Sunday, September 30, 2007

PKR akan dedah baki rakaman video

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mendedahkan baki rakaman video perbualan telefon antara seorang peguam terkenal dengan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam baki rakaman video selama enam minit yang merupakan sambungan daripada video yang telah didedahkan pihaknya kepada umum sebelum ini, nama hakim kanan itu adalah jelas disebut.

‘‘Saya difahamkan beliau (hakim kanan) telah menafikan dia terlibat, jadi kita akan mendedahkan baki daripada keseluruhan rakaman video selama 14 minit apabila tiba masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel pada forum awam bertajuk Daripada Nurin Kepada Ketua Hakim Negara: Runtuhnya Undang-Undang dan Peraturan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Baru-baru ini, PKR mendedahkan satu rakaman video yang kononnya menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual menerusi telefon tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim pada 2002.

Rakaman video selama lapan minit itu melibatkan peguam berkenaan membincangkan kemungkinan hakim kanan itu dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan kemudian sebagai Ketua Hakim Negara selain pelantikan beberapa hakim lain.

Rusuhan: Pelajar serah diri

KUALA TERENGGANU 29 Sept. – Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dikehendaki polis berhubung kes membakar Jalur Gemilang dan merosakkan harta benda awam dalam rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Burok awal bulan ini, menyerah diri selepas berita mengenai usaha mencarinya disiarkan.

Pelajar sebuah sekolah menengah di Pasir Panjang dekat sini, datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pukul 10.40 pagi ini dengan ditemani dua abangnya berusia 36 dan 26 tahun serta seorang rakan abangnya berusia 25 tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I negeri, Supritendan Khairi Ahrasa berkata, pelajar berasal dari Gong Penaga, Pasir Panjang itu kini ditahan untuk diambil keterangannya.

“Polis mahu tahu sejauh mana penglibatannya dalam kejadian pada 8 September itu.

“Siasatan mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan bencana terhadap harta benda awam sewaktu rusuhan dan jika polis berpuas hati dengan keterangannya, pelajar terbabit akan dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkannya menduduki PMR pada 1 Oktober ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu di Alor Star, Kedah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap parti pembangkang jika mereka menuduh pergerakan itu sebagai dalang yang mencetuskan rusuhan di Terengganu awal bulan ini.

“Apa yang didakwa mereka (mengatakan Pemuda UMNO Terengganu sebagai dalang rusuhan) adalah semata-mata untuk mengaburi mata rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemuda UMNO Kedah di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung di sini malam tadi.

Pelajar bakar bendera serah diri

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga dari Kampung Gong Penaga, Jalan Pasir Panjang, di sini yang dipercayai terbabit membakar Jalur Gemilang dalam rusuhan di Jalan Sultan Mahmud pada malam 8 September lalu, menyerah diri kepada polis, pagi semalam.

Pelajar terbabit yang akan mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) esok datang bersama dua abang dan seorang rakan di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri, jam 10.40 pagi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata pelajar terbabit hadir bagi membantu siasatan berhubung insiden pembakaran Jalur Gemilang pada malam kejadian.

Beliau berkata, polis sedang mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan jika polis berpuas hati dengan keterangan dan kerjasama diberikan, pelajar itu akan dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkannya mengambil peperiksaan PMR.

Katanya, pelajar itu tidak hadir ke sekolah selepas menyedari gambarnya disiarkan media 10 September lalu.

"Pelajar terbabit juga berselisih faham dengan ibunya kerana tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari, sebaliknya tidur di surau dan masjid di kampungnya," katanya.

Khairi berkata, pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana membuat khianat ketika rusuhan dengan membakar Jalur Gemilang.

Pembangkang buat helah tuduh Pemuda

Oleh Johari Ibrahim

Parti lawan mahu tutup silap sendiri: Hishammuddin

ALOR STAR: Tindakan pembangkang menuduh Pemuda Umno Terengganu di sebalik rusuhan di Batu Burok, Terengganu, baru-baru ini hanya untuk menutup kesilapan sendiri selepas terdesak kerana mengetahui rakyat menolak keganasan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, apabila menyedari rakyat menolak tindakan rusuhan dan keganasan, parti pembangkang mengambil jalan mudah dengan menuduh Pemuda Umno Terengganu terbabit dalam rusuhan berkenaan.

"Pada hal sejak awal mereka (pembangkang) tahu perhimpunan itu tidak ada permit kerana terlalu dekat dengan kawasan istana dan jika diteruskan tindakan undang-undang boleh diambil, tetapi mereka teruskan juga.

"Apabila tindakan diambil, mereka menuduh kita pula," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama ahli Pemuda Umno Kedah di Hutan Kampung, malam kelmarin.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada lebih 50 fakir miskin dan orang kurang upaya di kawasan Parlimen Pokok Sena.

"Pembangkang mendapat maklum balas bahawa rakyat sudah jelak dengan rusuhan dan keganasan dan cara paling mudah untuk menafikan kesalahan sendiri ialah dengan menuduh orang lain," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan mengenai tuduhan pembangkang itu ketika ucapan pada majlis itu.

Justeru, katanya, Pemuda Umno sedang mengumpulkan bukti mengenai tuduhan itu dan mungkin mengambil tindakan undang-undang.

"Jika ada pemimpin pembangkang dari Terengganu yang datang ke Kedah dan membuat tuduhan itu, halau saja mereka," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata Umno tidak perlu melakukan tindakan itu untuk menarik perhatian rakyat sebaliknya menggunakan kuasa yang ada untuk memajukan negara.

"Selepas tiga tahun, banyak sekolah agama rakyat (SAR) mendaftar dengan kementerian tanpa paksaan, kerajaan juga bantu SAR itu, kita jalankan program bacaan al-Quran dan Jawi J-Qaf, itulah kerja kita untuk memperkasakan Islam," katanya.

Beliau berkata, tindakan merusuh dan polemik berkaitan agama tidak akan membantu memartabatkan Islam pada kaca mata antarabangsa.

"Barat menuduh Islam pengganas, mundur dan tidak berupaya menguasai teknologi dan Umno bertanggungjawab untuk mengubah persepsi itu menerusi kuasa yang ada di negara ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau mengarahkan semua Jabatan Pelajaran negeri memastikan semua isu kemudahan asas di sekolah termasuk bekalan air dan elektrik diselesaikan menjelang 2010.

Katanya, ia bagi memastikan usaha melonjakkan sektor pendidikan negara dalam tempoh 10 tahun sehingga 2020 tidak tergendala.