KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berharap Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini, akan membincangkan soal perpaduan yang menjadi tunggak kekuatan rakyat negara ini.
Samy berkata, beliau sentiasa menaruh harapan besar kepada Perhimpunan Agung Umno kerana Umno kini bukan lagi dianggap sebagai parti untuk Bumiputera tetapi untuk semua kaum.
Katanya, Perhimpunan Agung Umno yang membincangkan agenda negara sentiasa menjadi fokus utama rakyat daripada pelbagai kaum.
"Perdana Menteri pula dalam ucapannya sentiasa menekan soal perpaduan dan pembangunan manakala kami dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) sentiasa bermuafakat bersama seperti keluarga.
"Saya berharap perkara ini akan diikuti perwakilan dalam pembahasan mereka untuk memberi pandangan dengan mengambil kira kepentingan kaum lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Mengenai Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan, anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini semalam.
Samy yang juga Menteri Kerja Raya berkata, negara ini bertuah kerana mempunyai kepimpinan yang baik hingga rakyat hidup bersatu padu dan aman damai.
"Bagi generasi akan datang, saya berharap rakyat negara ini tidak lagi dibelenggu dengan soal perkauman dan hidup bersatu padu," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang meminta MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) menghentikan perbalahan secara terbuka kerana tindakan itu bertentangan dengan amalan dan prinsip BN, Samy berkata, beliau akan menulis surat kepada Najib berhubung perkara itu.
"Saya akan menulis surat dan bercakap dengan Datuk Seri Najib (berhubung perkara itu)," katanya.
Najib sebelum ini mahu hubungan semua parti komponen BN berjalan baik dan mengelak daripada cabar mencabar serta kutuk mengutuk sesama sendiri.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment