Tuesday, November 06, 2007

Bangkitkan isu kebajikan bukan Melayu

PETALING JAYA 5 Nov. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu meminta perwakilan UMNO supaya turut membahaskan faedah bersama serta kebajikan kaum bukan Melayu dalam Perhimpunan Agung parti itu yang bermula hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sebagai parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN), UMNO tidak seharusnya hanya memperjuangkan hak-hak orang Melayu.

‘‘Ucapan-ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini juga menekankan isu perpaduan negara.

‘‘Saya rasa berpuas hati dengan kenyataan Perdana Menteri berhubung isu itu dan berharap setiap individu dapat belajar dan memahami kebudayaan setiap kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan Malaysia 2007 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan penggabungan MIC dan Parti Progresif Rakyat (PPP), beliau berkata: “Perkahwinan (penggabungan) antara dua parti itu tidak mungkin berlaku tetapi MIC boleh ‘mengintai’ ahli-ahlinya.’’

Pertelagahan antara dua parti itu sampai ke kemuncaknya minggu lepas apabila MIC mengancam akan meminta BN menyingkirkan PPP kerana sering mengkritik parti itu berhubung isu kaum India.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perbalahan itu dihentikan kerana ia tidak berfaedah dan bukannya cara BN atasi masalah.

Bagaimanapun, Samy Vellu enggan mengulas apabila ditanya mengenai teguran Najib itu.

‘‘Saya akan tulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri berhubung isu ini,” katanya.

No comments: