Tuesday, November 06, 2007

Noraini Ahmad letak jawatan

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad meletakkan jawatan sebagai ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ayer Hitam, Johor atas alasan tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja parti peringkat bahagian berkenaan.

Surat peletakan jawatan Noraini diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali akhir Julai lalu.

Selain tidak dapat memberi fokus kepada kerja-kerja parti di bahagian berkenaan, Noraini dalam suratnya turut menyatakan keputusan itu diambil atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Hasrat Noraini meletakkan jawatan telah dibincangkan oleh UMNO bahagian itu bulan lalu dan dipanjangkan kepada pucuk pimpinan UMNO Johor.

Samsol ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan perkara itu.

Menurut Samsol, Noraini memegang jawatan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ayer Hitam sejak tahun 2004.

‘‘Noraini masih menjadi ahli UMNO Bahagian Ayer Hitam.

‘‘Sebagai Ketua Bahagian, saya menerima (peletakan jawatan Noraini)... mungkin beban tugasnya sebagai Ketua Puteri UMNO banyak,’’ katanya.

No comments: