Abdul Halim Mohd Rashid
Tue | Nov 13, 07 | 6:40:12 pm MYT Antara yang tidak saya lupakan pada hari Perhimpunan Aman Bersih pada 10 November lalu bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih ialah kata-kata bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong.
Menurut Wee, keganasan polis untuk menyuraikan perhimpunan tersebut menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jauh lebih baik dari Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Wee mengakui, Dr Mahathir juga menggunakan keganasan polis untuk menumpaskan demonstrasi zaman Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. Tetapi, katanya lagi, pada masa itu Dr Mahathir berhadapan dengan protes. Dalam hati saya berkata, semua orang tahu pada masa itu Dr Mahatahir adalah sasarannya. Undur Mahathir slogan yang sangat popular pada masa itu. Saya pun melaungkan slogan itu, walaupun saya tidak pernah menyertai demonstrasi Reformasi malah sangat berterima kasih dengan tindakan Dr Mahathir memecat Anwar.
Terus-terang dan Allah Maha Tahu, sejak dari Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi saya berharap Abdullah yang akan menjadi Perdana Menteri negara ini. Saya mahu kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar hilang lenyap dari puncak kuasa.
Pada masa itu, saya kabur dengan panggilan Mr Clean kepada Abdullah. Mana tak kabur, bila bersembang fasal politik wang dengan orang-orang Umno pada masa itu, saya tak ingat seorang pun yang kata Abdullah terlibat. Yang lain, tak payah cakaplah.
Hari ini, terasa benar Abdullah lebih teruk dari Dr Mahathir. Malah, kadang-kadang saya terasa Abdullah sebenarnya penghimpun segala keburukan. Saya hanya terasa begitu. Saya tak tuduh kerana saya pun tak ingat sebanyak mana koleksi keburukan Abdullah.
Tetapi, apabila melihat reaksinya ketika berhadapan dengan Perhimpunan Aman Bersih, saya terasa benar betapa tidak bermutunya Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Walaupun Perdana Menteri tidak datang dari parti yang saya sokong, tetapi itu tidak bermakna saya boleh menerima Perdana Menteri yang bingai dari parti lain.
Abdullah menuduh pembangkang mencabar undang-undang. Cabar undang-undang? Perhimpunan itu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Memorandum pula dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diterima oleh Baginda. Lebih dari itu, penganjur perhimpunan memohon permit untuk berhimpun.
Siapa yang cabar siapa? Bukankah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cabar pembangkang supaya mengambil tindakan itu? Dah berapa kali berunding sehingga ada pemimpin pembangkang yang lembik tengkuk dengan permainan kata-kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan mengajak orang lain turut mempercayainya.
Ada yang memberitahu, kononnya Abdul Rashid suka PAS menghentamnya. "Kalau tak, nanti Umno syak dia sokong pembangkang pula," begitulah diceritakan kepada saya. Saya teringat SB yang menyoalsiasat saya dahulu. "Saya ni Cik bakar, adik-beradik saya semua PAS. Mak ayah penyokong PAS. Tapi dah rezki saya nak kerja polis dan terpaksa siasat orang PAS pula," kata SB itu. Siapa yang percaya permainan kata-kata SB itu, angkat tangan!
Selepas itu, silalah beriman kepada permainanan kata-kata Abdul Rashid.
Malang sungguh orang-orang yang terpedaya dengan permainan kata-kata SPR. Ketagih sangat nak berunding dengan SPR.
Adakah mereka tidak tahu sifat Pengerusi SPR? Bukan baru, malah 14 Januari lalu Harakah menyiarkan berita penipuan Abdul Rashid. Berita yang dengan sendirinya membuktikan bahawa pemimpin pembangkang memang berusaha untuk berunding dengan SPR melaporkan:
Salahuddin juga mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai pembohongan Pengerusi SPR itu.
"Kira-kira lima bulan yang lalu, Haji Mohamad Sabu, Dr Syed Azman (Syed Nawawi), Hanifah Mydin dan saya sendiri berjumpa dengan Abdul Rashid untuk menyerahkan memorandum tiga perkara yang menuntut dibersihkan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan celup jari selepas mengundi untuk mengelakkan penipuan.
"Sebelum kami berjumpa (dengan Abdul Rashid), DAP terlebih dahulu berjumpa dengannya. (Setiausaha Agung) DAP, Lim Guan Eng memberitahu kami bahawa Abdul Rashid telah memberitahu mereka bahawa PAS membantah (sistem) celup jari kerana bertentangan dengan Islam.
"Apabila kami bertemu Abdul Rashid, kami soal dia, betul dia kata begitu? Dia kata bukan PAS kata, ulama India kata. Inilah lidah biawak, lidah bercabang," beliau mengecam Pengerusi SPR itu.
Kalau di dalam perundingan pun berbohong, apa jaminan tidak tipu dalam pilihan raya? Siapa cabar siapa? Pembohong atau yang dibohongi? Orang Putih kata, "Once a liar, always a liar". Pembohong terpaksa terus berbohong untuk menyembunyikan pembohongannya yang lalu.
SPR tak mungkin akan mengakui ia menipu. Tetapi saya tak lupa apa yang dibangkitkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Menurut beliau, pilihanraya umum 2004, menyaksikan undi yang dipungut oleh calon-calon Barisan Aternatif (BA) di seluruh Terengganu hanya merosot sebanyak 9,103 undi.
Dalam tahun 1999, katanya, BA menerima 180,239 undi manakala dalam tahun 2004 pula 171,136 undi. Perbezaannya hanya 9,103 undi sahaja. Jumlah kemorosotan ‘undi rakyat’ itu sangat kecil dan tidak memungkinkan Umno dan Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu.
"Bagaimana Umno boleh menang?" soal beliau.
Beliau mendedahkan, selepas pilihanraya 1999, ada ‘pihak tertentu’ telah membawa masuk orang bukan Terengganu untuk mendaftar sebagai pengundi di Terengganu. Terengganu menyaksikan kenaikan peratus pengundi yang luar biasa dalam tempoh tiga tahun berkenaan, iaitu sebanyak 17.7 peratus "dan ini jauh melebihi purata kebangsaan".
Pengundi baru, kata beliau, bertambah sebanyak 68,585 orang. Undi BA merosot sebanyak 9,103 undi tetapi undi BN meningkat sebanyak 93,249 undi berbanding 1999, katanya lagi.
"Jika kita tolak 9,103 undi yang dulunya mengundi BA dan sekarang mengundi BN (93,249 tolak 9,103 = 84,146). Undi BN tidak termasuk pertambahan ‘undi rakyat’ sebanyak 9,103 undi tadi telah meningkat sebanyak 84,146 undi!
"Angka ini melebihi angka pertambahan pengundi baru seramai 68,585 orang! Misteri ini tidak dapat dijawab walaupun mengambil kira pertambahan secara mendadak peratus keluar mengundi iaitu sebanyak 25.1% berbanding pilihanraya sebelumnya. Jika semua peratus keluar mengundi yang bertambah dilonggokkan untuk BN, iaitu seramai 11,279 undi, masih belum dapat menjawab bagaimana Umno/BN mendapat pertambahan sebanyak 84,146 undi berkenaan," Exco Kerajaan Kelantan itu mendedahkan.
Dan, sehingga kini masih belum terjawab soalan Husam: "Bukankah ini semua meninggalkan misteri yang perlu dijawab oleh SPR?"
"Apatah lagi, jika kita menyemak semula senarai pengundi di Terengganu berasaskan kod kad pengenalan, kita dapati seramai 70,602 orang pengundi adalah bukan dilahirkan di Terengganu tetapi mendaftar di Terengganu.
"Adakah ini bermakna Umno/BN menang di Terengganu dengan satu ‘operasi khas’ dan bukan dengan suara rakyat?" kata Husam.
SPR harus menyahut cabaran semua pihak untuk memberikan jawapan pada isu-isu yang sangat penting ini, katanya lagi.
Perdana Menteri, siapa cabar siapa? Pembohong atau yang dibohongi?
Oleh kerana jerkah tempiknya "saya pantang dicabar" ternyata tidak laku seduit pun dalam pasaran politik malah menjadi bahan persendaan pula, terutama dari penyokong-penyokong Dr Mahathir yang berkali-kali mencabar Perdana Menteri, dituduhnya pula pembangkang cuba mengheret raja-raja ke kancah politik.
Husam dah jawab. Dalam posting bertajuk "Agong jangan diugut", Husam bertanya, "Pembangkang cuba heret Agong ke kancah politik atau Perdana Menteri cuba ugut Agong jangan bersihkan perjalanan pilihanraya seperti tuntutan Bersih?"
Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar pula menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai tindakan memperkecilkan pemikiran dan kedudukan raja-raja.
Bagai biasa, tak cukup dengan lolongan Perdana Menteri, kaki-kaki ampu juga berebut-rebut mengeluarkan kenyataan. Tetapi yang paling tidak benar ialah kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Musa mendakwa, polis tidak guna kekerasan.
Apakah takrif guna kekerasan pada Musa? Adakah guna peluru hidup seperti di Batu Burok barulah dianggap menggunakan kekerasan? Belasah kanak-kanak dan wanita tak kasar? Wartawan yang menjalankan tugas pun dipukul. Tak payah sebutlah semburan air laknat dan tembakan gas musibat.
Musa juga mendakwa kanak-kanak diperalatkan dan tindakan tegas akan diambil. Cukuplah Datin Paduka Marina Mahathir menjawabnya dalam posting beliau bertajuk "Spin, spin, spin..." Latar belakang posting itu berwarna kuning.
Musa merungut, ibu bapa yang membawa kanak-kanak itu sepatutnya tahu bahaya melibatkan kanak-kanak dalam perhimpunan itu. Sedap jawapan Marina bila Musa kata bahaya. "Only if the police start firing teargas and watercannons. Otherwise, perfectly safe," kata beliau. (Hanya apabila polis mula menembak gas pemedih mata dan meriam air. Jika tidak, selamat sepenuhnya).
Musa juga menuduh ibubapa yang membawa anak-anak mereka ke perhimpunan itu sebagai tidak berperikemanusiaan. Kenapa? Kerana polis hendak bertindak tegas? Boleh terangkan perbezaan bertindak tegas dan bertindak ganas?
Sehingga beberapa bulan lalu saya tidak suka mengecam Musa. Hari ini pun saya tak mahu mengecam beliau. Saya hanya hendak bertanya.
Sebelum ini, Tan Sri, saya terbaca akuan bersumpah ASP Mior Fahim Ahmad. Berdasarkan surat sumpah itu dan apa yang didakwa oleh Datuk Ramli Yusof, saya ingin bertanya apakah tindakan yang akan diambil jika BK Tan dan Tengku (Goh Cheng Poh) serta gerombolan mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka?