Tuesday, November 06, 2007

Perhimpunan Agung Umno: Najib kemuka formula 4M untuk tipu pengundi

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Nov 06, 07 | 2:20:02 pm MYT

Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak telah menggariskan pendekatan 4M sebagai formula persediaan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, 'M' pertama ialah merapatkan barisan sesama ahli Umno termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta parti-parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) manakala 'M' kedua ialah meneruskan program menambah ahli dan pengundi.

"'M' ketiga ialah mesra rakyat yang melibatkan penggerak parti dan juga pelbagai jabatan serta agensinya sementara 'M' keempat pula ialah menyelesaikan masalah dan rungutan rakyat dengan cekap serta berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Najib yakin pendekatan berkenaan akan memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya mendapat sokongan jentera Wanita, Pemuda dan Puteri.

Begitupun penulis melihat 4M yang dimaksudkan Najib itu tidak akan berkesan jika tidak diselitkan dengan amalan biasa 4M dalam makna yang lebih tepat.

Penulis melihat 4M yang akan digunapakai ialah, 'M' yang pertama (menipu), 'M' yang kedua mengugut dan menggunakan wang, 'M' ketika ialah menggunakan SPR dan 'M' yang keempat ialah manipulasi media.

Semua 'M' ini akan digunakan jentera Umno/BN bagi mendapatkan undi di kalangan rakyat yang akhirnya terpaksa mengundi calon Umno/BN.

Dalam beberapa pilihan raya terdahulu, SPR sendiri mengakui terdapatnya penipuan yang berlaku namun hakikat ini langsung tidak diendahkan badan itu sendiri dalam usaha mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini.

Usaha demi usaha dilakukan oleh pembangkang dengan mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil SPR, namun hingga kini SPR hanya dijadikan alat kepada parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

Sementara itu, media massa arus perdana pula dijadikan alat utama untuk mempropagandakan laporan memburuk-burukkan pembangkang dengan suara pembangkang diketepikan dari memberi kenyataan balas.

Polis dan jentera kerajaan yang lain akan dipergunakan bagi menakut-nakutkan rakyat selain wang negara yang banyak digunakan untuk kempen menyogok pengundi.

Hingga kini amalan 4M inilah sebenarnya yang memberi kejayaan kepada Umno/BN untuk kekal menerajui negara.

Perhimpunan Agung Umno 2007 kali ini, sekali lagi ia digunakan sebagai pentas untuk mengumpul strategi bagi menipu rakyat sekali lagi. - mks.

No comments: