Tuesday, September 25, 2007

KeADILan desak Ketua Hakim Negara jawab isu rakaman klip video

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Sep 25, 07 | 4:55:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh) - Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz berhubung kononnya Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz menafikan pembabitannya dalam perbualan bersama peguam dalam isu klip video yang didedah Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Setelah mewakili Ahmad Fairuz dalam menafikan perkara itu hari ini Nazri pula menjelaskan mengapa beliau memberi kenyataan dan katanya beliau berhak memberi kenyataan berikutan portfolionya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal perundangan.

"Mengapakah Dato' Seri Nazri Aziz begitu beria-ria bercakap bagi pihak Ketua Hakim Negara tentang skandal video ini?" soal Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dalam satu komennya terhadap isu itu hari ini.

Pertamanya, agak pelik dan luar biasa bagi seorang Ketua Hakim Negara untuk meminta seorang Menteri mempertahankan integritinya, kata Sivarasa.

"Bilakah permintaan ini dibuat? Nazri Aziz tidak pula menjawab soalan ini," katanya.

Keduanya kata beliau, isi responsnya itu tidak kurang peliknya, dan sebenarnya sukar untuk dipercayai.

"Ini adalah kerana satu-satunya respons yang telah diberikan kepada rakyat oleh Ketua Hakim Negara sendiri, tanpa bantuan sebarang Menteri, hanyalah sekadar kenyataan 'Tiada komen' dalam tulisan semata-mata, iaitu dua hari selepas pendedahan dibuat," katanya.

Baginya, adalah satu perkara yang tidak elok untuk seorang yang menjawat jawatan di peringkat eksekutif, apatah lagi seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri bercakap bagi pihak pegawai tertinggi iaitu badan kehakiman, katanya.

Tindakan ini secara langsung mencabar kewibawaan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi salah satu tunjang demokrasi negara ini, katanya.

Respons luar biasa yang diberikan Nazri membawa satu persoalan sama ada Tun Ahmad Fairuz tidak mampu mempertahankan integritinya sendiri, katanya.

"Nazri juga sedang cuba mempersoalkan kebenaran video tersebut. Akan tetapi, persoalan ini sudah tentu dapat dijawab dengan senangnya jika disiasat oleh pasukan forensik yang berkebolehan," katanya.

Soalan yang perlu dijawab sekarang ialah adakah Ketua Hakim Negara bercakap dengan VK Lingam pada tahun 2002, (berdasarkan isi perbualan itu, bahagian yang menyebut melantik Tan Sri Mokhtar Abdullah sebagai Hakim Tinggi Malaya menunjukkan bahawa perbualan ini berlaku sebelum Tan Sri Mokhtar Abdullah terjatuh dan mengalami koma pada bulan Ogos 2002), katanya.

Menurut Sivarasa, soalan ini bukanlah terlalu sukar untuk dijawab dan setelah pasukan penyiasat mendapat semua nombor telefon mereka pada masa itu, rekod telefon mereka untuk tahun tersebut boleh diteliti untuk memastikan sama ada mereka pernah berbual bersama, katanya.

"Mungkin Menteri kita ini bolehlah memberikan cadangan ini kepada pihak penyiasat. Jika kita ingin menyelamatkan integriti bidang kehakiman kita, salah satu daripada tiga tiang utama sistem pemerintahan kita, maka persoalan-persoalan ini seharusnya dijawab serta-merta," katanya. - mns

"PAS for All": Pemuda PAS edar kuih bulan di Rumah Orang Tua Ampang

Nyza Ayob
Tue | Sep 25, 07 | 4:34:41 pm MYT

AMPANG, 25 Sept (Hrkh) - Bersesuaian dengan slogan 'PAS For All' yang melangkaui sempadan, kaum dan agama, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Pemuda PAS PUsat dengan kerjasama Pemuda PAS Selangor buat julung kali, hari ini mengedarkan kuih bulan kepada 50 orang penghuni Rumah Orang Tua Ampang.

Rombongan yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil disambut baik oleh penghuni-penghuni yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Pada masa yang sama mereka turut mengedarkan buletin 'Rhe Min She She' iaitu buletin berbahasa Cina terbitan LPN.

Ustaz Nasaruddin yang ditemui selepas mengedarkan kuih bulan tersebut, menyatakan langkah ini bersesuaian dengan slogan 'PAS For All' yang dilancarkan baru-baru ini, selain membentuk persepsi yang positif masyarakat bukan Islam terhadap perjuangan PAS.

Justeru katanya aktiviti mengedarkan kuih bulan ini akan dijadikan aktiviti tahunan LPN.

Dalam pada itu, jelas Khairul Faizi, sebelum ini, pengedaran kuih bulan dianjurkan oleh LPN PAS Pusat. Manakala tahun ini, LPN Pemuda PAS Pusat, selain mengedarkan di peringkat pusat, mereka juga mengambil inisiatif mngedarkan di peringkat negeri di mana sasaran mereka ialah di pejabat-pejabat akhbar berbahasa Cina.

"Pengedaran kuih bulan ini telah menjadi agenda untuk kita merapatkan hubungan dengan masyarakat Cina," jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Rumah Orang Tua Ampang, Chea Soon Seong menyatakan sukacita dengan kunjungan PAS. Tambahan pula, pemberian kuih bulan memang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan warga emas setiap tahun.

"Mereka memang sungguh seronok apabila ada individu atau kumpulan yang menghulurkan kuih bulan untuk mereka. Memperolehi kuih bulan seolah-olah mereka menyambut 'bulan yang sudah tiba', katanya yang mengharapkan kunjungan seperti ini akan diteruskan pada tahun akan datang.

Rumah orang Tua Ampang yang terletak di Jalan Merdeka Kampung Bahru, Ampang telah dibina kira-kira 60 tahun yang lalu atas ihsan orang ramai.

Kebanyakan penghuninya terdiri daripada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, yang tidak mempunyai keluarga serta sanak saudara. - mns

Mari kenali budaya pemimpin Umno

Manjanik
Tue | Sep 25, 07 | 4:09:13 pm MYT

Dalam sehari dua ini RTM di bawah telunjuk Menteri Penerangannya, Dato' Zainuddin Maidin begitu sibuk dengan video klip tunjuk perasaan dan bakar bendera.

Misinya satu, iaitu 'Ini bukan budaya kita.'

Dahulu Zainuddin juga berkata, bahawa RTM bukan media propaganda kerajaan. Sekarang bagaimana?

Kalau dah siar setiap pagi dan petang, malam dan dinihari bukan propaganda apa lagi namanya?

Sahaja ditujukan persoalan kepada Menteri Penerangan gambar-gambar yang bersabit dengan pemimpin Umno di bawah ini budaya siapa?

Image
Pegang bukan mahram kita apakah budaya kita?
Image
Intim dengan bini orang beginipun bukan budaya kita?
Image
Budaya kitakah begini?
Image
Hanya suami yang tiada maruah sahaja membenarkan bininya begini.. Budaya kitakah?
Image
Skandal suami orang bini orang(MP dengan Senator) macam biasa saja dalam umno. Budaya kita atau budaya Umno?
Image
Buat isyarat lucah juga bukan budaya kita tapi budaya Umno.
Image
Perangai tolol macam budak-budak ini pun bukan budaya kita tapi budaya BN.
Image
Hanya orang yang sakit otak sahaja yang buat begini…sebab itulah budaya mereka.


Salah laku moral tiga 'anak buah' resahkan Khir Toyo

Azamin Amin
Tue | Sep 25, 07 | 12:19:35 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Hrkh)- Desas-desus hangat memperkatakan bahawa sekurang-kurangnya empat Menteri Besar (MB) bakal digugurkan dalam rombakan kabinet bakal diumumkan oleh Perdana Menteri sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 berakhir.

Mereka yang disebut bakal digugurkan adalah Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, Dato' Seri Ali Rustam, Dato' Abdul Ghani Othman dan Dato' Seri Musa Aman yang dikira mempunyai masalah-masalah di negeri masing-masing yang gagal ditangani dengan baik sehingga dianggap menjejaskan nama baik serta imej Barisan Nasional (BN). Image

Menurut sumber, sungguhpun begitu, biarpun bakal digugurkan, Dr Mohd Khir dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar bagi memberikan ruang berkhidmat di peringkat pusat sebagai menteri kabinet.

Cuma ramai berpendapat pertukaran Dr Khir ada kaitan dengan pembangunan negeri Selangor tidak seimbang dan kegagalan beliau menangani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk masalah setinggan dan kemiskinan tegar di negeri ini.

Paling meresahkan Khir Toyo ialah dakwaan salah-laku tiga 'anak buah kesayangannya' yang diharap dapat mengangkat Umno Selangor selama ini tetapi telah mencemarkan prestasi dan menjadi bualan hangat masyarakat setempat yang boleh menjejaskan peluang Umno di kawasan tertentu untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka yang dimaksudkan ialah Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang merupakan anggota Exco Wanita Umno Malaysia yang didakwa terlibat dengan isu kontroversi berhubung gambar intimnya dan dakwaan khalwat dengan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Dr Rahman Ismail (orang kuat Khir Toyo) di beberapa hotel yang berbeza sekitar semenjak Disember 2005.

Manakala "anak buah" Khir yang ketiga ialah Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

Menurut sumber, hasil maklumat orang ramai, suami Rozaidah yang merupakan seorang pengurus bank, Radzmi Othman, 47, telah datang ke hotel terbabit kira-kira jam 4 pagi bagi 'menyerbu' bilik yang dipercayai didiami oleh Ketua Wanita Umno Ampang itu dengan dibantu pengurus dan pengawal keselamatan hotel.

Sehingga kini kata sumber, kisah skandal ketiga-tiga pemimpin Umno Selangor ini walaupun berjaya dihidu tetapi sedaya-upaya cuba disembunyikan termasuk mengelak daripada dibicarakan di Mahkamah Syariah mahupun Sivil supaya berpeluang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Difahamkan Norhayati akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang bagi menggantikan Dato' Zakaria Mat Deros yang mempunyai pelbagai masalah sungguhpun 37 tuduhan terhadapnya digugurkan baru-baru ini.

Laporan polis terhadap tiga pemimpin Umno jadi tanda tanya

Terdapat sembilan laporan polis terhadap Norhayati Onn yang masih tidak diketahui perkembangan terkini dan status siasatan oleh pihak Polis, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor yang dilihat menimbulkan syak dan menjejaskan nama baik mereka yaang wajar dijawab segera yang sehingga kini menjadi tanda tanya umum. Image

Berikut adalah antara laporan polis yang pernah dibuat oleh suami Ketua Wanita Umno Bahagian Kelang itu, Mohd Suffian Abdul Aziz, di Balai Polis Shah Alam bertarikh 8 Oktober 2006:

"Terkandung di dalam telefon bimbit berkenaan (milik isterinya) ada beberapa gambar-gambar yang tersimpan yang menunjukkan gambar-gambar Dato' Dr Rahman bin Ismail, Ahli Parlimen Gombak, berpelukan dengan isteri saya di dalam bilik-bilik hotel iaitu di Hotel Riverview, Kota Bharu, Kelantan semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan dan dalam bilik tidur di Hotel Eastin, Kuala Lumpur."

Ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Shah Alam 11 September lalu, Suffian mendakwa penarikan itu dibuat semata-mata untuk menutup kes khalwatnya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Gombak itu.

"Jika kes ini diteruskan, saya ada peluang untuk kemukakan cerita Norhayati dengan Abdul Rahman.Tetapi peluang itu tiada setelah kes ini ditarik balik," katanya.

Beberapa sumber memaklumkan, Norhayati (anak kepada Pengerusi Tetap Umno Malaysia Tan Sri Onn) menarik balik kes tersebut kerana tidak mahu rahsia salah-lakunya tidak terbongkar memandangkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kes mahkamah menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 kerana beliau dikatakan akan bertanding untuk di Pelabuhan Klang menggantikan Dato' Zakaria Deros pada pilihan raya umum akan datang tersebut.

Sumber menyatakan bahawa sudah ada bukti untuk mengaitkan Norhayati dengan kes salah-laku seperti hampir 10 laporan polis dibuat semenjak Disember 2005 yang sehingga kini belum mempunyai perkembangan terkini termasuk beberapa keping gambar intim kedua-dua pemimpin Umno Selangor itu di lokasi hotel yang berlainan.

Manakala berikut adalah cabutan dan petikan laporan Polis bernombor JTRAZAK/005585/07 yang dibuat suaminya Radzmi Othman 47 tahun yang diterima Koperal Azizan Hassan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

"... saya mengesyaki bahawa Yasmin (anaknya) tiada dalam bilik tetapi berkemungkinan isteri saya bersama lelaki lain di dalam bilik tersebut, Saya sebagai suami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik malah beliau meminta waran daripada pihak polis untuk memasuki bilik tersebut dan selepas itu kami semua beredar dari Hotel Crown Princess ..."

"... Saya datang ke balai polis buat laporan kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan serta kecurangan isteri saya dan mahu rujuk perkara ini ke pejabat agama. Sekian laporan saya."

Pemerhati menjangkakan Dr Rozaidah dan Dr Rahman mungkin tidak terpilih lagi sebagai calon BN dalam pilihan raya ke-12 akan datang.

"Seteru politik masing-masing, dalam Umno sendiri, menunggu peluang untuk mencantas mereka, apatah lagi kedua-duanya dilihat calon bidan terjun dalam pilihan raya lalu," kata sumber, sambil menambah, waktu itu, mereka tidak mempunyai jawatan tinggi dalam Umno bahagian.

Oleh kerana kedua-dua wakil rakyat itu baru ditampilkan dalam pilihan raya 2004, mereka sering dianggap sebagai "orang Khir Toyo".

Justeru, jika Rozaidah dan Rahman dikaitkan dengan pelbagai skandal yang memalukan, apatah lagi dakwaan itu tidak langsung membabitkan pembangkang, ia dikira boleh memalitkan imej negatif kepada Dr Khir, bukan sahaja sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tetapi juga sebagai "kawan rapat" mereka berdua. -az

Panel Bebas Khas Siasat Kesahihan Rakaman Video 'peguam-hakim'

PUTRAJAYA, 25 Sept (Bernama) -- Sebuah panel bebas khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan rakaman video mengenai perbualan telefon kononnya antara seorang peguam dan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata panel tiga orang itu diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.

"Keputusan ini diambil memandangkan dakwaan dan spekulasi yang dibuat berhubung rakaman tersebut boleh menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti sistem kehakiman negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Najib berkata panel itu akan memulakan tugas dalam masa terdekat dan akan menyediakan laporan terperinci secepat mungkin kepada kerajaan.

"Hasil laporan panel itu yang dijangka diketahui dalam beberapa minggu lagi akan diumumkan kepada orang ramai," katanya.

Video lapan minit itu yang dirakamkan empat tahun lalu disiarkan dalam Internet setelah sebuah parti pembangkang mendedahkan mengenai dakwaan itu.

Najib berkata panel itu akan menjalankan siasatan penuh terhadap kesahihan rakaman video itu termasuk kemungkinan menyoal mereka yang dikaitkan.

Kepada satu soalan, beliau berkata kerajaan tidak bercadang menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara itu.

-- BERNAMA

Tidak Mahu Mengundi Boleh Jejas Amalan Demokrasi Negara - Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Keengganan orang ramai mendaftar sebagai pengundi akan menjejaskan amalan demokrasi di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata mengundi adalah satu tanggungjawab yang penting kerana masyarakat perlu menggunakan hak mereka untuk menentukan kerajaan dan wakil rakyat.

"Jika kita sendiri tidak mahu mendaftar sebagai pengundi tentulah kita tiada peranan langsung dalam hal ini (proses demokrasi negara)," kata Abdullah yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti di sini.

Beliau berkata akibatnya wakil rakyat tidak mendapat sokongan yang kuat.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendedahkan bahawa orang Melayu masih menjadi golongan tertinggi yang tidak mendaftar sebagai pengundi.

Abdullah juga mengumumkan tiga anggota Umno yang tamat tempoh penggantungan mereka kerana terbabit dengan politik wang iaitu anggota Parlimen Machang Datuk Ismail Mamat, Datuk Abdul Rashid Ismail (Jelutong) dan Yusof Apdal (Silam).

Mengenai kemudahan pengangkutan awam, Abdullah berkata kerajaan sedang memastikan pengangkutan awam mencukupi bagi rakyat pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan kenderaan dan pemandu secukupnya ketika musim perayaan ini, katanya.

-- BERNAMA

Agensi Kementerian Penerangan Turun Padang Tingkatkan Jumlah Pengundi

KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Penerangan, termasuk Jabatan Penerangan, boleh membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik orang ramai mendaftar sebagai pengundi dengan turun padang memberi maklumat kepada rakyat, terutamanya penduduk di pendalaman Sarawak, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran itu.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Takun Sunggah hari ini berkata sehingga kini orang ramai memberikan respons yang baik kepada kempen pendaftaran oleh SPR sekarang, yang dimulakan sejak Januari lepas, bagi meningkatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada setiap pilihan raya.

"Agensi kementerian dapat menyelaraskan kempen mereka dengan Pejabat Daerah di seluruh negeri dalam membuat persediaan untuk pilihan raya parlimen akan datang," katanya kepada Bernama di sini.

Semalam, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata Kementerian Penerangan, Bernama, RTM, Jabatan Hal Ehwal Khas dan Filem Negara akan digerakkan dalam usaha memberikan kesedaran kepada golongan yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau meminta agensi terbabit melaksanakan kempen bersepadu berikutan kenyataan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa 90 peratus daripada kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi adalah Melayu.

Majoriti sejuta daripada 2.5 juta pengundi baru yang disasarkan yang mendaftar dalam tempoh pendaftaran pengundi baru-baru ini, bukan Bumiputera.

Takun berkata SPR telahpun melantik kakitangan dari Pejabat Daerah di samping dari pelbagai parti politik sebagai penolong pendaftar untuk membantu proses pendaftaran di Sarawak, yang mempunyai 909,022 pengundi berdaftar berdasarkan daftar pemilih yang disahkan pada Mac.

Tugas penolong pendaftar itu ialah mendapatkan seberapa banyak orang untuk mendaftar sebagai pengundi manakala perubahan alamat pengundi pula akan dilakukan oleh pegawai SPR atau pengundi itu sendiri di pejabat pos, katanya.

Beliau berkata kira-kira 14,000 kakitangan SPR di seluruh negeri menghadiri taklimat mengenai pengundi, pusat pengundian, dan prosedur penjumlahan undi iaitu sebahagian daripada persediaan SPR Sarawak mengadakan pilihan raya parlimen.

SPR membelanjakan RM31 juta untuk mengadakan pilihan raya negeri tahun lepas, yang turut merangkumi penggunaan 20 helikopter, dua kapal terbang, lebih 1,000 bot dan 300 kenderaan pacuan empat roda.

-- BERNAMA

Tragedi Batu Buruk: Pimpinan PAS turun padang bertemu rakyat

Awang Harun | Foto Harakah Terengganu
Tue | Sep 25, 07 | 10:45:56 am MYT

KUALA NERUS, 25 Sept (Hrkh) - Peristiwa berdarah pada 8 September di Batu Buruk kini menjadi isu nasional yang diperkatakan oleh rakyat di seluruh negara.

ImageManakala, pihak media terutama RTM berulang kali menyiarkan visual demonstrasi yang berlaku di Palestin dan Pakistan yang digabungjalinkan dengan tragedi 'kemarahan' rakyat di Batu Buruk, baru-baru ini.

Laporan media arus perdana yang berat sebelah memaksa pihak PAS bertindak bagi memperjelaskan kepada rakyat umum apa yang berlaku sebenarnya pada malam tersebut.

Baru-baru ini, dua orang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad dan Dato' Abu Bakar Chik bersama beberapa orang pimpinan PAS negeri dan Pemuda turun ‘padang’ bertemu rakyat dengan mengedarkan risalah serta bulletin 'khas' penjelasan isu tersebut.

Rombongan berkenaan berkunjung dan bertemu dengan rakyat di Pasar Pekan Batu Enam selama 30 minit serta mendapat sambutan positif dari pengunjung, peniaga dan orang ramai.

ImageKehadiran dua tokoh kepimpinan PAS itu 'menghangatkan' lagi suasana ketika orang ramai sibuk membeli-belah makanan dan minuman bagi juadah berbuka puasa.

Dato' Abu Bakar berkata siri-siri penerangan serta penjelasan seumpama ini akan diteruskan bagi menyedarkan rakyat terhadap isu sebenar yang cuba diselewengkan fakta oleh pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Insya-Allah, kita (PAS) akan teruskan buat macam ini dan bertemu dengan rakyat untuk rakyat faham apa sebenarnya yang berlaku dan siapa punca 'keganasan' itu," ujarnya.

Bahkan, katanya program ceramah penjelasan juga akan dibuat di setiap kawasan di negeri ini dan di seluruh Negara sedang diatur oleh pihak Penerangan PAS Pusat dan sebagainya. - mks.

Rusuhan: Operasi berkas mereka yang dikehendaki bermula Selasa

KUALA TERENGGANU 24 Sept. - Seramai 32 indivudu yang belum menyerah diri berhubung kes rusuhan di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Buruk pada malam 8 September lepas akan diburu polis menerusi operasi dari rumah ke rumah mulai esok.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supt Khairi Ahrasa berkata, semua balai polis serta ibu pejabat polis daerah akan dimaklumkan mengenai butiran individu yang dikehendaki itu.

“Esok kita akan mula operasi menangkap dari rumah ke rumah berdasarkan maklumat yang kita peroleh daripada orang awam sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, 32 orang itu merupakan baki daripada 46 individu yang dikehendaki polis bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung rusuhan oleh lebih 600 orang yang bertindak ganas menyerang polis menggunakan pelbagai objek termasuk bom molotov, batu, besi, kayu selain memusnahkan harta benda awam serta membakar Jalur Gemilang apabila diarah bersurai daripada satu perhimpunan haram.

Sehingga tengah malam semalam 14 orang yang dikehendaki polis menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Antara yang telah menyerah diri ialah seorang pelajar sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang, dan dua pelajar sebuah sekolah menengah dekat sini. - Bernama

Gunakan hak mengundi – PM

Oleh YULPISMAN ASLI

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebahagian orang Melayu telah mengabaikan tanggungjawab penting dalam menentukan kerajaan dan wakil rakyat yang mewakili mereka apabila tidak mendaftar sebagai pengundi.

Perdana Menteri menegaskan, orang Melayu mesti menggunakan hak mereka untuk mengundi bagi menentukan kerajaan dan wakil rakyat mereka melalui proses demokrasi.

Bagaimanapun, kata beliau, jika mereka memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, orang Melayu tentulah tidak ada peranan langsung dalam demokrasi.

“Sebab, dalam amalan demokrasi, rakyat memilih wakil rakyat. Jika bilangan mereka yang layak mengundi (tidak berbuat demikian), tentu demokrasi akan terjejas.

“Ini kerana, wakil rakyat tidak mendapat sokongan yang kuat kerana yang keluar mengundi (beliau) tidak ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bahawa orang Melayu masih merupakan golongan tertinggi tidak mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai program diatur untuk memudahkan mereka mendaftar.

Dalam program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih yang berakhir bulan lepas, katanya, 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.

Ab. Rashid berkata, program yang menetapkan sasaran sebanyak 2.5 juta pemilih baru itu mendapati sebahagian besar daripada sejuta pemilih baru yang mendaftar adalah bukan bumiputera.

Sementara itu, Abdullah gembira dengan kerja-kerja amal yang terus dilakukan oleh UMNO di peringkat akar umbi.

Ini termasuk usaha UMNO membantu 1,534 anak yatim yang menerima bantuan pada satu majlis di PWTC malam ini.

Pendekatan itu juga, kata beliau, memberi peluang kepada anak-anak yatim khususnya dari luar bandar untuk melihat ibu negara yang semakin pesat membangun.

Presiden UMNO itu turut mengumumkan berakhirnya tempoh penggantungan tiga pemimpin UMNO yang sebelum ini disabitkan dengan amalan politik wang.

Mereka ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ismail Mamat; bekas Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Rashid Ismail dan bekas Exco Pemuda, Mohammad Yusoff Apdal.

Bagaimanapun, jelas Abdullah, mereka tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti.

Ketiga-tiga pemimpin terbabit sebelum ini dikenakan hukuman gantung selama tiga tahun.