Thursday, November 08, 2007

Selepas 50 tahun, Umno masih gagal perkasakan Melayu - Zainal Kling

Intan Abdullah
Wed | Nov 07, 07 | 4:21:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Setelah 50 tahun memerintah negara, Umno masih belum berjaya memperkasakan orang Melayu sebagai bangsa dominan dari sudut ekonomi dan politik.

Dalam satu rancangan yang disiarkan oleh TV9 malam tadi, Pensyarah di Jabatan Antropologi, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya, Dato' Dr Zainal Kling berkata, setakat ini Umno hanya meluaskan monopoli mereka ke peringkat kelas menengah sahaja yang merupakan sebahagian kecil daripada bangsa Melayu

"Sedangkan terdapat 60 peratus lagi orang Melayu yang tinggal di luar bandar tidak dapat menikmati hasil pembangunan mewah yang dibuat oleh kerajaan," ujarnya ketika ditanya oleh perantara rancangan Hujah, Prof Madya Dr Mohd Agus Yusof.

Menurutnya, ini adalah kerana kerancakan aktiviti pembangunan yang dijalankan hanya bertumpu kepada masyarakat yang berada di bandar sahaja.

Walhal ujarnya, masih ramai lagi di kalangan orang Melayu yang perlu dibangunkan ekonomi dan taraf hidup yang selesa tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

"Masyarakat yang berada di luar bandar juga mahu menikmati kemajuan, mereka mahu pusat kesihatan kecil diwujudkan di tempat mereka," tegas beliau yang juga merupakan pemerhati politik tanah air.

Zainal berpendapat bahawa orang Melayu masih terkebelakang jika sekiranya budaya demokrasi masih tidak wujud di dalam Umno.

"Ini tidak, kalau kita tegur pemimpin, dilabelkan sebagai pembangkang, dikenakan tindakan tatatertib, dibuang parti dan sebagainya. Di mana demokrasi parti kita?"

Beliau menunjukkan bahawa walaupun memerintah negara selama 50 tahun, Umno masih gagal membawa kemajuan ekonomi kepada Malaysia, khususnya orang Melayu

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali berkata dengan tema 'mengangkasakan tamadun bangsa', Umno sebenarnya hanya berjaya mengangkasakan harga barang sahaja.

Hal ini terbukti dengan peningkatan harga barangan yang mendadak di pasaran dalam tempoh terdekat.

Apa yang jelas, Zainal mengakui bahawa demokrasi dalam Umno masih lagi terkongkong yang akhirnya akan menatijahkan perkembangan Umno yang tidak demokratik.

Beliau mengakhiri temubual rancangan tersebut dengan menyatakan harapan kepada pertubuhan Melayu itu, supaya perancangan kemajuan yang diatur untuk menjadikan agenda memperkasakan melayu tidak mengetepikan nasib sebenar sebahagian besar golongan melayu yang tinggal di luar bandar untuk mengecapi nikmat kemajuan yang telah lama dinikmati oleh rakyat di bandar. - mr


"Sediakan bantal dan tikar getah"

Wartawan Kita
Thu | Nov 08, 07 | 3:41:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Hrkh) - Beberapa ahli dan penyokong Umno secara berseloroh meminta perwakilan dan pemerhati yang hadir di PWTC supaya menyediakan "bantal dan tikar" sebaik sahaja Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan perhimpunan agung Umno parti itu pada 7 November lalu.

"Siapkan bantal dan tikar getah kerana kita hendak tidur," kata mereka secara berseloroh tetapi penuh sinikal ketika mengulas ucapan dasar Presiden Umno.

Dalam persidangan Umno tahun 2006, pihak media terutama siaran televisyen telah memaparkan "tingkah-laku" para perwakilan ketika Abdullah berucap merasmikannya.

Justeru, penonton di rumah dapat melihat melalui kaca TV bagaimana ada perwakilan persidangan yang sedang sibuk bercakap menggunakan telefon bimbit, yang lainnya membaca surat khabar dan tidak kurang juga yang lena mendengkur ketika Abdullah begitu "bersemangat" berucap.

Seorang Ahli Jawatankuasa Umno sebuah bahagian di Selangor memberitahu, semasa beliau menjadi perwakilan dalam perhimpunan agung Umno lalu, ada di kalangan perwakilan yang berdengkur sehingga selesai Abdullah berucap.

"Nasib baik dikejutkan, kalau tidak, sampai habis persidangan pun ada yang terus terlena, tak sedar," tambahnya.

Isu Abdullah tertidur semasa menghadiri persidangan Umno turut menjadi bualan ramai, sehingga gambar-gambar beliau terlena ketika perwakilan berucap dapat dirakamkan dan disebarkan secara meluas melalui internet.

Malah, Abdullah dapat dikesan lewat masuk ke dewan persidangan, meskipun acara perbahasan perwakilan sudah bermula. Hal ini, menurut pemerhati politik, tidak pernah berlaku semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno selama lebih 20 tahun.

Bagaimanapun, seorang perwakilan Umno yang ditemui memberitahu, walaupun mereka seringkali kelihatan tertidur tetapi mereka sebenarnya turut mendengar apa yang diucapkan Abdullah. "Kita mencari ilham bukannya tertidur," katanya sambil tersenyum.

Dalam pada itu seorang wartawan kanan sebuah akhbar berkongsi pengalaman menariknya ketika Abdullah berucap menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan Umno 2006.

"Selalu orang mendakwa Pak Lah tertidur semasa beliau mendengar perbahasan perwakilan Umno, atau ketika diberikan taklimat, tetapi saya sendiri tak sangka bagaimana saya boleh tertidur semasa Abdullah berucap hari itu, sedangkan ucapan penutup Tun Mahathir dulu amat saya tunggu-tunggu," ujarnya.

Apabila PWTC sepi, lengang dan Abdullah tidak menyedarinya

Murtadza Ibrahim
Thu | Nov 08, 07 | 10:43:24 am MYT

Pelik tetapi benar. Umno yang mempunyai keahlian lebih daripada tiga juta ahli dan teras kepada gabungan parti-parti dalam Barisan Nasional menghadapi masalah "lengang" dalam Perhimpunan Agung Umno 2007, termasuk pada hari pembentangan ucapan dasar Presiden, semalam.

Tidak ramai ahli-ahli mahupun penyokong yang hadir sehingga ramai peniaga gerai yang duduk termenung menunggu pelanggan. Sememangnya sejak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Presiden Umno pada tahun 2004, keadaan suram mula melanda setiap kali perhimpunan agung parti berkenaan, dan tahun ini, sambutan begitu teruk sekali.

Sepatutnya menjelang Perhimpunan Agung Umno yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 akan datang, para ahli dan penyokong Umno bersemangat sekali untuk hadir sebagai tanda sokongan moral kepada parti tetapi keadaan adalah sebaliknya.

Yang paling "sibuk" berjalan adalah isteri (atau 'bonda baru' sepertimana yang disebut oleh menantunya) Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Jeanne Abdullah. Beliau akan berlegar di mana sahaja di sekitar PWTC seolah-olah memperkenalkan dirinya adalah isteri Presiden Umno kepada sayap Pemuda, Puteri dan Wanita Umno.

Apakah tindakan Jeanne ini adalah untuk "meredakan" hati perwakilan dan ahli-ahli Umno yang agak kecewa dengan pilihan Abdullah? Apakah Jeanne mahu membuktikan bahawa dirinya juga adalah penyokong kuat bangsa Melayu dan Umno?, melebihi anita-wanita Melayu lainnya?

Walaupun Jeanne sentiasa "sibuk berjalan" tetapi ruang legar di PWTC begitu lengang dan sepi. Apakah ahli-ahli Umno sudah tidak ghairah lagi dengan parti mereka sendiri? Atau adakah para perwakilan kini "sengkek" kerana tidak mampu lagi membawa para penyokongnya ke ibu kota sepertimana yang dilakukan oleh mereka sebelum ini terutamanya di bawah era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Sejak Abdullah memperkenalkan pertanian dan batik sebagai perniagaan baru, semakin ramai ahli dan pemimpin Umno di peringkat bahagian tidak dapat menjalankan perniagaan tradisi sebagai kontraktor. Abdullah memperkenalkan perniagaan berasaskan pertanian secara drastik, sesuatu yang disifatkan baik, tetapi dalam bidang yang mana aktivis Umno "cari makan", seperti sektor pembinaan, ia seperti menemui jalan mati.

Makin ramai kontraktor kelas F misalnya mengeluh kerana sudah lama mereka tidak mendapat kontrak baru. Ataupun, apakah Abdullah mahu menutup peluang perniagaan buat golongan yang dilihat masih rapat dengan Mahathir bagi mematikan terus pengaruh bekas Perdana Menteri itu dalam Umno.

Mungkin pemimpin dan ahli-ahli Umno tidak begitu kecewa apabila SCOMI mendapat banyak peluang perniagaan tetapi mereka cukup kecewa dengan sikap Abdullah yang turut membenarkan keluarganya aktif dalam politik, malah mempengaruhi keputusan dan dasar penting negara.

Para pemimpin Umno cukup faham tekanan yang mereka hadapi dengan sikap menantu beliau ketika mula-mula memegang jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno dahulu. Mungkin mereka yang pernah menerima arahan daripada menantu Abdullah ini begitu kecewa dengan budak muda yang baru belajar di dalam Umno tetapi sudah bersikap "besar kepala" dengan memberi pelbagai arahan sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa kedudukan dalam kerajaan.

Atau mungkinkah sebahagian ahli-ahli Umno masih kecewa dengan sikap Abdullah dan para pemimpin Umno yang "menyerang" Dr Mahathir serta menghalang bekas Presiden Umno itu untuk hadir sebagai perwakilan Kubang Pasu pada tahun 2006 lalu?

Bekas Presiden Umno ini hanya hadir sekali sahaja pada tahun 2004 ketika Abdullah memegang jawatan Presiden Umno. Kemudian pada tahun 2005-2007, Dr Mahathir tidak hadir yang mungkin disebabkan faktor kesihatan atau kekecewaan beliau terhadap Abdullah dan "budak-budak di Tingkat 4 JPM". Segala-galanya adalah serba mungkin.

Bagaimanapun kekurangan pengunjung semasa berlangsungnya Persidangan Agung Umno 2007 tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada parti pembangkang bahawa Umno kini lemah dan kurang sokongan. Pembangkang sepatutnya lebih berhati-hati dan bijak berpolitik menjelang pilihanraya umum ke-12 kerana ahli dan pemimpin Umno boleh berubah wajah dan tindakan.

Itu pun jika Abdullah tidak melakukan rombakan besar-besaran dengan menggantikan orang-orang Dr Mahathir kepada pengikut setia beliau. Jika Abdullah melakukan rombakkan, kemungkinan besar mereka yang tidak terpilih akan melakukan tindakan seperti mana "sepi dan sunyinya" Persidangan Agung Umno sekarang.

Seorang Ahli Jawatankuasa Umno di salah sebuah bahagian di Perak turut terkejut dengan jumlah kehadiran para pemimpin, ahli dan penyokong Umno. "Apakah Pak Lah sedar dengan suasana sekarang dan mesej daripada senario itu?" soalnya.

Abdullah mungkin tidak menyedari ketidakhadiran penyokong dan ahli Umno di PWTC. Malahan Presiden Umno ini mungkin tidak mengambil endah sama ada ramai atau tidak pemerhati yang hadir, kerana bagi dirinya, yang penting pilihan raya umum akan datang Barisan Nasional akan menang besar. Mungkin juga kerana Abdullah berjalan dikelilingi oleh bodyguard menyebabkan beliau menganggap masih ramai ahli dan penyokong Umno yang hadir.

Apapun sepertimana lazimnya yang dilakukan pada tahun 2004-2006, Abdullah akan keluar negara sebaik sahaja selesainya Perhimpunan Agung Umno ini. Urusan keluar negara adalah wajib kepada Abdullah dan keluarganya walaupun ketika itu negara dilanda musibah.

100,000 maskot DIGI dan masa untuk berubah!

Ketua Perusuh
Thu | Nov 08, 07 | 9:21:44 am MYT

Tarikh 10 November 2007 akan pastinya dikenang dalam sejarah negara apabila berhimpunnya warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama dalam satu perhimpunan mega di Dataran Merdeka.

Perhimpunan yang dijangkakan akan disertai seramai 100,000 orang akan pastinya mengubah senario di Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka yang pastinya akan mendapat liputan luas dari media antarabangsa.

Khabarnya banyak media antarabangsa (cetak dan elektronik) telah menghantar correspondent mereka untuk membuat liputan ini secara langsung dan ramai juga para pemerhati luar dijangkakan hadir. Perhimpunan yang pertama kalinya diadakan bertujuan untuk menyerahkan memorandum rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menggariskan keperluan untuk membuat perubahan kepada perjalanan sistem pilihan raya di Malaysia.

Sebagai ketua negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berhak untuk menerima perhimpunan dan kunjungan rakyatnya dan tidak ada pihak lain yang perlu untuk menggagalkan perhimpunan dan kunjungan tersebut. Malah sewajarnya pihak polis tidak akan menyekat Seri Paduka Baginda dari bertemu dengan rakyatnya.

Perhimpunan yang akan dilakukan nanti tentunya akan memberikan seri kekuningan (semua peserta dikehendaki untuk memakai pakaian berwarna kuning) yang melambangkan kedaulatan dan hormat rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sememangnya diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri Malaysia manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diletakkan di bawah kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan dengan itu, amatlah diharapkan agar khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sepatutnya setia dan berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar dapat memberikan khidmat keselamatan pada semua rakyat yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda.

Sehingga ke hari ini, rakyat amat menyanjungi dan menghormati perkhidmatan ketenteraan lebih dari perkhidmatan kepolisan kerana sikap tentera yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik melainkan hanyalah berkhidmat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pihak polis pula sememangnya dikenal pasti telah dilacurkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.

Oleh yang demikian, saya amat mengharapkan agar pihak Angkatan Tentera Malaysia (jika mereka masih setia kepada Agong dan Raja-Raja Melayu) agar bertindak untuk memberikan perlindungan kepada semua rakyat yang berhimpun pada 10 November 2007 ini di Dataran Merdeka dari tindakan serta provokasi yang pastinya dilakukan oleh pihak polis (PDRM) di bawah telunjuk Kerajaan Barisan Nasional.

Kepada semua yang berhimpun (anda semua akan nampak seperti maskot DIGI), ingatlah bahawasanya DIGI bersama anda dengan motto mereka "Masa Untuk Berubah". Kita jumpa di sana. - ketuaperusuh.wordpress.com


Bersih pergiat kempen ajak sertai himpunan 10 November

Salmiyah Harun | Foto Wan Zahari Salleh
Wed | Nov 07, 07 | 7:32:59 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Pelbagai usaha dilakukan oleh gabungan parti pembangkang untuk menarik minat orang ramai menyertai Perhimpunan Aman Bersih pada 10 November ini bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

ImageHari ini gabungan parti pembangkang itu melancarkan kempen himpunan Aman 10 November sebagai persiapan awal untuk menghebahkan kepada orang ramai menyertainya.

Pengerusi Perhimpunan Aman Bersih yang juga Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, menyeru orang ramai untuk sama-sama berhimpunan di Dataran Merdeka Sabtu ini untuk menuntut satu pilihan raya yang bebas.

Sebagai pelancaran kempen itu, beberapa pimpinan parti pembangkang antaranya Bendahari PAS Dr Hatta Mohd Ramli, Ajk PAS Pusat Dr Syed Azman ImageSyed Nawawi, Dr Dzulkifli Ahmad, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah dan Ajk DAP Ronnie Liu turut sama mengedar risalah tentang himpunan tersebut di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Mohamad Sabu, yang juga sama-sama mengedar risalah turut berucap di hadapan Pejabat Agung PAS meminta rakyat seluruhnya turun dan tunjukkan tanggungjawab mereka untuk menuntut keadilan dari kerajaan.

ImageSementara itu, Sivarasa yang juga mengambil kesempatan berucap di tengah-tengah kesesakan lalu lintas berharap, Yang Di Pertuan Agong mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi melakukan reformasi pilihan raya.

"Kita seru Agong menolak permintaan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya selagi reformasi pilihan raya tidak dibuat," katanya. - mr


Kamarudin sanggah Abdullah: PAS tidak pernah dakwa Islam hanya miliknya

Saidah Hairan
Wed | Nov 07, 07 | 5:30:23 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar menyelar kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang seolah-oleh mendakwa Islam itu hanya menjadi hak pihak parti politik tertentu.

Dakwaan itu dinyatakan dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pagi tadi.

Merujuk dakwaan tersebut, Kamarudin menegaskan, jika ia ditujukan pada PAS, kenyataan Abdullah itu adalah tidak benar kerana pimpinan PAS tidak pernah menganggap atau mengisytiharkan Islam itu hanya boleh dan berhak diperjuangkan oleh PAS sahaja.

Sebaliknya kata beliau, PAS sentiasa mengatakan bahawa perjuangan Islam untuk semua, malah Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengatakan bahawa kalau Umno benar-benar mengamalkan Islam, PAS perlu dibubarkan sahaja.

Ini bermakna tambah beliau, pimpinan PAS tidak pernah mengaitkan parti itu sebagai satu-satunya parti yang hanya berhak pada Islam.

"PAS juga ada slogan Islam For All, yang menunjukkan Islam adalah rahmat untuk semua. Sebaliknya pimpinan Umno cuba memberikan gambaran bahawa Umno sahaja parti yang memperjuangkan Islam," tegasnya ketika ditemui di majlis jamuan Hari Raya, anjuran Badan Kebajikan Harakah (Bakkah), petang tadi.

Menurut Kamarudin, yang juga Pengarah Urusan Harakah, di bawah kepimpinan Abdullah wujudnya istilah Islam Hadhari, sesuatu yang tidak pernah ada di dalam dunia Islam lainnya seperti di Indonesia, Bangladesh, dan Arab Saudi kerana "Islam adalah Islam".

Sebaliknya, hanya Abdullah seorang sahaja yang cuba mewujudkan istilah baru yang dipanggil Islam Hadhari dan dijadikan jenama untuk Umno.

Masalah sebenarnya, kata beliau, dakwaan Islam hanya untuk satu kumpulan bukan merupakan penyakit dalam PAS tetapi ia menjadi penyakit dalaman Umno.

Berhubung ucapan dasar Abdullah sebagai Presiden Umno, katanya, tidak ada bahan-bahan yang baru yang diperkenalkan kali ini tetapi ia hanya berbentuk ulangan tema lama seperti modal insan dan sebagainya.

"Abdullah kata modal insan itu perlu diamalkan dalam diri dan keluarga," jelasnya. Tetapi kata Kamarudin, keluarga Perdana Menteri sendiri yang paling banyak mendapat manfaat daripada kedudukannya, seperti anak lelaki beliau mempunyai kaitan dengan syarikat Scomi.

Manakala tambahnya, menantu beliau pernah mengaku mendapat perlindungan istimewa anak menantu PM yang kemudiannya digunakan untuk kepentingan politik dan perniagaan.

Fahami sensitiviti orang Melayu

Oleh ZULKIFLI HAMZAH

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi jaminan bahawa UMNO sama sekali tidak akan melanggar semangat perjanjian merdeka tetapi pada masa yang sama menuntut kaum-kaum lain supaya turut memahami sensitiviti orang Melayu.

Presiden UMNO menegaskan, perkara-perkara asas berhubung kesucian agama, kepercayaan dan amalan, kepentingan orang Melayu serta perjanjian permuafakatan antara kaum yang telah termeterai tidak harus diungkit.

Begitu juga perkara-perkara asas yang telah sama-sama dipersetujui sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal. Katanya, ia adalah perkara-perkara yang tidak boleh dirundingkan lagi.

Berucap pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut dihadiri oleh presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah mengingatkan UMNO dan rakan-rakan BN supaya jangan sekali-kali terperangkap dalam isu agama dan perkauman yang dicetuskan oleh politik pembangkang.

“UMNO tidak mengamalkan sifat lidah bercabang, UMNO tidak bernada lain di hari siang - di hari malam, UMNO bukan makhluk dua alam - makhluk yang bertukar warna berasaskan suasana.

“UMNO bersedia duduk semeja, mencari penyelesaian bijak, melalui formula sama-sama menang, menangani isu sensitif menyentuh kaum, menyentuh agama,” katanya.

Abdullah berkata, demi membolehkan isu-isu sensitif dapat ditangani secara berkesan, perbincangan mencari penyelesaian lebih sesuai dilakukan melalui forum tertutup.

Kata Presiden UMNO, isu-isu menyentuh sensitiviti agama dan kaum perlu ditangani secara objektif, rasional dan matang.

“Kita adalah parti yang menguasai kerajaan, kita adalah parti yang didukung oleh kuasa eksekutif, kita tidak harus merendahkan kedudukan kita, melatah dicucuk oleh pembangkang,” tegasnya.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menjelaskan bahawa perbuatan menghunus dan mengucup keris pada Perhimpunan Agung UMNO adalah sebahagian daripada adat warisan pusaka bangsa.

Bagaimanapun, katanya, ia turut ditakrif secara sempit dan negatif dengan orang- orang bukan Melayu ditakutkan, malah turut digemakan oleh kumpulan tertentu di luar negara, bertujuan untuk memburuk-burukkan imej UMNO dan Malaysia.

Tegasnya, peluang yang ada di bumi Malaysia adalah terbuka kepada setiap warganegara dan masa hadapan mereka tetap diberikan jaminan.

Hubungan harmoni antara warga pelbagai kaum dan pelbagai agama di negara ini, jelas Abdullah, bukannya satu opsyen tetapi adalah satu kemestian.

“Kita tidak ada pilihan lain. Lima puluh tahun lalu, perjuangan menuntut kemerdekaan dipermudahkan kerana kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman (Almarhum) dan barisan pemimpin seangkatan dengan Almarhum dalam Perikatan memperkenalkan konsep perkongsian kuasa,” katanya.

Kini, kata Abdullah, insan yang lahir di bumi ini adalah anak Malaysia dan mereka besar serta dewasa dengan hanya mengenal negara ini.

“Mereka berpijak di bumi Malaysia dan menjunjung langit Malaysia. Bukan lagi masanya untuk kita mendendangkan lirik berasaskan kaum. Setiap isu yang dihadapi perlu ditangani berasaskan kepentingan nasional dan kepentingan sejagat,” tambahnya.

Menyentuh mengenai sebahagian kecil pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO lalu yang bernada ekstrem, Abdullah berkata, beliau percaya ia juga berlaku dalam parti-parti politik yang dikuasai oleh kaum-laum lain di negara ini.

Namun, jelasnya, dalam semangat membina sebuah negara yang rukun lagi bersatu, konsensus majoriti berlandaskan kesederhanaan dan semangat saling menghormati terbukti mengatasi suara-suara bernada ekstrem.

Buang racun minda – Abdullah

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa orang Melayu membuang racun minda yang telah begitu lama menguasai fikiran bangsa itu hingga menjadikan mereka gentar kepada perkataan meritokrasi.

‘‘Berasa diri kecil, berasa rendah diri, berasa gentar, berasa kurang upaya, adalah pemikiran beracun yang telah disuntik ke dalam minda Melayu, bermula dari era penjajahan.

‘‘Racun minda ini perlu dikeluarkan supaya minda Melayu berminda segar, berfikiran berani. Melayu, bila diberikan bimbingan yang betul dan diberikan peluang saksama, sebenarnya telah bersedia untuk bersaing,’’ tegas beliau.

Presiden UMNO itu menyatakan demikian dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, setelah 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, ramai orang Melayu sudah berjiwa merdeka.

Katanya, mereka juga telah bersedia untuk bekerja keras dalam semua bidang serta berani bersaing di peringkat global.

‘‘Jangan lagi ditakutkan minda Melayu, seperti menakut-nakutkan anak kecil kepada hantu. Hari ini, jangan diperkecil daya upaya orang Melayu, jangan direndahkan kapasiti Melayu.

Gemilang

‘‘Melayu akan kita pelengkap supaya mampu membawa negara mencapai tahap lebih gemilang untuk 50 tahun akan datang,’’ kata beliau.

Beliau berkata, bangsa Melayu sebenarnya dicipta Tuhan tidak untuk menjadi lebih lemah berbanding umat kaum lain dan ini dapat dibuktikan apabila angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Syukor adalah orang Melayu.

‘‘Dia beragama Islam, dia berketurunan Melayu, dia dipilih daripada kalangan calon pelbagai kaum oleh panel pemilih dari Rusia,’’ katanya.

Justeru, kata Abdullah, bagi memastikan orang Melayu terus mencapai kejayaan, masyarakat Melayu perlu mewujudkan pemikiran kritikal di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi.

Beliau berkata, golongan tersebut mampu memberikan sumbangan lebih berkesan dalam pelbagai sektor ekonomi sekali gus berupaya melihat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari kaca mata yang tidak lagi menimbulkan keresahan bukan Melayu.

‘‘Melayu harus menjaguhi pencapaian matlamat DEB, memastikan komposisi kumpulan profesional dan kumpulan menengah Melayu lebih seimbang dan masyarakat Malaysia tidak lagi dapat dipisahkan berlandaskan profesion,’’ ujarnya.

Beliau turut menepis dakwaan kononnya DEB yang telah dilaksanakan sejak 37 tahun lalu bertujuan merampas hak mana-mana warga Malaysia di bumi ini kerana semangat dasar tersebut didukung bersama oleh semua pihak.

‘‘Kerana itu, belum berlaku keadaan kerajaan merampas kekayaan daripada bukan Melayu untuk menjadikan Melayu kaya. Malah, kekayaan bukan Melayu terus meningkat. Senarai warga terkaya di Malaysia didahului bukan Melayu,’’ katanya.

Kata Abdullah, dalam menuntut keseimbangan penyertaan antara kaum dalam sektor swasta dan awam, semua pihak jangan terlepas pandang matlamat utama DEB iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Beliau berkata, negara tidak akan tenteram jika bilangan rakyat yang miskin masih ramai malah ia boleh mencetuskan ketidakstabilan politik, demonstrasi jalanan, kadar jenayah yang tinggi serta masalah sosial yang besar.

Menurut beliau, dalam hubungan ini, meningkatkan kapasiti dan nilai tambah individu melalui program pendidikan berkesan merupakan alat utama untuk mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan.

Katanya, ini dapat dibuktikan apabila fasa kedua Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sememangnya memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan, bukan sahaja kemiskinan minda malah kemiskinan jiwa.

Beliau berkata, dalam hubungan ini wakil-wakil rakyat UMNO wajib meletakkan prioriti kepada agenda membasmi kemiskinan malah kejayaan membasmi kemiskinan akan dijadikan salah satu petunjuk utama prestasi wakil rakyat di kawasan masing-masing.

‘‘Semoga dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama di bumi Malaysia, perkataan miskin hanya tinggal sebagai satu istilah yang terkandung dalam kamus,’’ katanya.

Amanat tepat, terus terang

KUALA LUMPUR 7 Nov.– Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu amanat yang tepat dan berterus terang terutama ketika menyentuh sensitiviti kaum.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, ia juga merupakan luahan yang datang dari hati Abdullah dan ditujukan untuk semua kaum.

“Kita tidak boleh menimbulkan sesuatu isu tanpa mengambil kira sensitiviti kaum lain,” katanya ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib berkata, sebarang perkara atau penyelesaian yang mahu dilakukan mestilah merangkumi permuafakatan secara menyeluruh dalam Barisan Nasional (BN) kerana ia pendekatan yang digunakan dalam menangani sebarang isu walaupun sensitif.

“Kita tiada pilihan lain sebab kita berada dalam negara berbilang kaum. Setiap kaum ada kepentingannya dan sensitiviti maka kita kena lihat dari segi Perlembagaan negara. Maka kita gunakan mekanisme BN.

“Kita sudah tahu bahawa jika kita menghormati prinsip-prinsip yang termaktub dalam perlembagaan itu, tidak ada masalah yang terlalu rumit untuk diselesaikan,” katanya.

Bagi pemimpin rakyat pula, Najib berkata, mereka tidak perlu cepat melatah atau berlagak sekiranya dicuit parti pembangkang.

Apa yang diperjuangkan mestilah di dalam konteks yang menjaga keharmonian dan keamanan negara, katanya.

Tegasnya, orang luar yang cuba membangkitkan isu perkauman di negara ini juga perlu sedar bahawa ada had untuk berbuat demikian kerana negara ini ada undang-undang.

“Jadi kalau kita tidak ambil tindakan bukan bererti prinsip ini akan kita korbankan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, ucapan tersebut turut merangkumi gagasan yang sedang diperjuangkan UMNO termasuk pembangunan koridor wilayah.

“Beliau turut mengajak kita memikirkan persediaan untuk masa depan dan mengetengahkan betapa pentingnya pembangunan modal insan dan pendekatan Islam Hadhari,” katanya.

Jelasnya, amanat tersebut juga mengambil kira segala usaha yang perlu kita lakukan untuk terus membangunkan negara kita supaya pada masa akan datang lebih berpihak kepada kita.

Samy Vellu ikrar kerjasama selama-lamanya

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu gembira dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerjasama UMNO dan MIC akan kekal erat selama-lamanya.

Samy Vellu berkata, tiada keretakan hubungan antara MIC dan UMNO, sebaliknya isu yang timbul antara parti itu sengaja ‘dicucuk’ oleh mereka yang tidak suka melihat perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

‘‘Ini merupakan satu petanda yang baik. Kita akan bekerjasama untuk selama-lamanya dengan UMNO dan BN.

‘‘Kita tidak persoalkan hubungan dengan orang Melayu atau orang India. Hari ini kita mahu memikirkan bagaimana menaikkan taraf perhubungan ini,’’ kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Samy Vellu diminta mengulas ucapan Abdullah yang juga Presiden UMNO yang menggesa dikekalkan sikap toleransi antara kaum supaya semangat perpaduan dalam parti dapat diperkukuhkan.

Beliau berkata, bila ada masalah, MIC akan meminta pandangan Perdana Menteri untuk menyelesaikannya.

‘‘Dasar ini tidak pernah berubah dan bagi MIC, tiada pindaan dalam dasar tersebut dan kita akan bersama dengan BN sampai mati,’’ tegasnya.

Katanya, MIC tidak mempunyai sebarang masalah dengan parti komponen BN, malahan hubungan itu akan dijaga dan sentiasa disegarkan.

‘‘Kita hormati bangsa Melayu dan Cina. Kita tidak langsung bangkitkan apa-apa masalah mengenai kaum. Apa yang kita bangkitkan ialah bagaimana bangsa India boleh membangun sebagaimana kaum lain,’’ jelasnya.

Mengenai isu kuil di Shah Alam, Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Abdullah telah meminta beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Menurutnya, sebidang tanah telah disediakan oleh kerajaan Selangor untuk menempatkan semula kuil berkenaan dan ketika ini kerja-kerja tanah sedang dilakukan.

‘‘Walaupun ada pihak yang cuba ‘mencucuk’, saya akan menyelesaikan masalah ini dengan toleransi.

‘‘Anda tidak boleh mengambil semua kuil. Tentulah kuil yang diambil itu ada masalah. Mana yang tiada masalah kerajaan tidak akan kacau,’’ kata beliau.

Ditanya mengenai tekanan ahli MIC terhadap isu berkenaan, Samy berkata, ahli MIC tahu mereka perlu mematuhi permintaan Presiden MIC.

‘‘Apa pandangan mereka akan disampaikan pada saya. Orang luarlah yang cucuk sana, cucuk sini. Mereka (ahli MIC) tidak melihat ini sebagai isu sensitif. Mana ada orang tersinggung, saya seorang sahaja yang menyuarakan hal itu kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar,’’ katanya.

Beliau juga mengingatkan sekali lagi kepada penganut Hindu dan ahli MIC bahawa sambutan Deepavali di kawasan tersebut tiada kena mengena dengan isu kuil berkenaan.

‘‘Saya sendiri sudah melihat persiapan Deepavali di situ. Semuanya baik dan saya juga akan menyertai sambutan Deepavali peringkat kebangsaan,’’ kata beliau.

Samy Vellu turut mengakui orang Islam sentiasa menghormati agama lain di negara ini.

‘‘Tiada masalah agama di negara ini. Isu kuil tiada kena mengena dengan aspek agama tetapi pentadbiran.

‘‘Kita akan selesaikan dengan baik, kalau tidak boleh kita akan bawa sekali lagi kepada pengetahuan Perdana Menteri. Kita akan terus berbincang,’’ katanya.

Ucapan PM penguat semangat kerjasama BN

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Para pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mengikuti ucapan dasar Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti itu hari ini menyambut baik jaminan beliau mengenai perjanjian kongsi kuasa dan menyifatkannya sebagai pemangkin perpaduan yang lebih erat.

Rata-rata berpendapat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi keyakinan bahawa UMNO bukan sahaja menjaga kepentingan Melayu di negara yang berbilang kaum ini .

Dalam menuju Wawasan 2020 dan Misi Nasional, para pemimpin terbabit secara tidak langsung berikrar untuk bekerjasama dan bersatu dalam semangat merdeka bagi mengekalkan keharmonian kaum yang mencerminkan persaudaraan rakyat Malaysia.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, mesej Perdana Menteri bahawa UMNO tidak sekali-kali melanggar janji kemerdekaan akan dimaklumkan kepada seluruh anggota parti itu.

‘‘Saya mengalu-alukan penjelasan yang amat meyakinkan menyentuh kebebasan beragama dari segi semangat perlembagaan yang dipegang teguh dan banyak rancangan pembangunan koridor-koridor adalah untuk semua kaum.

‘‘Semangat BN akan terus kukuh dan kita akan bersama-sama mengatasi perbezaan pendapat demi kepentingan masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada pemberita ketika mengulas ucapan dasar Abdullah pada perhimpunan itu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula mengagumi ucapan dasar itu yang disifatkannya sebagai bernas dan positif dengan menekankan perpaduan dan semangat kemerdekaan.

‘‘Saya amat kagum kerana Pak Lah mengutamakan Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi asas keharmonian dan perpaduan antara kaum.

‘‘Pak Lah telah menjelaskan bahawa di bawah langit ini ada tempat untuk semua kaum dan ini suatu jaminan yang baik serta positif untuk semua,’’ katanya.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, ucapan Perdana Menteri bukan hanya untuk orang UMNO dan Melayu tetapi segenap lapisan masyarakat.

Tegas beliau, parti itu tidak mempunyai masalah dengan parti komponen lain dalam mewujudkan semangat setiakawan.

‘‘Bagi PPP, kita bersedia menghadapi pilihan raya akan datang dengan memberikan kerjasama dengan parti komponen BN,’’ katanya.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan pula menghormati integriti dan keberanian yang ditunjukkan Abdullah dalam misi beliau memajukan negara dan menyatupadukan rakyat di negara ini.

“Saya menghormati pandangan Perdana Menteri serta UMNO amnya yang berjanji untuk mengeratkan lagi perpaduan di negara ini,” katanya.

Pak Lah doakan kesihatan Dr. Mahathir kembali pulih

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendoakan agar kesihatan Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali pulih.

‘‘Dr. Mahathir pada masa ini masih berehat di rumah dan kita mendoakan agar kesihatan beliau akan pulih dan sihat semula,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua di Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 September lalu dan kemudian menjalani pembedahan membersihkan jangkitan pada 22 September.

Beliau pulang ke rumah pada 21 Oktober lalu setelah berada di IJN selama 50 hari.

Dalam ucapannya, Abdullah sebelum itu berkata, semua rakyat Malaysia patut bersyukur atas nikmat, kemuliaan, martabat dan kedaulatan yang dimiliki oleh negara bangsa.

Katanya, segala-galanya itu adalah hasil dari kebijaksanaan barisan kepimpinan negara dalam tempoh 50 tahun Malaysia merdeka, bermula daripada Tunku Abdul Rahman Putera, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beliau sendiri sejak empat tahun yang lalu.

‘‘Saya bersyukur kerana mewarisi kepimpinan sebuah kerajaan yang telah mencipta kejayaan terutama dalam pembangunan prasarana fizikal negara,‘’ katanya.

Ucapan terbaik Presiden – Mukhriz

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai yang terbaik.

“Bagi saya ucapan itu menunjukkan keikhlasan beliau untuk memajukan orang Melayu. Beliau begitu berterus terang mengenai perkara itu.

“Oleh itu permintaan beliau supaya kontrak sosial yang telah dipersetujui tidak lagi diungkit perlu difahami dan dihormati khususnya daripada parti komponen. Apa yang pasti Presiden mahu melihat negara kita aman hingga selama-selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap ucapan dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Berhubung isu ekonomi yang disentuh oleh Abdullah, Mukhriz berkata, langkah kerajaan memperkenalkan koridor pembangunan wilayah mampu merancakkan lagi ekonomi di negara ini.

“Diharap mereka yang dipertanggungjawab melaksanakan program yang telah digariskan ini melakukannya secara bersungguh-sungguh kerana ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu.

“Begitu juga dengan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) juga perlu menyahut seruan Presiden untuk terus membantu usahawan Melayu,” ujarnya.

Pinda Perlembagaan Persekutuan perjelas Islam agama rasmi

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Wanita UMNO mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memasukkan perkataan ‘rasmi’ selepas perkataan ‘Agama Islam ialah agama...’ bagi mengelakkan kekeliruan yang mungkin ditimbulkan sesetengah pihak.

Wakil Pergerakan Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, walaupun pindaan pada Perkara 3 (1) itu kecil, ia sebenarnya memberi kesan terhadap status agama Islam yang telah mula berani dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau berkata, umat Islam wajib mempertahankan kesucian agama Islam dengan apa cara sekalipun dan pindaan tersebut disifatkannya sebagai jalan terbaik untuk dilaksanakan.

“Kita wajib mempertahankan kesucian agama Islam dan atas tanggungjawab ini Pergerakan Wanita UMNO mencadangkan supaya perkataan rasmi dimasukkan ke dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kamilia berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan kini memperuntukkan “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita UMNO itu berkata, pindaan dengan menambah perkataan ‘rasmi’ itu akan memperjelaskan kepada mereka yang banyak mempertikaikan tentang kedudukan agama Islam.

Kamilia berharap cadangan tersebut diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan demi memelihara kesucian Islam sekali gus memastikan tidak ada lagi pihak yang cuba mempertikaikannya.

“Kita tidak mahu wujud golongan yang sengaja menyentuh hak-hak asas yang kita telah persetujui sejak sekian lama. Ini merupakan isu sensitif yang tidak harus disentuh secara sesuka hati,” tegas beliau.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Akta Pentadbiran Agama Bukan Islam bagi tujuan menguruskan secara lebih teratur segala isu berkaitan dengan orang bukan Islam.

“Kita tidak mahu rumah-rumah ibadat dibina tanpa ada perancangan yang sistematik seperti yang berlaku ketika ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kamilia memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak bermain api iaitu dengan sengaja menimbulkan isu berkaitan dengan perkauman.

“Jangan cuba main api dengan UMNO. Jangan sengaja cuba menimbulkan isu-isu perkauman. Kita harus sedar bahawa UMNO telah banyak berkorban.

“Mereka juga perlu ingat bahawa UMNO amat bermurah hati dengan memberi kerusi kepada parti-parti komponen Barisan Nasional walaupun jumlah pengundi mereka di kawasan terbabit kurang,” tambahnya.

Wujudkan koridor ekonomi wilayah tengah

KUALA LUMPUR 7 Nov. – UMNO Wilayah Persekutuan mahu kerajaan membentuk satu lagi koridor ekonomi, yang dicadangkan namanya Gerbang Ekonomi Wilayah Tengah (GEWT) sebagai pelengkap pembangunan Malaysia.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, pembentukan gagasan ini yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka bakal mewujudkan rangkaian kluster ekonomi antara negeri-negeri berkenaan.

‘‘Pelaksanaannya juga boleh memberi peluang kepada orang Melayu di kawasan itu untuk menceburkan diri dalam pembangunan wilayah ekonomi,’’ katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung parti di PWTC di sini hari ini.

Sebagai contoh, Suhaili berkata, Kuala Lumpur boleh berfungsi sebagai pusat komersial dan kewangan antarabangsa, pusat pelancongan, pusat membeli-belah serta kebudayaan di samping pusat pendidikan dan kesihatan antarabangsa.

Beliau mencadangkan Putrajaya dijadikan pusat pentadbiran, Cyberjaya (hab pusat maklumat dan teknologi negara), Dengkil (pusat kajian dan pembangunan bioteknologi), Shah Alam (kawasan perindustrian berat dan pentadbiran), Pelabuhan Klang dan Pulau Indah (hab pembangunan pelabuhan maritim import dan eksport), Lapangan Terbang Antarabangsa KL, KL Sentral, Bangi dan Kajang (pusat pendidikan dan latihan institusi perbankan), Port Dickson dan Melaka (pelancongan).

Beliau berkata, semua ini dapat memberi lonjakan deras dalam mengimbangi suasana pelaburan menerusi wilayah-wilayah ekonomi yang baru.

‘‘Kewujudan GEWT ini juga boleh membentuk rangkaian pertumbuhan ekonomi yang lebih efisien di samping menekankan aspek telekomunikasi, sistem pengangkutan dan lojistik yang lebih berkesan,’’ katanya.

Suhaili yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan menegaskan bahawa penubuhan GEWT bukan untuk menyaingi pembangunan koridor-koridor ekonomi yang telah dilancarkan tetapi bertujuan untuk tidak meminggirkan keempat-empat negeri berkenaan daripada lakaran pembangunan masa depan negara.

Ahli kini 3.3j

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Ahli UMNO kini berjumlah 3,325,995 orang dengan 20,401 cawangan didaftarkan sehingga semalam, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau berkata, Johor mencatat jumlah keahlian tertinggi iaitu seramai 459,192 orang, manakala Kemaman yang mempunyai ahli seramai 40,758 orang menjadi Bahagian UMNO yang memiliki keahlian tertinggi.

Katanya, di peringkat cawangan pula, Felda Ayer Tawar 2 dalam Bahagian Kota Tinggi, Johor mencatat keahlian tertinggi dengan seramai 1,679 ahli.

“Bagaimanapun, daripada jumlah 3.3 juta ahli itu, sebanyak 18.4 peratus masih belum mendaftar sebagai pemilih,’’ katanya ketika membentangkan laporan persidangan dan laporan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Menurut Radzi, semua cawangan dan bahagian parti telah mengadakan persidangan tahunan masing-masing kecuali UMNO Bahagian Jelutong, Pulau Pinang yang masih digantung.

Mulai tahun ini juga, ujar beliau, semua ahli UMNO yang telah mencapai usia 21 tahun perlu mendaftar sebagai pemilih.

Kata beliau, Ibu Pejabat UMNO telah menghantar senarai ahli yang belum mendaftar sebagai pemilih kepada setiap cawangan untuk didaftarkan.

“Semua cawangan perlu memastikan ahli baru didaftarkan terlebih dahulu sebagai pemilih sebelum dihantar ke ibu pejabat,’’ jelasnya.