakatan di Kedah dan Pulau Pinang sememangnya sesuatu yang telah dijangka kerana pakatan pembangkang sangat lemah.
Kata beliau, ini berbeza jika dibandingkan dengan BN yang telah lama wujud dan terbukti mampu berkhidmat untuk rakyat.
''Bila masalah timbul antara kepentingan ketiga-tiga parti, maka apa yang berlaku kini bukan mengejutkan,'' ujarnya.
Strategi Nik Aziz cuba alih perhatian
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my
KUALA KRAI 4 Julai - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat tentang Islam adalah strategi mengalih perhatian penyokong Pas terhadap kesilapannya membuat keputusan berkenaan cadangan kerajaan perpaduan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat baik dan mendapat sokongan pelbagai pihak.
Namun, jelasnya, tentangan keras Nik Abdul Aziz termasuk mendesak Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meletak jawatan menyebabkan banyak pihak dalam Pas sendiri kecewa.
Katanya, debat yang dicadangkan itu sepatutnya dibuat dengan pemimpin DAP yang secara jelas menolak dasar-dasar Islam di negara ini.
"Tentunya sebagai seorang tokoh politik dan agama, orang harap apa yang keluar dari mulut beliau (Nik Abdul Aziz) boleh menyenangkan hati semua pihak tetapi nampak jelas bahawa ia tidak lebih daripada politik semata-mata.
"Jadi saya berpendapat beliau nak tutup tindakannya yang terlanjur sebelum itu iaitu cara dia menolak pertemuan antara UMNO dengan Abdul Hadi maka dia cetuskan cadangan berdebat dengan UMNO," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan ceramah bebas di Laloh, Manek Urai di sini semalam.
Ibrahim berkata, adalah lebih relevan jika Nik Abdul Aziz berdebat dengan Karpal Singh dan DAP yang menolak Islam sedangkan Pas berjuang untuk menegakkan ajaran Islam.
Jelasnya, banyak perkara mengenai dasar DAP di negara ini terbukti membelakangkan Pas meskipun kedua-dua parti itu bekerjasama dalam pakatan pembangkang.
"Eloklah Nik Abdul Aziz berdebat dengan Karpal Singh yang pernah menyatakan langkah mayat dia dulu masa Pas nak tubuh negara Islam.
"Kita lihat di Kedah sendiri pun, isu kecil mengenai pusat penyembelihan babi pun mereka tak boleh terima walaupun atas kepentingan ramai. Banyak lagi perkara yang kita lihat sebelum ini DAP membelakangi dasar perjuangan Pas," tegas beliau.
Ibrahim menambah, sekiranya Nik Abdul Aziz ingin meneruskan niatnya berdebat dengan Perdana Menteri, biarlah ia menjurus kepada rancangan pembangunan Kelantan
Wacana:PemudaUMNO setuju
PUTRAJAYA 4 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO telah menyatakan persetujuan secara rasmi menerima pelawaan Dewan Pemuda Pas bagi mengadakan wacana ilmiah terbuka.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, surat rasmi berhubung persetujuan itu telah dihantar kepada Dewan Pemuda Pas semalam.
Menurutnya, persetujuan terbabit dicapai dalam mesyuarat pergerakan itu kelmarin.
''Kita setuju dan perkara-perkara lain yang berkaitan akan dibincangkan secara lebih lanjut selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
''Ia selaras dengan persetujuan bersama sebelum ini untuk mewujudkan satu jawatankuasa urus setia yang akan mengendalikan tentang tajuk, format, peserta, jumlah jemputan, tarikh, tempat, waktu dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Penubuhan Persatuan Belia (Protem) Secara Berkelompok di sini, hari ini.
Majlis itu berjaya mengumpulkan sebanyak 210 pertubuhan belia negeri Selangor dengan lebih 2,000 ahli.
Pada 1 Julai lalu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan menyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka kepada Pemuda UMNO.
Surat tersebut diterima oleh Razali di lobi Parlimen yang disahut secara positif oleh pergerakan itu pada hari yang sama.
Bagaimanapun, Razali memberitahu, beliau berharap wacana ilmiah itu bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa atau cuba merendah-rendahkan imej mana-mana pihak.
Beliau berkata, apa yang penting adalah mencari titik persamaan dalam apa jua isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua belah parti.
''Kita tidak mahu perkara-perkara logistik serta sentimen akan menggagalkan hasrat Pemuda UMNO dan Pas bagi berbincang untuk kebaikan bersama.
''Tetapi kalau Dewan Pemuda Pas nak ikut cakap pemimpin mereka, saya tidak boleh menghalangnya," katanya.
Sementara itu, mengenai laporan media Britain hari ini terdapat sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, Razali berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya.
''Saya hanya baca mengenainya dalam surat khabar hari ini tetapi saya berharap usaha itu dapat membantu pembangunan sukan negara ini," katanya.
Wacana satu permulaan amat baik
KUALA LUMPUR 4 Julai - Hasrat Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan wacana bersama Pergerakan Pemuda UMNO merupakan permulaan yang amat baik demi perpaduan orang Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia membuktikan bahawa UMNO kini semakin liberal kerana sedia bekerjasama dengan parti pembangkang demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
"Usaha ini amat disokong, walaupun ia hanya program wacana. Ia satu permulaan yang baik selepas cadangan kerajaan perpaduan tidak dapat dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang 3 Lawan 3 di Kolej Metropolitan di sini hari ini.
Saifuddin diminta mengulas pelawaan Dewan Pemuda Pas untuk mengadakan perbincangan secara ilmiah terbuka bersama Pemuda UMNO.
Katanya, usaha tersebut adalah lebih baik daripada Pas bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Pada saya, lebih baik Pas bersama dengan UMNO demi memperkasakan orang Melayu. Tetapi usaha itu sudah tentu tidak akan menjejaskan kaum lain.
"Kita hanya mahu memajukan kaum Melayu dan faedahnya sudah tentu akan dinikmati kaum-kaum lain juga," katanya.
Beliau berkata, Pas mempunyai pengalaman politik yang lebih lama terutama dalam soal mentadbir kerajaan negeri.
"Pengalaman itu lebih sesuai digunakan bersama dengan parti yang juga mempunyai pengalaman sama. Pas lebih baik berkawan dengan UMNO, MCA ataupun MIC daripada DAP," katanya.
Wacana ilmiah Umno, Pas selepas 14 Julai
Oleh Azrina Ahzan dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
Surat persetujuan ditandatangani Khairy diserahkan Jumaat lalu: Razali
PUTRAJAYA: Wacana ilmiah antara Dewan Pemuda Pas Pusat dan Pergerakan Pemuda Umno akan diadakan selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.
Katanya, surat persetujuan yang ditandatangani Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk menyertai wacana ilmiah itu sudah diserahkan Jumaat lalu kepada Dewan Pemuda Pas Pusat.
"Wacana ilmiah ini bertujuan membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara terbuka dan ia akan diadakan dengan atau tanpa publisiti.
"Oleh itu, saya berharap tidak ada perkara yang akan menggagalkan hasrat murni kedua-dua pihak ini sama ada dari segi tajuk atau sentimen," katanya selepas merasmikan mesyuarat penaja penubuhan Persatuan Belia Secara Berkelompok Yang Terbanyak/Teramai untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Record di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.
Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican, pula berkata pergerakan itu mahu al-islah (kebaikan) dan al-haq (kebenaran) dijadikan asas kepada wacana itu demi kepentingan masyarakat Melayu dan agama Islam.
Katanya, wacana itu perlu menjadi medan untuk mencari titik persamaan demi kepentingan rakyat, bukannya medan untuk menonjolkan kehebatan mana-mana pihak.
Katanya, al-islah dan al-haq sering diperkatakan pemimpin Pas sebagai asas perjuangan parti itu, jika perbincangan itu bertujuan untuk mencari kebaikan ia perlu diadakan atas landasan itu.
"Pemuda Umno sentiasa istiqamah dengan perjuangannya dan sedia bermuzakarah dengan Pemuda Pas atas landasan al-islah dan al-haq. Bukan untuk mencari kemenangan moral politik sebagai asas utama.
"Oleh itu Pemuda Pas perlu menghuraikan segala kekusutan dan menzahirkan keikhlasan mereka untuk berbincang dengan Pemuda Umno yang sanggup menerima wacana itu walaupun tajuk diberikan ada unsur provokasi terhadap Umno, " katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wacana Ilmiah itu dicadangkan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan, secara terbuka menjemput Pemuda Umno mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu dan ia disambut baik Pemuda Umno.
Perkara itu mendapat reaksi positif Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyifatkan cadangan itu satu dakwah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut merestui perbincangan membabitkan dua sayap parti itu.
Mengulas mengenai kenyataan Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Subky Yusof, yang menyifatkan wacana itu sebagai satu taktik untuk menarik perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berdebat selepas tiga kali menolak pelawaan Ketua Pemuda Pas adalah tidak berasas.
Tak berhenti 'sentuh' Nik Aziz
azran.rahim@utusan.com.my
|
|
KOTA BHARU 4 Julai - UMNO tidak akan berhenti 'menyentuh' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin lain parti itu selagi fitnah disebarkan dan kebenaran tidak ditegakkan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil tersebut, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan pemimpin Pas telah memesongkan akidah pengikutnya dengan memberikan gambaran yang salah sehingga ada di antaranya menggangap melihat wajah Nik Abdul Aziz sudah cukup untuk mendapat pahala.
Beliau berkata, Pas juga telah menyebar fitnah besar ketika berkempen dari rumah ke rumah pada pilihan raya kecil itu apabila mendakwa UMNO menolak Islam, menyeleweng dan 'ajaran sesat'.
"Mana-mana yang benar kita akui, kita tidak serang peribadi. Siapa saja yang menyebarkan fitnah dan dakwaan palsu maka kita bertanggungjawab memperbetulkan dakwaan itu, kalau tidak masyarakat akan terpesong dan tergelincir daripada ajaran sebenar, ini bahaya kerana akan menggalakkan perpecahan.
"Tengok muka dapat pahala, ini kira ajaran sesat. Pahala itu amal maaruf, pahala itu kita buat kebaikan, kita sembahyang dan buat kebajikan itu pahala. Tapi tengok gambar, tidak ada nas dalam al-Quran atau hadis. Saya tidak tahu, saya bukan ulama besar.
"Itulah contoh, mana-mana yang tidak benar kita wajib bertanggungjawab untuk menegakkan kebenaran, siapa juga. Kita pemimpin dalam masyarakat, ada tanggungjawab masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Beramai-ramai bagi Parlimen Kuala Krai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh di sini hari ini.
Hari ini, akhbar melaporkan Pas percaya tindakan UMNO 'menyentuh' Nik Abdul Aziz dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai akan lebih menguntungkan parti itu.
Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menyerang peribadi pemimpin itu yang membuat pelbagai kenyataan keras mengecam UMNO.
Beliau secara terbuka mengakui ia merupakan strategi parti tersebut kerana penduduk di Kelantan khususnya Manek Urai menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ikon dan apa yang dikatakan terhadapnya akan memberikan kesan sebaliknya
Malah Wan Abdul Rahim berkata; "Di Manek Urai, saya dengar seorang imam mukim kata dia tengok muka Nik Abdul Aziz dapat pahala, boleh jadi betul atau tidak kata dia, tetapi itu gambaran bagaimana penghormatan terhadap Tok Guru".
Mustapa berkata, UMNO tidak pernah mengabaikan Islam dalam perjuangannya dan ia menjadi pegangan dalam mentadbir serta menentu hala tuju rakyat serta negara ini.
"Kita mendaulatkan Islam, agama Islam pegangan kita, perlembagaan Islam, Islam agama rasmi. Diharap rakyat Kelantan tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang memfitnah UMNO sesat dan menolak Islam.
"Kenapa ini boleh berlaku, saya hairan juga. Saya solat di masjid, kiri kanan saya macam-macam fahaman politik. Kita bersama sembah Tuhan yang sama, dalam masjid sama, keluar saja masjid macam-macam fitnah ditaburkan, ini amat mendukacitakan," katanya.
Tambahnya, beliau berharap pengundi di Manek Urai tidak mudah terpedaya dengan kata-kata kesat yang dilemparkan pemimpin Pas terhadap UMNO dan kerajaan BN.
Barisan Nasional hanya menegur
KUALA KRAI 4 Julai - Barisan Nasional (BN) tidak pernah menghentam Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi hanya menegur pentadbiran dan keceluparannya menjatuhkan hukum kepada seseorang.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, teguran tersebut terpaksa dibuat kerana ia telah melampaui batas sehingga menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.
Beliau berkata, ia juga bertujuan membela nasib rakyat kerana selama mentadbir negeri ini, Nik Abdul Aziz gagal melaksanakan tugasnya dari semua aspek termasuk ekonomi dan pendidikan.
"Kita hanya tegur pentadbiran Menteri Besar dan keceluparannya menjatuhkan hukum kepada seseorang kerana dalam Islam kita semua pendakwah termasuk nabi.
"Kita bukan hakim yang boleh menentukan siapa masuk syurga, siapa masuk neraka, itu yang kita tegur," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang percaya tindakan UMNO 'menyentuh' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai akan lebih menguntungkan parti itu.
Mengulas dakwaan Wan Abdul Rahim bahawa seorang imam mukim berkata kepadanya melihat muka Nik Abdul Aziz telah mendapat pahala, Alwi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan melihat muka alim ulama atau 'tok guru' mendapat pahala tetapi bukannya 'tok guru politik'.
"Saya setuju bila dikatakan melihat tok guru dapat pahala tetapi bukan 'tok guru politik'. Semua tok guru agama seperti Tok Kenali, Tok Abdullah Fahim dan ramai lagi adalah punca ilmu," katanya.
Beliau turut berpendapat gelaran ulama pada Mursyidul Am Pas itu telah terhakis memandangkan beliau lebih mengutamakan politik pakatan pembangkang berbanding perpaduan orang Islam.
"Nik Abdul Aziz lebih pentingkan sifat tamak dalam berpolitik dan disebabkan itu beliau melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO.
"Saya berharap pemimpin UMNO tidak terperangkap dengan cara pemimpin seperti ini," katanya
Pas anjur konsert tarik pengundi muda
KUALA KRAI 4 Julai - Jika sebelum ini Pas mencemuh UMNO kerana membenarkan konsert hiburan secara terbuka, tetapi kali ini mereka turut menganjurkan acara yang sama.
Konsert hiburan alternatif yang diadakan di Padang Majlis Daerah Kuala Krai malam tadi turut menampilkan penyanyi rock, Ringgo yang juga bekas vokalis kumpulan Arrow.
Pada konsert yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kelantan itu, Ringgo menyampaikan lima buah lagu termasuk dua lagu popularnya bersama Arrow iaitu Sendu di Hati Mu Rindu di Jiwaku dan Niat di Hati Tak Nak Berpisah.
Ringgo turut mengambil kesempatan pada konsert tersebut untuk menjual album terbarunya bertajuk Pesan Tok Guru dengan harga promosi RM10 dan masih bertemakan rock serta pop.
Turut menghiburkan penduduk setempat ialah Johan Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan dan pendikir terkenal, Megat Nordin.
Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian, konsert itu tidak jauh berbeza dengan program hiburan kerana melibatkan percampuran di antara lelaki dan wanita tetapi lebih bersifat santai bersama keluarga.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, konsert itu diadakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai bahawa Islam membenarkan hiburan tetapi mesti dalam batas-batas tertentu.
"Konsert malam tadi berlangsung dengan baik dan kita ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa ini adalah hiburan alternatif yang dibenarkan dalam Islam.
"Percampuran di antara lelaki dan wanita pada konsert malam tadi memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan yang datang bersama keluarga, suami isteri dan adik dengan kakak atau abang.
"Kalau di tepi-tepi jalan dan tempat yang sunyi dan agak jauh dari sini adalah di luar daripada kawalan kita, tetapi sepanjang konsert ini berlangsung kita selang-seli dengan nasihat dan unsur-unsur dakwah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, ia juga merupakan strategi Pas untuk menarik lebih ramai pengundi muda ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Umno tolak Islam adalah fitnah
Oleh Khairul Anuar Samad
bhnews@bharian.com.my
Umum harus menilai usaha parti terap unsur agama dalam ekonomi, pendidikan
KUALA KRAI: Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Umno menolak Islam adalah fitnah besar dan amat tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed.
Sambil menyifatkan apa yang berlaku itu amat mendukacitakan, Mustapa berkata, beliau kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang yang membawa cerita kononnya Umno menolak Islam, menyeleweng dan membawa ajaran sesat dalam lawatan rumah ke rumah dan ceramah agama di kawasan itu.
Beliau berharap masyarakat Manek Urai tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang itu dan menganggap ia sebagai kempen mereka dengan menyebar fitnah dari rumah ke rumah.
"Kita berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi dalam perbankan Islam, pendidikan Islam dan ekonomi Islam.
"Kita mengakui ada sedikit sebanyak kelemahan, tetapi kelemahan ini sentiasa kita perbaiki. Kita harap rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan fitnah seperti ini," katanya selepas merasmikan majlis khatam al-Quran Parlimen Kuala Krai anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Manek Urai, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Shukri Mohd Salleh.
Mustapa berkata, umat Islam di Manek Urai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan Pas yang menyebarkan dakyah kononnya melihat gambar wajah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sudah boleh mendapat pahala.
Beliau berkata, tidak ada nas dalam al-Quran atau hadis yang menyebut hanya dengan tengok wajah seseorang itu akan mendapat pahala.
Katanya, pahala hanya akan diperoleh melalui tingkah laku serta perbuatan yang baik dilakukan oleh umat Islam dan sekiranya ada yang beranggapan seperti perbuatan tengok wajah dapat pahala, ia adalah ajaran sesat.
Manek Urai anak angkat BN
PENGUNDI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu membuat pemilihan bijak 14 Julai ini bagi menentukan masa depan mereka, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata di tangan pengundilah yang akan menentukan untung nasib masa depan penduduk dan anak mereka.
“Apa yang saya harapkan hasrat kerajaan Pusat untuk menjadikan Manek Urai anak angkat apabila menang pada pilihan raya nanti akan menjadi kenyataan,” katanya ketika melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) DUN itu, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau melepaskan anak ikan keli di Projek Membasmi Kemiskinan Rakyat Parlimen Bachok, di Kampung Telok Merbau, Perupok, Bachok.
Awang Adek berkata, sebelum ini kerajaan setuju menjadikan Bachok anak angkat, tetapi kerana kalah pada pilihan raya lalu, hasrat itu gagal dilaksanakan.
Suhakam jawab dakwaan
KUALA LUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan kesemua kenyataan yang dikeluarkan oleh pihaknya bersifat bebas, tidak berpihak dan selari dengan Prinsip Paris.
Setiausaha Suhakam, Hashimah Nik Jaafar dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya mengeluarkan kenyataan berhubung krisis Perlembagaan Perak setelah dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat penuh suruhanjaya itu pada 11 Mei lalu.
''Suhakam ingin menekankan bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan pandangan yang telah dipersetujui kesemua pesuruhjaya kecuali seorang dengan semangat melindungi dan mempromosi hak asasi manusia,'' ujarnya.
Menurutnya, Suhakam mengeluarkan kenyataan ini kerana terpanggil untuk memberi jawapan balas kepada beberapa soalan yang ditimbulkan oleh beberapa Ahli Parlimen mengenai sikap tidak berpihak (neutral) anggota-anggotanya.
Jelasnya, perkara itu telah dikemukakan oleh beberapa ahli Parlimen dalam perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Pindaan) 2009 di Dewan Rakyat kelmarin.
Gejala jual kepentingan orang Melayu berleluasa
KUALA LUMPUR: Bangsa Melayu dianggap komoditi yang 'sedang laris dijual beli' di pasaran politik dengan parti politik terutama pembangkang menjual masyarakat berkenaan untuk mendapatkan sokongan pihak lain.
Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussein, berkata gejala yang menjual kepentingan kaum Melayu itu berlaku secara berleluasa pada zaman yang disifatkannya sebagai zaman pancaroba.
“Kita lihat kepentingan masyarakat Melayu dijual kepada orang lain terutama hak istimewa, sehingga kita seolah-olah menang sorak, kampung tergadai.
“Pada masa sama, fenomena pengasingan antara golongan politik dengan budayawan, ilmuwan dan sasterawan dalam masyarakat Melayu sedangkan dunia politik memerlukan golongan terbabit,” katanya pada ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 di Rumah Gapena di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ismail berkata, gejala yang tidak sihat itu menunjukkan tanda kejatuhan bangsa, sekali gus mengharapkan kerajaan untuk prihatin terhadap ucapan dan gagasan golongan penulis, seniman dan budayawan.
“Pada zaman sulit ini, kami cuba membina organisasi intelektual dan menjadikannya sebagai organisasi berwibawa serta berlandaskan kewarasan fikiran,” katanya.
Mesyuarat Agung Gapena Ke-38 turut mengusulkan untuk menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum beliau mengumumkan keputusan muktamad kerajaan berhubung dasar pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“Jika PPSMI diteruskan, Gapena tetap membantah dan akan terus meminta kerajaan memansuhkannya. Gapena percaya pelbagai masalah boleh timbul jika PPSMI diteruskan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
PPSMI, yang dilaksanakan selama hampir enam tahun lepas, kini dianalisis secara menyeluruh oleh Kementerian Pelajaran bagi menilai implikasi dasar itu dari pelbagai sudut.
Gapena juga, kata Ismail, meminta kerajaan mewartakan kawasan di sekitar Rumah Gapena, Jalan Belfields di sini, sebagai taman penulis, sekali gus memulihara persekitaran kehijauan di kawasan terbabit.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, pertubuhan bukan kerajaan seperti Gapena perlu menjadi suara yang kuat dan berpengaruh sehingga pandangan mereka turut diambil kira oleh arus perdana dan dasar yang akan ditentukan kerajaan.
“Gapena didokong intelektual Melayu yang sudah lama terbabit dalam perjuangan bangsa, budaya dan bahasa, manakala pandangan yang dibangkitkan pula bertujuan untuk kebaikan negara.
“Ia juga bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyebut rakyat diutamakan, sekali gus menunjukkan beliau mahu mendengar pandangan akar umbi,” katanya.
Mohd Puad berkata, kesilapan apabila terpisah daripada golongan intelektual, budayawan dan NGO Melayu yang berpengaruh juga perlu diperbetulkan supaya kerajaan mempunyai pelbagai sumber maklumat.
Tempoh penamaan: SPR teliti perundangan
KUALA LUMPUR 4 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti daripada aspek perundangan, keselamatan dan pandangan parti politik terhadap cadangan memanjangkan tempoh penamaan calon dari sejam kepada dua hingga tiga hari.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan pengalaman lalu apabila sesebuah tempat dan pekan mengalami kesesakan lalu lintas sehingga berlaku kerosakan harta benda pada hari penamaan calon.
Menurutnya, tempoh sejam yang diberikan biasanya sehingga pukul 10 pagi amat suntuk dan kerana itu penyokong daripada parti-parti yang meletakkan calon bertanding pada pilihan raya kecil atau umum akan menunjukkan 'kekuatan' masing-masing.
"Mereka bukan sahaja memegang sepanduk, bermain muzik dan membuat bising tetapi kadangkala tindakan mereka turut melibatkan kerosakan harta benda awam.
"Sebagai contoh, pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang yang lalu, terdapat 30,000 hingga 50,000 penyokong sesebuah parti mengiringi calon hanya untuk menyerahkan borang ke tempat penamaan calon,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika itu pihak polis telah mengasingkan jalan dan tempat berkumpul sesuatu kumpulan penyokong pada jarak yang agak jauh bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
Katanya, pada masa akan datang jumlah itu mungkin akan mencecah 100,000 orang dan ketika itu amatlah sukar untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Abdul Aziz mengulas cadangan memanjangkan tempoh penamaan calon kepada dua hingga tiga hari bagi mengelak pertembungan para penyokong parti-parti yang meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil dan umum.
Beliau seterusnya berkata, dalam cadangan itu SPR akan menetapkan hari-hari tertentu untuk calon menyerahkan borang bagi mengelak berlaku pertembungan kumpulan penyokong.
Bagaimanapun kata Abdul Aziz, perbincangan mengenai cadangan itu masih di peringkat awal.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun tempoh penamaan calon tersebut dipanjangkan, jika penyokong hendak membuat ancaman ia tetap akan berlaku.
Bagaimanapun kata beliau, tempoh yang dicadangkan SPR itu agak panjang dan sekiranya hendak melakukan perubahan pada tempoh penamaan calon, ia perlu dibincangkan bersama terlebih dahulu.
"Sepanjang pengetahuan saya, perkara itu belum lagi dibincangkan dengan pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
SPR kesan 3.7 juta rakyat belum mendaftar
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan lebih 3.7 juta rakyat negara ini yang sudah layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Setiausahanya, Datuk Ngah Senik.
Beliau berkata, daripada 27,497,240 rakyat negara ini yang direkodkan pada Julai tahun lalu, hanya 11.03 juta berdaftar sebagai pemilih sehingga 31 Mac lalu.
"Kebanyakan mereka gagal mendaftar apabila mencapai usia 21 tahun. Mereka sepatutnya sedar, yang setiap rakyat yang layak mengundi, mempunyai peranan penting untuk menjayakan proses demokrasi menerusi pilihan raya di negara ini.
"Jika semua rakyat yang layak mengundi mendaftar sebagai pemilih, secara tidak langsung ia meningkatkan jumlah pengundi kita kepada lebih 50 peratus daripada keseluruhan rakyat," katanya ketika sesi taklimat media sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha SPR (Operasi), Datuk Nordin Ngah dan Pengarah SPR negeri, Abd Rahim Md Salleh.
Ngah berkata, berikutan itu, SPR akan mengambil pelbagai langkah termasuk mengadakan kempen kesedaran untuk menimbulkan rasa tanggungjawab di kalangan orang ramai untuk segera mendaftar sebagai pemilih.
Katanya, SPR juga memerlukan sokongan media untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung keperluan mendaftar dan memenuhi tanggungjawab itu.
Beliau berkata, SPR sudah mengenal pasti 10 simbol baru sebagai tambahan kepada 20 sedia ada untuk dipilih calon Bebas yang menawarkan diri bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.
"SPR kini sedang menyemak semula simbol yang disediakan untuk pilihan semua calon Bebas. Kita sudah kenal pasti 10 simbol baru tetapi belum diwartakan lagi. Ketika ini, jika ada dua calon Bebas mahu menggunakan lambang sama, mereka perlu mengundi," katanya.
Sementara itu, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Manek Urai pada 14 Julai ini, meningkat berbanding pilihan raya umum dan kecil yang diadakan sebelum ini.
"Kita jangka di Manek Urai kali ini, ramai yang akan keluar mengundi kerana saingan sengit di antara parti yang bertanding," katanya.
Ngah berkata, setiap parti yang bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan hanya dibenar menggunakan 400 kenderaan dengan pelekat yang dikeluarkan SPR sebagai pengangkutan parti untuk membawa pengundi ke pusat pengundian, tidak termasuk pengundi yang datang sendiri.
Katanya, bagi tujuan itu, SPR mengagihkan 1,200 keping pelekat kepada setiap parti bertanding dengan setiap kenderaan diwajibkan menampal tiga pelekat iaitu pada cermin depan dan kiri serta kanan kenderaan.
"Kenderaan yang mempunyai pelekat itu dibenarkan membawa dan menurunkan pengundi dalam zon 50 meter dari pusat pengundian dan di zon sama, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih di meja semakan yang dikendalikan petugas SPR.
"Selain itu, SPR turut menambah bilangan kerusi roda dengan meletakkan lapan buah kerusi roda di setiap pusat mengundi untuk kegunaan petugas mengendalikan warga emas atau pengundi yang memerlukan bantuan," katanya.
Seramai 12,268 pengundi biasa Manek Urai akan mengundi di sembilan pusat mengundi pada 14 Julai ini, manakala seramai 25 pengundi pos pula akan menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai ini.
3.7 juta rakyat tidak mendaftar - SPR
KOTA BHARU 4 Julai - Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negara ini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik.
Katanya, situasi itu membimbangkan kerana masih ramai golongan muda berusia antara 21 dan 39 tahun belum sedar hak mereka sebagai pemilih untuk menentukan masa depan dan kelangsungan proses demokrasi negara.
"Berdasarkan jumlah pemilih yang dikemas kini SPR sehingga 31 Mac tahun ini, hanya 11 juta rakyat yang didapati menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mendaftarkan diri sebagai pemilih apabila tiba kelayakan umur 21 tahun.
"Seramai 3.7 juta lagi rakyat tidak mendaftarkan diri meskipun sudah tiba kelayakan umur untuk mendaftar.
"Situasi ini membimbangkan kerana jumlah itu agak besar dan boleh memberi kesan kepada kelancaran perjalanan proses demokrasi negara," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada media mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ngah berkata, daripada 12,293 pengundi termasuk 25 pengundi pos di Manik Urai, golongan muda berjumlah 5,598 orang, merangkumi 45.5 peratus.
Golongan pertengahan berusia antara 40 dan 59 tahun berjumlah 4,511 orang (36.7 peratus) dan golongan pengundi berumur 60 hingga 79 tahun, 1,937 orang (15.7 peratus) serta golongan warga emas berusia 80 tahun ke atas berjumlah 247 orang merangkumi 2.01 peratus.
Ngah berkata, 12,197 pengundi berbangsa Melayu merangkumi 99.2 peratus, manakala pengundi Cina (56), India (28) dan kaum-kaum lain 12 orang.
Katanya, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi ditetapkan di Dewan Petra Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di Kuala Krai.
Sembilan pusat pengundian dibuka dengan jumlah saluran mengundi sebanyak 27 buah dan petugas pilihan raya seramai 497 orang.
Ngah juga mengingatkan setiap calon dan penyokong parti yang bertanding agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh SPR bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.
Ngah berkata, SPR menggalakkan parti-parti bertanding tidak membawa penyokong terlalu ramai ketika hari penamaan calon berlangsung bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan kesesakan. - BERNAMA